Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan buat semua.
Duhai suami,
Apabila suami mengijabkabulkan pernikahan, sudah terbeban pada bahunya suatu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan sehingga akhir hayat. Dalam Islam perkara itu dianggap sebagai hak isteri.
Perlu dijelaskan di sini, apabila dikatakan hak isteri, isteri ada hak menuntut apabila tidak diberi oleh suami. Isteri juga ada hak melarang jika suami melanggarnya. Semua ini terpakai selagi isteri itu tidak melakukan nusyuz.
Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud: “Apakah hak isteri yang wajib dijaga oleh suami? Baginda bersabda: Memberi nafkah kepada isteri; belanja dapur, pakaian dan rumah, jangan memukul muka isteri tetapi mendidik isteri dengan baik, dan tidak menghina isteri dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah.”
Terdapat tiga hak isteri yang wajib dijaga oleh suami, namun kebanyakan suami cuai dalam hal ini. Kesan daripada kecuaian itulah, berlakunya ketidak sempurnaan rumah tangga yang dibina itu.
Perhatikan tiga perkara itu dengan baik:
1. Memberi nafkah kepada isteri; belanja dapur, pakaian dan rumah. Sama ada isteri itu kaya atau tidak, suami wajib memberi nafkah kepadanya kecuali isteri dengan rela hati tidak mahu menyusahkan suaminya.
Nafkah yang perlu diberi ialah soal makan dan minum seharian. Tuntutan lain daripada makan dan minum bukanlah nafkah yang wajib ditunaikan, namun kalau suami boleh memberinya itulah pahala besar yang bakal diterimanya kelak.
Nafkah yang kedua ialah pakaian. Pakaian bukan keperluan setiap hari. Tetapi kalau dia perlu maka wajib dipertimbangkan dengan segera. Tuntutan selain dari kategori pakaian tidak wajib ditunaikan.
Nafkah yang ketiga ialah menyediakan tempat tinggal. Suami wajib menyediakan rumah untuk penginapan sama ada rumah sendiri atau dengan menyewa. Tuntutan lain daripada rumah tidak wajib ditunaikan kerana ia tidak termasuk dalam kategori nafkah.
2. Jangan memukul muka isteri tetapi mendidik isteri dengan baik. Suami dilarang memukul isteri atas niat mendera. Maka memukul isteri pada bahagian muka termasuk dalam kategori mendera. Hal ini kerana muka terlalu sensitif kulitnya, mudah lebam dan tercalar.
Tetapi memukul bahagian lain dibenarkan dengan syarat tidak atas tujuan mendera. Islam membenarkan suami memukul isteri dengan niat mendidik. Mungkin dengan pukulan itu dia sedar akan kesalahannya lalu bertaubat.
3. Tidak menghina isteri dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah. Hak ketiga ini jarang disedari oleh suami mahupun isteri. Maka setiap detik perbualan mereka terungkap kata-kata menghina. Akhirnya mereka bergaduh hingga membawa kepada perceraian.
Suka disebut di sini, suami tidak boleh menghina isteri ketika mereka berduaan, apatah lagi kalau di hadapan orang lain termasuk anak-anaknya sendiri. Jadi, janganlah kerana tidak pandai masak, isteri dihina, janganlah kerana isteri tidak pandai dalam sesuatu urusan, dihina isteri.
Seterusnya yang paling penting ialah tidak meninggalkan isteri bersendirian kecuali di dalam rumah. Maknanya kalau pasangan itu keluar ke bandar, lalu dia tinggalkan isterinya di situ dalam keadaan marah. Sedangkan dia balik atau ke mana-mana destinasi. Perbuatan itu adalah salah di sisi Islam.
Islam menyediakan peraturan itu adalah untuk menjaga keselamatan isteri zahir dan batin. Percayalah jika semua suami dapat lakukan yang terbaik seperti di atas, pasti tidak berlaku pergaduhan dan penceraian.
Artikel di atas kakchik salin dari blog Ust. Ahmad Baei Jaafar.
Kakchik: Sejak kebelakangan ini kakchik menerima beberapa perkongsian dari beberapa orang teman yang sedang melalui masalah rumahtangga. Kakchik pun amat sedikit ilmunya untuk membantu jadi kakchik cubalah dengan kemampuan yang ada, mencari dan meminjam ilmu orang lain. Semoga ianya dapat membantu.
Assalamualiakum kak chik,
ReplyDeleteNak minta izin untuk share dalam blog boleh? Terima kasih :)
Wa'alaikummussalam Nanie. Silakan.
ReplyDeleteAssalamualaikum Kak Chik,
ReplyDeleteSaya pohon izin untuk kongsi dan sebar dalam blog saya boleh?
Wa'alaikummussalam sofea fayyadh. Silakan.
ReplyDeletemohon izin share ye
ReplyDelete