Followers

28.10.08

Inilah diriku... kau apa peduli

Bismillah dan Assalamualaikum kepada rakan-rakan semua.

Tajuk kat atas tu boleh membawa beberapa makna mengikut cara intonasi pembacaannya. Yang sebenarnya KakChik cuma nak sentuh tentang sikap sesetengah dari kaum Hawa kita (termasuk diri sendiri) yang sentiasa yakin bahawa sikap kitalah yang betul... terutama dalam hal berpakaian.


KakChik bukanlah ustazah yang boleh mengulas panjang isu pakaian ni. Cukuplah kalau kita sama-sama faham bahawa hukum menutup aurat itu WAJIB cuma kaedah nak menutupnya itu anjal (flexible). Misalnya kita boleh pakai kebaya tapi mesti longgar, kain tak nipis, labuh dekat paras lutut-bertudung di bawah paras dada-sebaiknya berstokin. Kalau nak ber'hanbok' seperti orang Korea pun boleh, cantik pulak tu... cuma kena tambah tudung je...

Ala, semua orang Islam dah tahu pasal ni. Sebab tu ramai orang malas nak baca kalau ada orang tulis pasal tutup aurat.
Kita baca pamplet ni lagi baik. Yang dihuraikan kat dalam pamplet tu bagi KakChik sudah amat lengkap tentang menutup aurat. Ambillah sebagai panduan dan amalan untuk hidup akhirat yang lebih terjamin. Sama-sama ya.

Boleh lihat gambar lebih besar, klik aja kat atas imej di atas tu.

Lepas tu, boleh baca artikel kat bawah ni pulak yang KakChik dapat dari seseorang. Moga-moga hati kita IKHLAS dalam beramal-ibadat. Nasihat-menasihati kerana agama... tak gitu?


BINGKISAN DARI YAMAN: Wanita 'Berpakaian Telanjang' Jangkiti Yaman

Imran Al-Malizi

Setelah sekian lama menyewa rumah di luar, pada hari Jumaat minggu lalu (17 Oktober), saya kembali ke asrama pelajar Abu Luhum yang terletak di Jalan Sittin berhadapan Universiti Sana’a. Ketika pengajian tahun pertama dan kedua, di situlah tempat saya berteduh dan berlindung daripada kesejukan malam yang menggigit.

Menziarahi pelajar-pelajar di situ paling sesuai pada hari Jumaat kerana cuti dan tiada kuliah pengajian.

Khutbah Jumaat di situ kebiasaannya disampaikan oleh salah seorang ulama terkenal di sini iaitu Syeikh Hasan as-Syafie, pensyarah dalam bidang tafsir al-Quran di Universiti al-Iman dan cukup dikenali sebagai khatib yang berwibawa. Namun pada hari itu mungkin beliau masih bercuti. Maka mimbar Jumaat telah dinaiki oleh seorang pemuda yang tidak kurang lantangnya.

Isu yang dilontarkan kepada sidang jemaah pada minggu lalu adalah berkaitan pasca-Ramadan dan Aidilfitri. Juga disentuh tentang sikap kita terhadap agama Islam sebagai agama fitrah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad dan para pengikutmu) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; (ikutlah) agama ciptaan Allah, iaitu agama yang Allah fitrahkan manusia untuk menerimanya…” (Surah ar-Rum: 30).

Ditegaskan agar para jemaah beriltizam penuh dengan seluruh ajaran Islam setelah kita semua kembali kepada keadaan fitrah suci daripada dosa-dosa (hakikat Aidilfitri).

Dalam tempoh setengah jam khutbah yang disampaikan itu, ada satu ‘point’ yang saya sangat tertarik untuk mengulasnya. Khatib telah menyentuh tentang fesyen berpakaian yang digayakan oleh gadis-gadis Arab Yaman yang kini sedang menuju ke arah kefasadan. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘fasad’ di sini? Adakah seperti gadis-gadis remaja Malaysia yang berpakaian seluar ketat atau singkat atau londeh mempamerkan jenama seluar dalam? Atau T-shirt singkat ‘nampak pusat’ atau sendat menampakkan bentuk dada? Atau mewarnakan rambut dengan ‘kaler berkarat’?

Tidak sama sekali! Apa yang menjadi kebimbangan beliau ialah fesyen jubah yang berpotongan mengikut bentuk badan sudah mula menular. Sebelum ini jubah yang biasanya dipakai oleh Muslimah di Yaman ialah yang bersaiz longgar dan berwarna hitam atau gelap. Tudung mereka labuh sempurna menutup dada.

Lebih daripada itu, golongan wanita di Yaman keseluruhannya memakai niqab menutup wajah mereka ketika berada di luar rumah. Sekurang-kurangnya begitulah suasana yang pernah saya rasai pertama kali menjejakkan kaki ke Yaman lebih empat tahun lalu. Cuma baru setahun kebelakangan ini, golongan yang tidak berniqab ini semakin bertambah dan zahir dalam masyarakat. Saya tidak ingin membahaskan hukum memakai niqab ini dari sudut fekah. Kerana itu termasuk isu khilafiyah dan kolum ini hanyalah bingkisan santai bukan gelanggang ilmiah.

Yang menjadi subjek di sini ialah masyarakat Yaman memandang bahawa potongan jubah yang mengikut bentuk badan itu adalah satu jalan yang terbentang luas untuk menuju kepada kefasadan atau kerosakan dalam masyarakat (bagi orang Melayu pula, berbaju kebaya itu biasalah dikira masih sopan dan ‘tak berdosa’ pun).

Telah ramai juga gadis-gadis Yaman yang melilit tudung mereka paras leher dan sekali gus menampakkan dada. Khutbah Jumaat juga memberi amaran tentang golongan ahli neraka yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. dalam satu hadis: “…dan orang-orang perempuan yang berpakaian (tetapi) bertelanjang, berjalan dengan bergaya (melenggang-lenggok), kepala-kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta (mereka meninggikan gumpalan rambut mereka dengan berhias-hias), mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapati baunya…” (Sahih Muslim).

Begitulah keprihatinan dan kepekaan masyarakat Yaman pada isu-isu agama. Mereka tidak menunggu sehingga keadaan menjadi parah seperti di Mesir, Syria, Lubnan, Jordan dan negara-negara Arab yang lain. Sehingga keadaan wanita mereka benar-benar menyerupai apa yang digambarkan dalam hadis di atas. Sesungguhnya ini merupakan satu mukjizat Nabi s.a.w. Memang benar pada akhir zaman ini begitu ramai golongan wanita yang ‘berpakaian telanjang’.

Para ulama memberikan beberapa definisi berkenaan maksud hadis ini. Antaranya adalah: Pertama, dikatakan mereka berpakaian daripada nikmat Allah tetapi ‘bertelanjang’ daripada mensyukurinya iaitu tidak bersyukur. Kedua, dikatakan ia membuka sebahagian anggota tubuhnya dan mendedahkannya secara zahir. Ketiga, dikatakan ia memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulitnya atau pakaian yang ketat menampakkan bentuk badannya.

Pada zaman ini, kita dapat melihat kebenaran yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis ini. Barangkali agak sukar untuk digambarkan keadaan tersebut pada zaman itu. Kerana Nabi s.a.w. menyatakan dalam hadis yang sama: “…aku belum pernah melihat mereka ini.” Ertinya pakaian seumpama itu belum ada pada zaman jahiliah Arab dan para sahabat juga tentu tidak dapat membayangkan keadaan tersebut. Berpakaian telanjang? Bagaimana boleh disatukan dua perkataan yang berlawan maksudnya ini?

Perkara ini memang sewajarnya dijadikan peringatan untuk masyarakat Yaman dan sebagai satu renungan untuk masyarakat Islam di Malaysia. Di tanah air kita, yang menyedihkan ialah golongan wanita ini mengaku diri sebagai Muslimah. Sama ada mereka berpakaian dengan mendedahkan terus anggota tubuh atau pun mereka mengenakan pakaian yang sempit dan ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh. Kedua-duanya adalah bertentangan dengan akhlak Islam di mana seorang Muslimah dituntut supaya menutup aurat dengan sempurna.

Sebahagiannya pula merasakan sudah memadai dengan memakai tudung atau menutup kepala itu sudah dikira menutup aurat. Mereka mendedahkan anggota tubuh yang lain seperti leher, dada, lengan, kaki atau berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh seperti buah dada, pinggang, punggung, paha dan betis. Inilah yang dikatakan ‘bertelanjang’!

Kejahilan adalah faktor utama yang menyebabkan mereka tak dapat memahami keutamaan dalam memelihara aurat. Sesungguhnya aurat yang zahir daripada anggota tubuh tersebut adalah lebih berperanan untuk menarik perhatian lelaki dan menaikkan nafsu syahwat berbanding dengan hanya menutup rambut atau kepala.

Perbuatan mendedahkan bahagian tubuh ini adalah lebih keji daripada mendedahkan rambut atau kepala. Bagaimanapun ini bukanlah hujah untuk membenarkan golongan wanita mendedahkan rambut atau bahagian kepalanya serta memperlekehkan wanita lain yang bertudung. Jumhur ulama berpendapat kesemua anggota tubuh perempuan adalah aurat dan wajib ditutup kecuali bahagian muka dan dua telapak tangan
Gambar sekadar hiasan, didapati dari Internet.

8 comments:

  1. Terimakasih kak chik kerana paparkan dengan panjang lebar pasal aurat wanita ini. Walaupun ramai yang dah tahu tapi ianya sebagai peringatan takut2 ada yang terlupa..maklumlah manusia mudah lupa kan???

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas info yang amat menyedarkan tu. Kak tie pula suka pakai blouse dan long pants. Memang sedar akan pentingnya pakaian yang menutup aurat, jadi pakai yang longgar2. Badan yang berisi ni nampak lagi banyak isi..hi hi..

    ReplyDelete
  3. kak tirana - memang kita semakin mudah lupa, tambah-tambah bila makan banyak benda yg ada MSG... sebab tu lambat nak 'hadam' maksud nasihat agama.

    kak tie - bagi saya pakai apa pun ok asalkan betul dgn kaedah agama. kadang2 kita rasa selesa dgn pakaian kita tapi agama blm selesa dgnnya maka lbh baik ikut agama asalkan Syurga jaminan kita. blouse + long pants yg longgar adik-beradik sy pun pakai kak tie asal tak ketat, tak singkat

    ReplyDelete
  4. Terima kasih kakchik atas posting ni...

    Baru bagi usrah baru2 ni bab pakaian muslimah esp. di kalangan muslimat muda kita..banyak sangat ambil kaedah agama ini mudah.. sampai bermudah2 pula.

    Balik pada pakaian cara muslimat kita yg lama..tudung bulat..+ jubah ..senang cerita.. aurat PASti terjaga! :-)

    ReplyDelete
  5. lin - masalah pakaian ni sampai bila-bila pun tak habis lin

    ReplyDelete
  6. Nampak perkataan 'tudung bulat' di komen oleh Cik Nilza tu buat Iza tersenyum. Teringat zaman ngaji, ramai kawan2 baik pakai tudung bulat atau "tudung helikopter"

    Istilah tu keluar sebab kawan2 di fak usik "amboi baiknya hang dgn geng2 tudung helikopter" Hang sorang ja pakai jeans" huhuhu.

    Tak kisah lah heli ke, MiG ke boeing ke, mereka adalah kawan2 baik sampai sekarang. Cuma terpisah jauh sebab komitmen kerja masing2 (^_^)

    ReplyDelete
  7. iza - inilah kali pertama kakchik dengan istilah "tudung helikopter" ni. ada jugak org panggil macam tu ya. bab berkawan ni kena berkawan dgn semua jenis orang terutama org yang baik2 agar baiknya tu berjangkit kat kita. skrg ni dah byk cara blh dekatkan semula kawan2 dulu. kakchik guna facebook utk jejak diorang. alhamdulillah dah ramai bertemu kembali.

    ReplyDelete
  8. salam,kak chik.artikel yg menarik..ain ingin copy ke blog ain ye..tq kak!!
    tq kerana terus memberi ilmu kepada muslimah sekalian.ain amat hargai usaha akak..

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs