Followers

8.5.11

Niqab untuk mendidik jiwa: Rozita

“Memang ada mulut yang cakap, nak tengok berapa lama saya akan bertahan dengan niqab ini sewaktu saya mula-mula mengenakannya. Waktu itu saya sekadar membalas dengan jawapan, saya juga tertanya-tanya berapa lama diri saya mampu melakukannya.

“Alhamdulillah, sekarang sudah masuk tahun ketiga memakainya dan saya kian selesa,” ungkap wanita jelita yang tidak ralat mengakui usianya sudah melewati angka 40.

Menyambung bicara dengan sedikit bauran tegas, pemilik nama Rozita Ibrahim yang sinonim dengan jenama kecantikan Sendayu Tinggi ini berazam untuk mempertahankan pendirian memakai niqab sebagaimana Allah terus mengurniakan rezeki dan kesihatan dalam hidupnya.

Muka tengah akhbar Sinar Harian 8 Mei 2011.

Benar, secebis niqab mungkin tidak termasuk dalam pakaian wajib untuk menutup aurat wanita Muslimah tetapi bagi Rozita, ada misi penting di sebalik pemakaiannya.

“Niqab membantu saya untuk mendidik jiwa dan menjaga hati daripada dirasuk perasaan riak. Saya tak malu untuk mengaku, sebelum ini hati masih kotor walaupun bertudung.

"Saya sering kalah bila syaitan berbisik agar bersolek setiap kali ke luar rumah sesuai status selaku pengasas produk kecantikan,” ucapnya dengan nada lirih.

Dari segi lain kata Rozita, bonus memakai niqab menjadikan kulit wanita lebih cantik dan cerah. Berdasarkan pengalamannya sendiri, alahan pada habuk dan pendingin hawa yang dialami selama ini turut hilang dengan sendirinya.

Begitu pun, dia masih wanita biasa yang berpijak di bumi nyata. Apabila berada di rumah, pejabat atau dalam kereta, sekali sekala niqab akan dibuka untuk keselesaan bawah mata terutamanya. Maklumlah, kawasan berkenaan amat lembut jadi tekanan berterusan boleh menyebabkan keletihan dan menambah garis celaru.

“Untunglah saya bertemu seorang ustazah yang memperkenalkan dengan kain yang selesa dan senang ‘bernafas’ untuk dijadikan niqab,” ujarnya.

Melebarkan perbualan, Rozita yang kini lebih senang menggantikan senyuman dengan anggukan kepala sebagai tanda hormat berkongsi kegembiraannya melihat kian ramai wanita mengenakan niqab. Malah kunjungannya ke Baitullah hampir saban tahun turut mencatat kisah manis tersendiri.

“Setiap kali ke tanah suci, ramai wanita sana memegang niqab saya lalu bertanya di mana boleh membelinya? Saya katakan pada mereka, ia ‘home made’ dari Malaysia.

“Kebanyakan mereka terkejut kerana wanita dari negara kita atau Indonesia jarang mengenakannya berbanding mereka yang berasal dari benua Arab,” tutur Rozita yang mempunyai tidak kurang 30 helai niqab dalam simpanannya.

Biasanya, mereka tertarik kerana niqab yang dipakai Rozita tidak hanya hitam malah pelbagai warna untuk disesuaikan dengan tudung. Sesetengahnya dihiasi labuci kerana sebagai peminat fesyen Rozita berpendapat, niqab tidak semestinya perlu legam.

“Di Masjidil Haram dan Madinah, saya pernah bertemu wanita berniqab yang terdiri daripada golongan profesional menetap di London atau Cape Town. Kami berkongsi cerita tentang kelebihan memakai niqab.

“Mendengar cerita bagaimana mereka kadangkala terpaksa meninggalkan niqab kerana tuntutan keadaan, saya berasa cukup bertuah kerana mampu memakainya secara bebas di tanah air sendiri,” kata Rozita yang tidak menafikan, sesetengah orang masih mampu mengenalinya meskipun sebahagian besar wajah sudah dilindungi.


TUMPU PADA HERBA

Dalam pada itu, tumpuan Rozita terhadap perniagaan kosmetik yang terus berkembang kini diperturunkan kepada anak. Manakala dia, memilih untuk memberikan perhatian ekstra kepada ST Bio Herbs yang mengkhusus kepada produk-produk berasaskan herba.

“Bapa mentua merupakan bekas guru besar yang menjadikan perubatan moden cara terakhir bagi mengubati sakit. Minat pada cara perubatan lama bercambah apabila beliau berkongsi banyak informasi tentang herba, sesetengahnya saya sendiri tidak pernah dengar namanya.

“Melalui bapa mentua juga saya mengenali tanduk rusa, celaka merah, lemuni dan sebagainya. Kesemua tumbuhan herba ini saya tanam di rumah untuk mencuba sendiri khasiatnya,” bicara Rozita yang memang gemar berkebun.

Sebahagian tumbuhan yang sudah lama menghiasi laman rumahnya ialah orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong, kari, limau purut, mas cotek, dukung anak, temu kunci, temu giring, lampoyang dan kunyit hitam.

Antara penemuan herba yang menakjubkan bagi Rozita ialah khasiat lemuni bagi menguruskan badan wanita selepas bersalin. Selain itu, tumbuhan berdaun ungu ini boleh digunakan sebagai pelengkap ramuan nasi lemak dan nasi ulam.

Sementara celaka merah dan tanduk rusa, mampu mengubati sakit sendi dan tulang.


ELAK sunyi

Memandangkan pecahan masa terhadap perniagaan kian kecil, Rozita mengisi rutin hariannya dengan menikmati masa berkualiti bersama keluarga dan anak-anak; Nurhayati, Alif Syukri, Aiman Hazim, Nurazizah, Nurain Sufiyah dan si kecil, Maryam Nur Amani, yang baru berusia setahun tiga bulan.

“Bila usia kian beranjak, saya tidak mahu kehidupan menjadi sunyi. Ada sahaja perkara ingin saya lakukan. Sekarang saya gemar memandu agar cekap mencari jalan untuk ke mana-mana.

"Jadi mudahlah saya memenuhi impian menghadiri majlis agama di dua masjid berbeza setiap minggu. Mudah-mudahan, saya bukan sahaja mendapat ilmu yang pelbagai tetapi juga dapat bertemu lebih ramai kaum Muslimah untuk berkongsi buah fikiran baru,” akhiri Rozita yang turut menjadikan usrah di rumahnya pada setiap malam Ahad satu kelaziman.

9 comments:

  1. KakChik,
    Bila berniqab ini, diri akan lebih berwaspada dalam segala segi kehidupan.
    InsyaAllah, jiwa akan terdidik melakukan perkara kebaikkan, amin.

    ReplyDelete
  2. Assalam..semoga Allah kurniakan taufiq dan hidayah kepada sy yg serba serbi kekurangan.

    ReplyDelete
  3. Ain, alhamdulillah dan tahniah kerana Ain menemui 'kebebasan' yang sebenar selepas berniqab. Kata-kata Ain menggambarkannya.

    ReplyDelete
  4. Wkslm Syimama. Amin. Rajinlah berusaha ke arahnya kerana Allah akan membantu mereka yang gigih berusaha.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih mr IQ. Artikel cedok dr akhbar saja.

    ReplyDelete
  6. Wah!! tak sangka kak Rozita yg mana merupakan teman bisnes ummi saya akhirnya diberi hidayah untuk berpurdah juga seperti ummi saya... Alhamdulillah..

    Bussinesswoman mmg sgt perlu berniqab krn mereka sering ke mana2.. Lebih terjaga dan lebih cantik seseorang itu dgn berpurdah.. ^^ Allah yataqabbal..

    ReplyDelete
  7. Azam Husni,
    Iya, alhamdulillah atas perubahan beliau. Semoga boleh menggantikan wanita lain yang tidak menjaga aurat mereka sebagai idola dalam perniagaan.

    ReplyDelete
  8. saya sangat suka dengan semua cerita cerita ini.akhlaq, purdah, dan sosiality dan semuanya.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs