Followers

26.2.10

12 Rabiulawal 1423H bersamaan 25 Mei 2002: Kisah Pertemuan Dua Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wr wbt. Selawat dan salam untuk Nabi Muhammad saw, rasul junjungan kita. Salam Maulidur Rasul untuk semua.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Yang menghidup dan mematikan. Yang menyatu dan memutuskan. Yang memberi cinta dan membahagiakan. Yang melapangkan dada dan menyenangkan jiwa. Itulah Allah, Tuhan Yang Maha Menciptakan.

Teman-teman tersayang,

Malam ini kakchik ingin berkongsi satu cerita tentang seorang gadis yang sederhana dipertemukan dengan seorang pemuda yang juga sederhana dalam sebuah masjid yang dibina atas nama Allah. Kisah ini kisah sebenar bukan rekaan atau khayalan. Inilah kisah cinta yang bersemi antara dua hati yang dulunya begitu asing tapi kini begitu intim. Semoga kita temui sesuatu yang bermakna dari cerita ini.

9 tahun yang lalu kedua-dua insan ini telah ditakdirkan Allah bertemu buat pertama kalinya di dalam sebuah mesyuarat untuk menerbitkan sebuah buletin Kerajaan Negeri bernama Ad-Din. Perkenalan rasmi tersebut hanyalah atas dasar kerja tanpa sebarang syak wasangka. Walaupun hanya mereka berdua yang masih belum berpunya di antara ahli mesyuarat, tapi tiada siapapun menyangka bahawa beberapa bulan selepas itu, hati dua insan tersebut akan ditemukan oleh Allah SWT dalam ikatan perkahwinan.

Bagi pihak si gadis, pernah difitnah sebanyak dua kali bahawa ingin mengambil suami orang kerana suasana kerjanya yang dikelilingi lelaki sedangkan hanya dia seorang perempuan. Tapi kerana ketegasannya dan keyakinannya akan kebenaran, akhirnya fitnah yang membuatkan ibunya berduka lara akhirnya terlerai dengan sendirinya. Gadis itu menang, mereka yang memfitnah termalu sendiri. Maha suci Allah.

Sebagai seorang gadis yang sejak di tahun dua pengajian mengambil keputusan untuk berjilbab penuh, menjaga tingkah-laku, prestasi kerja dan pergaulan adalah satu keutamaan. Kerana... baginya imej inilah yang bakal menaikkan nama Islam. Dialah pemegang amanah Allah untuk membuktikan bahawa perempuan berpurdah juga boleh memimpin, boleh berkomunikasi dengan cemerlang, boleh membantu menaikkan imej Islam di mata masyarakat, boleh meninggikan imej wanita berpurdah di kalangan wanita.

Sementara itu, si pemuda yang pendiam dan kelihatan tegas dan garang sedang membina karier di bidang kewartawanan. Dari pemerhatian si gadis, pemuda itu kelihatannya sangat dedikasi dengan kerjanya dan berakhlak Islam cuma agak pendiam. Dari pakaiannya, sekali pandang cukup sesuai digelar ustaz tapi kerana perkenalan mereka dalam urusan yang formal dan jenis kerjayanya, dia hanya dipanggil encik oleh si gadis sebagai menghormatinya. Entah kenapa...

Dalam tempoh pertemuan dalam mesyuarat demi mesyuarat, tidak pernah sekalipun di hati gadis itu terdetik bahawa suatu hari dia dan si pemuda itu akan didekatkan oleh ikatan pertunangan. Masing-masing sedang melalui proses mencari pasangan. Khabarnya si gadis sudah 50 peratus akan disunting oleh seorang jurutera dari Kuala Lumpur dan si pemuda juga sedang berkira untuk menyunting seorang gadis, siapa orangnya, gadis itu tidak pernah tahu (hinggalah ke hari ini).

Namun, takdir Allah... entah melalui siapa, akhirnya kenalan sekeliling si gadis yang kebetulan juga kenalan sekeliling si pemuda, menjadi pemangkin risikan pertama dari pemuda kepada gadis itu. Kalau sudah jodoh, pasti bertaut jua. Rombongan merisik tiba dan buat pertama kalinya debaran pun bermula. Selepas itu pertemuan di mesyuarat pertama selepas risikan, si gadis sudah begitu sukar untuk berlama-lama menjadi ahli mesyuarat kerana ahlinya asyik mengambil peluang mengenakan mereka berdua. 

Perhubungan dan komunikasi antara si gadis dan pemuda masih terhad dan memang sengaja dihadkan. Si gadis mahu menjaga hatinya kerana dia bimbang timbul keseronokan yang melalaikan. Rombongan peminangan datang diketuai oleh arwah seorang Ketua Muslimat Negeri kerana keluarga si pemuda adalah dari kawasan beliau dan amat rapat. Cincin berlian tersarung di jari manis dan si gadis mencium jemari bakal ibu mertua yang kelihatannya begitu gembira kerana akan berbesan dengan orang Pulau Melaka.

Kini bermulalah fasa baru dalam hidup mereka iaitu pertunangan selama 6 bulan. Sepanjang tempoh itu mereka memulakan taaruf atau perkenalan melalui email dan telefon. Oleh kerana kedua-duanya sentiasa sibuk maka sesi taaruf itu hanyalah beberapa kali cukup untuk mengenali latar belakang masing-masing dan betapa sukarnya untuk si gadis buat pertama kalinya mahu memanggil tunangnya 'abang'. Malu dan takut hatinya dilalaikan, maka panggilan itu hanya digunakan di dalam email atau perbualan di telefon sahaja.

Manisnya tempoh pertunangan itu, tidak pernah sekalipun kedua-duanya melanggar batas pergaulan kerana mereka masih lagi bukan mahram. Tiada keluar ke mana-mana berdua-duaan. Tiada perbualan yang melalaikan. Pertemuan antara keduanya berlaku di rumah si gadis itupun yang banyak melayan si pemuda adalah ayahnya dan mengikut kata pemuda itu, dia tidak berpeluang menatap betul-betul wajah tunangnya setiap kali datang bertandang kerana malu kepada bakal mertua walaupun tunangnya melepaskan purdahnya. Apabila si gadis tahu akan hal ini, hatinya sangat berbunga kerana wajahnya terpelihara. Dia bimbang tunangnya akan terbayang-bayang akan wajahnya sedangkan mereka belum lagi suami isteri.

Pernah sekali si pemuda berkunjung ke tempat kerja si gadis dan meminta izin untuk melihatnya tapi kondisi di tempat itu tidak sesuai untuk tunangnya itu sukarela membuka hijab wajahnya maka terlepaslah peluang hinggalah... 6 bulan kemudian.

Tarikh pernikahan begitu rapi dipilih agar jatuh pada hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad saw kerana si gadis mahu mencari kelainan dari kebiasaan iaitu ramai orang berkahwin di musim cuti sekolah tapi mereka mahu berkahwin di musim cuti Maulid Nabi. Muktamad! Tanggal 12 Rabiulawal bersamaan 25 Mei adalah pilihan yang tepat. Jemputan hampir mencecah 3 ribu orang bakal berkumpul di Pulau Melaka. Akad nikah akan dilangsungkan di Subuh tersebut di Masjid Pulau Melaka kerana pengantin mahu dinikahkan oleh Tok Guru kesayangan seluruh negeri, yang juga jiran si gadis.

 
Salam pertama di pagi hening selepas sah sebagai suami - isteri.

Selepas majlis akad nikah selesai, rombongan pengantin lelaki yang datang jauh dari Pasir Puteh, singgah di rumah pengantin perempuan untuk sarapan pagi dan itulah buat pertama kalinya si pemuda betul-betul melihat wajah si gadis yang kini isterinya yang sah. Pagi yang hening itu, menjadi saksi, dua pasang tangan bertaut erat dalam getaran dan degupan dan si gadis mencium tangan suaminya untuk kali pertama. "Salam perkenalan bang."

Malu diusik-usik oleh adik-beradik, pengantin hanya tersipu malu kerana masing-masing masih segan untuk berbual panjang. Segala macam perkara berlegar di fikiran, untuk memandang antara satu sama lain pun masih terlalu segan. Mereka berpisah buat sementara kerana pengantin lelaki perlu pulang ke kampungnya dan akan datang kembali bersama rombongan keluarganya selepas solat Zohor.

Inilah pertama kali dalam sejarah keluarga pengantin perempuan, menyambut rombongan pengiring pengantin lelaki seramai hampir sebuah kampung. Mereka datang dengan kereta, van dan sebuah bas. Suasana seluruh kampung menjadi sungguh meriah dengan selawat bila pengantin lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan. Dengan pakaian berwarna hijau lembut hasil rekaan sendiri, pengantin perempuan dengan hati berbunga menyambut kedatangan suaminya di pintu bilik. Dia tidak turun ke bawah kerana wajahnya telah berhias indah, dia tidak mahu dilihat oleh para tetamu lelaki kecuali suaminya dan ahli keluarga terdekat sahaja. Akhirnya mereka bertemu kembali.

 
Pasangan pengantin dalam persalinan kahwin yang hingga kini masih cantik terjaga, dipakai di majlis istimewa sahaja.

Dari saat itu bermulalah lembaran baru dalam hidup mereka berdua sebagai suami isteri. Seperti juga pasangan suami isteri yang lain, mereka mula bercinta, mengenali hati budi masing-masing setelah terangkatnya ijab dan qabul. Hari ini, mereka mengenang kembali sejarah pertemuan mereka dan suka duka sepanjang tempoh hidup bersama.

Semoga Allah mengeratkan hati-hati mereka berdua, sentiasa membimbing keduanya di atas jalan yang lurus menuju-Nya, mengasihani mereka berdua dengan rahmat dan kasih-sayang-Nya dan mengurniakan rezeki agar mereka dapat meneruskan perjuangan hidup mereka menuju-Nya. Mereka kini amat berharap Allah memakbulkan hajat mereka untuk mempunyai cahayamata agar perjuangan mereka untuk Islam, perjuangan mereka sebagai khalifahnya di muka bumi ini mempunyai penerus di kemudian hari. Tolong doakan mereka.

 
Petang tadi di Marry Brown.

"Selamat hari ulang tahun perkahwinan yang ke-8 Yang. Semoga Allah merahmati kita berdua dan redha akan kita sebagai hamba-Nya. Mohon ampun maaf dari Yang atas segala lalai leka Nor sepanjang kita hidup bersama. Insyaallah Nor akan terus berusaha untuk menjadi isteri Yang yang solehah."

Wassalam.

32 comments:

  1. tersentuh hati membaca cerita ini

    sukar benar mencari contoh pasangan seperti ini

    saya begitu mengagumi kak chik

    ReplyDelete
  2. Semoga perkahwinan anda berdua bahagia kekal abadi selamanya

    ReplyDelete
  3. Selamat ulang tahun perkhawinan kak
    Moga sentiasa mendapat rahmatnya
    MasyaALLAH.. kisah yang sangat menyentuh hati ana..
    doakan ana juga bisa menjadi bidadari kepada mujahid yang mengidam syahid di jalanNYA
    Amin

    ReplyDelete
  4. Manisnya cerita Kak Chik ni. Romantis, kalau wat novel boleh lawan kot karya Kang Abik hihihi.

    Selamat ulang tahun perkhawinan Kak Chik. Semoga berbahagia hingga ke akhirat sana.

    Caya lah Kak Chik :)

    ReplyDelete
  5. Tahniah, kakchik & che abe nya. Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan. Semoga sentiasa bahagia dan mendapat rahmat Allah

    ReplyDelete
  6. tersengih2 nadiah baca entry ni..hehe. slmt ulangthn perkahwinan kakchik! smg sentiasa dirahmati Allah & smg dikurniakan zuriat yg soleh solehah :)

    p/s: kesian kakchik kena fitnah. jahat betul la mulut manusia :(

    p/p/s: kakchik, maaf tanya..kakchik ada jumpa Dr tak? (fhm kot apa yg nadiah tanya ni) :)

    ReplyDelete
  7. salam maulidurrasul kakchik...
    selamat hari ulangtahun perkahwinan yg ke 8 utk kakchik n cik abe kakchik...
    semoga sentiasa dalam peliharaan Allah...
    barakallahulakuma wa baraka 'alaikuma wa jama'a bainakuma bilkhair...

    ReplyDelete
  8. setiap orang ada kisah cinta mereka yang tersendiri..

    tahniah kakchik. selamat ulangtahun prkahwinan.atiQ doakan kakchik & suami tabah mngharungi hidup rumahtangga & semoga Allah mengurniakan cahayamata. amin~

    ReplyDelete
  9. Mas, kami juga pasangan biasa seperti orang lain juga yang masih berusaha membina mahligai bahagia di dunia untuk masjid yang indah di akhirat nanti. Tak sangka boleh menyentuh hati mas.

    ReplyDelete
  10. Terima kasih cikgu isza atas ucapan itu.

    ReplyDelete
  11. Terima kasih Asiah. Semoga Asiah akan dipertemukan dengan pemuda beriman dan berakhlak mulia sebagai suami suatu hari nanti.

    ReplyDelete
  12. Iza...Iza. Pandai dia ambil hati kakchik ya. Kalau kisah kami jadi novel, bukan KCB je yang kalah, habis segala novel cinta Islami pun kalah kot hehe. Isyk, tak baik takabur kan. Apapun, terima kasih banyak Iza atas ucapan tu.

    ReplyDelete
  13. Terima kasih kak aliya. Amin... Semoga akak dan suami juga berbahagia selalu.

    ReplyDelete
  14. Nadiah, sengih sebab kelakar ke? Atau sengih ada makna... hihi. Terima kasih atas doanya.

    Biarkanlah fitnah orang tu Nadiah sebab mereka takde kerja.

    Insyaallah sudah berjumpa doc dan skrg masih dlm rawatan.

    ReplyDelete
  15. salam maulid nabi untuk ain juga.
    terima kasih ain

    ReplyDelete
  16. atiq, memang benar setiap orang ada kisah cinta tersendiri. semoga setiap kisah cinta itu terjalin dalam landasan yang halal di sisi syariat.
    terima kasih atiq. insyaallah kami berdua akan cuba melaluinya dengan bimbingan dari Allah SWT.

    ReplyDelete
  17. salam maulidur rasul dan slamat ulang tahun perkahwinan wat kakchik dan cik abe! tahniah!! mudah2an akan terus kekal aman bahgia wat selama2nya.. kita juga doakan mudah2an murah rezeki dengan kehadiran cahayamata dan bisnes bertambah maju! aminnn... sangat2 kagum ngan insan bergelar kakchik!! teruskan perjuangan kak...

    ReplyDelete
  18. salam maulidur rasul hana. terima kasih banyak ya. moga Allah perkenankan. kakchik kagum dengan orang yang namanya hana.

    ReplyDelete
  19. salam :)

    salam maulidur rasul and anniversary juga dr zaza

    subhanallah kak chik!
    indahnya kenangan cinta kak chik. boleh buat buku ni :P

    doakan zaza dpt zauj soleh juga ya.

    ReplyDelete
  20. wa'alaikummussalam zaza.
    terima kasih atas ucapannya. cinta ini belum berakhir zaza, moga2 kami berjay menempuh apa jua cabaran yg mendatang. hehe, seganlah nak jadi buku. insyaallah, zaza juga akan dipertemukan Allah dengan seorang lelaki beriman yang akan bersama zaza memperjuangkan Islam untuk kebahagiaan di akhirat. insyaallah.

    ReplyDelete
  21. Salam kakchik, Selamat Ulangtahun ke 8... semoga Allah menambah sinar bahagia pada pasangan ini hingga syurga abadi.. :)

    Suka membaca coretan kakchik... indah

    ReplyDelete
  22. Salam Kakcik...Sungguh syahdu la baca kisah kakcik nih..Papun smga sentiasa d rahmati Allah n berbahagia selalu..

    ReplyDelete
  23. kak chik..terharuuuunyeee bc citer cinte akk nih...
    ya allah..ko kekalkan perkahwinan akk ku ini hingga akhir hayat mereka..dan berkatilah perkahwinan ini..moga jodoh mereka bertambah kuat dengan kehadiran chy mata....aaaaaamiiiinnn...moga tabah selalu kakchik..

    ReplyDelete
  24. Salam buat Kak Chik.

    Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan buat Kak Chik & suami..

    Terharu membaca kisah perjalanan cinta Kak Chik... penuh dengan ujian & rintangan...

    Nur doakan Kak Chik beroleh kebahagiaan hingga ke akhir hayat di samping suami dan dikurniakan zuriat yang soleh & solehah..

    Semoga perjalanan cinta Kak Chik & suami tiada noktahnya.... Kagum dengan ketabahan Kak Chik.

    Jaga diri ye kak..

    ReplyDelete
  25. Wa'alaikummussalam sarah. Terima kasih atas ucapannya.

    ReplyDelete
  26. Wa'alaikummussalam Zaliedana. Terima kasih. Semoga ada manfaatnya.

    ReplyDelete
  27. fmina adikku, kisah sudah jadi kenangan hehe tapi kakchik berterima kasih banyak atas doa fmina tu. moga Allah makbulkan.

    ReplyDelete
  28. Wa'alaikummussalam Nur. Perjalanan hidup kita entah bila akhirnya. Segenap masa yang ada ini kakchik cuba penuhi sebaik mungkin bagi bersedia menuju-Nya. Itupun masih terlalu jauh rasanya diri ini dengan-Nya. Kakchik berusaha agar perkahwinan kami ini menjadi tiket penyaksian kami atas kemuliaan agama ini di hadapan-Nya nanti.
    Terima kasih banyak-banyak Nur. Moga doa Nur untuk kami dimakbulkan Allah.

    ReplyDelete
  29. salam kak chik,
    terlepas 2 hari. hope not to late to wish kak chik suami isteri, selamat ulangtahun perkahwinan ke 8. moga bahagia ke anak cucu. ada hikmah atas ujian Allah. saya doakan kebahagiaan kak chik. :)

    ReplyDelete
  30. wkslm nur. tak mengapa... syukur masih pjg umur dan dpt baca komen nur ni. terima kasih nur. kadang2 kakchik juga lemah dgn ujian.

    ReplyDelete
  31. tgerak pulak hati utk blogwalking di sini. akak,tahniah atas pnampilan dan batas2 yg terjaga. Saya berharap saya diberi kekuatan utk jadi sebegitu suatu hari nanti. hidup di tengah2 kota sgt mencabar lagi2 dlm bidang engineering yg rata ratanya lelaki. Hanya Allah yg mampu beri kekuatan ini..

    ReplyDelete
  32. assalamualaikum ain. terima kasih sudi bw ke sini, membaca dan menulis komen. kakchik sangat hargai. terima kasih... Allah jua yang memberikan kakchik keyakinan dan kekuatan ini. Insyaallah ain juga boleh buat yang terbaik untuk diri ain. Selagi ada keyakinan, sentiasa mohon bantuan Allah, insyaallah Allah akan tolong. Yakin diri ya.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs