Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah dapat juga menuliskan sesuatu di kanvas blog ni walaupun dalam keadaan capaian internet yang sangat bermasalah sekarang ini. Ibarat iklan biskut chipsmore pula, sekejap boleh online sekejap putus. Begitulah hakikatnya kelemahan alat ciptaan manusia. Pasti akan ada cacat-celanya.
Tidak mengapalah, asalkan kakchik masih berpeluang menulis seperti biasa. Menulis sesuatu untuk peringatan diri bagi memastikan apa yang kakchik perkatakan selama ini adalah selari dengan apa yang kakchik lakukan. Kalau tak menulis terasa ada sedikit kepincangan pula pada diri-sendiri. Bila dapat menulis, semangat Islam kembali subur dan kakchik lebih berhati-hati dalam amalan pada hari tersebut.
Baiklah. Cerita pasal menyelaraskan perbuatan dengan kata-kata ni, kakchik selalu saja teringat Surah As-Saff ayat 2 yang terkenal dalam dunia gerakan Islam iaitu,
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!" [Surah As-Saff: 2]
Ayat ini mengikut Muqaddimah Surah As-Saff dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Mushaf Malaysia Rasm Uthmani, ialah teguran Allah Ta'ala ke atas sebahagian orang Islam yang memperkatakan sesuatu sedang mereka tidak melakukannya. Oleh kerana ini bukan bidang kakchik jadi kakchik nak salin terus dari Muqaddimah tersebut.
"Teguran ini pada mulanya ditujukan kepada setengah pemuda-pemuda Islam dalam zaman Nabi yang pernah menyatakan: Kalaulah mereka mengetahui apakah sesuatu amalan yang disukai oleh Allah Ta'ala nescaya mereka akan kerjakan. Tetapi apabila mereka diberitahu bahawa amalan itu ialah berjuang untuk menegakkan Islam, maka ada di antaranya yang tidak mengotakan apa yang mereka telah katakan.
Kemudian Allah Ta'ala menerangkan, bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang (kafir musyrik enyembah berhala, kaum Yahudi dan kaum Nasrani) yang telah diajak oleh Nabi Muhammad SAW supaya memeluk Islam tetapi mereka tetap mengingkarinya: "Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)".
Pada bahagian akhir surah ini, Allah Ta'ala menunjukkan kepada orang-orang yang beriman 'sejenis perniagaan" yang tidak akan mengalami kerugian selama-lamanya, bahkan akan menyelamatkan mereka dan memberi sepenuh-penuh kebahagiaan: iaitu hendaklah mereka tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berjuang dalam membela dan menegakkan Islam dengan harta benda dan jiwa mereka sendiri."
Selepas Allah tegur dalm ayat ke-2, Allah kemudian memberi kita peringatan di dalam ayat yang ke-3,
"Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." [Surah As-Saff: 3]
Bimbang, kakchik bimbang ada banyak yang lidah kakchik sebut, tangan kakchik tulis tentang Islam, cara hidup Islam, akhlak orang Islam, muamalah cara Islam dan sebagainya TAPI kakchik sendiri tidak buat pun dengan sebaik-baiknya apa yang telah kakchik kata itu. Nau'zubillah.
Ada orang kata, 'kalau macam tu baiklah berdiam diri saja, pasti tidak akan dibenci Allah kerana kita tak kata dan kita tak buat.". Masalahnya bila kita Islam, mengaku sebagai hamba Allah, kita pula diberi amanah menyampaikan seruan Islam kepada masyarakat, pastinya mulut kita akan berkata-kata, tangan kita akan menulis.
Segalanya berkait. Iya, diam itu lebih baik dari berkata-kata dalam keadaan tertentu. Misalnya jika kata-kata kita boleh memburukkan lagi keadaan, maka lebih baik kita diam. Tapi jika kata-kata kita mungkin boleh mengubah keadaan menjadi lebih baik maka, perlulak kita perkatakan.
Jadi, teman-teman semua, marilah kita saling ingat-mengingati dan nasihat-menasihati agar kita dapat menyelaraskan perbuatan yakni akhlak kita dengan kata-kata kita. Sama ada kata-kata melalui percakapan kita, penulisan kita mahupun pandangan mata kita. Biarlah semuanya selaras dengan kehendak Allah dan kita tidak dicop sebagai hipokrit.
Na'uzubillah.
No comments:
Post a Comment
Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.