Followers

6.8.10

Histeria

Assalamualaikum dan salam Jumaat kepada semua teman-teman tersayang. 

Semoga hari ini iman kita semua makin meningkat dengan bertambahnya amalan kebaikan yang kita buat. Jangan pula lupa untuk mencegah kemungkaran, bermula dengan diri kita dan ahli keluarga kita. Misalnya, mengurangkan menonton rancangan tv yang melekakan dan melalaikan kita dari menunaikan solat di awal waktu.

Pagi-pagi ni sebelum kakchik bertolak ke Dataran Ilmu untuk mengikuti kuliah Jumaat, kakchik ingin kongsikan pengalaman berkaitan HISTERIA. Dua hari lepas di muka depan satu akhbar tempatan, ada laporan tentang seorang remaja menjadi rakus dan pelahap akibat dirasuk jin kafir yang boleh berbahasa Urdu dan Tamil.
Seorang ustaz sedang berusaha memulihkan pelajar yang histeria. Gambar dari BH.

Kesian adik tu, kenapalah suratkhabar tu boleh letak gambarnya di muka depan. Malu dia bila ke sekolah nanti. Tentu sampai bila-bila orang boleh ingat peristiwa tu. Kakchik sangat tak suka bila akhbar ambil kesempatan ke atas orang yang sedang lemah tidak sedarkan diri.

Baiklah, berbalik pasal histeria ni. Masa kakchik di sekolah menengah dulu banyak sungguh kes histeria yang berlaku. Kata orang asrama sekolah kami tu dibina di atas tanah bekas kubur Jepun zaman penjajahan Jepun dulu. Allahu'alam. Tapi kakchik sendiri ada pengalaman menolong menyedarkan pelajar yang dirasuk.

Semasa histeria atau dirasuk hantu, istilah yang kami guna, pelajar itu memang tidak sedar apa-apa. Suaranya sangat parau, tenaganya boleh melawan hampir sepuluh orang pelajar lain yang lebih besar dan kuat darinya. Guru lelaki pun ada yang pernah ditendang. Sememangnya kakchik akui jin dan syaitan itu memang ada dan boleh merasuk badan manusia. Hantu takde sebab istilah 'hantu' itu adalah manusia yang beri. Hakikatnya ia berasal dari jin dan syaitan.

Bila menangani orang yang histeria, ustaz ajar kami menggunakan lada hitam. Sambil membaca ayat Kursi, salah seorang dari kami mestilah menekan lada hitam dengan kuat di ibu jari kaki orang yang histeria. Allahu'Akbar, memang kena kuat kudrat dalam menanganinya kerana bila dia meronta tambah-tambah dengan suara garaunya, kita boleh terjangkit.

Kalau lemah semangat dan ragu-ragu janganlah berani-berani nak masuk dekat kerana ia boleh berjangkit. Maklum la kan, syaitan ni banyak konco-konconya. Hanya ingat Allah saja yang mampu menolong. Bila orang histeria sedar, kakchik lihat dia sangat lemah longlai dan kebingungan. Setakat pengalaman kakchik di sekolah dulu, mereka histeria tahap sederhana kot sebab hanya meronta-ronta dan bercakap parau.

Kalau baca dalam suratkhabar, ada yang histeria hingga memakan cermin tingkap sekolah, serangan melibatkan ramai orang dari murid hingga guru hingga sekolah perlu ditutup, dan pembersihan secara rohani terpaksa dilakukan. Moga-moga Allah lindungi kita semua.

Ada orang kata, bila iman lemah, syaitan senang masuk tambah-tambah jika diri sedang stres yang teruk, misalnya di musim peperiksaan. Ya Allah, lindungilah kami semua dari hati yang tidak tenang dan iman yang berbolak-balik. Jauhi kami dari syaitan yang direjam. Amin.

Salinan artikel dari Berita Harian online:
Histeria dari sudut sains
BH, 2010/08/06

HISTERIA sejenis gangguan psikiatri atau mental boleh berlaku disebabkan tekanan tidak terurai, dan apabila tidak dapat kendalikan dengan baik, maka ia akan mempengaruhi pemikiran individu dan dikeluarkan secara histeria.

Presiden Persekutuan Asean Bagi Kesihatan Psikiatri dan Mental (AFPMH), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata apabila individu yang menjadi punca histeria dirasuk, ia boleh mempengaruhi orang berhampirannya kerana mungkin orang yang berada di sekitarnya ketika itu, turut menghadapi masalah sama dengan ‘ketua’ yang memulakan histeria itu, seperti tekanan akibat peperiksaan dan sebagainya.

“Histeria dikatakan berjangkit, tetapi sains melihatnya sebagai mekanisme minda yang boleh mempengaruhi individu lain. Contoh yang paling mudah, kalau si A menyatakan kubur hujung kampung ada hantu, si A nampak hantu dan menyebarkan cerita itu kepada orang lain, maka orang yang seterusnya akan menganggap memang betul ada hantu di kawasan kubur berkenaan, seterusnya kawasan itu dicop sebagai berhantu.

“Ia adalah tindakan emosi yang menyebabkan ia berlaku begitu, tetapi dalam kes histeria, ia boleh jadi lebih ekstrem lagi. Bila seorang memulakan, individu lain yang melihatnya akan merasa ketakutan dan turut terbabit histeria. Walaupun histeria turut berlaku di kalangan lelaki, wanita yang lebih ramai kerana naluri selain pengaruh psikologi mereka,” katanya.

Begitupun Prof Mohamad Hussain berkata, kepercayaan berhubung perkara tahyul, turut mempengaruhi apabila yang menjadi ketua itu dikatakan terkena sampuk sedangkan mungkin sebelum itu individu berkenaan sememangnya sudah berhadapan tekanan perasaan sebelum ini.

“Dalam proses rawatan, kita akan analisa ‘ketua’ itu terlebih dulu bagi memastikan apakah sebenarnya punca masalahnya. Selalunya kita akan berikan pesakit ubat penenang, seterusnya kaunseling dan diberikan cuti rehat. Justeru majikan atau pihak sekolah harus faham kerana rawatan kadangkala memakan waktu kerana ada rawatan susulan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, histeria juga dikaitkan dengan proses pemodenan. Apabila sesuatu masyarakat itu melalui proses perpindahan dari kampung ke kawasan moden, kejadian histeria dilaporkan semakin berkurangan.

Merujuk pada tahun 1980 dan 90-an dulu, Prof Hussain berkata, ketika itu, banyak kejadian histeria berlaku di sekolah serta industri hingga memaksa berlaku penutupan sekolah dan kilang malah dalam satu kes pada 1980-an, sebuah kilang terpaksa ditutup kerana kira-kira 50 orang pekerjanya terkena histeria.

“Psikobudaya masyarakat yang ada masalah histeria lebih menjurus kepada pemikiran atau masih dikongkong dengan tahyul. Tetapi apabila kita melihat di Malaysia, dari segi etnik, Melayu paling tinggi dibandingkan dengan kaum lain. Psikobudaya terkongkong dengan pemikiran tradisi yang ada kaitan dengan tahyul banyak berlaku di kalangan orang Melayu.

“Zaman 1960-an lalu, ramai juga orang India serta China terkena histeria, tetapi apabila zaman berubah, golongan daripada kaum itu yang terbabit dengan kejadian histeria semakin berkurangan tetapi sekiranya dibandingkan antara tiga golongan ini, orang Melayu masih menduduki tempat tertinggi,” katanya yang tidak menolak kemungkinan faktor ekonomi rendah turut mempengaruhi mangsa.

Mengambil contoh kejadian histeria, katanya, orang meracau akan mengeluarkan bahasa yang sukar difahami hingga segelintir menyatakan disampuk hantu India atau Cina, tetapi apabila didengar betul-betul, ia sekadar bahasa yang sukar difahami.

Memandangkan histeria berlaku di sekolah, beliau menasihatkan supaya ‘ketua’ yang memulakan histeria dibawa ke hospital dengan segera kerana kesan histeria boleh melumpuhkan sesuatu organisasi.

INFO: Kejadian histeria (seperti dilaporkan media)

# 15 JULAI 2009
ARAU: SEKURANG-KURANGNYA sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin (SMKSS) gempar apabila beberapa pelajarnya histeria selepas mendakwa melihat kelibat wanita dalam keadaan mengerikan berkeliaran di pekarangan sekolah itu. Pelajar yang baru pulang dari menyertai Latihan Perkhemahan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di Bukit Ayer meraung, meracau dan menangis secara tiba-tiba. Malah, ada antara mereka mula bertutur dalam loghat Indonesia sehingga mencetuskan rasa takut di kalangan rakan, sambil menangis meminta tolong ketika cuba dirawat seorang pengamal perubatan tradisional.

Kejadian selama sejam bermula 10 pagi itu sebenarnya adalah lanjutan kepada serangan histeria yang dilaporkan berlaku di Bukit Ayer di sini, yang turut membabitkan pelajar sekolah sama, hari sebelumnya. Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya lima daripada 32 pelajar SMKSS yang menyertai Latihan Perkhemahan JPAM di Bukit Ayer, dilaporkan mengalami histeria, sebelum dibawa pulang ke sekolah.

# 28 APRIL 2009
ALOR SETAR: LIMA pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Langgar (SMKL) di sini, diserang histeria. Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika kebanyakan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat sedang membaca surah Yassin di surau sekolah apabila seorang daripada mereka tiba-tiba menjerit sambil menunjuk ke arah kantin sekolah sebelum diikuti beberapa pelajar lain.
Dalam kejadian itu seorang pelajar mendakwa ternampak kelibat seorang wanita berambut panjang dan berkain putih mengelilingi sekolah, menyebabkan ramai pelajar perempuan menjerit dan meracau kerana takut.

# 11 OKTOBER 2008
KUALA LUMPUR: Empat pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gombak diserang histeria sejak awal minggu lalu. Seorang pelajar mendakwa kejadian itu turut dialami tiga lagi rakannya sejak beberapa hari lalu selepas waktu rehat sesi petang persekolahan. Sebaik mangsa dibawa ke bilik guru, rakannya pula melarikan diri kerana mendakwa ada lelaki ingin mencederakannya dan ketika itu juga dia nampak wanita berwajah menakutkan berdiri di sebelahnya.

# 3 OGOS 2010
KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah menengah di Desa Petaling di sini, terpaksa ditutup sementara selepas lebih 10 pelajar perempuan, seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita tiba-tiba diserang histeria, semalam.

Serangan histeria itu bermula kira-kira jam 7.45 pagi apabila seorang pelajar perempuan tingkatan tiga, Atikah Abdullah, yang menghadiri perhimpunan pagi tiba-tiba mengamuk dipercayai dirasuk.

Keadaan dialami mangsa berjangkit kepada sembilan pelajar lain termasuk seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita ketika semua mereka yang juga rakan sekelas mangsa cuba menenangkannya.

8 comments:

  1. histeria ni slalu berlaku kat skola2. jiya lom penah berdepan ngan situasi camni.. tp minta dijauhkan.. sbb lemah semangat

    ReplyDelete
  2. teringat zaman asrama dulu kakchik..
    pengalamn histeria ni memang ngeri..
    syukur dapat lalui zaman sekolah dulu..
    maklum lah..
    sekolah asrama ni emmang selalu terlibat dengan pekara pekara macam ni,.

    ReplyDelete
  3. Jiya, kakchik doakan Jiya tak menghadapi atau berhadapan dgn kes histeria ni. Minta dijauhkan Allah.

    ReplyDelete
  4. Ara, selalunya dulu-dulu histeria berlaku di asrama tapi skrg ni tak kira tempat dah. Agaknya jin dan syaitan ni makin kuat sebab ramai sangat manusia yang jadi pengikut depa.

    ReplyDelete
  5. kakchik pun rasa begitu juga kakluna.

    ReplyDelete
  6. Sekolah akak sekarang ni dulu memang terkenal dengan gelaran sekolah histeria tapi masa tu akak belum masuk lagi. Benda tu dok kat sampan yang diletakkan di perkarangan sekolah.

    Menurut cerita kawan2, hampir setiap hari adalah kejadian berlaku sampai sekolah terpaksa ditutup beberapa hari.

    Alhamdulillah dengan kerjasama sepasukan pakar2 dlm perkara ini dari UKM perkara histeria itu dapat diselesaikan.

    Menurut kata ustaz di sekolah, syaitan2 dan jin tu penuh satu bus lalu diangkut dan diletakkan di nun hujung padang.Pelajar2 dilarang sama sekali pergi ke tempat tersebut.

    Makhluk2 tu memang tak mahu keluar dari kawasan tu. Masalah lain pula timbul bila perumahan baru pula dibuka di hadapan sekolah kerana. kerabat2 jin dan syaitan tu ada gak dibuang di kawasan perumahan tersebut sebelum perumahan itu didirikan lagi.

    ReplyDelete
  7. Kak Azah, kejadian histeria ni banyak berlaku di kawasan sekolah kemungkinan besar banyak jin yang dibuang kat situ sebelum tanah tu dibangunkan menjadi sekolah. Memang diorang marah juga manusia ganggu tempat tinggal diorang.

    Banyak jugalah tu kalau boleh diisi dlm satu bas. Kenapa tak dibuang ke laut atau ke hutan? Di hujung padang tu masih accessible oleh pelajar.

    Sebab tu bila kita nak masuk bangunan baru, kita digalakkan membuat penyucian dengan solat hajat dan bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an agar Allah bersihkan tempat tu dari gangguan syaitan dan jin. Tapi orang dulu-dulu mgkn kurang ambil berat.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs