Followers

31.3.11

Pakai Purdah, Letak Gambar di Laman Sosial

Mohon perlindungan Allah dari Syaitan yang direjam. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Apa khabar? Kakchik doakan kalian semua sentiasa dalam keadaan selamat, sihat dan bahagia dalam menjalani kehidupan seharian. Semoga kita semua tidak lupa mengucapkan syukur dan menterjemahkan syukur kita kepada Allah SWT dengan hidup sebaik mungkin sebagai hamba-Nya yang taat setia kepada segala suruhannya. Insyaallah.

Banyak sungguh kerja dan urusan yang perlu kakchik beri tumpuan hinggakan masa agak kurang untuk berlama-lama di blog sendiri apatah lagi untuk menjenguk blog kawan-kawan dan para tetamu yang singgah dan meninggalkan jejak. Harap kalian sudi maafkan kakchik terutama kepada teman-teman yang meninggalkan komen tetapi masih belum menerima sebarang balasan dari kakchik. Buat masa ini kakchik akan cuba balas mana yang sempat dulu. Jika tak sempat, kakchik akan cuba secepat mungkin untuk ‘publish’ komen-komen yang ditinggalkan. Terima kasih banyak-banyak ya.

Minggu lepas semasa kakchik online sekejap-sekejap di facebook dan ambil peluang untuk menjenguk apa yang menarik di ‘wall’ beberapa orang teman. Ada satu status yang menarik minat kakchik untuk turut sama memberikan pandangan tapi oleh kerana masa kakchik membaca status perbincangan tu kakchik sudah mahu meninggalkan pejabat untuk ke satu mesyuarat maka kakchik hanya mampu membaca beberapa komen orang lain kemudian meninggalkan satu respon pendek. Terasa amat terpanggil untuk menyertai topik perbincangan yang hangat tu. Apatah lagi orang sedang membincangkan tentang muslimah berpurdah yang meletakkan gambar di facebook (mungkin termasuk juga di laman sosial yang lain).

Di bawah ialah status sahabat kakchik yang dimaksudkan:
Sahabat yg ada maklumat esp yg berpurdah, tolong bantu saya. Ada seseorg bertnya:knp muslimah berpurdah tp masih memaparkn gambar2 di fb? Saya jawab, mgkn sbg mkluman bahawa dirinya seorang niqabi. Lantas saya ditanya lagi :Mengapa mesti banyak, skping dua bukankah sudah mencukupi?

Bersama Ummi dan sahabat baik di Kuliah Jumaat oleh TGNA.

Oleh kerana respon kakchik rasanya agak panjang maka kakchik fikir lebih baik kakchik tulis satu entri khusus bagi pihak diri-sendiri. Allahu’alam sama ada pandangan kakchik ini boleh dianggap mewakili para niqabi di dunia maya ini atau tidak, terserahlah kepada pandangan masing-masing. Setiap dari kita berada di alam maya ini untuk tujuan tertentu yang secara jujurnya hanya diketahui antara diri masing-masing dan Allah SWT. Orang sekeliling boleh menafsir berdasarkan apa yang dibaca dan dilihat tapi tak mungkin boleh membuat tafsiran yang tepat. Moga-moga kita bersangka-baik apabila membuat tanggapan.

Sudah lama juga isu meletak gambar di alam maya ni menjadi buah mulut orang. Hampir kebanyakan tulisan yang ada adalah dalam bentuk peringatan, larangan, kritikan, kecaman, marah dan seumpamanya. Secara dasarnya kakchik setuju dengan apa yang ditulis jika bertujuan menasihatkan dan memberi ingatan demi menjaga maruah dan maslahah diri muslimat. Tapi kakchik tidak setuju jika ia seolah-olah membuka peluang untuk mengata-ngata. Persoalan yang sedang kita hadapi sekarang ini, salahkah meletakkan gambar kita di internet ni?

TUJUAN

Mula-mula kena tahu dulu PERINTAH MENUTUP AURAT yang diturunkan Allah SWT misalnya seperti  Surah al-Ahzab ayat 59 (tolong cari sendiri ya). Lepas tu barulah kita tetapkan apa tujuannya. Macam kakchik, tujuan asal tiada lain kecuali untuk berkongsi cara hidup sebagai seorang muslimah (kebetulan pula kakchik berpurdah) yang sedang berusaha menjadi hamba Allah yang taat. Sebab itu dengan izin suami, kakchik meletakkan gambar-gambar bersesuaian sama ada sendirian, bersama suami, bersama keluarga, bersama kawan atau semasa ada program/aktiviti bersama masyarakat. Mungkin boleh kata sebagai biah solehah kepada orang lain yang sedang membuat perubahan hidup. Mahu juga menjadi inspirasi kepada para muslimah yang ingin membina keyakinan diri untuk hidup, bekerja, bersekolah dan seumpamanya di dalam masyarakat yang berbilang kaum ni. Kakchik tahu diri kakchik banyak yang tidak sempurna tapi tetap juga mahu menjadikan cara hidup dan penampilan kakchik motivasi dan inspirasi kepada orang lain kerana diri kakchik ini adalah medan dakwah.

Dulu-dulu mungkin meletakkan gambar di blog tidak begitu menjadi perhatian kerana hanya pembaca tertentu sahaja yang melihat kita tapi sejak ada FB ni banyak juga kakchik menyimpan gambar di sana. Insyaallah bila kita tahu batas-batasnya maka dengan segera kita memilih gambar-gambar yang sopan untuk diizinkan menjadi tatapan teman-teman. Manakala gambar-gambar yang terlalu peribadi, nampak aurat, dalam aksi yang tidak Islamik, terlalu fokus kepada susuk wajah atau badan langsung tidak di'upload' apatah lagi mahu dikongsikan dengan orang lain.

Sekarang ni ramai yang suka bergambar dengan memfokus kepada mata dan mulut – tafsiran pertama yang kakchik baca apabila melihat gambar-gambar itu ialah, “nak orang puji ke?”, “nak tarik perhatian siapa ni?”, “kenapalah dekat sangat difokusnya?” dan seumpamanya. Jika yang bergambar itu seorang niqabi mungkin lagi banyak persoalan berbau negatif yang timbul.

Gambar-gambar sebegitulah yang telah menjadi sumber masalah kepada para muslimah berpurdah yang lain. Alhamdulillah masalah ini masih terhindar dari diri kakchik. Belum pernah ada yang menegur, mungkin malu atau takut nak tegur, Allahua’lam kakchik tak tahu. Janganlah pendam saja jika rasa apa yang kakchik buat itu tidak betul, kena tegur. Elakkan wujud buruk sangka dalam hati. Jika kalian rasa gambar-gambar yang kakchik letak ini menjatuhkan maruah, memalukan muslimah yang lain, mengganggu keselamatan kakchik dan orang lain, berdosa, haram atau seumpamanya tolong beritahu kakchik secara personal ya. Boleh email atau PM jika di FB.

SIAPA YANG KITA IZINKAN MELIHATNYA?

Gambar sebagai inspirasi.

Cantik dan pujian adalah dua perkara yang mungkin disukai oleh semua wanita. Dalam hal ini kena tanya iman masing-masinglah betul atau tidak. Kakchik sukakan kedua-duanya tapi secara terkawal. Cantik untuk diri sendiri dan suami sahaja manakala pujian tu tidaklah diminta-minta atau dicari-cari dengan sengaja. Jika orang puji pada perkara yang bersesuaian, alhamdulillah... segala puji bagi Allah. Rasa diri lebih bersemangat. Tapi jika sengaja-sengaja nak orang puji maka kenalah jauhkan sebab itu sudah salah di sisi agama.

Cerita tentang cantik dan kena puji ni, bagi kakchik penting juga nak kena ingat siapakah yang kita izinkan melihat gambar-gambar kita tu. Dan ini ada kait-mengait dengan siapa yang kita terima sebagai kawan jika di FB. Satu kesilapan yang kakchik lihat dilakukan oleh ramai muslimah termasuklah para niqabi ialah dengan menerima ramai lelaki ajnabi sebagai FRIENDS sedangkan kita sering dinasihatkan agar berhati-hati. Kakchik pun ada kawan lelaki di dalam blog dan FB tapi mereka diterima selepas kakchik selidik dan kenalpasti latar belakang mereka sama ada kawan sekolah dulu, ahli jemaah semasa di kampus, ahli gerakan semasa di luar kampus, rakan sepejabat dan sebahagiannya kenalan berdasarkan fikrah yang sama. Memang cerewetlah sikit tapi fikirkan Islam, fikirkan Islam.

Di blog agak sukar untuk menyaring orang yang melihat kerana pembaca boleh FOLLOW blog kita dan kita tak boleh REMOVE dia. Dalam hal ini apa yang kakchik buat ialah berkawan dengan ramai blogger perempuan dan hanya beberapa orang blogger lelaki yang bersifat teknikal. Oleh itu buatlah pertimbangan iman bila mahu kongsikan gambar-gambar kita di alam maya ni. Seronokkah kita bila ramai lelaki yang memuji-muji kecantikan kita sedangkan kita memakai purdah? Purdah yang sepatutnya menjauhkan kita dari mendapat komen-komen personal begitu. Misalnya, “MashaAllah... cantiknya mata awak.” Kata seorang kenalan lelaki. “Lawa giler. Pakai purdah macam ni lah bagus.” Kata pula seorang lelaki lain. Bak kata di bawah gambar kita tu lebih ramai lelaki yang memuji berbanding perempuan. Takde rasa apa-apa ke?

Marilah kita selaraskan penampilan kita dengan akhlak kita dan pergaulan kita. Tidak nampak tuan badan di internet tidak bermakna pergaulan tidak terjadi. Kalau di alam nyata ni kita malu-malu nak bercakap dengan lelaki ajnabi, kenapa pula di FB tu macam mudah saja? Fikirkan Islam... fikirkan Islam. Jangan jadikan alasan untuk mencari teman hidup sebab itu kita berkawan dengan ramai lelaki ajnabi. Memang seronok ada ramai peminat tapi bimbang pula nafsu yang jadi raja. Kita jadi Tipah Tertipu nanti.

GAMBAR SENDIRI LAMBANG JUJUR

Pada kakchik, meletakkan gambar sendiri di blog atau di profil FB adalah lambang kejujuran kakchik dalam menjalinkan ukhuwwah fillah. Kakchik tidak suka menggunakan gambar orang lain, gambar pokok, gambar bunga atau lain-lainnya. Nama panggilan pun kakchik tidak tukar-tukar bimbang kawan keliru seperti mana kakchik selalu keliru. Bila ada seribu lebih kenalan, dan berkenalan kerana Allah, mengenali namanya sama ada nama sebenar dan panggilan kesukaannya adalah besar ertinya buat kakchik. Kakchik geram bila kenalan selalu tukar-tukar nama tanpa meletakkan nama asal kerana menyukarkan untuk kakchik memanggilnya bila berinteraksi. Gambar sebenar dan nama yang tetap sangat kakchik hargai. Kalau nak guna gambar lain tapi nama tak tukar itu pun kakchik hargai.

Bagi sesetengah kenalan yang masih remaja atau muda belia, tukar-tukar nama dan gambar ni mungkin sekadar suka-suka tapi bagi kakchik yang serius dalam bersahabat, ianya kurang digemari. Bersahabat bukan main-main. Buat apa menerima beribu kenalan tapi tak dapat mengenali peribadinya sedangkan persahabatan dalam Islam meletakkan kejujuran di tangga yang penting. Asyik keliru, “ini siapa pula ya?” bila terlihat seorang kenalan memberi respon tapi nama samaran tu kakchik tak pernah tengok sebelum ni. Kenalah pula cek profilnya kot-kot ada ditulis nama asal kat sana. Kalau ada alhamdulillah, kalau takde terasa seperti berinteraksi dengan PHANTOM.

Boleh jadi tuan punya nama samaran mahu berahsia atas sebab-sebab tersendiri, kakchik raikan saja. Manusia ini makhluk yang kompleks maka nak tak nak kena terima dan cuba membiasakan diri. Asalkan tidak membelakangkan Islam sudah.

KERANA NILA SETITIK

Isu muslimah memakai niqab yang meletakkan banyak gambar di FB ni menjadi perbualan ramai mungkin kerana sebab-sebab berikut:

  • Niqabi itu sendiri yang mengizinkan gambar-gambar yang menggoda, fokus kepada mata, mata pula bercelak tebal, cara aksi dalam gambar, dan bergambar sendirian.
  • Niqabi menggunakan bahasa interaksi yang manja-manja membuatkan orang bukan niqabi atau niqabi lain pandang semacam.
  • Niqabi mempunyai kenalan lelaki yang ramai dan pelbagai. Ramai yang kakchik tengok kenalan lelakinya kelihatan alim pada gambar dan bahasa tapi bila mata mereka diizinkan melihat gambar-gambar niqabi tersebut, iman mereka turut teruji.
  • Masih muda remaja dan jiwa remaja ini sangat mudah terpengaruh dengan sesuatu tarikan misalnya mahu jadi baik tapi mahu juga berkawan dengan lelaki ajnabi maka penampilan kelihatan bagus tapi muamalah pula kurang dijaga. 

Allahua'alam. Susah juga nak cakap pasal isu gambar ni. Mungkin kerana majoriti orang beranggapan bila sudah berpurdah sepatutnya kita tidaklah melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh orang lain yang tidak berpurdah. Kalau dikira memang tidak patutlah meletakkan banyak gambar personal secara bebas untuk tatapan sesiapa sahaja terutama lelaki ajnabi yang zaman sekarang ni sukar nak menjaga pandangan. Apatah lagi bila yang nampak hanyalah sepasang mata yang ayu menggoda.

Muslimah berpurdah tidaklah sempurna jadi daripada berbincang saja di wall lebih baik hantar PM kepada mereka atas dasar nasihat sesama saudara seagama. Kakchik berpurdah, kakchik juga meletakkan gambar di FB dan blog, jika ada yang tidak elok, kakchik mengharapkan kejujuran dalam persahatan untuk kalian menegur kakchik. Bukan di ruangan terbuka tapi secara personal melalui email atau PM. Buat masa ini kakchik masih yakin gambar-gambar yang dikongsikan ada kebaikannya untuk muslimah yang lain.

Allahu'alam.

27.3.11

Untuk Muslimah, Perempuan dan Wanita

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Apa khabar teman-teman semua? Semoga hari ni kalian semua dalam keadaan sihat sejahtera, berbahagia di samping keluarga dan menjalani kehidupan dengan penuh taat kepada Allah SWT. Sudah banyak hari ya kakchik tidak mengemaskini blog ini. Pelbagai perkara sudah berlaku sepanjang kakchik tidak menulis. Kakchik ada mendraf satu pos sebagai respon kepada satu perbincangan di FB tapi belum siap lagi kerana penulisannya memerlukan penelitian kerana ianya berkait dengan hukum dan mungkin agak sensitif kepada para muslimah yang memakai niqab.

Baiklah, oleh kerana kakchik pun nak bersiap untuk pergi kerja, kakchik mahu kongsikan satu video menarik untuk kita semua para muslimah, perempuan ataupun wanita. Ambillah sedikit masa untuk klik butang PLAY video ini untuk sedikit pengisian jiwa. Mana tahu ianya menjadi ilmu dan peringatan yang cukup bermakna untuk kita hari ini. Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

23.3.11

Bertemu sahabat facebook

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Alhamdulillah... tanpa disangka-sangka hari ini kakchik mendapat kunjungan penuh mesra dari pasangan suami isteri yang menjadi kenalan agak rapat di facebook. Kakchik amat berbesar hati menerima kunjungan mereka di pejabat kakchik petang tadi.

Terima kasih banyak. Gembira sekali dapat bertemu kalian sekeluarga.

Terima kasih banyak kepada Ustaz Kay dan Ukhti Sapura serta empat orang anak mereka yang comel-comel kerana sanggup mencari pejabat kakchik menggunakan GPS. Alhamdulillah, walaupun tanpa nombor telefon, Allah telah mengizinkan kami bertemu walaupun sebentar.

Semoga di saat ini kalian sekeluarga telah selamat sampai di rumah bonda ustaz yang sedang uzur. Insyaallah kepulangan kalian akan menceriakan beliau dan boleh membantu secara rohani dalam mengembalikan kesihatan beliau. Orang kata bila hidup ceria, penyakit mudah hilang. Allahu'alam.

Seronok melihat telatah anak-anak Sapura yang berakhlak mulia.

Kalau sudi, bila nak balik ke Kedah nanti, singgahlah lagi ya. Sebelum terlupa kakchik nak mengambil peluang ini untuk mengucapkan selemat panjang umur dan murah rezeki kepada Ukhti Sapura yang akan menyambut ulang tahun kelahiran beberapa hari saja lagi. Tahniah kerana telah mendapat hadiah istimewa tu. Semoga berbahagia dunia akhirat.

Dan semoga ukhuwwah fillah di antara kita akan berkekalan.

Wassalam.

21.3.11

Bau rokok melekat di purdah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Mula-mula sekali maafkan kakchik kalau tulisan kakchik nk ada bau-bau marah dan geram. Bukan bau rokok ya. Hati kakchik agak panas ni dengan sikap beberapa orang peserta program di atas tu. Tak tahulah mereka ni ada common sense atau tidak. Kemungkinan besar masa belajar dulu mereka yang berkenaan ni tak habis khatam bab kesedaran sivik ni.

Sikap mereka ni telah membuatkan kakchik makin anti dan kurang hormat kepada para perokok. Sudahlah merokok, tidak menghormati pula peraturan kami dan sepatutnya sendiri fahamlah yang ini kan tempat awam... you are not suppose to smoke inside the building! I am so disappointed with these people. Tolonglah merokok di luar tu, bukannya jauh pun.

Allahu Akbar! Syukur masih ada sabar. Kalau ikutkan nafsu ammarah ni tak tahulah mampu atau tidak kakchik bercakap dengan nada biasa. Kakchik personally jumpa dengan pihak penganjur dan minta kerjasama mereka untuk memaklumkan larangan itu sekali lagi (ya, sebelum ini sudah beberapa kali dimaklumkan) kepada para peserta agar mereka ingat. Habis melekat bau rokok di purdah kakchik ni. Lemas dibuatnya untuk bernafas. Udara sudah tidak nyaman lagi di dalam bangunan ni.

Bukannya mereka ni budak muda remaja tapi sudah dewasa, sudah punya akal fikiran. Benda simple dan kecil macam ini pun nak kena ajar. Hmm... sekali kakchik fikir, dua kali kakchik fikir, kakchik rasa mereka ambil mudah aje segala-galanya. "Buat penat aje nak turun ke bawah dan ke luar untuk merokok. Buka aje tingkap kat hujung tu dan kita merokok bersama-sama. Kalau tak nak orang nampak, kita guna aje kawasan tangga keselamatan. Lepas tu kita buang aje puntung rokok tu kat situ, diorang bukan tahu siapa yang punya angkara."

Itulah agaknya yang mereka fikirkan. Mentaliti begini jika ada pada orang Melayu kita tentu sangat sukar untuk diubati. Kakchik amat berharap teguran dan permintaan kakchik tadi akan dipandang berat oleh para penyewa. Hormatilah orang lain nescaya orang akan hormati kita. Kalau berterusan sikap tidak prihatin ini diamalkan, ada kemungkinan kerjaya kalian sebagai kontraktor juga akan terpalit. Yang kecik-kecik inilah jika selalu berulang akan menjadi tabi'at yang sukar nak dibuang. Melekat, busuk seperti bau rokok di purdah kakchik ni. Hmm...

Ulasan Buku: Aurat Lelaki dan Wanita Berdasarkan al-Quran & Hadis

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam ukhuwwah fillah untuk semua teman-teman. Kakchik doakan kalian semua sentiasa dilimpahi rahmat kasih-sayang Allah SWT dan diberi keberkatan dalam hidup dunia akhirat. Semoga kita tidak lupa untuk bersyukur kepada-Nya.

"Wahai Nabi, katakanlah kepada ister-isteri dan anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah mereka menghulurkan jilbab mereka keseluruhan tubuh badan mereka, kerana dengan itu mereka mudah untuk dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Ahzab: 59)

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana hari ini kakchik masih berpeluang untuk mencatatkan sesuatu di kanvas blog kesayangan ini. Cuaca di saat ini agak sejuk kerana di luar sana hujan lebat sedang turun membasahi bumi Kota Bharu. Kemungkinan hujan akan berpanjangan hingga ke petang. Insyaallah hujan rahmat.

Gambar: Koleksi Peribadi

Kakchik baru saja menamatkan bacaan buku Aurat Lelaki & Wanita Berdasarkan al-Quran & Hadis yang ditulis oleh Abdul Aziz Ismail. Puas kakchik belek buku ini dari kulit ke kulit tapi tidak ada sedikitpun maklumat tentang penulisnya. Yang ada hanyalah namanya yang dietak di kulit depan. Kakchik berharap beliau adalah seorang yang memang alim tentang tajuk yang beliau tulis ini kerana kelihatannya  senarai rujukan beliau agak bagus.

Seronok membaca buku ini kerana ia menyeimbangkan pemberatan hukum menutup aurat untuk lelaki dan wanita. Ada bab khusus untuk memahami maksud aurat untuk kedua-dua jantina, pemilihan pakaian mengikut sunnah dan agama, bagaimana mahu berhias dan sebagainya sesuai dengan keadaan semasa. Maksud kakchik, kupasan penulis begitu menekankan kewajipan menutup aurat ke atas kedua-dua jantina tanpa menyebabkan pembaca wanita terasa seperti, "asyik wanita saja yang kena".

Menarik, santai dan mudah difahami, itulah yang boleh kakchik ringkaskan tentang buku ini. Kalau nak tahu bagaimana kacaknya Nabi kita, bacalah buku ini. Insyaallah kita boleh kongsikan pengetahuan kita dengan suami. Insyaallah jika suami mahu menambah pahala mengikut sunnah, dia akan cuba turuti apa yang pernah Nabi Muhammad saw amalkan.

Bagi kita pula, nak belajar cara bergaya pun boleh. Bergaya cara Ummul Mukminin dan para wanita mukminah yang dijanjikan Syurga. Siapa kata tak boleh bersolek, berhias dan berwangi-wangian? Boleh je TAPI EKSKLUSIF UNTUK SUAMI bukan untuk tatapan mata orang lain dan bukan untuk ciuman hidung orang lain. HANYA UNTUK SUAMI. Barulah istimewa.

Bertuah sungguh para wanita yang begitu taat kepada ajaran agama dengan menjaga aurat dengan sempurna. Allah telah menjanjikan syurga kepada kita jika kita taat kepada suruhannya. Perkara aurat ni suruhan Allah jadi jika suami melarang dari menutup aurat maka kita berhak untuk tidak taat kepada larangan itu kerana ia hak Allah bukan hak suami. Kalau suami tak suruh pun, kita sendiri ni jadilah orang yang bijaksana, pakailah pakaian menutup aurat, tutup dengan sempurna.

Buku ini kakchik cadangkan kepada kalian kerana bila dibaca kalian tidak akan terasa berat dan membosankan. Ia pun tidaklah tebal dan saiznya pun muat untuk dimasukkan ke dalam beg tangan. Sesuai dibawa ke mana-mana untuk tatapan jiwa dan mengisi masa lapang. Harga pun murah sangat, RM10 untuk ilmu yang begitu berguna. Cuma satu yang kakchik kurang setuju iaitu gambar di kulit depannya. Huhu, tak menutup aurat la pulak. Mungkin penerbit nak tarik minat pembeli tapi lagi elok kalau letak yang menutup aurat. Allahu'alam.

19.3.11

Nak Pilih Yang Mana Satu?

Yang hijau ini:

RM799.00


atau yang merah ni?

RM499.00

Boleh dijadikan sofa dan jika mahu, ubah sikit dah jadi katil siap bertilam. Menarik ni.

18.3.11

Vintage On Friday

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Alhamdulillah kita bertemu lagi di pagi Jumaat yang indah ni. Hari ni kakchik ada banyak kerja jadi mungkin tak sempat nak menulis panjang-panjang.

Untuk tak menghampakan para pengunjung terutama yang suka pasal tulisan tentang aurat dan fesyen pakaian muslimah, kakchik nak kongsikan idea terbaru dengan kalian.

Kakchik pun tak pasti, siapakah yang sesuai untuk fesyen begini tapi kakchik rasa ianya boleh membuatkan seseorang itu nampak manis.

Fesyen ini mungkin sesuai untuk para muslimah yang tidak gemar memakai jubah atau abaya. Kasut tu kenalah kurangkan ketinggiannya kerana bila terlalu tinggi bimbang akan mengganggu iman orang lain dan juga kesihatan diri.

Ok, inilah setnya:


17.3.11

Indah Tak Terkata


menunggu suami pulang
dari jendela mobilku mataku melihat alam
indahnya langit petang
awan memutih indah menghiasi dada langit
angin sepoi-sepoi bahasa menjamah pipi
terasa nyaman dan romantis sekali
subhanallah, indahnya langit ciptaan-Mu
saujana mata memandang
hiasannya unik tiada yang mampu menirunya
sebelah timur begitu, sebelah barat pula begini


jika aku mampu menyentuh awan
ingin rasanya kuhadiahkan keseronokannya kepada
suami tersayang
biar dia tahu yang aku hari ini
sedang menghayati kebesaran Tuhan.



ps: puisi dikarang secara spontan saja.

16.3.11

Untuk Mereka Yang Keliru Tentang ASSALAMUALAIKUM, SALAM dan AS SALAM

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Malam ni kakchik nak kongsikan 2 salinan artikel yang ditulis oleh 2 orang individu yang berbeza. Seorang menulis selepas beliau mendengar bual-bicara Ust. Zawawi di Ikim.fm dan seorang lagi ialah seorang ustaz yang menulis untuk meleraikan kekeliruan yang timbul.

Kakchik ada tanya cik abe, apa bezanya menulis SALAM dengan menulis AS SALAM di dalam tulisan kita sama ada untuk mengomen, meninggalkan mesej atau sebagainya. Selama ini kakchik menggunakan ASSALAMUALAIKUM dan SALAM untuk mengucapkan selamat kepada sesiapa saja kerana pada kakchik kedua-duanya tidak salah.

Akhir-akhir ni kakchik lihat sudah ramai yang menggunakan AS SALAM dan ilmu kakchik yang terhad ni tertanya-tanya kenapa pula ya? Tentu ada sesuatu yang menyebabkan kita bertukar dari menulis SALAM kepada AS SALAM. Kakchik belum pernah tukar lagi, sampai ke hari ni masih setia dengan ASSALAMUALAIKUM dan sekali-sekala menggunakan SALAM.

Biasanya maklumat paling cepat kita perolehi adalah di wall facebook. Itulah juga yang membawa kakchik kepada 2 artikel di bawah ni. Elok kita baca kedua-duanya agar selepas ini ilmu bertambah, kefahaman meningkat dan kita akan beramal dengan ilmu yang benar. Kakchik pun baru tahu sebab itu nak kongsikan di sini. Sebelum ini kakchik ragu-ragu jadi kakchik yakin dengan apa yang telah biasa kakchik amalkan sebelum ini.

ARTIKEL 1

SIAPA YANG MENGGUNAKAN PERKATAAN "SALAM"? apakah maksud disebaliknya??

Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah: "Salam (selamat tinggal)". Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk). (QS. 43:89)

baik gunakan... ASSALAMUALAIKUM or ASSALAMUALAIKUMWARAHMATULLAHIWABARAKATUH...

Ilmu utk dikongsi bersama. Sekadar peringatan untuk semua rakan-rakan muslim yang lain. Pagi semalam saya dengar radio ikim (91.50 fm). Ustaz Zawawi ada cerita tentang sunnah Rasulallah saw. Antara yang dibincangkannya ialah tentang bab cara memberi salam.

Menurut ustaz Zawawi Yusof, Baginda saw memberi salam dengan lafaz "Assalamualaikum" dan menjawab salam dari para sahabat baginda dengan salam yang lengkap iaitu "Waalaikumussalam warahmatulallahhi wabarakatuh".

Ringkasnya, baginda saw akan beri salam dengan ucapan - "Assalamualaikum" dan...Jawab salam - "Waalaikumussalam warahmatulallahi wabarakatuh"

Lagi satu, perlu diingatkan juga semasa menjawab salam, saya dengar ramai orang jawab salam dengan ucapan yang tidak tepat. Jawab salam yang betul ialah ; "WAALAI KUMUS SALAM" dan bukannya yang selalu saya dengar iaitu ; "WAALAI KUM SALAM"

Apabila kita ingin berkirim salam pada orang lain, hendaklah kita berkata "Kirim salam, assalamualaikum pada ASHREE ye" contoh lerr... Dan bukannya: "Kirim salam kat ASHREE yer". Dan jangan pula memandai-mandai tambah perkataan seperti "Ko tolong kirim salam maut kat dia yer".
Statement ini walaupun dalam nada bergurau, tapi ia adalah menyalahi syariat dan berdosa, walaupun sekadar gurauan!

Selain itu, janganlah kita menggantikan perkataan "Assalamualaikum" dengan "A'kum" dalam sms atau apa sekalipun melalui tulisan. Jika perkataan "Assalamualaikum" itu panjang, maka hendaklah kita ganti dengan perkataan "As Salam" yang membawa maksud sama dengan "Assalamualaikum".

Sumber: http://blogtokwan.blogspot.com/

Baiklah, takde apa pun yang pelik kan? Bagi kakchik tulisan itu ialah ulasan seorang pendengar tentang kaedah memberi salam yang semakin hari semakin diubahsuai oleh orang Islam di negara kita ni. Memang kakchik sangat tidak suka bila melihat perkataan yang tiada makna seperti ini:
  • Akum
  • A'kum
  • Semekom
  • Mekoselam
  • S'kom

Yang kononnya ringkasan bagi perkataan ASSALAMUALAIKUM. Sebab itu kalau menulis SMS, kakchik gunakan SALAM kerana maksud yang kakchik faham, perkataan ini membawa makna antaranya ialah SELAMAT.

Baiklah kena baca pula artikel seterusnya barulah minda kita menjadi lapang.

ARTIKEL 2

Assalamualaikum, Beberapa hari kebelakangan ini tersebar artikel bertajuk JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM", yang dipanjangkan oleh orang yang berlainan. (juga di sini)

Mengapa sampai melarang menggunakan perkataan SALAM?

Perkataan SALAM atau AS SALAM tiada salahnya, malah merupakan salah satu Asmaul Husna. Saya tidak tahu siapa penulis asal artikel ini, yang sangat mengelirukan, kerana ramai yang telah copy & paste dan menyebarkannya. Yang pasti ia bukan bersumber dari Ustaz Zawawi, hanya kata-kata beliau digunakan dalam artikel ini.

Terjemahan ayatnya pun tidak lengkap...terus saja dimaksudkan SALAM itu sebagai SELAMAT TINGGAL...lalu diajak semua orang agar JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM".


Penulisnya menulis:


JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM"


بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
SIAPA YANG MENGGUNAKAN PERKATAAN "SALAM"? apakah maksud disebaliknya??
Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah:"Salam (selamat tinggal)".
Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yangburuk). (QS. 43:89)

فَٱصۡفَحۡ عَنۡہُمۡ وَقُلۡ سَلَـٰمٌ۬‌ۚ فَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ

Terjemahan ayat yang lengkap seperti berikut: (Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): "Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggallah! Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)! " (Az-Zukhruf 43:89)

Salam maksudnya selamat, dalam terjemahan ayat ini, "salam" bermaksud ucapan selamat tinggal, namun ia tetap sebagai doa keselamatan bagi mereka, agar di suatu masa mereka yang engkar itu akan sedar. Ini dikategorikan oleh ulama tafsir sebagai salam al-Musalamah/al-Mutarakah; iaitu bermaksud selamat tinggal. Sementara salam bagi orang-orang mukmin disebut sebagai salam at-Tahiyyah; iaitu bermaksud mendoakan keselamatan dan keamanan.

Mana boleh kita mengajak orang ramai agar jangan guna kalimah salam, sedangkan salam merupakan salah satu asmaul husna, dan banyak ayat-ayat yang menggunakan perkataan salam untuk mengucap takzim kepada para Nabi. Malah perkataan SALAM itu dari Allah SWT.

سَلَـٰمٌ۬ قَوۡلاً۬ مِّن رَّبٍّ۬ رَّحِيمٍ۬
Salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. (Yaa Siin 36:58)

Sebagai contoh, saya memetik beberapa ayat Al Quran:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ۬ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡہَآ أَوۡ رُدُّوهَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ حَسِيبًا
Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (An-Nisaa' 4:86)

إِذۡ دَخَلُواْ عَلَيۡهِ فَقَالُواْ سَلَـٰمً۬ا قَالَ إِنَّا مِنكُمۡ وَجِلُونَ
Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Selamat sejahtera kepadamu!" Ia berkata: "Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu". (Al-Hijr 15:52)

سَلَـٰمٌ عَلَىٰ نُوحٍ۬ فِى ٱلۡعَـٰلَمِينَ
"Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! " (As-Saaffaat 37:79)

سَلَـٰمٌ عَلَىٰٓ إِبۡرَٲهِيمَ
"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". (As-Saaffaat 37:109)

Penulis-penulis artikel ini menggunakan kenyataan Al Fadhil Ustaz Zawawi sebagai menguatkan hujahnya, sedangkan tiada kaitan perenggan yang pertama dengan kenyataan Ustaz Zawawi, malah menggunakan gambar Ustaz Zawawi lagi...sangat mengelirukan.

Kita sering berselawat dan memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan,

الصلوة والسلام عليك يا رسول الله، الصلوة والسلام عليك يا حبيب الله
Selawat dan SALAM ke atasmu wahai Rasulullah..
Selawat dan SALAM ke atasmu wahai Kekasih Allah..

Allah SWT memerintahkan kita berselawat dan mengucap SALAM kepada Rasulullah SAW, maksud firman Allah SWT,

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا
"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah SALAM sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Al-Ahzaab 33:56)

“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi SALAM apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.” [Riwayat Al-Tabrani]

Adakah SALAM di sini bermaksud "SELAMAT TINGGAL"?

p/s: Untuk mendapat ayat-ayat yang menggunakan perkataan SALAM, sila layari www.surah.my, cari ayat guna keyword SALAM, tidak kurang 20 ayat terdapat perkataan SALAM.

Silakan Tag @ Share menggunakan artikel asal, agar saya boleh menjawab apa-apa persoalan berkaitan.
Oleh: Mohd Fadli Yusof

Bagaimana? Adakah berlaku pencerahan ke atas ilmu kita? ALhamdulillah... Terima kasih banyak kepada Ustaz Mohd Fadli Yusof yang telah sudi membuat pencerahan ke atas perkara yang mengelirukan ini. Semoga kita semua sentiasa berhati-hati ke atas apa juga perkara, berita atau isu yang timbul dalam masyarakat. Buatlah kajian yang lebih lanjut bila ada sesuatu yang berlaku di luar dari kebiasaan dalam amalan Islam.

Kita mesti menjadi orang yang bijak demi agama kita.

Bayi Ajaib, Peristiwa Ajaib

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Sebagai seorang Islam kita wajib percaya akan qada dan qadar Allah ke atas kita dan makhluk lain di atas dunia ini. Antaranya pada kakchik ialah berlakunya peristiwa-peristiwa yang dianggap ajaib oleh kita semua. Ianya dianggap ajaib kerana akal manusia memikirkan ia tidak mungkin berlaku tapi tetap berlaku, di luar jangkaan otak kita yang lemah.

Bayi perempuan berusia 4 bulan terselamat selepas 3 hari berada dlm runtuhan akibat gempa/tsunami. Sumber: The Daily Chilli.

Begitulah juga satu keajaiban yang berlaku semasa Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami beberapa hari lepas. Mashaallah, seorang bayi terselamat walaupun dibawa arus tsunami dan hilang selama 3 hari di sebalik timbunan runtuhan. Allah Maha Kuasa, Dia menyelamatkan nyawa bayi perempuan itu.

Bagi otak manusia, peristiwa ini ajaib kerana logiknya, seorang bayi tidak makan tidak minum selama 3 hari selepas dilambung arus juga diselimuti runtuhan, tidak mungkin lagi hidup. Dengan izin Allah dia masih bernyawa di hari ini. Subhanallah. Memang ajaib sekali percaturan Allah.

Sumber: ohbayu.com

Ingat lagi tak peristiwa tsunami di Aceh dulu? Perkara paling ajaib yang dilihat seluruh dunia dan seharusnya boleh memberi iktibar kepada kita semua ialah bila mana tsunami memusnahkan segala-galanya tapi masjid-masjid hampir kesemuanya terselamat. Ajaib. Ramai orang yang insaf dari peristiwa itu.

Kakchik sendiri merasa insaf diri bila membaca berita-berita sebegini kerana merasakan Allah sedang mengajarkan kepada diri ini tentang sesuatu yang besar. Ada Allah sedang memberi peringatan kepada kita yang saban hari makin banyak melakukan kerosakan di atas dunia ini.

Ada orang merosakkan alam dengan sewenang-wenangnya. Hutan-rimba, bukit-bukau, sungai dan laut banyak yang dicemarkan oleh tangan-tangan kita. Rosak akhlak berleluasa di seluruh dunia hatta di dunia Islam yang sepatutnya menjaga akhlak, kini sebahagian besarnya sudah begitu teruk.

Amaran Allah semakin banyak, tapi kita masih lagi sekadar gitu-gitu saja. Tak bersungguh-sungguh langsung. Adakah kita nak tunggu bala besar sampai ke tempat kita baru kita nak sungguh-sungguh hati menjadi hamba Allah yang taat? Kakchik takut, sangat takut sebab kakchik pun masih suam-suam kuku dalam segala-galanya.

Marilah kita mengambil pengajaran dari semua peristiwa besar yang berlaku ni. Marilah kita berubah menjadi manusia berakhlak baik, berkata baik-baik, menulis yang baik-baik - apa saja, marilah kita lakukannya seolah-olah kita akan mati esok. Kakchik nak buat seorang tak kuat sebab itu kakchik nak ajak kalian juga. Kita buat sama-sama, barulah kita kuat. Bila kuat, syaitan susah nak goda iman kita.

15.3.11

Dua Orang Yang Rindu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Rindu. Bila lama kita tak jumpa seseorang yang kita kenal terutama bila orang tu kita rapat dan sayang, kita pasti akan merasa rindu. Perasaan rindu ni akan membuatkan kita asyik nak bercakap pasal orang tu je. Balik kerja, dalam kereta sepanjang perjalanan nak balik ke rumah, sekejap-sekejap nama orang itu juga yang kita sebut. Mata tu penuh bercahaya bila bercerita pasal orang yang dirindui tu. Kadang-kadang boleh buat orang yang sebelah sini jeles je. Huhu.

Amni malu-malu nak jumpa Ayah Wae bila lama tak jumpa.

Begitulah antara cik abe dengan amni. Mereka memang rapat. Amni membesar dari usia bayi hingga usia 'toddler' dengan kasih-sayang cik abe. Masa tu suami kakchik tu bekerja dari rumah jadi hampir setiap hari dia pasti akan bermain-main dengan amni yang dijaga oleh bibik sri di rumah tokmek. Kami berjiran, jadi kalau masing-masing mengangakan pintu rumah, amni boleh berlarian naik-turun antara kedua-duanya.

Dua insan yang saling merindui. 'Anak' manja Ayah Wae.

Kini amni sudah masuk taska dan tidak lagi dihantar umminya ke rumah tokmek seperti dulu. Bibik sri pun sudah balik ke Indonesia sejak Hari Krismas tahun lepas. Cik abe juga telah bekerja sepenuh masa di pejabat. Masing-masing memang susah untuk bertemu kecuali sekali-sekala bila kakak kakchik membawa anak-anaknya jalan-jalan ke rumah tokmek. Terubatlah rindu di hati kami berdua lebih-lebih lagi suami kakchiklah.

Sekejap saja terus rapat balik dan apa lagi, berdukunglah.

Sekarang ni musim cuti sekolah. Sejak dua hari lepas, setiap petang rindu kami terubat sebab bila sampai di rumah, hilang segala penat di pejabat bila melihat anak-anak saudara yang riuh-rendah bermain di halaman. Dan yang paling gembiranya bila cik abe bertemu amni. Huhu, bukan main syahdu lagi hehe. Tapi sekarang amni sudah makin cerdik. Dia sudah reti malu bila lama tak jumpa dengan pak sedaranya tu.

Umur 3 tahun, tapi cerdiknya, mashaallah. Kami tahu, dia makin membesar, makin cerdik dan bila masuk ke usia tadika nanti, tentu tidak boleh lagi cik abe nak manja-manjakan dia seperti sekarang. Sementara waktu itu belum sampai, bolehlah rindu antara dua insan kesayangan kakchik ni terubat dengan pertemuan singkat seperti petang tadi.

Tak Suka Makan Petai

Tapi artikel ni kata petai banyak khasiatnya. Hmm... Kalian pula macamana? Suka atau tidak makan ulam petai ni? Cuba cerita sikit pengalaman masing-masing.

Sumber: Masak-Masak

Buah petai penuh khasiat

MUNGKIN tidak ramai yang meminati ulam Petai. Ada yang mengatakan baunya menusuk hidung. Namun tahukah anda Petai mengandungi pelbagai khasiat.

Anaemia

Petai mengandungi zat besi dan boleh menyemarakan pengeluaran haemoglobin (what is this) dalam dalam dan justeru boleh membantu pesakit yang kekurangan darah.

Tekanan Darah

Ulam tropika ini mengandungi bahan potasium yang tinggi tetapi kandungan garamnya pula adalah rendah. Oleh itu Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) baru-baru ini membenarkan industri Petai menyenaraikan khasiatnya untk mengurangkan risiko tekanan darah dan serangan angin ahmar.

Tenaga Minda

Seramai 200 pelajar di Sekolah Twikenham Middlesex dibantu menjalani peperiksaan mereka dengan memakan petai semasa sarapan, masa rehat dan makan tengah hari. Kajian menunjukkan ulam yamg tinggi dengan potasium itu boleh membantu pembelajaran dengan membuat pelajar lebih awas dan segar.

Sembelit

Petai juga mengandungi serat dan boleh membantu menyempurnakan pembuangan air.

Gigitan Nyamuk

Jika anda digigit nyamuk cuba gosokkan bahagian dalam kulit petai pada bahagian yang digigit. Ramai dapati ia dapat mengurangkan lebam dan rasa gatal akibat gigitan serangga tersebut.

Kandungan Vitamin

Petai mengandungi zat vitamin B. Antara lain vitamin B boleh membantu mengamankan sistem saraf.

Kandungan B6 dan B12 dalam Petai juga boleh membantu mereka yang inging membuang tabiat merokok. Ini kerana bahan tersebut dengan bahan potasium dan magnesium dalam petai boleh mengurangkan keingingan untuk merokok.

Jelas Petai menawarkan pelbagai khasiat. Jika dibandingkan dengan buah epal, ia mengandugai empat kali lebih banyak protein, dua kali lebih banyak karbohidrat, lima kali kandungan Vitamin A dan dua kali kandungan vitamin lain.

Fuh, bukan main banyak tu khasiatnya tapi kakchik ni liat benar nak mencuba. Tang baunya tu yang paling kuat menghalang. 

14.3.11

Info Untuk Ibu-Ibu Yang Mempunyai Anak Kecil

Assalamualaikum dan selamat petang semua.

Perbezaan antara botol susu bayi polikarbonat dengan Bisphenol A (BPA) yang tidak selamat digunakan (kanan) dan polipropilena (kiri) yang ditunjukkan pada sidang media Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Putrajaya, Isnin. Botol susu polikarbonat akan diharamkan penggunaannya dalam pasaran. - MOHD SAHAR MISNI/The Star

Hari ni kakchik asyik cerita pasal anak aje kan? Kalau pagi tadi cerita pasal anak angkat, kali ni nak kongsikan berita tentang botol susu bayi pula. Cuba kalian baca berita di bawah ni:

Pengharaman Botol Susu Bayi Polikarbonat Bisphenol A Berkuat Kuasa 1 Mac 2012

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penjualan susu botol bayi polikarbonat yang mengandungi 'Bisphenol A' (BPA) berkuat kuasa 1 Mac 2012, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 2 Mac lalu sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan botol susu tersebut adalah selamat untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi terutamanya bayi dan kanak-kanak.

"Kementerian tidak akan berkompromi dalam keselamatan pengguna terutamanya bayi dan kanak-kanak. Polikarbonat adalah plastik yang digunakan dalam pembuatan botol susu bayi dan 'bisphenol A' ialah bahan kimia industri yang ditambah dalam botol susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar," katanya.

Kerajaan memberi tempoh satu tahun untuk memastikan tindakan pengharaman itu dilaksanakan dengan lancar secara berperingkat, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini Isnin.

"Pihak industri diberi tempoh masa satu tahun untuk membuat persediaan bagi keperluan pertukaran atau pembelian mesin dan penggunaan bahan mentah yang sesuai".

Tindakan pengharaman itu diambil dengan mengambil kira BPA didapati boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekaligus mengganggu sistem fungsi tubuh, katanya dan menurutnya bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang penilaian dijalankan berhubung sistem hormon dalam tubuh bayi.

Liow berkata pengharaman itu juga adalah selaras dengan tindakan beberapa negara yang telahpun mengharamkan penjualan susu botol tersebut antaranya Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan terbaru oleh Kesatuan Eropah,

Menurutnya, sehingga 2010 sebanyak 159 sampel botol susu bayi telah dianalisis dan didapati 85 peratus dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 mg/kg hasil migrasi daripada botol berkenaan.

Kajian Universiti Malaya juga menunjukkan kadar migrasi BPA meningkat sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 celsius berbanding pada suhu bilik 25 celsius, katanya.

"Pemantauan secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati terdapat migrasi BPA daripada botol-botol susu bayi polikarbonat yang telah diuji," katanya.

Beliau meminta pengguna mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada migrasi BPA berdasarkan panduan penggunaan botol susu bayi polikarbonat yang disarankan kementerian.

Liow menasihatkan pengguna supaya menukar botol susu bayi polikarbonat kepada alternatif yang terdapat di pasaran mengikut kemampuan masing-masing.

Pengguna juga dinasihatkan meneliti kod identifikasi di bawah botol sama ada polikarbonat atau tidak sebelum membelinya.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833652/8883365/88833655 atau melayari laman web http://moh.gov.my/ atau http://fsq.moh.gov.my.

Bagi kakchik, walaupun tahun depan baru Kerajaan nak mengharamkannya, ada baik kalau para ibu bapa mengambil langkah berhati-hati bermula dari sekarang. Selama ini kakchik tak pernah terfikir bahawa sebiji botol susu plastik itu boleh membahayakan kesihatan tapi bila sudah tahu ni kenalah kakchik sebarkan agar kita sama-sama dapat beringat.

Kesihatan anak-anak adalah penting sama pentingnya dengan kesihatan kita. Bila tubuh badan sihat, akal pun sihat dan insyaallah jiwa akan subur untuk iman.

Anak Angkat

Assalamualaikum dan salam bahagia kepada semua teman-teman tersayang.

Alhamdulillah hari ni syukur kerana Allah masih mengizinkan kakchik untuk menulis lagi di ruangan ini. Hari ni cuaca sangatlah mendung dan hujan renyai-renyai pun masih belum reda sejak semalam. Yang sebenarnya sejak tsunami melanda Jepun, mungkin tempiasnya sampai juga ke sini menyebabkan cuaca kembali seperti musim bah beberapa bulan lepas. Allahu Akbar.

Gambar sekadar hiasan.

Kadang-kadang mood kita ni sangat mudah dipengaruhi oleh cuaca. Kalau tidak menyibukkan diri dengan pelbagai urusan kerja alamatnya mudahlah diri terasa malas dan muram. Alhamdulillah kat sini ada banyak kerja nak dibuat jadi tidaklah asyik termenung saja.

Baru-baru ni ada orang menyarankan agar kakchik dan cik abe mengambil anak angkat. Katanya kakchik sangat bagus menguruskan anak-anak saudara jadi insyaallah kakchik juga mampu menguruskan anak sendiri. Iyalah, kami ni sudah 9 tahun hidup berdua tanpa tanda-tanda untuk mempunyai cahayamata. Teringat video yang dilihat dari dinding fb seorang kawan, adakah kami berdua juga begitu?


Hati dan perasaan kami hanya Allah saja yang tahu. Bukan tidak pernah tercetus dalam hati untuk mengambil anak angkat tapi macam-macam yang kakchik fikirkan. Hal ini pula memerlukan kerjasama antara kakchik dan cik abe begitu antara kedua-dua belah keluarga kami.

Dalam masa yang sama kami akan terus berusaha untuk mempunyai anak dari zuriat sendiri. Setabah mana sekalipun kakchik melalui hidup ini, kakchik tetap juga manusia dan seorang perempuan yang bila berkahwin, menjadi isteri orang, tentulah kakchik sangat berharap untuk menjadi seorang ibu.

Hati mana yang tidak sedih, hati mana yang tidak pedih bila pertanyaan demi pertanyaan diajukan seolah-olah kami ni sengaja melambat-lambatkan usaha memiliki anak. Ingat anak tu kami boleh hasilkan sendiri ke? Itukan dengan kuasa Allah juga walaupun kami yang menyumbangkan benihnya. Semuanya dengan izin Allah.

Ujian, mampu bersabar tapi dalam sabar air mata mengalir juga. 

----------------------------------------------------------------------------------------------------

JKM Teliti Pengambilan Anak Angkat
KOTA BARU: Setiap permohonan untuk mengambil anak angkat akan diperhalusi bagi memastikan kanak-kanak yang diserah kepada keluarga angkat tidak dipergunakan untuk kegiatan sindiket kanak-kanak, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Md Noor Chik.
Beliau berkata kehadiran ramai kanak-kanak terbiar yang ditemui menjadi peminta sedekah di sekitar bandar Kota Baharu menyebabkan JKM Kelantan memberi perhatian serius dalam proses kelulusan pengambilan anak angkat.
"Kami yakin ada sindiket yang mempergunakan kanak-kanak sebagai peminta sedekah di negeri ini. Bagaimanapun sukar untuk menahan mereka kerana mereka begitu licik dan seperti diawasi oleh ketua mereka setiap masa, sebab itulah kami bimbang dan tidak mahu ada bayi atau kanak-kanak yang diambil keluarga angkat terjebak dengan kegiatan itu," katanya.
"Kami faham ada keluarga angkat yang benar-benar menginginkan anak kerana mereka tiada zuriat, namun pihak kami tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan permohonan tanpa penelitian dan usul periksa mengenai latar belakang keluarga berkenaan demi menjamin keselamatan bayi atau kanak-kanak berkenaan," katanya.
Antara syarat yang diperlukan untuk kelulusan pengambilan anak angkat ialah pemohon sudah berkahwin, memiliki keadaan ekonomi yang baik dan lebih mudah lagi jika mempunyai hubungan dengan waris bayi atau kanak-kanak atau dipersetujui waris berkenaan, katanya.
Md Noor berkata pemohon juga perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam proses pengambilan anak angkat di mana JPN memerlukan laporan dua tahun mengenai latar belakang pemohon.
Beliau berkata pada tahun lepas, JKM menerima 43 permohonan untuk mengambil anak angkat di negeri ini dan dalam tempoh itu 14 bayi -- dua daripadanya dibuang di stesen bas --- diserah kepada JKM untuk diberi perlindungan.
Md Noor berkata sekiranya ibu bapa angkat merasa tidak serasi atau tidak boleh memberi tanggung jawab menjaga anak angkat berkenaan, mereka boleh menyerahkan semula anak itu kepada JKM.
"Kanak-kanak yang tidak serasi dengan ibu bapa angkat akan ditempatkan di tempat perlindungan atau institusi tertentu bagi membolehkan mereka memperoleh kemahiran untuk meneruskan kehidupan apabila dewasa," katanya. BERNAMA

13.3.11

Entri Senyap: Makan ketika lapar berhenti sebelum kenyang

Assalamualaikum.

Segelas susu dan roti kentang.


Dari Umar bin Abu Salamah berkata: Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda: Makanlah dengan menyebut nama ALLAH, dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang dekat dengan kamu. [Bukhari dan Muslim]

12.3.11

KakChik's Wardrobe ke URL kakchik.com

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Alhamdulillah selepas berfikir yang agak lama, akhirnya kakchik membuat keputusan untuk memilih blog KakChik's Wardrobe untuk dipindahkan ke domain sendiri iaitu kakchik.com . Sebelum ni kakchik ragu-ragu antara blog Keluargaku Sayang dan KakChik's Wardrobe.

Wajah blog KakChik's Wardrobe di blogspot.

Hati telah bulat dan sekarang ini kakchik telah selesai memindahkan semua post dari KakChik's Wardrobe ke URL baru kakchik.com tapi masih banyak yang perlu dilakukan agar kakchik.com dapat berjalan dengan lancar. Maklum saja kakchik belum biasa dengan wordpress. 

Dulu-dulu ada menggunakan wordpress tapi kakchik lebih selesa dengan blogspot sebab itu asyik bertangguh saja. Memang tak bagus sikap suka bertangguh ni sebab dah setahun sia-sia saja. Kakchik akan cuba untuk menulis dengan kerap sambil-sambil membiasakan diri dengan wordpress.

Insyaallah kakchik akan terus menulis tentang fesyen, aurat, berkongsi idea pakaian harian dan sebagainya tentang fesyen Islam di KakChik's Wadrobe. Nama blog tak tukar ya. Yang bertukar cuma URLnya. Kalau nak tengok, boleh je... sila ke kakchik.com .

Sehari dua ni mungkin tema blog akan berubah-ubah hinggalah kakchik dapat tema/template yang memuaskan hati. Semoga kali ni semangat makin berkobar untuk berkongsi cerita, ilmu dan pengalaman.

Tolong didik anak tentang adab.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Hari ni dalam cuaca yang sejuk kerana hujan turun tak berhenti sejak malam tadi membuatkan ramai orang memilih untuk berada di rumah saja. Ada yang sedang seronok melayan keluarga di rumah, apatah lagi ada juga yang masih berselimut kerana kesejukan. Bagi orang yang bekerja dan ada bisnes macam kakchik, hari ini adalah hari kerja dan cabaran bekerja pada hari Sabtu ialah mengawal kesabaran.

Didiklah anak sedari kecil beradab dengan ilmu (buku).

Ada orang menyewa dewan kami untuk mengadakan program motivasi sempena cuti sekolah, jadi ramailah kanak-kanak dan remaja sunti yang masih belum cerdik atau matang. Tahap kebisingan di saat ini cukup menguji kesabaran kami. Allahu Allah. Kalau orang yang tak biasa dengan perpustakaan kami datang, tentu terkejut melihat betapa ramainya pengunjung di kala ini. 

Memang agak sukar untuk dikawal tambah-tambah bila kita sudah beritahu kepada ibu bapa atau penjaga tentang peraturan kami dan kerjasama yang kami harapkan. Ini perpustakaan... bukannya taman permainan atau taman asuhan kanak-kanak. Tolonglah jaga anak-anak anda dan didiklah mereka etika dalam perpustakaan. Kami pun manusia juga. Sabar pun ada tahapnya.

Memanglah bagus mendedahkan perpustakaan sejak awal kepada anak-anak tapi janganlah pula lupa mengajarkan kepada mereka tentang adab-adabnya. Bertimbang-rasalah dengan para pengguna lain yang mahu mencari buku, membaca, merujuk atau berehat. Ini bukan rumah kalian saja tapi rumah orang lain juga. Kakchik pelik betul dengan sesetangah ibu bapa ni, dari penampilan mereka kelihatan seperti orang yang alim tapi kenapalah perkara asas tentang adab pun tidak tahu nak didik kepada anak-anak.

Baru sebentar tadi kakchik menegur beberapa orang bapa yang hanya tersenyum dan tergelak-gelak melihat anak-anak mereka berlarian dan bermain gusti dengan bising sekali. Bila kakchik tanya sama ada ibu bapa anak-anak itu ada atau tidak, boleh pulak tak mahu mengaku. Tuan-tuan... tolong belajar banyak lagi pasal adab ya. Faham biar lebih sikit tentang adab di perpustakaan ni. Kalau tuan-tuan boleh bergelak-ketawa melihat telatah anak-anak yang tanpa kawalan bisingnya, kakchik tak tahu bila besar sejauh mana mereka boleh menjadi orang yang beradab.

Entahlah.

11.3.11

Video: Gempa bumi & tsunami di Jepun

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kakchik kira semua orang sudah pun tahu tentang gempa bumi yang berlaku di Jepun hari ni. Tsunami juga turut melanda ekoran dari gempa bumi ini. Kakchik mendoakan kawan-kawan yang berada di Jepun terutama Hana dan Ros dengan keluarga masing-masing, selamat sejahtera semasa bencana ini.

Berikut ialah koleksi video dari MediakiniTV yang melaporkan tentang peristiwa ini.









Peristiwa bersejarah. Sebelum ini kita dikejutkan oleh gempa bumi di Christcurch di New Zealand dan bandar itu masih lagi belum pulih sepenuhnya. Bila Allah menunjukkan kuasanya, segala makhluk di dunia ini adalah bala tenteraNya. Kita makhluk yang lemah ini hanya mampu berusaha menyelamatkan nyawa dan berdoa agar diselamatkan.

Semoga setiap kita insaf diri atas apa jua musibah yang melanda.

Perkongsian: Kahwin Kerana Nafsu Atau Kasih Sayang ?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ni kakchik nak menguruskan banyak hal rumahtangga sebab esok kakchik akan kembali ke pejabat, macam biasa bagi orang yang bekerja pada hari Sabtu. Jadi, kakchik nak kongsikan satu artikel yang disalin dari YADIM yang mungkin boleh menambah sedikit ilmu tentang perkahwinan dan rumahtangga. Kakchik salin dengan sedikit pembetulan pada tatabahasa sahaja. Selamat menjamu minda dan jiwa.

Bismillah.

Gambar sekadar hiasan.

Hubungan lelaki dan perempuan adalah fitrah kejadian yang ditetapkan oleh Allah taala, hubungan yang dijalinkan hendaklah atas dasar syariat. Firman Allah taala;

Maksudnya; “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. Al-hujurat-13

Dalam Islam hubungan tersebut adalah ikatan perkahwinan yang sah. Timbul persoalan apabila pasangan yang berkahwin selalu menghadapi masalah dalam rumah tangga, apabila membincangkan perkara ini, ada pihak yang mendakwa perkahwinan yang berdasarkan hawa nafsu akan sering dilanda masalah, adapun perkahwinan yang didasari dengan kasih sayang kurang mempunyai masalah.

Pada pandangan saya ikatan kekeluargaan itu terdiri daripada ikatan antara dua insan yang berlainan jantina iaitu lelaki dan perempuan yang mempunyai hormon yang berbeza. Sudah tentu dua insan ini berbeza dari segi emosi, pemikiran, jasmani dan rohaninya. Maka apabila berlaku masalah dan pertengkaran, masing-masing akan mempertahankan diri dengan emosi dan pemikiran tersendiri. Sekiranya keluarga itu tidak bijak mengawal emosi maka akan bertambah parah masalah tersebut dan sebaliknya.

Perkahwinan atas dasar kasih sayang memang tidak dapat disangkal lagi sebagaimana firman Allah taala maksudnya; “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”. ar-Ruum-21

Dalam ayat ini dapat difahami bahawa nikmat kasih sayang itu wujud dalam suasana hubungan antara lelaki dan perempuan yakni selepas bergelar suami dan isteri. Imam al-Alusi dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa: “diciptakan bagi kamu isteri dari jenis kamu sendiri (yakni asal penciptaan hawa dari rusuk adam), supaya kamu cenderung kepadanya, sesungguhnya faktor sejenis ini akan menguatkan lagi hubungan kasih sayang”.

Berkahwin kerana nafsu, bukan kerana kasih sayang selalu menjadi hujah sesetengah golongan isteri yang kononnya kecewa dengan suami mereka yang tidak mengendahkan perasan, dan hati isteri dalam kehidupan berumah tangga. Isteri dikatakan menjadi mangsa suami, yang mengabaikan tanggungjawab dan sebagainya. Namun dalam menyelesaikan hubungan rumah tangga suami dan isteri harus bermuhasabah diri masing-masing, dan perlu bertolak ansur. Hujah ataupun tohmahan ini dilihat seolah-olah nafsu itu sesuatu yang buruk dan amat keji, sedangkan perasaan kasih sayang sendiri memerlukan kepada nafsu, makan perlu kepada nafsu, tidur dan kehidupan keseluruhannya perlu kepada nafsu.

Apakah yang dikatakan nafsu itu? Nafsu itu satu perkataan daripada bahasa arab dan dalam Bahasa Melayu membawa erti keinginan yang kuat. Jadi semua perkara tidak akan berlaku dan terjadi melainkan dengan adanya keinginan dalam diri kita. Adapun keinginan dan perbuatan kita didorong oleh nafsu, sama ada nafsu yang mengajak kepada kebaikan ataupun yang mengajak kepada kejahatan.

Nafsu terbahagi kepada nafsu muthmainnah, nafsu lawwamah, nafsu mulhimah, dan nafsu amarah. Tingkatan nafsu yang paling buruk ialah nafsu amarah, iaitu nafsu yang menyeru kepada kejahatan. Dan nafsu inilah yang perlu kita bendung dengan berkahwin, supaya diri kita tidak dikawal olehnya lalu menjerumuskan diri dalam lembah kehinaan.

Sekiranya dikatakan ada sesetengah pasangan yang berkahwin bukan kerana keinginan dan nafsu kasih sayang, yang ada hanya nafsu keinginan seks semata, ya saya katakan ada, ini kerana berkahwin atas dasar keinginan seks adalah bagi menghalang diri daripada melakukan kemaksiatan yang merosakkan, selagi mana perkahwinan itu tidak melanggar etika dan peraturan perkahwinan yang telah ditetapkan oleh syariat, itu juga yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W. , sabdanya yang bermaksud;

Daripada A’lqamah ra berkata: ketika aku berjalan bersama Abdullah r.a, Abdullah berkata: satu ketika kami bersama Rasulullah S.A.W, lalu beliau bersabda: “sesiapa di antara kamu yang ada keinginan seks ( Jimak ) hendaklah dia berkahwin, kerana dengan berkahwin dapat memelihara pandangan dan juga kemaluan daripada terjebak dalam melakukan kemaksiatan. Bagi sesiapa yang tak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat menghalang nafsu”. (muttafaq alaih)

Imam an-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa; pendapat ulama terbahagi kepada dua dalam makna “al-baah”.

Pertama dan yang paling sahih: maknanya pada bahasa iaitu jimak. Maksudnya sesiapa di antara kamu yang mampu berjimak dan mampu menyediakan nafkah perkahwinan hendaklah ia berkahwin.

Kedua: maknanya nafkah perkahwinan. Maksudnya sesiapa yang mampu menyediakan nafkah perkahwinan hendaklah berkahwin, dan sesiapa yang tidak mampu hendaklah ia berpuasa bagi mengekang syahwatnya. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan: maksud sabda nabi “sesiapa yang tak mampu hendaklah ia berpuasa” mereka berkata; bagi mereka yang tidak mempunyai keinginan seks (jimak) tidak perlu berpuasa untuk mengekang nafsu syahwatnya. Maka wajib mentakwilkan “al-baah” itu kepada kemampuan nafkah

Jelas dalam hadis ini, saranan daripada Rasulullah agar pemuda-pemuda berkahwin bagi mengekang nafsu daripada dilepaskan tidak pada tempatnya. Maka berkahwin di sini atas dasar menghalang nafsu ammarah daripada menguasai diri adalah wajib hukumnya.

Tidak semestinya berkahwin dengan sebab nafsu tidak mempunyai kasih sayang. Ketika proses memilih calon isteri dan bertunang kita digalakkan untuk memilih calon yang sekufu yakni yang sesuai dengan diri kita. Tempoh bertunang merupakan satu tempoh untuk melahirkan perasaan kasih dan sayang agar permulaan di alam rumah tangga bermula dengan baik.

Islam amat memandang berat kepada kesalahan zina kerana ia mengakibatkan keruntuhan sistem kekeluargaan, begitu juga perkara-perkara yang menjebakkan diri dalam kancah zina, seperti berpakaian menjolok mata, melihat aurat bukan muhrim, bersentuhan lelaki dan perempuan tanpa sebab, berdua-duaan lelaki dan perempuan dan sebagainya. Firman Allah taala;

Maksudnya : “dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan)”. Al-Israa’ 32

Kesimpulannya berkahwin kerana nafsu bagi mengelakkan diri dari terjebak dalam kancah perzinaan bukanlah satu kesalahan bahkan satu kewajipan. Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai hujah bagi menyatakan perkahwinan disebabkan nafsu tidak membawa kebahagian dan memporak-perandakan rumah tangga.

Oleh Ramzi Ramli
Penulis merupakan Pengurus Pengislaman di Jabatan Yang Dipertua, YADIM

10.3.11

Perhiasan Dunia Yang Terindah

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

"Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

Salam pagi Khamis buat kalian semua yang mungkin di saat ini sedang melakukan pelbagai perkara demi meneruskan hidup sebagai hamba Allah SWT. Hari ni kakchik tak kerja, selalunya kakchik keseorangan di rumah, melakukan urusan rumahtangga. Tapi hari ini suami kakchik ada, dia bercuti sehari. Huhu, seronok tak terkata.

Rasa macam bolehlah praktik banyak-banyak apa yang telah kakchik kutip dari kuliah Ust. Ja semasa Kuliah Bulanan Kakitangan Wanita Kelantan pada hari Selasa lepas. Kita semua pun biasa dengar kan, SEBAIK-BAIK PERHIASAN DUNIA IALAH WANITA YANG SOLEHAH.

Bunyinya macam mudah saja nak jadi wanita solehah ni tapi hakikatnya susahlah juga. Kata ustaz, wanita solehah ni bila suami suruh, dia taat (selama mana suruhan itu tidak menyalahi perintah Allah SWT). Apa saja suruhan atau permintaan suami, terus saja dilakukan tanpa sebarang soalan, pertanyaan, alasan atau tangguhan.

Misalnya,

Cik Abe: "Nor, nak air."
Kakchik: "Ok Yang." Sambil terus ke dapur menyediakan air minum. Dah lama kahwin mesti dah tahu cik abe suka air apa dan waktu apa dia minum air apa. Jadi, tak banyak soal.

Jangan pula begini,

Cik Abe: "Nor, nak air."
Kakchik: "Air apa Yang? Tadi dah minum air." Masih berada di hadapan komputer, mulut saja bercakap, badan belum bergerak ke dapur.

Kalau kita biasanya melayan suami seperti situasi pertama, alhamdulillah... kita ada harapan menjadi wanita solehah. Tapi jika kita selalu sangat melakukan seperti di situasi kedua, alamat masih jauhlah diri kita dari martabat wanita solehah. Malah amat dekat dengan status derhaka pada suami pula. Na'uzubillah.


Ada orang pernah kata kepada kakchik, "Kenapa semua benda nak dahulukan suami? Manjakan sangat suami tu, nanti kalau berlaku apa-apa diri-sendiri yang susah." Hmm... pedih juga hati kakchik bila mendengarnya. Yelah, kakchik ni masih banyak kelemahan dalam tmelaksanakan amanah kakchik kepada cik abe jadi dalam apa juga hal kakchik cubalah nak utamakan dia.

Kakchik ni ada sifat degil yang kadang-kadang susah juga nak dilembutkan dan adakalanya sifat ini terjadi juga dalam hubungan kami suami isteri. Mudah memaafkan tapi sukar nak melupakan terutama perkara-perkara yang terlalu pedih dan mendalam. Walaupun dah lama selesai, ia tetap ada di sudut ingatan. Degillah tu. Degil takmau melupakannya. Tapi sifat degil ini juga yang turut menggalakkan kakchik agar terus berusaha agar cita-cita mahu menjadi isteri solehah wanita solehah ini tercapai. 

Kata ustaz lagi, isteri solehah ini bila dipandang oleh suami dia menggembirakan suami. Soalan ustaz kepada kami, "Bagaimana nak buat agar suami tidak sabar nak pulang ke rumah selepas habis kerja?" Maknanya hati suami tu bila nak habis kerja je terus teringat kat isteri dan rumahtangga bukan ingat nak singgah kat tempat lain. Hatinya membuak-buak nak balik dan terbayang-bayang wajah isterinya.

Cerita uztaz dia sangat tidak sabar untuk pulang ke rumah kerana setiap hari isterinya sangat kreatif semasa menyambut kepulangan beliau. Misalnya rambutnya selalu saja bertukar-ganti cara dandanannya. Kadang diikat ekor kuda, esok ditocang dua kiri-kanan, lusa ditocang tinggi di atas kepala. Sambil buka pintu isterinya  dengan wajah gembira kata, "Assalamualaikum Abang." dengan lambaian tangan. Fuh, dengan membayangkan saja dah cukup buat kakchik tersenyum.

Kakchik ada melakukan semua itu tapi tidaklah secara istiqomah. Nampaknya kena betul-betul istiqomahlah mulai sekarang. Anak-anak pun tak ada, memang Allah nak kakchik layan cik abe sungguh-sungguh ni. Honeymoon sampai bila-bila :) . Walaupun wajah kakchik ni tidaklah cantik tapi kakchik harapkan dengan akhlak dan layanan yang terbaik kakchik akan menjadi sumber kegembiraan pada cik abe.

Praktik, praktik, praktik dan terus praktik dengan penuh kejujuran, kesabaran dan kegembiraan. Kena ingat bila suami redha maka Allah akan redha.  Redha Allah amat penting jadi kot kot mana pun kenalah mendapatkan redha suami agar hidup di dunia dan akhirat aman bahagia. Biarlah cik abe rasa kakchiklah perhiasan miliknya yang boleh dibanggakan di hadapan Allah nanti.

(Tak dapat nak habiskan dengan 2 lagi ciri wanita solehah sebab ada kerja memanggil.)
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs