Followers

11.8.10

Isu Sekolah Remaja Hamil

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan untuk semua teman-teman blogger.

Sunyi sepi suasana hari ni tak kira di jalanan, di gedung bahkan di sini lebih-lebihlah lagi. Agaknya hari pertama berpuasa ni ramai yang sambung tidur selepas solat Subuh pagi tadi. Yang kakchik risau tu yang sambung tidur sebaik saja habis bersahur. Atau... tak bangun sahur langsung. Sayang juga tu pagi-pagi lagilah puasa dah makin kurus.

Sementara pengunjung tak ramai dan staf Zahra' pun hanya ada 3 orang ni, kakchik sempatlah juga belek-belek suratkhabar hari ni. Baru sebentar kakchik baca BH dan tertarik dengan satu artikel berkaitan tajuk di atas. Kalau nak baca ada di bawah ni.

Kaji penubuhan sekolah remaja hamil
Oleh Tuan Musa Awang
2010/08/11

Elak wujud implikasi lain supaya tidak dijadikan alasan halalkan perzinaan

CADANGAN kerajaan Melaka menubuhkan sekolah khas bagi remaja hamil dan menggalakkan kanak-kanak atau remaja bawah umur terbabit berkahwin, walaupun bukan penyelesaian terbaik menangani kes buang bayi, dilihat sebagai langkah jangka pendek mengatasi isu itu.

Bagaimanapun, penubuhan sekolah itu perlu dikaji dengan teliti dari masa ke semasa bagi mengelak implikasi lain, supaya tidak dijadikan alasan menghalalkan perzinaan di kalangan masyarakat negara ini.

Khuatir juga pelajar yang keluar dari sekolah ini akan hilang masa depan kerana stigma dan label yang terpaksa digalas terutama dalam menangkis pandangan buruk masyarakat terhadap mereka seperti berlaku kepada pelajar Sekolah Henry Gurney suatu ketika dulu.

Jika sekolah ini diwujudkan, penekanan didikan agama seharusnya menjadi asas utama kurikulum supaya remaja yang tersilap langkah tidak mengulangi perkara sama selepas keluar dari sekolah itu.

Membenarkan remaja bawah umur berkahwin bermakna meletakkan beban dan tanggungjawab berat sebagai ibu atau bapa atas bahu mereka. Jika mereka belum bersedia dengan tanggungjawab berat ini, dikhuatiri ia membuka lebih ruang berlaku perceraian pada usia muda.

Memikul tugas sebagai isteri atau suami pada usia remaja bukan saja menyebabkan perkembangan terbantut, tetapi juga menjejaskan psikologi, emosi dan pertumbuhan fizikal mereka.

Tidak ada larangan had umur untuk berkahwin dalam Islam. Hadis diriwayatkan Siti Aisyah, “Bahawasanya Nabi SAW telah mengahwini Aisyah sedang ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, mengikut seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 memperuntukkan: “Tiada perkahwinan boleh diakad nikahkan di bawah enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

Wali kepada anak perlu memohon kebenaran Mahkamah Syariah dan hakim akan menyiasat mengapa sebab perkahwinan, menyelidiki latar belakang serta keadaan fizikal sama ada anak itu mampu atau bersedia untuk berumahtangga, demi menjaga kepentingan anak itu.

Laporan Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), perkahwinan bawah umur bagi tempoh 1 Januari 2005 hingga 12 Januari 2006 di Kelantan sebanyak 115 kes, 102 kes (Sabah) dan 100 (Sarawak).

Antara punca perkahwinan bawah umur ialah hilang minat bersekolah, tercicir daripada persekolahan, mendapat bakal suami yang mampu menyara kehidupan, mendapat persetujuan ibu bapa kerana perkahwinan dapat menyelamat masalah keluarga, berasal dari kampung pedalaman dan kurang pendedahan kepada kepentingan pendidikan.

Jika perkahwinan bawah umur dibenarkan, ini tidak bermakna wali boleh terus lepas tangan membiarkan anaknya mengharungi alam rumah tangga tanpa diberi panduan dan tunjuk ajar.

Saya berpendapat, wali masih perlu memantau anak remaja bawah umur yang sudah berkahwin dengan memberikan ilmu, nasihat dan tunjuk ajar dari semasa ke semasa hingga dirasakan mereka mampu menguruskan rumah tangga.

Walau apa pun, agama adalah mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah sosial remaja. Jika ibu bapa gagal menjalankan tanggungjawab memberi pendidikan agama kepada anak mereka, maka sekolah sebagai institusi kedua anak mendapat pendidikan seharusnya mengambil alih tugas itu.

Larangan mendekati atau melakukan zina adalah jelas. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah Al-Isra, ayat 32)

Mutakhir ini, kita seakan malu menggunakan istilah zina sehinggakan dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri menggantikan istilah zina dengan perkataan persetubuhan luar nikah. Walhal, perkataan zina itu dari Allah SWT dan sepatutnya menimbulkan kegerunan bagi orang beriman.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Menikahlah kalian, kerana bernikah itu bisa menjaga pandangan dan menjaga kemaluan.”

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Wahai sekalian pemuda, siapapun di antara kalian yang sudah mampu bernikah maka bernikah kerana pernikahan itu bisa menjaga pandangan dan menjaga kemaluan. Jika kalian belum mampu maka banyaklah berpuasa, kerana puasa itu perisai (terhadap syahwat).”

Larangan zina untuk menjamin masa depan, status waris dan wali anak dilahirkan, menjauhkan daripada dosa lain seperti pembuangan bayi, mencegah penyebaran penyakit kelamin, menyuburkan sikap saling percaya antara pasangan, mencegah timbulnya kebencian dan dendam terhadap sesama manusia.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) boleh dihubungi di sekretariatpgsm@yahoo.com atau layari http://www.peguamsyarie.-org

Allahu Akbar! Kakchik berpandangan sekolah ini tidak perlu. Terlalu banyak isu lain akan timbul jika ia tetap dilaksanakan. Bukankah didikan Islam itu telah lengkap? Kenapa tidak manipulasi keseluruhan sistem pendidikan yang ada dengan didikan Islam? Buku rujukan bukannya kurang, terlalu banyak yang boleh dijadikan panduan dalam mendidik anak-anak ini.

Membina atau mewujudkan sekolah khas untuk remaja hamil ini seolah-olah kita mengiktiraf perlakuan zina yang mereka lakukan. Walaupun matlamatnya untuk menyelamatkan mereka, tapi caranya kurang bijak pada pandangan kakchik. Syor ini mesti difikirkan berpandukan al-Quran dan Hadis bukan setakat menggunakan logik akal dan rujukan pada buku-buku moden sahaja.

Islam adalah penyelesaian. Kembali kepada cara Islam, insyaallah banyak masalah akan selesai dengan cara baik. Insyaallah.

4 comments:

  1. Salams Kak Chik,

    Hal mengenai sekolah hamil ni bagi pendapat aja ada persamaan dgn rumah2 dan pusat2 pemulihan akhlak, di mana gadis2 hamil ditempatkan dan diberi didikan agama.

    Sekiranya gadis2 tidak didorongi dgn hawa nafsu, dan tidak membenarkan teman lelakinya berbuat sedemikian terhadap dirinya, Insha'Allah masalah ini tidak akan berlaku. Agak sedih bila suratkhabar balik2 utarakan isu2 ini saja. Belum pernah aja dgn anak ugama/bangsa lain dilakukan sedemikian rupa ...

    ReplyDelete
  2. Salam kak Chik,

    Isu ini tidak akan ada penyelesaiannya sekiranya pada pemimpin kita masih tetap dengan cara pemikiran secular. Walaupun disekolah pendidikan agama diterapkan tetapi jika ibu bapa itu sendiri tidak menitik beratkan hal ehwal pengetahuan anak mereka maka isu ini tidak akan dapat diselesaikan. Banyak factor perlu diambil kira dan masalah ini hanya dapat diatasi sedari akarnya.

    Akak pun sebenarnya dah tak boleh nak fikir..penat sangat..:-)

    ReplyDelete
  3. Wkslm Hajar.
    Sepintas lalu kakchik pun nampak begitulah juga cuma istilahnya saja berbeza.
    Remaja kita ni aja, jiwa dan emosi mereka begitu digoda oleh kehidupan kini yang penuh kebebasan dari agama, sebab itu mudah sekali mereka terpengaruh.
    Media pula hanya fikirkan untung jadi apa nak jadi kpd anak bangsa mereka tak kisah.

    ReplyDelete
  4. Wkslm kak azah,
    Pemimpin kita hidup mereka pun penuh kemaksiatan kak, sebab itu mereka susah nampak penyelesaian dari cara Islam.
    Ibu bapa zaman skrg termasuklah kita terpaksa bekerja untuk survival hidup jadi banyak hal2 agama dan pendidikan yang terlalai.
    Memang memenatkan otak kak tapi kena fikir juga.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs