Followers

31.3.11

Pakai Purdah, Letak Gambar di Laman Sosial

Mohon perlindungan Allah dari Syaitan yang direjam. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Apa khabar? Kakchik doakan kalian semua sentiasa dalam keadaan selamat, sihat dan bahagia dalam menjalani kehidupan seharian. Semoga kita semua tidak lupa mengucapkan syukur dan menterjemahkan syukur kita kepada Allah SWT dengan hidup sebaik mungkin sebagai hamba-Nya yang taat setia kepada segala suruhannya. Insyaallah.

Banyak sungguh kerja dan urusan yang perlu kakchik beri tumpuan hinggakan masa agak kurang untuk berlama-lama di blog sendiri apatah lagi untuk menjenguk blog kawan-kawan dan para tetamu yang singgah dan meninggalkan jejak. Harap kalian sudi maafkan kakchik terutama kepada teman-teman yang meninggalkan komen tetapi masih belum menerima sebarang balasan dari kakchik. Buat masa ini kakchik akan cuba balas mana yang sempat dulu. Jika tak sempat, kakchik akan cuba secepat mungkin untuk ‘publish’ komen-komen yang ditinggalkan. Terima kasih banyak-banyak ya.

Minggu lepas semasa kakchik online sekejap-sekejap di facebook dan ambil peluang untuk menjenguk apa yang menarik di ‘wall’ beberapa orang teman. Ada satu status yang menarik minat kakchik untuk turut sama memberikan pandangan tapi oleh kerana masa kakchik membaca status perbincangan tu kakchik sudah mahu meninggalkan pejabat untuk ke satu mesyuarat maka kakchik hanya mampu membaca beberapa komen orang lain kemudian meninggalkan satu respon pendek. Terasa amat terpanggil untuk menyertai topik perbincangan yang hangat tu. Apatah lagi orang sedang membincangkan tentang muslimah berpurdah yang meletakkan gambar di facebook (mungkin termasuk juga di laman sosial yang lain).

Di bawah ialah status sahabat kakchik yang dimaksudkan:
Sahabat yg ada maklumat esp yg berpurdah, tolong bantu saya. Ada seseorg bertnya:knp muslimah berpurdah tp masih memaparkn gambar2 di fb? Saya jawab, mgkn sbg mkluman bahawa dirinya seorang niqabi. Lantas saya ditanya lagi :Mengapa mesti banyak, skping dua bukankah sudah mencukupi?

Bersama Ummi dan sahabat baik di Kuliah Jumaat oleh TGNA.

Oleh kerana respon kakchik rasanya agak panjang maka kakchik fikir lebih baik kakchik tulis satu entri khusus bagi pihak diri-sendiri. Allahu’alam sama ada pandangan kakchik ini boleh dianggap mewakili para niqabi di dunia maya ini atau tidak, terserahlah kepada pandangan masing-masing. Setiap dari kita berada di alam maya ini untuk tujuan tertentu yang secara jujurnya hanya diketahui antara diri masing-masing dan Allah SWT. Orang sekeliling boleh menafsir berdasarkan apa yang dibaca dan dilihat tapi tak mungkin boleh membuat tafsiran yang tepat. Moga-moga kita bersangka-baik apabila membuat tanggapan.

Sudah lama juga isu meletak gambar di alam maya ni menjadi buah mulut orang. Hampir kebanyakan tulisan yang ada adalah dalam bentuk peringatan, larangan, kritikan, kecaman, marah dan seumpamanya. Secara dasarnya kakchik setuju dengan apa yang ditulis jika bertujuan menasihatkan dan memberi ingatan demi menjaga maruah dan maslahah diri muslimat. Tapi kakchik tidak setuju jika ia seolah-olah membuka peluang untuk mengata-ngata. Persoalan yang sedang kita hadapi sekarang ini, salahkah meletakkan gambar kita di internet ni?

TUJUAN

Mula-mula kena tahu dulu PERINTAH MENUTUP AURAT yang diturunkan Allah SWT misalnya seperti  Surah al-Ahzab ayat 59 (tolong cari sendiri ya). Lepas tu barulah kita tetapkan apa tujuannya. Macam kakchik, tujuan asal tiada lain kecuali untuk berkongsi cara hidup sebagai seorang muslimah (kebetulan pula kakchik berpurdah) yang sedang berusaha menjadi hamba Allah yang taat. Sebab itu dengan izin suami, kakchik meletakkan gambar-gambar bersesuaian sama ada sendirian, bersama suami, bersama keluarga, bersama kawan atau semasa ada program/aktiviti bersama masyarakat. Mungkin boleh kata sebagai biah solehah kepada orang lain yang sedang membuat perubahan hidup. Mahu juga menjadi inspirasi kepada para muslimah yang ingin membina keyakinan diri untuk hidup, bekerja, bersekolah dan seumpamanya di dalam masyarakat yang berbilang kaum ni. Kakchik tahu diri kakchik banyak yang tidak sempurna tapi tetap juga mahu menjadikan cara hidup dan penampilan kakchik motivasi dan inspirasi kepada orang lain kerana diri kakchik ini adalah medan dakwah.

Dulu-dulu mungkin meletakkan gambar di blog tidak begitu menjadi perhatian kerana hanya pembaca tertentu sahaja yang melihat kita tapi sejak ada FB ni banyak juga kakchik menyimpan gambar di sana. Insyaallah bila kita tahu batas-batasnya maka dengan segera kita memilih gambar-gambar yang sopan untuk diizinkan menjadi tatapan teman-teman. Manakala gambar-gambar yang terlalu peribadi, nampak aurat, dalam aksi yang tidak Islamik, terlalu fokus kepada susuk wajah atau badan langsung tidak di'upload' apatah lagi mahu dikongsikan dengan orang lain.

Sekarang ni ramai yang suka bergambar dengan memfokus kepada mata dan mulut – tafsiran pertama yang kakchik baca apabila melihat gambar-gambar itu ialah, “nak orang puji ke?”, “nak tarik perhatian siapa ni?”, “kenapalah dekat sangat difokusnya?” dan seumpamanya. Jika yang bergambar itu seorang niqabi mungkin lagi banyak persoalan berbau negatif yang timbul.

Gambar-gambar sebegitulah yang telah menjadi sumber masalah kepada para muslimah berpurdah yang lain. Alhamdulillah masalah ini masih terhindar dari diri kakchik. Belum pernah ada yang menegur, mungkin malu atau takut nak tegur, Allahua’lam kakchik tak tahu. Janganlah pendam saja jika rasa apa yang kakchik buat itu tidak betul, kena tegur. Elakkan wujud buruk sangka dalam hati. Jika kalian rasa gambar-gambar yang kakchik letak ini menjatuhkan maruah, memalukan muslimah yang lain, mengganggu keselamatan kakchik dan orang lain, berdosa, haram atau seumpamanya tolong beritahu kakchik secara personal ya. Boleh email atau PM jika di FB.

SIAPA YANG KITA IZINKAN MELIHATNYA?

Gambar sebagai inspirasi.

Cantik dan pujian adalah dua perkara yang mungkin disukai oleh semua wanita. Dalam hal ini kena tanya iman masing-masinglah betul atau tidak. Kakchik sukakan kedua-duanya tapi secara terkawal. Cantik untuk diri sendiri dan suami sahaja manakala pujian tu tidaklah diminta-minta atau dicari-cari dengan sengaja. Jika orang puji pada perkara yang bersesuaian, alhamdulillah... segala puji bagi Allah. Rasa diri lebih bersemangat. Tapi jika sengaja-sengaja nak orang puji maka kenalah jauhkan sebab itu sudah salah di sisi agama.

Cerita tentang cantik dan kena puji ni, bagi kakchik penting juga nak kena ingat siapakah yang kita izinkan melihat gambar-gambar kita tu. Dan ini ada kait-mengait dengan siapa yang kita terima sebagai kawan jika di FB. Satu kesilapan yang kakchik lihat dilakukan oleh ramai muslimah termasuklah para niqabi ialah dengan menerima ramai lelaki ajnabi sebagai FRIENDS sedangkan kita sering dinasihatkan agar berhati-hati. Kakchik pun ada kawan lelaki di dalam blog dan FB tapi mereka diterima selepas kakchik selidik dan kenalpasti latar belakang mereka sama ada kawan sekolah dulu, ahli jemaah semasa di kampus, ahli gerakan semasa di luar kampus, rakan sepejabat dan sebahagiannya kenalan berdasarkan fikrah yang sama. Memang cerewetlah sikit tapi fikirkan Islam, fikirkan Islam.

Di blog agak sukar untuk menyaring orang yang melihat kerana pembaca boleh FOLLOW blog kita dan kita tak boleh REMOVE dia. Dalam hal ini apa yang kakchik buat ialah berkawan dengan ramai blogger perempuan dan hanya beberapa orang blogger lelaki yang bersifat teknikal. Oleh itu buatlah pertimbangan iman bila mahu kongsikan gambar-gambar kita di alam maya ni. Seronokkah kita bila ramai lelaki yang memuji-muji kecantikan kita sedangkan kita memakai purdah? Purdah yang sepatutnya menjauhkan kita dari mendapat komen-komen personal begitu. Misalnya, “MashaAllah... cantiknya mata awak.” Kata seorang kenalan lelaki. “Lawa giler. Pakai purdah macam ni lah bagus.” Kata pula seorang lelaki lain. Bak kata di bawah gambar kita tu lebih ramai lelaki yang memuji berbanding perempuan. Takde rasa apa-apa ke?

Marilah kita selaraskan penampilan kita dengan akhlak kita dan pergaulan kita. Tidak nampak tuan badan di internet tidak bermakna pergaulan tidak terjadi. Kalau di alam nyata ni kita malu-malu nak bercakap dengan lelaki ajnabi, kenapa pula di FB tu macam mudah saja? Fikirkan Islam... fikirkan Islam. Jangan jadikan alasan untuk mencari teman hidup sebab itu kita berkawan dengan ramai lelaki ajnabi. Memang seronok ada ramai peminat tapi bimbang pula nafsu yang jadi raja. Kita jadi Tipah Tertipu nanti.

GAMBAR SENDIRI LAMBANG JUJUR

Pada kakchik, meletakkan gambar sendiri di blog atau di profil FB adalah lambang kejujuran kakchik dalam menjalinkan ukhuwwah fillah. Kakchik tidak suka menggunakan gambar orang lain, gambar pokok, gambar bunga atau lain-lainnya. Nama panggilan pun kakchik tidak tukar-tukar bimbang kawan keliru seperti mana kakchik selalu keliru. Bila ada seribu lebih kenalan, dan berkenalan kerana Allah, mengenali namanya sama ada nama sebenar dan panggilan kesukaannya adalah besar ertinya buat kakchik. Kakchik geram bila kenalan selalu tukar-tukar nama tanpa meletakkan nama asal kerana menyukarkan untuk kakchik memanggilnya bila berinteraksi. Gambar sebenar dan nama yang tetap sangat kakchik hargai. Kalau nak guna gambar lain tapi nama tak tukar itu pun kakchik hargai.

Bagi sesetengah kenalan yang masih remaja atau muda belia, tukar-tukar nama dan gambar ni mungkin sekadar suka-suka tapi bagi kakchik yang serius dalam bersahabat, ianya kurang digemari. Bersahabat bukan main-main. Buat apa menerima beribu kenalan tapi tak dapat mengenali peribadinya sedangkan persahabatan dalam Islam meletakkan kejujuran di tangga yang penting. Asyik keliru, “ini siapa pula ya?” bila terlihat seorang kenalan memberi respon tapi nama samaran tu kakchik tak pernah tengok sebelum ni. Kenalah pula cek profilnya kot-kot ada ditulis nama asal kat sana. Kalau ada alhamdulillah, kalau takde terasa seperti berinteraksi dengan PHANTOM.

Boleh jadi tuan punya nama samaran mahu berahsia atas sebab-sebab tersendiri, kakchik raikan saja. Manusia ini makhluk yang kompleks maka nak tak nak kena terima dan cuba membiasakan diri. Asalkan tidak membelakangkan Islam sudah.

KERANA NILA SETITIK

Isu muslimah memakai niqab yang meletakkan banyak gambar di FB ni menjadi perbualan ramai mungkin kerana sebab-sebab berikut:

  • Niqabi itu sendiri yang mengizinkan gambar-gambar yang menggoda, fokus kepada mata, mata pula bercelak tebal, cara aksi dalam gambar, dan bergambar sendirian.
  • Niqabi menggunakan bahasa interaksi yang manja-manja membuatkan orang bukan niqabi atau niqabi lain pandang semacam.
  • Niqabi mempunyai kenalan lelaki yang ramai dan pelbagai. Ramai yang kakchik tengok kenalan lelakinya kelihatan alim pada gambar dan bahasa tapi bila mata mereka diizinkan melihat gambar-gambar niqabi tersebut, iman mereka turut teruji.
  • Masih muda remaja dan jiwa remaja ini sangat mudah terpengaruh dengan sesuatu tarikan misalnya mahu jadi baik tapi mahu juga berkawan dengan lelaki ajnabi maka penampilan kelihatan bagus tapi muamalah pula kurang dijaga. 

Allahua'alam. Susah juga nak cakap pasal isu gambar ni. Mungkin kerana majoriti orang beranggapan bila sudah berpurdah sepatutnya kita tidaklah melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh orang lain yang tidak berpurdah. Kalau dikira memang tidak patutlah meletakkan banyak gambar personal secara bebas untuk tatapan sesiapa sahaja terutama lelaki ajnabi yang zaman sekarang ni sukar nak menjaga pandangan. Apatah lagi bila yang nampak hanyalah sepasang mata yang ayu menggoda.

Muslimah berpurdah tidaklah sempurna jadi daripada berbincang saja di wall lebih baik hantar PM kepada mereka atas dasar nasihat sesama saudara seagama. Kakchik berpurdah, kakchik juga meletakkan gambar di FB dan blog, jika ada yang tidak elok, kakchik mengharapkan kejujuran dalam persahatan untuk kalian menegur kakchik. Bukan di ruangan terbuka tapi secara personal melalui email atau PM. Buat masa ini kakchik masih yakin gambar-gambar yang dikongsikan ada kebaikannya untuk muslimah yang lain.

Allahu'alam.

45 comments:

  1. salam

    kak chik.pd pndapt sy, tdk salah meletakkan gambar,sekiranya niat seseorg itu untuk mengajak muslimah yg lain berpurdah..

    sejujurnya sy ske melihat picture wanita yg berpurdah,,mendorong diri sy untuk berpurdah suatu hari nanti insyaallah

    ReplyDelete
  2. Salam kak chik,
    syira sangat setuju dengan apa yg kakchik tulis ni. ramai niqabi yang biar ajnabi masuk dalam FRIEND dan komen gambar, kemudian siap bergurau senda yang entah apa-apa. itu yang buat orang makin 'menyampah' dengan perangai / sikap niqabi. ada ramai juga yang memaparkan gambar niqabi (bukan gambar sendiri) sedangkan dia bukan niqabi. ada pula yang ambil gambar berniqab tapi di alam realiti dia tidak memakai niqab... hmmm...

    wallahua'lam.

    ReplyDelete
  3. salam kakchik...

    benar. sebenarnya semua terletak pada tujuan kita. kalau kita letak, tujuannya elok... insyaAllah mcm kakchik kata, kakchik x pernah pula dpt komen yg mcm2 tu kan. sekeping gambar, walaupun xda suara, tapi the reason why kita letak tu orang yang tgk clearly boleh faham mengapa. jadi kalau kita upload gambar, jgn pula kita berdalih 'tak bermaksud' sbb kalau ia tak bermaksud, maka ianya susah untuk mengundang fitnah.

    jadi, personally saya rasa if takut mencemarkan imej atau rasa tak yakin, kita bersederhanalah. tak perlu upload ataupun boleh upload tp pose n dgn siapa kita bergambar atau mcm mana di mana tu kenalah 'kena'. insyaAllah.. kalau kita sentiasa tanya Allah dalam hati, kita akan dpt jawapannya.

    tapi, personally juga, leen kurang selesa dengan niqabi yg ambil gambar close up mata. jika adalah. sbbnya, dari niat asal utk melindungi, sudah jadi ter expose pula. kalau kita mata memang dah lawa juga, tak perlu highlight.

    ya. terpulang pada iman kita sendirila ya semuanya :) maaf kakchik. terpanjang pulak.. hehehe take care

    assalamualaikum..

    ReplyDelete
  4. salam kakchik..
    maaff sangat. haha. td leen x perasan akaun hubby leen x log out lagi :D kikikiki.

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah Kak Chik. Harlina juga seorang niqabis. cara Harlina ialah tidak approve mana mana lelaki di laman facebook. Alhamdulillah, friend list Harlina kesemuanya wanita.

    Moga dengan cara harlina ini, dapat mengelakkkan di fitnah.

    Khair, insyaAllah :)

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum kak chik.
    Alhamdulillah. entry dan penjelasan yang cukup menarik sekali.
    Moga kita semua memperoleh manfaat.

    Harlina juga seorang niqabis. cara harlina untuk mengelakkan "bahan mulut/fitnah" di laman facebook ialah dengan tidak meng"APPROVE" mana mana lelaki di facebook. Alhamdulillah, kesemua list friend harlina kesemuanya Wanita.

    Moga Allah memelihara kita semua.
    khair, insyaAllah :)

    ReplyDelete
  7. Salam Kakchik,

    ALhamdulillah sudah terjawab dan terima jawapan kakchik..lama juga menunggu.:)

    Ok kakchik, drpd apa kakchik tulis semua ni idah setuju.Betul jika kita ada buat silap tegurlah cara berhemah kan.Tak kiralah org itu niqabi/tudung litup tetap manusia biasa yang tidak sempurna.

    Isu gambar niqabi menjadi isu hangat, pd pandangan idah adalah kerana orang luar melihat muslimah niqabi sebagai satu role model seorg muslimah.Kalau boleh pada mereka muslimah niqabi atau tudung litup tidak boleh melakukan kesalahan walaupun kecil.Jika tersilap langkah, hah di situlah timbul nya fitnah.Seolah membuka peluang untuk mencetuskan isu.(dah mcm bab politik) pulak..Ok itu sekadar pandangan idah.Tatasuli kita kena pelihara.

    Dengan berpakaian pun kita boleh berdakwah.Oleh itu, peliharalah diri sebaik mungkin.Matlamat tidak menghalalkan cara.(maaf jika tidak berkaitan).

    Apa pun idah suka dengan cara kakchik.Tegas dalam setiap kata-kata dan insya ALLAH perbuatan juga.Bersahabat kerana Allah byk keindahan dan kemanisan yang dirasai..Amin...

    ReplyDelete
  8. Salam Kakchik,

    Lama gak rasanya tak tinggalkan komen kat sini...byk gak ter missed cerita2 kakchik time dyg kat sana dulu. takpe..pas ni klu ada masa dyg korek balik the oldest2 post tu...

    pe pun, dyg LIKE post yang ni.
    syabas kakchik...

    ReplyDelete
  9. sy suka post ni...sy juga pakai purdah..tp sy da remove semua yg dlm fb sebab byk lelaki yg memuji..awalnya ia sbgai pmbakar semangat sbb sy bru je bpurdah ramadhan lpas..lama2 rasa xselesa..jd sy delete..yg ade dlam blog jer satu dua keping..hee sabar jela..mmg kita semua wanita ni fitnah..tutup mcmana pon still kena fitnah..mesti akn dicari ksalahan wlpun sbenarnya xsalah pon ikut nawaitu msg2..moga Allah redha,..suka post kakchik..=))

    ReplyDelete
  10. Syukran untuk perkongsian...

    - Setuju pada bahagian, mahu dikenali sebagai diri sendiri...

    - Bagi saya, lebih baik niqabi itu meletakkan gmbr sndiri berbanding meletakkan gambar wanita berpurdah lain(copy dr google) tanpa keizinan mereka...

    ReplyDelete
  11. kakcik, sabar sahaja ye semua rakan-rakan niqabi. Saya sendiri yang masih baru ni selalu mencari inspirasi melalui penulisan dari rakan2 yang lain, insha allah

    ReplyDelete
  12. bismillah. alhamdulillah. assalamualaikum.

    ada 2 masalah utama yg harus diperincikan dgn dalil2 sahih dalam hal ini.

    1. Hukum bergambar. -tidak kira muslimah atau muslimin.

    2. Hukum mengambil gambar

    Untuk berdakwah, adalah harus menggunakan teknologi. saya secara peribadi tiada masalah dalam hal ini. Namun, jika melibatkan foto yg melibatkan gambar manusia dan haiwan, maka 2 masalah di atas kembali timbul.

    Jika rajin, kupaslah 2 isu ini dahulu. baru bincang masalah seterusnya. wallahulam~

    jadikan ia kerja rumah bersama. Allah akan tunjukkan jalan yg benar sekiranya kita berusaha. SEMOGA ALLAH MUDAHKAN URUSAN KITA SEMUA. AMEEN.

    ReplyDelete
  13. salam...

    syukran atas perkongsian ..

    ana nak tanya kak chik :)
    hmm.. mcm di profile ana punya blog, ana letak gmbr lain..
    nak letak gmbr sendiri yang berniqab tuh rasa malu sangat...

    rasa malu bila orang lelaki tengok?

    cuma aa 2 tiga keping dlm entri tuh saja yang ana letak...

    itu prinsip ana... tak mengapa kan ukhti?

    hmm...

    betu, bagi sesiapa yang berniqab ini meletakkan gmbr untuk jadi motivasi kepada orang lain, semuanya bergantung pada niat...

    cuma yang ana tak setuju apabila pelbagai gaya ditunjukkan hingga membuatkan orang kata...

    "eh..budak pakai purdah pun posing macam ni erk...?

    huhu...

    macam nih kak chik..?

    pertanyaan dari diriku yang hina ^___^

    ReplyDelete
  14. wkslm hidayu.
    kakchik pun sama pendapat dengan hidayu. gambar ni memberi kesan visual yang dapat bertahan lebih lama. sebab itu gambar yang elok pada kakchik sesuai dijadikan contoh. kakchik pun suak tengok gambar muslimah berpurdah tapi tak suka jika aksi mereka berlebihan.

    ReplyDelete
  15. Wkslm Syira. Semuanya kerana sikap dan tujuan masing-masing Syira. Sebab itu kakchik kata kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Terima kasih ya Syira atas sokongan. Semoga kita sama-sama diredhai Allah.

    ReplyDelete
  16. wkslm abbi balqis @ leen. kakchik suka ayat leen yang ni,"kalau kita upload gambar, jgn pula kita berdalih 'tak bermaksud' sbb kalau ia tak bermaksud, maka ianya susah untuk mengundang fitnah." ada benarnya. Mana ada saja-saja letak kan? terima kasih atas pandangan leen.

    ReplyDelete
  17. Harlina, baguslah buat begitu demi maslahah diri. Bagi Harlina yang masih bujang dan muda belia, cara itu paling baik. Insyaallah banyak manfaatnya.

    ReplyDelete
  18. Wkslm Idah. Hehe, lama tu sebab asyik baca, edit, baca, edit idah. Tambah-tambah line internet asyik buat hal makinlah lambat. Cara menegur tu sepatutnya begitu agar maruah tidak tercemar. Sayangnya ada yang suka tunjuk pandai dan kritik (bukan tegur) secara lantang. Susahlah orang nak terima. Pasal 'role model' ni itulah yang kakchik bimbangkan. Bimbang orang ingat diri kakchik ni alim segalanya walhal kakchik cuma insan biasa yang tiada didikan agama yang formal. Expectation orang terhadap niqabi rata-rata sangat tinggi. Moga-moga kakchik dan muslimah lain yang berniqab dapat sentiasa menjaga akhlak. Allahu'alam idah betul atau tidak kakchik ni tegas tapi cuba buat ikut Islam saja.

    ReplyDelete
  19. Wkslm Dayang. Selamat kembali. Seronok ya dapat menunaikan ibadah umrah. Cemburu sekali kakchik kat Dayang. Insyaallah masa kakchik pun akan tiba juga nanti Mohon Allah segerakan. Terima kasih sudi datang membaca entri yang tak seberapa ni.

    ReplyDelete
  20. cahaya keharumanku, terima kasih. tahniah sb telah mengambil langkah berjaga-jaga di FB. kakchik rasa lagi baik kalau diremove kenalan lelaki yang tidak mendatangkan faedah dari segi gerakan agama dan iman diri. cubaan tak akan pernah habis bila kita memakai niqab malahan ia makin banyak kerana kita makin kuat mahu mendekati Allah. Insyaallah jika keyakinan kita padu, kita akan mampu melaluinya dengan penuh ketaqwaan.

    ReplyDelete
  21. Afwan Baitil A'tiqa. Terima kasih atas pandangan. Yang baik itu dari Allah, yang lemah itu dari diri kita juga.

    ReplyDelete
  22. cikgu ummi, insyaallah... kakchik takde masalah sangat dengan ujian begini kerana kakchik yakin apa yang kakchik buat tidak salah di sisi agama. jika salah/silap mohon Allah tegur dengan segera. cikgu ummi pun kuatkan diri ya. kita sama-sama usaha menjadi hamba Allah yang setia.

    ReplyDelete
  23. wa'alaikummussalam nahwanz/fadhilah.
    terima kasih atas cadangan. kakchik jujur tidak mampu nak huraikan perkara berkaitan dengan hukum ini. insyaallah kakchik tambah ilmu dulu pasal perkara ini. apa kata nahwanz tulis tentang ini dan hantar kepada kakchik dan boleh kakchik publish sebagai PERKONGSIAN ilmu di sini.

    ReplyDelete
  24. wkslm serikandi umar93. afwan. begini dik, tanyalah hati adik dalam-dalam. jika ada ragu-ragu lebih baik tidak diletakkan gambar adik. kita sendiri lebih tahu ke mana kata hati kita yg paling dalam. dari apa yang kakchik belajar, gambar memainkan peranan yang sangat penting untuk memberi impak kepada pembaca kerana otak manusia ni lebih menekankan kesan visual berbanding lisan. jadi fikirkan sebaik-baiknya demi menjaga hati kita dan tidak mengganggu hati orang lain. Allahua'alam.

    ReplyDelete
  25. Assalamualaikum kak chik dan sahabat-sahabat semua..

    Secara peribadi, ain adalah seorang muslim reverts dan semenjak hujung tahun lepas ain bniat untuk bniqab.ain tercari-cari arah tuju dan tempat untuk bertanya.

    Dengan izin Allah, ain dpertemukan dengan kak chik di alam maya menerusi FB dan seterusnya blog kak chik ini.Pada mulanya risau juga jika add sbg kawan kak chik di reject,alhamdulillah akhirnya kami berkawan juga.Tq kak chik.

    Sebab pertama ain add kak chik adalah apabila ain tlihat foto kak chik bniqab di FB.Pada masa yg sama ain memang ingin bkenalan muslimah yg bpurdah.Cara kak chik yg begitu tbuka menyampaikan dakwah melalui penampilannya sebagai wanita bniqab, memudahkn lagi ain untuk mendekati wanita niqabi.

    Bagi ain, niat kak chik bdakwah melalui penampilan membantu muslimah di luar sana yg ingin bniqab / ingin tahu cara hidup wanita bniqab sebenarnya tiada salahnya selagi niat kita semata-mata kerana Allah.

    Kerana kak chik jugalah dan dengan izin Allah ain semakin berani untuk teruskan niat ain untuk bniqab.

    InsyaAllah, dengan izin Allah, niat ain ini pasti dpermudahkan.

    Buat kak chik, sikap kak chik yg tbuka bkongsi pengalaman bniqab,memudahkn kami merasakan sama cara hidup wanita bniqab.

    Teruskan niat murni kak chik!

    Take care kak..miss u..

    ReplyDelete
  26. Salam kak cik.. bagus topik nyer :).. Syukran atas perkongsiannya.. ana suka apabila kak cik kata.. jika ada teguran di alu2 kan.. :) .. untuk isu ini pada pandangan peribadi ana.. bergantung kepada niat seseorang itu.. dulu ana tidak letak banyak picture di FB.. tapi atas sbb2 ana pernah dikhitbah oleh org yang tak dikenali.. dan ada adik2 yang mintak tunjuk ajar dalam pemakaian niqab.. ana mula meletak pic.. terutamanya bersama suami.. ( kalau bab ini.. mungkin ada picture yg bg sesetengah org terlalu romantis.. dan bg ana,ini adalah real life ana.. dan secara jujur.. ana ingin menekankan mereka yang niqabi juga bahagia dan tiada masalah untuk romentik2 bersama suaminya ) .. dan dalam blog ana ana lebih bnyk mengupload pic untuk adik2 yang bertanya mix n match pakaiaan ..


    Tapi seperti kata ukhti- ukhti di atas.. biasanya itulah ada yang salah guna pic.. kadang2 tu.. tak berniqab.. tp letak pic berniqab,tapi info semua bertentangan yang sepatutnya bagi seorang muslimah.. secara tidak langsung ianya menjatuhkan wanita berniqab..

    bg ana.. niqab adalah sebahagian dari ana.. tetapi niqab tidak pernah meletakkan titik akhir bg muslimah untuk "bergerak" di zaman ini.. malah niqab ini sebagai.. dinding benteng bg muslimah untuk menghadkan pada perkara yang tidak elok..



    *-* kak cik .. kalau rasa ada yg tidak kena ... harap di tegur ana yer :)..

    ReplyDelete
  27. Salam,

    Fatimah RA pernah ditanya, "Apakah yang paling baik untuk seorang wanita solehah?" dan beliau menjawab "Tidak melihat lelaki dan tidak dilihat oleh lelaki."

    Malangnya kita di zaman ini lebih suka jadikan insan yang lebih kurang dengan kita sebagai idola, itu yang mudah tersasar. Contohnya, bila tengok ustazah pakai mekap, kita pun mula rasa tak pe kot, ustazah pun pakai. Kita lupa, ustazah tu pun belum tentu selamat. Jika kita ambil wanita2 Ahlul Bayt sebagai idola, insyaAllah kita akan sentiasa di jalan yang betul, sebab mereka sangat2 memberatkan suruhan Allah dan Rasulullah SAW. Kalau kita tak mampu ikut 100%, sekurang-kurangnya kalau ikut 70% pun masih selamat lagi.

    Meletakkan gambar berniqab sekali sekala mungkin perlu, mudah-mudahan boleh menggalakkan wanita lain berniqab. Tapi kalau sudah sampai jadi buah mulut dan bahan umpatan, maka berhentilah.

    Kita kena kaji semula tujuan berhijab/berniqab ni. Pakai niqab atau hijab untuk menutup kecantikan/keaiban bukan untuk kelihatan cantik, sebagai fesyen atau ingin dipuji.

    Allahu'alam.

    ReplyDelete
  28. thanx kak chik. saya ambil sbg peringatan. btw, follow blog ni! :D

    ReplyDelete
  29. salam...
    entry yg sgt bagus... ana ske bce entry kakchik yg nie... btw.. ana sbenarnya ad smpan niat untuk berniqab... cme masalah ana untuk myakinkan kedua org tua ana.. harap kakchik dpt bntu mcm mne ana nk pjuk ma n abah ana.. syukran...

    ReplyDelete
  30. Salam Kak Chik,
    Drp point of view seorg non-niqabi spt sy, sy rasa niqabi yg memaparkan gambar2 sebegitu bukan la niqabi yang sebenar. Mrk hanya memakai niqab utk photoshoot tsbut smata2.. Tujuan memakai niqab tsbut mgkin utk memfokuskan bhgn mata atau eye make up yang dipakai. x dinafikan ia btujuan utk menarik perhatian. Di sudut hati kecil sy, sy juga ada menyimpan keinginan utk berniqab suatu hari nt.. Honestly, keputusan ini bukan mudah krn niqab bkn sekadai kain semata2.. bagi sy niqab adalah 1 lifestyle. Jadi sy x fikir niqabi yg sbenar akn melakukan pkara sedemikian pd gmbr2 mrk krn apabila mrk mbuat keputusan utk bniqab, salah satu tujuan nya adalah utk mgurangkan perhatian org terutamanya lelaki ajnabi. Wallahualam... ^_^

    ReplyDelete
  31. Niat yg menentukan keikhlasan manusia, bagi saya x slh utk paparkan gmbr diri yg berpurdah dalam FB, dengan tujuan utk kwan2 mengenali tuan punyer FB..tp yg menjadi salahnya, bila berlaku lebihan gambar yg x sepatutnya ditayangkan,cth..gmbr peluk teddybear, bergmbr dalam umah, bergmbar sana sini(berseorangan) pastu uploadkan dalam fb, utk apa? sya sebagai org laki..sedikit tergugat walaupun mereka berpurdah bila melihat gmbr yg dipaparkan(kadang2 dari golongan remaja)..bagi saya mereka terlalu ghairah bila ada yg memuji, lupa akan kesan yg mungkin akan berlaku pada kawan2 fb yg bukan muhrim,berani saya katakan..80% lelaki yg bukan muhrim melihat gmbr pompuan yg pakai niqab sekalipun akan bersamanya ada nafsu,lelaki nafsunya boleh teransang hanya dengan melihat, tp tidak utk pompuan(perlu dibelai dsb),tp mungkin juga ada yg kata xde lelaki yg akan terangsang bila melihat wanita muslimah yg menutup semuanya(hatta muka sekalipun)..bagi sya teori ini hnya utk lelaki yg suka melihat perempuan seksi,so bila melihat pompuan muslimah mungkin xde kesan teransang(nafsu)bagi mereka..tp mcm mna dengan lelaki yg memang teramat menyukai wanita muslimah yg berpurdah??..xde kesan ke??so..hati2 la wahai perempuan muslimah, diri anda amat mudah terjebak dengan fitnah dlm dunia tnpa sempadan ni, sorry ye..sya bukan komen pasal kakchik, tp segelintir remaja yg berpurdah dalam FB.. apa pun teruskan niat murni anda:-)

    ReplyDelete
  32. Wa'alaikummussalam nurain vivian.
    Terima kasih banyak ain atas apa yang ain telah nukilkan di sini. Maafkan kakchik kerana telah terlepas pandang hampir 5 bulan sebelum menjawab nukilan ain ni. Selepas mengenali ain dan perubahan yang telah ain lalui, kakchik cukup bangga kerana Allah izinkan ain menjadi sahabat kakchik. Alhamdulillah. Apa yang kakchik kongsikan di sini adalah untuk kebaikan kita bersama. Syukur alhamdulillah kerana ain menemui kebaikannya. Semoga ain terus istiqomah dalam perjuangan hidup menuju Allah.

    ps: rindu kat ain. selepas raya ni belum nampak ain online.

    ReplyDelete
  33. Wkslm ukhti syikin.
    Syikin, bagi kakchik, bila masalah mula timbul (dikhitbah) padahal diri sudah berkahwin, elok juga mengabil tindakan seperti yang syikin lakukan, letak gambar bersama suami sebagai memberitahu kepada orang lain yang kita sudah berpunya. Gambar romantik dengan suami ni kalau dalam keadaan yang masih terkawal dan tida menimbulkan ghairah, dengki atau cemburu orang lain, mungkin boleh diterima tapi kita kena hati-hati agar kita tidak menjadi punca penyakit hati pada orang lain. Susah kan? Tapi pandai-pandailah kita fikirkan apa yang mungkin dilihat orang dari gambar kita itu. Semoga yang baik-baik saja yang mereka nampak.

    ps: syikin, kakchik rindukan syikin. kehilangan syikin dari blog dan fb sedikit-sebanyak membuat kakchik risau. semoga Allah sentiasa melindungi syikin.

    ReplyDelete
  34. Wkslm kak hazazean.
    Terima kasih kak atas perkongsian di atas. Benar bagai kata akak, menjadikan Ahlul Bayt sebagai contoh teladan, idola adalah jauh lebih baik daripada mereka yang lemah iman. Lagipun merekalah orang-orang yang hampir dengan Rasulullah, pastinya pakaian mereka adalah pakaian yang diredhai oleh Nabi Muhammad saw dan Allah SWT. Terima kasih sekali lagi.

    ReplyDelete
  35. wanie m.n, sama-sama. semoga kita sama-sama beringat dalam segala amal perbuatan kita.

    ReplyDelete
  36. Wkslm nurul.
    Terima kasih. Segalanya atas keizinan Allah jua. Alhamdulillah... kakchik suka niat nurul tu. Sebenarnya jarang ada ibu bapa (kecuali memang yang beramal dengannya) yang mudah nak izinkan anak-anak memakai purdah, kakchik pernah melaluinya. Lengkapkan diri dengan ilmu tentang hukum berpurdah dan keperluan untuk memakainya. Maknanya kena bersedia untuk berhujah secara ilmiah dan berhikmah semasa memberitahu ibu bapa. Elakkan dari berkasar, merajuk, keras kepala dan sebagainya. Berlembutlah. Dalam masa yang sama jagalah akhlak diri. Semoga kini nurul telah pun berjaya.

    ReplyDelete
  37. Wkslm Bella Muslim.
    Terima kasih atas pandangan Bella. Kalau dilihat pada gambar-gambar komersil, pandangan Bella tu ada benarnya. Tapi tulisan kakchik ini lebih fokus kepada orang awam yang memakai niqab dan melambakkan foto amatur mereka tanpa tapisan untuk tatapan umum. Semoga niat di hati kecil Bella itu akan terlaksana juga satu hari nanti. Kakchik suka dengan fikiran Bella tentang niqab dan gaya hidup itu, cara itulah yang sepatutnya.

    ReplyDelete
  38. Myla, memang betul niat adalah puncanya sebab itu para niqabi kena hati-hati dalam meletakkan gambar agar niat yang baik tidak disalahfaham.
    Kakchik faham apa yang Myla maksudkan dan itulah yang kakchik maksudkan di dalam sebahagian tulisan kakchik di atas. Bimbang sebenarnya takut perkara sebegini makin berleluasa, apatah lagi di zaman ini semakin ramai yang memakai niqab sama ada kerana peraturan, paksaan atau pilihan sendiri. Mungkin yang memakai niqab atas pilihan sendiri lebih menjaga gambar-gambar mereka berbanding yang memakainya atas dua sebab lain itu. Apa yang Myla sebut tentang lelaki mudah teransang itu, kakchik pun setuju. Sama-samalah berdakwah kepada muslimah dalam keluarga dan masyarakat kita agar mereka lebih memahami konsep sebenar menutup dan menjaga aurat serta amalan memakai niqab ini. InsyaAllah baik muslimat, maka baiklah muslimin. Terima kasih ya.

    ReplyDelete
  39. salam kakchik.. izinkan lady memberi sedikit pendapat..

    lady dulu pernah letak gambar di fb. Pada mulanya memang niat asal supaya org dapat kenal kite.. tetapi bila lama2, niat itu semakin tersasar..

    lebih2 lagi bila kwn2 memuji dan menyuruh untuk meletakkan lagi dan lagi gambar2 kite..

    di sini, niat itu sudah mula terpesong.. kejadiannya terlalu halus untuk kita sedari..

    maka nasihat lady.. bagi org yg mudah terpesong spt lady.. elakkanlah untuk meletakkan gambar.. kerana gambar itu boleh mewujudkan pelbagai persepsi.. ada positif dan ada negatif.. dan yg positif itu belum tentu positif keseluruhannya.. dan semua itu akan menukar dan membalikkan niat asl kita.. dan boleh mewujudkan fitnah di situ..

    tetapi kalau tidak letak gambar pun boleh wujudkan fitnah.. fitnah lain pulak.. tetapi kalau istiqomah insya-Allah boleh dielakkan..

    ReplyDelete
  40. Manusia memg pyah nk bsangka baik sesama manusia..ada sahaja bhagian2 y tidak kene.buat baik mcm mana pun..manusia akan selalu salah faham akn niat kita. Jd.. Sbnrnya..kita ni jd lah dri sndri.niat kita hanya Allah shj y tahu.manusia hanya tahu mgandaikn je.pulak 2 suka bt andaian y bkn2.pada sya..kikhlasan kita amal ibdah kita biarlah unt Allah smata2..jgn dpdulikn dgn kata2 mereka y memandang serong thdp niat kita selagi landasan betul.kalau pdulikn kata2 fitnah manusia ni smp bila pun xkn habis..bg kaum lelaki..ppuan dah bniqab pakai tutup smua pun masih nk bnafsu sdangkn dgn hanya pandangan shj dikatakn wanita itu mgoda anda.. sy kurg stuju.knp nk letakkan ksalahan pd wanita2 ni sdangkn diorg sudah mjg aurat dgn sbaik2nya..saudara sndrlah spatutnya kwal nafsu dr.lainlah kalau ppuan2 itu sememangnya seksi jd bru bleh salahkn diorg. Maaf ye jika kurg apa2.sy hny bg pndapat je.

    ReplyDelete
  41. salam ..ukhti
    agak lewat Ku temu blog Ukhti . Ku Tertarik kata2 Ukhti .aNa Jugak pernah letak kan gmbar dlm fb dan Blog tapi bg PrIVASI boleh tak ?? dan gmbr tu sprti ini tak timbul Fitnah kan
    http://imageshack.us/photo/my-images/703/18731510000352123945112.jpg

    ReplyDelete
  42. Assalamualaikum.kak chik, macam mana pulak yang pakai purdah tapi tak istiqamah? adakah ia melibatkan dengan hukum? Contohnya, pelajar sekolah. Kadang-kadang pergi shopping complex pakai purdah, tetapi bila ada majlis reunion dengan kawan-kawan tak pakai pulak purdah. ataupun lebih dikatakan sebagai 'hanya untuk seronok-seronok'.Boleh ke macam tu kak chik?

    ReplyDelete
  43. Assalamualaiki kakcik. saya sokong semua yang kakcik kongsikan. saya ada terbaca Gen-Q, ada artikel yang mengatakan ramai lelaki suka melihat pandangan menggoda dari niqabis. sangat penting seorang muslimat menjaga pandangan tak kira yang berniqab mahupun bukan. terima kasih kakcik :)

    ReplyDelete
  44. assalamualaikum kak cik..
    nk tny siket.. sy kje jururawat di hospital swasta. tp sy berhasrat nak pakai niqab lepas mendirikan rumah tangga. bole ke?

    ReplyDelete
  45. Assalamualaikum,
    Kak chik...kalau kite saje je nk tangkap gmbr.pakai niqab bolehke...pastu upload kat laman sosial...

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs