Followers

30.5.11

Jauh Perjalanan Luas Pandangan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Salam rindu untuk suami tersayang, semoga tenang-tenang selalu. Alhamdulillah hari ni dapat lagi kakchik mencatatkan sesuatu di lembaran tanpa nyawa ni, menulis dari bumi Subang Permai, Shah Alam bukan dari Pulau Melaka, Kota Bharu. Ya, kakchik sekarang berada 475km jauhnya dari cik abe dan kini menumpang berteduh di rumah abang kedua.

Semalam perjalanan kami dari kampung bermula jam 10.00 pagi dan sepanjang perjalanan kami singgah di beberapa tempat untuk solat dan rehat. Semasa di singgahan pertama, selepas makan dan solat jamak, kami ternampak ada sebuah kereta yang baru kemalangan. Mungkin terjatuh ke dalam parit kerana bumper depannya tercabut dan banyak terdapat rumput basah melekat di bonet depan kereta. 

Mashaallah... sebuah keluarga Cina yang menjadi mangsa kemalangan. Kakchik nampak ada seorang wanita warga emas yang cedera di dalam kereta manakala seorang perempuan muda kelihatan memegang lengannya yang mungkin patah. Dua orang lelaki Cina kelihatan kalut ke sana ke mari, mungkin suami kepada kedua-dua orang wanita yang tercedera. Apa yang menarik perhatian kakchik ialah keramahan orang awam dan para pekerja sebuah stesyen minyak yang telah sama-sama membantu mangsa-mangsa kemalangan itu. Syukur alhamdulillah bayi wanita muda itu selamat.

Malang memang tidak berbau. Kemalangan boleh berlaku di mana-mana saja dan tidak semestinya dengan kenderaan lain. Sendirian pun boleh kemalangan sebagaimana keluarga Cina tersebut. Allahu Akbar. Kakchik terasa amat bertuah kerana Allah menjaga keselamatan kami di sepanjang perjalanan. Datang ke tempat yang tidak biasa sudah pastilah ada sedikit kepayahan, misalnya tidak jumpa jalan yang betul untuk ke destinasi. Alhamdulillah kerana adanya papan tanda yang benyak dan besar serta teknologi telefon maka masalah itu mudah diatasi.

Syukur juga sebab di sepanjang perjalanan kakchik tidak tidur maka dapatlah kakchik melihat keindahan dan keagungan ciptaan Allah terutama semasa melalui lebuhraya di antara Gua Musang dan Bentong. Bukit-bukau, sungai, ladang kelapa sawit dan getah serta hutan-rimba memukau pandangan. Betullah kata senikata sebuah nasyid, "berjalan bermusafirlah, melihat keagungan Allah". Betapa besar dan luasnya bumi Allah ini. Kalau Allah tak izin, kita tidak mungkin dapat membelah bukit membuat jalan dan tidak mungkin perjalanan dari Kelantan ke Selangor boleh sampai dalam masa sehari saja.

Allahu Akbar.

29.5.11

Perantaun Bermula

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.

Alhamdulillah sebelum kakchik bertolak ke KL pagi ni dapatlah juga kakchik catatkan sesuatu di sini. Insyaallah sebentar lagi kami berlima (ummi, kakak, abg ipar, anak sedara dan kakchik) akan memulakan perjalanan kami ke KL. Tolong doakan agar perjalanan kami selamat hingga sampai ke destinasi. Banya urusan kami di sana nanti.

Malam tadi kakchik tidur awal dan syukur sangat sebab hari ni bangkit dari tidur dalam keadaan yang segar. Alhamdulillah. Barulah kakchik sambung mengemas beg pakaian. Kalau nak ikutkan malam tadi memang takde mood langsung kerana keletihan mental dan fizikal.

Hati ni berat nak berpisah dengan cik abe tapi kakchik tahu perpisahan ini cuma sementara, insyaallah lepas seminggu kami akan bertemu semula. Moga-moga Allah izinkan kami bertemu kembali. Meninggalkan rumah demi amanah yang lebih besar, mohon cik abe dan Allah redha.

Hingga ketemu lagi, mohon maaf dari kalian semua. Insyaallah jika tiada aral, kita bertemu di KL. Wassalam.

27.5.11

Bagaimana nak 'join' Nuffnang?

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Entri kali ini hanyalah sebagai jawapan kepada seorang pembaca blog Keluargaku Sayang yang berminat dengan Nuffnang tapi tidak tahu bagimana untuk 'join' Nuffnang. Mungkin apa yang dia maksudkan ialah bagaimana untuk membolehkan iklan Nuffnang diletakkan di dalam blog dan bagaimanakah ia menjana pendapatan sampingan untuk tuan punya blog.

Maafkan kakchik kerana tidak menghantar email ya (harap-harap saudara yang bertanya baca pos ini) kerana kakchik memang lemah sekali bab menulis email ni. Jadi kakchik memilih untuk menulis entri kot-kot ada di kalangan pembaca yang lain juga ingin tahu tentang persoalan yang sama.

Baiklah. Mari kita mulakan.

1. Mendaftar dengan Nuffnang

Bagi sesiapa yang mahu letak iklan Nuffnang dan menjana pendapatan, kenalah buka akaun dengan Nuffnang dulu. Caranya mudah saja, cuba cari perkataan ini pada 3 iklan Nuffnang yang sentiasa ada di dalam blog kakchik. Kalau iklan tak keluar pun perkataan ini tetap ada.



Sila klik dan anda akan terus dibawa ke laman web Nuffnang.


Sila klik IKON Sign Up yang kat sebelah RSS Feed dan Churp Churp tu. Sampai di situ anda tentu sudah pandai bagaimana nak isi borang kan. Buatlah hingga selesai, insyaallah sekejap saja hinggalah pihak Nuffnang kata nanti dia akan hantar email untuk pengesahan.

Cek email anda dan kliklah link yang diberikan oleh Nuffnang untuk VERIFY akaun anda.

2. Masa untuk LOGIN


Masukkan email yang anda telah guna semasa mendaftar akaun dengan Nuffnang, begitu juga dengan password yang berkenaan. Bila login berjaya, anda akan dapat masuk ke dalam DASHBOARD .seperti contoh  gambar di bawah


Jika boleh masuk dan nampak macam gambar atas, maknanya anda telah pun berjaya menjadi member Nuffnang. Tahniah! Bila dah sampai di sini, silakanlah cek kesemua link yang ada tu kerana segala maklumat untuk anda menjana pendapatan, melibatkan diri dalam Innity dan Churp Churp (cek sendiri ya, kakchik penat nak tulis) ada di situ.

3. Bagaimana nak letak iklan di dalam blog?

Sila lihat dua butang yang penting ini:


Klik Blog Manager untuk masukkan maklumat blog anda.


Isikan segala maklumat yang diperlukan dan klik 'Add New Blog'. Nanti akan keluar tulisan yang kata proses tu sudah OK. Sekarang, jom masukkan kod-kod iklan ke dalam blog.

4. Memasang kod iklan di dalam blog.

Nuffnang hanya benarkan 3 bentuk iklan dipasang di dalam blog. Dan Nuffnang juga ada mengajarkan cara-cara untuk meletakkan kod-kod iklan berkenaan. Mudah saja. Sila klik butang 'Add ads' seperti dalam gambar di atas tu.

Nanti anda akan dapat lihat kat sebelah kiri ialah kod-kod iklan yang disediakan oleh Nuffnang dan di sebelah kanannya ada satu gambarajah kedudukan iklan yang dicadangkan oleh Nuffnang. Naik ikut boleh, tak nak pun boleh. TAPI, elok ikut cara yang Nuffnang syorkan agar mudah nak tarik perhatian pengunjung melihat, membaca dan mungkin mengklik iklan yang berkenaan.

Tak payah ceritalah macamana nak letak kod tu sebabnya anda sendiri boleh baca. Oh ya, JIKA TAK TAHU juga macamana nak 'copy & paste' kod-kod itu, sila lihat benda ini di bawah gambarajah 'Ad placements'.


Ini nak mudahkan para pemilik blog yang menggunakan jenis-jenis blog seperti di atas. Ada cara masing-masing ya. kakchik hanya nak ajarkan pada yang guna Blogger je. Kliklah butang Blogger tu nanti akan keluar satu Page baru dan di dalam tu ada satu persatu diajarkan cara-cara nak meletakkan kod iklan Nuffnang tu. Ikut sahaja. Insyaallah pasti dapat. Senang je.

5. Menjana pendapatan.

Sekarang kod-kod iklan sudah ada. Jika anda "refresh' blog anda pasti anda dapat lihat ada iklan yang aktif.  Alamak, hampir terlupa. Semasa di dalam BLOG MANAGER tadi, sila pastikan anda pilih yang macam ni di bahagian Ads Preference anda.


Kalau tak pilih 'Show Global CPC/CPA ads' nanti iklan anda tak akan jana duit. Hanya sekadar iklan semata-mata.

Seterusnya yang perlu anda buat ialah, MENULIS dan menulis, tingkatkan NETWORK anda dengan menambah kenalan, promosikan setiap artikel baru yang anda tulis di dalam Innity, facebook dan segala macam laman sosial yang lain agar ada orang masuk ke blog anda untuk membaca, blogwalking dan sebagainya. Mana tahu dalam ramai yang masuk tu mungkin ada yang akan klik iklan Nuffnang anda.

Ramai orang suka buat jelajah blog orang dan tinggalkan jemputan agar tuan punya blog ziarah balas dan follow. Ini bukan cara kakchik tapi terserahlah kepada budi bicara masing-masing. Kakchik lebih suka menjalinkan ukhuwwah yang tulus dan tidak memaksa orang menjadi Follower. Yang penting bagi kakchik ialah menjaga hubungan sesama blogger dan menulis dari hati kerana Allah SWT.

Selebihnya tawakkal sahaja.

Rasanya cukuplah penjelasan kakchik dan sedikit tutorial untuk yang baru nak 'join' Nuffnang. Selamat berjaya!

Perkongsian: PERANAN SUAMI DALAM MEMULIAKAN / MELAYAN ISTERI

Assalamualaikum dan salam Jumaat yang mulia.

Alhamdulillah bertemu lagi kita di hari yang penuh keberkatan ni. Bangun pagi tadi dalam keadaan hujan sedang renyai-renyai di luar sana. Memang sedikit sejuk untuk mandi pagi tapi yang penting dalam sejuk pun kenalah utamakan yang wajib dulu, membersihkan diri, berwuduk dan solat subuh. Bukan apa, bila cuaca sejuk ni ramai juga yang kalah dengan selimut tebal walhal selimut tu bukanlah berat mana pun untuk diangkat dan ditolak ke tepi. Tau ajelah betapa hangat dan enaknya berada di dalam selimut di waktu subuh. Itu yang ramai terkandas tu.


Anyway, hari ni kakchik nak kongsikan tulisan dari seorang kenalan FB, kakchik salin dari blognya tanpa sebarang edit. Perkongsian di pagi Jumaat ni kakchik harapkan berjaya mencapai sasaran dan memberi kesan yang baik. Maklum saja, ramai suami yang malas nak membaca artikel sebegini. Kepada Toiyibah Zafirah, ucapan ribuan terima kasih kakchik dahulukan w/pun belum terima maklumbalas dari Firah, kakchik dan kongsikan tulisannya di sini.

Bismillah.

Saya ingin kongsikan dgn semua,,peranan seorang suami terhadap isteri...ye lah ramai di antara isteri, punya masalah dgn ''sikap'' suami terhadap isterinya, wahai para suami cubalah selusuri perjalanan Rasulullah Saw dalam menggembirakan isteri-isteri baginda Saw....jom!!

~~Suami mesti bijak ikram/muliakan isterinya seperti ini~~
*penuhi hak rumah tangga
*ikram anak2 depan ister
*bawa jalan2*puji masakan isteri*Puji isteri apabila nampak kebaikan
*bercerita di malam hari*Beri hadiah*Hias diri dgn akhlak
*Doa~~

~~Suami...panggillah isterimu dgn panggilan yg manja, kerana panggilan manja itu memberi kesan yg mendalam di hati isteri, sekaligus mendatangkan rasa cinta dan hormat kerana pgglan tersebut menggambarkan betapa mesranya hubungan suami isteri~~(^____^) apa saja ..asalkan isteri anda sukeeee.. ♥ ~~

‎~~Suami...selalu2 lah bawa balik buah tangan untuk isterimu yg sedang menunggu di rumahmu,seperti coklat, buah2an, pakaian,dan sebagainya. Isteri yg baik pasti menerimanya dgn hati yg amat gembira dan menghargainya~~(^___^)...

~Suami....jadilah kekasih yg memahami dan mengerti sifat2 kewanitaan isterimu serta menolong isterimu di dalam kesusahan, kesakitan dan kerinduan.~~(^_~)

~~Suami....sekali sekala bawalah isterimu pergi berjalan2 untuk hiburkan hatinya, ia cukup utk meringankan bebanan perasaan dan juga keletihan yg di alaminya~~(^_^) ...

~~Suami.....apabila makan masakan isterimu, ermmm... jgn lupa yaaa... puji2lah masakannya itu di hadapannya serta menunjukkan selera di atas makanan yg dihidangkannya, ia boleh menghilangkan lelah kerana penat memasak, juga menambahkan sayang isteri padamu. Sebagai penghargaan utk isterimu~~(^_~) so tambah rajin laa isteri utk memasak lagi dan lagi, insyaAllah.

‎~~Suami...isterimu sememangnya ada kecantikan dan kelebihannya tersendiri, anugerah Allah pada setiap wanita, pujilah isterimu...kecantikannya,pakaiannya, paras rupa dan apa saja yg ada pada isterimu. Memujuk rayu dgn kata yg memikat hati ~~(^_____^) insyaAllah kata2mu itu menjadi sumber ''keyaqinan'' utk dirinya.

~~Suami....setiap hari setiap waktu, ambil berat dan perhatian mengenai kehidupan isterimu. Tanya isterimu segala kekurangan dan masalah2 yg merumitkan hidupnya ~~(^_^)

~Suami...wajib ke atas kamu utk memberi isterimu wang tambahan dan peruntukan yg tersedia dari perbelanjaan dapurnya sehari-hari~~(^_^)

~~Suami...akhir sekali jangan lupa utk berterima kasih kpda isterimu yg telah berkhidmat utkmu seperti basuh pakaian, menggosok sepatu, seterika pakaian, kemas rumah, memasak, merawat anak (dan kamu) dan sebagainya. Satu lagi, jgn lupa utk ucap terima kasih kpda isterimu setiap kali selepas ''bersama'' kerana kerelaannya menyerahkan segala2nya kepadamu~~(^____^)

Monolog dengan Allah saja. Entah ada atau tidak suami yang membacanya. 

26.5.11

Kenapa kakchik tak suka jubah lycra dan tudung lycra?

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Malam Jumaat, alhamdulillah... datang lagi. Sekarang ni secara fizikalnya kakchik amat letih. Terasa mahu saja membaringkan diri dan melelapkan mata. Tapi belum bolehlah sebab kenalah terlebih dahulu selesaikan beberapa keperluan suami. Lagipun otak kakchik sedang meminta-minta mahukan kakchik menulis berkenaan soalan di atas tu.

Sumber: RSFG - pakar jubah dari kain 'stretchable'.

Kebetulan pula seorang sahabat turut menyuarakan rasa tidak sukanya kepada perkara yang sama maka kakchik rasa makin teruja untuk menulis. Bab pakaian ni memang tak pernah puas menulis mengenainya kerana ia berkaiatan secara terus dengan bab aurat.

Kenapa kakchik tak suka jubah lycra dan tudung lycra?

Petang tadi masa sibuk berkemas untuk balik dari gerai jualan sempena program Muslimah Anggun Mutiara Keluarga, ada seorang kenalan menyarankan agar kakchik menjual abaya Dubai yang dibuat dari kain lycra. Katanya kat Dubai sekarang ni memang lycra menjadi trend. Ha'ah, kakchik pun tahu sebab pembekal-pembekal abaya kakchik ada juga menghantar gambar-gambar abaya lycra ni.

Kakchik jawablah kakchik tak minat nak jual atau nak simpan stok abaya yang sedemikian. Sebab utama ialah ia bertentangan dengan polisi dan prinsip perniagaan kakchik (dan rakan kongsi) iaitu kami hanya menjual apa yang kami suka pakai dan mungkin akan sanggup pakai di khalayak ramai. 

Dari dulu lagi kakchik memang tak berkenan dengan kain lycra ni. Sejak negara dilanda wabak tudung segera yang majoritinya dihasilkan dari kain lycra atau campuran kain kapas yang boleh dilihat di mana-mana saja, hati kakchik tak pernah setuju atau suka. Ini 'personal preference' ya bukan berkait dengan hukum agama ke apa.

Sumber: Flickr

Faktor yang buat kakchik tak setuju atau suka kain lycra ialah:
  • melekat di badan - alau tudung itu singkat atau labuh, tetap boleh nampak bentuk payu dara. Dah tahu nampak, beli juga, pakai juga. Seolah-olah secara sengaja menampakkan aurat kerana nampak bentuk badan yang sepatutnya disorokkan. Kakchik yakin sesiapa saja yang pakai tudung jenis kain lycra, bila berdiri depan cermin, mata tidak menipu anda. Boleh nampak kan besar atau kecil? 
  • muslimah jadi lalai dari konsep sebenar menutup aurat - semuanya nak mudah, nak cepat jadi pakailah tudung segera. Inilah perang saraf secara halus yang dimainkan syaitan. Jadi kita pun pilih tudung segera yang boleh didapati di pasaran secara mudah. Secara tak langsung, sikit demi sikit pemakainya lalai yang walaupun bertudung, aurat masih nampak, jadilah satu kerja yang sia-sia.
  • memalukan - Sebagai contohnya baru-baru ni kakchik menghadiri satu ceramah yang disampaikan oleh seorang penceramah wanita yang terkenal. Isi ceramahnya amatlah bagus tapi maafkan kakchik kerana terasa malu memandangnya kerana setiap kali dia berjalan bajunya yang besar berwarna polos dari kain lycra melekat di punggungnya lantas terus menampakkan bentuk pakaian dalamnya. Malu. Kalau kakchik, setiap kali memakai pakaian, beberapa kali kakchik berpusing depan cermin untuk pastikan pakaian itu tidak lekat di badan. Kadang-kadang minta suami jadi pemeriksa, semata-mata nak ambil langkah awal agar tidak memakai baju yang melekat. Jika ditiup angin tu cerita lain.

Jubah ialah pakaian yang berfungsi untuk menutup dan menjaga aurat seorang muslimah. Kriterianya ialah longgar, labuh, tidak jarang, tidak menampakkan bentuk badan. Tapi sayangnya hari ni fungsi jubah sudah diselewengkan. Jubah Moden, itulah istilah yang diguna oleh dunia fesyen untuk menarik minat muslimah kepada jubah yang potongannya mengikut bentuk badan.

Bukankah kita pakai jubah untuk menghalang mata-mata asing dari melihat bentuk badan kita? Kenapa kita boleh pergi pilih, beli dan pakai jubah-jubah yang macam contoh gambar di atas tu? Dipanggil pula pakaian yang 'telanjang' sebegitu sebagai Fesyen Muslimah. Mashaallah... pening sungguh. Habis keliru sebahagian kaum wanita dan pakailah mereka jubah muslimah yang seperti di atas tu. 

*Istighfar dan geleng kepala.*

Hati-hatilah kita bila memakaikan sehelai pakaian ke badan kita. Kakchik yakin kebanyakan kita mempunyai cermin tilik yang cukup besar di rumah tu untuk bercermin setiap hari. Cubalah ingat setiap kali menghadap cermin, tengoklah pakaian di badan tu. Kalau segalanya sudah bertutup, ok. Cek pula potongannya, ketat atau longgar? Nampak bentuk badan tak? Kalau nak kira baju kurung tu potongnya sudah boleh menyorokkan bentuk badan kita tapi zaman sekarang ni ada Baju Kurung Moden Lebih kurang saja dengan Jubah Moden.

Asal ada je perkataan Moden tu banyaklah yang tak kena pada pakaian kita.

Semak betul-betul sebelum kaki melangkah keluar dari rumah. Jangan sampai yang menjadi pengiring kita ialah Syaitan laknatullah. Nau'zubillah. 

* tudung lycra kakchik pun ada, buat anak tudung pakai untuk solat.

25.5.11

Muslimah Anggun Mutiara Keluarga

Assalamualaikum.

Insyaallah jika tiada aral melintang, esok kakchik akan membuka gerai sempena program di atas. Kalau tak silap kakchik program ini hanya dibuka kepada ahli Kelab Muslimat PMBK (Cempaka) dan tiket-tiket turut dijual kepada kakitangan kerajaan. 

Programnya cuma dari jam 2.00 petang hingga 5.30 petang saja tapi hari ni pun kakchik sudah agak penat membuat persiapan. Siang tadi sibuk dengan mesyuarat di Zahra' dan lepas kerja terus ke KTC untuk serahkan hadiah sponsor untuk cabutan bertuah.

Kebetulan masa kakchik sampai tu rehearsal pertunjukan fesyen sedang dijalankan. Sempatlah sebentar kakchik tengok model-model catwalk di atas pentas. Nampak eksklusif sekali penganjuran majlis ni. Penceramah jemputan adalah orang yang agak tersohor iaitu Dr. Robiah K. Hamzah yang banyak menulis buku-buku tentang psikologi rumahtangga dan remaja.

Malam ni tak sempat nak berlama-lama di facebook kerana ada banyak kerja nak dibuat sebelum berehat malam ini. Esok pagi nak uruskan penghantaran bungkusan abaya dan buku kemudian terus ke KTC untuk setup gerai jualan. Moga-moga Allah murahkan rezeki kakchik. Amin.

Makin ramai yang berniaga abaya

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Macam biasa setiap hari bila login ke internet, masuk dalam laman sosial facebook, kakchik dapat lihat pelbagai status yang mengiklan pelbagai bisnes. Alhamdulillah, nampaknya umat Islam hari ni ramai yang menjejaki sunnah Nabi Muhammad SAW iaitu dengan berniaga. Dalam banyak-banyak iklan tu dari sehari ke sehari kakchik lihat iklan menjual abaya semakin bertambah. Maknanya ramai di kalangan kenalan kakchik adalah penjual abaya seperti kakchik.

Deretan abaya menanti pelanggan. Sumber: Google

Alhamdulillah... itu tandanya bilangan pelanggan abaya di negara ini sudah meningkat berbanding setahun yang lalu. Bandingan ini adalah dari pemerhatian kakchik yang cuma setahun jagung dalam menjalankan bisnes abaya ni. Itupun secara sambilan saja. Mungkin bagi kawan-kawan lain seperti Kak Aida (Aidaabaya.com) dan Nora (Maratussolehah Abaya) yang telah bertahun-tahun dalam bidang ini secara sepenuh masa, mereka tentu lebih 'aware' dengan perkembangan ini.

Ini juga boleh dianggap petanda bahawa muslimah di negara ini makin berminat untuk menutup aurat dengan memakai pakaian besar, labuh dan hitam, mengikut sunnah isteri-isteri Nabi Muhammad SAW. Satu perkembangan yang sangat baik bagi kakchik. Walaubagaimanapun, masih ada sedikit yang perlu dibaiki bila memakai abaya ni iaitu pemakaian tudungnya yang kadang-kala terlalu singkat, jika tidak pandai lilit, akan ternampak leher dan rambut. Insyaallah masih boleh dibaiki jika si pemakainya benar-benar faham erti menutup aurat dengan sempurna.

Pertambahan peniaga-peniaga abaya secara online atau tidak ini sedikit-sebanyak pastinya memberi saingan kepada bisnes abaya kakchik iaitu ABAYA ELEGAN tapi tidak mengapa. Rezeki masing-masing insyaallah ada. Siapa yang gigih pasti beroleh pulangan yang lebih. Kadang-kadang kakchik rasa nak buat sepenuh masa saja bisnes ni dengan membuka butik, syarikat pun sudah didaftarkan (BUTIK ABAYA HANIZA) tapi masalah utama ialah modal. Sekarang nak kemaskinikan semula Rancangan Perniagaan sedia ada bagi memudahkan usaha mencari pelabor. Sekurang-kurangnya ada modal pusingan dan ada simpanan untuk apa-apa perkara luar jangka.

Berniaga ni kata orang jika kena niat dan aturannya mengikut Islam, insyaallah boleh menjadi satu jihad. Jihad yang macamana tu hanya Allah saja yang tahu. Bagi kakchik sendiri, dua jenis perniagaan yang kakchik jalankan ini ialah perniagaan yang amat dekat di hati kakchik. Bisnes buku adalah untuk mengajak orang suka membaca yakni meminati ilmu kerana dengan ilmulah kita boleh maju pemikiran dan tindakan. Berniaga abaya pula berkaitan dengan mengajak orang menutup aurat dengan sempurna. Pakaian yang baik ialah pakaian sunnah yang jika diamalkan insyaallah dapat pahala. Ringkasnya dua jenis perniagaan ini bagi kakchik ialah jambatan dakwah.

Kakchik cukup gembira melihat orang menjual abaya makin ramai dan pembeli/pemakai abaya juga makin ramai. Kakchik akan lebih gembira jika orang yang menjual abaya adalah contoh terbaik kepada para pelanggan mereka yakni merekalah yang terlebih dahulu memakai (dengan menjaga aurat dengan sebaik-baiknya) abaya dan menterjemahkan erti memakai pakaian sunnah itu dalam contoh fizikal dan nyata. Alangkah baiknya. Tentu indah sekali.

Moga-moga apa yang kakchik jual akan lebih mendekatkan hati kakchik dan hati-hati para pelanggan dengan Allah Ta'ala. Kakchik bimbang apa yang kakchik jual menyebabkan pemakainya jauh dari mengingati Allah dan sekadar mahu berhias sahaja. Takut kakchik menyumbang saham dosa pula. Na'uzubillah.

24.5.11

Tabungan dirham pun bermula.

 Assalamualaikum.



Langkah seterusnya ialah mengumpul dinar pula. Nak tukar duit ringgit kepada dirham sedikit demi sedikit. Sambil-sambil tu nak tukar kepada dinar barang sekeping dua.

Siapa di kalangan kalian yang menabung emas dinar dan dirham? Jemput kongsikan pengalaman kalian tapi TOLONG JANGAN NAK MENGIKLAN ya, nanti kakchik delete atau ban. Kakchik cuma mahu tahu pengalaman saja.

Status Halal Kembali Menjadi Isu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ni pagi-pagi buka akhbar dah ternampak berita tentang isu halal. Dalam minggu ni sudah 3 kes kalau tak silap kakchik tentang status halal beberapa syarikat yang terkenal. Mula-mula pasal syarikat Railway Kopitian di Kluang, lepas tu pasal Secret Recepi, kemudian tentang bebola daging di IKEA. Hari ni ada lagi berita baru dan kali ni berkenaan status halal tepung masakan pula.

Cuba baca,

DNA Babi Dalam Tepung Kek Jenama Terkenal

Oleh HAIRULAZIM MAHMUD

PETALING JAYA: Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mendedahkan penemuan mengejutkan iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.

Lebih memeranjatkan, blog Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), http://persatuanpenggunaislammalaysia.blogspot.com turut mendakwa bahawa bahan-bahan berkenaan kini dikatakan digunakan oleh rangkaian kedai pembuat kek terkenal dalam produk mereka yang sebahagian besar pelanggan adalah masyarakat Islam.

Laman web www.halal.gov.my milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut, mesyuarat yang diadakan pada 12 Mei lalu memutuskan permohonan Puratos Malaysia Sdn Bhd adalah tidak berjaya berikutan penemuan DNA babi berkenaan.

Jakim turut menyenaraikan bahan makanan itu digunakan rangkaian kedai kek berkenaan.

"Sehubungan itu, semua pemegang atau pemohon baru Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang menggunakan produk keluaran Puratos Malaysia Sdn. Bhd. dikehendaki menukar produk tersebut kepada produk lain yang memiliki sijil halal yang diiktiraf dan mengemukakan resit pembelian produk baru daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang diiktiraf.

"Selain itu, mereka perlu melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri," menurut laman web itu, Isnin.

Khamis lalu, tiga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret di Kluang atas dua tuduhan menjual kopi mengandungi DNA babi di kedai minuman, Kluang Rail Coffee tanpa meletakkan pernyataan kewujudannya pada label pembungkusan kopi itu.

Ketiga-tiga pengarah syarikat Rail Passion Sdn. Bhd. (Rail Passion) tersebut iaitu Lim Jit Chiang, 37, dan abangnya, Lim Jit Tong, 42, serta sepupu mereka, Lim Jit Chen, 58, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Syarikat pengilang Cheng Hiong Coffee Powder Trading pula menghadapi tuduhan menyedia dan membungkus kopi campuran dalam bungkusan yang belum dibuka dan tidak berlabel untuk jualan kepada syarikat Rail Passion.

Entah siapa yang perlu disalahkan. Sebab itulah orang Islam digalakkan menyediakan sendiri makanan dan mendapatkan bahan-bahan yang semulajadi. Masalahnya ada bahan-bahan makanan prose yang diperlukan terpaksa juga kita beli. Bila bisnes makanan dan minuman dikuasai bukan Islam, isu halal-haram memanglah mereka kurang beratkan.

Tabiat orang Melay-Islam pula masih ramai yang mengambil mudah dalam hal ni. Asal ada cop Halal, beli sajalah. Kadang tu kandungan makanan yang dicop di paket pun kita jarang ambil pusing. Harap-harap kita semua lebih berhati-hati bila membeli dan pihak Kerajaan juga lebih ketat penguatkuasaannya.

23.5.11

Sekadar luahan perasaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Horrible things can happen to anyone including me. Some are because of my own fault which I fail to manage properly. Be patient and don't stress out. Be focus, think about it wisely and let's try to find the solution.

Hari ni kepala kakchik ada rasa sakit sikit mungkin kerana agak tertekan dengan beberapa perkembangan terkini berkaitan kerja dan bisnes kakchik. Nak cerita kat sini susah sikit nanti ada pihak yang terasa hati. Sarat rasanya beban yang nak ditanggung tapi kakchik yakin Allah akan tolong kakchik mencari penyelesaiannya. Insyaallah.

I am not perfect but I'm trying to be efficient as much as I can in whatever I do. There are some obstacles that always make me feel ashamed and humble. I win some and I loose some.

Kedua-dua sedutan tulisan di atas adalah status kakchik di facebook untuk semalam dan hari ni. Gambaran kepada apa yang sedang kakchik hadapi sekarang ini. Mohon kalian doakan agar kemelut ini akan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin dengan penyelesaian yang tidak membebankan mana-mana pihak.

Sabar. Innallahamaa'ssobirin.

22.5.11

Apakah Dia 'Nuffnang Grapevine' ?

Assalamualaikum.

Sudah agak lama kakchik tidak menulis tentang Nuffnang. Kalau dulu tidak begitu ramai blogger yang meletakkan iklan Nuffnang di blog mereka, hari ni hampir kebanyakan blog yang kakchik singgah sama ada baru atau lama, pasti ada iklan Nuffnang dan juga beberapa pengiklan yang lain seperti Innity, Advertlets dan SkyAds. 


Baiklah, kakchik baru saja membaca entri blog Nuffnang berkenaan topik di atas tu. Barulah kakchik perasan apakah makna di sebalik drop-down (extension) iklan yang melekat pada iklan SS (skyscraper) di dalam blog Maribaca Blogshop beberapa minggu lepas. Kakchik ada terfikir, ini tentu sesuatu yang baru. Rupanya memang iya pun, iaitu Nuffnang Grapevine.

Kalau dibaca makna 'grapevine' ni bererti rangkaian kerana pokok anggur ni sifatnya menjalar. Boleh jadi Nuffnang mahu kita menggunakan iklan yang ada bagi meluaskan rangkaian kita di alam blogger ni. Kakchik dah baca apa yang ditulis dalam blog Nuffnang tadi. Yang menariknya Nuffnang Grapevine ni boleh,
you can share cool stuff with your friends AND get rewarded for it at the same time
Maknanya, bila kita kongsikan sesuatu yang menarik melalui iklan Nuffnang tu dengan rakan-rakan blogger, kita akan mendapat hadiah.

Untuk mendapat 'benefit' dari Nuffnang Grapevine ni, kita boleh juga menggunakan 'platform' lain seperti Twitter dan facebook. Tak percaya? Ni ada kakchik 'quote' dari blog Nuffnang.
allows you to share great news on your social media platforms, such as Twitter, Facebook and others and get rewarded for sharing it too!

Menarik kan? Bentuk iklan Nuffnang Grapevine ni macam ni:


Jadi, bagaimanakah benda ini berfungsi? Ok, mengikut artikel di blog Nuffnang tu, begini caranya:

-Click on any of the 4 big icons to start sharing on the corresponding platforms, but if you feel like spreading the great news on platforms other than those 4, you can click on ‘Share’ to copy the unique link, and share it anywhere else you fancy, really :)

- Fill in your email address in the blank provided, and you’ll receive an email on how you can redeem the earnings from clicks generated on the link you shared earlier!

Kalau tak jelas juga dan masih kurang faham, maka kita diminta ke sini: www.churpchurp.com/grapevine .

Mudah saja kan? 

Satu lagi perkara ni tak semestinya dibuat dengan adanya iklan Nuffnang di blog kalian tapi jika takde pun boleh. Ini yang ditulis dalam blog Nuffnang:
sharing of the URLs is NOT limited to Nuffnangers only. Even your blog readers who are not registered with Nuffnang can also share campaigns on the Grapevine and be rewarded for doing so! See why we named it the Grapevine? Now EVERYBODY can be a social media influencer, and talk about that cool ad running on your blog!

Win-Win situation kata omputih.  Sekali lagi, jika nak maklumat lanjut, sila singgah di sini:

Tanah Runtuh di Hulu Langat: Insyaallah Mereka Syahid

Assalamualaikum dan salam kasih sayang untuk semua.

Innalillahi wa inna ilaihi raajiun.

Al-Fatihah untuk semua anak-anak yatim yang telah terkorban dalam peristiwa tanah runtuh di Hulu Langat semalam. Takziah kepada keluarga semua yang terlibat dan juga pihak Rumah Anak Yatim Al-Taqwa yang telah mengalami kehilangan besar, nyawa dan harta-benda. Khabarnya beberapa orang yang dirawat kini dalam keadaan kritikal manakala masih ramai yang belum ditemui. Allahu Akbar.

Kakchik dari malam tadi terasa amat sayu dan sebak dengan kejadian ini. Lebih-lebih lagi Allah mentakdirkan ianya berlaku ke atas anak-anak yatim. Orang kata mereka mati syahid. Mashaallah. Moga-moga kematian mereka dan kejadian ini menjadi satu iktibar buat kita semua. Allah tidak pernah mentakdirkan sesuatu tanpa ada pengajaran di sebaliknya, hanya orang yang berfikir akan memikirkannya.

Di sini kakchik abadikan laporan muka depan 5 akhbar utama hari ini yang melaporkan peristiwa yang sama.






Allahu Allah. Nabi Muhammad saw sangat kasih kepada anak-anak yatim. Tambahan pula baginda juga adalah anak yatim piatu yang kehilangan ayah dan ibu di usia yang masih muda. Anak yatim ada disebut di dalam al-Quran dan Hadis. Mereka juga termasuk golongan asnaf yang boleh menerima zakat. Betapa besarnya pahala orang-orang yang membantu anak-anak yatim.

Semoga peristiwa ini menjadi peringatan kepada kita semua. Mungkin Allah mahu kita sebagai masyarakat lebih prihatin kepada maslahah kehidupan anak-anak yatim. Mungkin Allah mahu pimpinan negara ini lebih peka dan memandang berat segala urusan berkaitan dengan anak-anak yatim. Mungkin Allah mahu kita semua sentiasa ingat bahawa dalam setiap harta kekayaan yang dimiliki ada juga bahagian untuk anak-anak yatim. Mungkin... mungkin... dan mungkin. Hanya Allah yang lebih tahu segala matlamatNya, moga-moga kita mampu membacanya dengan mata hati yang insaf.

21.5.11

Hati-hati dengan niqabi palsu.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Alhamdulillah... syukur ke hadrat Ilahi kerana kakchik diizinkan sekali lagi untuk mencoretkan sesuatu di laman blog ini. Menulis kerana Allah. Insyaallah. Itulah yang kakchik cuba lakukan setiap kali kakchik menulis. Walaupun tulisan kakchik bukanlah bagus tapi kakchik harap ada isi dan inti yang bagus dapat diambil sebagai ilmu dan pengajaran buat kita semua.


Dalam minggu ini sudah beberapa kali kakchik mendapat pertanyaan tentang hal-hal berkaitan pemakaian purdah (niqab). Kalau nak ikutkan sudah banyak kali kakchik menulis di ruangan ini tentang purdah. Ada cerita pasal pengalaman pertama memakainya. Ada juga cerita tentang hari perkahwinan kakchik. Bagaimana membuat perubahan dalam berpakaian di hari besar dengan berpurdah? Pengalaman di universiti yang melarang pemakaian purdah di dalam kampus dan tak lupa pengalaman bekerja dengan berpurdah. Semuanya ada kakchik cerita sedikit-sebanyak di dalam blog ini dan KakChik's Wardrobe.

Apa yang pasti, memakai purdah ini adalah bukan perkara main-main buat diri kakchik. Kalau di masa awal memakai purdah dulu kakchik terpaksa 'pakai - buka, pakai - buka' kerana waktu itu kakchik masih di kampus tapi kini segalanya atas iman sendiri untuk memastikan kakchik istiqomah memakainya di mana perlu bagi menjaga maslahah diri yang selama ini mahu dijaga. Tidak pernah kakchik merasakan purda ini satu mainan. Ianya satu perkara yang serius yang perlukan sikap teliti semasa memakainya kerana sehelai purdah boleh menjadikan imej Islam naik dan sehelai purdah juga boleh menjadi perosak kepada imej Islam. Na'uzubillahi min zaalik.

Di dalam laman sosial seperti facebook, kakchik dapati ada ramai juga orang yang mempermain-mainkan pemakaian purdah. Ada yang berlakon sebagai pemakai purdah (niqabi), menyelinap masuk ke dalam senarai Friends muslimah yang benar-benar berpurdah semata-mata mahu mengambil kesempatan mencuri gambar, menyebarkan SPAM yang memalukan di Wall para muslimah tersebut. Yang berlakon sebagai niqabi itu antaranya adalah lelaki-lelaki songsang yang menjadikan pemakaian purdah sebagai satu Fetish (entah macamana nak hurai dalam bahasa Melayu).

Kakchik mendapat peringatan daripada beberapa orang sahabiah tentang beberapa nama pemilik akaun facebook yang menyamar sebagai niqabi dan telah mengganggu kehidupan beberapa orang muslimah akibat perbuatan jahat mereka. Antara nama yang dihantar kepada kakchik dan telah disahkan penyamar ialah: Salafiyyah Ummah (dulu dia pakai nama Amatullah Sulaiman) dari Pensylvania, USA. Peter Wild, nama pun sudah ada bau-bau liar dan memang liar sekali mencari gambar-gambar muslimah yang berpurdah. Saleema Begum dari India dan ada juga yang dari Indonesia dan Singapura tapi kakchik sudah lupa nama samaran mereka.

Tahun lepas kakchik ada menghantarkan mesej personal kepada ramai teman niqabi di fb agar REMOVE mereka dari senarai kawan masing-masing tapi masih ada yang terlepas pandang. Kakchik ingin mengambil peluang ini mengajak teman-teman semua meneliti rakan-rakan yang ada yang bersikap pelik misalnya, 

1. Selalu sangat mahu chatting di YM atau MSN atau apa-apa aplikasi chatting yang lain.
2. Minta kita pasangkan kamera online agar dapat melihat wajah masing-masing.
3. Meminta niqabi membuka niqab kononnya nak lebih kenal dan mereka beri alasan kamera mereka rosak jadi tidak dapatlah wajah mereka dilihat tapi mereka boleh melihat.
4. Kerap menulis komen di mana-mana gambar niqabi. Cth: "Alhamdulillah ukhti.", "Mashaallah, beautiful ukhti."
5. Bila ada yang meninggalkan mesej di Wall mereka, mesej tidak berbalas atau jarang dibalas.
6. Ada gambar-gambar pelik di dalam album foto mereka seperti 'women in mouth gags', 'bondage' dan 'latex'. 
7. Allahua'lam.

Mereka mempermainkan pakaian sunnah kita tapi kita terlalai sedikit dan menerima mereka menjadi Friend tanpa kita periksa latar belakang mereka. Purdah ini bukan mainan, maka ambillah sedikit masa untuk meneliti rakan-rakan yang kelihatan pelik di dalam laman sosial kita. Golongan yang suka mengambil kesempatan ada di mana-mana saja di dunia ini. Hatta yang berkunjung ke blog kakchik pun mungkin ada. Mohon Allah lindungi dari perbuatan khianat mereka.

Kakchik bukan mahu menakutkan kalian tapi mahu sama-sama mengingati agar kita dilindungi dari anasir jahat yang menyelinap masuk di kalangan kita. Kalau kalian bukan niqabi sekalipun, sama-samalah menjaga maslahah sesama muslimah kerana kita membawa imej Islam dan kita mahu menyebarkan Islam secara bersih. Marilah kita berhati-hati dengan perbuatan nigabi palsu terutama di laman fb.

Allahu'alam.

20.5.11

Dua kuliah untuk santapan jiwa

Assalamualaikum dan salam Jumaat yang mulian untuk semua.

Hari ni kakchik bersama keluarga agak sibuk kerana kami mengadakan kenduri kesyukuran untuk meraikan anak saudara kakchik, Muazzin Munzir dapat melanjutkan pengajian di UIA. Dari semalam kami membuat persiapan dan hari ni majlisnya bermula sejak lepas subuh lagi. Tetamu kami ialah para tetamu Allah di masjid padi tadi, rakan taulan Munzir dan sanak-saudara saja.

Jadi kakchik tak dapat nak ke Kota Bharu untuk mengikuti kuliah Jumaat yang disampaikan oleh Tok Guru dan seorang lagi penceramah yang lain (selalunya di kalangan EXCO Kerajaan Negeri). Namun, kakchik tak risau kerana kakchik masih dapat mengikuti kuliah mereka. Terima kasih kepada petugas yang berkenaan kerana dengan kemudahkan ICT, mereka telah memudahkan kita untuk sama-sama mengikuti kuliah Jumaat secara live dari Medan Ilmu, KB.

Hari ni kuliah pertama disampaikan oleh YB Dato' Mohd. Amar, ADUN Panchor.



Manakala kuliah kedua iaitu kuliah yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang ramai iaitu kuliah Tok Guru.



Semoga kita sama-sama mendapat makluman dan manfaat.

19.5.11

Pengajaran dari tetamu tidak diundang.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Lebih kurang sejam yang lalu kakchik ternampak seekor ular sedang berjemur di atas almari buruk yang diletakkan di luar rumah kakchik. Dari meja study bila kakchik angkat pandangan ke luar tingkap memang akan terus nampak ular itu kerana jarak almari tu dengan meja kakchik hanya dipisahkan oleh sebuah dinding bertingkap sahaja. Amat dekat.

Sang Ular sedang memandang kakchik.
 
Oleh kerana ia diam saja, kakchik mengambil kesempatan untuk mengambil gambarnya kerana nak melihat apakah jenis ular itu dari warna kulitnya dan gerak-gerinya. Kakchik memang suka tengok apa juga jenis haiwan yang muncul di sekitar rumah kakchik. Burung, tupai dan biawak adalah antara yang biasa ada. Tapi ular, inilah kali pertama.

Zoom 7x. Cantik kan ular ni?
 
Banyak gambarnya kakchik ambil sambil dalam hati asyik memuji kecantikan kulitnya. Memang cantik sekali. Kalau dibuat beg atau kasut memang sangat cantik tapi bukanlah itu niat kakchik. Subhanallah, Allah buat seekor binatang yang berbisa, berbahaya yang sepatutnya ditakuti manusia tapi ada juga manusia yang menggunakan kulit haiwan ini untuk mencari keuntungan. 

Lihat dari balik tingkap.
 
Semasa asyik mengambil gambar kakchik baru tersedar yang kedudukan ular itu adalah di tempat yang membahayakan ahli keluarga kakchik. Laluan tepi rumah ini menuju ke pintu belakang yang merupakan laluan ayah ke masjid setiap waktu dan adik pergi dan pulang dari mengajar di sekolahnya. Tambahan pula setiap petang anak-anak saudara kakchik memang suka bermain kejar-kejar di laluan itu.

Kepalanya naik dan bergerak-gerak.
 
Kakchik terus lari ke dapur ummi dan tunjukkan gambar ular itu kat ummi nak pastikan sama ada ianya membahayakan atau tidak. Bila ummi kata bahaya, kakchik dah tak sabar nak tunggu ayah balik dari  masjid nak minta ayah halau ular tu dari situ. Bila ayah cuba halau, ular pastinya cuba melarikan diri dan melawan jadi ayah pukul ia sampai mati. Kakchik bersama Bibik, Nana, Emran dan Adelia sama-sama lihat dari dalam rumah. Hati rasa kasihan tapi bimbang pula dengan keselamatan kami.
 
Sudah mati.
 
Akhirnya ulat itu mati. Semoga Allah ampun dosa-dosa kami jika sekiranya apa yang kami buat terhadap ular tu hari ini adalah salah. Pada hemat kakchik, ayah memukulnya sampai mati tidak salah kerana ingin menjaga keselamatan kami sekeluarga.Teringat peristiwa ular masuk dalam pejabat kakchik di Zahra' tahun lepas, rupanya hampir sama dengan ular di atas. Tapi yang itu pembantu kakchik tangkap masukkan dalam plastik dan buang di kawasan hutan belakang Zahra'.

Bila kakchik poskan 2 keping dari gambar-gambar di atas ke FB, ada kawan yang menyebut tentang sika kubur yang mana datangnya ular, kala dan sebagainya mematuk dan menggigit badan kita jika kita hidup atas dunia ni tidak sebagai hamba Allah yang soleh. Ada pula yang mengatakan mungkin ia jin yang berupa haiwan memerhatikan kakchik. Allahua'lam. Apa yang pasti, kakchik teringat akan mati. Mati boleh datang bila-bila masa. Ada orang mati dipatuk ular tapi ramai juga yang sembuh. Ada orang mati terkejut, serangan jantung kerana takutkan ular w/pun ular itu hanya duduk diam saja. Ada orang mati kerana mengelakkan ular di tengah jalan. Hakikatnya seekor ular boleh menjadi punca kematian, boleh juga menjadi punca kita ingat kepada mati.

Allahu Akbar.

18.5.11

Forum Umrah Perdana

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Jumaat lepas kakchik ikut cik abe ke program yang dianjurkan oleh majikan dia di Balai Islam, Lundang. Sebenarnya pagi yang sama kakchik ada usrah MOTHERS tapi kerana kami hanya punya sebuah kereta sahaja dan program cik abe bermula lebih awal maka kakchik ikut dia ke sini.


Tak rugi langsung kakchik ke sini walaupun tidak dapat mengikutinya sampai habis kerana jam 9.45 pagi kakchik dah keluar meninggalkan majlis untuk ke usrah. Nasib baik tempat usrah berpindah dari rumah Kak Dah di Kg. Kemumin ke rumah Nikmah di Kubang Kerian, tidaklah jauh sangat untuk kakchik ke sana dan kemudian nak ke Balai Islam lagi mengambil cik abe.

Kakchik sempat mendengar ahli panel yang pertama iaitu Ust. Saibon Ismal memberikan huraian tentang falsafah haji & umrah. Katanya, bila kita hendak pergi menunaikan haji atau melakukan ibadat umrah, kita anggaplah kita pergi menuju kematian kerana, pakaian kita ada persamaan. Iaitu bila kita mati pakaian kita ialah kain kafan berwarna putih. Tiada pakaian lain yang dipakai melainkan kain kafan sahaja. Manakala bila kita ke Mekah, pakaian kita ialah ihram juga berwarna putih. Kita juga diminta tidak memakai pakaian lain selain kain ihram.

Bila kita mati orang yang akan tolong bukakan pakaian kita untuk memandikan kita tapi bila kita nak menunaikan haji/umrah, kita masih mampu membuka sendiri pakaian kita. Maka lebih baiklah kita usahakan untuk melakukan ibadat yang terbaik sepanjang di Mekah dan kembali ke tanahair menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa kepada Allah. Benar-benar menolak syaitan dengan hidup dengan cara Islam, menyokong perjuangan Islam dan menentang taghut.

Kata ustaz lagi, ibadah haji & umrah ialah ibadah yang mengajar kita tentang sifat sabar. Ini kerana sepanjang perjalanan untuk memulakan, melakukan hinggalah selesai kita akan merasai banyak ujian kesabaran. Kadang-kadang kita diuji dari lapangan terbang lagi misalnya pengurusan passport dan visa yang begitu lambat dan tidak cekapnya di lapangan terbang Arab Saudi. Ramai yang kecundang dalam ujian sabar di sini lagi. Betul juga kata ustaz, kita ni setiap hari diuji dengan kesabaran. Bila berlaku sesuatu, ayat pertama yang disebut kepada kita ialah, "sabar...". Mungkin kerana memang susah untuk bersabar dengan sebenar-benar sabar.

Semoga kita sama-sama berjaya dalam ujian kesabaran di dunia ini lebih-lebih lagi bila kita mahu sama-sama perjuangan cara hidup Islam di dalam negara yang sekular. Yang baik kita buat kadang-kadang dipandang buruk. Fitnah menjadi bahan bualan harian dan mengumpat ibarat perkara biasa. Kita memang banyak kena sabar tapi kena jelas, sabar bukan bermakna diam dalam setiap keadaan. Sabar mestilah kena dengan keadaan.

Allahua'lam.

Kasih Sayang Suami Isteri

Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz dan isteri, Hjh. Tuan Sabariah Tn. Ishak

"Orang zaman dulu miskin sampai nak beli selimut pun tidak ada duit. Ada suami isteri yang tidur berlaga belakang sebab nak tumpang panas. Tapi alhamdulillah sampai ke tua tak pernah berbalah sampai cerai berai. Orang hari ini gaji besar, dua tiga bulan bercerai. Ini menunjukkan bahagia itu bukan pada harta yang banyak, tetapi pada jiwa yang tenang. Tenang ni bukan boleh dibeli di market, tapi ia datang daripada Allah SWT..."

Ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada Kuliah di Medan Ilmu 5 Januari 2010.

14.5.11

Sedikit Sumbangan Untuk Gerakan Islam

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Kakchik sebenarnya agak keletihan selepas seharian bertugas di Muktamar Dewan Muslimat PAS Kelantan. Tugas kakchik hanyalah sedikit cuma iaitu sebagai petugas Media yang perlu mengemaskini perkembangan muktamar dari awal hingga akhir di dalam facebook DMPNK. Itu saja yang mampu disumbangkan.

Walaupun kakchik cuma menggunakan minda, mata, telinga dan jari-jemari untuk mengemaskini fb DMPNK, malam ini kakchik terasa kesannya. Duduk begitu lama di kerusi dengan hanya bergerak sedikit-sedikit agaknya telah menyebabkan tulang belikat dan pinggang kakchik terasa sedikit lenguh. Tadi cik abe ada tolong urutkan sebentar tapi mana dia boleh lama-lama mesti dia nak geletek kakchik. 

Biarlah letih sedikit yang penting, kakchik syukur dapat juga menyumbangkan sedikit kemahiran yang ada. Walaupun nampak remeh saja tapi bukan semua orang yang sanggup nak berfikir, memasang telinga, memerhati, menilai dan seterusnya mengarang berita-berita. Boleh jadi sakit kepala jika tak kena cara. Alhamdulillah, dalam letih hati rasa gembira dan puas.

Tak mahu tulis panjanglah sebab nak rehat sementara menantikan Isyak. Jomlah tengok sedikit gambar semasa muktamar siang tadi. Kalau nak tengok lebih banyak, kenalah masuk fb DMPNK, insyaallah masih ada banyak lagi rakaman kenangan sepanjang siang tadi.

Pendaftaran perwakilan di waktu pagi.
Pegawai Pembantu Armalah DUN dengan uniform lengkap menyambut tetamu.
Pentas utama sebelum muktamar bermula.
Ketibaan isteri Tuan Guru MB, Datin Bentara Setia Hjh. Tuan Sabariah Tn. Ishak (kanan).
Satu sudut pandangan dalam dewan semasa pembukaan muktamar.
Para Perwakilan semasa Majlis Perasmian.
Para Pemerhati.
Tak perlu diulas lagi.
Menutup muktamar dengan Doa Wehdah.
Demi Islam, sumbangkan apa yang mampu agar esok-esok tidak menyesal.

Demi anak cucu, agama kita kekalkan. Itulah Islam tak lain tak bukan. [DMP Rantau Panjang, Nik Natrah]

12.5.11

Menukar Tema Blog Kerana Bosan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Malam tadi kakchik tiba-tiba saja rasa bosan sangat melihat tema blog kakchik yang sebelum ni iaitu Inove, rasa sedikit serabut bila melihatnya. Ingatkan bila dah guna Inove ni tema blog Keluargaku Sayang akan bertahan lama dengannya tapi bila hati ula rasa tak puas hati, kakchik cuba kepada tema yang baru iaitu Typominima seperti yang kalian boleh lihat sekarang ini.


Tema Typominima inipun mungkin hanya bertahan hari ni saja sebab kakchik masih tak puas hati sangat dengan rekaletaknya dan masalah di bahagian header tu. Perasan tak ada dua header? Penat dok cari kod untuk membuang salah satu terutama yang atas tu. Secara kasarnya kakchik suka jenis minimalis ni tapi kena cari yang lebih memuaskan hatilah untuk tidak membuang masa menukarnya berkali-kali.

Sekarang ni kakchik sedang mencuba beberapa tema yang lain dan mungkin dalam masa tak lama sangat kalian sudah boleh melihat tema baru bila kalian masuk ke blog Keluargaku Sayang ni. Kakchik harap para tetamu kawal dulu perasaan geram sementara kakchik kemaskinikan tema blog kakchik yang baru. Harap maafkan kakchik ya.

11.5.11

Terima kasih Tuhanku


Setelah banyak hari menanti
kadang Engkau acah-acah kami dengan mendung
dan turunlah hujan setitik dua
kemudian panas kembali membahang
menghangatkan luar dan dalam
hinggakan tidur malamku tanpa selimut
menyapu peluh merintik
yang di pagi esoknya merembes bau masam
Setelah banyak hari menanti
petang tadi kulihat langitMU kembali gelap
dari kelabu menjadi hitam
seperti amat berat akan jatuh bila-bila masa
sambil menanti suamiku
tiba-tiba
tup... tup... tup... tap... tup tap...tup tap tup tap
tup tap tup tap
tatatatatattatatattatatatatata......
rintikan hujan yang dirindui akhirnya luruh jua.
Terima kasih Tuhanku
kerana memberiku nyaman
dari panas yang berpanjangan.
Moga segalanya indah.

9.5.11

Apa Yang Kita Telah Buat Untuk Islam?

Assalamualaikum dan sejahtera semua.

Hari ni kalau tulisan kakchik ni macam emosi sangat, harap kalian berlapang dadalah ya. Kakchik ni terasa geram dengan muka depan surat khabar yang sibuk pasal isu orang nak jadikan Kristian agama rasmi kat negara kita ni. Memanglah... kakchik pun tak suka, dan tak redha jika agama Nasrani tu dijadikan agama rasmi negara kita sedangkan dalam Perlembagaan dan kata ISLAM ITU AGAMA RASMI di Malaysia ni. Bukan itu saja, kakchik memang tak sanggup terima kerana kat negara kita ni majoritinya orang Islam, maka selayaknya agama Islam menjadi agama yang utama.

Tapi... bukan isu itu yang kakchik nak bicarakan. Yang kakchik geram ni, bila perkara macam ni berdegang-degang dalam akhbar, kononnya marah, kononnya pejuang agama, kononnya sayangkan Islam, kononnya kerana pembangkanglah maka isu nak Kristiankan Malaysia ni wujud. Allah... pernah fikirkah, siapakah punca isu ini berlaku? Orang Kristian, sudah lama Allah sebut dalam Al-Qur'an yang mereka tak akan redha dengan kita selagi kita tidak ikut agama mereka atau ikut cara hidup mereka. Dah sah kita tahu pasal tu, jadi selama ni apa yang kita sungguh-sungguh buat agar agama kita sentiasa dihargai, dihormati, disayangi dan dicintai dengan sebenar-benarnya dalam negara ini?

Pemimpin negara sibuk dengan pembangunan, kononnya itulah Islam. Ok, betul dari satu segi, Islam memang nak kita umatnya ini membangun kerana jika kita mundur manakala musuh-musuh Islam pulak maju, bagaimana kita nak hadapi mereka secara fikiran, fizikal dan sebagainya? Membangun dan maju itu penting untuk Islam tapi dalam masa yang sama MEMBANGUNKAN PERIBADI juga sangatlah penting. Pembangunan akidah, ini yang sangat kurang dilakukan. Ini bukan kerja mereka yang bergelar ustaz ustazah, haji lebai, tok-tok imam atau ulamak saja. Ini kerja kita semua... kita nak beragama Islam ni. Agaknya inilah padahnya bila sibuk nak asingkan agama dari kehidupan. Agama hanya untuk nama, nikah-kahwin, hal rumahtangga, halal-haram makanan dan beberapa hal lagi.

Tapi, jangan cuba nak libatkan agama dalam politik, jangan nak campur hal agama dalam kehidupan sosial, jangan nak bercakap pasal agama kalau mengaji dulu bidang perubatan, kejuruteraan, sains komputer atau apa saja. Kalau nak bercakap hal agama, jadi ustazah dulu. Eh, habis tu, siapa yang Allah maksudkan sebagai KHALIFAH tu? Bukan kita ke? Siapa ya? "Entah, tak tahu. Malas nak ambik tahu. Aku bukannya tahu nak bercakap agama. Kan aku cakap kan ada yang perli, ada mengata. Malu ah." Banyak ayat macam tu yang kakchik baca dalam blog, dalam facebook atau dalam majalah. Kenapa kita malu sangat atau takut sangat nak bercakap pasal Islam? 

Nabi Muhammad s.a.w. kata, "Sampaikan olehmu walaupun sepotong ayat." Tengok tu, tak perlu nak jadi ustaz/ustazah untuk menjadi pendakwah ni. Tahu satu perkara, berdakwah dengan satu ilmu yang kita tahu tu. Dalam masa yang sama kita pun kenalah amal dengan berterusan. Orang panggil, ISTIQOMAH. Sebab itu kakchik menggunakan segala kemudahan yang ada untuk cerita tentang Islam, cerita tentang kehidupan mencintai Islam, cerita tentang perjuangan sebuah kerajaan yang mahu meletakkan Islam dalam hati rakyatnya, berkongsi setakat mana ilmu dan kefahaman yang kakchik ada tentang indahnya hidup cara Islam ni. Kakchik bukan ada pendidikan formal dalam bidang agama tapi sejak kanak-kanak lagi kakchik dibesarkan dalam lingkungan perkampungan yang majlis ilmunya amat subur, alhamdulillah. Dapatlah juga tempias ilmunya sikit-sikit.

Kakchik bukannya pandai atau ada kuasa untuk menentukan undang-undang di negeri ini apatah lagi di negara ini tapi jika kakchik dan kalian semua bersatu atas nama Islam, benar-benar perjuangkan Islam sebagai cara hidup di Malaysia ni, kita semua pasti akan berusaha agar Kerajaan kita melaksanakan dasar-dasar pemerintahan Islam di neara ini. Siapa tak sayang negeri/negara sendiri kan? Marilah kita sama-sama tolong jalankan kerja dakwah semampu yang boleh dalam ruang-ruang yang kita ada ilmu dan kemahiran. Moga-moga kita dapat membantu mengubah pemikiran orang Kristian terhadap Islam dan mengembalikan kecintaan oarang islam di negara kita ini terhadap cara hidup Islam. Bukan kerja mudah tapi kalau ramai-ramai pakat usaha dengan sepenuh hati, insyaallah ada sinar untuk Islam di no. 1.

Oh ya, kalau sesama kita timbul perasaan benci, marah, curiga atau sebagainya, cepat-cepatlah kita istighfar dan mohon perlindungan Allah dari Syaitan yang direjam kerana bala tentera Syaitanlah yang banyak memainkan peranan dalam memecah-belahkan silaturrahim antara kita, membisikkan propaganda, tipu-daya dan sebagainya di kalangan umat Islam yang cintakan Islam sebagai cara hidup. Kita jangan lupa, SYAITAN IALAH MUSUH KITA YANG TIDAK PERNAH TIDUR.

Allahu'alam.

8.5.11

Niqab untuk mendidik jiwa: Rozita

“Memang ada mulut yang cakap, nak tengok berapa lama saya akan bertahan dengan niqab ini sewaktu saya mula-mula mengenakannya. Waktu itu saya sekadar membalas dengan jawapan, saya juga tertanya-tanya berapa lama diri saya mampu melakukannya.

“Alhamdulillah, sekarang sudah masuk tahun ketiga memakainya dan saya kian selesa,” ungkap wanita jelita yang tidak ralat mengakui usianya sudah melewati angka 40.

Menyambung bicara dengan sedikit bauran tegas, pemilik nama Rozita Ibrahim yang sinonim dengan jenama kecantikan Sendayu Tinggi ini berazam untuk mempertahankan pendirian memakai niqab sebagaimana Allah terus mengurniakan rezeki dan kesihatan dalam hidupnya.

Muka tengah akhbar Sinar Harian 8 Mei 2011.

Benar, secebis niqab mungkin tidak termasuk dalam pakaian wajib untuk menutup aurat wanita Muslimah tetapi bagi Rozita, ada misi penting di sebalik pemakaiannya.

“Niqab membantu saya untuk mendidik jiwa dan menjaga hati daripada dirasuk perasaan riak. Saya tak malu untuk mengaku, sebelum ini hati masih kotor walaupun bertudung.

"Saya sering kalah bila syaitan berbisik agar bersolek setiap kali ke luar rumah sesuai status selaku pengasas produk kecantikan,” ucapnya dengan nada lirih.

Dari segi lain kata Rozita, bonus memakai niqab menjadikan kulit wanita lebih cantik dan cerah. Berdasarkan pengalamannya sendiri, alahan pada habuk dan pendingin hawa yang dialami selama ini turut hilang dengan sendirinya.

Begitu pun, dia masih wanita biasa yang berpijak di bumi nyata. Apabila berada di rumah, pejabat atau dalam kereta, sekali sekala niqab akan dibuka untuk keselesaan bawah mata terutamanya. Maklumlah, kawasan berkenaan amat lembut jadi tekanan berterusan boleh menyebabkan keletihan dan menambah garis celaru.

“Untunglah saya bertemu seorang ustazah yang memperkenalkan dengan kain yang selesa dan senang ‘bernafas’ untuk dijadikan niqab,” ujarnya.

Melebarkan perbualan, Rozita yang kini lebih senang menggantikan senyuman dengan anggukan kepala sebagai tanda hormat berkongsi kegembiraannya melihat kian ramai wanita mengenakan niqab. Malah kunjungannya ke Baitullah hampir saban tahun turut mencatat kisah manis tersendiri.

“Setiap kali ke tanah suci, ramai wanita sana memegang niqab saya lalu bertanya di mana boleh membelinya? Saya katakan pada mereka, ia ‘home made’ dari Malaysia.

“Kebanyakan mereka terkejut kerana wanita dari negara kita atau Indonesia jarang mengenakannya berbanding mereka yang berasal dari benua Arab,” tutur Rozita yang mempunyai tidak kurang 30 helai niqab dalam simpanannya.

Biasanya, mereka tertarik kerana niqab yang dipakai Rozita tidak hanya hitam malah pelbagai warna untuk disesuaikan dengan tudung. Sesetengahnya dihiasi labuci kerana sebagai peminat fesyen Rozita berpendapat, niqab tidak semestinya perlu legam.

“Di Masjidil Haram dan Madinah, saya pernah bertemu wanita berniqab yang terdiri daripada golongan profesional menetap di London atau Cape Town. Kami berkongsi cerita tentang kelebihan memakai niqab.

“Mendengar cerita bagaimana mereka kadangkala terpaksa meninggalkan niqab kerana tuntutan keadaan, saya berasa cukup bertuah kerana mampu memakainya secara bebas di tanah air sendiri,” kata Rozita yang tidak menafikan, sesetengah orang masih mampu mengenalinya meskipun sebahagian besar wajah sudah dilindungi.


TUMPU PADA HERBA

Dalam pada itu, tumpuan Rozita terhadap perniagaan kosmetik yang terus berkembang kini diperturunkan kepada anak. Manakala dia, memilih untuk memberikan perhatian ekstra kepada ST Bio Herbs yang mengkhusus kepada produk-produk berasaskan herba.

“Bapa mentua merupakan bekas guru besar yang menjadikan perubatan moden cara terakhir bagi mengubati sakit. Minat pada cara perubatan lama bercambah apabila beliau berkongsi banyak informasi tentang herba, sesetengahnya saya sendiri tidak pernah dengar namanya.

“Melalui bapa mentua juga saya mengenali tanduk rusa, celaka merah, lemuni dan sebagainya. Kesemua tumbuhan herba ini saya tanam di rumah untuk mencuba sendiri khasiatnya,” bicara Rozita yang memang gemar berkebun.

Sebahagian tumbuhan yang sudah lama menghiasi laman rumahnya ialah orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong, kari, limau purut, mas cotek, dukung anak, temu kunci, temu giring, lampoyang dan kunyit hitam.

Antara penemuan herba yang menakjubkan bagi Rozita ialah khasiat lemuni bagi menguruskan badan wanita selepas bersalin. Selain itu, tumbuhan berdaun ungu ini boleh digunakan sebagai pelengkap ramuan nasi lemak dan nasi ulam.

Sementara celaka merah dan tanduk rusa, mampu mengubati sakit sendi dan tulang.


ELAK sunyi

Memandangkan pecahan masa terhadap perniagaan kian kecil, Rozita mengisi rutin hariannya dengan menikmati masa berkualiti bersama keluarga dan anak-anak; Nurhayati, Alif Syukri, Aiman Hazim, Nurazizah, Nurain Sufiyah dan si kecil, Maryam Nur Amani, yang baru berusia setahun tiga bulan.

“Bila usia kian beranjak, saya tidak mahu kehidupan menjadi sunyi. Ada sahaja perkara ingin saya lakukan. Sekarang saya gemar memandu agar cekap mencari jalan untuk ke mana-mana.

"Jadi mudahlah saya memenuhi impian menghadiri majlis agama di dua masjid berbeza setiap minggu. Mudah-mudahan, saya bukan sahaja mendapat ilmu yang pelbagai tetapi juga dapat bertemu lebih ramai kaum Muslimah untuk berkongsi buah fikiran baru,” akhiri Rozita yang turut menjadikan usrah di rumahnya pada setiap malam Ahad satu kelaziman.
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs