Followers

6.8.11

Perkongsian: Berpurdah untuk menjaga kehormatan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Alhamdulillah kita kini telahpun memasuki Ramadhan ke-6 dan kakchik rasa kita semua sudah pun membiasakan diri dengan berpuasa dari melakukan amal perbuatan yang boleh membatalkan puasa. Jangan lupa, ini PUASA WAJIB bukan puasa sunat, jadi kenalah kita lakukan sebaik-baiknya.

Hari ni kakchik nak kongsikan satu artikel dari blog aki2004. Sebagai seorang muslimah yang berpurdah, berkongsi cerita yang positif tentang purdah adalah satu perkara yang kakchik suka. Mana tahu, perkongsian ini akan turut membuka pintu hati di kalangan pembaca untuk sama-sama meningkatkan iman diri dan amalan. Kita semua manusia lemah, tapi peluang untuk menjadi manusia yang soleh/ah masih ada. InsyaAllah.

Baiklah, inilah artikelnya yang disusun oleh Siti Ainiza Kamsari.

Gambar sekadar hiasan.


PARA PENONTON yang mengikuti siaran langsung saluran Channel 4 yang popular di England, begitu terkejut dengan penampilan seorang wanita berpurdah di kaca televisyen pada sambutan Hari Krismas tahun lalu.

Ia berlaku sejurus Ratu Elizabeth II menyampaikan ucapan sempena Hari Krismas. Tidak berselang lama selepas itu, wanita yang hanya menampakkan sepasang mata ini, muncul.

Tujuannya untuk memberi wanita itu peluang menyampaikan pesanan melalui apa yang dipanggil sebagai Pesanan Alternatif Krismas. Iaitu pesanan yang cukup berbeza berbanding ucapan oleh baginda Ratu England.

Kemunculannya menyebabkan penonton terpaku. Masing-masing tertanya-tanya, wajah siapakah di sebalik purdah itu. Yang pasti wanita itu sudah tentu seorang Islam.
Daripada suaranya para penonton dapat mengenal pasti bahawa wanita tersebut adalah rakyat British atau dengan lain perkataan dia adalah wanita berkulit putih seperti sebahagian besar penonton itu yang sedang menonton program itu.

Ini kerana loghat Inggerisnya agak pekat dan asli sebagaimana warga England yang lain juga.

Penampilannya dalam program yang dihos oleh Jack Straw itu dikatakan sebagai peluang yang diberi oleh saluran televisyen itu bagi memperbetulkan banyak salah tanggapan mengenai Islam, terutamanya apabila wanita Islam memilih untuk berpurdah.

Lalu wanita yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Khadijah itu terus mengambil peluang itu dengan mengkritik mereka yang berpandangan salah mengenai purdah termasuk ada yang menyebutnya sebagai jilbab, burqa dan niqab.

“Purdah ini sebenarnya perisai bagi kaum wanita. Tidak sekadar soal identiti tetapi lebih kepada soal perlindungan daripada segala macam ancaman dan menghalang si pemakai itu mendekati perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri mereka sendiri,” ujar Khadijah.

Beliau menguatkan lagi hujahnya bersandarkan dalil al-Quran yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…. (an-Nur: 31)

Sehingga ke akhir rancangan, para penonton ditinggalkan dalam keadaan penuh tanda tanya, siapa gerangan di sebalik purdah itu.

Sehinggalah akhbar Daily Mail akhirnya berjaya menemui dan membuat pendedahan mengenai, siapa Khadijah.

Wanita yang patuh berpurdah itu adalah Elaine Atkinson, 43, iaitu seorang warga Britain sebelum menukarkannya kepada Khadijah Iqbal selepas memeluk Islam pada tahun 1996.

Beliau setuju muncul di kaca televisyen apabila pihak stesen menghormati permintaannya untuk muncul dengan identitinya yang berpurdah.

“Itu sudah cukup bagi membolehkan para penonton fokus pada kata-kata saya, bukannya keperibadian saya,” kata Khadijah.

Sejurus beliau berpurdah maka Khadijah mengaku ramai yang menuduhnya masuk ke dalam kelompok Islam radikal.

Namun beliau menafikan, kerana purdah tidak bermakna menjadi lambang sesuatu yang radikal. Beliau sendiri seorang yang berfikiran sederhana dalam serba serbi.

“Saya memilih berpurdah dengan penuh kesedaran. Ia semata-mata untuk melindungi diri kerana dengan wajah yang separa bertutup ini ia sebenarnya satu lambang kebebasan kepada seseorang wanita itu untuk mempertahankan haknya yang paling utama, soal keselamatan,” jelasnya.

Menurut Khadijah, Islam membuatkannya mempunyai panduan yang jelas untuk diikuti dan dipatuhi dalam hidup.

“Tidak sahaja dalam soal jaminan keselamatan dengan menutup aurat, bahkan dalam apa juga aspek.

“Selagi tidak memeluk Islam, seseorang itu tidak ubahnya seperti tikus atau hamster yang hanya tahu berputar-putar pada roda mainan yang diletakkan dalam sangkar mereka, tanpa arah tujuan,” katanya.


Semoga kita semua mendapat manfaat dari perkongsian ini.

10 comments:

  1. bagus sekali perkongsian yang ni kak chik.. bagus2.. kalaulah kt malaysia boleh buat mcm ni... ni kat malaysia.. masuk tv.. berpurdah tp menyanyi.. kecewa :(...

    ReplyDelete
  2. salam ziarah dan selamat berposa, kakchik. dah konvo ke blum :)

    nice info, kakchik.

    ReplyDelete
  3. Maha suci Allah,

    Di negara yang se begitu Islam lebih mendapat penghargaan.
    terimakasih atas perkongsian.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum kakchik..nice sharing..syukran kak...:D

    ReplyDelete
  5. Terima kasih syikin. Itulah, 'kalau' kat Malaysia boleh. Sayangnya kat Malaysia yang majoriti orang Islam inipun payah.

    Huhu, sape yang pakai purdah menyanyi kat tv tu?

    ReplyDelete
  6. Selamat datang sis intan. Selamat berpuasa kembali. Konvo apa sis intan? Kalau OUM, kakchik dah konvo bulan Mei tahun lepas.

    ReplyDelete
  7. Makbonda, kita menyesali situasi di negara kita. Negara kafir ada kebebasan untuk muslimah niqabi keluar tv, negara kita ni mungkin kena tunggu 5 - 10 tahun lagi kot.

    ReplyDelete
  8. Wa'alaikummussalam Ain. Afwan.

    ReplyDelete
  9. Chik, syukran atas perkongsian ini.

    Mohon share dalam blog K Nur ye... tapi tidak tahu bila lagi akan dipublish :) Faham-faham je..hehe

    Pasal Niqabi keluar TV tu, Rasanya Ummu Kittun dah pernah keluarkan? SAtu lagi, pernah tengok status FB Abu Saif, dia tengok niqabi ditemu bual dalam stesen swasta... niqabi tu bebas mengeluarkan pendapat mengenai banyak hal. K Nur komen, kalaulah siaran tu dimasukkan dalam Youtube.. teruja sebenarnya.

    Satu lagi, dari sudut dalil, sebenarnya menepati ayat yang maksudnya lebih kurang, "Jika kamu minta sesuatu dari mereka, mintalah dari sebalik tabir". Ada yang tafsir ayat ini untuk isteri Nabi s.a.w sahaja... Lucu betul cara mereka berfikir, jika isteri Nabi s.a.w di zaman terbaik Islam itupun perlukan pendekatan begitu untuk memelihara kesucian hati... lebih-lebih lagi kita di zaman umat sedang rosak teruk sekarang. Adakah iman kita lebih kuat dari iman isteri-isteri Rasulullah s.a.w sehingga kita tidak perlu beramal dengan ayat tersebut untuk memelihara iman dan taqwa kita?

    ReplyDelete
  10. Afwan K.Nur.

    Silakan. Chik pun share dari kawan lain juga.

    Mungkin Chik terlepas pandang sharing Ummu Kittun dan Abu Saif tu. Sekali tengok, media negara bukan Islam lagi terbuka dengan niqabi berbanding negara tertentu.

    Terima kasih atas penambahan ilmu.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs