ASSALAMUALAIKUM! Paknil sudah tangguhkan beberapa kali untuk buka mulut mengenai perkara ini kerana ia sensitif tetapi Paknil lihat artis wanita kita makin galak pula membuka mulut memberi komen, terutama apabila membabitkan soal berpakaian.
sumber gambar: blog paknil
Paknil tahu isu berpakaian adalah hak peribadi tetapi apabila mereka mula membuat kenyataan akhbar mengenai isu ini, kenyataan itu menjadi perhatian ramai dan tidak mustahil ia menjadi bahan debat dan perbualan.
Paknil ingin syorkan supaya mereka tahu memberikan jawapan yang tidak memerangkap diri sendiri atau lebih senang, mereka tidak membuka mulut langsung. Paknil katakan sedemikian kerana setiap kali jawapan yang mereka berikan seolah-olah mencabar hukum Tuhan yang memerintahkan umat Hawanya menutup aurat. Full Stop. Tidak boleh dipertikaikan dan dilengahkan lagi.
Namun jika seseorang wanita (termasuk yang bukan artis) itu belum terbuka hati untuk menutup aurat, sebaik mungkin janganlah memberi jawapan yang boleh memerangkap mereka kembali.
Apabila ini berlaku, ini secara tidak langsung menyebabkan orang yang mendengarnya memperlekehkan jawapan dan diri mereka sendiri. Lebih teruk jika dia ditertawakan kerana jawapannya tersangat dangkal.
Hari ini Paknil ingin mengutip antara jawapan yang pernah Paknil baca mengenai artis wanita berkaitan kesediaan mereka untuk menutup aurat dan bertudung litup.
Pertama, akan tutup aurat selepas mengerjakan Haji: Alahai, kenapalah artis ini tidak berfikir sebelum memberikan jawapannya sebegini? Baginya, tuntutan menutup aurat itu hanya selepas menunaikan fardu haji saja ke? Paknil tak boleh bayangkan perasaan wartawan yang menemubual artis wanita ini ketika itu. Pasti membuak-buak perasaan ingin ketawa.
Artis ini bercakap seolah-olah urusan hidupnya ditentukan oleh dirinya. Dia juga bercakap seolah-olah dia yakin yang dia sempat menunaikan haji yang entah bila akan dilakukannya. Dia kena tahu yang tuntutan menutup aurat ini bukan hanya selepas kembalinya dari haji atau dari Makkah.
Mungkin tujuannya memberi jawapan itu untuk memberitahu yang dia belum bersedia bertudung litup dalam waktu terdekat. Pada fikirannya, jika dia memberi jawapan itu, maka alasannya untuk tidak bertudung kini adalah kukuh dan menyuruh peminatnya bersabar menunggu bila tiba masa dia kembali dari haji nanti.
Sekurang-kurangnya peminat tahu yang dia sudah memasang niat untuk menutup aurat.
Namun begitu, jawapannya itu masih belum menghalalkan prinsip ‘ambil mudah’ itu. Paknil syorkan supaya artis yang belum bersedia untuk berhijrah ini tidak bercakap hal-hal sedemikian. Bila tiba masanya, lakukan saja tanpa perlu dicanang.
Kedua, cari makan: Ada juga artis wanita yang bertudung, terutama pelakon, yang tergamak membuka tudung demi menghidupkan lakonan watak yang tidak bertudung. Alasan yang diberikan adalah untuk memenuhi tuntutan watak dan untuk cari makan kerana berlakon itu adalah sumber rezekinya.
Paknil bukanlah orang yang bijak dalam hal agama tetapi Paknil mampu membuat andaian sendiri. Paknil tidak salahkan orang ramai jika mereka mula mempersoalkan pendirian dan keikhlasan artis itu dalam membuat keputusan untuk berhijrah.
Kenyataan mereka seolah-olah memberitahu yang rezeki mereka tersekat jika bertudung. Mereka akan hilang punca rezeki kerana kebanyakan watak yang ditawarkan kepada mereka adalah watak yang tidak menutup aurat. Kenyataan yang seumpama ini Paknil lihat seperti memerangkap mereka kembali dengan dua kesilapan. Pertama adalah membuka tudung dan yang kedua menyalahkan tuntutan agama kerana menutup periuk nasi mereka.
Ada kes yang sebaliknya pula berlaku apabila pelakon wanita itu hanya bertudung untuk tuntutan watak dalam filem atau drama. Sungguh ayu kita lihat pelakon itu membawa watak gadis bertudung dan penuh dengan etika keislaman.
Namun di luar waktu berlakon, pelakon itu dilihat berpakaian yang sangat berlawanan. Lebih hebat lagi jika kehidupan sosialnya juga turut diketahui umum yang tidak sama sekali dengan apa yang boleh ditonton oleh peminat.
Sekali lagi artis wanita terjerat dengan jawapan klise yang sebetulnya boleh mendorong kepada pemesongan soal aqidah. Termanggu Paknil dengan jawapan mereka bila diajukan soalan sama ada sudah bersedia untuk bertudung seperti watak yang dibawanya. Jawapannya, “Saya bertudung hanya untuk watak itu dan atas tuntutan pengarah.” Kita yang membaca jawapannya itu seolah mempersoalkan akidah pelakon itu yang lebih mentaati perintah pengarah daripada perintah Tuhan. Tidakkah mereka fikirkan terlebih dahulu sebelum memberikan jawapan? Dalam artikel kali ini, Paknil bukan membicarakan pendirian mereka mengenai aurat tetapi apa yang Paknil ketengahkan ialah cara mereka menangani soalan wartawan. Jawapan mereka selalunya memerangkap diri dalam kedangkalan membicarakan soal halal haram. Paknil bimbang apabila ada di antara mereka yang tidak sedar kesilapan ini dan terus-terusan menggunakan jawapan standard ini.
Paknil juga takut jawapan artis ini turut diwariskan kepada artis-artis muda dan baru kerana mereka ini sering dilihat mengguna pakai jawapan standard yang diberikan artis yang lebih senior. Jika ini berlaku, bukan jawapan standard itu saja yang diwarisi malah kejahilannya turut berterusan.
Kini Paknil juga ingin memberikan antara contoh-contoh jawapan yang diberikan oleh segelintir artis wanita yang dilihat mendedahkan dirinya melalui pakaian yang seksi. Sebagai pembaca kepada jawapan mereka, Paknil seperti tergamam kerana jawapan mereka beri seolah ketika itu mereka berada di bawah pengaruh sesuatu.
Ada artis yang ingin dilihat sebagai artis yang menghormati kerja orang lain atau profesional atas alasan berpakaian seksi kerana menghormati rekaan pereka fesyen.
Alasan itu seolah ingin menunjukkan kepada peminatnya yang dia tidak patut dipersalahkan kerana apa yang dilakukannya adalah atas nama kerja. Namun begitu, peminat masih boleh mempersoalkan keikhlasan artis terbabit kerana dia seperti menggadaikan maruah dirinya hanya kerana prinsipnya yang salah.
Bagi Paknil, itu bukanlah jawapan kukuh dan bukan pula jawapan tepat. Bila kita sedar yang kita sudah melakukan kesilapan, seharusnya kita jangan mengulangi dengan memberi jawapan yang salah.
Paknil percaya tiada pereka fesyen yang boleh memaksa mana-mana artis itu untuk menggayakan fesyennya. Tidak pernah Paknil lihat pereka fesyen meletakkan pistol di kepala seseorang artis jika artis itu tidak mahu memakai pakaian ciptaannya. Artis itu seharusnya bersedia mengambil tanggungjawab atas kesudiannya memperaga pakaian seksi itu dan seharusnya bersedia dengan alasan yang lebih bijak.
Begitu juga dengan alasan klise yang sering Paknil dengar iaitu ‘untuk memenuhi permintaan jurugambar atau wartawan.’ Jika Paknil ingin ulas jawapan itu, maka Paknil akan mengulangi apa yang Paknil sebutkan di atas. Jawapannya mungkin nampak mudah tetapi sebenarnya jawapan itu langsung tidak masuk akal.
Mana boleh peminat terima jawapan tidak masuk akal seperti tiada pilihan baju lain, tidak sempat mencari baju lain, saya pakai apa yang saya ingin pakai, seksi itu subjektif dan pelbagai lagi.
Kadang-kadang artis kita ini mempunyai prinsip yang tegas dalam kerjaya tetapi Paknil hairan apabila mereka boleh jadi lemah bila tiba bab berpakaian. Begitu juga ada artis yang bijak menangani soalan mengenai kerjaya mereka tetapi memberikan jawapan yang cetek pada soal berpakaian.
Sekali lagi Paknil ingin ingatkan pada yang membaca, tujuan utama Paknil pada artikel ini adalah hanya untuk memberitahu golongan terbabit agar berhati-hati memberikan reaksi dan respon kepada soalan begini kerana pada hakikatnya mungkin hanya kita yang merasakan yang kita bijak ketika itu.
Wassalam.
Rujuk: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dangkaljerutdiri/Article
MENARIK..
ReplyDeletesatu kata2 jujur keluar dari pak Nil kita..
selamat Hari ibu..
:)
moga terus sukses selalu bersama keluarga tercinta!
hidup paknil!!!
ReplyDeletedan kita sendiri perlu memilih siapa yang sepatutnya dijadikan ikutan kan?
ReplyDeletesalam..harapnya artis2 kita mahupun bukan artis dpt sesuatu melalui artikel paknil ni :)
ReplyDeleteSalam,
ReplyDeletesaya tak mampu untuk hanya membaca tulisan Pak Nil kali ini. Jari jemari terasa gatal untuk menulis komen di sini.
Saya sangat-sangat bersetuju dengan penulisan Pak Nil kali ini. Sangat-sangat setuju 100%. Tahniah kepada Pak Nil kerana berani menulisnya di sini tanpa takut untuk hilang populariti ataupun kena hentam semula oleh orang-orang tertentu.
Berpakaian sebaiknya memanglah hak individu, apalagi bertudung. Namun terlalu kerap sangat jawapan yang diberikan oleh mereka yang tidak bertudung ini menjerat mereka semula. saya pernah dengar seorang ahli politik wanita tersohor negara berkata "bertudung bukannya wajib". Sekarang ni muncul orang-orang yang tak tahu tentang agama tetapi sesedap rasa sahaja memberi "fatwa" yang memesong dari ajaran islam. Kalau tak tahu, kan lagi elok diam sahaja, kita tak rosakkan agama Islam, kita juga tidak tunjukkan betapa tak tahunya kita tentang hal itu (nak sebut Jahil pun rasa macam keras sangat, tetapi begitulah lebih kurang maksudnya). Ini menyebabkan orang bukan Islam atau orang Islam yang lain yang kurang tahu telah amalkan ajaran tak betul (nak sebut ajaran sesat, terlalu berat pula maknanya). Kan dah huru hara jadinya...
Salam Kak Chik..
ReplyDeleteKata-kata dan buah pandangan yang cukup bernas dari Aznil Nawawi.
Terima kasih Kak Chik. Ina panjangkan pandangannya ini dalam fb Ina :)
Moga-moga golongan artis dan wanita yang sering memberikan alasan yang sama mendapat manfaat darinya dan melakukan perubahan.
salam kak chik..betul apa yang Aznil kata tu..tapi payahlah kan nak nasihat mereka ni..
ReplyDeletebila baca nukilan kak chik tu..kesian pulak tgk keadaan ummi kak chik.
semuga beliau di kurniakan kesihatan yang baik sehingga ke akhir hayat.
TUKANG KATA, sebab itulah kakchik kongsikan tulisan beliau di sini. Jarang boleh baca artis memberi pandangan yang jujur dan bernas macam Paknil ni.
ReplyDeleteSelamat Hari Ibu dan terima kasih atas ucapan.
BudakHitam, iya, kitalah perlu gunakan pertimbangan akal dan iman untuk memilih idola kita.
ReplyDeleteSemangat sungguh sokongan yusuf mujahidin kepada Paknil.
ReplyDeleteZARA, semoga ada pintu hati yang terbuka untuk membuat perubahan positif selepas ini.
ReplyDeleteWa'alaikummussalam anyss. Rasanya tak perlu kakchik ulas lagi pandangan anyss tu. Setuju.
ReplyDeleteWa'alaikummussalam Ina. Silakan Ina. Mana yang baik dan mampu memberi kebaikan kepada ummat, sama-samalah kita sebarkan.
ReplyDeleteWa'alaikummussalam kak ina. Mungkin sukar nak nasihatkan mereka tapi kita perlu juga usahakan. Mana tahu mereka dapat hidayah dan petunjuk, jadi lebih baik dari kita pula.
ReplyDeleteUmmi tak sihat kak, kakchik je yang tak mampu nak ringankan kesusahan dia.
Terima kasih kak atas doa yang baik untuk keluarga kakchik.
Saya rasa gembira apabila ada juga artis mampu memberi komen yang jujur dan bernas. lebih2 lagi daripada seorang yang very well-known artist like pak nil..tahniah pak nil!!!memang sudah menjadi tanggungjawab kite semuslim untuk menegur sedare seagama kite jika terdapat kesilapan yang mereka lakukan.jika kite hanya berdiam diri dan membiarkan shj sedare kite tenggelam dengan dosa2 yg dilakukan, maka di akhirat kelak, kite juga akan dipersoalkan di hadapan mahkamah Allah mengapa kita tidak cuba menasihatkan sedare semuslim kite untuk melakukan kebaikan, untuk menjalani hidup mengikut landasan yang ditetapkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah..tahniah pak nil..jgn takut dihentam oleh org lain..teruskan niat murni paknil..Insya'Allah, niat yg baik akan dibalas dengan kebaikan..wallahu'alam..
ReplyDeletemisz a: komen yang menarik. kita suka kalau artis kita jujur seperti aznil ni. yang kita tak suka bila cakap tak serupa bikin.
ReplyDeleteAkak sangat setuju dengan pendangan bernas pak Nil ini.. Walaupun suatu hari nanti akak akan ditegur lagi dan mungkin dikenakan tindakan tatatertib dengan cara akak berpakaian jubah serba hitam tapi akak tetap akan mempertahankannya..Perintah ALLAH jua yang akan akak junjung dan bukan perintah manusia.
ReplyDeletekak azah, bagus akak ni. terus bersemangat dan berkeyakinan. teguhlah dengan pendirian akak. moga2 orang yg tidak faham akan memahami juga satu hari nanti.
ReplyDelete