Followers

31.12.12

Essential Items On Working Days.

Hari Terakhir 2012 Masehi Yang Hujan Lebat

Bismillahir-Rahmanir-Rahim.

Hujan di Zahra' saat ini.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Salam mahabbah untuk teman-teman blogger dan juga para pengunjung yang singgah sebentar di sini. Alhamdulillah, syukur dengan nikmat Allah dapat lagi kita panjang umur hingga ke hari ini, hari terakhir 2012 Masehi. Dan di saat ini hujan lebat sedang mencurah-curah di luar sana. Terasa mahu saja kakchik mematikan suit penghawa dingin pejabat ini tapi nanti cepat pula bahang panas dirasai.

Elok kita baca doa semasa hujan dulu kan? "Bismillahir-Rahmanir-Rahim. Allahumma soyyiban nafi'an. Amin." Semoga Allah menurunkan hujan ini penuh dengan manfaat kepada kita semua. Semoga jika rezeki kita di langit Allah turunkan ianya bersama hujan ini. Jika rezeki kita jauh maka berkat waktu siang ini, berkat hujan yang menyegarkan ini, rezeki kita akan datang kepada kita dari segenap ruang. 

Dari tingkap pejabat kakchik.

Sepanjang 3 hari Allah hentikan hujan dan izinkan kita menikmati sinaran matahari yang panas dan banjir mula menyurut. Alhamdulillah. Syukur dengan nikmat panas. Nampaknya Allah masih mahu turunkan hujan yang berbaki di awan sana ke bumi Kelantan ini. Khabarnya Pahang dan Terengganu juga hujan hari ni. Rahmat Allah semuanya untuk kita walau ada yang diuji dengan banjir. Sabarlah. Banyak hikmah dari kesabaran dan ujian ini.

Hari ni selalunya malam nanti akan ada sambutan di ambang tahun baru di seluruh negara. Dulu-dulu sambutan yang dbuat penuh dengan maksiat tapi sejak Kelantan diperintah oleh sebuah Kerajaan yang mendaulatkan Islam, sambutan tahun baru telah berubah di Kelantan khususnya dan kelihatannya negeri-negeri lain juga mulai membuat perubahan ke arah yang lebih Islamik.

Zaman kanak-kanak dulu, tempat beginilah tempat 'mandi kerbau' hehe.

Secara peribadi, kakchik tidak suka dengan acara-acara sambutan tahun baru masehi ni. Bagi kakchik Awal Muharram lagi bermakna kerana sebagai seorang Islam, merayakan hari-hari kebesaran Islam adalah lebih baik. Lagipun sambutannya banyak dipenuhi dengan aktiviti keagamaan yang menambahkan amal ibadah kita. Berlainan pula dengan sambutan tahun baru masehi. Anda sendiri pun dapat bayangkan bagaimana suasananya kan?

Kini, dengan kesedaran Islam di kalangan beberapa Kerajaan Negeri dan artis-artis pun semakin ramai yang berhijrah, sambutan tahun baru juga mendapat tempiasnya. Pengalaman kakchik terlibat dengan sambutan tahun baru 2009 untuk Negeri Kelantan dulu telah membuka minda ramai orang bahawa, kita boleh raikan sesetengah acara yang melibatkan rakyat dengan membuat pengisian yang Islamik. 

Pokok segar ditimpa hujan.

Misalnya, ada kuliah agama disampaikan oleh ulamak terkenal tanahair, ada persembahan pentomin mengenai perjuangan umat Islam Palestin, ada persembahan nasyid oleh kumpulan-kumpulan nasyid terkenal seperti Rabbani dan apabila detik 12 malam tiba, azan dilaungkan di dalam stadium dan selepas itu majlis bersurai selepas bacaan doa oleh Tuan Guru Menteri Besar.

Itulah kelainan pada sambutan tahun baru yang diadakan di negeri ini. Kakchik rasa selamat untuk turut sama terlibat menjayakannya. Apapun, tahun ini Kelantan tidak akan mengadakan sambutan tahun baru. Jangan terkejut ya. Bagi kakchik, ok je kalau tak buat pun. Lagi yang lebih diutamakan ialah usaha kita yang berterusan untuk memartabatkan Islam tak kira tahun lama atau tahun baru.

Dalam hujan lebat dan suhu bilik yang sejuk ini, kakchik ingin mengajak para pembaca blog Keluargaku Sayang ini untuk sama-sama meneruskan usaha untuk membina jatidiri sebagai seorang Islam yang baik agamanya, bagus akhlaknya dan murni budi pekerti. Hidup ini untuk meningkatkan kualiti diri dan memberi nilai kepada orang lain.


Salam sayang,
KakChik Niza

28.12.12

Kuliah Jumaat TGNA : Surah As-Saaf

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamualaikum dan salam jumaat untuk semua. Hari ni kakchik tak berfesbuk buat sementara waktu. Nak luangkan waktu pagi untuk kuliah jumaat. Oleh kerana kakchik tak ke Dataran Ilmu jadi kakchik tonton sambil dengar kuliah jumaah yang dikongsikan orang lain di youtube.

Hari ni kakchik dengar kuliah jumaah TGNA mengenai Surah As-Saaf.








Doa TGNA sebelum mengakhiri kuliah.


Meluangkan masa sejam lebih untuk menambah ilmu agama adalah baik. InsyaAllah dapat ganjaran dari Allah SWT.

** Semua video di atas bukan milik kakchik tapi kepunyaan tuan punya saluran bernama YangAkuSegala di youtube.

26.12.12

3 IDIOTS - Such an awesome film

BismillahirRahmanirRahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.



Sudah lama kakchik tak menulis tentang filem mungkin kerana kakchik pun sudah jarang sekali mempunyai masa terluang yang panjang untuk duduk dan menonton. Setiap detik terasa amat diperlukan untuk kerja-kerja yang dinamik berbanding duduk statik di sesatu tempat dan menonton.

Tapi, satu artikel di laman fesbuk Darwis Tere Liye telah mencetuskan keinginan untuk kakchik menonton filem 3 IDIOTS. Sebenarnya kakchik pernah cuba menontonnya satu ketika dulu tapi setakat beberapa minit di permulaan sahaja dan entah apa yang berlaku telah menghentikan proses menonton di tengah jalan.

Minggu lepas, peluang diberikan oleh Allah dan selepas otak agak penat bermesyuarat di sepanjang pagi, dan sebahagian waktu petang kakchik melayan kunjungan pelanggan di rumah, selepas Asar, kakchik terasa amat-amat mahu menontonnya dan berjaya.

Ini kesimpulan yang kakchik dapat hasil menonton filem 3 IDIOTS tersebut. 

1. Pendidikan adalah sesuatu yang menyeronokkan bagi mereka yang benar-benar mahukan ilmu dan memanfaatkannya betul-betul.

2. Bersahabat mestilah jujur antara satu sama lain.

3. Segulung ijazah bukan penentu masa depan yang bahagia jika kita terpaksa mendapatkannya.

4. Lakukanlah sesuatu kerana kita suka dan seronok melakukannya bukan kerana orang lain.

5. Kita bukan robot tapi manusia yang mempunyai perasaan.

6. Jadikan tekanan, cemuhan, ejekan dan sindiran sebagai satu peluang untuk mencabar kemampuan diri.

7. Berterus-terang adalah lebih baik daripada memendam perasaan.

8. Berkorban untuk kebahagiaan ibu bapa dan keluarga adalah baik tapi jangan sampai diri terkorban.

9. Taktik kotor dalam menjatuhkan lawan adalah sangat salah di dalam meraih kejayaan peribadi.

10. Persahabatan yang jujur dan ikhlas berkekalan sampai bila-bila.

11. Ada juga filem Hindi yang bagus dan tidak steriotaip.


Kakchik tahu dah ramai teman-teman yang telah menontonnya dan ada banyak kesimpulan yang boleh dibuat. Apa yang penting, kita ada pilihan filem yang mempunyai banyak nilai-nilai moral yang positif jika mahu ditonton bersama anak-anak. 

Ada rasa seronok, kelakar, sedih, bersemangat dan sebagainya dari tontonan filem ini. Bagi kakchik filem ini sesuai ditonton bersama anak-anak dan boleh sama-sama bersembang mengenai nilai yang mereka dapat dan boleh dimanfaatkan buat diri-sendiri.

Satu babak yang membuatkan kakchik ketawa ialah di sini (harap maafkan penterjemahnya, perkataan 'rape' tu sepatutnya 'screwed'). Babak ini mengajar kita agar jangan menghafal semata-mata tapi fahami dan hayati makna di sebalik setiap ucapan kita.





Terjemahan sajak pendek yang disampaikan oleh Chatur:

Uthamam dadatu paadham.
The loudest fart is like a motor vechile.

Madyam paadam tuchuck tuchuck.
The middle fart is like the sound of a train.

Knishtam thud thudiya paadam.
The smallest fart.

Sur suriiee praana kadakam.
Is a silent killer.

25.12.12

BERANI 2013

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum. Salam sejahtera semua.

Dah malam. Dah selesai 2 kali solat yang wajib. Dah selesai uruskan makan minum suami. Dah luangkan masa untuk mengaji Qur'an. Dah luangkan masa beramah-mesra dengan Ummi Ayah dan adik-kakak serta anak-anak saudara. Dah membaca serba-sedikit. 

Alhamdulillah... 

Malam ni saja kakchik nak menulis lagi. Mungkin Allah bagi ilham yang bagus semasa kakchik menulis ni. 

Sekarang ni musim hujan di Kelantan. Negeri-begeri lain di Pantai Timur pun hujan juga. Sejak semalam, banjir pula melanda beberapa kawasan di ketiga-tiga negeri ni. Mungkin Johor pun dilanda banjir juga tapi kakchik belum dengar sebarang berita.

Hari ni kakchik cuti. Selalunya kalau 25 Disember Zahra' tak cuti tapi tahun ni dapat rezeki pula dari orang besar. Alhamdulillah dapatlah kakchik menikmati cuti percuma dengan bersama suami dan keluarga. Sangat-sangatlah bermakna bila ada banyak masa untuk bersama mereka.

Tapi kakchik teringat juga Mak dan Ayah mertua di kampung di Pasir Puteh tu. Agak lama juga kami tak balik menjenguk mereka. Sekarang ni kakchik harapkan khabar berita melalui status di fesbuk adik-adik ipar saja. Alhamdulillah mereka semuanya sihat dan baik-baik saja.

Moga-moga banjir tak melanda di sana. Moga Allah lindungi keluarga mertua kakchik dari mara bahaya. Amin.

Esok nak masuk kerja semula. Sebenarnya ada satu urusan kerja yang kakchik bawa balik ke rumah. Sepatutnya kakchik selesaikan di Zahra' saja tapi entah angin malas mana yang datang, kerja tu kenalah diselesaikan di rumah. InsyaAllah esok nak bentang dalam mesyuarat terakhir Zahra' untuk 2012.

2013

Tinggal kurang lebih 5 hari lagi. Kalau masih panjang umur, merasalah kakchik hidup di tahun 2013 nanti. Allah saja yang Maha Tahu. Apa yang kakchik doakan ialah, Allah panjangkan umur dan limpahkan rezeki buat kakchik, suami dan keluarga. 

Umur yang panjang dan badan yang sihat untuk curahkan tenaga beramal makruf nahi mungkar bersama jemaah dan Kerajaan Islam Kelantan. Umur yang panjang, kakchik manfaatkan sebaik-baiknya untuk kaya dan berjaya di dunia tanpa melupakan amal bakti untuk diri dan orang lain agar kakchik juga kaya dan berjaya di akhirat nanti.

Doa agar Allah limpahkan rezeki dari apa jua aspek. Rezeki tu kan luas maksudnya. Ramai orang ingat bila sebut rezeki maksudnya duit, makan dan peluang. Rezeki ni apa saja yang Allah beri nikmat kepada kita. Apa saja. Rezeki mata, dapat melihat. Rezeki hidung dapat menghidu. Rezeki mulut dapat senyum, berkata yang baik-baik. Macam-macam.

Tiap yang bernyawa sudah ditentukan oleh Allah rezeki masing-masing tapi janganlah pula kita jadi pemalas. Rezeki itu kalau tak diusahakan dia tak akan mudah-mudah datang bergolek. Lebih-lebih lagi kalau nak rezeki yang melimpah. Allah suka hamba-Nya yang tekun berusaha.

Jadi, 1434 Hijrah ni kakchik lebih BERANI. Kakchik yakin, butik Abaya Elegan akan dibuka. MESTI BERANI agar impian menjadi kenyataan. Kalau masih rasa takut-takut, kakchik akan terus ketinggalan. MESTI BERANI bersedia untuk berhenti kerja. Ya, bukan mudah nak meninggalkan 'comfort zone' dan meluangkan 100% masa untuk bisnes.

Banyak yang perlukan DISIPLIN dan KONSISTEN. Sekarang ni masih tidak begitu konsisten.

Umrah

Dalam agenda tahun baru ni, umrah adalah MESTI. Ya Allah, kabulkanlah doa ini. Izinkanlah hamba-Mu ini menunaikan umrah bersama suami dan ummi ayah dalam bulan Mei nanti. Amin. Ini rezeki dari-Mu yang amat-amat diharapkan saat ini. Perkenankanlah Ya Allah.

BERANI meninggalkan sifat-sifat orang yang lambat berjaya. 
BERANI melawan nafsu boros berbelanja.
BERANI setiap hari memasukkan duit ke dalam tabung FFF.
BERANI menyahut cabaran bisnes dengan STRATEGI yang memberi impak yang pantas.
BERANI menamatkan kontrak dengan Syarikat Ego Besar Sdn Bhd.
BERANI melabur untuk ilmu.

Banyak yang perlukan keBERANIan.

Ya, kakchik seorang yang BERANI.

Insya Allah.


KakChik Niza
ps: Blog ditulis spontan

20.12.12

No Family Is Perfect

Bismillah.

Diri kita ini dibentuk oleh sebuah keluarga. Bagi kakchik, keluarga kakchik adalah sangat bermakna dalam hidup ini. Merekalah yang banyak menyumbang ke arah terbentuknya peribadi seorang 'kakchik' pada hari ini.

Keluarga kakchik bukanlah 'perfect' sebagai sebuah keluarga Islam tapi bagi kakchik keluarga inilah keluarga yang terbaik yang Allah takdirkan buat kakchik. Ada Ummi dan Ayah yang begitu bersabar dengan perangai kakchik dari dulu hinggalah ke hari ini.

Syukur alhamdulillah, kakchik dilahirkan dengan mempunyai abang-abang, kakak-kakak, adik-adik perempuan dan adik lelaki (arwah), lengkap sekali untuk mempunyai perasaan yang seimbang sebagai seorang anggota keluarga.

Terima kasih Allah di atas kurniaan ini.



19.12.12

PERKONGSIAN: 12 BARISAN DI AKHIRAT


12 BARISAN DI AKHIRAT~

Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a. menghadap Rasulullah S.A.W. dan bertanya kepada baginda:

“Wahai Rasulullah S.A.W., tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah S.W.T”

Erti firmanNya;

“Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris” (Surah al-Naba’)
Mendengar pertanyaan ini, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab;“Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepadaku perkara yanag amat besar bahawa umatku masing-masing dengan pembawaan diri mereka sendiri.”

Maka Rasulullah menyatakan setiap barisan yang sebanyak 12 barisan.

BARISAN PERTAMA

Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;

“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya. Maka demikian balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEDUA

Diiringi dari kubur dalam berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;

“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETIGA

Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.

“Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEEMPAT

Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.

“Mereka adalah orang yang berdusta di dalam jual beli. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KELIMA

Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu, Allah S.W.T. menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.

“Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka kerana takut diketahui manusia, tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah S.W.T. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEENAM

Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.

“Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETUJUH

Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dari mulut mereka mengalir nanah dan darah.

“Mereka itu adalah orang yang enggan member kesaksian di atas kebenaran. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KELAPAN

Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.

“Mereka adalah orang yang berbuat zina. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEMBILAN

Diiringi dari kubur dengan wajah hitam gelap dan bermata biru sementara di dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.

“Mereka adalah orang yang memakan harta anak yatim dengan cara yang tidak sepatutnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEPULUH

Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta.

“Mereka adalah orang yang derhaka kepada ibu bapa. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEBELAS

Diiringi dari kubur dalam keadaan buta mata kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terlanjur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran.

“Mereka adalah orang yang meminum arak. Maka inilah balsannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEDUA BELAS

Mereka diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka datang suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan;

“Mereka adalah orang yang banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, memelihara solat, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih.

Disalin dari fesbuk Tanyalah Ustaz


17.12.12

Niqaabi Berakhlak Baik

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para tetamu yang hadir di blog kakchik ni. Lama tak menulis ni memang mengambil masa untuk memulakan. Berperang sikit dengan perasaan mengenai topik yang nak dikongsikan kat sini. Bukan mudah tau nak pilih satu perkara untuk diceritakan. Apatah lagi topik tu kakchik harap membawa manfaat kepada diri-sendiri dan pastinya kepada kalian juga yang membacanya.



NIQAB

Sejak banyak kali menulis tentang pengalaman memakai niqab ni kakchik seolah-olah macam pakar niqab pula bagi sesetengah pembaca. Ada yang mendapat inspirasi untuk berubah penampilan diri hasil dari membaca cerita-cerita kakchik tentang niqab. Banyak mesej dan email berkenaan hukum pemakaian niqab, nak pakai niqab famili halang, nak pakai niqab tapi diri masih belum cukup solehah dan macam-macam lagi. Kakchik sampai tidak kemampuan lagi untuk membalas semua pertanyaan tersebut.

Untuk yang nak tahu, kakchik mula memakai niqab semasa di tahun kedua pengajian di universiti iaitu dalam tahun 1995 iaitu di awal Ramadhan. Pada masa tu kakchik pakai 'on n off' kerana peraturan universiti dan beberapa situasi yang menghalang. Kakchik mula istiqomah memakainya di khalayak umum ialah sebaik saja tamat pengajian. Memang ada situasi yang kurang menyenangkan semasa temuduga tapi akhirnya kakchik diizinkan Allah mendapat pekerjaan di organisasi yang tidak kisah dengan penampilan kita asalkan menutup aurat dengan sempurna. Alhamdulillah.

Pada masa tu tak ramai orang yang memakai niqab secara terbuka dan kakchik hanya bertemu rakan yang juga berniqab apabila menghadiri usrah ataupun program-program jemaah. Jarang benar kakchik nampak atau jumpa muslimah lain yang berniqab semasa kakchik keluar ke bandar sama ada di KB atau di KL. Tapi hari ni, masya-Allah... boleh dikatakan memakai niqab adalah satu penampilan yang sangat menarik hati wanita untuk turut beramal dengannya. Niqab mewarnai dunia nyata malah dunia facebook juga menjadi meriah dengan para niqabi.

Kakchik melihat perubahan positif ini secara positif walaupun ada sekelumit sudut negatif yang berlaku tapi bagi kakchik kalau kita mencari yang negatif kita pastinya tak mampu nak melihat atau menghargai yang positif. Hari ni di merata tempat kita boleh jumpa muslimah berniqab yang berjubah lengkap. Niqab menutup segalanya hatta sepasang mata dilengkapi jubah abaya yang longgar dari kepala hingga ke lantai. Kita juga boleh melihat muslimah berjubah biasa dan berniqab sama ada niqab ala Arab ataupun niqab ala Malaysia yang lebih dikenali dengan nama purdah.

Biasa juga kita lihat dan jumpa muslimah berbaju kurung memakai niqab. Oleh kerana kita hidup dalam negara yang ramai berbangsa Melayu dan pakaian tradisional wanitanya ialah baju kurung, maka tidak hairan kalau ada niqabi yang berpakaian tersebut. Bagi kakchik baju kurung masih mampu menutup aurat dengan baik selama mana ianya memenuhi ciri-ciri pakaian wanita Islam yang sebenar.

Kadang-kadang kita jumpa muslimah berseluar panjang dan bert-shirt labuh paras lutut memakai niqab. Sesetengah orang menganggap ini pelik dan tidak sesuai tapi selagi ciri-ciri pakaian wanita Islam itu dipenuhi, tidak salah rasanya. Untuk bersenam kakchik juga berpakaian begitu. Satu masa dulu kakchik pun pernah berpakaian jubah seluar dan berniqab tapi hari ni kakchik lebih selesa berabaya. Rasa lebih yakin dan selamat untuk ke mana-mana.

Apa yang pasti, hari ni niqab dipakai oleh muslimah dengan pelbagai cara berpakaian yang masih menepati kod etika pakaian Islam. Apabila pakaian sudah begitu, ada satu lagi yang amat serasi dengan pemakaian niqab iaitu...

AKHLAK

Alhamdulillah... penampilan sudah cantik dan elok di pandangan kita dan pandangan umum. InsyaAllah di pandangan Allah jua. Sudah tentulah penampilan itu selari dengan kebaikan akhlak yang diamalkan oleh pemakainya. Ya, kakchik akur, akhlak kita tidaklah semulia wanita-wanita contoh teladan yang kita selalu baca tapi kakchik yakin setiap kita saban hari berusaha untuk membina peribadi yang berakhlak mulia. 

Menjaga mata, menjaga mulut dan lidah, menjaga telinga, menjaga segala anggota dan pancaindera kita dari perkara mazmumah seharusnya menjadi satu perjuangan untuk kita. Walaupun kita hidup di alam nyata namun kita juga hidup di alam maya, di dunia siber berupa facebook, twitter, instagram, blog dan sebagainya. Maka, wajiblah untuk kita turut menjaga akhlak kita di kedua-dua alam ini. Jangan biarkan diri kita menjadi talam dua muka dan janganlah bermuka-muka.

Akhlak yang baik di alam nyata dan alam maya boleh diketahui oleh orang lain yang berhubung dengan kita. Lebih-lebih lagi jika kita diberi peluang oleh Allah untuk berhubung juga di alam nyata. Menjaga akhlak ini sangatlah penting. Tulisan-tulisan kita di alam maya, nilai sebaik mungkin sebelum kita publish kepada umum. Bukan sahaja mata manusia yang membacanya tapi dua malaikat di kiri-kanan turut mencatat dan merekod dan Allah SWT Maha Melihat segala sesuatu.

Bila kita berpakaian menutup aurat dengan baik maka usahakanlah agar akhlak kita juga semakin hari semakin baik. Mula-mula kita kena berakhlak mulia dengan diri-sendiri dulu. Dari situlah kita akan mampu membina akhlak mulia dengan orang lain di sekeliling kita. Senyuman, ketawa, kata-kata, tulisan dan sebagainya menjadi talian akhlak kita sama ada baik atau buruk.

Ada pembaca tanya, "Kakchik macamana nak jadi baik sedangkan saya ni seorang yang ketawa pun terbahak-bahak. Orang sindir, pakai niqab tapi perangan kasar macam lelaki!?" Begini... segalanya perlukan tarbiah/didikan dan latihan yang berterusan. Kakchik juga ada fasa dalam hidup yang memalukan jika diingat kembali tapi dengan azam yang kuat, kawan-kawan yang baik, kakchik cuba, cuba dan akan terus cuba untuk menjadi muslimah berniqab yang berakhlak baik. Nak kata mulia tu tak berani dan serahkan aje kepada penilaian Allah.

Kita kasar macam lelaki, kita sendirilah yang kena paksa diri kita menjadi tidak kasar seperti lelaki. Latih sifat-sifat kewanitaan yang ada, kenali ciri-ciri wanita solehah dan beramallah, beramallah dengan hati gembira. Latih dan bentukkan sifat kasar yang ada itu menjadi sifat tegas dan berani untuk Islam. Apabila situasi memerlukan kita menjadi tegas dan berani maka sifat tersebut akan muncul. Di masa-masa lain kita latih diri menjadi muslimah yang tenang, lemah-lembut, penuh senyuman, mesra, pemurah dan seumpamanya sesama kita dan kena pada tempatnya.

InsyaAllah barulah selari antara penampilan dan perlakuan kita. Moga terhindarlah fitnah dan cerca orang terhadap penampilan kita. Allahu'alam.


KakChik Niza
ps: Maafkan salah silap kerana kakchik menulis tanpa merancang. Apa yang ada di minda kakchik tuliskan bersama sedikit pertimbangan.

10.12.12

Clearance Sale di Abaya Elegan

Bismillahirrahman nirrahim.
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Sedikit khabar gembra untuk peminat abaya.
InsyaAllah butik online kakchik, Abaya Elegan akan mengadakan jualan penghabisan stok.
Clearance Sale ni maklumatnya ada di bawah.



28.11.12

Salam Selamat Pagi :)

Bismillahirrahmanirrahim. 

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam pagi ceria :)
 





Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang masih mengizinkan kita menikmati penggunaan internet pada hari ini untuk mencari kebaikan dan menyebarkan kebaikan. 


Semoga apa yang kita lihat, apa yang kita tulis, apa yang kita baca, apa yang komen, apa yang kongsikan, apa yang kita perkatakan, apa yang kita sokong, apa yang kita benci, apa yang kita diamkan, apa yang kita marah, apa yang kita ketawa, apa yang kita sedih, apa yang kita 'like' dan apa jua yang kita buat dalam dunia maya internet atau di dunia nyata alam ini, segalanya adalah tindakan-tindakan yang berdasarkan niat yang murni, demi keredhaan Ilahi. 

Salam kaya dan berjaya dunia akhirat.


Salam sayang,
KakChik Niza
Baiti Jannati, Kg. Pulau Melaka

24.11.12

Kisah Kakchik Ke Shah Alam.

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

SENYUM (^____^)
Hehehe kena senyum dulu baru dapat menulis blog. Tau-tau ajelah kakchik ni makin lama makin slow meng'update' blog kesayangan ni. Banyak masa di fesbuk sekarang ni. Tapi setiap hari pun terasa nak menulis sesuatu. Banyak yang nak diluahkan tapi Allah tak izin juga.

Hari ni sebelum nak bertukar syif kerja di lobi perpustakaan ni, kakchik akan cuba tulis blog. Mana yang ada dalam kepala kakchik akan tulis je.

Di Shah Alam Convention Centre, SACC untuk RIMKK

Seminggu yang lepas kakchik ke Shah Alam. Hadir Reunion IMKK bersama Mentor bisnes kakchik, Dr Azizan Osman. Suami tak ikut sama sebab dia macam biasa, sibuk dengan kerja-kerjanya. Tapi jangan risau ya, kakchik pergi dengan izin dia selepas dia pasti ada orang yang akan ambil kakchik.

Nak jadi cerita, abang ngah yang diharapkan mengambil dan menumpangkan kakchik di rumahnya telah ke Kuching, Sarawak, huhuhu. Oleh kerana hati dah bulat nak pergi RIMKK dan selepas solat dan doa, kakchik yakin dan berani sendirian ke Shah Alam tu. 

Inilah sahabat yang sudi bersusah-payah untuk kakchik semasa di Shah Alam.
Anak-anaknya sangat comel dan keletah.

Tiket kapalterbang kakchik batalkan dan cepat-cepat cari tiket bas. Kenapa nak tukar tiket? Dari naik kapalterbang jadi naik bas? Begini... kalau nak flight, malam tu dah sampai di airport Subang, masalahnya takde orang yang nak datang ambil. Suami risau kakchik dok sorang-sorang kat situ. Jadi pilihannya ialah naik bas malam dan sampai pagi esoknya, terus ambil teksi ke SACC, tempat reunion tu.

Suasana Dewan KTC semasa muktamar dewan muslimat.

Siang hari 16/11 tu kakchik sibuk di tempat muktamar, bertugas di bahagian IT macam biasa. Sempatlah kakchik update status kat fesbuk pasal kakchik akan ke Shah Alam malam tu. Alhamdulillah... ada seorang sahabat yang baik hati, telah bagitau seorang sahabat yang lain pasal kakchik sendirian sampai di Shah Alam. Kakchik tak tahu pun yang sahabat tu rumahnya di Shah Alam. Teruk kan? Dah beberapa tahu berkawan masih tak tahu sahabat sendiri tinggal di situ.

Isyk...isyk..isyk....

Ringkas cerita, alhamdulillah sahabat yang sorang ni sudi nak ambil kakchik di stesen bas seksyen 17 dan tumpangkan kakchik di rumahnya. Allah ni sangat kasihan kat kakchik kan? Dan Dia telah mentakdirkan kakchik punya ramai sahabat yang baik hati dan sangat ikhlas menolong walaupun mereka juga punya tugas dan tanggungjawab sendiri. Ke sana-sini dia tolong kakchik. Tak tahulah sama ada kakchik boleh buat sama seperti dia atau tak jika dia ke KB.

Selepas Seminar VIMT di D'TAHA, Kelana Jaya.

Dalam pada sibuk dengan reunion dan keesokannya ada seminar penggunaan video dalam pemasaran internet di Kelana Jaya, Allah telah izinkan kakchik bertamu di rumah sahabat pertama yang tahu pasal kakchik ke Shah Alam. Kakchik yakin sangat sahabat inilah yang telah melaporkannya kepada sahabat yang di Shah Alam tu hehe. 

Syukur dan gembira yang amat kerana bila ke Bukit Damansara tu, bukan seorang je sahabat yang kakchik dapat jumpa malah 5 orang termasuklah adik kepada salah seorang sahabat kakchik. Mereka ni semuanya kakchik kenal dan bersahabat melalui fesbuk. Tengok, fesbuk ni banyak yang positifnya jika kita cari yang positif kan?

Seronok jumpa sahabat kesayangan.

Sembang-sembang, makan-makan dan ambil gambar pastilah aktiviti wajib bila bertemu. Bila dah balik ke KB ni kakchik selalu juga membelek-belek gambar-gambar ketika bersama mereka. Rindu pada sahabat-sahabat yang jauh. Kalaulah mereka pula boleh berkunjung ke KB kan?

Sebut pasal seminar video atau Seminar VIMT tu, kakchik sebenarnya buat tindakan adhoc menyertai program tu. Dah lama teringin nak join tapi kali ni memang kakchik 'fast action fast result' sungguh. Ye lah, dah datang dari jauh ni elok penuhi jadual dengan aktiviti berfaedah kan. Manfaatnya bukan pada bisnes kakchik je malah boleh guna untuk jemaah juga.

Sejak balik ni, video blog pertama kakchik masih belum siap. Setiap hari kakchik tengok rakan alumni yang sama-sama ke seminar, kongsikan hasil mereka. Segannya... tapi takpe, vlog kakchik mesti siap juga hari ni dan dapatlah kakchik kongsi dengan Coach serta rakan alumni yang lain. Bertatih nak praktis ilmu yang dipejari. Orang kata, sibuk macamana sekalipun, mesti buat juga sampai siap dengan baik. Jangan hangat-hangat taik ayam je. Kan?

Ni kakchik tengah menggodek-godek draf vlog kakchik la ni. Guna software Sony Vegas Movie Studio Platinum. Mesti siap hari ni. Mesti!

21.11.12

Salam Perjuangan! Pesanan Syeikh Ahmad Yasin kepada para Pemuda dan Pemudi

BISMILLAH




Pesanan Syeikh Ahmad Yasin kepada para Pemuda dan Pemudi :

☛ Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kamu. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.

☛ Aku menyeru kamu wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.

☛ Para Pemuda, aku ingin kamu menyedari dan menghayati makna tanggung jawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kamu untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kamu. Aku menyeru kamu supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda. 

☛ Aku ingin kamu tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kamu tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.

☛ Wahai Puteriku , aku ingin kamu berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kamu berjanji kepada ALLAH bahawa kamu akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kamu, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kamu. Haram hukumnya bagi kamu untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.

Perkongsian ini kakchik salin dari fesbuk Ustaz Roslan Mohamed

2.11.12

AMALAN-AMALAN SUNAT HARI JUMAAT


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

[Perkongsian Ilmu]


CHECKLIST AMALAN-AMALAN SUNAT HARI JUMAAT:

✔ Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah saw
✔ Membaca Surah Al-Kahfi
✔ Mandi sunat hari jumaat bagi mereka yang akan memunaikan solat jumaat
✔ Memperbanyakkan berdoa di sepanjang hari jumaat.
✔ Memperbanyakkan membaca Al-Quran
✔ Memperbanyakkan amalan bersedeqah
✔ Memperbanyakkan amalan sunat
✔ Memotong kuku kaki dan tangan
✔ Memperbanyakkan zikrullah
✔ Memakai pakaian sunnah
✔ Memakai wangi-wangian
✔ Hadir awal ke masjid

Rasulullah bersabda yang maksudnya :

“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jumaat juga akan terjadinya hari Kiamat”.

(HR Ibnu Majah)

~ Ustaz Don Daniyal
~ via fesbuk Tanyalah Ustaz

1.11.12

APA MAKSUD DAKWAH?

BISMILLAH

Ape maksud DAKWAH?




Ajak orang BUAT BAIK..

Bila ajak orang buat baik..
Tak ada syarat kena pakai kopiah, serban..
Tak ada syarat kena pakai jubah, serbah putih..
Tak ada syarat kena duduk atas meja baca kitab, buat jemaah dan sebagainya.

Ajak orang buat baik TERLALU LUAS,
Sekarang ini lebih luas dengan INTERNET..
Buka BLOG,
Buka WEBSITE,
Buka TWITTER,
Buka FACEBOOK,

Bila dia BERDAKWAH, orang tertarik jadi suka pada ISLAM..jadi PERBUATANNYA itu BERPAHALA di sisi Allah..♥♥








Sumber: Fesbuk

30.10.12

Bertemu Sahabat dari Canada

BISMILLAH.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Moga-moga semua yang sudi membaca blog kakchik ni akan mendapat berkat dari Allah SWT. 

Bila lama tak menulis blog ni terasa agak kekok pula hehe. Sebab itu orang tua-tua kata "practice makes perfect" barulah lancar dan laju je menaip kan? 

Kakchik tak naklah sentuh cerita-cerita lama walaupun rasa macam banyak yang boleh dikongsikan dengan kalian. Tapi biarlah kakchik cerita tentang apa yang berlaku hari ni. Lagi terkini berbanding cerita minggu lepas atau semalam.

Hari ni, ada banyak perkara telah berlaku dan menjadi sejarah hidup kakchik. Tapi sejarah yang ini adalah sejarah yang amat sukar untuk dilupakan kecuali Allah buat kakchik hilang ingatan, na'uzubillah.


Yey! Allah izinkan kakchik bertemu dengan teman blogger yang datangnya beribu batu. Nuuuuuuun jauh dari bumi Canada. Kami sudah kenal melalui blog KakChik's Wardrobe sejak tahun 2008 lagi.

Mula-mula kenal dulu kakchik hanya tau beliau seorang saudara Islam dari Canada. Oleh kerana kami selalu saling jenguk-menjenguk blog masing-masing dan berinteraksi, hubungan kami di alam maya menjadi agak rapat.

Kemudian kakchik dapat tahu yang beliau berkahwin dengan orang tempatan. MashaAllah... orang Kelate je. Makinlah dekat beliau di hati kakchik.

Dari blog hubungan kami dieratkan lagi melalui email membicarakan beberapa isu terutama dakwah, Islam dan Kelantan. Beliau sangat aktif menulis kalau nak dibandingkan dengan kakchik. Kalau tak percaya, cuba singgah tengok blognya di Old Muslim Woman in the Shoe.

Kakchik rasa malu sebab kawan kakchik ni jauh lebih bagus ilmu agamanya berbanding dengan kakchik yang lahir dalam Islam. Beliau menemui Islam di usia remaja. Kakchik bangga dipilih Allah untuk menjadi kawan beliau.

Impian untuk bertemu teman blogger tak kira siapa sentiasa ada dalam hati kakchik. Tak disangka Allah izinkan kakchik jumpa kawan yang sangat jauh yang kakchik tak terfikir akan berpeluang menemuinya. Alhamdulillah.

Seronok tak terkata. Jumpa di pizzahut Pengkalan Chepa dari jam 2.30 petang, sambil makan sambil bersembang macam-macam hal. Rasa sedih mendengar kisah awal perkahwinan beliau yang tidak mendapat restu keluarga kerana berbeza bangsa. Bangga dengan keteguhan iman beliau hidup secara Islam di dalam komunita yang 99.9% adalah bukan Islam.

Kakchik bangga dan rasa sangat bertuah. Semoga ukhuwwah antara kami berkekalan hingga ke akhir hayat.


KakChik Niza
Baiti Jannati, Kg. Pulau Melaka

26.10.12

PERKONGSIAN: Kisah seorang manusia tak guna.

BISMILLAH.

Selamat hari raya Aidil Adha.....


Alkisah seorang manusia ‘tak guna’

"Ustaz, ana rasa ana tak guna. Apa pun tak tahu… tak tahu datang dunia ini buat apa,” kata seorang pemuda di kampung….

“Apa kerja enta?” tanya ustaz tersebut…

“Malu nak cerita… tapi kerja yang hina, tak perlu guna otak, tak ada skil, rezeki kais pagi makan petang je…” jawab pemuda itu…

Melihat pemuda itu yang hilang semangat terhadap hidup dan kerjanya… ustaz tersebut menyuruh pemuda tersebut mengikutnya untuk berjalan di sekitar kampung….

Sambil berjalan, ustaz tersebut pun bercerita…

“Lihat matahari di atas… Allah pastikannya timbul tiap subuh dan terbenam setiap senja. Dalam tempoh tersebut, manusia kadang-kala merungut berkata panas, kulit sakit….

Tapi rumput-rumput di bawah ini – tak merungut… mereka perlukan cahaya untuk membuat makanan daripada apa yang diserap daripada tanah….

Mengapa rumput perlu buat makanan?

Kalau tak, daun dia tak tumbuh, lembu-lembu dan kambing-kambing akan kelaparan….

Bila lembu-lembu kelaparan, manusia hilang sumber protein lak pulak…

Allah tak cipta semua benda hidup boleh guna cahaya matahari dengan terus… cahaya matahari sumber tenaga universal… lepas itu Allah cipta benda hidup yang boleh menggunakan cahaya matahari untuk membuat makanan sendiri… seperti rumput.

Lepas itu, Allah mencipta benda hidup yang boleh memanfaatkan makanan yang dibina rumput… seperti lembu dan kambing…

Dalam lembu dan kambing ini, Allah wujudkan sistem, makan rumput, dapat bina daging, susu dan juga hasilnya najis….

Manusia pula menggunakan lembu dan kambing sebagai sumber makanan. Manusia tak makan rumput… manusia tak dapat guna cahaya matahari untuk hasilkan makanan daripada badan sendiri… Allah ciptakan setiap satu dengan peranan yang unik….

Faham tak cerita yang ustaz nak sampaikan?”

Pemuda itu melihat pada ustaznya, “Maksud ustaz ialah setiap perkara yang Allah letak di universe ini ada tujuannya dan tidak sia-sia….”

Ustaz itu tersenyum, “Jadi apa kerja enta?”

Pemuda itu tersenyum lalu memberitahu ustaz tersebut dia perlu beredar kerana banyak kerja yang Allah tinggal untuk dia belum siap.

Sebelum beredar, pemuda itu memeluk ustaz tersebut… ustaz tersebut membisik padanya, “Mungkin masa ini anta tak tahu apa tujuannya… tapi percayalah Allah tidak akan utuskan enta buat kerja sia-sia… asalkan enta rajin dan bertaqwa, Allah akan membuka jawapannya…”

Akhirnya, pemuda tersebut berubah dari seorang pengutip najis binatang ternakan menjadi pengeluar baja terkemuka di kampungnya…

Dapat isi tersirat?

Senyum.


Disalin dari fb Dato' Tn. Ibrahim Tn. Man

23.10.12

KITA DAN KETAKUTAN KITA.


Tulisan untuk menganalisa diri sendiri.

Kita dan ketakutan kita.

Kita takut akan masa depan anak-anak kita.
Kita takut akan disaman.
Kita takut akan bankrap.
Kita takut akan tiada nasib baik.
Kita takut akan tiada kereta.
Kita takut orang akan membalas dendam.
Kita takut sahabat akan salah faham terhadap kita.
Kita takut polis akan menangkap kita.
Kita takut akan kemalangan.
Kita takut akan kehilangan ibubapa.
Kita takut akan kegagalan.
Kita takut akan masa depan.
Kita takut akan kehilangan kerja.
Kita takut bagaimana suami atau isteri kita akan melihat kita.
Kita takut akan mengalami tiada duit.
Kita takut rumah kita akan dirompak.
Kita takut akan bagaimana orang lain melihat kita.
Kita takut akan ada orang yang ingin merompak kita.
Kita takut akan terkena penyakit.
Kita takut akan gagal dalam peperiksaan.
Kita takut akan orang sedang mengumpat kita.
Kita takut akan ‘apa yang bakal berlaku seterusnya.’
Kita takut akan terhutang budi pada seseorang.
Kita takut akan terlupa membayar cukai.
Kita takut akan kehidupan.
Kita takut akan kematian.

Adakah kita sedang hidup dalam ketakutan?

Adakah kita sedang mencipta ketakutan pada orang lain?

Apakah hidup kita hanya ada ketakutan?

Tapi yang paling penting ialah ini –

Ramai manusia yang takut akan kehilangan ‘ketakutan’ yang disenaraikan di atas.

Tapi ramai yang tidak takut akan Allah akan menghukum kita.
Ramai yang tidak takut akan banyak dosa yang kita pernah lakukan.
Ramai yang tidak takut akan pergi ke neraka.
Ramai yang tidak takut akan kemarahan Allah kerana gagal melawan kemungkaran.

Apakah anda ingin meneruskan keadaan hidup sedemikian?
Jika tidak, mengapa kita sedang mencipta ketakutan duniawi pada anak-anak dan juga orang-orang keliling kita?

Untuk renungan dalam. Perlu dibaca beberapa kali untuk faham.

Senyum.

Maaf panjang, (tahu ramai yang malas membaca, walaupun membaca ialah pintu kepada ilmu). Senyum lagi.


Disalin dari fb Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

18.10.12

9 FORMULA KEJAYAAN DALAM PERNIAGAAN

BISMILLAH


Ketiga: "Bootstrap"


Ramai orang yang beranggapan bahawa untuk berniaga, anda perlukan modal wang permulaan yang besar. Terus-terang saya katakan bahawa anda tidak semestinya bermula dengan modal yang besar, malah ramai peserta program-program keusahawanan saya yang memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan dengan tanpa modal atau dengan modal yang paling minima terlebih dahulu sehingga mereka benar-benar yakin untuk membesarkannya. Teknik memulakan perniagaan tanpa modal ini dipanggil sebagai "Bootstrap". 

Anda mulakan dengan apa sahaja yang anda ada. Anda gunakan apa sahaja bakat, minat atau kemahiran yang anda ada untuk ditawarkan kepada mereka yang perlukannya. Atau ramai yang bermula dengan menjual produk atau perkhidmatan orang lain terlebih dahulu untuk menimba pengalaman serta mengumpulkan modal. 

Teori kisah Mat Jenin adalah sangat berguna untuk diambil iktibar. Mulakan dengan mengambil upah panjat kelapa, kemudian duit upah itu digunakan untuk membeli ayam, bila ayam bertelur, jual telurnya di pasar, kemudian kumpul duitnya sehingga cukup beli kambing, selepas bela kambing, jual susunya dan kemudian jual kambing sehingga dapat beli lembu, apabila telah mempunyai lembu, perah susunya dan jual sehinggalah satu hari nanti lembu semuanya boleh dijual dan Mat Jenin menjadi kaya.... Masalah yang ada dalam kisah Mat Jenin adalah, ianya adalah angan-angan sahaja tanpa tindakan. 

Tetapi, kita boleh ambil iktibar kaedah "Bootstrap" yang digunakan serta kesabaran juga amat penting selain daripada sentiasa bersedia untuk memperbaiki diri.

Disedut dari fesbuk Alumni atau Bakal Alumni Program Dr.Azizan Osman

17.10.12

9 FORMULA KEJAYAAN DALAM PERNIAGAAN

BISMILLAH


Kedua: Kenalpasti apakah masalah yang boleh diselesaikan dengan menggunakan produk atau perkhidmatan berkualiti tinggi yang bakal anda berikan?


Ya. Ini adalah sebab kenapa ramai usahawan terutamanya usahawan baru gagal memasarkan produk atau perkhidmatan mereka dengan berkesan. Ramai usahawan yang saya jumpa bila ditanya, apakah masalah kritikal yang dihadapi oleh ramai orang yang menyebabkan mereka sangat memerlukan produk atau perkhidmatan anda? Ramai usahawan ini tidak mampu menjawabnya atau mereka menjawab tanpa keyakinan yang tinggi sehingga mereka tidak mampu meyakinkan saya sebagai pelanggan untuk menggunakan produk mereka, sedangkan produk mereka sebenarnya berkualiti tinggi.

Sebab itu amatlah penting untuk anda mengenalpasti sebanyak mungkin masalah yang boleh diselesaikan lantaran menggunakan produk atau perkhidmatan yang anda berikan. Contoh, sekiranya anda menjual karipap panas berintikan daging serta kentang diwaktu petang dan ianya memang sangat sedap. Masalah yang anda boleh selesaikan ialah anda menyelesaikan masalah mereka yang ingin minum petang berbekalkan karipap panas dikawasan-kawasan pejabat bukan? Anda juga menyelesaikan masalah isteri-isteri yang ingin menghidangkan karipap panas sedap untuk anak-anak mereka serta keluarga diwaktu petang dikawasan-kawasan perumahan. Anda juga menyelesaikan masalah mereka yang rindu karipap panas masakan ibu mereka dikampung. 

Lebih banyak masalah yang anda boleh kenalpasti yang bakal anda dapat selesaikan dengan produk atau perkhidmatan anda, maka lebih mudah anda akan dapat pasarkannya serta lebih yakin orang dengan anda.

Disedut dari fesbuk Alumni atau Bakal Alumni Program Dr.Azizan Osman

16.10.12

9 FORMULA KEJAYAAN DALAM PERNIAGAAN

BISMILLAH.


Pertama: Matlamat Perniagaan & Peribadi Yang Jelas


Sebelum anda mula berniaga, anda perlu jelas dengan apakah sebab utama anda ingin memulakan perniagaan tersebut? Kenapa anda ingin berniaga? Apakah yang anda inginkan daripada perniagaan tersebut? Apakah matlamat peribadi yang anda ingin capai dengan menggunakan perniagaan tersebut sebagai alat? Apakah impian anda? Adakah anda lakukannya untuk orang-orang yang anda sayangi? 

Kebanyakan mereka yang berjaya di dalam perniagaan adalah mereka yang pada asalnya mempunyai matlamat yang jelas tentang kenapa mereka mahu mulakan perniagaan tersebut. Dan ramai juga yang bermula dengan tidak menyangka yang ianya akan menjadi perniagaan yang berjaya tetapi mereka mempunyai matlamat peribadi pada asalnya yang mereka ingin capai. Contohnya, Warren Buffet, salah seorang billionnaire dunia, lebih 35 tahun dahulu beliau bermula hanya daripada minat beliau terhadap produk-produk baru yang ada dipasaran dan menyebabkan beliau suka untuk membeli saham-saham yang ditawarkan oleh syarikat pengeluar produk-produk tersebut dan akhirnya semua saham yang beliau beli meningkat beratus ribu kali ganda berpuluh tahun kemudian. Mark Zuckerberg bermula dengan matlamat peribadi untuk mengenali ramai gadis-gadis di universitnya dan akhirnya terciptalah satu sistem internet yang dipanggil "Facebook". Ada sesetengah jutawan peserta program saya yang bermula daripada tanpa wang atau sedikit wang di dalam poket mereka tetapi disebabkan mereka bermatlamat untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada orang yang mereka sayangi, maka mereka mulakan perniagaan tersebut.

Kenapa matlamat yang jelas ini penting? Selain daripada ianya dapat membantu anda untuk mempunyai fokus yang anda ingin capai, ianya adalah lebih penting dikala anda berdepan dengan cabaran ataupun halangan di dalam perniagaan anda supaya anda akan sentiasa ingat, kenapa anda mulakan perniagaan tersebut dan untuk apa atau untuk siapa serta kenapa anda perlu buat sehingga berjaya.

Tuliskan dengan jelas apakah matlamat yang anda ingin capai serta tarikh ataupun tempoh bila anda mahu merealisasikan matlamat tersebut.

Disedut dari fesbuk Alumni atau Bakal Alumni Program Dr.Azizan Osman
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs