Followers

21.10.09

Salahkah wanita bekerja?

WANITA DILARANG BEKERJA, MELAINKAN ...
Ditulis oleh Ustaz Zahazan di www.zahazan.net
Jumaat, 09 Oktober 2009 10:45

Apakah hukum bekerja bagi seseorang perempuan? Sekiranya ia dibenarkan, tolong jelaskan adab lain yang perlu diamalkan bukan saja oleh wanita, tetapi seorang lelaki Muslim kepada wanita yang bukan muhrimnya.
Hamba Allah, Putrajaya

Hukum bekerja bagi seseorang perempuan adalah harus. Berkaitan dengan perkara ini, Sayyid Qutb membuat satu ulasan yang menarik berkaitan dengan peristiwa pertemuan Nabi Musa a.s dengan dua orang anak perempuan hamba yang salih di Madyan. Sesetengah pandangan mengatakan ia adalah Nabi Syuib a.s.

Firman Allah dalam ayat ke 23 surah al-Qasas :
Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya". Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan". Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:" Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami". Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: "Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu ".

Kata Sayyid Qutb, syarat pertama membenarkan wanita bekerja apabila keadaan ekonomi menuntutnya. Pada waktu itu, dia terpaksa keluar untuk memenuhi tuntutan mencari rezki. Ini dapat kita lihat pada frasa ayah kami sudah terlalu tua.

Perkara yang kedua ialah jangan ada percampuran bebas yang berlaku antara lelaki dan perempuan. Perkara ini dapat kita lihat menerusi gambaran ayat "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing”

Syarat yang ketiga pula ialah kewajipannya memelihara diri & kehormatan. Ini disebut jelas dalam ayat “Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu..” Seseorang wanita yang bekerja wajib menjaga maruah diri agar jangan menjadi wanita murahan mudah bergelak ketawa dengan lelaki-lelaki lain yang merupakan rakan sepejabat. Malah dia dengan mudah menawarkan diri keluar bersama berdua-duaan untuk makan tengahari dan sebagainya.

Ringkasnya, seseorang wanita yang beriman hendaklah memelihara dirinya dari menjadi alat hiburan yang mengasyikkan lelaki-lelaki liar. Allah s.w.t mengajar kaum muslimah agar menjaga diri seperti firmanNya dalam ayat 31 ke surah an-Nur:
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Merujuk soalan yang kedua pula, lazimnya masyarakat Melayu menggunakan perkataan muhrim yang merujuk kepada golongan yang haram dikahwini. Sebenarnya perkataan yang tepat adalah mahram. Muhrim adalah bermaksud dalam bahasa Arab sebagai orang yang berihram. Ajnabi pula adalah seseorang lelaki yang asing, yang bukan mahram contohnya jiran, rakan sepejabat dan lain-lain. Ajnabiyyah pula adalah seseorang perempuan yang bukan mahram bagi seseorang lelaki contohnya pembantu rumah wanita, pekerja di pejabat dan lain-lain.

Intipati larangan Islam kepada kedua golongan lelaki dan perempuan adalah jangan berdua-duaan dalam satu suasana yang boleh mengundang curiga kepada pihak lain. Dalam banyak hadis yang sahih contohnya seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar Nabi menjelaskan, tidak akan berdua-duaan seorang lelaki dengan perempuan melainkan syaitan akan jadi yang ketiga.

Selain itu seseorang lelaki juga diharamkan bermusafir bersama seseorang wanita bukan mahram melainkan jika ada lelaki yang merupakan mahram wanita itu. Seorang lelaki juga diharamkan menceritakan urusan peribadinya atau masalah peribadinya kepada seseorang wanita ajnabiyyah (begitu juga sebaliknya).

Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmuk, maslahat atau kebaikan yang terdapat dalam pemeliharaan hubungan ini adalah demi kepentingan nasab dan keturunan.

Apabila kita melihat masyarakat barat sebagai contohnya yang amat fleksibel dalam hubungan tersebut hingga menatijahkan lebih 80% kelahiran adalah dari pasangan yang tidak dapat dikenal pasti.

Amat benar kata-kata ulama Islam, contohnya Ibnul Qayyim apabila beliau berkata, pensyariatan undang-undang dalam Islam ini semuanya merupakan keadilan dan kebaikan secara mutlak. Justeru menegakkannya menyebabkan kehidupan menjadi teratur dan selamat dari persengketaan.Wallahu a'lam


NOTA:

- membaca soal-jawab ini memberi kesan mendalam kepada kakchik.
- satu peringatan agar sentiasa menjaga muamalah/perhubungan antara lelaki dan perempuan dalam urusan seharian.
- agama adalah untuk memudahkan hidup kita bukan untuk menyusahkan
- agama menjaga maruah dan keperibadian kita
- agama menolong kita menjauhi dosa
- dalam berinternet pun sama juga aplikasinya
- semoga kita dapat mencontohi akhlak dan perilaku wanita-wanita Islam yang terakam kisah mereka di dalam hadis dan al-Qur'an.

10 comments:

  1. salam kakchik...

    tapi kan kakchik, environment saya pula berlainan. semacam salah dan serba tak kena bila kita tak kerja atau surirumah...

    ReplyDelete
  2. Zaman hari ini, wanita sudah ramai yg mencapai taraf pendidikan yg tinggi. Selain keluar bekerja kebanyakannya kerana alasan ekonomi, ada juga yg tak mau mempersia2kan kemahiran dan ilmu yg dimiliki. Malangnya,ramai yg tidak peka dengan syarat ke2 dan ke 3 tuh. Itulah antara salah satu sbb masalah dlm masyarakat yg berlaku hari ini.

    ReplyDelete
  3. Yang penting bagi wanita yg bekerja ialah mematuhi garis panduan yg spt yg telah ditetapkan..

    Dah lama tak bekerja diluar..rindu juga kdg2..

    ReplyDelete
  4. Ramai yang memandang rendah pada surirumah,lagi2 yang ada ijazah.Hu...hu,sedihnya saya

    ReplyDelete
  5. Selagi mengikut syariat tak da masalah. Tapi bukan senang nak dapat environment kerja yang begitu.

    Tak terbayangkan kalau wanita2 hebat dan punya kebolehan tapi tak kerja. Sayang jugak. Contoh hebat tu macam kawan2 Kak Chik zaman study lah :)

    Kalau jadi suri rumah, lain cerita(tanggungjawab besar dsn cara berlainan)

    p/s: first time Iza komen, selama ni jadi silent reader ja :)
    Mohon maaf kalau salah

    ReplyDelete
  6. Leen - Wa'alaikummussalam. Memang kebanyakan environment keluarga skrg ni mengharapkan wanita yang educated akan bekerja. Kalau tak kerja dipandang pelik. Surirumah dianggap tidak bekerja walhal bagi kakchik itu juga satu kerjaya yang setiap wanita harus pegang. Tambahan pula kita sendiri merasa kekok kalau tidak bekerja.

    ReplyDelete
  7. kin - kakchik pun rasa macam tu juga. masih ramai wanita yang telah menyalahgunakan peluang dan kebenaran untuk bekerja dengan tidak menjaga batas-batas tersebut. mungkin itulah satu satu sebab bala Allah sentiasa datang. Pergaulan bebas yang dirasakan 'biasa' telah menjadi asam garam kehidupan. sebab itu kot banyak fitnah sekarang ni.

    ReplyDelete
  8. zureen - itulah yang sepatutnya. masalah untuk menjaga batas pergaulan dalam bekerja ni memang satu ujian bagi kakchik juga. insyaAllah setakat ni kakchik cuba jaga dengan baik tapi masih juga ada keadaan yang terpaksa.

    ReplyDelete
  9. Siti Mariam - itulah steriotaip masyarakat kita. Secara peribadi kakchik amat menghormati para surirumah yang mengorbankan ijazah mereka demi sebuah keluarga. Bukan satu keputusan yang mudah untuk menjadi surirumah sepenuh masa sedangkan telah bertahun mengejar cita-cita di kolej/univ. Kakchik ada ramai sahabat yang berkorban begini demi keluarga. Sangat kakchik respek.

    ReplyDelete
  10. iza~de~bintang - memang sayang kalau mereka ialah wanita hebat dan berbakat tapi kenyataannya ramai juga sahabat kakchik yang memilih menjadi surirumah. tapi bakat dan kemahiran mereka masih dapat digunakan melalui pelbagai cara kerana mereka juga tahu tjwb kerkongsi ilmu. di mata kakchik mereka tetap hebat.

    iza - semoga selepas ini selalu sudi untuk menyertai ruangan komen. kali pertama ni sbg warming up.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs