Bonda,
sejak akhir-akhir ni aku selalu melihat dirimu duduk di sofa itu sambil termenung jauh
tangan mu yang berurat tegang berulang-kali menggosok dan memicit betismu yang sering sakit
di hatiku terasa amat sayu tapi aku berlakon seolah-olah tiada apa yang aku rasakan
walaupun aku tahu
aku tahu betapa peritnya bebanan di jiwamu
betapa dirimu terpaksa masih memikirkan hal anak-anakmu yang sudah besar panjang kini
anak-anakmu yang masing-masing sudah berkeluarga
tapi masih mahu bermanja di bawah bumbung rumahmu
yang terus-terusan membebankan hidupmu
Bonda,
aku malu untuk mengaku yang aku ini anak yang tidak berdikari
dalam usiaku kini masih menyusahkan dirimu
padahal aku tahu dirimu sudah sepatutnya diberi peluang untuk bersenang-lenang
berehat dari melakukan segala kerja rumah
boleh menumpukan masa yang ada dengan amal ibadah
menziarahi abang-abang dan adik bongsu di Kuala Lumpur
makan angin bersama Ayahanda di mana-mana yang sepatutnya aku sebagai anak
boleh menjadikan ia kenyataan
tapi Bonda,
hingga kini impianku untuk melakukan semua itu masih tinggal impian
hidupku sendiri belum begitu stabil
kadang-kadang aku rasa seolah-olah aku ini tidak tahu diuntung
kesibukanku dengan segala urusan hidup
seperti mementingkan diri sendiri
aku sedih Bonda
teramat sedih kerana tidak mampu meringankan bebananmu
malah terus-terusan menyusahkanmu
maafkan anakmu ini Bonda.
Bonda,
setiap kali aku melihat wajah sugulmu
aku seperti dapat membaca ketidakpuasan hatimu terhadapku
aku tahu, sudah semestinya begitu
aku anakmu yang paling tidak berjaya berbanding yang lain
hidupmu masih tidak betul-betul teratur
segalanya... entah di mana mahu aku senaraikan
seperti aku ini setiap hari menambahkan kerut di wajahmu
menambahkan kesakitan di kakimu
memberatkan hatimu dengan masalahku
Bondaku sayang,
aku sedar segala-galanya terlalu banyak
betapa tidak bersyukurnya aku mempunyai seorang ibu sepertimu
biar mulutmu sentiasa berbunyi tapi aku tahu betapa hatimu ikhlas
aku anak paling bertuah berbanding adik-beradik yang lain
hadiah pemberianmu terlalu besar buatku
tapi aku ini memang tidak tahu diuntung
terus-terusan membebankan hatimu
saban hari tidak meningkat kematanganku
terlalu mementingkan diri sendiri
aku malu Bonda
malu padamu, mala pada Ayahanda
apakan daya.
Bonda
setiap hari aku menghargaimu
setiap hari aku berduka melihat penderitaanmu
saban waktu aku memikirkan untuk membahagiakanmu
aku mahu membalas setakat mampu jasa-jasamu
aku meringankan beban kehidupanmu
aku mahu Bonda dapat hidup tenang, senang dan selesa
kerana aku tidak tahu sampai bila Allah akan mengizinkan
aku menikmati kasih sayangmu.
Selamat Hari Ibu, Bonda!
Sebagai ibu,sememangnya akan berfikir smpi mati.Bonda sayang kak chik tu,cuma tak terluah je.Semua anak bonda syang w.pun kak chik nmpk ada lebih n kurang.
ReplyDeleteTerima kasih BCP. Kata-kata semangat dari seorang teman, sangat dihargai.
ReplyDelete