Followers

8.10.10

Berpurdah Bukan Bermakna Kita Lebih Baik Dari Orang Lain

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Apa khabar kalian semua malam ni? Kakchik dan cik abe, alhamdulillah... dua-dua sihat. Di saat ni, kakchik sedang menaip ni dan dia di meja satu lagi, juga sedang menghadap laptopnya sambil sibuk di sini: http://sokernet.com/.

Hari ni kakchik melihat dan membaca banyak status kawan-kawan di fb yang meletakkan tulisan Ust. Hilal Ashraf berkaitan dengan niqab atau orang Malaysia panggil purdah. Kawan kita di Indonesia memanggilnya cadar. Jangan kita keliru bila mereka bertanyakan tentang cadar.

Secara keseluruhannya kakchik setuju dengan pandangan beliau mengenai purdah. Banyak yang beliau tulis tu memang sangat-sangat sesuai diambil peringatan oleh setiap muslimah yang berpurdah. Kakchik yakin beliau menulis untuk menasihat agar muslimah niqabi dapat menjaga akhlak mereka seiring dengan keelokan penampilan mereka.

Kakchik mula berpurdah sejak di tahun 2 universiti iaitu hampir 15 tahun yang lalu. Masa itu keinginan berpurdah lahir kerana kakchik mahu menjaga diri-sendiri dari kalah dengan nafsu. Bila kita sentiasa perlu berurusan dengan lelaki ajnabi, sudah tentu ada masanya kita terpaksa berhadapan untuk berbincang atau berdiskusi. Tidak selesa. Terasa seperti segenap ruang wajah diperhatikan. Sungguh tidak selesa.

Bila melihat seorang kawan baik yang baru menjadi teman serumah berpurdah (beliau sudah berpurdah sebelum masuk universiti), semangat untuk memakainya semakin kuat. Tambah-tambah bila kakchik melihat beliau begitu istiqomah dalam tuturkata, akhlak dan pelajarannya. Tidak pernah rasanya kawan-kawan yang berpurdah meninggi diri atau memandang rendah pada orang lain. Malah merekalah yang lebih dahulu menghulurkan salam silaturrahim.

Tapi, adat dunia, sudah tentu ada muslimah berpurdah yang akhlaknya tidak seperti cerminan pakaiannya. Mohon dijauhkan kakchik dari golongan ini. Kata orang, sebahagian muslimah berpurdah ini suka memandang rendah pada orang lain yang tidak berpurdah. Astaghfirullahalaziim. Kakchik minta Allah jauhkanlah perasaan begitu pada diri kakchik ni.

Walaupun kakchik berpurdah, kakchik tetap sedar diri di mana kelemahan yang ada. Pakaian kakchik ini kakchik usaha sebaik-baiknya agar ia selari dengan akhlak kakchik. Itupun masih terlalu banyak yang perlu diperbaiki. Orang mungkin nampak penampilan kita sangat baik kerana kita mengikut sunnah tapi kita tetap manusia. Dan hakikat manusia yang imannya di tahap orang awam ini tidak boleh nak memandang rendah pada orang lain.

Selagi mereka berpakaian menutup aurat hatta yang belum sempurna menutup auratnya, kita kena selalu saling menasihati dengan sangka baik (husnu dzon) moga-moga satu hari nanti mereka juga akan sudi mengikut pakaian sunnah ini. Lagipun ketaqwaanlah yang dipandang oleh Allah SWT. Dan sudah semestinya bila orang itu bertaqwa, akhlak dan peribadinya adalah terjemahan sifat dalaman itu. Insyaallah.

Mana kita tahu satu hari nanti bila mereka berubah, mereka akan lebih baik dari kita. Atau lebih baik lagi kita semua sama-sama meningkat keimanan dan ketaqwaan kita. Manusia hanya boleh lihat zahirnya tapi Allah akan melihat dan menilai zahir dan batin. Alangkah bahagia dan aman dunia ini dari maksiat bila para muslimah semuanya menjadi solehah. Allahu Akbar! Kita hanya mampu menyampaikan kebenaran, hasilnya terpaksalah berserah kepada Allah.

Kepada para sahabat dan muslimah yang kini telah berpurdah atau yang sedang bermujahadah ke arah itu, marilah kita menjaga sebaik-baiknya akhlak kita tak kira di internet atau di luar, tuturkata kita biarlah mencerminkan peribadi muslimah dengan mencontohi peribadi para isteri nabi, tulisan kita biarlah kerana Allah. Kakchik bimbang, kita terlupa. Sama-samalah tegur-menegur dengan penuh hemah dan hikmah agar kita tidak menjadi fitnah kepada agama kita.

Kepada para sahabat yang tidak berpurdah, kami juga seperti kalian, manusia biasa yang punya nafsu. Janganlah memandang kami ini sempurna segalanya. Bimbang nanti kalau kami melakukan kesilapan, kesemua muslimah berniqab akan dianggap serupa. Kalian mungkin jauh lebih baik daripada kakchik dalam amal ibadah, dakwah mahupun akhlak maka anggaplah kita sama saja. Yang membezakannya hanya ketaqwaan kita kepada Allah. Itupun hanya Allah yang tahu.

Kalau dengan pakaian ini kakchik boleh membuatkan diri kakchik dan diri kalian sentiasa ingat pada agama, pada Allah, kakchik amat-amat bersyukur. Moga-moga Allah kira ianya sebagai amalan baik kakchik. Jika pakaian ini boleh membuatkan orang lain insaf, mahu berubah menjadi muslimah yang lebih baik, kakchik mohon Allah kekalkan kakchik begini hingga ke akhir hayat kerana kakchik mahu terus menginsafkan orang. Tak salah kan kita mahu orang insaf dan kembali hidup beragama?

Tiada seorang pun di antara kita ini sempurna kecuali Nabi Muhammad SAW yang maksum.

15 comments:

  1. assalamualaikum wbt

    SubhanAllah

    nice entry kak chik!

    memang Iman amat seuju dengan kak chik. we are all the same regardless of our appearances. Moga kita tidak menjadikan tabir di wajah sebagai penentu keimanan atau amalan seseorang. Wearing niqabs are personal choices; for the sake of Allah; moga kita sama2 tidak riak, insyaAllah

    go kak chik!

    ReplyDelete
  2. wa'alaikummussalam iman.
    terima kasih. insyaallah kita sama-sama menjaga keistimewaan pakaian ini. moga Allah jauhkan dari riak dan segala sifat mazmumah yang lain.

    ReplyDelete
  3. Masa zaman belajar Iza kenal beberapa orang kakak2 yang berniqab. Mereka x-asasi nilam puri. Depa baik dan ceria, kadang humoris (macam tak percaya, ingat serius memanjang hehehe) tapi tak pula berlebihan.

    Bila dah kerja, suasana tu dah tak ada. Tambah2 Iza kerja kilang, mmg tak jumpa lagi yg berniqab :)

    ReplyDelete
  4. salam kak chik,
    syabas kak chik sebab mampu istiqomah..
    teringin juga pki tp bimbang kalau2 xmampu istiqomah

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Kakchik...selalu baca n3 kakchik ni, saya ni pakai jubah & telekung labuh je, teringin gak pakai purdah tp takut tak istiqamah lak...suami tak halang cuma diri belum benar2 bersedia, skrg tengah berusaha ke arah itu..InsyaAllah akan mengikut jejak arwah MIL, kakak ipar & ank buah yg berpurdah..
    saya mmg suka tgk perempuan pakai purdah ni..doakan 1 hari nanti saya dapat ikut jejak kakchik...amin...

    teruskan dengan artikel yang menarik ni..

    ReplyDelete
  6. Iza, persepsi masyarakat dulu dan kini terhadap muslimah berniqab ini tidak banyak bezanya. Ramai yang menganggap muslimah yang memakai niqab ni suka menjauhkan diri dari orang lain walhal tidak semuanya begitu. Sama saja dengan muslimah yang tidak berniqab. Gembira kakchik membaca pengalaman Iza yang manis ketika belajar dulu. Mgkn Izalah kot yang berniqab kat kilang tu nanti hehe.

    ReplyDelete
  7. Wkslm Mizah.
    Terima kasih. Semuanya dengan izin Allah Mizah. Satu lagi ialah prinsip diri, bila dah buat yang terbaik, wajib kekalkan walau apa juga cabarannya.
    Di peringkat awal ramai yang tidak pasti boleh istiqomah atau tidak tapi dengan perubahan masa, ilmu dan pengalaman, istiqomah akan datang sendiri asalkan hati sentiasa ingat ini pakaian terbaik. Insyaallah jika Mizah mulakan langkah pertama, kakchik akan doakan agar Allah permudahkan langkah Mizah seterusnya.

    ReplyDelete
  8. Wa'alaikummussalam Anna. Sedap namanya. Pakaian Anna tu bagi kakchik sudah cukup baik tambah-tambah dengan peribadi Anna yang solehah, insyaallah mungkin jauh lebih baik dari kakchik. Insyaallah dengan azam yang kuat dan keyakinan yang jitu, hajat Anna untuk berpurdah akan tercapai juga nanti dan berkekalan hingga akhir hayat.

    ReplyDelete
  9. betul tu..jangan juga kita rasa bila berpurdah semuanya betul..ada juga yang salah tapi kadang2 tabir ini membantu kita mengelakkan dri dari membuat perkara2 x elok..ana pun masih baru, dalam 5 tahun, mula pas spm..kak chik da lama..

    ReplyDelete
  10. I love this entry kak chik. Thank you for sharing. Maybe salah satu factor akak belum berniqab kerana ALLAH mahu akak perbaiki akhlak diri akak. Insya ALLAH, berjuang ke arah memperbaiki diri, memperhebatkan taqwa dan keimanan..beautiful entry..

    ReplyDelete
  11. dr. muslimah, segala-galanya bermula dengan niat. semoga purdah ini menjadikan kita insan yang jauh lebih baik dalam segenap segi.

    ReplyDelete
  12. Terima kasih k.azah. Mungkin juga dengan berniqab akhlak juga berubah menjadi lebih baik kak. Bak kata orang, buat dulu, lepas tu kekuatan akan datang.

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum.
    alhamdulillah Allah berlaku baik kpd ana dan semua muslimat ..pertamanya kak, ana ada explore ttg adab2 mmakai purdah. Sblm ana memakainya ana ada tnya pndapat2 ustazah ana yg dh biasa berpurdah..pndapat mreka mstilah positif,ana berasal dari skolah harian biasa...(smk) tp sejak berumur 16 tahun ana dh berhajat untuk berpurdah tp ana trpaksa tngguhkan atas sbb2 trtntu..lps ana melanjutkan plajaran ke form six ana rasa dah smpai masa yg sesuai utk mneruskan hajat ana. ada seorang hmba Allah pernah i'rab rupa ana dan dia menyuruh ana pakai purdah katanya wajah ana ni bahaya.lama juga ana trfikir..ana rasa rupa ana mcm wanita lain sama ja..cuma wanita lain jauh lbh comei n cantik dari ana..hehehe :),ana mula faham akhirnya...dan skrg Alhamdulillah Allah mngizinkan ana berpurdah dan kluarga ana restuinya..walaupun fmly ana sederhana sahaja...utk pngetahuan akak org yg i'rab ana adalah org yg brpndidikan luas dlm agama..maaf la mnumpang brkongsi crita n pngalaman..Allahu'alam

    ReplyDelete
  14. assalamualaikum kak chik...ana slalu jgk tgk blog kak chik n fb kak chik bnyk ilmu yg bermanfaat...blh ana tnyakan kak chik sdikit...mungkn kak chik ada idea atau lbh berpengalaman dlm berniqab ini...nk tnya...ana berniqab..tp skrang msh bljr di slh sbuah ipta yg xdibenarkn utk berniqab...ana cuma pkai niqab bila keluar dari ipta je..mcm balik kg ke..pergi pekan ke...tp ada yg ckp ana mempermainkn niqab...tp bg ana x...memang kami dh cube utk pkai jgk...tp tetap dihalang..dan pernh dipanggil oleh pihak atsn...apa pendpt n pdgn kak chik mengenai ini..terima ksh kak chik

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs