Followers

18.10.09

Cerita Semalam

Assalamualaikum dan salam pagi semua.

Seronoknya kalau masih bercuti seperti kebanyakan orang. Hari ni kakchik dah masuk pejabat sebab semalam kami cuti Deepavali. Sepatutnya semalam kakchik kerja. Takpelah. Berseronoklah semua yang bercuti hari ni. Jangan lupa manfaatkan sepenuhnya masa yang ada dengan melakukan aktiviti yang berfaedah bersama keluarga atau rakan-rakan.

Sekarang dah 10 pagi, kakchik sedang menyiapkan 'Job Description' yang dikemaskini untuk semua kakitangan Zahra' ni. Bendanya dah siap tapi perlu pengemaskinian lagi untuk menyesuaikan dengan perubahan yang berlaku di perpustakaan ini. Memang pening kepala juga untuk memikirkan setiap tugas agar bersesuaian dengan setiap kakitangan tanpa membebankan semua orang. Harap-harap dapatlah kakchik siapkan sebelum balik kerja hari ni.

Berbalik kepada tajuk tu, sebenarnya semalam ada 2 peristiwa yang agak besar berlaku di rumah. Besar ke? Hmm... besarlah jugak rasanya.

Cerita 1

Yang pertama ialah, La akhirnya berjaya mendapatkan PENGASUH untuk anak-anaknya. (Eleh, cerita pasal pengasuh pun besar ke?). Adik kakchik ni dah ada 4 orang anak berumur 5, 4, 3 dan 3 bulan. Dia doktor O & G, suaminya mejar tentera darat, sama-sama sibuk dan jarang ada di rumah. Sebelum ni La ada pengasuh/bibik dari Medan tapi sudah lari balik ke sana selepas menipu kami mengatakan ibunya sakit tenat. Rasanya sejak bulan April La tiada pengasuh. Itu nasib baik dia baik tinggal bersama kami di kampung. Alhamdulillah ada Ummi, kakchik dan Adik boleh tengok-tengokkan anak-anaknya.

Bermulalah proses mencari pengasuh baru. Kami sudah serik dengan bibik Indonesia dan memilih untuk mencari pengasuh dari warga Thai pula. Kebetulan ada seorang kenalan Ummi memang selalu tolong carikan pengasuh warga Thai untuk orang-orang Kelantan. Ringkas cerita, kami minta dia carikan dan dia minta deposit RM500. Sejak bulan 5 hinggalah ke hari ni, pengasuh entah ke mana, duit pun susah nak dipulangkan, dia pun lesap. Takpe... kami tahu di mana rumahnya. Sampai bila dia nak sembunyi kan?

Habis pantang, La masuk kerja macam biasa dengan meninggalkan anak-anak kepada kami. Sebab itu kalau teman-teman perasan dalam tulisan kakchik banyak sebut pasal anak-anak saudara kakchik kan? Sebab mereka selalu di rumah dan selalu bersama kakchik. Rezeki La sangat baik berkenalan dengan seorang jururawat yang dia belum kenal kerana sebelum bersalin, La baru pindah dari Hospital P.Pinang. Pertolongan Allah... alhamdulillah, jururawat itulah yang sudi menolong mencarikan ORANG TEMPATAN sebagai pengasuh. Itu minggu lepas dan semalam pengasuh baru sudah pun berada di rumah kami.

Masih amat muda remaja, Hamidah, 17 tahun, anak pemungut kelapa yang hidup miskin bersama 9 beradik hingga tidak mampu ke sekolah menengah. Kata jururawat tu, Midah sudah pernah bekerja di rumah seorang peguam di KB jadi dia ada sedikit pengalaman mengasuh. Tak apa ... kami sudi mendidiknya asalkan dia kekal mengasuh anak-anak La. Kami bantu dia mencari rezeki, dia bantu kami memudahkan kerja-kerja menjaga kanak-kanak riang. Semoga Midah mendapat banyak pengalaman menarik dan ilmu yang berguna sepanjang bersama kami.

Cerita 2

Setelah sekian lama akhirnya Paksu pulang ke kampung. Paksu ialah adik bongsu Ummi yang dulunya paling rapat dengan Ummi kakchik. Dia tinggal di KL. Dulu semasa arwah Mok masih ada, selalu juga dia balik bercuti dan rumah kamilah tempat dia menumpang. Isteri dan anak-anaknya tidak suka ke kampung dan lebih suka balik ke rumah ibu bapanya di Telipot. Mereka orang kaya yang macam dalam filem 'antara dua darjat' tu. Kalau datang ke rumah kami air pun tak mahu minum dan tak boleh duduk lama-lama, panas katanya. Walhal rumah kami sudah begitu moden sekali walaupun rumah kayu. Itu kisah lama dulu.

Sejak arwah Mok meninggal, Paksu jarang balik dan kalau balik pun dia tak datang pun ke rumah. Kakchik tahu Ummi rindukan adik bongsu dia sebab dalam 5 beradik mereka berdua sangat rapat berbanding dengan adik-beradik yang lain. Setiap kali raya, kami tidak lagi menyebut nama Paksu kerana tidak mahu Ummi sedih. Abang-abang di KL tu ada juga berjumpa dia tapi malas nak ke rumahnya sebab akan dilayan 'nak tak nak' saja oleh Maksu. Entahlah...

Tiba-tiba dia datang ke rumah. Semalam dalam jam 6 lebih Paksu, Maksu dan 2 orang cucunya datang ke rumah kami. Terkejut kami satu rumah! Kakchik rasa yang paling terkejut tentulah Ummi dan Ayah (Paksu dengan Ayah juga sangat rapat sebelum ni). Ummi minta kakchik buatkan air dan kakchik pula minta cik abe keluar berkenalan dengan Paksu, maklum saja dia tak balik pun masa kami kahwin dulu dan tak pernah jumpa suami kakchik.

Perbualan mereka pun banyak mengimbau kisah-kisah lama tapi tiada yang menyebut kenapa Paksu lama tak balik. Cubalah kira berapa lama kalau arwah Mok meninggal semasa kakchik matrikulasi 1 iaitu 14 Ramadhan tahun 1992. Lama kan. Bukan kami tak pergi ke rumahnya tapi beberapa kali pergi, pagar tidak dibuka walaupun ada orang di dalam.

Paksu baik orangnya.

Oh, rupanya kedatangan Paksu semalam adalah untuk menjemput kami ke kenduri kahwin anak bongsunya, sepupu kakchik. Entah kalau berselisih di mana-mana, kakchik pun dah tak kenal sepupu-sepupu kakchik yang KL ni. Mereka langsung tidak kenal kami, bukan keluarga kakchik je tapi termasuk juga sepupu-sepupu lain sebelah Ummi.

Itulah dua cerita penting yang berlaku di rumah kami semalam. Iktibar dari peristiwa tersebut ialah, kita jangan mudah mempercayai orang walaupun kita mengenali mereka sekian lama dan tiada perbezaan darjat di antara manusia di sisi Allah kerana yang dimuliakan Allah ialah hamba-hambaNya yang bertaqwa. Berusahalah menjaga silaturrahim terutama di kalangan ahli keluarga kita. Sayangi dan hormati sesama adik-beradik kerana di usia tua, masing-masing akan lebih memerlukan.

Allahu'alam.

No comments:

Post a Comment

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs