Followers

15.8.11

Perkongsian: Hak Mempertahankan Islam dan Kebebasan Beragama


Bismillahirrahmanirrahim. 
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Minggu lepas seluruh negara seolah-olah kecoh apabila terjadinya satu peristiwa JAIS memeriksa sebuah gereja yang pada masa itu sedang menjalankan satu aktiviti keagamaan dan di sana ada 12 orang beragama Islam serta beberapa orang kanak-kanak. ISU AGAMA adalah satu isu yang sangat sensitif di negara ini. Hari ni kakchik membaca satu artikel yang bagus berkaitan isu ini. Rasanya elok dikongsikan di sini agar lebih ramai yang sama-sama dapat manfaat darinya. Silakan.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Apabila tercetusnya isu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap penganjuran program di Damansara Utama Methodist Church, tidak semena-mena media arus perdana bertindak memaparkan berita dengan tujuan untuk melonjakkan UMNO menjadi juara mempertahankan Islam, seolah-olah memang benarlah UMNO adalah sebuah parti gagah perkasa yang mempertahankan Islam. Namun rakyat boleh sebenarnya menilai siapakah yang sebenarnya memperjuangkan Islam, dengan menerokai kembali sifat dan sikap yang ditunjukkan terhadap agama Islam sejak puluhan tahun ini.
Perlu diketahui bahawa pertembungan agama untuk mencari penganut bukan perkara baru, kerana ianya berlaku sejak dari zaman Nabi Adam sehinggalah tamatnya ajal dunia ini. Umat Islam yang beriman bahawa mereka adalah penganut  agama para rasul yang berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W. wajib mempertahankan agama mereka dan menyebarkanya kepada seluruh manusia, namun dilarang melakukan paksaan terhadap sesiapa pun manusia, kerana Islam itu bukan sahaja ucapan secara lisan, ianya hendaklah disertakan dengan iman dan dinyatakan dengan amalan yang ikhlas. Memaksa orang menganut Islam hanya melahirkan penganut Islam munafik.
Rasulullah S.A.W. telah berada dalam masyarakat majmuk, sama ada di Makkah dalam kedaan yang lemah, atau dalam kedaan yang sangat kuat berkuasa di Madinah. Ketika Islam dalam kedaan berkuasa di Madinah,Rasulullah S.A.W. mengizinkan penganut agama lain wujud dalam masyarakat Islam secara aman  dengan menjadi rakyat yang wajib dilayan secara adil tanpa paksaan dalam agama  menerusi perjanjian bertulis yang dimeteraikan.
Dalam masa yang sama Islam mewajibkan  penganutnya  mempertahankan Islam, yang menjadi hak kepada penganut Islam sendiri dan kerajaannya. Zalim terhadap penganut agama lain juga adalah haram, sehingga Rasulullah S.AW memberi amaran neraka kepada orang Islam yeng mengkhianati perjanjian yang sebenarnya adil.
Al Quran meletakkan garis panduan dalam surah Al Haj, ayat 40 :
Maksudnya :“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara dan gereja-gereja penganut kristian, rumah-rumah ibadat orang yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
Rasulullah S.A.W  telah menafsirkan perintah Allah secara amalan, apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang, maka sudah tentulah ketika damai keadaan ini lebih wajib dipelihara.
Bagi penganut agama lain yang wujud bersama dan berada dalam masyarakat Islam yang lebih ramai sekalipun,  maka hak beragama, berkeluarga, bekerja dan bermasyarakat bagi mereka adalah wajib ditunai dan haram dicabuli oleh mana-mana pihak. Dalam masa yang sama, banyak ayat-ayat Al Quran memaparkan berlakunya perbahasan secara hujah di antara Islam dan pihak lain dalam masyarakat Islam dengan mengutamakan kebijaksanaan.
Sejarah Islam juga memaparkan kewujudan orang Islam dalam masyarakat bukan Islam yang berkuasa dan adil tanpa paksaan terhadap penganut Islam. Rasulullah S.A.W. mengarahkan para sahabatnya berhijrah ke Habasyah, iaitu sebuah negara kristian ortodok yang adil di zamanya untuk mendapat perlindungan dan berlakunya dailog di antara Islam dan Kristian dengan hujah. Sejarah Islam di China menyebut kewujudan masyarakat Islam di negara China yang besar dan adanya orang Islam yang menyumbang khidmat negara dengan cemerlang kepada negara China dan adanya hubungan diplomatik diantara China dan Islam dengan baik.
Amir Al Mukmin Umar bin Al Khattab dijemput oleh paderi besar Palestin yang menyambut kemenangan Islam menjatuhkan Rom Timur yang sebelumnya dikuasai oleh penganut Kristian yang berlaku zalim terhadap mereka. Khalifah Umar datang menerima jemputan dan melawat Gereja Baitul Laham. Apabila tiba waktu sembahyang,  Umar bertanya :”Di mana tempat saya bersembahyang?”. Paderi besar menjawab :”Di sini sahaja (dalam gereja)”. Umar menjawab :” Tidak patut bagi Umar bersembahyang di sini, nanti generasi akan datang berkata : ”Umar pernah bersembahyang di sini lalu mereka mendirikan masjid di sini (dengan merobohkan gereja)”. Maka Umar pun keluar dan bersembahyang di halaman, dan bersempena dengannya didirikan masjid yang masih ada sehingga hari ini berhampiran dengan gereja yang masih ada. Apa yang paling menarik di zaman terkini, pihak gereja itu pula melindungi mujahidin Palestin yang dikepung oleh tentera zionis Israel.
Semua cerita benar tersebut berlaku dalam  kedaan Islam diamalkan dengan sempurna, yang berbeza dengan Islam yang diamalkan oleh UMNO pada ketika lalu dan kini. Islam warisan penjajah Inggeris  yang dizamannya Islam telah dirampas kuasanya daripada raja-raja Melayu dengan memenjarakannya dalam kepompong Jabatan Agama dan Majlis Agama yang tidak berkuasa mengikut Islam yang sempurna. Manakala kedudukan jabatan agama adalah mengikut bidang kuasa seperti jabatan-jabatan lain, seperti jabatan pendidikan, tanah, kebajikan , termasuk jabatan haiwan dan perhutanan. Kuasa jabatan agama itu sekadar mengawal masjid, mengawasi khutbah dan pengajian agama, mengendalikan urusan keluarga Islam, pusaka dan harta wakaf. Islam menjadi agama yang diperintah dan ditadbir, bukannya agama yang memerintah dan mentadbir. Hasilnya masjid boleh digeledah, tidak ada perbezaan dengan gereja dan imam boleh diambil tindakan bukan kerana kesalahan agama, tetapi kerana kononnya kesalahan politik. Politik pula dipisahkan daripada  agama, seperti juga pemisahan agama dengan politik dalam lain-lain agama selain dari Islam.
UMNO tidak layak mempertahankan Islam kerana tidak berwajah Khalifah Umar yang melawat gereja dan bersembahyang apabila tiba waktunya, kerana Umar mendirikan sembahyang maka dengan sendiri mendirikan masjid, sedang UMNO mendirikan masjid tetapi tidak semestinya mendirikan sembahyang,  boleh berhimpun  untuk membincangkan agenda negara dengan meninggalkan sembahyang, sedangkan Saidina Umar tidak memisahkan sembahyang dengan urusan negara.
Kesimpulannya kenyataan media milik UMNO dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali K.W. “Ucapan yang zahirnya benar , tetapi matlamatnya kebatilan“. Ianya dengan bermatlamat untuk memancing undi melayu Islam yang buta al Quran, bagi pilihanraya umum ke-13 untuk meneruskan agenda warisan penjajah iaitu Islam yang terpimpin bukannya Islam yang memimpin.
Marilah kita buka Al Quran dan ajaran Rasulullah SAW dan para sahabat dan ulama muktabar yang menunjukkan cara beramal dengan Islam yang sebenarnya. Bukan melalui media dan pengampu di sepanjang jalan.

TGAHA, Isnin 8 Ramadhan 1432 bersamaan 8 Ogos 2011

2 comments:

  1. salam kak chik :) ..

    Alhamdulillah .. cuma nya kak chik.. org2 yang "memekak" pasal ni ... orang2 yg tak pernah tau sirah.. tak pernah buka AQ kot.. berpaksi kepada diri sendiri.. politik dan rasa ego ketuanan mereka..


    Tapi dari sudut lain... menjadi nya murtad ini , kerana asas sendiri tidak kukuh.. gi mana mau kukuh jika 24 hours hiburan , itu belum dengan kenkangan terhadap program2 agama ... :) ..

    Syikin pernah pergi ceramah yang di buat oleh 2 orang chinnese muslim dan seorang indian muslim .. salah seorang dari mereka bekas org kuat kristian lagitu , mereka bergerak ke serata tempat untuk menyampaikan ttg perkara ini .. bukan org melayu saja apa bangsa sekali pun , akan menyukai gereja dan mudah tertarik kerana layanan pihak gereja terhadap mereka.. pihak gereja tidak akan memaksa mereka untuk convert,tp mereka di suapkan saban minggu hingga mereka terpsesong.,


    Sedangkan isu nya dengan masjid .. walau dah 18 thaun convert sebagai islam , dan hanya di Malaysia beliau mengalami kesukaran untuk ke masjid , kerana sikap prejudis org melayu sendiri.. sedangkan di luar negara ( semasa beliau study ) tiada masalah apa bangsa sekalipun hendak ke masjid.. sama ada non muslim sekali pun, mereka galakkan mereka untuk ke masjid ..

    tetapi di Malaysia keadaan sebalik nya, masjid hanya untuk org melayu :) .. dan syikin akui.. mmg benar ,begitu sukar bangsa lain untuk memasuki masjid kan... sedangkan mereka dah 18 tahun memeluk islam.. masih di halau dari masjid kerana sikap prejudis org kita ..

    Malu .. sungguh malu dengan mereka, mereka berusaha membantu para mualaf , dan orang islam sendiri yg memerlukan pertolongan , membantu mengekang isu murtad,menyedarkan kita bahawa betapa indah nya islam,bagaimana kita boleh terjerat dengan budi baik semua.... sedangkan kita yang islam bertahun2 .. hanya mampu begini saja..


    Personally bg syikin... golongan tidak mampu, fakir dah terlalu bnyk.. jika org nak menolong .. mereka akan terima.. alhamdulillah ada yg teguh dengan islam ..a da yg sebalik nya.. persoalannya .. ke manakah wang zakat ?? hingga org islam menghulur tangan pada org2 bukan islam :)..

    bagaimanakah iman org islam di malaysia selemah itu depan harta jika tidak di pawsak dengan betul , yang kaya terus kaya.. yang miskin terus miskin...




    **** personally syikin nak ucap thanx kepada PAS kepala batas , penang .. kerana telah bantu tukar atap rumah sebuah keluarga yang susah di sana. bertahun2 meminta bantuan ... dan hanya tinggal selang beberapa rumah dari rumah YB yang besar dan cantik itu .. bertahun2 meminta bantuan .. atap bocor merata2.. lantai pecah ... alhamdulillah.. PAS telah menukar atap rumah tersebut , congrats PAS :) ... semoga Allah memberkarti usaha kalian :) .. ( atap rumah tu dah kaler hijau skrg hehehe )

    ReplyDelete
  2. Wkslm syikin,

    kakchik setuju dengan semua yang stikin luahkan dalam komen ni. kalau tak silap ada satu hadis yang kata, kemiskinan itu boleh mendekatkan seseorang itu kepada keimanan atau kekufuran. jika fakir tapi iman kuat, bantuan dari siapa pun yang datang, hatinya tetap utuh dgn Islam. tapi bila fakir, hidup pula tanpa panduan maka mudahlah kekufuran masuk ke dalam hati. nau'zubillah.

    kakchik pun hairan ke mana wang zakat yang berjuta-juta dikutip setiap tahun? tak kan simpan saja kot dan bagi sikit-sikit ketika ada liputan media je? biarlah Allah mengadili orang-orang yang bert/jwb menguruskan wang zakat tu. kalaulah bisnes kakchik maju, pastinya kakchik nak keluarkan zakat. mohon Allah sentiasa ingatkan t/jwb ini.

    Memang betul syikin, sikap orang Melayu-Islam di Malaysia ini sangatlah teruk dalam bab ini. Dan sikap seolah-olah masjid itu hak Melayu saja ni patut dibuang jauh-jauh. TGNA selalu tekankan, jangan pentingkan bangsa tapi pentingkan agama. Antara sebab Masjid Beijing dibangunkan di Rantau Panjang yang ramai bangsa Cina dan Siam ialah sebagai galakan dan pemberitahuan bahawa masjid dan Islam adalah juga untuk kaum lain beragama Islam. Bukan Islam pun boleh datang untuk melihat. Mana tahu dengan menziarahi masjid mereka mendapat hidayah.

    Marilah kita sama-sama berusaha untuk memberitahu masyarakat tentang kebaikan cara hidup Islam ya syikin. Kita kena ubah persepsi orang Melayu tentang hakmilik Islam ini.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs