Followers

31.8.11

Cerita Bergambar: Hari Raya Pertama Penuh Meriah

Bismillah. Assalamualaikum dan Salam Aidilfitri kepada semua tetamu kakchik yang menyambutnya semalam. Alhamdulillah.

Kakchik agak kepenatan kerana raya kali ni seluruh ahli keluarga balik beraya di kampung jadi banyaklah aktiviti yang melibatkan makan-makan dan sebagainya di rumah ummi dan ayah. Maknanya semua orang pun terlibat dalam penyediaan, masak-memasak, basuh-membasuh dan melayan kerenah ahli keluarga terutama yang kanak-kanak tu dan juga para tetamu. Meriah. Jadi kakchik tak akan menulis panjang tapi sekadar nak kongsikan gambar-gambar saja. Oh, semalam juga ialah hari ulangtahun kelahiran anak saudara kakchik, Amriena, yang ke-6. "Selamat hari ulangtahun kelahiran Nana!"

Meraikan hari ulangtahun kelahiran Nana (bertopi) pada 30 Ogos.
Beramai-ramai memeriahkan Nana selepas balik dari solat sunat Aidilfitri.
Majlis suka-suka saja. Sekadar makan dan bergembira sesama ahli keluarga.

Itulah sedikit gambar di sebelah pagi selepas kami balik dari solat sunat hari raya di Masjid Pulau Melaka. Tahun ni pengalaman pertama bagi kakchik, solat sunat sambil mendukung Eqbal. Alhamdulillah tidak ada masalah dan Allah bagi tenaga dan konsentrasi yang baik. Syukur alhamdulillah.

Adelia berbaju kurung di pagi raya. Belum pun setahun, sudah boleh
bercakap dan berjalan. Alhamdulillah.

Chenah dan Khatim sebaya Adelia.
Iffah, Syuhada dan Nana sibuk nak menulis di pagi raya.

Selepas saja makan-makan sesama ahli keluarga, tetamu pun mulai datang dan kakchik tak sempat dah nak ambil gambar. Kamera pun simpan saja di dalam beg. Di hari raya ada juga tetamu yang datang membeli abaya. Alhamdulillah. Takde niat nak berniaga tapi bila rezeki datang tak kan kakchik nak tolak kan? Terima kasih kepada tetamu yang sudi membeli abaya kakchik. Nanti bolehlah singgah ke BUTIK ABAYA HANIZA @ Abaya Elegan Lovers ya.

Itu saja sedikit kenangan di Aidilfitri. Sebelum kakchik akhiri entri ini, suka nak abadikan kata-kata dari seorang sahabat, Kak Sarenawati tentang hari raya dan Ramadhan. Kata-katanya amat terkesan di hati.
Words that stuck to my mind after khutbah Raya were ' jadilah hamba Allah, jangan jadi hamba Ramadhan'. Deep!

30.8.11

Salam Aidilfitri Dari Kami Berdua.


Takut & Harap di Aidilfitri

Kekadang mahmudah tidak kecapaian
Hanya dengan tekunnya amalan
Tapi harus ditempa oleh tusukan ujian
Dari kesakitan, kegagalan dan…
persengketaan
Seringkali dosa dan mazmumah
Ditandai oleh perpecahan ukhuwah
Sejauh mana kasih sesama manusia
Dibatasi oleh cinta pada yang Esa
Teguh iman, kukuhlah perpaduan
Kekadang Allah menyempitkan…
Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
Kekadang Dia melapangkan…
Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
selain-Nya!
Ya Allah,
semoga di kemeriahan Syawal nanti
Hati kami tetap di madrasah Ramadan
Dalam alpa dan berdosa… kami takut
Dalam ingat dan taat… kami harap
Takut kemurkaan-MU!
Harap keampunan-MU!
Allah hu Akbar… Allah hu Akbar…
Walillahhilhamd!

29.8.11

Hari Raya Lebih Bererti Bila Sekeluarga Berkumpul

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam Ramadhan kepada semua teman-teman blogger.

Alhamdulillah bertemu lagi kita di hari terakhir Ramadhan 1432H. Syukur kerana Allah masih izinkan kita menunaikan ibadah puasa hingga ke hujung Ramadhan. InsyaAllah esok kita semua di Malaysia akan merayakan kemenangan berpuasa sebulan dengan berhari raya Aidilfitri.

Kakchik dapat merasakan kebanyakan dari kita pada hari ini telah berada di kampung masing-masing. Tak kiralah kampung itu memang di kampung atau kampung itu letaknya di bandar. Kampung kakchik pun dah moden sekarang ni tapi bila adik-beradik balik ke kampung ini, kemeriahannya sangatlah terasa.

Kami sembilan beradik dan semuanya telah berkeluarga kecuali adik kakchik yang perempuan tu. Abang-abang berdua dan adik lelaki bongsu yang tinggal di Lembah Kelang, semuanya pulang sejak semalam. Kakak yang di Perak pun balik. Selebihnya lima beradik lagi memang tinggal dan bekerja di Kelantan. Bayangkan betapa meriahnya rumah ummi kakchik pada hari ni.

Laluan keluar-masuk yang penuh sesak.

Mana kereta kakchik ya?

Parking lot yang luas pun mula menjadi sempit. Kalau ada kereta sesiapa yang dok di depan, alamat kenalah tuan punya kereta yang kat belakang sekali (kereta kamilah tu) mengalihnya. Traffic jam hehe. Bila lihat suasana begini dalam hati ni terasa sangat-sangat syahdu. Bukan mudah nak berkumpul semua beradik seperti hari ni.

InsyaAllah hari ni kami akan berbuka puasa beramai-ramai lagi seperti petang semalam cuma semalam abang yang sulung sekeluarga terpaksa berbuka di Terengganu (dalam perjalanan balik) kerana lambat sampai. Jalan sesak sekali khabarnya. Entah berapa juta rakyat Kelantan yang bermastautin atau bermukim di luar telah kembali ke negeri untuk raya kali ni.

Kalau nak ke KB, huhu baik tak usah. Nantikan terhilang sabar pula sebab jalan penuh sesak. Pilihan kedua ialah ke KK atau ke PC jika mahu membeli-belah. Itupun tiada jaminan jalan tak sesak. Hari ni kakchik terpaksa juga keluar ke mana-mana bandar untuk sedikit urusan di bank. Harap-harapnya takdelah sesak sangat.

Oklah dulu kawan-kawan. Selamat bercuti dan berhari-raya bersama keluarga ya tak kira di mana saja anda berada.

28.8.11

Perkongsian: Perbezaan Tudung Labuh dan Tudung Biasa


Mungkin tudung biasa pun dah kira menutup aurat, tapi tudung labuh tu lebih berhati-hati (taqwa) daripada tudung biasa kot-kot ditiup angin dan sebagainya.

Saya andaikan disini tudung biasa tu adalah tudung yang tak labuh, cukup-cukup makan je tutup aurat menurut al-Quran. Tudung bungkus aurat tak termasuk penulisan saya ni sebab saya tak iktiraf tudung berkenaan sebagai menutup aurat.

"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian TAQWA itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat." (Al-A'raf: 26)

===================================

Imam Ibn Kathir menerangkan di dalam tafsirnya, bahawa Umar Al-khattab r.a pernah satu ketika di tanya oleh sahabat Ubay bin Ka'ab r.a tentang erti taqwa, lalu dijawabnya:

Ertinya: Pernahkah engkau melalui satu jalan berduri?

Jawab Ubay: Pernah

Umar: Bagaimana kamu lakukan?

Ubay: Aku sentiasa bersedia, peka dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri.

Umar: Itulah juga sifat taqwa.


====================================

Seorang lagi sahabat, iaitu Abu Darda r.a berkata:

"Kesempurnaan taqwa itu adalah sentiasa seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah (arahan dan larangannya) walau dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekalipun, kerana takut jatuh di dalam yang haram."

Apa yang dikatakan oleh Abu Darda ini BERSUMBERKAN sebuah hadis nabi, yang ertinya :

"Tidak akan sampai seorang hamba ke darjat orang bertaqwa sehingga dia meninggalkan yang hal kecil yang mungkin tidak mengapa, kerana bimbang jatuh di dalam yang ditegah Allah." (Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari dalam At-tarikh)


===================================

Ali Bin Abi Talib merumuskan ciri taqwa itu sebagai :

"Taqwa itu adalah TAKUT kepada (azab dan murka) Al-Jalil (Allah), YAKIN teguh dengan apa yang diturunkan (seluruh inti Al-Quran), REDHA dengan sedikit (nikmat dunia), SEDIA menghadapi hari pemergian kematian)."

===================================

Jadi, pada asalnya, bertudung labuh adalah ciri-ciri pakaian orang yang bertaqwa.. Namun, telah banyak diselewengkan oleh orang lain... Ada yang mencampur adukkan pakaian syuhrah, ketat sendat di leher dan sebagainya..

Allahurobbi....
Jadi, pakailah pakaian yang bertaqwa.....
InsyaAllah... Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa..

===================================
NOTA KAKCHIK: Assalamualaikum teman-teman semua. Artikel ini kakchik salin dari FB syahirul.com sebagai perkongsian ilmu dengan kalian semua. Semoga artikel ini memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah. Saling beringat-ingat antara kita adalah satu amalan yang baik. Di akhir Ramadhan ni kakchik ingin kita sama-sama berkongsi sesuatu yang baik demi kehidupan yang lebih bahagia di akhirat nanti.

27.8.11

Menjenguk Mak Ayah di Kampung

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.

Semalam, sebagaimana yang kakchik sebut dalam entri sebelum ni, kakchik dan cik abe beserta 2 orang anak saudara telah balik menjenguk Mak dan Ayah mertua kakchik di kampung. Syukur alhamdulillah, dapat juga balik menziarahi mereka dan keluarga walaupun sebentar saja. 

Sawah menghijau, Amriena dan Emran yang ikut kami balik kampung.

Budak-budak berdua tu, Amriena dan Emran tak sangka pula elok dan seronok saja mereka berada di sana. Sepanjang perjalanan yang tidaklah lama mana pun, masing-masing duduk diam je di dalam kereta kecuali si Emran yang asyik merungut sebab pakaian yang kakchik gantung di tingkap terkena lengan dia hehe. Selepas dipujuk, terus diam dan terlena.

Setiap kali dapat balik kampung (kakchik pun duduk di kampung tapi kampung kakchik ni moden sikit berbanding kampung cik abe), hati kakchik sangat gembira. Dapat jumpa Mak dan Ayah yang jarang-jarang sekali dapat bertemu dan berbual mesra. Sebagai menantu, kakchik ni masih terlalu sedikit berbakti kepada mereka. Syukur kakchik ini bersuamikan orang kampung yang keluarganya menerima kakchik dengan baik sekali.

Semasa kakchik dan Mak di dapur, mereka sedang buat...

Agaknya kakchiklah menantu yang paling tak pandai memasak berbanding menantu yang lain. Selalunya kalau balik, kakchik jadi pembantu tukang masak saja. Tapi Mak, Mak memang hebat di dapur sebagaimana Ummi juga. Semalam, sambil budak-budak tu seronok bermain di ruang tamu, kakchik di dapur membantu Mak menyiapkan 5 jenis hidangan berbuka puasa untuk jamuan di masjid.

Laju dan lincah sekali Mak di dapur. Dalam masa yang tidak lama Mak dapat siapkan Ayam Percik, Sup Tulang, Kerutuk Daging, Pajeri Nenas dan Daging Goreng Kunyit. Tabik sungguh sebab kuantiti yang dimasuk tu bukanlah sedikit. Memang kakchik ni bertuah sangat sebab punya dua orang ibu yang terer memasak. Sayangnya kami balik sebelum sempat berbuka puasa di kampung. Tapi Mak bekalkan sedikit lauk untuk kami.

Inilah aktiviti mereka semasa di kampung.

Suasana kampung cik abe sangat sejuk dan mendamaikan. Pokok-pokok masih banyak. Sawah-bendang pun menghijau dan luas menjangkau ke kaki beberapa buah bukit. Kata Amriena, "Best lah duduk kat sini Chikja. Tak payah pakai aircond pun sejuk." Memang betul. Kalau tidur malam, kena selimut habis dan mandi pagi boleh terketar gigi dibuatnya. Bayu bukit memang menyegarkan.

Adik ipar dan anaknya Aini balik dari membeli barangan dapur semasa kami masih di dapur. Apa lagi, makin seronoklah Emran dan Amriena bermain. Nasib baik si Aini pun mudah saja menerima mereka sebagai kawan dan berkongsi barang mainan dia. Basikal roda tiga dikayuh serata ruang rumah, belon hijau biru dan kuning dilambung ke sana ke mari, bila bosan, Amriena membaca komik kepunyaan adik ipar kakchik yang seorang lagi. Riuh rumah Mak dengan suara mereka bermain dan membaca.

Langit selepas Asar semasa kami bertolak pulang.

Kakchik lihat cik abe pun boleh berehat (tidur) dengan selesa sekali. Mungkin sebab di rumah Mak tiada talian internet hehe. Bagus juga kan? Lagipun dia yang memandu tentu kepenatan. Ayah pun senyum saja dapat melihat anak menantunya pulang. Kami bersembang dengan gembira sekali. Apatah lagi Mak dan Ayah tak sudah mendapat berita akan dapat menunaikan Haji tahun ini. Alhamdulillah. Syukur bagi pihak Mak dan Ayah.

Kakchik sangat suka kampung cik abe tu. Hubungan kejiranan dan kekeluargaan penduduknya masih lagi utuh. Aktiviti masjidnya sangat bagus dan kakchik rasa masjid itulah yang banyak menjadi tempat penyebab keharmonian di kampung tu. Tazkirah sebelum Solat Jumaat, tazkirah selepas Solat Asar, boleh didengar hingga ke rumah Mak. Best kan? Kampung kakchik pun lebih kurang juga. Alhamdulillah lagi.

Tengoklah tu... hehe lentok habis.

Walaupun hati ni ingin sangat duduk lebih lama tapi kami terpaksa juga balik. InsyaAllah raya nanti kami balik lagi ke rumah Mak. Budak-budak tu dapat rezeki duit raya pula sebelum balik. Makin seronoklah mereka ikut kami balik kampung. Maklum saja, nenek sebelah abah mereka pun orang pekan jadi tak merasai sangat suasana kampung yang masih banyak ciri kedesaan.

Kami bertolak balik dengan lambaian kepada ahli keluarga yang melihat kami dari pintu rumah. Separuh jalan, hujan turun dengan lebat sekali tapi reda bila kami sampai di rumah. Budak-budak terlena kepenatan di belakang. InsyaAllah minggu depan kami balik lagi Mak, Ayah.

26.8.11

Baju Raya: Ini Hanya Idea

Assalamualaikum dan salam Jumaat yang penuh barakah.

Kakchik dah nak bertolak balik menziarahi keluarga mertua ni. Sebelum bertolak, sambil menunggu cik abe kemaskan barang-barang kerjanya, kakchik nak kongsikan 2 idea pakaian untuk berhari raya nanti. Ini hanya idea saja ya tapi abaya dan jalabiya yang dalam gambar ni boleh dibeli dari butik kakchik , Abaya Elegan Lovers.

Eid Mubarak!


Eid Mubarak!



Selamat bercuti!

25.8.11

Tutup aurat biarlah serius.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua yang singgah untuk membaca atau sekadar melihat-lihat. Semoga kalian semua mendapat sesuatu yang baik dari blog ini dan boleh dimanfaatkan di dalam kehidupan seharian.

Alhamdulillah hari ni ada sedikit masa untuk mencatatkan sesuatu di sini. Sudah dua hari asyik meletakkan artikel orang lain saja tapi kakchik harap sangat artikel-artikel yang dikongsikan itu masih memberikan faedah kepada kalian sebagaimana ianya telah memberi faedah kepada kakchik.

Pagi tadi kakchik ke Mydin Mall untuk membeli sedikit barangan keperluan rumah ni jadi macam biasalah kalau berada di dalam suasana orang yang ramai tu mata ni susah sikit nak jaga. Maksud kakchik ni, mata ni suka sangat tengok pakaian para wanita Kelantan yang datang membeli-belah kat situ.

Sumber: Laman Web Muslim Voices

Biasanya bila nampak yang pakai bertutup cantik dan sempurna, kakchik ucap syukur dalam hati dan rasa gembira. Tapi kakchik jadi sedih bila lihat masih ramai wanita Islam yang tidak sempurna pakaian mereka. Kakchik tidak pasti mereka itu faham atau tidak konsep menutup aurat dan mereka ada dari yang remaja hinggalah ke usia warga emas.

Maafkan kakchik kerana berasa sedih bila melihat keadaan itu. Tertanya-tanya, adalah mereka main-main dalam melaksanakan suruhan Allah? Susah sangatkah nak memakai pakaian yang boleh menutup aurat dengan baik? Pada kakchik, wanita Islam kita ni masih tidak serius menjaga aurat mereka. Mereka juga tidak serius melakukan suruhan Allah.

Masih terlalu banyak kesilapan dalam berpakaian yang tidak dibetulkan. Mudah lupa benar agaknya. Kadang-kadang tu orang yang selalu pergi mendengar kuliah agama juga selalu tidak pandang serius akan hal ini. Bila nak pergi kuliah agama, elok saja memakai sepasang baju kurung, bertudung agak labuh dan berstokin, sayangnya bila mahu ke pasar, bajunya telah menjadi t-shirt berlengan pendek, kainnya menjadi seluar yang bila berjalan habis berbekas seluar dalamnya dan pastinya stokin entah ke mana.

Ada juga yang memakai jubah, itu sudah bagus tapi kenapalah tidak dipakai kain di dalam atau pun seluar panjang yang longgar. Jubah berwarna cerah tanpa sebarang alas tak mampu menghalang mata orang lain dari terlihat warna seluar dalam yang dipakai. Aduh, malunya kakchik yang ternampak ni. Terpaksa mengalih pandangan ke arah lain sambil berdoa agar orang lain tak nampak apa yang kakchik nampak. Tolonglah fikir elok-elok semasa memakai baju untuk keluar rumah. Janganlah kita bermain wayang di khalayak ramai. Malu.

Teman-teman semua, tolonglah pandang serius terhadap pakaian yang disarungkan ke tubuh apabila kita mahu ke sesuatu tempat yang ada orang lain terutama lelaki ajnabi. Tilik betul-betul pakaian kita tu sebelum meninggalkan rumah. Bukan tilik menarik atau tidak. Bukan tilik lawa atau tidak. Bukan tilik menggoda atau tidak. Bukan, bukan, bukan. Yang patut ditilik di cermin ialah:
  • pakaian dah longgar
  • pakaian tidak jarang
  • pakaian tak menjolok mata
  • pakaian tidak ketat
  • tudung dah cukup labuh, tak nampak dada
  • pakaian itu tak menjadikan kita riak
  • jika nak solat di luar, cukuplah dengan apa yang dipakai itu. Tidak perlu nak bawa kain sembahyang

Pernah tak tilik begitu? Ketika menilik diri dan pakaian di cermin, bacalah doa ini:

Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang memperbaiki diriku, perbaikilah akhlakku.


InsyaAllah doa ni jika dijadikan amalan harian, kita dapat menjaga akhlak kita di mana saja kita berada sama ada di alam nyata atau di alam maya ni. Kakchik yakin doa ini juga mampu menjadikan hidup kita lebih tenang kerana budi pekerti yang baik antara kita dengan diri sendiri dan kita dengan orang lain akan membantu kita mendapat ketenangan diri. Jika ada masalah, kita mudah tenang menghadapinya. InsyaAllah.

Berbalik kepada soal pakaian wanita kita hari ni, kakchik seru kita semua agar serius dalam berpakaian. Kita bukannya suka-suka aje pakai pakaian ni tapi kita buat kerana Allah. Kita pun tahu malu kan? Aurat tu pula maksudnya perkara yang mengaibkan. Perkara yang memalukanlah maksudnya. Jadi bila kita malu sepatutnyalah kita menyimpannya dengan baik yakni memakaikan badan kita ini dengan pakaian yang menutup aurat dengan sebaik-baiknya.

TOLONG, jangan pakai seperti ini:

Sumber: Laman Ini


24.8.11

Perkongsian: Kemesraan suami isteri membawa bahagia


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Alhamdulillah di petang hari Rabu ni sementara menanti masuknya waktu berbuka puasa, kakchik suka untuk kongsikan tulisan Ust. Ahmad Baei Jaafar yang agak menarik khusus untuk kita semua yang telah mendirikan rumahtangga. Tulisan beliau bagi kakchik ada kebenarannya kerana kita pernah melaluinya dan merasainya. Semoga perkongsian ini akan memberikan petunjuk-petunjuk yang baik untuk kita melayari bahtera perkahwinan kita yang ada masanya dipikul ombak. 


Silakan.
-------------------------------------------------------




Kebahagian rumah tangga menjadi idaman semua pasangan yang berkahwin. Bukan sahaja mereka idamkan semua itu pada awal perkahwinan tetapi sampai ke akhir hayat malah sampai ke dalam syurga.


Tetapi kadang-kadang idaman itu tidak tercapai kerana hanya beberapa punca yang kecil. Mungkin kerana suami mengharapkan sesuatu yang tidak difahami oleh isteri dan isteri pula mengharapkan sesuatu yang tidak difahami oleh suami.

Suka dijelaskan di sini, suami dan isteri masing-masing mempunyai rahsia yang mereka terpaksa simpan kerana tidak mampu untuk menjelaskannya secara lisan. Di sinilah titik mula masalah sebenar. (Berahsia boleh tapi jangan sampai berahsia itu kerana tiada percaya-mempercayai di antara pasangan.)

Dalam hal ini pasangan itu perlu memahami rahsia diri pasangannya secara pandangan mata hati dan merasainya melalui gerak hati. Dengan cara itu sahaja mereka dalam lakukan yang terbaik untuk keluarga mereka.

Tetapi kalau sesama mereka ada hijab yang menutup hati kecil mereka, pasti mereka tidak nampak apa yang dihajati pasangannya. Perlu diingat, untuk membuka hijab itu mereka perlulah bertolak ansur dan cuba menurunkan ego masing-masing terutamanya isteri. (Pada kakchik, ego suami pun sama juga.)

Sebenarnya seseorang suami ada menyimpan beberapa rahsia yang malu untuk dijelaskan kepada isterinya kerana takut ditertawakan isterinya. Antara rahsia itu ialah suami mahu “bermanja” dengan isteri apatah lagi pada usia tuanya. Selain itu suami mahu dia dibelai dan dihormati isteri sepanjang masa.

Supaya lebih jelas suka dipaparkan contoh terbaik dan yang pasti rujukannya ialah Rasulullah SAW. Baginda adalah panduan kita ke arah memacu bahtera keluarga bahagia. Perhatikan dua perkara yang sering dilakukan baginda. 

1. Berbaring dipangkuan isteri
Daripada Aisyah r.a, beliau berkata: "Nabi s.a.w. biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran" (Hadis Riwayat Abdurrazaq).

Kalau para isteri sedar, suami anda sesekali menyandar dan menyentuh bahu anda. Malah kadang-kadang dia berbaring di atas paha anda. Itulah tandanya dia hendak bermanja. Tetapi kadang-kadang isteri cuba mengelak dan bangun. Sebenarnya suami pada ketika itu akan berasa kecewa, tetapi dia tidak berani untuk melahirkan rasa kecewa itu.

Suami memang hendak bermanja dengan isteri, bukan sahaja pada waktu malam tetapi juga pada waktu berehat di siang hari. Bayangkan kalau Rasulullah mahu bermanja dengan isterinya, dan isterinya pula redha dengan sikap baginda, mengapakah isteri-isteri pada hari ini tidak boleh melakukan begitu juga?

Percayalah kalau suami boleh bermanja dengan isteri, dan isteri sanggup melayan kehendak suami itu, pasti akan tercantum rasa sayang yang berkekalan. Pastinya, isteri yang memahami sikap manja suami itu akan diberi pahala oleh Allah.

2. Memanggil dengan panggilan mesra
Rasulullah s.a.w biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Umairah yang memberi maksud pipi merah bak delima.

Dalam budaya masyarakat kita, suami memanggil isterinya dengan namanya yang manja atau “yang” bagi maksud sayang. Ada juga yang menyebut “bib” yang bermaksud habibi, kekasihku dan banyak lagi. Sebaliknya isteri akan memanggil suami dengan panggilan “abang” atau “bang” yang juga dengan nada manja.

Panggilan sebeginilah yang akan membuahkan rasa sayang sentiasa berputik di hati suami. Namun begitu terdapat juga panggilan manja kerana sudah biasa dengan panggilan itu. Lahirnya panggilan itu bukan kerana ikhlas dari hati lagi. Dalam masyarakat Melayu, panggilan manja itu lazimnya hanya berlaku pada awal perkahwinan, tetapi semakin pudar apabila sudah beransur tua. 


Malah mereka malu untuk memanggil dengan panggilan manja, kononnya malu kepada anak dan cucu. Inilah keadaan yang tidak kena kepada masyarakat kita, malah sikap mereka jauh daripada kehendak Rasulullah.

Seharusnya sebagaimana suami memanggil isteri dengan kasih sayang itulah yang sepatutnya disambut oleh isteri. Panggilan mesra pada setiap kali memulakan ucapan dan kata-kata merupakan sentuhan yang boleh membangkitkan rasa sayang antara mereka. Jadi, binalah kemesraan dengan saling manja bermanja dan sebagainya. 


Semoga kita beroleh bahagia. Wallahu aklam.

Nota: Artikel ini disalin terus dari blog Ust. Ahmad Baei Jaafar

23.8.11

Duhai suami, isterimu bukan hamba.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan buat semua.

Duhai suami,

Apabila suami mengijabkabulkan pernikahan, sudah terbeban pada bahunya suatu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan sehingga akhir hayat. Dalam Islam perkara itu dianggap sebagai hak isteri. Perlu dijelaskan di sini, apabila dikatakan hak isteri, isteri ada hak menuntut apabila tidak diberi oleh suami. Isteri juga ada hak melarang jika suami melanggarnya. Semua ini terpakai selagi isteri itu tidak melakukan nusyuz. 

Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud: “Apakah hak isteri yang wajib dijaga oleh suami? Baginda bersabda: Memberi nafkah kepada isteri; belanja dapur, pakaian dan rumah, jangan memukul muka isteri tetapi mendidik isteri dengan baik, dan tidak menghina isteri dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah.” 

Terdapat tiga hak isteri yang wajib dijaga oleh suami, namun kebanyakan suami cuai dalam hal ini. Kesan daripada kecuaian itulah, berlakunya ketidak sempurnaan rumah tangga yang dibina itu. Perhatikan tiga perkara itu dengan baik: 

1. Memberi nafkah kepada isteri; belanja dapur, pakaian dan rumah. Sama ada isteri itu kaya atau tidak, suami wajib memberi nafkah kepadanya kecuali isteri dengan rela hati tidak mahu menyusahkan suaminya. Nafkah yang perlu diberi ialah soal makan dan minum seharian. Tuntutan lain daripada makan dan minum bukanlah nafkah yang wajib ditunaikan, namun kalau suami boleh memberinya itulah pahala besar yang bakal diterimanya kelak. Nafkah yang kedua ialah pakaian. Pakaian bukan keperluan setiap hari. Tetapi kalau dia perlu maka wajib dipertimbangkan dengan segera. Tuntutan selain dari kategori pakaian tidak wajib ditunaikan. Nafkah yang ketiga ialah menyediakan tempat tinggal. Suami wajib menyediakan rumah untuk penginapan sama ada rumah sendiri atau dengan menyewa. Tuntutan lain daripada rumah tidak wajib ditunaikan kerana ia tidak termasuk dalam kategori nafkah. 

2. Jangan memukul muka isteri tetapi mendidik isteri dengan baik. Suami dilarang memukul isteri atas niat mendera. Maka memukul isteri pada bahagian muka termasuk dalam kategori mendera. Hal ini kerana muka terlalu sensitif kulitnya, mudah lebam dan tercalar. Tetapi memukul bahagian lain dibenarkan dengan syarat tidak atas tujuan mendera. Islam membenarkan suami memukul isteri dengan niat mendidik. Mungkin dengan pukulan itu dia sedar akan kesalahannya lalu bertaubat. 

3. Tidak menghina isteri dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah. Hak ketiga ini jarang disedari oleh suami mahupun isteri. Maka setiap detik perbualan mereka terungkap kata-kata menghina. Akhirnya mereka bergaduh hingga membawa kepada perceraian. Suka disebut di sini, suami tidak boleh menghina isteri ketika mereka berduaan, apatah lagi kalau di hadapan orang lain termasuk anak-anaknya sendiri. Jadi, janganlah kerana tidak pandai masak, isteri dihina, janganlah kerana isteri tidak pandai dalam sesuatu urusan, dihina isteri. Seterusnya yang paling penting ialah tidak meninggalkan isteri bersendirian kecuali di dalam rumah. Maknanya kalau pasangan itu keluar ke bandar, lalu dia tinggalkan isterinya di situ dalam keadaan marah. Sedangkan dia balik atau ke mana-mana destinasi. Perbuatan itu adalah salah di sisi Islam. Islam menyediakan peraturan itu adalah untuk menjaga keselamatan isteri zahir dan batin. Percayalah jika semua suami dapat lakukan yang terbaik seperti di atas, pasti tidak berlaku pergaduhan dan penceraian. 


Artikel di atas kakchik salin dari blog Ust. Ahmad Baei Jaafar.
 
Kakchik: Sejak kebelakangan ini kakchik menerima beberapa perkongsian dari beberapa orang teman yang sedang melalui masalah rumahtangga. Kakchik pun amat sedikit ilmunya untuk membantu jadi kakchik cubalah dengan kemampuan yang ada, mencari dan meminjam ilmu orang lain. Semoga ianya dapat membantu.

21.8.11

Entah apa-apa

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Selamat bekerja kepada semua teman-teman yang bekerja pada hari ni. Kakchik pun sama juga. Dan selamat bercuti untuk teman-teman yang masih bercuti hujung minggu. Tentu banyak masa yang dimanfaatkan untuk aktiviti amal ibadah kan? Lagipun Ramadhan sudahpun masuk ke 10 hari yang terakhir. Hari ni sudah hari ke 21, terlalu cepat masa berlalu hinggakan sebulan Ramadhan begitu lekas mahu meninggalkan kita. Entah-entah kita pula yang lebih dulu meninggalkan Ramadhan. Allah.

Sekali fikir, orang yang dapat berpuasa penuh sebulan Ramadhan adalah sangat bertuah kerana setiap hari dapat bertadarus, dapat menunaikan solat, dapat berterawikh, dapat berbuka puasa dengan gembira, dapat bersahur dengan penuh harapan untuk menempuh hari yang baru dan macam-macam lagi. Orang perempuan kebanyakannya tidak berjaya berpuasa penuh jadi semua aktiviti yang kakchik sebutkan tadi tu tak dapatlah nak dibuat. Tapi, jangan risau... kita boleh mendengar orang mengaji Al-Qur'an kan? Kita boleh menghadiri majlis-majlis ilmu yang banyak terutama di hujung minggu. Kita boleh mambaca buku-buku agama yang merangsang minda dan sebagainya.

Sebut pasal aktiviti Ramadhan ni, semuanya atas diri kita. Kalau rajin insyaAllah kita akan sampai ke dalam majlis atau program. Jika malas, maka duduklah kita di rumah sahaja. Bila duduk di rumah ni orang perempuan ramai yang mengambil peluang membuat persiapan untuk hidangan berbuka dan juga membuat biskut untuk hidangan di hari raya nanti. Bagi kakchik yang tak pandai buat biskut dan tak berapa gemar makan biskut maka, takdelah minat sangat nak ke dapur membuatnya. Setiap kali raya kakchik hanya suka makan kuih tart nenas sahaja. Nak buat sendiri takde masa, maka kakchik tempah saja dengan kakak atau kawan-kawan yang pandai dan terjamin sedap.

Tart Nenas.
Sumber: Koleksi Resepi Kegemaran

Tart nenas ni kakchik tak kisah bila-bila masa pun kakchik suka makan tak semestinya di hari raya. Dulu ada hajat nak belajar membuatnya sendiri tapi bila dah sibuk dengan macam-macam aktiviti, manalah sempat nak duduk berjam-jam di dapur membuatnya. Serahkan saja kepada yang pakar dan minat iaitu kakak kedua kakchik. Dia dan abang ipar kakchik sama-sama suka memasak jadi kakchik yakin mereka seronok berada di dapur menyediakan pelbagai jenis kuih tempahan pelanggan. InsyaAllah murah rezeki mereka dan juga rezeki sesiapa juga yang rajin berusaha di dalam bulan ini dan bulan-bulan seterusnya.

Setakat ini kakchik tiada persiapan sangat untuk berhari-raya sebab masih nak tumpukan pada Ramadhan dulu. Itupun tidaklah betul-betul jujur dengan diri untuk mengisinya dengan banyak aktiviti berfaedah. Masih banyak masa yang terbuang begitu saja. Masih banyak masa yang tidak betul-betul kakchik manfaatkan untuk menyelesaikan amanah dengan baik. Malu juga pada diri sendiri dan Allah SWT sebab tidak mampu meluangkan lebih banyak masa untuk semua itu. Sedihlah rasanya dengan kelemahan diri-sendiri ni. 

Hari ni kakchik merepek entah apa-apa dah ni. Nak tulis mengikut tajuk tertentu tapi idea tak datang jadi kakchik tulis saja apa yang ada dalam minda ketika ni. Maafkan kakchik ya jika membuatkan kalian yang membacanya terasa bosan. Rasanya sampai di sini sajalah dulu. Semoga semangat untuk meningkatkan ibadat tak padam dan akan terus kuat kerana amat rugilah kakchik jika sengaja melepaskan peluang ini.

Selamat meneruskan ibadah puasa dan mendapat pengampunan dari Allah di hari-hari terakhir Ramadhan kali ini.


20.8.11

Perkongsian: Purdah Antara Perbandingan Hukum

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Kali ini kakchik ingin berkongsi satu artikel mengenai pemakaian purdah yang kakchik salin terus dari blog Muassasah Ad Diniyyah. Walaupun artikel ini ditulis dalam tahun 2007 tapi kakchik rasa ianya masih relevan di masa ini. Semoga kita mendapat sedikit ilmu dari tulisan beliau. Kakchik ucapkan terima kasih kepada penulis yang menulis topik ini dan dengan perkongsian di blog ini insyaallah pembacanya lebih ramai dan ilmunya akan tersebar lebih luas.

Bismillah.

Purdah Antara Perbandingan Hukum

Ulama ada berpendapat wajib dan ada juga yang berpendapat harus. Kadangkala ketidakmampuan kita menguasai al quran dan as sunah terpaksa merujuk kepada tulisan ulama’. Maka ada yang berpendapat wajib dan juga harus. Penilaian kita selaku golongan muttabi’, iaitu golongan yang mengikut dalil, bukan individu tertentu seperti muqallid.

Ada dua pendapat; pertama menyatakan bahawa purdah ini adalah satu rekaan yang dimasukkan ke dalam Islam. Bagi mereka purdah ini adalah bid’ah, iaitu setiap perkara yang tidak datang dari Allah dan Rasul SAW. Berlawanan dengan pendapat ini, ada yang mengatakan sesungguhnya purdah adalah dari Islam sendiri. Menutup muka adalah kewajipan agama yang tidak harus dianggap sambil lewa. Jangan kita musykil, saya akan terus perbahaskan benda furuk ini. Yang penting, metodologi kita bersumberkan Al Quran dan As Sunah. Mengimbangi antara nas yang cabang dan maqasid kulli, tujuan syarak yang menyeluruh. Kita harus berfikiran lapang dalam menerima dan melihat dalil setiap ulama’.

Ulama secara asas, berpendapat masalah ini merupakan masalah khilafiah, menimbulkan keraguan dan pertikaian yang tidak mempunyai nas yang tepat. Ulama’ berselisih dari zaman silam hingga ke hari ini.

Asal masalah adalah dari Firman Allah yang bermaksud ”Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya” Surah An Nur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, yang dikatakan dengan perkataan ‘ma zahara minha’ ialah pakaian dan tudung. Sebelum itu, jilbab menurut bahasa arab ada 3 pengertian:

1. baju yang menutup seluruh tubuh.
2. pakaian perempuan bahagian luar jika dipakai 2 lapis.
3. tudung yang dipakai oleh perempuan.
(lihat mu’jam asasi arab)

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas menafsirkan ‘ma zahara minha’ dengan makna celak dan cincin. Ibnu Abbas juga mengatakan bahawa bahagian muka dan tapak tangan. Begitu juga dengan riwayat Aisyah dan Anas b. Malik berpendapat begitu.

Mereka juga berselisih dengan pendapat apa yang dikehendaki ‘melabuhkan pakaian’ sebagaimana dalam surah ahzab ayat 59. Apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas adalah berlawanan berkenaan dengan penafsiran ayat ‘ma zahara minha’ tadi. Beliau menafsirkan bahawa maksud melabuhkan pakaian adalah dengan praktikal, iaitu menutup muka dan kepala dan mendedahkan mata kiri!

Ikrimah menyanggah pendapat ini. Beliau menyatakan maksud adalah menutup bahagian lekuk dibahagian atas dada, tempat dimana rantai dipakai dengan tudungnya dan melabuhkan sehingga menutup bahagian lekuk tersebut.

Said b. Jubair menyatakan tidak harus bagi wanita Islam dilihat oleh lelaki asing melainkan ia memakai tudung kepala yang disertai dengan kain penutup muka, purdah.

Antara ulama’ yang bersependapat muka dan tangan bukan aurat dan tidak wajib menutupnya adalah Dr, Yusuf Qhardawi, Syeikh Nasirudin Al Bani, kebanyakan ulama di Universiti Al Azhar dan ulama’ kebanyakan tempat.

Ulama Arab saudi dan sebahagian negara teluk tidak sependapat dengan pendapat di atas (wajib menutup muka) antaranya Syeikh Abd Aziz b Baaz. Juga ulama dari Pakistan yang terkenal, Ustaz Abu Al A’la Al Maududi serta Prof Dr, Muhamad Said Ramadhan Al Buuti. Juag terdapat risalah yang dan fatwa dikeluarkan dari masa ke semasa yang menentang dan menyebut keaiban mendedahkan muka. Mereka menyeru memakai purdah dengan nama iman dan agama.

Maka apabila seseorang perempuan mengambil pendapat ini, serta mewajibkan di kalangan mereka menutup muka, maka bagaimana kita mahukan wajib beramal dengan pendapat lain yang dianggap silap (tidak wajib menutup muka) sedangkan kita mengetahui perkara ini merupakan khilafiah. Mereka menghukum golongan yang tidak beramal dengan pendapat lain sebagai berdosa dan fasik sedangkan ia adalah perkara furuk! Menjadi kewajipan kita adalah bersikap berhati-hati dalam perkara agama dan apakah elok jika seseorang mempertikaikan pendapat lain sedangkan ia bukannya perkara usul. Lainlah jika seseorang tidak memakai tudung, itulah yang sepatutnya ditentang!

Tiada ulama mengatakan memakai purdah adalah haram, maka harus seseorang memakainya tanpa ada prasangka buruk ke atas individu tersebut. Menjadi hak seseorang untuk memakai purdah atau sebaliknya. Memakai purdah tidak melanggar kewajipan dan tidak memudaratkan orang lain. Adakah kita menyebut kesalahan mereka yang memakai purdah sedangkan terdapat sekeliling kita yang tidak menutup aurat? Sedangkan kita mengetahui bahawa menampakkan tubuh badan, tidak menutup selain muka dan tapak tangan adalah pengharaman secara ijmak menurut syariat.

Adakah purdah wajib?

Perselisihan ini memang tidak dinafikan wujud. Kadangkala bersikap syadid dalam perkara agama menjadi keruncingan perselisihan. Tetapi secara mudah, kenapa kita mempertikaikan orang yang memaki purdah, kita mengata sedangkan ia adalah khilafiah dan hak individu, maka mungkin kita mendapat dosa. Tetapi jika kita menegur orang tidak memakai tudung, ia adalah perkara disepakati dan usul, mungkin kita mendapat pahala dengan menegur.

Jumhur Mazhab dan ulama’ bersependapat aurat adalah keseluruhan badan kecuali muka dan tangan. Kedua perkara ini adalah bukan aurat. Ibnu Marzuk berpendapat bagi mereka yang cantik dan boleh menimbulkan syahwat, sunat menutup muka. Ini bersandarkan perselisihan sama ada wajib wanita menutup atau wajib lelaki menutup penglihatan, menghindarinya. Kesimpulan, jumhur mengatakan aurat wanita adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Dalil 

: Surah An Nur ayat 30 dan 31.
: Hadis Rasul SAW yang bermaksud: ”Tidak harus bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat melainkan bahagian ini, sambil Rasul SAW memegang bahagian tengah lengan (had aurat dalam hadis ini menunjukkan dari tengah lengan tangan hingga jari bukannya dari pergelangan tangan).
: Dalil yang menyuruh menutup belahan leher bukan menutup muka. Surah An Nur ayat 31.
: Dalil perintah supaya lelaki menyekat pandangan mata An Nur ayat 114.

dan beberapa hadis yang berkaitan dengan tidak wajib menutup muka.

Dalil mereka yang mengatakan purdah adalah wajib.

1. Surah Al Ahzab ayat 59 berkaitan ayat jilbab.
2. Tafsir Ibnu Mas’ud berkenaan firman Allah dalam surah An Nur 31. Yang menyatakan wajib.
3. Surah Al Ahzab ayat 53 berkaitan belakang tabir. Termasuk bagi mereka memakai purdah.
4. Hadis Aisyah yang mengatakan melabuhkan tudung hingga menutup muka.
5. Saddu Zaraii’ah. Menyekat jalan yang mengundang dosa.
6. Uruf sesuatu tempat. Wajib bagi mereka menutup aurat.

Secara akhirnya, jumhur ulama’ yang menyatakan menutup muka bukan wajib adalah diterima namun di sana tidak memperkecilkan golongan yang mewajibkan memakai purdah. Namun ada beberapa perkara penting yang perlu diingat:

1. Mendedahkan muka tidak semestinya seseorang wanita memenuhinya dengan make up atau berbedak-bedak.
2. Pendapat tidak wajib tidak semestinya purdah tidak harus. Sesiapa yang ingin berpurdah, tidak menjadi kesalahan bahkan digalakkan apabila ia adalah cantik dan boleh menimbulkan fitnah.
3. Antara menutup dan harus melihat bukan seiringan. Pandangan pertama sahaja yang diharuskan sekali pintas. Tidak ada pandangan kedua dan seterusnya.

Kesimpulannya, Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Hukum mendedahkan dan menutup muka adalah perkara khilafiah. Perkara khilafiah tidak boleh diperbesarkan dengan golongan pertama menyalahkan yang kedua dan sebaliknya. Tidak salah seseorang wanita ingin mendedahkan mukanya dan dan begitu juga menutupnya. Tetapi menjadi kesalahan golongan yang berpurdah menyalahkan golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya dengan alasan ‘tidak boleh masuk dengan masyarakat’. Menjadi titik penting dan benda yang sangat perlu difahami oleh seluruh masyarakat agar tidak memperlekehkan sesebuah golongan yang lain.

Lebih menjadi kesalahan apabila golongan yang berpurdah memaksa golongan bertudung tidak berpurdah supaya berpurdah. Dan lebih menjadi kesalahan dan amat malang sekali, apabila sesetengah pihak memaksa golongan berpurdah supaya menanggalkan purdah dengan alasan memudahkan urusan, menyesuaikan dengan suasana dan lain lagi.

Memaksa dan meminggirkan golongan yang berpurdah oleh golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya adalah dua perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bahkan memaksa golongan yang berpurdah menanggalkan purdah terpengaruh dengan fahaman sekular! Kenapa tidak dipaksa golongan yang tidak menutup aurat, adakah mereka ada kebebasan individu? Golongan berpurdah dan menutup aurat tidak ada kebebasan? Di mana timbangan keadilan?

Secara rawak, mereka yang mengatakan aurat tidak wajib adalah menyimpang dari perbahasan usul sedangkan purdah sudah khilaf, inikan pula benda yang sudah menjadi nas syar’i di dalam AL Quran dan As Sunah hendak diperlekehkan dan dipermainkan. Adakah kita menyokong golongan ini!

19.8.11

Niqab di hari kahwin: Jawapan balas untuk Nurul

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.


(Entri ni kakchik taip semalam lagi tapi hari ni baru siap)

Kurang lebih sejam lagi kita semua akan berbuka puasa untuk hari yang ke-18 bagi mereka yang tiada keuzuran syar'ie. Di saat menanti waktu berbuka ni, kadang-kadang kakchik isi dengan membaca Al-Qur'an tapi hari ni ada urusan lain pula jadi kakchik nak luangkan sedikit masa untuk menjawab satu email yang telah agak lama berada di dalam senarai email kakchik cuma kakchik je yang terlepas pandang dan pagi tadi semasa mengemaskini folder yang ada dalam yahoomail kakchik, barulah terjumpa. Moga-moga adik yang menghantar email ini masih sudi untuk membaca balasan dari kakchik.

Sebenarnya kakchik dah taip agak panjang balasannya melalui yahoomail yang baru tapi belum sempat nak save draft, jejari kiri terlanggar butang keypad maka habis hilang segala yang telah ditaip. Sabar sajalah sebab yang itu Allah tak izinkan agaknya. Untuk langkah lebih selamat dan mungkin balasan kakchik ini boleh dibaca oleh orang lain yang turut mempunyai dilema seperti adik Nurul yang menghantarkan email di bawah ini. Kakchik akan cuba balas sekadar imu dan pengalaman yang sedikit ini.

Assalamualaikum Kak Chik,

Sy Nurul, sebelum nih ada pernah kemukakan beberapa soalan kepada Kak Chik dlm blog...pasal pemakaian niqab...

Baru 2 bulan lebih sy pakai niqab nih...masih baru...masih sesuaikan diri...ramai saudara mara n kawan2 yg taktahu pun sy dh pakai niqab..

So far, alhamdulillah..sy selesa sgt pakai niqab nih...bersyukur akhirnya sy dh buat apa yg sebenarnya sy nk buat sejak sy sekolah rendah lagi..

Cuma sekarang sy ada sedikit kekusutan Kak..insyaAllah sy akan berkahwin bulan November nanti...baru2 nih sy ada pergi rumah makcik...so bila dia tgk perubahan sy, mmg mereka agak terkejut...so bising2 ckp macam mana kahwin nnti...org datang nk tgk muka pengantin...especially family sebelah lelaki yg tak kenal sy...

Sy serba salah...tentang baju, alhamdulillah...sy masih akan memakai jubah...cuma tentang niqab tuh...kawan2 ada mencadangkan pakai yg sedikit jarang...yg masih boleh nmpk muka...tp masih bertutup....sy tak berapa sedap hati...rasa mcm tak btul.....tp sy ada juga pertimbangkan...mungkin Kak Chik ada sedikit nasihat & panduan tentang ini...n boleh berkongsi dengan sy...

Maaf kalau sy menggangu masa Kak Chik...sy tau akak pun ada masalah sdri....seperti yg dicerita dlm blog...no matter what it is, sy doa Kak Chik akan jumpa jalan penyelesaian terbaik...

really appreciate your reply...sy suka bca blog Kak Chik...banyak informasi...
terima kasih kak..

-Nurul-

Balasan kakchik:

Bismillahirrahmanirrahim.

Wa'alaikummussalam Nurul. Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada kakchik untuk membantu Nurul dalam perkara ini. Kakchik ucapakan syabas kerana Nurul telah pun memulakan fasa baru dalam hidup Nurul iaitu dengan memakai niqab. Rasanya selepas 3 bulan ini, Nurul sudah agak serasi dengannya kan? InsyaAllah perlahan-lahan saudara-mara dan kawan-kawan akan tahu juga akan perubahan ini. Semoga mereka menerimanya dengan hati yang positif.


Menyentuh tentang isu hari kahwin nanti, pokok perkara yang pertama ialah kena faham apa pegangan Nurul sendiri terhadap hukum pemakaian purdah ini. Adakah Nurul berpegang pada ianya wajib atau sunat sahaja? Kalau Nurul yakin bahawa memakai purdah itu wajib seperti mana pandangan sesetengah ulamak fekah maka wajiblah memakainya di hari perkahwinan nanti. Tapi jika Nurul berpandangan bahawa pemakaian niqab atau purdah ini sunat maka jika dibuka pada keadaan tertentu seperti ahli keluarga mahu kenal maka ia tidak menjadi kesalahan. 

Kakchik dulu masa hari walimah tu untuk elakkan orang lelaki asing iaitu tetamu yang datang yang bukan ahli keluarga kedua belah pihak, kakchik meminta keluarga mengasingkan terus kedudukan para tetamu dan siapakah yang boleh masuk ke bilik pengantin. Bahagian atas rumah hanya untuk wanita manakala lelaki makan di khemah di luar rumah. Hanya tetamu wanita dan lelaki ahli keluarga saja dibenarkan masuk ke bilik pengantin untuk bertemu mata dengan kakchik (sebagai pengantin masa tu) dan bila kakchik keluar ke ruang terbuka bersama suami nak raikan pengantin, kakchik pakai niqab.

Katakan walimah Nurul nanti dibuat di tempat terbuka yakni tidak dapat diasingkan seperti kakchik buat tu, kakchik rasa  takde salahnya jika pakai niqab yang sesuai dengan pakaian pengantin. Contohnya seperti gambar d bawah.


Sumber: Saharayusuf Enterprise


Katakan ada bapa saudara sebelah suami yang mahu kenal kita dan kata payahlah nak cam selepas ni kalau di hari kahwin pun tak dapat nak tengok muka, kakchik rasa tentu berat hati nak membuka niqab pada masa tu dan tunjukkan wajah kepada beliau kan? Teringat semasa hari kakchik dihantar ke rumah mertua, memang ada saudara-mara belah suami yang berseloroh begitu jadi kakchik jawab secara hormat, "insyaAllah bila kami ziarah ke rumah nanti, kita boleh kenal-kenal" seolah-olah memberi makna yang kakchik akan buka niqab bila bertemu mereka di rumah mereka nanti tapi tak semua rumah saudara yang kami ziarah kakchik membukanya. Kena tengok keadaan juga, siapa yang ada di sana masa ziarah tu.


Nurul, jawapan kakchik dia atas ni janganlah Nurul jadikan panduan bulat-bulat ya. Buatlah perbincangan dengan baik bersama mak ayah dan adik-beradik begitu juga dengan tunang Nurul agar mereka semua dapat membantu dan memberi kerjasama kepada Nurul yang menjadi pengantin pada hari tersebut. InsyaAllah jika pengantin dihiasi dengan pakaian yang cantik, wajah tak nampak pun seri pengantinnya tetap akan terserlah. Lagipun, tak kan selama ini kita menjaga wajah kita dari pandangan orang ramai tapi bila tiba hari kahwin, kita membukanya pula dengan make-up yang menyerlah. Seperti janggal dan peliklah pula. 


Kakchik sebenarnya berharap ada teman-teman kakchik yang lebih arif dalam hal ini akan turut membaca dan membantu dengan jawapan yang lebih ilmiah berbanding jawapan yang kakchik berikan ini. Semoga Nurul dalam melalui hari besar dalam hidup Nurul di bulan November nanti dengan penuh kerendahan hati dan majlis yang berkat. 

Di bawah kakchik sertakan beberapa gambar pengantin yang memakai niqab di hari walimah mereka sebagai contoh. Mungkin boleh tunjukkan pada keluarga untuk meyakinkan mereka. Semoga Allah ampunkan kesilapan dan kesalahan kakchik dalam memberikan jawapan kepada Nurul. Semoga kakchik tidak menyalahi hukum Islam dan harap Nurul merujuk juga kepada para ustaz/ah yang lebih alim agar jawapan yang diperolehi tidak mengikut logik akal semata-mata.


Allahua'lam.


Kakchik


------------------------------------------------------------------
Contoh pengantin berniqab.


Sumber: Kenalan


Sumber: Facebook

17.8.11

Inilah Kisahku

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Malam ini kakchik sempat mengambil masa untuk menonton video-video Inilah Kisahku. MashaAllah... I feel like crying.

Jomlah tengok sama-sama. Kakchik nak abadikan video-video ni kat sini sebagai sumber inspirasi dan motivasi. Syukur dengan perubahan mereka.

Catriona Ross 


Wardina Safiyyah


Sham Kamikaze



Video & Gambar: Majlis Khatam Qur'an 100 Kali

Assalamualaikum dan salam pagi Ramadhan yang ceria. Selamat bercuti Nuzul Qur'an kepada semua yang bercuti hari ni.

InsyaAllah walaupun hari ni kakchik cuti tapi sudah ada beberapa aktiviti yang menanti. Pagi ni tentulah nak uruskan hal rumahtangga dulu. Cuci pakaian kemudian menjemurnya dan membersihkan lantai dan siling yang mula berdebu dan bersawang. Dalam pukul 8.30 pagi nak ke mesyuarat IT pula di KB mungkin sejam dua. Habis mesyuarat nak terus berkejar ke Masjid Tok Haji Yahaya untuk program bersama Nisa' Panchor pula. Buat demo pakai tudung lagi...lah nampaknya hari ni jika Allah izinkan.

Alahai comelnya...
Bahagian muslimat.

Tapi, sebelum semua tu berlaku, jom kita tengok video majlis malam tadi di Qaryah Ramadhan MPKB-BRI. MashaAllah... bertuahnya mereka yang dapat bersama-sama menyertai Majlis Khatam Qur'an 100 kali oleh lebih dari 3000 ribu orang. Khabarnya perkarangan stadium negeri penuh sesak malam tadi. Kakchik hanya mampu tengok secara live melalui internet saja. Takde teman nak pergi sebab suami dah ke masjid yang dia imamkan solat awal-awal lagi.

 

Video di atas tu kakchik pinjam dari seorang kenalan, Ustaz Zakaria namanya yang juga pemilik D'Halal Shoppe. Terima kasih ya Ustaz.

Di pihak muslimin.

Sejak beberapa tahun MPKB-BRI telah mengadakan Qaryah Ramadhan di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV untuk kemudahan orang ramai yang keluar ke bandar dan juga menggalakkan orang bandar beramai-ramai memakmurkan malam-malam Ramadhan. Suasana begini rasanya tidak ada di negeri lain tapi ianya kini telah menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Kelantan. Alhamdulillah.

Mengaminkan doa dengan penuh kekhusyukan.

Semoga Allah terus memakmurkan negeri ini dengan lebih banyak aktiviti Islamik dan dengan meluasnya sebaran syiar Islam itu maka seluruh negeri akan turut menghayati syariatnya. Amin.

Kredit gambar: Album dari FB Qaryah Ramadhan

16.8.11

Tunang Bukan Lesen Untuk Berdua-duaan

Assalamualaikum dan salam Nuzul Qur'an.

Sebelum menutup tirai Internet pada malam ini dan kemudiannya merehatkan diri untuk bangun sahur esok pagi, kakchik ingin meluahkan sedikit rasa kelat dari dalam hati. Terlebih dahulu maafkan kakchik jika luahan ini terkena batang hidung sesiapa. Kakchik menulis ni selepas membaca beberapa perbincangan tentang topik di atas di dalam FB dan mailing list. Kebetulan pula kakchik pernah melihat ada di kalangan teman-teman yang berbuat demikian. Akibat lemahnya iman, kakchik tidak mampu menegur secara terus kepada teman-teman tersebut. Maafkan kakchik.

Baiklah. Kenapa kakchik kata tunang bukan lesen untuk berdua-duaan?

Jawapannya: Belum SAH hubungan di antara kalian berdua. Bila dan IJAB dan KABUL barulah boleh berdua-duaan. Tunang masih lagi bukan mahram.

OK, keadaan macamana yang dikatakan berdua-duaan tu?

Jawapannya:

1. Berada di tempat sunyi hanya anda berdua sahaja, anda dan tunang anda. INGATLAH, sebenarnya ada makhluk ketiga, SYAITAN. Tempat sunyi tu faham-faham sajalah. Di mana sahaja hatta dalam masjid sekalipun. Tak boleh jika duduk dekat-dekat dan berdua sahaja. BAHAYA BESAR.

2. Keluar makan berdua menaiki kereta atau motor. Naik motor lagi tak boleh, HARAM. Naik kereta pun salah juga KECUALI ada mahram yang temankan. MAHRAM tu bukan kanak-kanak yang tak reti apa tu ya.

3. BERGAMBAR berdua dengan tunang, duduk dekat dan rapat. Isyk, yang ni juga salah. Dalam FB tu bising pasal ada niqabi meletakkan gambar profil dia dengan tunang. Allahu Allah. Insaflah. Tindakan itu bukan contoh yang baik, bukan bi'ah solehah. Orang tengok boleh jadi fitnah dan bahan umpatan. Bab bergambar ni kalau seorang sama seorang lelaki dan perempuan yang sah nikah tak kiralah kita dengan ustaz ke, kita dengan artis ke... tetap tak boleh.

Hmm... apa lagi ya? Dah makin letih dan mengantuk, idea dah mula lambat datang. Mungkin itu saja kot yang sesuai diluahkan malam ini. 

Kakchik ni bukanlah insan sempurna, tapi akhlak dan ilmu pada diri pun masih banyak kelemahannya tapi bila teringat pesanan nabi tentang berpesan-pesan tentang kebenaran ni, kakchik cuba juga buat melalui medium yang ada. Semoga kakchik dapat peringatan dan kalian mendapat kesedaran dan bertaubat.

Allahua'lam.

Mohon maaf zahir dan batin atas kelemahan penyampaian kakchik.

Selamat berpuasa!

Catatan Spontan Seorang Pekerja Perpustakaan Awam Wakaf.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar teman-teman semua hari ni? Kakchik doakan kalian semua dalam keadaan sihat sejahtera di bulan yang mulia ini. Khabarnya ada di kalangan teman-teman yang kurang sihat, demam, batuk, selsema dan sebagainya. Semoga Allah segerakan kalian semua sembuh dari penyakit-penyakit tersebut. Kakchik, alhamdulillah sihat-sihat saja.

Perpustakaan Awam Islam Dar Nur al-Zahra'
Hari ni perpustakaan sangat lengang seolah-olah hari ni sudah pun cuti Nuzul Qur'an walhal esoklah baru harinya. Dalam suasana yang agak sunyi ini kakchik mengambil kesempatan membelek-belek buku-buku yang dikumpulkan semasa kakchik mengemaskini katalog buku di tingkat 1. Memang banyak yang mahu dibelek dan dibaca. Terasa membuak-buak keinginannya dan hari ini peluangnya datang kerana kerja-kerja kakchik hari ni yang penting telah pun selesai.

Sambil membelek ni kakchik asyik terfikir, sepanjang 11 tahun bekerja di sini, sudah berapa banyak buku yang telah kakchik betul-betul habis membacanya. Di tingkat 1 ada beribu-ribu naskah buku berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris manakala di tingkat 2 pula semuanya berbahasa Arab (masih belum mampu kakchik baca, insyaAllah satu hari nanti). Terasa rugi sekali keran dalam tempoh 11 tahun kakchik tidak mampu untuk membaca paling tidak separuh dari jumlah yang ada di tingkat 1.

Ya Allah... tempat kakchik makan gaji ini adalah gedung ilmu yang agak besar namun kakchik gagal memanfaatkannya dengan sungguh-sungguh. Drastik saja kakchik rasa mahu berazam untuk membaca sedikit demi sedikit bermula dengan rak-rak di bahagian depan iaitu buku-buku dalam kategori Ibadah, Falsafah dan Islam. Tapi kan... kakchik risau tak berjaya penuhi azam sendiri. Sesetengah pengunjung selalu kata kat kakchik, "untunglah awak dapat kerja di sini, hari-hari boleh baca buku", hakikatnya tidak begitu.

Beberapa tahun kebelakangan ni kakchik rasa semakin lemah dan malas dalam berusaha untuk menambah ilmu dan efeknya, aktiviti kakchik di perpustakaan pun makin kurang. Entah apa yang kakchik buat ya? Buat kerja atau tidak ni? Takutnya kalau mati sedangkan amanah yang dipikul ni tak berjaya dilakukan dengan sebaik-baiknya. Allah... mohon sentiasa mendorong diri ini. Motivasi paling besar hanyalah Dia. 

Tiba-tiba datang seorang pengunjung warga emas, berkain pelikat dan berbaju t-shirt masuk ke dalam perpustakaan dengan membawa sebuah beg besar dan uzur. Dari mula memberi salam hingga dia selesai berurusan, mulutnya tidak putus bercakap. Bila dia meninggalkan perpustakaan, kakchik terasa amat kagum sekali. Kali ini peribahasa Inggeris, 'don't judge a book by its cover' amatlah tepat menggambarkan pakcik itu. Ilmunya banyak, boleh bicara Arab & Inggeris dan telah pergi merata dunia. MashaAllah.

Adakah ini caranya Allah memotivasikan kakchik?

Jemput ziarah perpustakaan kami: http://darnurulzahra.blogspot.com/
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs