ANDAI RASULULLAH BERSAMA KITA....
Posted by Noraslina binti Jusin | Posted in Dunia wanita, Muhasabah diri | Posted on 11:43:00 AM
Wanita itu menangis. Walau wajahnya terlindung di sebalik purdah, dan hanya menampakkan sepasang matanya yang bening, tetapi suaranya yang sayu dan sebak beserta linangan airmata yang tumpah menggambarkan segala rasa yang menggigit tangkai jiwanya.
Melihat itu, saya turut mengalirkan air mata.
Sudah banyak kali saya menyaksikan petikan video yang satu ini. Jika diulang tayang berkali-kali pun, ia masih menghadirkan keinsafan di dalam diri. Kolam air mata mana yang mampu menampung limpahannya, jika persoalan yang bermain di kepala membuak kesayuan yang tiada taranya.
Persoalan yang sukar dijawab tetapi juga adalah impian setiap muslim dan muslimah yang beriman.Inilah yang berlaku kepada diri saya setiap kali menonton petikan video yang menampilkan satu rancangan berbahasa arab bertajuk : Lau kaana bainana. Rancangan ini mengenengahkan persoalan bagaimana sekiranya Rasulullah SAW, hidup dan berada di tengah-tengah kehidupan moden hari ini.
Bersama-sama kita!
BUKAN JEMU
Hampir sebulan lamanya saya tidak menulis artikel berkait aurat wanita setelah entri terakhir mengenainya yang bertajuk: Di sebalik cebisan kain itu. Bukan sudah jemu untuk saling mengingatkan, jauh sekali dari rasa bimbang akan menerima emel berisi kata-kata menusuk hati seperti sebelum ini, tetapi demi menghormati pandangan suami agar saya tidak terlalu mengasak minda pembaca dengan tajuk yang sememangnya menghadirkan kontroversi bila diperkata.
Namun, dari sehari ke sehari, saya melihat perkembangan fesyen busana Muslimah hari ini terutama pada cara dan gaya bertudung, kian menjarak dari sempadan Islam dan syari’atnya.
Memandang dari ilmu yang sedikit ini, saya merasakan fesyen dan gaya bertudung yang muncul dan menjadi pilihan ramai muslimah hari ini, tidak begitu menepati ciri-ciri menutup aurat yang telah digariskan agama. Rata-rata trend bertudung yang dikenakan, sekadar menutup kepala, tetapi mendedahkan bahagian dada, bahkan membuka leher hinggakan terdapat juga fesyen yang hanya menutup sebahagian rambut di kepala sahaja seperti gaya bertudung ( menutup kepala ) yang diperagakan oleh selebriti dan artis terkenal di Malaysia.
Ditambah pula dengan penjenamaan style bertudung yang menonjolkan elemen ‘glamour’ Timur Tengah seperti tudung Dubai dan Indie Syiria yang dipaparkan di dalam majalah-majalah berunsur Islam oleh model-model busana muslimah dan ‘cover girl’ majalah.
Sungguhpun, ia dikatakan kelihatan sopan, tetapi objektif menutup aurat sebagaimana yang digariskan Islam masih belum terlaksana. Ia tidak mencapai maksud untuk melindungi aurat yang sepatutnya disembunyikan dari pandangan umum, terutama mata jejaka.
ZON KELABU
Kerana itu, saban waktu saya mengulang tatap dan menonton rancangan yang bertemakan cinta kepada Nabi SAW ini, persoalan tentang aurat ini turut berlegar-legar di dalam jiwa. Keadaan ini sedikit sebanyak mengganggu ketenangan minda, lalu mendorong saya untuk kesekian kalinya berbicara mengenainya.
Sungguh menyedihkan, apabila majalah-majalah yang mengangkat nilai Islam pada hari ini mengenengahkan gaya penutupan aurat berlabelkan ‘busana‘ muslimah, menjadikan ramai wanita Islam, terutama para remajanya menyangka penampilan sebegitu sudah menepati kehendak penutupan aurat yang sempurna.
Di antaranya ialah seperti contoh di bawah:
Saya teringat kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
An-Nu'man bin Basyir berkata : ‘Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada sekerat daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, itu adalah hati.” ( Hadis riwayat Bukhari )
Tanpa sedar, industri fesyen yang tumbuh bak cendawan selepas hujan pada hari ini sudah banyak melangkaui zon putih yang dibenarkan agama dan berada di dalam zon kelabu yang samar-samar kehalalannya sehingga jika diamati dari kacamata iman dan ilmu, ia lebih menjurus kepada tidak boleh ( haram ), sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis di atas.
KATA TAK DIKOTA
Berapa ramai umat baginda dari kalangan wanita yang memperkatakan tentang kasih dan cinta kepada Rasul SAW, tetapi penghayatan terhadap apa yang dibawa tidak nyata terserlah. Bagai tidak diambil kesah.
Sewajarnya kita memahami, bahawa cinta Nabi SAW bukan sesuatu yang berupa kecenderungan pada ketika-ketika khusus semata-mata, seperti ketika merayakan kelahiran baginda, sewaktu tiba bulan Ramadan yang mulia, atau saat dihujani dengan peringatan-peringatan di dalam majlis ilmu.
Akan tetapi, cinta itu haruslah benar-benar murni dari lubuk hati dan sentiasa terpatri kukuh di dalam jiwa seorang yang beriman kerana dengan cinta itulah hati menjadi hidup, menatijahkan amal soleh dan seterusnya menjadi benteng yang menahan dirinya dari kejahatan dan dosa.
Sepanjang masa, walau di mana pun jua.
Justeru itu, untuk mengekspresikan cinta kepada Rasulullah SAW, kita tidak boleh melakukannya mengikut selera dan hawa nafsu, beralasankan suasana, trend semasa yang mendominasi, atau bimbangkan tanggapan manusia sekeliling, tanpa terlebih dahulu memperdulikan syari'at agama. Ketika itu, jika nafsu yang lebih diutamakan, andai saranan manusia yang menjadi perhatian, maka bukan pahala yang bakal kita terima, tetapi hanya menuai dosa.
Seolah berdusta, apa yang dikata, tidak dikota. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Tidaklah (sempurna) iman salah seorang di antara kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada orang tuanya, anaknya dan segenap umat manusia." (Muttafaq Alaih)
JALAN SELAMAT
Justeru itu pada saya, demi menzahirkan kepatuhan kepada junjungan mulia, juga untuk menjamin pakaian dan tudung yang tersarung ditubuh adalah patuh syari’ah ketika berada di luar rumah ialah dengan terus bertahan memakai fesyen yang ramai orang sekarang melabelkannya sebagai ketinggalan zaman iaitu bertudung labuh seperti contoh di bawah ini :
Tudung-tudung ini boleh disuaipadan bersama baju kurung, jubah, abaya, blouse labuh dan skirt panjang, t-shirt labuh dengan seluar yang longgar dan seumpamanya, asal sahaja syarat-syarat yang digariskan oleh Islam sudah ada, iaitu tidak jarang, tidak ketat, labuh baju yang melepasi bahagian punggung dan peha bersama tudung yang labuh melepasi bahu dan dada.
Juga satu perkara yang tidak kurang pentingnya, setiap muslimah mesti ‘mengenali’ batang tubuhnya sendiri agar pakaian yang dikenakan itu dapat memainkan peranannya, menutup dan melindungi bentuk tubuh.
Saya meneliti bahawa tudung segera yang banyak terjual hari ini, jika pemakainya bertubuh kecil dan sederhana, ia tidak mengapa, akan tetapi jika dikenakan ke tubuh yang agak besar dan gempal, ia kelihatan tidak sesuai. Walaupun labuhnya sudah menutupi dada, tetapi dek material yang agak melekat pada tubuh, ia masih tidak mampu menutupi ‘bentuk’ yang tersembunyi di sebaliknya.
Perhatikan gambar-gambar di bawah ini. Adakah pakaian kita termasuk di dalamnya?
Kerana itu, pada saya, penjelasan yang tepat tetapi sederhana adalah seperti contoh di bawah ini:
Mungkin, kata-kata Sayyidatina Aisyah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah ini dapat menjadi renungan bersama:
"Seandainya Rasulullah SAW sempat menemui apa yang diada‑adakan oleh para wanita (saat ini) nescaya beliau akan melarang mereka sebagaimana dilarangnya wanita‑wanita Bani Israil." (Hadis riwayat Bukhari hadis 869 dan dikeluarkan juga oleh Muslim 445 )
Larangan yang dinyatakan oleh Sayyidatina Aisyah r.a. ini merujuk kepada keharusan yang diberikan baginda Rasul kepada kaum wanita untuk solat berjamaah di masjid.
Di dalam riwayat Muslim, ada menukilkan: Salah seorang rawi bertanya kepada Amrah binti Abdirrahman (murid Aisyah r.a. yang meriwayatkan hadis ini darinya): "Apakah para wanita Bani Israil dilarang ke masjid?" Amrah menjawab: "Ya, adapun hal‑hal baru yang diperbuat para wanita Bani Israil di antaranya memakai wangi‑wangian, berhias, tabarruj, ikhtilat, dan kerosakan‑kerosakan lainnya."
Insafilah juga, bahawa pakaian sunnah yang diperagakan oleh muslimat mukminat ketika hayat Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh ikutan kerana mereka mendapat didikan, tarbiyyah, teguran serta perakuan secara langsung dari baginda junjungan. Maka, tidak hairanlah, jika muslimat mukminat ketika itu menjadi suri tauladan yang unggul sepanjang zaman.
ANDAI RASULULLAH SAW BERSAMA KITA…
Akhirnya, andai benar Rasulullah SAW bersama kita, adakah baginda akan tersenyum senang melihat gaya berpakaian yang tersarung di tubuh kita saat ini.
Atau….
Adakah baginda hanya mendiamkan diri dengan wajah diselubungi duka, lantas berpaling dan berlalu pergi meninggalkan kita…
Kerana itu pada saya, apa yang boleh diusahakan sekarang ini adalah, kepada mereka yang punya kesedaran ini, mainkan peranan anda walau siapa dan di mana anda berada untuk menyampaikan kebenaran ini. Ikhtiarkan walau sedikit, walau sekadar hanya mampu menunjukkan contoh melalui pakaian yang tersarung di tubuh sendiri, dan sudah pastinya diseiringkan pula dengan akhlak dan peribadi seorang Muslimah yang sebenarnya.
Jika benar kita menyintai Nabi SAW, mari kita buktikan bahawa rasa cinta kepada baginda SAW adalah cinta yang bukan didahului hawa nafsu. Akan tetapi, ia demi mentaati perintah agama beriring keyakinan bahawa rasa cinta kepada baginda ini akan membuahkan cinta kepada Yang Maha Esa sebagaimana firman-NYA yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika kamu (benar-benar) menyintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH menyintaimu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( Surah Ali ‘Imran ayat 31)
Menyintai dan mengasihi baginda SAW mampu menjadi asbab untuk meraih hidayah dan petunjuk-NYA. Mengasihinya juga boleh menyelamatkan kita dari azab api neraka, dengan izin-NYA.
Benarlah, baginda merupakan rahmat terbesar yang dikurniakan ALLAH SWT kepada alam semesta. Firman ALLAH SWT yang bermaksud :
“Dan tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat untuk sekelian alam.” (Surah Al-Anbiya ayat 107)
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.
=============================
NOTA: Artikel di atas kakchik salin dari seorang sahabat, Ina. Oleh kerana tulisannya sangat bagus untuk dimanfaatkan bersama, kakchik kongsikan di sini. Semoga kita sama-sama beroleh faedah yang sangat berharga dari kandungan artikel ini.
=============================
NOTA: Artikel di atas kakchik salin dari seorang sahabat, Ina. Oleh kerana tulisannya sangat bagus untuk dimanfaatkan bersama, kakchik kongsikan di sini. Semoga kita sama-sama beroleh faedah yang sangat berharga dari kandungan artikel ini.
tq kakchik kerna msh mnulis tntg aurat ni..
ReplyDeletesaya msh mncari dan cuba blaja utk tros mjadi muslimah sebenar..
hrp kakchik tidak jemu dan masih meneruskn usaha kakchik ni..
allah saja yg dpt mbalasnya..
sama-sama lov. kakchik salin artikel ni dari ummu husna. kebetulan isunya sangat relevan dengan zaman sekarang ni. kakchik mgkn tak tulis sendiri tapi kongsikan yang teman-teman punya. alhamdulillah lov dapat manfaat darinya.
ReplyDeletekakchik thanks for this sharing....
ReplyDeletetak tahu lah nak cakap apa, memang tak terkata jika Rasulullah S.A.W ada bersama hari ni, terasa kita sudah jauh benar dari apa yg diajarkan. Allahu Akbar
salam Kak Chik
ReplyDeleteSelamat Hari Raya
Mintak maaf dan ampun kalau pernah pB buat salahhhhh ...
pagi raya masok gapo ...
Assalammualaikum kak chik,
ReplyDeleteJika Rasulullah berada di kalangan kita akak akan merasa sangat malu, sedih dengan apa yang akak pakai sekarang, rasa macam masih terlalu banyak kekurangan kak chik. Masih banyak yang perlu dipelajari dan diubah.
Kalau dilihat di pasaran sekarang, memang 90% menjual tudung mengikut trend dan fashion terkini. Utk mendapatkan tudung yang labuh terpaksa ditempah kerana amatlah kurang di pasaran.
Pengisian ilmu yg cukup bagus utk mereka yg mahu mengubah diri mereka.
ya'ALLAH chik...tak terkata..turut sama mengalirkan air mata... :(
ReplyDeleteKlip 'Lau Kanaa Bainana' tu mmg meruntun hati.tanpa disedari air mata turut mengalir...dari situ saya terjumpa pula blog yg ada gambar barang2 peninggalan Rasululllah SAW termasuk baju2 baginda yg sungguh sederhana....saya menangis mengenangkan susah payah Baginda Rasulullah SAW menyebarkan agama Islam dan menyeru supaya kita mematuhi perintah Allah tetapi kita gagal memanfaatkan nikmat yang satu ini..
ReplyDeletesemoga daulah Islam kembali mekar dan kita semua menjadi hamba yang patuh kepada suruhan Allah dan Rasul serta meninggalkan laranganNya
sama-sama wan. malu sungguh rasanya untuk bertemu rasulullah saw sebab kehidupan kita teruk sangat sekarang ni.
ReplyDeletewkslm kak pB. Selamat hari raya dan maaf zahir batin jugok kak. pagi rayo mukin nok wak nasi kapit nga nasi dage kak. maghilah jjale pula melako.
ReplyDeleteWa'alaikummussalam kak azah.
ReplyDeleteKakchik pun terasa malu kak. Apakah cara berpakaian seperti yang kakchik amalkan sekarang ni baginda suka? Apakah cara hidup kakchik hari ni baginda redha? Barangkali baginda akan beristighfar panjang melihat kehidupan kakchik hari ni. Amat memalukan.
Akak, di sini pasaran tudung labuh masih luas kak. Bersaing rapat dengan segala jenis tudung segera yg ada.
cikmin, lembut sekali hatimu.
ReplyDeletekakluna, insaf membaca komen kakluna. kakchik rasa amat malu kak.
ReplyDelete