Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih mengizinkan kita hidup lagi di hari ini. Semoga kehidupan yang Allah berikan ini akan berjaya kita manfaatkan sebaik-baiknya untuk beramal makruf nahi mungkar. Syukur juga kerana Allah menetapkan hati kita di atas nikmat hidup yang paling utama iaitu nikmat menjadi seorang Islam yang beriman kepada-Nya dan 5 rukun iman yang lain. Harapan kakchik agar Allah tetapkan hati-hati kita sepanjang saat di atas keimanan ini.
Belajar melihat kematian sebagai sesuatu yang dinanti-nanti. |
Sebelum kakchik sambung lebih panjang tulisan kakchik di pagi ini, ada sedikit sedutan menarik dari buku yang sedang kakchik baca iaitu, INDAHNYA KEMATIAN. Sedutan ini mengenai MEMBUAT PILIHAN.
“Perjalanan hidup sentiasa mengetengahkan pilihan-pilihan. Sebagai manusia berakal dan beragama, kita dituntut memilih sebaiknya. Kematian sepatutnya mengingatkan kita pentingnya memilih dengan betul. Kemampuan memilih dengan baik membentuk peribadi yang sentiasa berfikir panjang. Dalam hal ini, agama menjadi jambatan untuk kita memahami hakikat kehidupan dan kematian.” [Bisri M.Djaelani, Indahnya Kematian]
Itulah hidup kita setiap hari, hidup dengan membuat pilihan. Nak bangun awal atau nak bangun lewat, terserah kepada pilihan kita. Jika bangun awal, kita dapat bersihkan diri lebih awal, badan lebih cepat cergas, solat Subuh juga insyaAllah tidak terlepas. Jika bangun lewat, bersiap pun lambat, diri jadi malas dan kemungkinan besar solat Subuh akan terbabas.
Bila nak bersiap untuk meninggalkan rumah sudah pasti kita memilih pakaian untuk disarungkan ke badan kita. Pakaian menjadi keperluan yang wajib demi untuk menjaga maruah diri kita. Kita diberi pilihan untuk memilih bentuk pakaian yang kita mahu sarungkan malah ianya bermula semasa membeli di kedai lagi. Pilihan terletak di tangan kita untuk beli atau pilih pakaian untuk diri kita.
Pakaian di dalam almari, kita yang tentukan bagaimana ia melindungi diri kita. |
Sebagai orang yang cerdik dan bijak (jika tak cerdik dan bijak masakan dapat menggunakan internet, berblog dan sebagainya kan?) sudah tentu kita biasa membaca, melihat , mendengar, menonton dan sebagainya tentang isu PAKAIAN ISLAM YANG MENUTUP AURAT. Biasa kan? Kalau tak biasa, kena tambah ilmu lagi biar lebih cerdik dan bijak. Kita yang tentukan nak tutup aurat atau nak tutup sikit-sikit atau nak buka aurat. Kalau terasa nak pahala, tutuplah dengan sempurna. Kalau terasa pahala itu tak penting, takde makna, ikut suka hatilah nak buka aurat pun.
Tapi esok-esok di Padang Mahsyar, jangan pula tuduh orang lain tak nasihatkan atau tak tegur ya, salahkan diri sendiri yang suka bertanggung-tangguh dari berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Tolong jangan nak cari kakchik atau orang lain yang sering menegur dan menasihatkan, tanggungjawab kami insyaAllah sudah selesai di atas dunia, maka di Mahsyar nanti jangan cuba nak cari kami. Kami pun sibuk nak cari Nabi Muhammad SAW.
Contoh lagi, berkawan di laman sosial. Sekali lagi pilihan di tangan kita. Dah tahu hukum muamalat dalam Islam kan? Kalau tak tahu, biar kakchik beritahu. Antara lelaki dengan perempuan bukan mahram yakni yang sah berkahwin, tidak boleh mudah-mudah untuk berhubungan kecuali atas urusan rasmi atau darurat. Itu bahasa kakchik, tapi bahasa orang agama begini:
Hukum Liqa (pertemuan) antara lelaki dan wanita)
Hukum asal: harus
Ia adalah dituntut jika untuk tujuan menuntut ilmu, menjayakan dakwah dan tarbiyah, jihad, atau apa saja yang memerlukan penggembilan penggembelingan tenaga antara wanita dan lelaki.
Liqa' itu memenuhi adab-adab Islam seperti mana yang digariskan oleh syara'
• menjaga pandangan (lihat Nur: 30-31)
• memakai pakaian yang menutup aurat(Nur:31)
• Adab bercakap: jauhi nada menggoda (ahzab:32)
• adab berjalan, tertib dan sopan (Nur:31)
• adab bila melakukan gerakan; jauhi gerakan yang seksi, manja dan ghairah..
• jauhi daripada mengguna sebarang unsur yang menggoda: make-up dan wangian yang bermotifkan untuk menggoda.
• jauhi bersunyi-sunyian tanpa ada muhrim
• Liqa' dalam perkara yang benar-benar perlu...
Sumber: http://perjuangan4ever.blogspot.com/2011/04/permasalahan-fiqh-bab-muamalat-4.html
Menjaga pandangan – elakkan menerima permintaan untuk berkawan dari lelaki-lelaki asing yang tidak dikenali. Di laman sosial seperti facebook, manusia menjadi berani melakukan sesuatu yang tidak berani dibuat secara terbuka di alam nyata seperti berkawan dengan ramai bukan mahram. Yang lelaki suka nak berkawan dengan yang perempuan begitulah juga sebaliknya. Kalau di alam nyata pasti tidak seberani dan semesra itu. Untuk menjaga pandangan, sila kawal keinginan untuk bergaul mesra.
Memakai pakaian menutup aurat – jika di alam nyata telah ok berpakaian menutup aurat maka gambar-gambar di laman sosial juga mestilah menutup aurat. Jangan fikir ianya gambar, tidak bernyawa maka tidak berkait dengan sebarang hukum, anda silap. Gambar adalah cerminan fizikal diri kita yang sepatutnya dijaga dari mata-mata bukan mahram. Ini tidak, sekejap pakai tudung, sekejap buka. Hipokritkah anda? Lepas tu pastikan gambar-gambar itu dalam keadaan beradab. Tiada unsur gerakan atau lengguk badan yang menggoda, gedik, seksi, manja dan seumpamanya.
Selebihnya fikirkan sendiri.
Pilihan di tangan kita. Kalau kita nak cari kebaikan, kita akan pilih untuk mencarinya sampai kita berjaya mendapatkan kebaikan yang kita mahu. Misalnya kita nak ubah penampilan kita dari pakai baju ketat tapi bertudung kepada pakaia baju longgar dan bertudung lebih labuh. Kita yang tentukan bila kita nak ubah. Satu sikap yang perlu ditolak ke tepi ialah BERTANGGUH. Amalan baik yang sohih, semua orang kata ianya baik, janganlah kita tangguh-tangguhkan untuk melakukannya. Jika tangguh dan tangguh, maka lambatlah nak menjadi atau mungkin terus tak menjadi.
Kakchik selalu juga dapat ayat yang begini, "Seronok saya tengok kakchik, tutup aurat dengan baik. Saya ni bilalah lagi. Entahlah. Iman tak cukup kuat. Seru belum sampai kot." Ayat ni kakchik dah editlah sikit ya sebab nak gabungkan beberapa ayat dari orang yang berlainan. Pertamanya, kakchik masih dalam perjalanan juga dan walau mungkin penampilan kakchik kelihatan baik di mata kalian hakikatnya kelemahan kakchik masih terlalu banyak terutama dari sudut ilmu dan amal ibadah. Terlalu kurang. Tapi bila nak buat perubahan pakaian, kakchik tolak ke tepi pandangan orang dan hanya fikirkan pandangan Allah.
Kalau difikirkan pandangan orang, banyaklah yang Islam suka, orang tak suka. Sebab orang ni adalah makhluk yang ada nafsu yang sukakan keseronokan. Umur makin hari makin meningkat, itupun kalau Allah tidka tiba-tiba cabut nyawa kita. Kalau tidak tak sempat nak mengecapi 63 tahun (umur Nabi Muhammad SAW) kita mungkin sudah dikuburkan sedangkan kita tak sempat menyesal, tak sempat nak ubah diri kita, tak sempat nak jadi hamba Allah yang lebih soleh/solehah, tak sempat nak jadi pejuang agama Allah, tak sempat nak jadi anak yang soleh, dan banyak lagi yang kita tak sempat yang mana semuanya menjadi bekalan di akhirat.
Kembali kepada kuasa memilih. Pilihan di tangan kita. Hidup untuk menjadi penggerak atau sekadar pemerhati, silakan. Pilihan masing-masing. Jika kita penggerak agama, insyaAllah mengikut pengetahuan kakchik, dengan keikhlasan, penggerak agama lebih disayangi Allah dan Nabi. Kalau kita sekadar pemerhati, sekadar menunggu dan lihat, sekadar mengatakan, "mana-mana pun sama saja", sekadar ikut saja... Allahua'lam, bagi kakchik hidup begitu tidak 'interesting' tapi PILIHAN DI TANGAN MASING-MASING. Terserah, semoga pilihan kita menepati kehendak Allah SWT.
Allahua'lam.
salam alaik kak chik... tenang membacanya.. teirm akasih
ReplyDeletewkslm kella. sama-sama. semoga ada manfaatnya.
ReplyDeleteAssalamualaikum kakchik..sedang mencari ketenangan dengan membaca nurkilan di sini.
ReplyDeleteSeperti kata kakchik, dari segi ilmu dan ibadah ain juga ada kekurangan.
Moga kita istiqamah dan berusaha berubah ke arah kebaikkan..dan bukannya menunggu 'seru'..;)