Pati Ikan Bilis @ Budu
Assalamualaikum dan salam petang yang cerah kepada semua.
Dah petang rupanya. Cepat sungguh masa berlalu. Gi maghi, gi maghi (kata orang Kelantan) tengok-tengok dah nak pukul 7, kejap lagi Maghrib. Itulah hakikatnya hayat kita, sehari ke sehari, umur makin bertambah, tak tahu entah-entah esok bukan milik kita lagi, allahu'alam. Bimbang... sebab diri punya terlalu banyak DOSA, sedangkan PAHALA entah sebesar mana. Maka, janganlah kita terlalu alpa, ingatlah di mana diri kita di hadapan Yang Maha Esa. Berebutlah kita untuk menjadi hamba Tuhan yang sebaik-baiknya. Kita kena cemburu dengan orang-orang yang alim dan warak kerana kita ini masih jahil.
Baiklah, cukuplah dulu tazkirah kakchik petang ni. Kita kembali ke tajuk di atas ya.
Terbaru, budu dalam bentuk sachet, ada dijual di Giant.
BUDU, bagi orang Kelantan adalah perencah pelengkap dalam menu harian mereka. Kalau orang Melaka sukakan cencaluk, orang Penang sukakan belacan, orang Perak sukakan tempoyak (ini semua berdasarkan pengalaman tinggal di rumah sewa selama 3 tahun dulu bersama rakan-rakan dari serata negeri), kami orang Kelantan, sukakan budu.
Tapi... sayangnya kakchik dan adik-beradik bukanlah penggemar budu. Kakchik hanya makan budu yang dalam Nasi Kerabu. Selain itu kakchik tak makan. Bukan nak mengada-ngada tapi dah sejak dulu tak pernah suka, bukan kat rumah takde budu, Ummi dan Ayah makan tapi tak tahu macamana kami adik-beradik tak menurun, hehe. Kami makan... tapi hanya dalam Nasi Kerabu.
Budu ni dulu-dulu pembuatannya diragukan dan ada yang kata hukumnya makruh disebabkan beberapa kekeliruan dalam cara pembuatannya , tak pasti tahap kebersihannya. Tapi hari ni proses membuat budu sudah moden, sudah dikilangkan dan sudah ada GMP.
Kalau nak tahu, budu ni ADA KHASIATNYA. Sila baca di sini: Rahsia Khasiat Budu Terbongkar.
Budu atau sos bilis yang berasal dari negeri sebelah pantai timur Malaysia ini mendapat perhatian dan menjadi kajian para ahli pemakanan berkhasiat Jepun, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Jerman.Penemuan baru-baru ini membuktikan kandungan budu memiliki gluthaionesebagai bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser.
Nak tahu lebih lanjut klik aje kat link di atas tu.
Kalau nak cuba belajar buat budu sendiri, JJOKIR MINDA ada caranya. Klik JJOKIR MINDA untuk resepi dan caranya.
Dan ini Rencana Utama dalam Kosmo tentang kehebatan budu Kelantan.
Kehebatan budu Kelantan
Oleh ZAID MOHD. NOOR
Sos ikan bilis yang diperam hingga hancur telah lama menjadi kegemaran masyarakat Pantai Timur. Kini makanan tradisional itu mendapat kebanggaan baru – dipeketkan dan dijadikan produk kecantikan.
BUDU sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan. Dikatakan, hampir setiap keluarga di negeri itu mempunyai sekurang-kurangnya sebotol budu di dapur mereka.
“Walaupun keluarga saya berketurunan Cina, namun kami selalu makan budu bersama ikan bakar dan ulam-ulaman,” akui Tan Chia Ying, 22.
Beliau yang tinggal di Kampung Panji, Kota Bharu, tidak malu mengaku makan budu sejak kecil. Keluarganya sering menyediakan budu yang diperah limau nipis dan dicampur cili api dan bawang.
“Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya melihat masyarakat Cina di Kelantan makan budu. Malah ramai kenalan saya yang berketurunan Cina meminati budu,” katanya yang berkulit putih gebu.
Kartilawati Subari, 40, pula berkata, beliau sentiasa menyimpan bekalan budu di rumahnya untuk dihidangkan kepada keluarga.
Terang beliau, walaupun budu merupakan makanan tradisional namun ia mempunyai banyak khasiat tetapi kurang didedahkan.
“Budu dikatakan menyumbang kepada kecantikan dan awet muda,” ujarnya sambil tersenyum.
Bagi seorang usahawan, Mat Ismail, 57, permintaan budu yang tidak pernah putus itu adalah satu idea perniagaan yang hebat.
Pada tahun 1978, Mat mula membuat budu secara kecil-kecilan di belakang rumahnya di Kampung Geting, Tumpat dengan bermodalkan RM1,500. Beliau menubuhkan syarikat Perusahaan Warisan Ketereh dan menggunakan biji ketereh sebagai tanda niaganya.
BUDU Ketereh yang diusahakan Mat Ismail turut digunakan sebagai agen antipenuaan dalam produk kosmetik.
Selepas 30 tahun, ternyata budu telah memberi banyak kebanggaan kepada beliau.
Ia bukan semata-mata kerana beliau kini tinggal di rumah banglo dan memandu kereta Mercedes Benz.
Sebaliknya, Budu Ketereh beliau menjadi budu pertama negara ini yang diiktiraf sebagai harta intelek. Kejayaan itu dicapai pada tahun 2007.
Berikutan pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) itu, Budu Ketereh kini dilindungi mengikut Akta Perlabelan.
Budu Ketereh juga digunakan oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk menghasilkan produk kosmetik.
Buat masa ini, Mat mempunyai sebuah kilang budu di atas tanah seluas 0.8 hektar dengan dibantu 40 orang pekerja.
SOS budu terhasil selepas enam bulan dibiarkan di dalam tong pemeraman.
Empat daripada lapan anaknya hasil perkahwinan dengan Kamariah Hussein, 45, turut melibatkan diri dalam perniagaan itu.
Menurut Mat, proses membuat budu adalah ringkas iaitu hanya mengunakan ikan bilis, garam dan gula.
Katanya, kerja memproses budu dimulakan dari bulan Jun hingga November kerana ia merupakan musim ikan bilis.
IKAN bilis merupakan ramuan utama budu.
ADAKAH rahsia kehalusan kulit wanita Kelantan kerana mereka mengambil budu setiap hari?
“Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan dan pengasingan ikan bilis dilakukan oleh pekerja di bahagian pelantar kilang yang dibina di tebing sungai sebelum diangkut ke darat.
“Ikan bilis itu digaul dengan garam dan diperam selama enam bulan di dalam tong gentian kaca atau dalam kolah yang diperbuat daripada simen,” katanya yang kini memiliki 20 buah tong gentian kaca berukuran 1.2 meter tinggi dan 2 meter lebar.
Khabarnya, Mat merancang untuk membeli 200 buah tong lagi.
Penggunaan tong gentian kaca disarankan oleh Sirim bagi meningkatkan kebersihan produk berbanding kolah simen.
Bulan Disember hingga Mei pula adalah masa untuk memasak, menapis dan membotolkan makanan itu.
Selepas budu dimasak, ia ditapis dan disejukkan selama beberapa jam sebelum dibotolkan menggunakan tenaga mesin dan manusia.
Secara purata, kilang Budu Ketereh mampu mengeluarkan 12,000 botol budu sehari untuk memenuhi pasaran di seluruh Malaysia.
Bekalan bilis makin kurang
Bagaimanapun, Mat mengakui kekurangan ikan bilis menyebabkan pengeluaran budunya agak terhad.
Secara purata beliau memerlukan bekalan ikan bilis sebanyak tiga hingga empat tan sebulan, namun bekalan yang diperoleh sejak kebelakangan ini sekitar satu tan sahaja.
“Saya terpaksa membeli ikan bilis dari Sabah untuk memenuhi permintaan.
“Ikan bilis di perairan negara kita semakin berkurangan dan pada masa yang sama banyak kawasan pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara,” katanya yang menambah budu yang baik bergantung pada kualiti ikan bilis yang dibekalkan.
Pada awal tahun ini, Mat membeli sebuah mesin pembungkusan baru berharga RM45,000 untuk memasarkan budu dalam bentuk peket.
Budu yang diusahakan oleh Mat Ismail merupakan budu yang pertama di negara ini yang dimodenkan penampilannya hasil bantuan Sirim dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).
Menurut Mat, idea untuk memasarkan budu di dalam peket muncul selepas beliau mendapati kebanyakan produk seperti kopi segera kelihatan lebih moden dan ringkas apabila dipeketkan.
“Selain itu, budu yang disimpan di dalam botol agak sukar dipasarkan ke negara luar kerana ia tidak boleh dibawa dengan kapal terbang.
“Dengan pembungkusan menggunakan teknik lebih canggih, saya berharap Budu Ketereh mampu menembusi pasaran antarabangsa sedikit masa lagi,” katanya.
Mat berkata, mesin pembungkusan baru itu mengeluarkan budu dalam dua peket berbeza iaitu kandungan 20 mililiter dan 80 mililiter. “Dalam sehari mesin itu boleh mengeluarkan lebih 1,000 peket budu,” katanya.
Budu cerahkan kulit dan antipenuaan
RAUT wajah Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses, Pusat Teknologi Sirim, Hamidah Sidek kelihatan seperti gadis 20-an walaupun umur sebenarnya adalah 40 tahun.
Apabila ditanya rahsia awet mudanya, graduan dalam bidang pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau pada mulanya menggunakan produk kecantikan terkenal.
“Namun kini saya beralih kepada makan budu setiap kali makan tengah hari dan makan malam,” katanya.
HAMIDAH menunjukkan produk kosmetik dengan jenama BK yang turut mengandungi budu.
Menurut Hamidah, dalam kajian yang dilakukannya selama dua tahun bersama 10 penyelidik Sirim yang lain, makanan tradisional itu mampu mengekalkan wajah muda seseorang.
“Proses penapaian budu menguraikan bahan organik kepada peptida dan asid amino yang menyumbang kepada rasa dan aroma lazat serta mempunyai nilai kosmetik.
“Ia berkesan sebagai agen mencerahkan kulit dan antipenuaan. Semua ini berlaku kerana ekstrak marin daripada budu berupaya melawan radikal bebas, merangsang pertambahan sel kulit dan menggalakkan penghasilan kolagen.
“Ia juga mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari,” terang beliau yang telah melakukan kajian makmal dan ujian ke atas 25 individu.
Sebahagian besar individu yang diuji mendapati wajah mereka semakin cerah, bintik jerawat berkurangan dan menyelesaikan masalah kulit berminyak.
Produk kosmetik budu Sirim terbahagi kepada tiga iaitu pembersih dan penyegar, krim kulit dan serum kecantikan kulit. Ia menggunakan jenama BK iaitu Budu Kelantan atau Budu Ketereh.
“Walaupun hanya satu peratus ekstrak budu digunakan sebagai bahan asas kosmetik tetapi ia berkesan kerana komponen itu sudah cukup untuk memberi khasiat kepada pemakainya.
“Malah kami kini mengkaji potensi tempe sebagai produk kosmetik,” katanya.
Hamidah berharap produk BK akan mendapat sambutan daripada pengguna kelak sebaik sahaja Sirim bertemu syarikat yang berminat untuk mengedarkannya. – MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Bagi yang tak tahu macamana nak makan budu dengan nasi atau ulam, sila lihat gambar di bawah:
Sumber: Puspanita/Resepi
Entri ini sekadar perkongsian ilmu dan maklumat tentang salah satu dari bahan makanan yang telah menjadi HARTA INTELEK negara. Selamat mencuba bagi yang berminat. Oh, lupa... harga sebotol pati ikan bilis dalam gambar paling atas ialah RM1.50.
walaupun saya org johor, tapi saya gemarkan budu sejak berkawan dengan student kelantan. budu bersama cili api, memang kegemarannnnnnnnn!
ReplyDeletesalam...hok aloh la...terliur weh tgk gamba budu tuu...make budu di keda kat shah alam ni xserupo di kg kito kak chik wei..huhuhu...hebat jugok khasiat budu ni...patut la ore klate lawa2 comel2 blako..huhuhu
ReplyDeleteain sukaaaaa budu...ain suka cencaluk...ain suka belacan..ain suka tempoyak...semua la ain suka...kecuali belut..hikhik...
ReplyDeletepaling ain suka 'budu diraja'...sedapnyaaaaaa...sampai ke ukraine ni ain bawa budu tu...hmm
nursarah, orang kata, kalau berkawan dgn orang Kelantan memang mudah berjangkit hehe. tentu nursarah dah pandai makan budu ni.
ReplyDeleteWa'alaikummussalam Armyrule. Bawaok bersaba lah dik, nok buat guano mugo dok di rantau oghe, keno belaja sesuai kae dighi lah deh. Nati balik Klate, buleh make puah2.
ReplyDeletewah, wah ain... tak sangka pulak orang Selangor suke semuanya hehe. boleh lepas budu sampai ke ukraine! hebat budu :)
ReplyDeletetapi bagaimana rupanya budu diraja tu? kakchik tak tahu tu.
salam,
ReplyDeleteTiba-tiba kecur air liur tengok budu.
Saya yang peliknya, bila makan budu dekat kedah mesti akan gatal-gatal. Tapi bila dok luar kedah makan tak ada masalah. Pelik.
Kak tahu tak nak buat budu mcm mana?
Wkslm Farid. Mungkin budu yang di Kedah tu dia serasi dengan bumi Mesir sebab tu bila Farid makan di sana tak jadi gatal-gatal :)
ReplyDeleteNi tentu tak baca sampai habis entri kakchik ni. Kakchik dah letak link ke blog yang tunjukkan cara nak buat budu. Kakchik tak pandai dan tak mahu belajar buat budu sebab tak makan.
ada la kakchik di kelantan tu 'budu diraja' / 'royal budu'...anak sedara ain mengaji di nilam puri, kalau ain blk msia dan kebetulan dia blk kg, ain mesti minta dia belikan budu diraja tu...tp skrg dia dah habis belajar di nilam puri, insyaallah jun/julai ni sambung di UM...
ReplyDeletecuma budu diraja tu mahal sikit dari budu ketereh @ budu2 yg lain...kata anak sedara ain, tak semua tmpt ada jual budu tu...
beza budu diraja dgn budu lain, budu diraja tu boleh mkn terus...tak payah bubuh cili pun takpe sbb dah sedia pedas, mmg dah ada cili dlm tu...
ain bawa dgn tgn masa naik kapal terbang...takut meletup kalo letak dlm kargo...heheh...
ooo, gitu ceritanya. nanti kakchik nak tanya ummi pasal budu diraja ni. mesti nak kenal juga.
ReplyDeletenasib baik bawa dgn tangan naik k/terbang. kawan abang ngah dulu masa nak ke australia, budu pecah dalam beg pakaian. habis busuk satu beg, teruk nak mencucinya.
kak.....sy org pahang...tapi kalo nampak budu ke tempoyak ke..perghhhhh kecur perut...rasanye makan bertambah2...
ReplyDeletewah ada jual kat giant...mudah ar cari...makin maju
asha, nampaknya budu dah jadi makanan seantero Malaysia. Orang Pahang pun dah teruja tengok budu. kalah kakchik orang Kelantan ni. Khabarnya yang kat Giant tu hanya sachet yang ada tapi senanglah nak beli kan?
ReplyDeleteInfo yang bagus. Teruskan usaha post maklumat2 camni.
ReplyDeleteInsyaallah Tengku Zaim.
ReplyDelete