Followers

4.7.10

Cinta Itu Satu Ujian

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Apa khabar hari ni? Kakchik khabar baik, alhamdulillah. Ummi pun makin baik. Pagi tadi kakchik ada jenguk dia dan sediakan teh, untuk Ummi alas perut sebelum makan ubat-ubatnya. Ummi kakchik memang kena makan ubat setiap hari untuk memastikan penyakit darah tingginya stabil dan tiada lagi ura-ura sakit jantung. Alhamdulillah Ummi nampaknya agak ceria walaupun mengadu masih terasa sakit di belakang dan dadanya. Apalah daya kakchik yang bukan pakar perubatan kecuali mengurut-ngurut dan berdoa agar Allah kurangkan kesakitan Ummi.

Hari ni kakchik ke tempat kerja dalam keadaan separa fokus. Sepanjang pemanduan dari rumah hinggalah masuk ke pejabat, separa minda kakchik asyik teringat benda-benda yang berlaku sehari dua lepas. Maafkan kakchik, kali ini meleret jugak perasaan duka ni. Walau ditepis segala segi, asyik-asyik datang juga mengguris hati. Apa yang ada hanyalah air mata. Sembab habis muka.

Kakchik teringat dulu-dulu kakchik pernah diuji dengan panahan cinta dari beberapa jejaka. Betapa takutnya diri ini menjadi lalai dan mengikut jalan maksiat, kakchik menjadi seorang perempuan yang tegas dalam muamalah dengan kaum ajnabi. Bukannya dalam hati tiada tertarik kepada mereka, ada... mereka tu ada macam-macam watak dan penampilan. Siapa yang tidak bergetar imannya bila seorang lelaki yang kelihatan kacak, 'tall, dark and handsome' kata omputih ingin menghulurkan salam 'perkenalan'.

Kena faham di sini, apa maksud perkenalan itu.

Di waktu itu usia masih remaja atau awal dewasa. Kalaulah hati ini tidak takutkan Allah kemungkinan besar kakchik ini menjadi perempuan bertudung labuh yang mempunyai 'gewe' atau pakwe. Kerana takutkan murka Allah dan takut diketahui ibu bapa, kakchik pujuk diri agar layan mereka sama rata sahaja, tiada yang lebih istimewa dari yang lain.

Dalam ramai-ramai tu (ehem, macam la ramai benar, perasan la ni...) adalah seorang yang menunjukkan minat mendalam sementelah pula kakchik pun ada hati juga kat dia masa tu. Tapi, segalanya kakchik pendamkan saja kecuali kami pernah berbalas surat. Dalam surat-surat itu kakchik sering mengingatkan dia agar tidak lupakan Allah. Sebenarnya kakchik nak ingatkan diri sendiri. Matlamat akhir kakchik ialah mahu dia faham bahawa kakchik berhasratkan hubungan yang halal dari seorang lelaki bukannya bercinta-cintaan seperti orang lain.

Bila dia jelas matlamat kakchik, hilanglah dia entah ke mana. Alhamdulillah... kakchik terselamat.

Semakin dewasa, seperti orang lain kakchik juga mengimpikan sebuah perkahwinan dengan seorang lelaki yang soleh. Saban malam berdoa agar Allah dekatkan 'dia' kalau 'dia' jauh. Masa ni kakchik pun belum tahu siapakah 'dia' itu. Bergewe atau berpakwe ini bukan didikan Islam, maka kakchik awal-awal mengelak dari terjerumus ke situ. Hinggakan ada sanak-saudara yang kata, "itulah tak pandai nak cari kekasih, kahwin pun lambat."

Iya, kakchik kahwin agak lambat, di usia 28 tahun.

Dalam menantikan cinta hati, pelbagai ujian yang kakchik lalui. Fitnah ingin mengambil suami orang pun pernah, dibuat bahan gurauan pun pernah. Apa mereka ingat mencari calon suami yang sehati sejiwa dalam mencari redha Allah ini umpama membeli barang di pasar ke? Kakchik tetap meneruskan doa tanpa putus kerana Allah Maha Mendengar bisikan dan luahan hati hamba-Nya.

Akhirnya takdir kakchik menemukan kami berdua. Dua latar belakang yang begitu berbeza. Bermula dari saat kakchik sah sebagai isteri, kakchik berdoa kepada Allah mohon agar ditetapkan kecintaan dan ketaatan kepada suami selama mana dia mencintai Allah dan RasulNya dan tidak menyuruh kakchik melakukan dosa. Alhamdulillah kakchik yakin kakchik sudah temui pasangan hidup yang paling sesuai. Sesuai untuk membimbing kakchik dengan ilmunya. Sesuai untuk mengemudi hidup kakchik agar sentiasa di atas jalanNya.

Tapi adat berumahtangga, mana mungkin tidak diuji.

Cinta ini diuji. Kesabaran diuji. Kami belum punya anak, itu juga satu ujian. Kadang mampu kakchik hadapi kadang kakchik merawat luka sendiri. Macam-macam lagi ujiannya dan kakchik tahu orang lain ada yang lebih teruk lagi diuji. Namun dalam segala kepayahan jiwa menempuh ujian ini, kakchik makin belajar erti sabar dan bertenang. Suami juga bukan sedikit diuji. Dia lelaki maka tentulah ujiannya lebih berat tambahan pula dia ada tanggungjawab.

Dalam perjalanan kehidupan yang sering menguji cinta ini, kakchik semakin yakin dan cintakan Allah. Semakin kakchik cintakan suami, kakchik rasa keyakinan dan pengharapan kepada-Nya semakin kuat. Cuma kakchik takut, mampukah kakchik membuktikan cinta ini pada insan dan lebih-lebih lagi pada Tuhan.

Ya zauji habibi, uhibbuka abadan abada fid dunya wal akhirah.

22 comments:

  1. apa la ujian yg sedang di hadapi kakchik..nampak berat tapi kelihatan tenang cara kakchik handle...setenang kata2 kakchik....

    ReplyDelete
  2. moga berbahagia selalu..
    sentiasa dalam RahmatNya..

    ameen!

    ReplyDelete
  3. salam kakchik :)

    firman Allah Taala yg bermaksud..

    -Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

    (Surah al-Anbiya: Ayat 35).



    -Demi sesungguhnya, Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta denda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikkan dari Tuhan mereka serta rahmatNya.

    (Surah al-Baqarah: Ayat 155-157).


    semoga kakchik tabah dengan segala ujian yg melanda..
    dan dikurniakan cahaya mata yg soleh & solehah..insyaAllah :)

    ReplyDelete
  4. Salam kak chik,
    Syahdu... tak terucap dgn kata2...

    Happy birthday to Amni.

    ReplyDelete
  5. asha, biarlah rahsia antara kakchik dan Allah. terima kasih datang menjenguk dan membaca.

    ReplyDelete
  6. terima kasih tukang kata. moga Allah makbulkan.

    ReplyDelete
  7. Wa'alaikummussalam Didi Sakura. Terima kasih banyak. Kakchik sangat menghargai perkongsian ayat2 Allah yang menenangkan hati.

    ReplyDelete
  8. Wa'alaikummussalam Nur. Terima kasih. Komen Nur pun sudah cukup bermakna buat kakchik.

    ReplyDelete
  9. Salam kak Chik,

    Titis airmata ini membaca titipan ayat2 kak Chik, setiap manusia diuji dengan cara yang berbeda dan cara kita menghadapinya juga berbeda..Kak Chik adalah seorang wanita yang cukup kuat dan kekuatan itu datangnya dari ALLAH swt..betapa sayangnya ALLAH swt pada umatnya..
    Kekuatan kak Chik memberi inspirasi kepada wanita yang lain untuk terus kuat menghadapi hari2 muka..Terima kasih kak Chik

    ReplyDelete
  10. salam kakchik...
    semoga kakchik tabah...
    insyaallah perancangan Allah adalah yang terbaik...

    ReplyDelete
  11. Kak Chik.. lama Lin tak tuls mesej kat sini.

    Naper? Something wrong happened? Semoga KakChik diberi ketenangan drp Allah krn kunci untuk mendapat HATI yg tenang ada pada tanganNya jua.

    Allahumma yassir wala tu'assir...smg kekandaku diberi kelapangan dalam sgl urusan.amin!

    ReplyDelete
  12. salam...
    setiap orang ada ujiannya yang tersendiri kan? nampaknya sama ler dgn nik jugak kcik. nik kawin pun umur 28 jugak..
    kcik cuma diuji dgn menunggu seorang anak..nik diuji dgn pelbagai ujian yg lain pulak..
    hanya Allah tempat mengadu..aiseh..jiwang nih..nasib baik x gila ya..sebab mintak dgn Allah..jgn ler aku jadi gila..

    ReplyDelete
  13. salam,
    irin pula merasa kan nikah itu sukar. sudah ada pilihan hati. tapi mgkn masanya belum tiba lagi. mcm2 kene fkr, duit belanja kawin, riumah, kenderaan dan mcm2 lg. buat mase sekarang kami masih lg belajar supaya nanti kawin tidaklah malu bila org kampung tertanya-tanya apa pekerjaan kami.huhu..erm..kene pergi kursus kawin lg n buat simpanan. susahnya nak dirikan rumah tangga..=/

    ReplyDelete
  14. Wa'alaikummussalam Azah.
    Terima kasih Azah. Kata-kata Azah pula buat kakchik terharu. Kakchik amat takut bila selalu diuji Allah terutama ujian yang melibatkan hal-hal peribadi. Takut sekali iman ini tidak dapat bertahan. Di luar kita kelihatan tenang dan ceria tapi di dalam berombak ganas. Hanya Allah yang meredakan badai ini.

    ReplyDelete
  15. Wa'alaikummussalam Ain.
    Terima kasih dik. Sememangnya perancangan Allah itu adil buat hamba-Nya ini. Bimbang kakchik kufur nikmat saja.

    ReplyDelete
  16. Lin, there was something wrong but it has been solved, alhamdulillah. Terima kasih Lin. Insyaallah ketenangan ini anugerah dari Allah SWT yang tak terhingga.

    ReplyDelete
  17. Wa'alaikummussalam Nik.
    memang benar nik, setiap orang akan diuji. ini bukan ujian kerana isu zuriat nik. isu ini jauh lebih berat dan amat melukakan jiwa perempuan kakchik. namun Allah telah memberikan kakchik jalan penyelesaiannya. alhamdulillah isu itu telah selesai. semoga ia tidak berlaku lagi kerana kakchik tidak tahu adakah jiwa kakchik lebih tabah di ketika itu. Nau'uzubillah. bila pergantungan kita pada Allah insyaallah kita tidak akan gila nik, insyaallah.

    ReplyDelete
  18. kakchik yg ain kenal insyaallah bukan org yg kufur nikmat...didoakan semoga kakchik sentiasa dlm petunjukNya

    ReplyDelete
  19. Wkslm Azah.
    Terima kasih banyak-banyak. Jangan terlalu memuji kakchik Azah kerana kakchik juga wanita biasa macam orang lain yg ada banyak kelemahannya yg Azah tidak nampak.
    Kawan-kawan jg memainkan peranan dlm membentuk peribadi kakchik hari ini.

    ReplyDelete
  20. Terima kasih banyak ain kerana begitu bersangka baik dgn kakchik.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs