Followers

8.8.10

Alhamdulillah.. Tahniah Cat!

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Kakchik sedang kebosanan ni. Pagi Ahad selalunya tak ramai pengunjung dah kakchik pula sedang membaca tentang Sistem Pengurusan Perpustakaan dan Teknikal penggunaannya. Mashaallah... bahan yang akademik dan teknikal ni memang mudah nak jadi ubat tidur. Jadi kakchik kemaskini blog la sebentar.

Hari ni kakchik cek suratkhabar macam biasa. Yang menarik hati kakchik ialah kisah penghijrahan Catriona dari 'free hair' kepada bertudung. Alhamdulillah. Tahniah Cat! Semoga tudung itu akan menjadi penguat iman Cat ke arah menjadi Muslimah solehah. Kakchik suka sangat tengok gambar Cat dan anak dalam suratkhabar hari ni.

Kita semua memang sangat suka bila melihat para artis wanita di negara ini berubah kepada penampilan Muslimah dan istiqomah dalam berpakaian. Janganlah jadi seperti sesetengah artis yang berubah tapi bila berlakon atau tampil dalam acara-acara rasmi sanggup menanggalkan tudung kerana menghayati watak ataupun kerana mahukan penampilan yang lebih glamor dgn tutup kepala bukan tudung yang lengkap.

Insyaallah Catriona nampaknya akan kekal bertudung dengan baik.

Bagi teman-teman yang belum sempat membaca berita gembira ini, bolehlah baca petikan akhbar Metro Ahad di bawah.
PERUBAHAN imejnya mengundang perhatian ramai ketika bertandang ke Balai Berita baru-baru ini. Sungguh, dia sangat cantik bertudung hingga pujian meniti di bibir beberapa teman media yang menyapa. Sambil tersenyum manis, pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland ini meminta izin ke studio kerana jurusolek sedia menunggu.

Berkongsi momen itu dengan Selebriti, pemilik nama sebenar Catriona Noorhayati Ross Bahrin Ross ini menjelaskan, sampai masanya dia bertudung dan niat murni itu dilaksanakan dengan ikhlas tanpa paksaan suami mahupun keluarga.

Tidak mampu menyembunyikan rasa sebak, Cat berkata, semuanya bermula apabila dia menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC pada 14 Julai lalu.

Tergerak hatinya mencuba satu tudung dan ketika melihat wajah di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik hingga bergenang air mata. Sepantas kilat ditanggalkan tudung itu.

Dia yang dihenyak perasaan pilu, hiba dan syahdu kemudian berpusing ke arah temannya seraya spontan meluahkan hasrat mahu memakai tudung. Luahan itu bagaimanapun mengundang tawa sahabatnya kerana menyangka dia bergurau.

"Ketika memandu pulang ke rumah, saya menangis. Sukar untuk jelaskan perasaan saya ketika itu. Sebak, syahdu, hiba, semuanya bercampur-baur. Saya sedar perasaan pelik yang muncul tiba-tiba itu adalah hidayah dari Allah.

"Sepanjang perjalanan, saya tak henti-henti mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Terharu dan rasa istimewa apabila Allah buka pintu hati saya. Memang sebelum itu pernah terfikir untuk menutup aurat tetapi teragak-agak untuk melaksanakannya.

"Esoknya di rumah, saya gelisah dan rasa serba tak kena. Asyik terfikir untuk memakai tudung dan malamnya saya tidak boleh tidur. Kebetulan pula suami tiada di rumah kerana bertugas di luar Kuala Lumpur, jadi tiada tempat untuk saya mengadu," katanya sambil menghela nafas panjang.

Pagi Jumaat (16 Julai lalu), berjam-jam pelakon yang popular menerusi drama rantaian Sephia ini menyelongkar almari mencari hijab namun kecewa apabila yang ada hanya selendang.

Dia kemudian menghubungi teman karibnya untuk meminjam tudung. Terkejut dengan permintaan itu, temannya mengajak Cat ke butik untuk belikan beberapa helai tudung. Selesai membuat pembayaran, hijab yang dihadiahkan temannya itu terus disarungkan di kepala.

"Sejak itu saya terus bertudung. Tekad saya, sekali bertudung Insya-Allah saya akan kekal begitu hingga ke akhir hayat. Itu prinsip yang saya pegang sejak kecil.

"Apabila pulang ke rumah, suami menyambut saya di muka pintu dan dia terkejut dengan perubahan itu. Dia bertanya adakah saya benar-benar serius. Selepas berkongsi apa yang saya alami dalam tempoh 48 jam itu, dia ternyata gembira dengan keputusan saya.

"Banyak nikmat yang Allah beri kepada hamba-Nya dan apa yang saya mohon selama ini dalam doa dimakbulkan. Masih segar dalam ingatan, selepas terbabit dalam nahas jalan raya, saya tidak putus-putus berdoa supaya boleh berjalan semula dan doa itu Allah perkenankan.

"Kemudian, ada suara sumbang bercakap saya tak boleh hamil kerana mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu tetapi Allah makbulkan doa saya. Alhamdulillah saya bunting pelamin. Jadi, nikmat Tuhan yang mana lagi nak saya dustakan? "Saya nekad bertudung kerana tidak mahu terus menerus buta hati. Jiwa saya bagai disiat-siat ketika mendapat hidayah dalam butik itu. Jauh di sudut hati, saya dapat rasakan itu adalah seru daripada Allah.

"Syukur, saat mula-mula pakai hijab hingga sekarang, hati saya tenang dan damai. Ada rasa bahagia yang tidak boleh dizahirkan dengan kata-kata. Ketenangan itu cuma Allah, saya dan teman sehijrah yang faham," kata anak jati Kota Bharu Kelantan ini yang menahan air mata daripada mengalir.

Perasaan gembira melakukan penghijrahan itu turut dikongsi bersama ibu tercinta. Sebaik mengetahui Cat bertudung, ibunya bergegas terbang ke Kuala Lumpur, malah turut dibelikan tudung untuk dihadiahkan kepada aktres itu.

"Ibu sanggup terbang dari Kelantan semata-mata mahu melihat perubahan saya. Terharu saya melihat riak gembira di wajah ibu dan berita itu turut dimaklumkan kepada bapa saya yang bertugas di Romania.

"Ramai juga teman terkejut dengan perubahan saya dan masing-masing bertanya apa menyebabkan saya tiba-tiba ubah imej. Terus-terang saya sangat bersyukur diberi hidayah dengan cara begini.

"Tak pernah saya rasa setenang ini, sesungguhnya saya antara manusia bertuah," kata Cat sambil mencium pipi montel buah hatinya, Sephia Rania Ross-Iddin.

Hadir berdua ke Balai Berita, Cat cekap menguruskan Rania. Lebih menarik, bayi comel berusia empat bulan setengah itu seakan-akan memahami komitmen ibunya yang perlu memberi pose terbaik di depan lensa kamera tidak banyak kerenah.

Berkongsi pengalaman sebagai ibu, Cat meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan cahaya mata yang mudah dijaga. Lumrah ibu beranak kecil, pasti kurang rehat dan tidur, namun berbeza dengannya apabila tidak berdepan situasi itu.

Zuriat hasil perkahwinannya dengan jejaka pilihan, Shahruddin Mokhtaruddin itu senang dibawa ke mana-mana, malah dari kecil dia yang menguruskan segala keperluan Rania. Jika terbabit dengan penggambaran, Rania ditinggalkan dengan mentua atau ibunya jika bertandang ke Kuala Lumpur.

"Mula-mula memang kekok, maklumlah tidak ada pengalaman, tetapi lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri. Rania anak yang baik dan bukan jenis suka merengek atau menangis.

"Saya gembira dapat melihat dia membesar depan mata. Setiap perkembangannya dapat saya saksikan dan itu momen yang sungguh bermakna.

"Daripada pemerhatian saya, Rania mudah mesra, sangat berdikari dan suka berkawan tetapi mudah terasa hati. Dialah permata hati saya dan suami," kata lulusan Bachelor Komunikasi Universiti Putra Malaysia ini.

Beralih perihal karier, Cat masih aktif berlakon, cuma seperti kebanyakan teman artis yang mempunyai anak kecil, aktiviti seninya sedikit terhad di mana dia hanya menerima tawaran penggambaran sekitar Kuala Lumpur.

Dia tidak ralat meskipun banyak tawaran terpaksa ditolak demi Rania. Ini kerana sebagai ibu dia mahu memberikan perhatian terbaik buat anaknya.

Serentak perubahan imejnya, ada suara nakal berbisik kononnya ruangnya untuk berkarya dalam persada lakonan kian terbatas, namun bagi Cat itu cuma omong kosong yang sedikitpun tidak berbekas di hati.

"Saya sedikit pun tak risau soal ini. Ada doa yang berbunyi: 'Ku mohon rezeki dari langit Kau turunkan, rezeki dari bumi Kau keluarkan, rezeki yang jauh Kau dekatkan, rezeki payah Kau permudahkan'. Saya pegang doa ini. Sesungguhnya rezeki itu datang daripada Allah dan sebagai manusia kita kena berusaha dan bertawakal.

"Tiada apa perlu saya takutkan dengan perubahan imej ini. Bukankah menutup aurat itu tuntutan agama. Jika kita perhatikan sudah ramai artis bertudung, tak ada masalah pun.

"Kalau benar kerana memakai tudung tawaran selepas ini mula berkurang, saya pasrah. Dalam tempoh lima bulan kebelakangan ini pun saya tidak ralat kerana tawaran ada, cuma saya perlu lebih selektif kerana tidak sampai hati berjauhan dengan Rania. Jika penggambaran di lakukan sekitar Kuala Lumpur saya akan terima.

"Jika tidak terbabit dengan penggambaran, sambil uruskan Rania saya ambil tempahan biskut cip coklat dan sibuk dengan bisnes aksesori serta pin tudung. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan, termasuk dari Kota Bharu.

"Seperti saya katakan tadi, dengan izin Allah rezeki ada di mana-mana saja dan datang dengan berbagai cara. Justeru, tidak perlu ragu-ragu bila ada suara sumbang cuba menakutkan kita," katanya.

20 comments:

  1. salam kakchik,
    terharu betul bila baca cerita cat ni..sebak, syukur..alhamdulillah semoga kita semua sentiasa dalam lindunganNya..

    ila ~salam kenal

    ReplyDelete
  2. salam...
    semoga dia istiqamah...kita sesama doakan...

    Salam ramadhan kak chik...
    :)

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah ye kakchik...allah tunjukkan jalan utk cat...semoga allah tunjukkan jalan utk saya juga agar xtersesat...

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah...
    nampaknya ramai artis dah disinari dengan hidayah daripada Allah...
    ^__^ tumpang rasa bahagia melihat perubahan beliau.

    ReplyDelete
  5. alhamdulillah..:)..

    heheh terkejut juga baca tajuk tadi,.ingatkan cat=catlina(hahahahaa sorry sy terperasan!hihihi)..

    kak chik sihat?

    ReplyDelete
  6. Salam kak chik,

    Alhamdulillah, semakin seronok lihat artis sekarang bertudung. Paling respect Noor Kumalasari..Hopefully artis2 seperti Cat akan terus beristiqomah sebab byk gak artis apabila berpisah terus tanggal tudung..Takut tak laku kot.

    ReplyDelete
  7. salam chik..

    alhamdulillah..semoga cat reus kekal berhijrah.. :)

    cantikkan dia chik..dalam lesung pipit dia tu..puteri dia pun comel..

    ReplyDelete
  8. wkslm ila dan salam kenal kembali. kita terharu bila artis kita berubah kan? moga-moga catriona akan kekal menutup auratnya. amiin.

    ReplyDelete
  9. wkslm nurul, insyaallah dia akan kekal bertudung.

    ramadhan kareem nurul.

    ReplyDelete
  10. fmina, insyaallah Allah sentiasa ada menunjukkan jalan kepada kita cuma kita yang kena betul-betul yakin untuk melakukannya.

    kakchik yakin fmina sudah nampak kebenarannya.

    ReplyDelete
  11. salam kak chik..
    alhamdulillah..cat mmg bertuah kan..walaupun byk dugaan & cabaran yg dilalui..tp hidayah dr Nya dtg skali..

    ReplyDelete
  12. betul dni. kakchik dok usah pak sedara misha kemarin. katanya selalu jugak dia acah-acah suruh misha pakai tudung hehe.

    ReplyDelete
  13. catlina, kakchik terfikir jugak pasal penggunaan 'cat' pd tajuk tu. tentu catlina datang hehe.

    ReplyDelete
  14. wkslm kak azah, ha'ah kita suka sangat artis-artis berubah kpd kebaikan. kakchik pun suka sangat noor kumalasari, sangat modest sejak berhijrah. alhamdulillah.

    ReplyDelete
  15. wkslm cikmin, sama-samalah kita doakan. lesung pipit dia mmg cantik, tuan tu dah cantik, bila pakai tudung lagi menawan. anaknya pun montel. faheem tak mau kenen ke?

    ReplyDelete
  16. wkslm mama yatie, alhamdulillah setiap kita ada tuah masing-masing. cat dapat hidayah untuk menutup aurat selepas melalui ujian kemalangan yang hebat, hampir meragut nyawa dan hidupnya berubah selepas berkahwin, diuji dgn kata nista org yg dia mgkn sukar mengandung tapi akhirnya Allah membuktikan segalanya mungkin. Moga dia istiqomah.

    ReplyDelete
  17. alhamdulillah allah buka pintu hatinya untuk bertudung.....

    ReplyDelete
  18. Alhamdulillah...sorg lg artis yg mendapat hidayahNya...Liza Hanim jugak cantik bertudung...

    ReplyDelete
  19. shiori, moga2 dia istiqomah.

    ReplyDelete
  20. Betul tu kak kam. Liza Hanim pun dah berhijrah. Islam semakin menyerap di dalam dunia artis kita.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs