Followers

30.7.11

Jom Nikmati Puasa Ramadhan di Qaryah Ramadhan Kelantan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Mohon maaf sangat-sangat dari semua teman-teman kerana kakchik tidak dapat melayan email, mesej dan komen yang ada sejak beberapa hari lalu. Kesihatan kakchik sangat kurang bak sekarang ni. Semalam demam kebah sebentar tapi menghala ke petang ia kembali kuat hinggalah sekarang ni.

Kakchik tak mampu nak lama-lama di internet.

Malam ini hanya nak kongsikan video ini sebagai sedikit usaha kakchik mengajak masyarakat menikmati Ramadhan di Kelantan.



SELAMAT BERPUASA UNTUK SEMUA!
MOHON MAAF ZAHIR DAN BATIN.

29.7.11

Menulis surat dengan tangan

Assalamualaikum dan salam Jumaat kepada semua teman-teman pembaca.

Hari ni hari Jumaat yang sangat redup sekali. Nampak seakan-akan mahu hujan tapi langit sekadar mendung saja dari Subuh tadi. Sekarang masa sudah melebihi jam 11 pagi suasananya masih sama, redup. Alhamdulillah... cuaca begini memang sesuai sangat bagi kakchik yang mahu berehat-rehat saja di rumah. Perancangan asal mahu ke program keibubapaan bersama Wardina Safiyyah terpaksa dibatalkan kerana demam baru kebah dan kepala yang masih lagi pening-pening.

Sumber: Google

Pagi ni kakchik nak kongsi sedikit tentang satu keupayaan fizikal yang semakin sukar nak dilakukan sejak penggunaan komputer menjadi berleluasa iaitu menulis menggunakan jari-jemari. apa yang kakchik maksudkan di sini ialah menulis dalam jumlah yang banyak. Misalnya menulis surat, kertas kerja, rancangan perniagaan, minit mesyuarat dan sebagainya. Sejak ada komputer ni boleh dikatakan kakchik sudah sangat kurang menggunakan jari-jemari untuk menulis. Apa yang kakchik buat ialah menggunakan jari-jemari untuk mengetuk papan kekunci.

Nak jadi cerita, beberapa hari lepas kakchik rasa nak menulis sepucuk surat secara konvensional yakni menggunakan dakwat pen dan pastinya tanganlah yang melakukan kerja. Ya Allah, sebaik menulis beberapa baris ayat saja jemari kakchik sudah merasa tegang dan sedikit sakit. Adakah ini kesan penggunaan komputer? Kemungkinan yang besar kerana kakchik boleh menaip dengan agak laju di papan kekunci tapi bila nak menggunakan otot-otot tangan terasa seperti cepat sangat lenguhnya.

Orang lain pula bagaimana? Ada pengalaman yang sama dengan kakchik ke? 

26.7.11

Cerita Bergambar: Ummi dan Ayah Pergi Umrah

Tarikh: 25 Julai 2011
Masa: 7 - 9 pagi
Tempat: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

MH1385 KUALA LUMPUR, 09.15

Cik abe yang turut bertugas.

Ummi dan Ayah bersama Adik dan Kakak.

Sembang-sembang sebelum mereka masuk Balai Berlepas.

Menuju balai berlepas.

Amni bersalam dengan Tok Ayah.

Menanti jemaah lain masuk ke balai berlepas.

Kami berdua bersama Ummi dan Ayah.

Semoga selamat perjalanan Ummi dan Ayah.

Sirru ala barakatillah.

Refleksi Diri Orang Yang Emosi

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Syukur alhamdulillah hari ni kita masih lagi diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk bernafas, menikmati nikmat nyawa atas rahmatNya. Marilah kita sama-sama berusaha agar hidup kita pada hari ini adalah jauh lebih baik berbanding semalam. Semoga segala keburukan yang telah kita lakukan semalam, kita cepat-cepat insaf, taubat dan mohon kemaafan kepada pihak yang sepatutnya dengan harapan kita tidak merasa terbeban sepanjang hidup kita di dunia mahupun di akhirat.

Hari ni masuk hari pertama Umi dan Ayah berada di Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah umrah.  Mereka sampai di sana jam 3 pagi (waktu Malaysia) Semoga mereka berdua akan dapat melaksanakan segala rukun dengan tubuh-badan yang sentiasa sihat dan segar walaupun kakchik dikhabarkan yang cuaca di sana agak panas sekarang ni. InsyaAllah dengan rahmat dan inayahNya, ibu bapa kakchik mampu menempuhi ujian cuaca yang panas begitu.

Takdir Allah, malam tadi bekalan elektrik tiba-tiba saja terputus lebih kurang dalam jam 9 malam macam tu. Rumah kakchik, rumah Umi/Ayah dan rumah kakak, semuanya bergelap hinggalah ke Subuh pagi tadi. Kesian pula kat anak-anak saudara kakchik terutama Emran yang tidak sihat sampai muntah-muntah, Adelia yang demam dan yang lain-lain terpaksa cuba lelapkan mata dalam keadaan yang agak panas. Tapi yang ada yang bagus bila elektrik takde ni, semua orang dapat berehat/tidur lebih awal daripada biasa termasuklah kakchik.

Pagi tadi sebelum ke pejabat sempatlah juga kakchik cek email dan mesej di facebook sambil membalas mana yang sempat. Ingatkan bila sampai di pejabat ni kakchik dapatlah menyelesaikan beberapa urusan secara online seperti membayar bil, membayar ansuran kereta, membayar hutang, refund duit pelanggan dan macam-macam lagi. Sayangnya talian internet di perpustakaan pula rosak. Entah apa yang rosak kakchik pun tidak tahu. Dah laporkan, disuruh tunggu hingga petang untuk lihat hasilnya. Jadi, kakchik menulislah dulu menggunakan Word Document ni.

Bila dinilai keadaan-keadaan ini, kita akan sedar bahawa, ciptaan manusia memang ada banyak kelemahannya. Bekalan elektrik terputus berjam-jam, mungkin ada masalah pada pendawaian, ada gangguan semasa kerja-kerja membaiki jalan di kawasan berdekatan, boleh jadi ada cicak mati di dalam kotak suis (selalu juga berlaku kepada CPU), dan macam-macam kemungkinan lagi. Begitu juga dengan talian internet kami. Mungkin stesyen pemancarnya rosak, mungkin modem kami rosak (baru saja ditukar awal Jun lepas), mungkin kami belum bayar bil (insyaAllah dah bayar ya), mungkin wayar terputus dan segala macam mungkin lagi.

Hakikatnya kerja-buat manusia ada kelemahan, tiada yang sempurna. Sebab itulah kita ni tak boleh nak angkuh dengan sedikit kelebihan yang kita ada. Kena sentiasa jadi manusia yang ‘humble’ walaupun kita mungkin berjawatan tinggi, dipanggil orang Tuan atau Puan, kadang-kadang tu dilayan berlebih-lebihan kerana kedudukan kita. Tapi, kita Cuma manusia, hamba yang hina di sisi Allah SWT. Kita kena selalu sedar yang segala kelebihan yang Allah pinjamkan itu dalam sekelip mata saja Dia boleh tarik balik. Bimbang bila ditarik segala nikmat kedudukan dan kelebihan, jatuh kita berdebak, malu dan terhina.

Jadi, janganlah angkuh dengan kelebihan diri yang sikit itu. Jangan takabbur dengan kemampuan diri boleh ke mana-mana sesusak hati dengan kapal terbang. Jangn memandang hina pada orang lain yang buruk pakaiannya. Jangan memandang jijik pada orang yang meletakkan agama di depan dan dunia di belekang. Jangan menunjuk-nunjuk segala perhiasan yang ada di badan. Jangan berbangga-bangga bila kita mampu hidup mewah di dunia. Marilah kita beringat, apapun keadaan hidup kita, ingatlah semuanya adalah dari Allah. Kita hanya peminjam yang perlu mengembalikan semuanya dalam keadaan yang sebaik-baiknya.

Ingat! Jangan lupa.

25.7.11

Perempuan memang emo.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Kakchik doakan semuanya dalam keadaan sihat sejahtera dan kalau sudi, doakanlah agar kesihatan kakchik juga lekas kembali ke tahap normal. Bulan ni semacam bulan hati berdukacita saja. Ada-ada saja perkara yang menyebabkan hati jadi sebak dan jiwa terasa sesak. Alhamdulillah masih diizinkan Allah untuk bernafas, untuk hidup agar kakchik mampu usahakan sesuatu untuk mengubati kemurungan ini. 

Sangat emosi tapi masih cuba dikawal sebaik mungkin. Malu pada orang tapi kuatkan juga demi masa depan. Duhai jiwa, ingatlah yang setiap kebuntuan insyaAllah ada jalan keluarnya walaupun pahit,, walaupun payah, walaupun memalukan. Hanya mati saja yang tidak mampu dihalangi oleh usaha diri. 

Moody.

Hanya dengan diri sendiri, tidak dengan orang lain. 

Menangis.

Biarlah sendirian saja asalkan tidak dilihat orang, asalkan yang dilihat orang ialah wajah yang ceria dan diri yang sentiasa positif.

Sebu.

Beratnya di dalam dada, saban waktu terasa seperti maut menanti di tepian, menunggu masa untuk mengambil nyawa.

Sedih.

Sebab masih banyak yang perlu diselesaikan. Tidak mahu mati dalam keadaan diri masih berhutang. Hutang material mahupun hutang spiritual. 

Banyak sungguh perasaan negatif yang sudi berkunjung di kala diri sedang lemah semangat. Kalau boleh mahu saja berlama-lama di sejadah, meluahkan perasaan pada yang Satu. Hanya Dia yang memahami. Hanya Dia yang mampu meleraikan kekusutan dalam diri. Hanya Dia yang menyelamatkan.

Cukup! Cukuplah emo sampai di sini. Sekarang, lekas ambil wudu' dan bersedia menghadap-Nya. Masa untuk meluahkan perasaan.

23.7.11

Jauhkan diri dari malas

Hari Hiburan Islam di Kelantan

Poster program.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ni kakchik sekadar nak kongsikan poster ini. Nampaknya tahun ini pihak Kerajaan Negeri nak tayangkan filem 'Dalam Mihrab Cinta' kepada rakyat negeri ini. Seorang sahabat telah menontonnya semalam, dia kata filemnya bagus. Allahua'lam. Kakchik rasa di internet pun ada videonya kalau rajin dicari tapi kakchik memang malas nak tengok filem sekarang ni.

Yang menarik perhatian kakchik ialah program 'Bicara Selebriti' yang menampilkan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Pn. Wardina Safiyyah Fadlullah, Sdr. Sham Kamikaze, Ust. Hasrizal Mohd Jamil dan Sdr Amin Idris. Di ambang Ramadhan ni ada pula program begini, kena tengok sama ada cik abe nak pergi atau tidak. Kalau dia ajak, kakchik insyaAllah akan ikut.

Tahun lepas Kerajaan Negeri tayangkan filem 'Ketika Cinta Bertasbih 1 dan 2' dan kakchik ada menontonnya bersama cik abe. Bagi kakchik filem itu bagus dan banyak menitik-beratkan soal hukum-hakam Islam walau masih sedikit-sebanyak yang masih boleh dibaiki. Negeri kami tiada panggung wayang dan kakchik suka ia kekal begitu. Jika nak tengok filem dalam suasana yang terkawal, ok juga dianjurkan oleh agensi Kerajaan Negeri seperti yang pernah dibuat itu.

Filem-filem yang bagus dari tanah seberang memang agak banyak, sayangnya Kerajaan Malaysia melalui Finas tidak melulus-tayang filem-filem tersebut di pawagam Malaysia. Sayang sekali. Kalau filem-filem tidak bermoral seperti KL Gangster tu boleh pula diluluskan walhal filem yang begitulah menjadi sumber perosak anak-anak bangsa beragama Islam.

Pelik.

22.7.11

Belum buat ulasan Tahajud Cinta.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Agaknya inilah novel yang menjadi inspirasi drama ini.
Sumber: RumahBukuIslam.com

Entah kenapa kakchik masih tidak dapat nak betul-betul meluangkan masa menonton drama Tahajjud Cinta demi menulis sebuah ulasan berdasarkan pandangan kakchik sendiri. Pandangan orang lain memang sudah terlalu banyak dan jenuh dikongsikan di ruangan laman sosial facebook. Sudah dua kali cuba untuk menonton, kedua-dua kali hanya sempat separuh jalan sahaja dan masih dalam episod pertama. 

Kakchik memang susah betul nak tengok drama atau filem Melayu. Tak dapat nak bagi alasan yang munasabah tapi memang payah. Sementelah tv hampir sepanjang masa lapang yang kakchik ada, ia sedang digunakan oleh cik abe untuk kerja-kerja berita sukannya. Jadi kakchik pilih untuk menontonnya di youtube tapi baru tengok beberapa minit, mulalah ada gangguan. Mengantuk, rasa letih, rasa malas nak tengok, dan macam-macam. Akhirnya kakchik tutup.

Mood tak datang.

Rasanya pandangan kakchik tak penting sangat pun kerana sudah ramai orang cerdik pandai yang menulis pandangan mereka. Bahkan di facebook tu siap ada laman rasmi membantah tayangan perdana drama TC ni. Kakchik tak perlu war-warkan pun kalian yang punya akaun facebook pasti ternampak ada teman-teman yang LIKE tanda sokong. Ehem, ada juga yang LIKE untuk masuk dan membangkang. Biasalah tu.

Susah kakchik nak duduk diam-diam dan menontonnya kerana mood tak datang. Lagi baik kakchik luangkan telinga dan masa kakchik mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an ataupun Asma ul-Husna. Betul. Kakchik dah cuba... tapi tak berjaya juga. Esok nak kerja dah, belum tentu dapat luang masa untuk menonton 2 episod kemudian menulis ulasan peribadi. Huhu.

Salah satu punca mood jadi kurang nak tengok ialah kerana gambar ini:

Sumber: FB Fazura

Oleh kerana kakchik belum betul-betul tengok ceritanya maka komen kakchik hanya setakat itu. Harap-harap bila kakchik berjaya menontonnya dengan hati yang lapang, kakchik mampu berikan ulasan yang bernas. Harap-haraplah bernas. Iyalah, siapalah kakchik nak komen drama orang ni. Hanya boleh beri pandangan berdasarkan sedikit ilmu yang ada saja.

Hingga itu, sabarlah dulu ya.

21.7.11

Alhamdulillah Telingaku Masih Mampu Mendengar

Alhamdulillah... terima kasih ya Tuhanku kerana Engkau masih izinkan telingaku mendengar.
Aku boleh mendengar laungan azan di subuh hari.
Aku masih mendengar deringan jam mengejutkan aku bangun dari tidur yang lena.
Aku masih mendengar panggilan suamiku agar bersegera mensucikan diri untuk mengadap-Mu.
Aku gembira mendengar kicauan burung yang riang di sekeliling rumahku.
Aku sayu mendengar Tok Guru mengajar di masjid kampungku.
Aku syukur ya Allah, kerana telingaku masih mampu mendengar.



Alhamdulillah... terima kasih ya Allah kerana Engkau masih rahmatiku dengan telinga yang sihat.
Aku mahu manfaatkan ia lebih banyak mendengar yang baik-baik berbanding yang buruk.
Aku mahu segera jauhkan ia dari mendengar umpat keji dan adu domba.
Aku biarkan ia mendengar hilai tawa dan gurau senda anak-anak kecil yang sering ke rumahku.
Aku rela ia mendengar merdu suara suamiku membaca ayat-ayat suci-Mu.
Aku redha telingaku mendengar bacaan ayat-ayat-Mu di radio, di tv, di vcd apatah lagi di internet.
Aku syukur ya Allah, kerana telingaku masih mampu mendengar.



Alhamdulillah...
Malam ini walau tidak lama, aku mahu sepasang telinga ini lebih banyak meluangkan masa
mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an
sepanjang aku melakukan beberapa kerja
semasa aku membalas mesej teman-teman
semasa aku berbual dengan suamiku
aku tetap mahu telingaku yang sepasang ini
sentiasa mendengar keindahan wahyu
kerana aku di saat ini tidak mampu membacanya.
InsyaAllah hanya untuk sementara saja.

Terima kasih Ya Rabb.


Nukilan spontan: HambaMu yang hina.

20.7.11

Suratku untuk suami Muslim yang mulia

Assalamualaikum dan salam kasih-sayang untuk semua.

Kakchik telah membaca terjemahan surat ini di blog Dr. Harlina Halizah Siraj sebentar tadi. Kakchik mohon izin dari Dr. Har untuk menerbitkan kembali terjemahan surat ini di dalam blog Keluargaku Sayang ini. Sama-samalah kita membacanya dan menghayati isi kandungan surat seorang Murshidul Am dari Ikhwanul Muslimin iaitu Dr. Muhammad Badi' yang diterjemahkan oleh Ustazah Maznah Daud.

Bismillah.

Assalamu’alaikum wr.wb.

Aku suka memanggil kamu dengan nama di atas. Ia bukan satu panggilan tradisi, sebaliknya ia satu panggilan yang disukai dan digemari Rasulullah s.a.w.. Aku akan beritahu kamu selepas ini dengan izin Allah, kenapa nama ini dipilih.

Adapun sebab aku menulis surat ini ialah beberapa aduan daripada akhawat anggota jamaah IM telah sampai kepadaku. Begitu juga aduan daripada akhawat yang bukan anggota IM. Meskipun aku rasa bertuah kerana diberi peluang hadir di muktamar akhawat yang diadakan beberapa minggu yang lalu di dewan muktamar University al-Azhar di bawah slogan: al-mar’ah al-Misriyyah… min athaurah ila an-nahdhah (Wanita Mesir.. dari revolusi kepada kebangkitan memajukan negeri), dan aku telah berbicara kepada mereka tentang kewajipan wanita di peringkat individu, keluarga dan masyarakat, tetapi kita mesti tahu bahawa di sana terdapat hak-hak mereka daripada lelaki yang merupakan tanggungjawab aku dan tanggungjawab kamu.

Sesungguhynya aku memilih untuk berbicara kepada kamu secara langsung, mengingatkan kamu peranan yang dipikulkan Allah ke atas bahu kamu, yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kamu ketika baginda berada di ambang kematian. Ia merupakan wasiat terakhir yang paling berharga pernah diungkapkan oleh orang yang berwasiat. 
Tuhan yang memiliki kebesaran berpesan kepada kamu supaya menjadikan hubungan kamu dengan isteri kamu bertunjangkan mawaddah dan rahmat, dibaluti kesedaran akan masuliah (pertanggungjawaban). Maka kamu adalah pengemudi bahtera keluarga. Kepimpinan kamu adalah kepimpinan yang berupa pertanggungjawaban, bukan penghormatan. Tuhan kamu berpesan supaya kamu jangan lupa kerana jika kamu lupa, kamu akan dilupakan. “… dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.” (Al-Baqrah:237). Al-fadhl ialah kamu memberi lebih banyak daripada kamu meminta, kamu mengambil hak kamu lebih sedikit daripada yang sepatutunya.

Dia berkata kepada kamu, bahawa kamu melindungi isteri, anak-anak daripada kemudaratan dan perkara yang membahayakan sama ada dari aspek kebendaan dan maknawi, juga usaha kamu membawa manfaat kebendaan dan maknawi kapada mereka merupakan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu kamu sejak mula dijadikan ayah kamu Adam dan ibu kamu Hawwa sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.” (Ta Ha:117)

Dan Rasulullah Musa a.s. telah merealisasikannya secara amali, sebagai mematuhi tuntutan Ilahi yang penuh dengan hikmah yang sangat mendalam maknanya “Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu: Penunjuk jalan.” (Ta Ha:10). Ayat ini mahu menyampaikan bahawa Musa seoalah-olah berkata kepada keluarganya: kamu tunggu di sini! Aku akan meninjau keadaan sekitar untuk mengelakkan kamu daripada bahaya dan perkara yang memudaratkan. Dan aku akan bawa kepada kamu perkara yang bermanfaat dari segi maddi dan maknawi.

Dan Allah juga telah menjadikan ikatan hubungan suami isteri ini dengan aqad yang kukuh yang diikat sendiri oleh kamu. Kamulah yang wajib memeliharanya. Allah akan menghisab kamu faktor-faktor yang menjadi ikatan itu kekal kukuh atau terburai “Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?” (an-Nisaa’:21)

Adapun kesalahan wanita atau keaiban mereka, ia seumpama keaiban kamu dan kesalahan kamu. Kedua-dua kamu perlukan kesabaran untuk merawatnya. Namun tali kekangannya tetap berada di tangan kamu agar kapal ini hanya dikemudikan oleh seorang individu sahaja. Urusan keluarga bukan tempat untuk berebut kuasa atau beradu tenaga untuk jadi ketua sabagaimana yang cuba dilakukan oleh musuh-musuh Islam dan musuh-musuh kemanusiaan untuk mencarikkan ikatan yang suci ini. Mereka cuba menyalakan api pertentangan antara lelaki dan perempuan dengan mengunakan setengah kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian suami dan mengaitkan kesalahan itu dengan sistem Islam, syariah rabbaniah yang telah meletakkan tanggungjawab kepimpinan di bahu lelaki, semua lelaki ke atas semua wanita, demi memelihara kesejahteraan masyarakat. 
Sesungguhnya al-Quran telah menyatakan dengan ringkas dan padat semua sistem-sistem yang diperlukan oleh manusia. Semua itu tersimpul di dalam beberapa ayat yang sangat ringkas. “Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), Dan siang apabila ia lahir terang-benderang; Demi Yang menciptakan (makhluk-makhlukNya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina); (Maksud al-Lail:1-3)

Malam dan siang, lelaki dan perempuan, saling bergandingan, lengkap melengkapi. Bukan berebut dan bersaing. Tiada kelebihan yang satu ke atas yang lain kecuali dengan melaksanakan peranan masing-masing.

Sebagai contoh, lihat isteri Firaun. Firaun mendakwa dirinya sebagai tuhan. Namun dakwaan itu sedikitpun tidak menjejaskan iman isterinya. Sebaliknya dua orang wanita lain yang menjadi isteri kepada dua orang nabi yang mulia, tidak mendapat apa-apa kelebihan di sisi Allah di sebabkan keingkaran mereka. Dan Maryam pula, seorang wanita solihah yang tidak bersuami. Jadi setiap individu mempunyai kedudukan tersendiri di sisi Allah. Ia dihisab secara berasingan daripada pasangan masing-masing. Setiap orang mempunyai masuliah fardiah yang tidak boleh dipikul oleh orang lain.

Ketika Nabi s.a.w. menyebut bahawa wanita seperti tulang rusuk yang bengkok, itu tidak bermakna keaipan bagi wanita kerana wanita tidak menciptakan dirinya sendiri. Dari sisi lain kita dapati tulang rusuk yang bengkok itulah sebenarnya bentuk yang paling baik dan paling ideal. Kalaulah tidak kerana tulang rusuk itu bengkok, jantung tidak akan berada dalam keadaan yang selesa dan tidak akan dapat menjalankan pungsinya membekalkan darah ke seluruh anggota. Sepasang paru-paru juga begitu. Jika tulang rusuk tidak bengkok, seluruh tubuh tidak dapat bernafas, insan tidak akan hidup sihat dan sejahtera, tidak akan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya.

Justeru, Allah Azza wa Jalla berkata, ketika kamu tidak suka kepada sesuatu perkara yang ada pada isteri kamu – kesempurnaan itu hanyalah milik Allah jua - kamu juga tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Dalam kontek ini Allah berfirman maksudnya: “… Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (An-Nisaa’:19)

Rasulullah s.a.w. pula telah menghuraikan perkara ini dengan terperinci dan praktikal yang kamu boleh laksanakan dengan segera. Kamu yang mesti laksanakan, bukan dia (isteri kamu) kerana kamu adalah pengemudi, kamu yang bertanggungjawab. Baginda bersabda maksudnya: “Janganlah seorang mu’min itu (suami) membenci seorang mu’minah (isterinya) kerana boleh jadi dia tidak suka pada sesuatu perangainya, dia suka perangainya yang lain”. Maksudnya di sini, jika kamu melihat sesuatu yang tidak ada kaitan dengan prinsip-prinsip iman, maka kamu mesti mengubah mood kamu sendiri, sehingga kamu dapat melihat dan mengiktiraf kelebihannya dari aspek yang lain yang pastinya terlalu banyak yang kamu sukai. Maka dengan itu perasaan benci dengan segera akan bertukar menjadi sayang.

Aku ingin mengingatkan kamu satu maklumat yang simple yang kadang-kadang kita lupa. Tidakkah zakat fitrah isteri kamu, anak-anak dan khadam kamu yang bayar walaupun isteri kamu seorang yang kaya raya? Itu merupakan lambang pertanggungjawaban yang dipikulkan ke atas kamu kerana itu bukan zakat harta. Zakat harta yang dimiliknya adalah tanggungjawab dia sendiri. Dia yang mesti tunaikan secara berasingan daripada kamu. Awas kamu! Jangan ambil sedikitpun daripada hartanya tanpa izinnya dan jangan halang dia berbuat baik kepada keluarganya mengikut sukanya. Jika kamu berbuat demikian maka hisab kamu di sisi Allah amat sukar. Allah mengharamkan kezaliman ke atas diriNya dan menjadikan kezaliman itu haram ke atas sesama hambaNya.

Jadilah kamu orang yang sentiasa setia kepada isteri kamu kerana Rasulullah s.a.w. sentiasa setia kepada isterinya Khadijah r.a., kesetiaan yang sungguh indah sehingga selepas Khadijah meninggal dunia. Ia menjadi contoh bagi seluruh umat manusia. Begitu juga baginda tidak menyembunyikan perasaan cintanya kepada Aishah r.a. ketika baginda ditanya siapakah manusia yang paling baginda cintai. Maka dengan spontan baginda menjawab dengan terang dan tegasa: “Aishah!” Lalu sahabat berkata bahawa mereka bukan tanya tentang wanita, dan sekali lagi baginda menjawab: “Ayahnya!”. Baginda tidak berkata “Abu Bakar”, sebaliknya berkata: “Ayahnya”. Ia memberikan gambaran hubungan mesra dan intim antara baginda dan Aishah dan secara tidak langsung menggambarkan kedudukan Abu Bakar di sisi baginda.

Adakah kamu fikir ada ungkapan yang lebih indah daripada ini bagi menggambarkan rasa cinta seorang suami kepada isterinya? Unggkapan yang begitu tulus lahir dari bibir suami pastinya mampu memadam apa-apa kesilapan dan perselisihan antara kamu berdua.

Seandainya masalah yang kamu hadapi, na’uzubillah, sudah sampai ke tahap bercerai, dan cerai adalah perkara halal yang paling dibenci Allah, isteri yang diceraikan itu berhak tinggal di rumah kamu, hak yang ditentukan sendiri oleh Allah, agar dengan keberadaannya di rumah itu, hati kamu dan hatinya akan jadi lembut, dan perselisihan yang berlaku sebelumnya akan lebur. Tidakkah kamu nampak, dalam keadaan yang begitu genting sekalipun, Allah tetap menghendaki kamu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Perhatikan ayat-ayat berkaitan dengan talaq, kebanyakannya dibasahi dengan ciri-ciri kelembutan dan kebajikan. Lihat surah at-Talaq ayat 1 hingga 3.
Akhirnya jangan kamu lupa wasiat perpisahan kekasih kita s.a.w. “Hendaklah kamu berpesan agar berbuat baik kepada wanita…”. Sungguh mengkagumkan, wasiat ini digandingkan dengan wasiat supaya menjaga solat. Tidakkah kamu rasa bahawa ia merupakan suatu perkara yang sangat penting?

Justeru, wahai saudaraku para suami, di manapun kamu dan dalam keadaan apapun, maka setia dan setialah kepada isteri kamu! Berbuat baik dan berbuat baiklah kepada isteri kamu! Beri perhatian dan beri perhatianlah kepada perasaan isteri kamu! Berbakti dan berbaktilah kepada keluarga isteri kamu! Bantu dan bantulah isteri kamu untuk berbakti kepada keluarganya. Bawalah isteri kamu memikul bersama kamu beban keluarga dan beban dakwah. Jadikan dia sandaran belakang kamu supaya dia dapat berjalan seiring kamu sambil membawa risalah dakwah yang diwajibkan Allah ke atas kamu.

Awas dan awas daripada mengambil hartanya tanpa kerelaannya. Adapun jika dia rela, Allah telah jelaskan hukumnya di dalam firmanNya yang bermaksud: “… Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (An-Nisaa’:4)

Ingat neraka dan neraka! Selamatkan isteri kamu darinya. “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka…” (At-Tahrim:6)
Ingat syurga dan syurga. Bawalah dia bersama kamu serta anak-anaknya. “Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;” (Ya Sin:56)

Dan ingatlah juga bahawa orang yang terbaik dalam kalangan kita ialah yang paling baik kepada isterinya. Dan sesungguhnya Rasulullah s.a.w. orang yang paling baik kepada isterinya dalam kalangan seluruh umat manusia. Maka adakah kita mencontohinya?

Akhirnya, Rasulullah s.a.w. menamakan kamu suami yang mulia (zauj karim) selama kamu melaksanakan wasiatnya yang bermaksudnya: “Tidak memuliakan wanita kecuali orang (suami) yang mulia, dan tidak menghina wanita kecuali orang yang tercela!”. Maka jadilah kamu wahai saudaraku suami muslim yang mulia. Semoga Allah berkati kamu pada isteri kamu, harta kamu dan anak-anak kamu. Semoga Allah rahmati ibu bapa kamu dan ibu bapa isteri kamu sama ada mereka masih hidup di dunia ini atau telah berpindah ke alam abadi. Semoga Allah himpunkan kamu berdua dalam kebaikan dunia dan akhirat. Semoga Allah berkati zuriat kamu berdua.

Sesungguhnya aku telah berbicara kepada para isteri dalam muktamar lepas dengan membawakan satu Hadis yang menjamin pahala untuk mereka, iaitu seorang wanita yang melayan suami dengan baik pahalanya menyamai jihad, solat jamaah, solat jumaat dan mengiringi jenazah. Dan redanya kamu kepada mereka merupakan pintu untuk mereka masuk syurga.

Aku berharap kamu tidak lupa kepada kami dalam doa-doa kamu yang baik-baik.
Was-salamu’alaikum wr.wb.

Saudara kamu,
Dr. Muhammad Badi’
Murshid Am Ikhwan Muslimin.

Pegawai Poslaju Yang Baik Hati

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Teman-teman semua, kita semua pastinya pernah menggunakan perkhidmatan Poslaju kan? Tidak kira sama ada kita ada bisnes yang memerlukan perkhidmatan ini untuk mengepos barangan belian pelanggan atau menghantar dokumen hinggalah motorsikal untuk sesiapa saja, Poslaju menjadi salah satu pilihan kita. Mungkin Poslaju satu-satunya pilihan bagi kita yang tidak mampu menggunakan perkhidmatan kurier yang agak mahal.

Kakchik pun hampir setiap minggu menggunakan Poslaju lebih-lebih lagi jika bilangan bungkusan yang hendak diposkan adalah banyak dan pelanggan mahukan barangan sampai dalam masa sehari dua saja. Apa yang kakchik nak sebutkan di sini ialah mengenai borang yang perlu diisikan untuk membuat penghantaran.

Bagi sesetengah peniaga yang bisnesnya maju dan setiap hari ada penghantaran, mereka biasanya membuka akaun khas dengan Poslaju Malaysia maka mereka mendapat beberapa kemudahan seperti bekalan borang Poslaju dan plastik pembungkus. Bagi peniaga sampingan seperti kakchik ni, belum mampu untuk membuka akaun jadi terpaksalah bergantung kepada budi-bicara pegawai Poslaju untuk mendapatkan jumlah borang yang banyak. Plastik pembungkus kini dah takde maka kakchik tempah khas saja.

Ada borang simpanan adalah boleh memudahkan kerja bila ke kaunter Poslaju. Bukan apa... kita boleh isikan borang siap-siap di rumah dan bila sampai di kaunter, kita hanya perlu beratur. Tak lagi perlu susah-payah meminta borang dari pegawai yang sedang bertugas sementelah mereka pun sedang menguruskan pelanggan yang lebih awal. Tapi nak dapatkan bekalan borang yang banyak bukanlah mudah, bergantung kepada ramah-tamah kita dan juga baik-budi pegawainya.

Semalam, kakchik ke Poslaju membuat penghantaran bungkusan. Selalunya segan juga nak minta borang kosong dalam jumlah yang banyak sebab kakchik tahu di Pejabat Pos Besar, pelanggannya ramai. Alhamdulillah, pegawai yang bertugas petang semalam, sangatlah baik hati. Kakchik hanya kata, "Encik, saya nak minta borang kosong sikit, boleh tak?"... tanpa banyak usul periksa, selesai saja dia uruskan bungkusan-bungkusan kakchik, dia terus ke belakang dan kembali ke kaunter dengan menghulurkan borang kosong sebanyak di bawah kepada kakchik.

Borang Poslaju yang kakchik dapat semalam. Ada 20 keping borang.


MashaAllah... terima kasih banyak tuan. Kakchik amat menghargai pertolongan tuan itu. Semoga bantuan tuan tersebut yang memudahkan kerja kakchik akan kembali menjadi kemudahan untuk pihak tuan dalam apa juga lapangan yang Allah tentukan. Hati tuan yang baik pastinya ada ganjaran yang setimpal dari Allah SWT. Pegawai yang baik, cekap dan ramah begitulah yang kakchik suka bila berurusan di kaunter awam.

Ronda-Ronda di KelCheff 2011

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Apa khabar kalian pada hari ni? Kakchik, alhamdulillah sihat... dan kakchik doakan kalian juga sihat sejahtera. Pagi ni kakchik nak ambil masa sedikit untuk berkongsi gambar-gambar yang kakchik ambil semasa singgah ronda-ronda dalam 30 minit di tapak Kelantan Cheng Ho International Food Festival (KelCheff 2011) petang semalam. Singgah sebentar saja sementara menunggu jam 5.30 petang untuk mengambil cik abe di pejabatnya. Oleh kerana masanya agak singkat dan tapak pameran dan jualan yang luas, kakchik hanya sempat singgah di beberapa tempat sahaja terutama di ruangan makanan.

Cukuplah dulu kakchik bercerita, biarkan saja gambar-gambar berikut menjadi pembantu kakchik. Mana tahu ada yang melihat dan membaca entri ini akan terasa mahu juga ke sana. InsyaAllah esok kakchik nak ke sana lagi tapi untuk melihat Pameran Tamadun Islam pula. Sebelah pagi tu kakchik ingat nak menghadiri program wanita bersama Ustazah Asni Masnor di KTC tapi belum dipastikan lagi. Tengok keadaan di rumah dulu. Oklah, sila menjamu mata.



























18.7.11

Pergi Tak Kembali

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hati sedikit berduka. Malam tadi, seorang pejuang agama yang kakchik kenali telah kembali ke Rahmatullah malam tadi setelah diuji dengan penyakit kanser. Al-Fatihah untuk pemimpin yang disayangi, almarhumah YB Dr. Lo'Lo' Mohd Ghazali, MP PAS Titiwangsa.

Dari Allah kita datang, kepada-Nya juga kita akan kembali. Ajal kita pun kita tidak tahu, jadi marilah kita sentiasa berusaha menyediakan diri kita untuk mati. Setiap diri kita pasti akan mati dan sudah pasti kita mahu mati dalam keadaan yang baik iaitu Husnul Khotimah.

Salinan berita dari Harakahdaily.net:

Pemergian Dr Lo’ Lo’ sangat dirasai
Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR, 18 Julai: PAS merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ke rahmahtullah malam tadi.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemergian beliau sangat dirasai oleh seluruh ahli PAS dan juga rakyat, terutamanya penduduk-penduduk kawasan Titiwangsa yang mengenali beliau, kerana beliau merupakan seorang pejuang yang sangat gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam.


Katanya, ketabahan beliau menghadapi penderitaan kanser yang dihadapinya amat dikagumi sehingga di saat himpunan Bersih 2.0 minggu yang lalu, beliau masih memberikan semangat agar semua turun bagi memperjuangkan sistem pilihanraya yang adil dan bersih.


“Kita doakan agar Allah mencucuri rahmat dan inayah-Nya kepada beliau dan juga kesabaran kepada seluruh anak-anak dan keluarga beliau di atas pemergiannya,” ujarnya.


Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamuha Dr Lo' Lo'.


Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, DMPP amat berasa kehilangan di atas pemergian allahyarhamah yang merupakan ahli Parlimen Titiwangsa itu.


"Bagi pihak Dewan Muslimat,kami amat sedih dengan pemergian allahyarhamah yang amat kami sayangi ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarhamah," kata beliau yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang ketika ditemui di Masjid Al- Akram, Datuk Keramat awal pagi tadi.


Sementara itu, timbalannya, Dr. Siti Mariah Mahmud menyifatkan pemergian bekas ahli jawatankuasa DMPP dan PAS Pusat itu sebagai kehilangan besar dalam perjuangan.


"Saya kehilangan sahabat dan kakak yang saya sayangi dan hormati dalam perjuangan ini," katanya menahan sebak ketika ditemui dalam majlis yang sama.


Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam tadi setelah bertahun-tahun menghidap kanser paru-paru.


Beberapa pimpinan PAS turut hadir menziarahi jenazah antaranya pengarah pilihan raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai dan AJK DMPP, Mastura Mohammad.


Turut kelihatan aktivis Hishamuddin Rais.


Selamat perjalanan duhai kakakku, Dr. Lo'Lo' Mohd. Ghazali. 

Sedikit maklumat terkini dari Blog Dr Lo'Lo': Solat Jenazah

Solat Jenazah Dr. Lo'lo'
Jenazah Dr. Lo'lo' akan disembahyangkan pada jam 10.30 pagi di Masjid Al-Akram, Kg. Dato' Keramat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Dato' Keramat.


Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

17.7.11

Perkongsian: Hukum Orang Kafir Membaca Ayat Al-Quran dan Hadis

Bismillah. Assalamualaikum teman-teman semua. Selamat petang. Kakchik amat tertarik dengan artikel terbaru Uztaz Nor Amin yang menggunakan tajuk di atas. Oleh kerana media kita beberapa hari ni kecoh dan cuba menaikkan ammarah di kalangan orang Melayu-Islam kerana ada wakil rakyat bukan Islam telah membacakan hadis semasa persidangan DUN di sebuah negeri. SEBELUM kita yang cetek ilmu agama ini memberi ulasan peribadi, kakchik rasa lebih baik kita luaskan sedikit pembacaan kita tentang boleh atau tidak boleh orang bukan Islam berbuat demikian.

Sumber: Ustaz Nor Amin


Berdasarkan ilmu agama kakchik yang sekelumit ni, kakchik tidak layak menulis tentang hukum-hakam tapi bila Ustaz Nor Amin menjawab persoalan di bawah, rasanya lebih baik kakchik kongsikan tulisan penuh beliau untuk bacaan kita bersama. Jika kalian nak tambah sumber bacaan tentang hal ehwal agama bolehlah singgah di blog Ustaz Nor Amin di SINI.


Assalamualaikum ustaz..saya ada satu persoalan apakah hukum bagi orang bukan Islam menggunakan hadis dalam hujahnya?..cthnya apa yang berlaku pada sidang ADUN semalam..adakah ianya salah??apa pandangan ustaz.?

Jawapannya

Islam yang telah diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah saw adalah untuk disampaikan kepada semua umat manusia tanpa dikecualikan kepada sesiapa. Al-Quran dan Hadis adalah dua sumber hukum yang paling penting dalam menentukan sesuatu hukum di dalam Islam selain daripada Ijamak dan Qiyas. Selain dari itu juga, Al-Quran dan Hadis merupakan suatu alat dakwah yang mendatangkan bukti-bukti kekuasaan Allah dan kebenaran Islam kepada orang-orang bukan Islam. Untuk berdakwah kepada mereka, kita tidak berhujah dengan hanya menggunakan akal semata-mata kerana Islam itu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan dikukuhkan juga dengan kebenaran akal fikiran manusia. Saidina Umar Al-Khatab memeluk agama Islam dengan hanya mendengar adiknya Fatimah membaca Al-Quran.

Berdasarkan persoalan di atas mengenai orang kafir membaca Al-Quran atau membaca Hadis Rasulullah saw. Di sini saya datangkan pendapat ulamak terlebih dahulu yang berkaitan dengan masalah ini, di antaranya ialah :

Syeikh Atiyyah Saqr bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa : “Golongan bukan Islam tidak ditaklifkan dengan syariat dan hukum-hakam Islam kerana asal syariat tidak terdapat di sisinya. Maka mereka tiadalah halangan (boleh) untuk membaca, membawa dan menyentuh al-Quran al-Karim walaupun tanpa wudhuk. Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat: Golongan bukan Islam turut ditaklifkan dengan hukum-hakam dan permasalahannya. Mereka juga akan dihisab oleh Allah Taala di atas pentaklifan syariat ini. Maka mereka tidak dibolehkan untuk membaca, menyentuh atau membawa al-Quran al-Karim jika tidak berada di dalam keadaan bersuci. Jika perkara itu masih lagi terdapat khilaf maka tiadalah halangan (boleh) dari mengambil salah satu pandangan ulama khususnya jika terdapat keadaan yang memerlukan yang demikan.”

Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Hamid Ahmad al-Bar mengatakan bahawa : “Adapun orang bukan Islam tidak ditaklifkan (syariat Islam terhadap mereka) dan mereka juga tidak suci sepertimana orang Islam maka adalah tidak boleh orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sengaja. Namun jika orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sebab untuk mempelajari atau mendalami Islam maka tindakan mereka (membaca al-Quran al-Karim) itu tidaklah mengapa.”

Begitu juga dengan pendapat dikalangan ulamak Mazhab Syafie di antaranya ialah Imam Ramli dalam kitabnya ihaayatu al Muhtaj mengatakan bahawa : "Orang kafir tidak ditegah untuk membaca la-Quran kerana mereka tidak percaya kepada kehormatannya."

Ada juga sebahagian ulamak terutamanya dari kalangan Mazhab Hambali mengatakan bahawa : “Haram bagi orang kafir zimmi atau yang lainnya untuk membaca al-Quran. Ini kerana mereka yang lebih patut ditegah daripada orang yang berjunub.”

Sebagai orang muslim yang baik, maka kita kena positifkan perkara ini dan jangan sama sekali mencampurkannya dengan kepentingan peribadi masing-masing. Masalah ini akan lebih parah lagi apabila ia melibatkan kepentingan politik tertentu. Kalau masalah ini dibicarakan mengikut fikiran yang waras, maka masalah ini tidak menjadi besar dan tidak berlaku laporan polis dan berbagai kecaman yang telah berlaku sebelum ini. Perkara ini semua merupakan khilaf ulamak, lazimnya apabila berlakunya khilaf ulamak, maka mesti ada yang mengatakan harus, haram, sunat, makruh dan sebagainya. Faktor berlakunya berbagai pendapat dari kalangan para ulamak adalah disebabkan tiada dalil Al-Quran dan Hadis yang mengatakan haram dan mengatakan harus orang kafir membaca Al-Quran dan Hadis.

Sepatutnya masalah ini tidak menjadi besar dan kita sebagai orang awam perlu menghormati segala pandangan yang telah dikeluarkan oleh orang-orang alim walaupun ia tidak bersesuaian dengan pandangan kita. Mereka mengeluarkan hujah berdasarkan ilmu mereka. Kita mengeluarkan hujah berdasarkan fikiran yang jahil agama dan dicampurkan juga dengan keinginan nafsu politik yang tajam.

Ini pandangan saya, orang kafir membaca Al-Quran dan hadis ia merupakan langkah yang baik, kerana secara langsung atau tidak langsung mereka telah mempelajari Al-Quran dan Hadis. Masalah tajwid atau sebutan itu janganlah kita pertikaikan, kerana mereka mana tahu ilmu tajwid, lagipun lidah mereka bukan seperti lidah orang yang dah lama belajar membaca Al-Quran atau Hadis. Sepatutnya kita kena malu kepada mereka, kerana ramai orang Islam yang tidak tahu membaca Al-Quran, malah lebih teruk lagi tidak tahu mengucap pun ada. Ramai ahli-ahli sains barat yang memeluk Islam kerana mereka mengkaji dan membaca Al-Quran yang telah diterjemahkan kepada bahasa mereka.

Antara ahli sains yang telah memeluk islam kerana melihat kebenaran Al-Quran ialah profesor Milan dari Republik Czeck, Dr. Murice Bucaille, seorang doktor bedah dari Perancis, Jacque Costeau, ahli kaji lautan juga dari Perancis, Dr. Tijtet Tijson, seorang profesor perubatan dari Chiang Mai University, Thailand juga telah menganut Islam selepas melihat kebenaran Al-Quran. Profesor Keith L Moore, dari University Toronto, Kanada menyatakan bahawa mustahil kenyataan tentang embriologi yang terdapat dalam al-quran ini berasal daripada Nabi Muhammad saw dan beliau mengakui kebenaran Al-Quran.

Orang kafir belajar membaca Al-Quran dan Hadis juga merupakan sebahagian dari dakwah Islam yang telah disampaikan tanpa paksaan, mereka berminat untuk menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai hujah mereka. Kita sebagai orang Islam berusaha menyampaikan dakwah dan berdoa kepada Allah semoga diberikan hidayah kepada mereka untuk memeluk agama Islam. Al-Quran bukan untuk orang Islam sahaja, malah dia juga ditujukan kepada orang bukan Islam dan banyak ayat-ayat yang mengatakan wahai sekalian manusia, ini membawa maksud secara umum iaitu sekalian manusia termasuk yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.

Saya tegaskan di sini, artikel saya ini tidak terikat kepada mana-mana fahaman politik, saya berhujah berdasarkan sedikit ilmu yang kerdil dan sedikit rujukan yang telah dibuat. Tujuan penyebaran artikel ini adalah sebagai jawapan kepada pengunjung yang bertanya dan merupakan tanggungjawab sebagai seorang muslim yang menghayati hadis Rasulullah yang berbunyi “Sampaikanlah walaupun dengan satu ayat”.

15.7.11

Hari paling seronok.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam Jumaat untuk semua.

Selamat berehat ya kepada semua teman-teman yang akan bercuti hujung minggu esok. Seperti biasa esok ialah hari kerja untuk kakchik. Maklum saja... Perpustakaan Zahra' ni dia ikut jadual orang kerja di Arab Saudi bukannya macam mana-mana negeri di Malaysia ni. Sebenarnya kakchik pun baru tahu yang kakchik kerja sama dengan orang kat KSA tu, itu pun selepas seorang teman yang tinggal di sana memberitahu kakchik melalui fb.

Pintu utama yang menghadap Bangunan MARA.

Hari ni boleh dikatakan hampir tidak menggunakan facebook langsung. Bukannya tidak online... tapi kakchik lebih banyak meluangkan masa yang ada pada hari Jumaat yang mulia ni untuk mengemas rumah dengan menyapu, membasuh kain-baju dan sebagainya. Rumah kakchik ni kalau dua hari tak menyapu, debu agaknya sudah tebal seinci sebab jarak yang agak dekat dengan jalanraya. Kain-baju pula, memanglah banyak kerana kakchik hanya sempat membasuh 3 kali seminggu je.

Di sini ada banyak kedai pakaian.

Sepanjang pagi cik abe bekerja lebih masa kerana ada kursus umrah di pejabatnya. Umi dan ayah pun menyertainya sebab dah tak lama lagi mereka akan bertolak ke Mekah. Moga-moga segala perancangan dan urusan berjalan dengan lancar disertai kesihatan yang baik untuk mereka berdua. InsyaAllah nanti kami berdua pula yang akan menyusul. 

Kedai ini baru dibuka dan menjual jubah dan abaya dari Mesir.

Pagi tadi ada minta izin dengan cik abe untuk bawa adik dan anak-anak sedara ke KelCheff 2011 tapi bila dah mengemas rumah ni badan jadi teramat letih apabila semuanya telah selesai. Apa lagi, kakchik mengisi masa dengan mendengar kuliah Ustaz Azhar Idrus di youtube dan ada juga buka TV Al-Hijrah sebentar kerana nak ikuti sesi Ustaz Hasrizal (Saifulislam.com) bersama Sdr. Amin Idris. Sayangnya kerana bosan menunggu, kakchik tutup tv dan naik menyapu di ringkat atas.

Kemudahan surau yang agak besar dan luas di tingkat paling atas.

Dalam jam 12 lebih cik abe balik bersama umi dan ayah. Alhamdulillah... nampaknya kursus umrah pada hari ni berjalan dengan lancar. Kakchik sudah siapkan pakaian untuk cik abe ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Seronok bila lihat rumah bersih dan kemas, kain-baju siap dibasuh dan disidai, dan pakaian baru untuk cik abe ke masjid telah diletakkan di tempat yang khas. Tunggu nak masak saja. Hari ni hari yang paling bahagia, alhamdulillah.

Kat kedai ini ada banyak menjual telekung solat dan tudung.

Kalau ikut hati kakchik taknak update blog hari ni tapi hati ni terasa nak juga tulis sesuatu. Orang nak baca atau tidak itu tak penting kerana yang penting hati kakchik puas. Oh, azan Isyak sedang berkumandang tu, kakchik pun rasanya nak berhenti menulis sampai di sini dulu. Sambil-sambil tu teman-teman bolehlah lihat-lihat gambar-gambar Bazar Tuan Padang yang kakchik ambil pada Jumaat lepas. Ini antara tempat shopping yang terbaru di KB.

Wassalam.

14.7.11

Festival Makanan Antarabangsa Chengho dan Galeri Tamadun Islam (KelCheff 2011)


Assalamualaikum.

Sekadar berkongsi maklumat. Program ini bermula pada hari ini. Kakchik teringin juga nak pergi jenguk tapi kena selesaikan beberapa urusan penting dulu. Masa masih panjang. Jika tak sempat hari ni insyaAllah minggu depan pun boleh.

Jom, kita sama-sama ke KELCHEFF (ringkasan nama program ini)!

Jom Sarapan dengan Nasi Pelbagai Pilihan.

Assalamualaikum. Pagi-pagi kat Kelantan ni ada banya pilihan nasi untuk kita bersarapan. Pagi ni kakchik nak kongsikan beberapa jenis nasi yang kakchik suka beli untuk sarapan terutama bila hari bekerja. Hari ni cuti tapi ni nak bersiap menghantar cik abe ke pejabat dia.

Nasi Ayam Kampung Goreng
Nasi Berlauk Gulai Ikan Aya + Daging Goreng Kacang Panjang
Nasi Kerabu Ikan Celup Tepung
Nasi Lemak
Nasi Goreng

Selamat bersarapan!

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs