“Kenapa muka Ummi berkerut-kerut tu?” Kak Long yang suka bertanya menghampiri saya. Saya menoleh memandang kepadanya. Tersenyum lantas kembali menatap gambar-gambar penuh warna ceria.
“Wah!Cantiklah…”tukasnya tiba-tiba. Belum pun sempat saya menjawab, bebola anak matanya lebih dahulu memandang skrin komputer. Teruja dan terpesona.
Bercorakkan motif floral abstrak dengan kombinasi satin warna ungu di bahagian dada, baju dari kain satin lembut warna hijau muda terang itu sangat menarik pandangan mata. Ditambah pula aksesori tambahan dari batuan mewah, baju itu cukup memukau dan indah. Itu tanggapan awal saya.
“Kak Long suka?”soal saya pula. Kak Long tersenyum lebar mengiyakan pertanyaan saya.
Memang cantik. Sebagai perempuan saya juga turut tertarik.
Cuma, ada kerisauan yang berdetik setiapkali saya menemukan gambar-gambar seumpamanya.
Memang perkara yang satu ini sungguh membimbangkan saya. Dari sehari ke sehari, perkembangannya merunsingkan hati. Kecamuk jiwa mengenangkan nilai Islam yang diletakkan bergandingan dengannya, sedangkan paparan yang ada menunjukkan ia sangat jauh dari ciri-ciri yang diharuskan agama.
Lebih-lebih lagi apabila pemakainya seakan-akan menonjolkan keindahan pakaian dengan bentuk tubuh yang masih jelas dapat diteroka oleh mata. Aduhai…
MELATA
Sudah lama sebenarnya saya memendam keinginan untuk berbicara sepatah dua mengenainya. Namun bak kata pepatah : Diluah mati emak, ditelan mati ayah. Serba salah.
Bukan saya tidak bersyukur. Bahkan saya akur, dek perkembangan fesyen pakaian Islam inilah, semakin ramai wanita Muslimah hari ini mengenakan tutup kepala. Bertudung dengan pelbagai cara dan gaya. Hal ini wajar mengembirakan saya dan kesyukuran ini dipanjangkan dengan tahmid kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Kaya.
Saya masih ingat betapa sukarnya Muslimah dahulu berjuang mempertahankan komitmen mereka untuk memenuhi kehendak agama. Mahu berpakaian menutup aurat walau bukan sedikit tentangan dan cabaran yang diterima. Mereka diejek, digertak dan dipandang sebelah mata sama ada oleh pihak sekolah, majikan atau ibu bapa. Namun, semua itu tidak mengurangkan semangat mereka hingga bilangan yang ada bertambah dari semasa ke semasa.
Berkat kesungguhan dan kesedaran pelopor awal inilah, beransur-ansur Muslimah bertudung mulai diterima di kalangan masyarakat, dari peringkat rakyat bawahan hingga kepada isteri-isteri pimpinan.
Kesan dari itu, rekaan dan gedung pakaian yang menampilkan ciri Islam mulai berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan. Ia melatari persona dunia fesyen dengan meletakkan tuntutan syarak sebagai asas. Mendekati hati lembut wanita dengan variasi corak ilham perekanya. Melalui pelbagai tema.
Pesona Muslimah trendy terkini, Santun anggun menyerlah,
Sopan gaya kontemporari, Syari’e cantik tidak kalah.
Ya, dari suatu segi ia suatu perubahan yang amat membanggakan,namun dari sudut lain ia mewujudkan kebimbangan.
SALAH
Kebimbangan inilah yang melunturkan kegembiraan saya, bila melihat kepada penampilan pakaian yang tidak kena dengan namanya sebagai busana Muslimah yang sempurna.
Cuba anda lihat contoh pakaian di bawah ini.
Dan ini :
Sekali pandang, mungkin tidak ada apa-apa yang salah padanya. Labuhnya cukup menutup bahagian pinggul, berlengan panjang dan lengkap pula bertudung kepala. Akan tetapi, jika dinilai dari sudut ilmu dan kefahaman tentang ciri-ciri pakaian wanita Islam, ia sangat bercanggah dengan kebenaran.
Ciri-ciri yang digariskan di dalam Islam, berpandu al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW ialah :
1. Menutup aurat sebagaimana sabda Baginda : Telah berkata Aisyah RA “Sesungguhnya Asma’binti Abu Bakar menemui Nabi SAW dengan memakai pakaian yang nipis. Maka nabi berpaling daripadanya dan bersabda “Wahai Asma’ , sesungguhnya apabila wanita itu telah baligh (sudah haid) tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini , sambil mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangannya”
2. Tidak nipis sehingga nampak bayangan tubuh badan dari luar. Rasulullah SAW menegaskan di dalam sabda Baginda yang bermaksud: “Dua orang ahli neraka yang belum pernah saya lihat adalah, kaum yang memegang pecut bagai ekor lembu digunakan untuk memukul orang (tanpa alasan), orang perempuan yang berpakaian tetapi telanjang bagaikan merayu-rayu melenggok-lenggok membesarkan cemaranya bagaikan punuk unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau syurga, sedangkan bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh” (Riwayat Muslim)
3. Tidak ketat atau sempit, tetapi longgar dan selesa dipakai. Ia menutup bahagian-bahagian bentuk tubuh terutama bahagian dada dan pinggul wanita, yang mengiurkan nafsu lelaki, mengecurkan keinginan syahwatnya dan seterusnya dapat menutup aspek kehaiwanan dari golongan itu.
4. Warna pakaian itu suram, tidak garang dan tidak terlalu terang. Tidak menyerlah atau menyilau pandangan, sehingga tiada bernafsu lelaki melihatnya ( terutama pakaian seperti jubah atau abaya). Menurut Ibnu Kathir di dalam tafsirnya pakaian wanita-wanita pada zaman Nabi SAW ketika mereka keluar rumah adalah berwarna hitam.
5. Tidak sekali-kali memakai bau-bauan yang harum, kerana bau-bauan ini ada pengaruhnya atas nafsu lelaki. Perempuan yang memakai bau-bauan ketika keluar rumah sehingga lelaki mencium baunya disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai zaaniyah, iaitu pelacur atau penzina. “Wanita apabila memakai wangi-wangian, kemudian berjalan melintasi kaum lelaki maka dia itu begini dan begini ( iaitu pelacur ). ” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
6. Tidak menyerupai ( bertasyabbuh ) dengan pakaian lelaki iaitu tidak meniru–niru atau menyerupai pakaian lelaki. Ibnu Abbas RA berkata: “Rasulullah SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita-wanita yang menyerupai lelaki” (Riwayat Bukhari)
7. Tidak bertasyabbuh dengan pakaian perempuan-perempuan kafir dan musyrik.
8. Pakaian itu bukanlah bertujuan untuk libasush-shuhrah, iaitu untuk bermegah-megah. Menunjuk-nunjuk dan berbangga dengan gaya.
HATI YANG BELUM TUNDUK
Saya percaya, rata-rata di kalangan Muslimah hari ini, ramai yang terpelajar dan sedar akan perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud :
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” ( Surah An-nur ayat 31 )
Dan firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( Surah al Ahzab ayat 59 )
Sudah jelas di dalam dua ayat di atas, Allah SWT dengan kebijaksanaan-Nya, mewajibkan setiap Muslimah mukminah, menutup seluruh anggota tubuh mereka. Melindungi lekuk-lekuk yang menggoncang sukma jejaka dan tidak memperlihatkan perhiasan melainkan kepada suami, ayah, bapa mertua, anak-anak dan lain-lain yang dibolehkan melihat aurat mereka.
Ia bermaksud sebagai preventif dan pelindung dari berbagai kerosakan. Ia bukan sekali-kali kekangan dan halangan untuk bergelandangan dalam aktiviti kemasyarakatan. Seorang wanita tetap dapat berinteraksi dalam linkungan sekitarnya dengan syarat ia harus menjaga kesopanan dan kewibawaan tanpa keluar dari batasan syariat Tuhan.
Orang-orang yang hati mereka terlindung dari kegelapan hidayah sering mengemukakan bahwa dengan pakaian cantik dan tampil bergaya, wanita memiliki keyakinan yang lebih untuk berdepan dengan suasana. Hakikatnya, mereka malu untuk keluar dengan gaya biasa-biasa. Mana mungkin penampilan seperti itu mampu melirik tumpuan mata?
Malang, hati-hati ini sebenarnya masih dahagakan pujian manusia. Justeru, busana muslimah yang disarung hanyalah kosmetik untuk kelihatan sopan semata-mata, bukan jujur untuk menjalankan perintah Yang Maha Esa.
PAKAIKAN DIRIMU PAKAIAN TAQWA
Kesimpulannya, dengan perkembangan pesat pelbagai model busana muslimah sekarang ini, bukan bererti kita tidak boleh menyukai atau memakainya. Kenakanlah ia pada tubuh, asal sahaja semuanya tidak melanggar piawaian Islam yang mulia.
Sebagai Muslimah beriman dan bertaqwa, seharusnya kita dapat menjaga hati agar busana muslimah yang kita kenakan tidak mengheret ke neraka. Sematkan niat yang ikhlas untuk mentaati perintah Allah dan jauhkan penyakit riak, ujub atau mencari populariti di kalangan manusia. Tunduklah demi cinta dan redha Allah semata. Benarlah firman-Nya yang bermaksud :
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi `auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat” ( Surah Al-A’raaf: ayat 26 )
Sedarlah, andai wanita menjaga aurat dengan sempurna dari pandangan yang bukan selayaknya, bermakna dia bukan sahaja menjaga maruah dirinya, bahkan maruah wanita mukmin seluruhnya.
Sesungguhnya peringatan ini demi kasih sayang saya. Kerana kita adalah wanita.
Kerana dirimu begitu berharga, capai duniawi jangan lupa ukhrawi,
Pakaikan dirimu pakaian taqwa, demi jati diri muslimah sejati.
Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah.
Disalin dengan izin dari: http://ummuhusna99.blogspot.com/2010/01/pakaikan-dirimu-pakaian-taqwa.html
Salam Kak Cik. Selamat Hari Jumaat. Hemm itulah. kdg diri sndiri pun tak betul dlm berpakaian ni. trima ksh ats artikel peringatn ni.
ReplyDeleteWkslm emy. Ya, selamat melalui hari Jumaat untuk emy juga. Kakchik sangat berharap tulisan ni menyedarkan diri kita yang lemah ni. Sama-sama ya emy.
ReplyDeleteSalam Kak Chik..
ReplyDeletePesan berpesan sesama kite....Alhamdulillahhh....
Kadang kala sebagai manusia kita selalunya alpa dan terlupa tentang sesuatu itu...
Wkslm Sue.
ReplyDeleteInsyaallah nasihat menasihati ni memang amalan mulia yang disuruh oleh Nabi. Jika takde saling berpesan, maknanya kita ni memang pentingkan diri je.
Sebenarnya kak chik issue menutup aurat ni masih lagi dipandang enteng oleh pihak kerajaan bagi pekerja2 kerajaan. Cikgu2 dilarang memakai jubah, apatah lagi berwarna hitam malah dilabelkan terlalu extremist hingga dikuatiri boleh mempengaruhi para pelajar berpakaian. Cikgu hanya dibenarkan memakai baju kebangsaan, yang peliknya kebaya kasi pulak pakai, kebaya pendek apatah lagi..dengan semua curve body dapat dilihat oleh para pelajar lelaki. malah cikgu non-muslim boleh lak pakai skirt atas paras lutut; tak ke sexy tu dan menjolok mata.
ReplyDeleteMaka tak mustahillah kes pembuangan bayi begitu berleluasa dan pergaulan remaja tanpa batas semakin meningkat...Salah satu factor pakaian guru jugak ... Wallahhualam.
Tapi walau apa pun tindakan tatatertib yang akan dikenakan kepada akak kerana ingkar mengikut perintah berpakaian, Akak akan tetap mempertahankan pakaian sunnah Rasulullah...Itu hanyalah peraturan manusia. perintah ALLAH jua yang patut kita patuhi.