Followers

30.10.10

Tahniah Pasukan Kelantan!

Sekalung tahniah kakchik ucapkan kepada pasukan bolasepak Kelantan yang buat pertama kalinya memenangi Piala Malaysia sejak Merdeka ni. Alhamdulillah.

Semoga kemenangan 2 gol berbalas 1 dengan lawan kalian Negeri Sembilan, kalian tidak lupa mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT. Khabarnya ada pemain yang menadah tangan dan bersujud syukur semasa wisel penamat dibunyikan. Tahniah untuk pemain yang ingat pada Allah di saat kemenangan itu.



Malam ini satu kampung malah mungkin satu negeri bagaikan bersorak GOL! GOL! GOL! dan dalam rumah ini cik abe dengan 3 buah komputer dan satu tv bagaikan mahu bertempik kegembiraan bila Kelantan menang. Sampai jem website sukannya diserbu peminat.

Video rakaman gol kemenangan Kelantan, kredit EPLsoker




Entah bagaimana sambutan rakyat Kelantan bila pasukan ini pulang ke negeri esok. Semoga kemenangan ini tidak menjadikan kami riak malah menjadikan kami lebih ingat pada Allah SWT. Menang pun ujian juga. Tahniah sekali lagi untuk pasukan Kelantan dan seluruh penyokong yang sanggup mengambil cuti untuk ke Bukit Jalil.

Kakchik mahu tidur dulu. Wassalam.

Abaya Saiz XS/50 Untuk Dijual

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Kakchik ada sehelai abaya untuk dijual. Abaya masih baru. Hari tu kakchik order konon-kononnya nak pakai di hari raya tapi kakchik sudah ada abaya lain yang kalian pernah lihat sebelum ni.

Jadi yang ini kakchik mahu jualkan. Harganya RM270 termasuk kos penghantaran. Kakchik nak jual RM240.00 saja. Sesiapa yang saiznya petite macam kakchik ni, amat sesuai pakai abaya ni.


Ibu yang sedang menyusu pun sesuai pakai ni sebab ianya belah depan berbutang ketip. Shaylanya juga agak panjang dan lebar. Cantik pula tu. Kakchik tak boleh nak beli dua-dua sekali. Kenalah pilih salah satu jadi yang ini perlu dijualkan.

Siapa berminat (serius nak beli) sila email kakchik ya - hanniaziz@yahoo.com untuk perbincangan lanjut.

Wassalam.

Nasi Goreng Ikan Bilis Kesayangan

Nasi Goreng Ikan Bilis.
Assalamualaikum dan selamat petang.

Dah masuk jam 3 lebih ni perut mula minta diisi. Hari ni kakchik tak sempat keluar sebab ada sedikit kerja yang perlu diuruskan. Macam orang diet, kakchik makan sebiji pau kelapa dan minum segelas radix cola. Kononnya hilanglah lapar yang dirasa. Bukanlah lapar sangat tapi laparlah juga hehe.

Inilah bahananya kalau tidak beli makanan tengahari siap-siap. Jadi boss pun bukan senang-senang nak keluar beli makanan. Tambahan pula kakchik bertugas di Kaunter jam 1 hingga 2 petang. Lepas bertugas nak berehat untuk solat Zohor pula.

Sabarlah perut ya, petang nanti kita balik rumah, kakchik akan masakkan Nasi Goreng Ikan Bilis sekali lagi. Hari tu buatkan semangkuk besar untuk cik abe, enak tengok dia makan. Hai.... terliurnya... Ni kalau blogwalk ke blog kawan-kawan yang rajin memasak, harus terseksa.

Takde ke orang nak buat delivery service untuk nasi goreng? Peluang bisnes ni...

Gadis Melayu - Kenapa Sanggup Gadaikan Aurat Anda?

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Salam ukhuwwah fillah dan kakchik doakan teman-teman semua dalam keadaan sihat sejahtera. Hari ni sambil kakchik membelek akhbar untuk dicari berita-berita yang menarik untuk koleksi perpustakaan, kakchik terpanggil untuk membaca laporan tentang program Gadis Melayu Musim Ke-3 yang telahpun tamat semalam.

Sejak 3 musim program ini dianjurkan oleh beberapa syarikat dan disiarkan oleh TV9 kakchik tidak pernah menontonnya secara terus. Ada sekali dua kakchik tonton sikit-sikit sekadar nak tahu apa yang berlaku dalam program itu. 

Yang sangat kakchik terkilan ialah bila melihat pakaian-pakaian yang diperagakan oleh para peserta. Kalau tak silap kakchik sebahagian peserta itu adalah bertudung tapi kenapa di malam final tudung mereka bertukar menjadi seperti ini?

Gambar dipinjam dari mStar Online.

Adakah mereka mangsa penaja yang menaja pakaian-pakaian tersebut? Tiada prinsipkah? Adakah belum faham maksud bertudung menutup aurat dengan membalut rambut? Kenapa mereka biarkan saja jurumekap dan juruhias memakaikan tudung mereka begitu? Semuanya menjadi topi atau turban seperti pakaian wanita africa. Baju turtleneck itu tidak cukup untuk memastikan leher sentiasa tertutup Yang pasti akan terbuka juga.

Maafkan kakchik ya. Janganlah dicontohi pakaian sebegini. Pakaian yang menutupi tubuh rasa sudah elok, apa salahnya dipadankan dengan tudung yang betul dan elok menutupi bahagian leher itu. Menutup aurat BUKAN menutup rambut saja. TAPI menutup semuanya dari rambut hingga ke bawah dada (untuk tudung) dan pakaian labuhnya hingga ke paras kaki.

Berpeganglah kuat-kuat dengan prinsip pakaian Islam kita, jangan biarkan orang lain menentukan penampilan kita bila keluar dalam rancangan tv sebegini. Adakah berpegang dengan prinsip yang benar itu pun salah di sisi undang-undang penyiaran? 

Gadis Melayu, sudah pastinya seorang Islam. Bila sudah bertudung dan berpakaian menutup aurat, jagalah ia supaya sentiasa sempurna. Jangan biarkan maruah agama tergadai hanya kerana mahu kelihatan cantik di pandangan orang. Semoga kalian menyesali dan kembali menguatkan amalan diri.

Sebagai saudara seIslam, kakchik rasa bertanggungjawab menegur. Maafkan kakchik. Semoga Allah bimbing kita semua agar sentiasa di atas jalannya. Jangan biarkan kita alpa dengan godaan dunia.

29.10.10

Fobia dengan shortcut URL

Assalamualaikum dan salam ukhuwwah fillah serta selamat sejahtera semua.

Sudah beberapa lama kakchik perhatikan makin ramai pengunjung yang suka meninggalkan jejak mereka di kotak shoutmix dengan menggunakan shortcut URL yang kalau kakchik 'mouse over' tak dapat dikesan dari blog mana mereka datang. Yang nampak ialah URL ringkas yang ditinggalkan.

Kakchik minta maaf banyak-banyak. Walau berapa banyak kali kalian singgah tapi jika shortcut URL yang kalian tinggalkan, kakchik tak akan klik untuk ziarah balas. Bukan tak mahu tapi kakchik fobia. Sudah ada beberapa kali pengalaman terkena bila kakchik klik URL ringkas tu.

Ada yang memancing untuk menambahkan duit poket, ada yang bawa ke blog mengarut dan ada juga membawa penyakit kepada blog kakchik. Jadi sejak itu kakchik tidak lagi akan klik mana-mana link yang kalian tinggalkan secara shortcut. Harap maaf sangat.

Kadang-kadang rasa menyampah juga jika asyik tinggalkan komen yang sama, menyebabkan kakchik yakin bukan anda blogwalk sendiri tapi anda menggunakan robot, software khas atau seumpamanya untuk menghantar semua mesej itu ke serata blog. Tiap kali kakchik balas mesej dan beritahu kakchik nak URL betul, langsung tak diendahkan. Confirm, pemilik URL tak baca pun jawapan kakchik tu. Jadi kalau berterusan, kakchik mungkin akan ban URL tersebut.

Hmm... entah ada matlamat jangka panjang atau tidak mereka yang buat begitu? Kalau iklan bisnes tu kita tahulah, sudah tentu nak tarik minat pelanggan dan nak cari untung tapi jenis yang ajak orang follow dan tulis ayat merapu ni, kakchik cukup tak suka. Kita menulis ni biarlah ada matlamat dan sebaik-baiknya tally dengan kehendak Allah SWT. Mengarut dan merapu, semuanya kerja sia-sia saja.

Semoga kita mendapat manfaat dari blogging. Dan manfaatnya harap-harap bukan setakat dunia tapi memanjang hingga ke akhirat. Allahu'alam.

Penipuan Skim i-Rich696

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Salam Jumaat yang redup dan nyaman.

Alhamdulillah pagi tadi dari jam 8.30  hingga jam 12 kakchik membuka gerai jualan sempena Konvo Tadika Elitsuria di Hotel New Pacific, KB. Walaupun sambutan pembeli tidaklah begitu menggalakkan tapi kakchik puas hati kerana ramai juga yang mengambil alamat blogshop ABAYA ELEGAN kakchik tu. Buku pula kakchik bawa sedikit saja sebab takde orang yang nak tolong angkat kotak-kotak buku yang berat tu. Cik Abe masih kurang sihat. Jadi seorang dirilah kakchik berbisnes hari ni.

Cukuplah cerita pasal gerai jualan, kali ni kakchik nak sentuh sikit pasal berita malam tadi berkenaan satu Skim Cepat Kaya iaitu Skim i-Rich696. Sebenarnya kami dulu pernah ditarik untuk menyertai skim ini. Masa tu belum ada nama khusus lagi tapi yang pasti ianya adalah di bawah MLM Uptrend. Alhamdulillah gerak hati kami yang rasa tidak selesa semasa mendengar penerangan dari pihak mereka telah menghindarkan kami dari menyertainya secara serius.

Kakchik ingatkan bisnes mereka cara 'orang cari orang' ni dah tutup rupanya ada lagi. Terkejut juga bila tengok berita malam tadi. Tak sangka. Bagi kalian yang tak kesempatan menonton berita tentang i-Rich696 tu, sila tengok video di bawah:




Kredit video: MediakiniTV

Semoga kita semua terhindar dari skim-skim cepat kaya atau skim piramid ni. Bunyinya macam senang sangat nak kaya dan kerja pun senang. Hakikatnya banyak kesangsian dalam prosesnya. Dan paling bimbang ada permainan riba yang haram. Na'uzubillah.

Kakchik harap mereka yang terlibat insaf dan cari jalan membuat bisnes yang jujur dan mengikut cara yang Islam ajarkan. Jomlah kita ikut cara Nabi Muhammad SAW berniaga, insyaallah pahala ikut sunnah kita dapat, berkat pun ada dan imej Islam juga tidak tercalar.

Allahu'alam.

28.10.10

Pagi ke malam, penat tapi suka hati.

Assalamualaikum dan salam ukhuwwah fillah untuk semua.

Dalam meniti waktu malam yang semakin menuju jam 12 ni kakchik sekadar ingin mencoretkan sedikit kenangan untuk hari ni. Sekarang ni kakchik curi masa sikit untuk update blog sementara kakchik selesai mengedit gambar-gambar abaya yang ada dalam stok di Abaya Elegan. Petang esok nak ambil gambar produk terbaru di MariBaca pula.

Sebahagian dari bungkusan abaya dan buku yang diposkan petang tadi.

Penat sebenarnya nak membuka setiap plastik abaya kemudian memakaikan abaya tu ke patung, kemaskan patung, ambil gambar, ulang lagi langkah yang sama untuk bungkusan abaya yang lain entah berapa kali dah. Kemudian selesai satu batch nak kena download ke hardisk dan bermulalah proses edit dan upload ke facebook dan ke blog. Malam ni masuk facebook dulu. Esok kakchik masukkan dalam blogshop Abaya Elegan pula.

Limit kakchik menghadap internet hanya sampai jam 12 malam jadi kakchik kena cepat. Beginilah gayanya orang berbisnes online tanpa pembantu. Semua kerja dari a hingga z kena buat sendiri. Cuma kerja-kerja fizikal macam angkut kotak dan rak-rak pameran tu akan ditolong cik abe. Tapi dia tak sihat sekarang ni. Esok jika diizinkan Allah kakchik akan buka gerai abaya sempena Konvo Tadika Elitsuria di Dewan Blue, Hotel New Pacific, KB.

Walau apapun, bila kakchik dapat buat kerja dengan tenang dan memuaskan hati pelanggan, kakchik terasa amat puas dan gembira. Masalah yang menimpa masih belum selesai tapi dengan menyibukkan diri begini kakchik akan rasa lebih segar daripada duduk termenung saja. Tak baik termenung lama-lama sedangkan satu kerja tak jadi. Membazir masa namanya. Itu Islam tak suka. Jadi kena paksa diri agar menggunakan masa sebaik-baiknya.

Ok lah teman-teman semua, kakchik nak pen off dulu untuk malam ni. Ada kerja yang belum siap ni. Masa pun dah tak banyak. Insyaallah esok jika panjang umur, murah rezeki kita akan bertemu lagi di alam maya ini. Atau mungkin juga kita bakal bertemi di mana-mana di alam realiti, siapa tahu kan?

Sweet dream everyone! Maafkan salah silap kakchik terutama kerana tak sempat menziarahi kalian semua. Insyaallah lapang sedikit kakchik ziarah. Jumpa lagi. Assalamualaikum.

Koleksi Abaya Kesayangan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Apa khabar kalian hari ni? Kakchik doakan semuanya sentiasa sihat hendaknya. Kakchik alhamdulillah baik-baik saja tapi cik abe sedang demam dan batuk sekarang ni. Sebenarnya sudah beberapa hari tapi hari ni macam agak serius keadaannya. Sekarang dia sedang tidur selepas sarapan dan makan ubat. Biarkan suami kakchik berehat dan kakchik boleh buat beberapa urusan.

Malam tadi kakchik merekodkan abaya yang baru sampai pagi semalam sambil membungkus mana yang akan diposkan hari ni. Lega rasa hati ni bila abaya yang ditunggu-tunggu sampai. Kakchik tahu para pelanggan tentulah sangat sabar menanti. Alhamdulillah, akhirnya sampai juga. Jangan risau ya, insyaallah esok kakchik akan poslajukan semua abaya tersebut.

Di awal pagi ni kakchik ingin menjawab satu permintaan pembaca yang mahu melihat koleksi abaya kakchik yang dipakai setiap hari. Kakchik lupa nak bilang ada berapa helai sekarang ni tapi rasanya tak sampai 20 helai selepas kakchik sedekahkan beberapa helai di bulan Ramadhan yang lepas.

Ok, tanpa buang masa inilah sebahagiannya yang sempat kakchik ambil gambar. Selebihnya ada dalam baldi direndam untuk dibasuh esok, ada dalam bakul menanti giliran untuk digosok dan ada juga di atas mesin jahit menunggu untuk di baiki.


Abaya SM168 ni hadiah birthday tahun lepas.
Abaya Layla Silver antara yang awal kakchik beli. Suka.
Abaya Mekah yang dibeli di KF Collection.
Abaya pertama dari Qatar. Ringkas tapi kakchik suka.
Abaya pertama yang dibeli, datang dari Indonesia. Kainnya tebal agak panas tapi sulaman maniknya sangat cantik dan kemas.
Abaya dari Vietnam, kainnya ringan dan lembut. Harganya paling murah. Ada poket di sebelah kanan. Abaya bajet ni.


Abaya Butterfly yang pertama dibeli dari seorang kawan yang sangat mahir menjahit. Jahitannya sangat kemas dan memuaskan hati.


Selebihnya bolehlah kalian lihat dalam album di bawah ni. Seganlah pulak nak tayang setiap gambar kat sini. Nanti bila ada tambahan lagi, kakchik akan masukkan dalam album.










Sekarang ni pakaian harian kakchik hampir 90% adalah abaya, jadi kakchik harap kalian tidak hairan bila lihat jumlahnya agak banyak. Aktiviti harian yang selalu juga memerlukan kakchik ke sana ke mari siang dan malam memerlukan banyak pakaian. Sama juga dengan sesiapa saja yang mempunyai kerjaya dan bisnes seperti kakchik. Ianya keperluan insyaallah bukan kemewahan.

Sepanjang 3 tahun memakai abaya, kakchik cuba hadkan harga pada setiap abaya yang dibeli. Harga pun kakchik cuba beli yang tidak melebihi RM250. Insyaallah semua abaya ini dipakai bergilir-gilir setiap minggu tapi yang paling kakchik suka akan kakchik pakai sekali dalam seminggu.

Itu saja perkongsian untuk hari ni. Sekarang nak bersiap-siap ke pasar.

27.10.10

Namanya Eqbal

Assalamualaikum. Salam ukhuwwah fillah dan selamat sejahtera.

Dalam waktu rehat yang pendek ni kakchik sedang membelek-belek album personal kakchik di Photobucket.com dan sangat seronok melihat gambar-gambar anak-anak saudara kesayangan kakchik. Biasanya kakchik banyak bercerita tentang Amni, kali ini kakchik nak bercerita pula tentang Eqbal, sepupu Amni.


Eqbal atau nama penuhnya Raja Eqbal Murshidi ialah anak ke-4 adik kakchik, La. Baru berumur setahun lebih sikit dan kini aktif berjalan ke sana ke mari, sangat cerdik walaupun masih sangat pelat untuk berbicara. Oh, dia banyak 'bercakap' cuma kita agak sukar nak memahaminya.


Hari ni Eqbal tidak sihat. Dah beberapa hari Eqbal selsema. Khabarnya malam tadi dia tidak lena tidur kerana hidungnya yang tersumbat. Kesian anak saudara kakchik tu. Merengeklah dia dengan ibunya, tokmeknya dan kami ibu-ibu saudaranya. Anak sekecil itu memang menyayukan hati kita bila mereka tidak sihat.


Pagi tadi kakchik yang tolong menjaganya sementara adik kakchik menghantar 2 orang anak-anaknya ke tadika. Dia asyik mahu ke halaman saja kerana mahu mencari ibu dan kakak-kakaknya. Dengan bibik dia tidak mahu. Tangan kakchik ditarik-tarik ke arah pintu keluar, sambil mulutnya menyebut, "sinih... sinih..." mungkin bermaksuh ke sini, eqbal nak keluar.


Kakchik dukung dia dan cium-cium pipinya yang wangi bau bedak bayi sambil beritahu dia yang kakchik kena pakai tudung dulu. Sambil menangis dia mencondongkan badannya ke arah pintu. Hehe, berat jadinya bila dia buat begitu jadi kakchik terpaksa pegang kuat-kuat dan bawa eqbal ke bilik untuk menyarung abaya dan tudung. Menangislah dia sebab kena letak di bawah. Tangan comelnya kuat memegang baju kakchik.


Bila dah dapat ke halaman rumah, barulah dia berhenti merengek. Kami berjalan-jalan sebentar dan tak lama ibunya balik. Apa lagi gembira sakanlah si anak kecil ni. Alhamdulillah... lega hati ni bila ibunya ada. Kakchik dapat pergi kerja dengan senyuman tambah-tambah bila Amni datang dan menghantar kakchik di pintu bersama Ayah Waenya.


Di saat ini kakchik rindukan suami kakchik yang sedang demam selsema dan batuk tu dan juga anak-anak saudara kakchik yang tidak sihat. Ramai yang selsema sekarang ni dalam keluarga kakchik. Semoga mereka semua segera sihat.

Lempeng Kasih-Sayang

Assalamualaikum dan salam ukhuwwah fillah serta selamat sejahtera untuk semua.

Alhamdulillah, di pagi yang cerah ini kakchik harap kalian semua telah atau sedang menikmati hidangan sarapan yang enak-enak. Hari ni kami makan sedikit lempeng saja. Dah banyak hari juga kakchik tidak memasak, ingat hati petang ni nak masak makan malam.

Gambar Lama

Walau apa juga masalah yang kita hadapi, jangan sesekali kita abaikan kesihatan kita jadi sarapan mestilah kita ambil. Memanglah selera kita kurang tapi usahakan juga untuk makan sedikit sebagai alas perut. Sarapan penting untuk merangsang otak kita agar badan berfungsi dengan baik.

Hari ni semoga lebih baik dari semalam.

26.10.10

Hari Tanpa Posting

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ni kakchik langsung tak dapat nak menulis post atau entri seperti biasa. Bila dalam keadaan tekanan begini, nak menulis pun tidak kemampuan. Sedikit masa yang sempat, kakchik tengok-tengok facebook dan baca komen-komen kalian di blog ini dan blog yang lain-lain.

Semacam blank saja minda dari sebarang idea. Sebenarnya otak kakchik agak berserabut sekarang ni. Ada sedikit musibah yang sangat merisaukan. Siang malam dok fikir bagaimana mahu diselesaikan segera. Sambil berusaha untuk menyelesaikannya kakchik amat berharap Allah tunjukkan kakchik jalan keluar yang terbaik.

Alhamdulillah Dia memberikan kakchik ketenangan walaupun perkara itu belum selesai. Mohon Allah permudahkan kakchik mendapat bantuan dan menyelesaikan masalah itu. Sekali ingat, alangkah bebasnya hidup ini jika tidak punya masalah TAPI tidak dinamakan hidup la pulak jika tiada masalah, kan?

Kalian jangan risau tapi tolong doakan Allah permudahkan kakchik menyelesaikan masalah ini. Kakchik tidak dapat beritahu apa masalahnya kerana melibatkan hal yang sensitif bagi sesetengah orang terdekat. Jangan panik atau bimbang, insyaallah ianya akan berjaya diselesaikan dengan segera.

Doakan Allah permudahkan kakchik menyelesaikannya. Ribuan terima kasih kakchik dahulukan.

25.10.10

Rindu Perjuangan

Bismillah

Gambar kenangan 2009

Malam ini dalam kesibukanku menyiapkan beberapa urusan
hatiku bagai disentap-sentap
aku ngelamun sebentar memikirkan diri sendiri
sudah agak lama akau meninggalkan medan
sebelum ini alasanku menyambung pengajian
kemudian disibukkan dengan urusan perniagaan
kini berlambak kerja pejabat dan urusan kewangan syarikat
yang harus diselesaikan.
aku sesungguhnya rindu
rindukan medan perjuangan yang sebenar.

Aku berselindung di sebalik wajah riang
senyum tawa dan gurau senda
sedang di mindaku begitu memuncak kerinduan
dalam dadaku terasa berat dan berombak bila dikenangkan
sudah lama sekali rasanya aku di belakang tabir
mahu sekali...
mahu sekali diri ini bersama teman-teman
memikul amanah yang diberi dengan penuh riang
walau aku tahu ianya berat
tapi manisnya berada di medan
sukar sekali mahu kuceritakan.

Aku rindu... 

Tak Semestinya Pakai Jubah atau Abaya

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Kadang-kadang terasa susah nak memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang lain tentang konsep menutup aurat ni. Oleh kerana kakchik memakai abaya, bertudung besar dan berpurdah, sesetengah tu menganggap kakchik sedang mengajar orang agar pakai serupa dengan kakchik. Bagi kakchik, kalau nak tiru, itu satu kebaikan dan sangat kakchik setuju tapi jika tidak mahu tiru, atas dunia ni ada banyak lagi pilihan pakaian yang boleh menutup aurat. Yang pasti pakai abaya ini paling selesa buat kakchik.

Tak susah langsung untuk mencari pakaian-pakaian yang sesuai untuk menutup aurat. Bila kita dah faham konsepnya, insyaallah kita dengan sendirinya akan tahu membuat pilihan. Kalau cerdik tapi tetap juga sengaja pergi cari dan beli pakaian yang tidak menepati tu, itu salah sendirilah ya. Dah akil baligh masih susah nak faham, itu tandanya nafsu lebih menang berbanding iman.
Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579). Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. (JENDELA HIKMAH)

Ok, sebagai ulangan, ini ialah garis panduan menutup aurat sebagaimana yang disepakati jumhur ulama' iaitu:
  1. Menutupi had aurat yang telah ditetapkan - aurat wanita yang baligh ialah SELURUH BADAN kecuali muka dan tapak tangan. Rujuk firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 31 dan Surah al-Ahzab ayat 59.
  2. Pakaian yang longgar - agar terlindung pandangan lelaki ajnabi dari melihat susuk tubuh wanita dan wanita terselamat dari fitnah. 
  3. Pakaian yang tidak jarang - ikut hukum syarak, mesti tebal dan tidak nampak kulit. Kalau nipis walau besar, meleret macamana pun tetap tidak cukup syarat.
  4. Tidak serupa dengan pakaian lelaki atau wanita kafir - orang yang cerdik dan berpendidikan, sudah tentu tahu membezakannya. Heboh tentang tudung sekarang yang serupa tudung rahib. Jadi tunggu apa lagi, janganlah pakai yang itu kerana kita akan jadi sama dengan mereka.
  5. Tidak bertabarruj - Rujuk Surah al-Ahzab ayat 33. Tabarruj ni ringkas kata ialah berhias, bercantik- cantik untuk pandangan umum. Muka dipakaikan meka-up, pakaian juga dihiaskan dengan glamor sekali seperti artis, maka ianya tabarruj.
Untuk bacaan yang lebih detail, ada satu tulisan yang sangat baik oleh Hamidah bt. Mat di JENDELA HIKMAH.

Baiklah, ini cadangan pakaian yang kakchik yakin sesuai untuk menutup aurat.

Skirt labuh dan kembang



Memakai skirt yang labuh juga boleh menutup aurat dengan syarat potongannya kembang, kainnya tidak melekat di badan dan juga tidak jarang. Pandai-pandailah memilih jika kita suka pakai skirt. Di pasaran negara kita ada banyak skirt seperti ini dibawa masuk dari Thailand. Materialnya sejuk tapi agak nipis jadi bila mahu memakainya pastikan kita memakai alas di dalam agar kita tidak 'bermain wayang' di kala terang. Cari ajelah di mana-mana, yang pasti ianya lebih kurang contoh di atas.

Padankan skirt labuh dengan blouse labuh, t-shirt muslimah atau dress labuh yang sesuai. Kakchik cadangkan labuh yang selamat ialah melepasi punggung hingga ke paras lutut. Tolong jangan pakai baju di paras pinggang atau paras punggung kerana bila kita berjalan, amat mudah dilihat bentuk badan kita yang mahu kita tutup itu. Kita bijak maka kita tahulah bagaimana mahu selamatkan diri dari dosa kan?

Seluar kaki lebar




Seluar kaki kembang atau wide leg trousers ini mungkin bagi remaja sekarang sangatlah konservatif tapi jika pandai digayakan insyaallah aurat terjaga, manis pula dipandang. Untuk menjaga batas aurat, pastikan baju yang dikombinasikan dengan seluar jenis ini labuh hingga ke paras antara peha dan lutut. Paling bagus labuh sedikit dari lutut. Padankan pula dengan kasut bertumit, tak perlu terlalu tinggi tapi cukuplah dengan seinci dua. Pakai wedges atau kasut baji pun sesuai.

Tunic Longgar dan Labuh Hingga ke Lutut



Ini pula cadangan baju yang boleh digayakan bersama skirt labuh atau seluar kaki lebar. Cadangan saja ya, jadi guna kreativiti masing-masing untuk menjadikan baju kita labuh, longgar, tebal dan cantik. Kakchik guna Polyvore untuk reka set-set ni jadi seleksi pakaian untuk yang labuh-labuh dan longgar ni agak terhad tapi kakchik yakin 'you get the picture' kan?

Tudung Yang Labuh




Tudung Labuh ni ada pelbagai variasi sebenarnya. Potongan klasik untuk tudung labuh ialah yang bulat dan besar, labuhnya antara siku dan pergelangan tangan. Di zaman sekarang ni kebanyakan muslimah bekerjaya jadi mereka tidak punya banyak masa untuk menjahit tudung bulat jadi tindakan mudah ialah membeli tudung bidang 60" yang dilipat menjadi ala segitiga tapi bila dipakai ianya labuh juga seperti gambar di tengah tu. Selendang besar dan panjang seperti pashmina dan shayla juga boleh dipakai asalkan coverage luas. Tudung labuh segera pun banyak cuma carilah yang tidak melekat di badan bila dipakai.

Ada banyak lagi contoh tapi kakchik rasa 4 contoh di atas ni boleh dimanfaatkan oleh semua golongan wanita yang akil baligh. Remaja boleh pakai, orang dewasa pun boleh pakai. Hanya perlukan sedikit kreativiti dan kepandaian memadankan pakaian, insyaallah aurat kita terpelihara dan maruah juga akan terjaga. Allahu'alam.

Nota kakchik: Jubah atau abaya lagi selesa, selamat dan sesuai dipakai ke mana-mana saja.

Bisnes Tanpa Modal

Assalamualaikum dan salam pagi ceria untuk teman-teman semua.

Pagi ni kakchik nak tulis sedikit tentang topik di atas tu. Fokus kakchik ialah pada bisnes yang mempunyai produk maujud bukannya bisnes yang produknya tidak nampak dilihat dan tidak boleh disentuh fizikalnya seperti pelbagi bisnes maya yang selalunya menarik orang ramai dengan ayat-ayat memancing yang berjaya menarik minat orang awam terutama yang ingin duit sampingan.

Produk maujud, stok di tangan.

Jadi, bisnes produk maujud apakah yang boleh dilakukan tanpa modal?

Iyalah, kita semua pun tahu bila nak mulakan bisnes selalunya wajib ada modal. Kakchik pun memulakan bisnes buku kanak-kanak sejak 6 tahun lalu dengan modal sendiri walaupun sedikit. Modal yang sedikit itulah kakchik rolling hingga ke hari ini sedikit demi sedikit ia berkembang. Memang perit bila modalnya kecil lebih-lebih lagi bila permintaan melebihi penawaran, tidak mampu nak memenuhinya.

Begitu juga bisnes abaya. Kakchik bermula dengan modal juga tapi jumlahnya 2 kali ganda dari modal bisnes buku dulu. Itupun alhamdulillah kerana mempunyai sahabat yang mempunyai minat yang sama iaitu suka memakai abaya cuma dia tidak minat turun ke medan, hanya membantu di belakang tabir. Dialah yang lebih banyak melabur untuk bisnes ini dari segi kewangan dan kakchik yang menguruskan.

Boleh atau tidak kita membuat bisnes tanpa sebarang modal?

Pada hemat kakchik mungkin boleh. Tapi sebelum memulakan lebih baik cek dulu hukum-hakamnya menurut perniagaan Islam. Kakchik memang tidak arif bab-bab hukum ni sebab memang bukan pelajar agama apatah lagi aliran syariah. Mungkin boleh merujuk kepada mereka yang pakar seperti Ust. Zaharuddin. 

Katakanlah hukumnya boleh menurut Islam, maka cara ini akan kakchik gunakan. Sekarang ni ramai orang berniaga secara maya contohnya menjual buku, pakaian, makanan, produk kecantikan, aksesori, kelengkapan rumah, ubatan herba dan sebagainya. Kakchik yakin sebahagian mereka memang mempunyai stok di tangan terutama bagi para peniaga yang pelanggan sentiasa kunjungi.

Tapi... kakchik juga yakin ada di kalangan mereka langsung tiada stok di tangan tapi berbekalkan gambar-gambar menarik produk yang ingin dijual mereka berjaya juga menjalankan bisnes maya. Contoh, bisnes produk HPA atau Radix. Dengan mendaftar sebagai ahli anda sudah boleh menjalankan bisnesnya. Buka satu blogshop, gunakan kemahiran IT anda, sedikit sebanyak kena kreatif dalam memaparkan gambar-gambar, membina rangkaian pelanggan melalui follower, blogwalking, facebook dan sebagainya. Mulakan promosi berulang-ulang di mana-mana platform sosial maya yang disertai.

Gambar-gambar produk, boleh dapatkan dari laman web yang disertai, misalnya HPA tadi. Editlah mengikut kepandaian sendiri. Bayangkan presentation gambar yang bagaimana boleh menarik sifat ingin tahu orang yang melihat. Dan jangan lupa juga, kita mesti mencari 'niche market' iaitu kalangan pelanggan yang memang menyukai produk seperti yang kita jual itu.

Kita selalu jumpa perkataan PRE-ORDER kan? Itu maksudnya produk yang ditawarkan tiada di tangan peniaga tapi boleh dibeli dengan membuat tempahan. Kakchik juga ada menggunakan cara ini dalam bisnes abaya di ABAYA ELEGAN. Oleh kerana kami hanya menyediakan stok abaya berharga RM300 ke bawah dalam kuantiti tertentu sahaja kerana modal yang kecil, maka untuk memberi peluang kepada pelanggan mendapatkan lebih banyak pilihan abaya dari pelbagai design, pembekal kami dari Dubai mengirimkan banyak gambar sampel untuk dipaparkan di dalam blogshop. 

.... bersambung. Kakchik nak ke pejabat dulu.

24.10.10

Fesyen Hijab dan Leggings

Assalamualaikum dan salam ceria semua.

Di hari Ahad yang nyaman ni kakchik doakan teman-teman semua dalam keadaan sihat dan ceria sentiasa. Kakchik sedang rehat tengahari ni sambil minum milo panas dan makan roti goreng sementara menanti masuk waktu Zohor. 

Semalam kakchik perhatikan ada beberapa orang remaja perempuan yang datang ke perpustakaan berpakaian gaya hari ini iaitu memakai leggings. Macam-macam gaya yang ada. Kakchik panggil gaya mereka itu berfesyen ala Yuna kerana setakat ini kakchik nampak artis Yuna suka berpakaian begitu. Mungkin Yuna tak pakai lenggings tapi skinny jeans, namun kedua-duanya kelihatan sama saja.

Kecelaruan fesyen di kalangan wanita Islam.

Fesyen begini semakin menular sekarang ini. Orang kita ni memang suka berfesyen hinggakan lupa batas-batasnya. Kembalilah kepada cara Islam. Berfesyenlah cara Islam. Selamat dunia dan akhirat insyaallah.

Banyaknya salah faham dalam berpakaian.
Bukankah syarat pakaian menutup aurat itu mesti longgar dan tidak menampakkan bentuk badan? Leggings itu terang-terangan menampakkan bentuk badan. Saiz batang kaki dari peha hingga ke buku lali semuanya boleh dilihat dengan jelas sekali. Tiada MALUkah?

Kita kena nasihatkan mereka ni. Celaru sungguh cara mereka berpakaian. Ini sudah tidak lagi menutup aurat tapi berfesyen tak kena cara. Cara Islam bila dicampur-aduk dengan bukan Islam ia tak akan menjadi cara Islam. Ia sama seperti mencampurkan halal dengan haram, hukumnya akan jadi haram juga. Yang HALAL tak boleh dicampur-adukkan dengan yang haram.

Skinny jeans juga salah.

Bukan tak boleh pakai leggings dan skinny jeans ni, boleh... tapi kenalah ada pakaian lain yang labuh menutupinya. Misalnya pakai di dalam jubah atau abaya. Tak nampaklah bentuk badan kerana dilindungi jubah atau abaya yang longgar. TAPI berhati-hati ya, zaman sekarang ni jubah pun banyak yang ikut bentuk badan.

Yang pasti pilihlah pakaian yang longgar. Pakaian yang tidak melekat di badan. Pakaian yang labuh. Pakaian yang sekali kita lihat, kita tahu itu pakaian wanita Islam. Pakaian yang tidak jarang. Pakaian yang tidak menyerupai pakaian orang agama lain. Bezakanlah diri kita wanita Islam ini dari orang bukan Islam.

Mahu berfesyen pun janganlah biarkan diri kita membuat dosa dan menarik orang lain turut berdosa dengan kita. Marilah kita menutup aurat dengan sempurna.

Nota: Gambar-gambar diperolehi dari Google.

23.10.10

Pondan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Nampaknya semangat kakchik sudah pulih walaupun tidaklah sepenuhnya. Bukan mudah rupanya nak pulihkan 100 peratus semangat bila ia merudum.

Petang tadi kakchik ke KB Mall mengambil Adik yang ke bandar kerana sedikit urusan. Bila dan sampai di sana kakchik teringin sangat nak makan keledek manis (sweet potato) yang dijual di Pacific.

Selepas bertemu Adik dan selesai membeli keledek manis, kami turun ke basement melalui slider. 

Astaghfirullah... tak pernah hayat hidup kakchik berdiri di belakang sekumpulan pondan yang berpakaian seperti wanita tapi sangat menjolok mata. 

Oleh kerana kakchik tak sanggup menegur mereka dalam suasana yang kurang mengizinkan itu, kakchik palingkan muka ke arah lain bimbang hati kakchik mengata-ngata mereka terutama yang paling menonjol di kalangan mereka. Baik istighfar saja.

Pada pemerhatian kakchik, pondan atau bahasa lembutnya maknyah ini seperti manusia yang keliru identiti jantina mereka. Kakchik sedih melihat mereka begitu. Dari lelaki mengubah diri mahu menjadi wanita mungkin dengan alasan mereka berjiwa wanita.

Kasihan melihat mereka kerana tak ramai yang sanggup untuk mendekati dan menasihati mereka. Kakchik pun tiada kekuatan, bimbang jatuh fitnah pula ke atas diri. Mungkin jika di dalam program yang khusus kakchik berani tapi di dalam pasaraya yang bingit dan kelantangan mereka yang begitu menarik perhatian, tidak mampulah kakchik.

Persoalannya, kenapa bila mahu menjadi wanita, mereka berlebih-lebihan? Pakaiannya sungguh seksi, seluar mini, baju singlet ketat. Entah ke mana perginya pegawai-pegawai hisbah yang seharusnya menegur dan menasihati mereka atas autoriti dan kuasa yang ada.

Mungkin jika kakchik ada lesen atau tauliah sebegitu, kakchik akan berani menegur tapi iman kakchik hanya iman orang awam yang tiada kuasa untuk menegur terang-terangan. Tambahan pula kumpulan pondan itu sangat menarik perhatian awam. Kakchik tidak mahu tiba-tiba kakchik pula yang menjadi fokus.

Allahu Akbar. Kenapa golongan sebegitu makin bertambah ramai? Adakah sebahagian dari masyarakat kita mahu kembali menjadi seperti kaum Lut yang akhirnya dibinasakan Allah? Hati kakchik sedih dan kakchik bertanya diri sendiri, sejauh manakah kakchik berjaya menjalankan amanah yang Allah beri sebagai hambaNya.

Mana amal makruf dan nahi mungkar kakchik? Haruskah mereka dibiarkan dengan kecelaruan identiti begitu?  Ya Allah, berilah keinsafan di hati mereka untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Bila mereka tersisih, tarbiah tidak sampai, ilmu agama tidak masuk dalam diri. Jiwa mereka kontang dan akhirnya kita juga berdosa kerana membiarkan sahaja.

Semoga mereka mendapat hidayah-Mu ya Allah. Dan tetapkanlah iman kami di atas jalan-Mu.

Hilang Semangat

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Apa khabar? Semoga kalian semua dalam keadaan ceria sentiasa. Jangan jadi macam kakchik yang sedang moody sekarang ini. Moody dengan diri sendiri.

Hari ni entah apa puncanya kakchik jadi hilang semangat. Nak menulis takde semangat. Nak membaca takde semangat. Nak buat kerja pun takde semangat tapi kena gagahkan juga diri kerana kerja ini amanah.

Bukan mudah untuk sentiasa mengekalkan semangat dalam diri. Orang akan kata, "sabarlah... biasalah tu." Memang benar, perkara sebegini biasa berlaku dan semua orang pun mengalaminya. Tapi yang benar-benar memahami mungkin hanya Allah SWT.

Entah ke mana hilangnya semangat kakchik hari ni. Nasib baik tadi ada banyak kerja menyiapkan rekod buku Zahra'. Kerja yang perlu banyak bergerak, insyaallah akan membuatkan kakchik lupa sebentar akan semangat yang hilang tu.

Sekarang nak menghadap Buku Tunai pula. Astaghfirullah. Allahu Akbar. Ya Allah, kembalikan semangat dalam diri ini.

22.10.10

UNICEF - Raise Your Hands, Stop Child Abuse

Assalamualaikum dan salam pagi Jumaat yang penuh ketenangan untuk semua.

Alhamdulillah tenang sekali suasana di pagi Jumaat ini. Kehijauan pepohonan dari tanah jiran di sebelah, membawa angin damai dan nyaman dari padang yang lapang di sebelahnya. Bunyi mesin rumput di dalam kawasan kebun itu diselang-seli dengan bunyi kenderaan lalu-lalang, suara manja anak-anak saudara semuanya membuatkan diri ini tersenyum sendirian dan lidah berulang-kali melafazkan alhamdulillah.

Melihat anak-anak saudara kakchik yang gembira bermain sesama sendiri, hidup mereka penuh keriangan. Itulah yang sepatutnya mereka lalui, dunia kanak-kanak yang sentiasa ceria untuk membesar dengan penuh kasih-sayang, pendidikan yang secukupnya dunia-akhirat, persekitaran yang kondusif untuk perkembangan rohani dan jasmani. Dunia kanak-kanak yang sepatutnya dan itulah yang kami cuba sediakan.

Malangnya, tidak semua orang (dewasa) punya pendirian yang serupa dengan kami, dengan kita semua. Kanak-kanak yang belum mengerti erti kehidupan, didera minda dan fizikal mereka dengan pelbagai bentuk penderaan. Kadang-kadang tanpa sedar ianya berlaku tapi banyak kes yang dilaporkan berlaku dalam sedar. Sekali kita fikir, "bagaimanakah anak-anak berusia bayi didera dengan begitu kejam?", "anak-anak sekecil 3 tahun boleh disepak terajang?". Allahu Akbar.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita kena sama-sama menyokong apa juga kempen dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang masalah penderaan kanak-kanak ni. Marilah kita sertai kempen UNICEF - Raise Your Hands, Stop Child Abuse sebagai tanda kita benci penderaan kanak-kanak. Kita kena ingat penderaan bukan setakat kesannya luaran saja bahkan penderaan paling parah ialah penderaan minda, rohani, spiritual, dalaman atau emosi. Itulah yang boleh membawa kepada masalah jiwa, mental, psikiatrik.

Sertai kempen ini di sini: http://www.uniteagainstabuse.my/

Ini sedikit maklumat yang ada di laman web kempen ini.
The number of reported child abuse cases in Malaysia has been increasing in the last few years. This trend is alarming, especially as it may represent only the "tip of the iceberg". While statistics of reported abuse cases are published annually, these alone may not reflect the extent of abuse in a population, the severity of abuse over time or why abuse is occurring.
While various factors are commonly associated with the incidence of child abuse, little is known as to how they may or may not contribute to child abuse within the Malaysian context. Against this background, it is desirable to conduct a comprehensive study of child abuse to help us understand the scope and severity of the issue in the general population.
This study would also help establish benchmarks for the measurement of child abuse, which would enable the monitoring of future trends in the abuse of children, and in public attitudes towards it. The findings of the study would also be instrumental in developing effective and evidence-based interventions needed to protect children from abuse to ensure them of a safe childhood and a future full of promise.

Mari kita sokong!

21.10.10

Rehat dan Makan Angin :)

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Agak lewat hari ni kakchik mengemaskini blog ini. Maafkan kakchik ya. Hari ni hari kakchik berehat sedikit kerana semalam hati sangat panas dengan IFF dan di saat ini darjah kepanasannya sudah berkurang tapi tetap membara. Apapun, hari ni kakchik perlu berehat sebentar dari tugas-tugas online bagi menyelesaikan beberapa tugasan offline yang berderet. Maklum saja hari ni hari cuti hujung minggu kakchik.

Hari ni sepatutnya kakchik menghantarkan beberapa bungkusan buku kepada pelanggan tapi beberapa hal teknikal telah menyebabkan tugas itu terpaksa ditangguhkan hingga hari Ahad nanti. Semoga para pelanggan yang telah dimaklumkan sudi memaafkan kelewatan ini. Nampaknya kakchik memang perlu ambil seorang pembantu lagi khusus untuk urusan teknikal bisnes.

Petang tadi kakchik bersama cik abe dan amni keluar bersiar-siar di Taman Perbendaharaan Tengku Anis di Tanjung Chat. Menenangkan fikiran sambil melegakan tekanan mental dan fizikal. Sempatlah juga merakan sedikit gambar kenangan untuk tatapan kalian.

Menenangkan hati melihat rusa di taman haiwan yang ringkas.
Burung merak yang telah kehilangan banyak bulu ekornya tapi masih cantik. Subhanallah.
Amni yang khusyuk melihat burung merak dan ayam serama.
Amni turun saja dari kereta tak sabar-sabar nak naik permainan ini.
Orang kesayangan hamba hehe.
Tempat ini memang sangat sesuai untuk berekreasi. Kami jalan-jalan saja.
Tengoklah Amni tu... tak mau balik.

Hampir jam 6 petang kami bertolak balik sebab tak lama lagi Ummi amni akan datang ambil dia. Kakchik tak mahu kakak kakchik menanti anaknya, lebih baik kami balik awal tapi kena singgah cari makan dulu. Dari KB hinggalah sampai ke Cherang kami mencari restoran, akhirnya balik makan di rumah juga. Home sweet home.

Berbaloi sebenarnya sekali-sekali kita keluar bersama keluarga untuk berekreasi atau sekadar berjalan-jalan makan angin. Hubungan keluarga menjadi lebih erat, kasih-sayang dan kemesraan terasa semakin kuat. Kami senyum dan ketawa riang sepanjang perjalanan. Alhamdulillah.

20.10.10

PROTES !!!

Assalamualaikum.


KakChik protes!

Sangat, sangat, sangat, sangat, sangat PROTES!

Tolonglah DS, janganlah biarkan kekeliruan sebegini menjadi punca makin rosaknya pemakaian muslimah kita di Malaysia ini.

KakChik protes!

Bagaimana nanti nak menjawab, bila Allah tanya, 

"Kenapa kamu biarkan orang ini menambahkan kecelaruan dalam masyarakat?"

Oh, KakChik protes!

Tolong terjemahkan ISLAMIC. 

Is that Islamic?

Habis kacau bilau. Memalukan.

Kenapa fesyen Islamik perlu jadi begitu?

Maaf! KakChik protes dan kakchik tidak suka. 

Malah KakChik langsung tidak sokong.

Sorry, THAT is NOT Islamic Fashion AT ALL!

Protes!

And I rest my case.

Kalau IKEA Itu Dekat

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Kakchik ni setiap kali lihat koleksi buku yang semakin bertambah ni, hati macam tak sabar-sabar nak siapkan bilik bacaan kami kat atas tu. Tapi apakan daya, bajet jauh lagi dari nak cukup. Maka kakchik manfaatkan aje segala rak kayu yang kami ada. Selebihnya susun aje cantik-cantik dan kemas di atas meja dan tepi rak.

Tapi kan, geram betul bila nampak iklan-iklan IKEA yang keluar di blog-blog yang kakchik singgah. Macam tau-tau saja yang IKEA ni sudah jadi satu impian yang ingin kakchik penuhi. Seumur hidup belum pernah menjejakkan kaki ke IKEA. Maklum saja di Kelantan ni mana ada IKEA.

Bukan kakchik nak membeli sakan tapi kakchik memang suka berkunjung ke mana-mana tempat yang ada mempromosikan perabot-perabot sebegini:

Ruang tamu lengkap dengan rak buku.

Sudut bacaan. Oh, sesuai sekali di ruang tamu kami tu.

Geramnya tengok...

KakChik's Wardrobe sepatutnya macam ni hehe.

Jangan tengok harganya. Buat-buat tak nampak saja ya. Memang tak mampulah kakchik nak beli tapi mencuci mata sambil memasang impian apa salahnya kan? Angan-angan mat jening pun kalau mat jening rajin berusaha insyaallah akan dapat dicapai juga satu hari nanti.
.
Nasib baik IKEA tu jauh, kalau dekat agaknya hari cuti kakchik asyik habiskan kat situ ajelah. Bahaya!

Aurat Pengantin

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Alhamdulillah hari ni kakchik kembali bekerja seperti biasa. Semoga kesihatan yang Allah kembalikan ini akan bertahan lebih lama. Bila Allah uji sedikit dengan ditariknya nikmat badan yang sihat, barulah kita banyak mengingati-Nya. Sedangkan semasa sihat inilah kita paling penting ingat kepada-Nya barulah hidup lebih berkat.

Dari semalam kakchik berhajat untuk menulis berkenaan topik di atas. Akhir-akhir ini kakchik lihat majlis perkahwinan orang kita semakin extravaganza, berlebih-lebihan dan mencampur-adukkan segala macam adat dan budaya. Memang sangat terkilan melihat orang Islam di negara kita seolah-olah berlumba-lumba untuk bermewah dan bermegah dengan majlis perkahwinan yang diadakan.

Maafkan kakchik jika apa yang kakchik luahkan ini membuatkan ada yang terasa panas. Kakchik hanya mahu sama-sama mengingatkan kita agar berkahwin kerana Allah dan buatlah walimatul urusy sesuai dengan kehendak Islam.

Aurat Pengantin

Seperti satu trend sekarang ini, bila mahu akad nikah, pengantin perempuan bertudung litup walaupun pakaiannya sendat menampakkan bentuk badan. Ada pengantin selama ini memakai tudung sepenuh masa tapi bila tiba hari kahwin atau bila mengadakan pelbagai majlis dalam sambutan perkahwinan tu, sanggup membuka tudung. 

Kakchik biasa juga baca pelbagai majalah yang ada di negara kita ni. Kebiasaannya ada bahagian khas memuatkan gambar-gambar perkahwinan mereka yang kaya ternama dan seumpama dengannya di dalam majalah-majalah itu. Kadang-kadang hati kata, "Mashaallah... cantiknya pengantin...", tatkala kakchik lihat gambar-gambar sekitar majlis akad nikah. Tiba-tiba, "Mashaallah! Kenapa sini bukak pula?" bila lihat majlis resepsi di hotel sambil pengantin tersenyum lebar memotong kek.

Duhai saudara muslimahku sayang,

Jagalah aurat kita di dalam apa jenis majlis pun. Kenapa menurut saja kata mak andam dan orang tua? Bukankah menurut kata Allah itu lebih utama? Sedih hati ini bila melihat aurat mereka yang terkenal dirakam di dalam akhbar, dilihat berjuta orang, dipuja dipuji, kemudian dicontohi pula oleh orang lain. Kasihan tapi apakan daya, diri ini tidak mampu menegur atau menyampaikan kebenaran.

Duhai lelaki,

Jangan jadi dayus! Jadilah lelaki yang sebenar. Pastikan pasangan pengantin mu menjaga auratnya dengan baik, pergaulannya dan akhlaknya. Awal sebuah perkahwinan yang menjaga adab-adab Islam (BUKAN adab-adab Melayu) insyaallah akan membuahkan perkahwinan yang diberkati Allah.


kakchik: Insyaallah akan diedit.

19.10.10

Tanggungjawab

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Maafkan kakchik sebab semalam langsung tidak mencatatkan sesuatu di blog. Banyak perkara yang berlaku tapi kakchik dalam keadaan yang tidak mengizinkan untuk menulis. Bila sudah pulang ke rumah pun kakchik hanya mampu melayan komen-komen ringkas kawan-kawan di shoutbox dan di dinding facebook.

Mahu berehat sebentar.
Kakchik rasa bersalah bila tidak dapat berkongsi sesuatu yang baru bersama kalian. Seolah-olah kakchik telah mengabaikan satu tanggungjawab dan ia membuatkan hati kakchik kurang selesa. Menulis di blog ini bukan main senang saja nak tulis. Setiap apa yang kakchik mahu kongsikan kakchik berharap ianya ada sedikit ilmu dan maklumat. Bukan sekadar tulis apa saja tapi langsung tiada natijah di masa depan.

Sebagai seorang insan yang memikul pelbagai tanggungjawab, amanah sebagai blogger ini kakchik mahu pikul sebagai satu usaha mengajak orang ke arah kebaikan. Ada masanya kita berkongsi kisah hidup, ada masa pasal kerja, di ketika lain pula tentang kewangan, berkongsi keenakan makanan hasil air tangan sendiri dan sebagainya. 

Blog ini dan kalian semua adalah satu tanggungjawab yang sentiasa menguntumkan senyuman di bibir kakchik. Kadang ada yang hadir meninggalkan mesej yang annoying, kakchik masih boleh senyum sambil menggelengkan kepala. Tulislah sesuatu dengan matlamat yang bersambung dari dunia hingga akhirat. Jangan hanya sekadar menulis sesuatu yang hayatnya setakat dunia saja.

Kakchik kurang sihat sebenarnya dan hari ini terpaksa meminta MC untuk berehat di rumah. Insyaallah sambil berehat ni kakchik akan cuba sentiasa online di sini dan juga di facebook. Semoga kita semua tidak menjadikan hidup kita hari ini sia-sia.

17.10.10

Surat Dari Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Kakchik ingin mengambil sedikit masa untuk berkongsi sedikit berita gembira yang singgah di pintu rumah kakchik dua hari lepas. Mungkin orang lain pun ada yang menerima berita yang sama. Ya, seperti tajuk yang tertera di atas tu kakchik ada menerima sepucuk surat dari Google untuk tawaran iklan Google Adwords.

Ini snapshop surat dan slip vaucer yang dihantar oleh pihak Google:

Vaucer RM150.00

Sebenarnya kakchik pun tidak tahu bagaimana Google boleh memilih kakchik untuk memberi vaucer percuma untuk mengiklan ni. Oleh kerana kakchik masih ada banyak email terutama dari para pelanggan, maka kakchik belum sempat untuk membaca betul-betul kandungan surat ini.

Yang pasti, kakchik akan pastikan kakchik membaca dan membuat keputusan sebelum 31.10.2010 . Dalam kalangan teman-teman semua, kalau ada yang pernah mendapat tawaran yang sama, boleh tak kongsikan sikit kelebihan Google Adwords ni.

Terima kasih untuk yang sudi berkongsi maklumat dan pengalaman.

Isteri Penguat Semangat Maher Zain

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Maher Zain. Ledakannya sangat hebat hinggakan seluruh dunia hampir berjaya dikuasainya. Lagu-lagu beliau sangat merdu, menaikkan keinsafan, semangat dan memberi ketenangan bagi sesetengah orang. Kakchik yakin ramai di kalangan kita meminati lagu-lagu beliau. Yang suami isteri pasti gemarkan 'For The Rest of My Life' dan yang baru kahwin dan yang bakal kahwin pasti sukakan 'Barakallahulakuma'. Anak-anak saudara kakchik sukakan 'Palestine Will Be Free' dan cik abe sukakan 'Hold My Hands'. Kakchik sukakan semuanya.

Hari ni kakchik membaca satu artikel menarik mengenai Maher Zain di myMetro. Khabarnya kekuatannya  beliau kini adalah datangnya dari sokongan isterinya Aisyah, 21. Tentu beliau ialah seorang isteri yang banyak membantu Maher Zain. Mari kita sama-sama baca artikel tersebut.

Sokongan kuat isteri
Oleh MURSHID EUNOS
murshid@hmetro.com.my
2010/10/16

Pun begitu, penyanyi kelahiran Lubnan ini kemas mengunci bibirnya, enggan bercerita lanjut soal peribadi. Maher menolak dengan penuh hemah dan berbudi bahasa.

Bisik salah seorang teman yang mengiringinya, nama wanita bertuah yang sudah lebih setahun disunting menjadi permaisurinya itu adalah Aisyah dan usianya 21 tahun. Nama yang sama ditanyakan kepada Maher, senyumnya meleret, terdiam seketika menyusun bicara.

“Jujurnya, saya tidak mahu mengheret soal peribadi dan keluarga dalam lapangan kerjaya yang semakin menunjukkan peningkatan seperti sekarang. Saya akui yang sudah berkahwin dengan seorang wanita yang benar-benar memahami diri saya pada Jun tahun lalu dan sehingga kini perkahwinan kami diulit bahagia.

“Dia (isteri) memang inspirasi kepada perjalanan diri seorang lelaki pada saya. Bukan saja menjadi peminat setia dan sahabat baik yang tidak jemu mendengar cerita manis dan pahit, malah dia juga penyokong utama yang sentiasa memastikan kerjaya saya tidak terhenti separuh jalan. Sejak awal lagi, dia mengetahui minat dan perjuangan yang ingin saya lakukan.

“Saya berharap agar pihak media dan peminat menghormati pendirian ini untuk tidak mendedahkan identiti keluarga. Biarlah kerjaya nyanyian yang ditonjolkan bukannya soal peribadi. Malah, isteri dan keluarga saya juga tidak mahu jika publisiti tempias kepada mereka,” kata anak kedua daripada lima beradik ini dengan intonasi rendah dirinya.

Hampir dua minggu Maher di Kuala Lumpur mempromosi album sulungnya, Thank You Allah sempat berkongsi pengalaman yang pernah terpalit dalam diari hidupnya. Selain menggegarkan Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam malam Khamis dan Jumaat lalu dengan persembahan istimewanya di hadapan lebih 1,000 penonton, Maher juga hadir bagi menyampaikan dakwah melalui melodinya.

Meskipun masih hijau di pentas nyanyian antarabangsa, namun konsepnya yang berbeza dengan elemen muzik yang menjurus ke arah balada ketuhanan ini jelas menggambarkan sebuah fenomena baru kepada peminat muzik dunia.

SELEBRITI enggan terlepas peluang dalam membuat liputan ke atas usahanya dalam menyebarkan keagungan Islam menerusi nyanyian meskipun cerita mengenai Maher sudah banyak dipaparkan. Setidak-tidaknya, dakwah serta niat murninya itu diperluaskan lagi.

“Album ini satu usaha yang mungkin dapat saya lakukan bagi menebus dosa lama selain menyebarkan agama menerusi bakat yang ada. Mungkin ini yang mampu saya lakukan dan saya percaya, setiap insan itu punya kelebihan masing-masing. Setakat ini usaha ini berkesan dan saya cukup berpuas hati maklum balasnya.

“Saya adalah wajah Islam dan menjadi satu tanggungjawab saya untuk terus mengagungkan dalam apa saja cara sekalipun. Saya bersama beberapa tenaga kreatif yang menerbitkan album ini bersungguh-sungguh memperkenalkan karektor terbaik dalam Islam.

“Saya perangi kezaliman yang berlaku terhadap saudara Islam lain dan pastinya saya cintai kedamaian untuk agama sejagat. Saya tidak mahu melihat umat Islam terus ditindas dan mustahil untuk saya terus ke depan dan berperang hingga pertumpahan darah. Justeru, perjuangan yang mungkin mampu saya lakukan adalah secara halus seperti ini. Alhamdulillah ia berkesan.

“Bayangkanlah, setiap lagu saya yang sarat menceritakan kebesaran Islam ini mampu menarik perhatian peminat bukan Islam hingga mereka menitiskan air mata kerana kagum dengan keindahannya. Mereka mungkin tidak memahaminya, namun setidak-tidaknya, keharmonian dalam Islam itu berjaya memancing perhatian mereka,” katanya yang sempat mengajak peminat bagi mengunjungi laman sosialnya di facebook.com/maherzain.

Sejauh mana kita tersasar daripada landasan kebenaran, itu tidak bermakna perjalanan seterusnya kekal gelap. Sesungguhnya, detik itu akan mengajar dan memberi ruang yang lebih luas untuk menoleh pada kesilapan lalu kepada mereka yang tergelincir. Untungnya mereka yang diberi peluang kedua.

Tidak sekali merasa janggal dan malu, Maher mengakui dirinya bertuah selepas berjaya bangkit daripada zaman hapak bertahun-tahun lamanya. Malah, pengalaman itu digumpal kemas menjadi semangat baru. Inilah peluang kedua buatnya.

Mungkin darah muda dan segala ujian yang datang ketika menimba rezeki dan pengalaman di kota New York menggoncang imannya. Namun berkali-kali Maher yang popular menerusi lagu Insha Allah ini memanjat syukur diberi kesedaran oleh Allah.

“Itu semua ketentuan dan satu suratan. Siapa saya untuk menolaknya. Namun alhamdulillah saya tidak terus hanyut dengan dugaan itu sebaliknya lekas sedar untuk kembali ke jalan yang benar. Saya terlalu taksub dengan keseronokan dunia serta rezeki yang tidak pernah putus ketika itu hingga jujurnya, saya lupa dengan Tuhan. Malah saya akui, kira-kira tujuh tahun lalu, saya tidak mampu melawan tekanan yang bersarang dalam jiwa. Saya lupa dan terus lupa segala-galanya soal kewajipan.

Ketika di Sweden saya bertemu teman-teman yang membawa saya ke sebuah masjid dan saya merasakan satu jawapan yang selama ini dicari-cari. Ibarat teka-teki yang terjawab. Saya mula sedar akan kealpaan selama ini,” katanya.

Thank You Allah dipasarkan seluruh dunia pada Oktober tahun lalu dan memasuki pasaran tempatan kira-kira empat bulan lalu.

Pengalaman sebagai penerbit muzik di New York menambah keyakinan lelaki berusia 29 tahun ini untuk merakamkan album yang mewakili jiwanya. Jelas Maher, darah seni itu sudah lama tersembunyi dalam jiwanya kerana sejak kecil, dia sudah terbiasa melihat ayahnya menyanyi serta mengadakan persembahan.

“Ayah juga seorang penyanyi di Lubnan dan sejak kecil, saya sudah dikelilingi dengan muzik dan melodi. Alhamdulillah bakat dan minat itu datang seiring menguatkan lagi rasa percaya untuk terus memperjuangkan apa yang diimpikan. Pengalaman di New York juga membuka ruang yang lebih luas buat saya mencipta karya sendiri.

“Thank You Allah adalah satu terjemahan daripada apa yang sudah lama terpendam dalam hati. Memang jujurnya keinginan untuk berbicara melalui nyanyian sudah lama saya fikirkan, cuma langkah itu tidak pernah bermula hingga insiden yang benar-benar membuka perspektif baru dalam diri saya.

“Justeru, album sulung ini bukan sembarangan karya sebaliknya ia benar-benar dekat dengan diri saya,” katanya yang sempat bercuti ke Langkawi.

Pinta graduan Kejuruteraan Aeronikal sebuah universiti di Sweden ini agar meneliti albumnya dengan mata hati. Thank You Allah memberi satu dimensi baru dalam industri rakaman seni suara. Bukan saja konsep, malah Maher menyuntik kejujuran jiwanya.

“Inspirasi dalam penciptaan melodi serta lirik hanya berpaksi pada pengalaman dan rasa hati semata-mata. Tidak pernah saya memandang mana-mana penyanyi sedia ada atau ikon untuk dijadikan rujukan. Sebaliknya, kesemua 14 lagu dalam album ini punya cerita sendiri.

“Insha Allah umpamanya menceritakan perhitungan dan kebarangkalian yang mungkin berlaku dalam diri seseorang jika terus bertawakal dengan ketentuan. Memeluk Islam dan mengenali keindahannya membuatkan ada kalanya perasaan sayu

itu wujud kerana memikirkan soal kebesarannya. Saya berhasrat agar ada yang tersentuh setiap kali menghayati lagu ini,” katanya yang meneruskan penjelajahan dakwahnya ke lima bandar utama di Amerika Syarikat sebelum ke Dubai, Jerman dan Sarajevo bermula bulan depan.

Seorang isteri, boleh menaikkan seorang suami dan juga sebaliknya. Sejarah dulu dan kini membuktikannya. Contoh, boleh kita lihat di sekeliling kita. Walaupun penulis artikel tidak berjaya mengorek hal berkenaan isteri beliau, kakchik rasa Maher Zain boleh berada di tahap sekarang, sudah tentu dengan sokongan kuat isterinya. Isteri mana yang tidak mahu lihat suaminya berjaya? Selagi apa yang suami kita usahakan itu boleh membawa kebaikan kepada ramai orang, lebih-lebih lagi kebaikan dunia dan akhirat, kita sebagai isteri, wajib sokong.
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs