Followers

12.9.11

KakChik dan Abaya

Bismillah. Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk teman-teman semua. Alhamdulillah hari ni kita semua masih lagi dapat hidup seperti biasa, normal dan di saat ini kakchik harapkan semuanya sedang semangat melakukan kerja masing-masing. InsyaAllah bila dapat hasilnya nanti, dapatlah dimanfaatkan untuk diri, keluarga, agama dan masyarakat. InsyaAllah.

Hari ni kakchik terfikir untuk menulis tentang pengalaman kakchik memakai abaya dengan hati yang sentiasa seronok dan membahagiakan. Wah... pakai abaya pun boleh seronok dan bahagia? Tak percaya? Jom baca seterusnya. Ini pengalaman dari hidup kakchik seharian sejak tahun 2007 menukar koleksi pakaian dari jubah warna-warni kepada abaya timur tengah yang berwarna hitam legam.

Tutup Aurat

Sudah lama kakchik tahu pasal pentingnya menutup dan menjaga aurat ni. Di zaman sekolah rendah dulu kakchik belum faham konsepnya dan memakai baju kurung serta bertudung kerana dipakaikan oleh ummi dan seronok meniru kawan baik yang merupakan anak seorang imam. Kakchik mula belajar tentang aurat apabila menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Di situ kakchik mula kenal usrah dan di dalam usrahlah kakchik mendengar ilmu tentang aurat ini.

Satu masa dulu kakchik pun begini juga.

Dari berbaju kurung dan bertudung labuh (waktu tingkatan 1 tu hanya kakchik sendirian bertudung labuh, kemudian barulah ada kawan-kawan yang turut memakainya), pakaian kakchik berubah kepada jubah semasa di tingkatan 4. Kakchik akui perubahan diri kakchik banyak dipengaruhi kesedaran dari ilmu dalam usrah, taalim dan juga penampilan kakak-kakak senior Matrik UKM. Mereka kelihatan sangat alim, murah dengan senyuman, akhlak terpuji dan cantik sekali. Siapa tak terliur nak jadi seperti mereka kan?

Semasa di Matrikulasi 1 kakchik bergilir memakai baju kurung dan jubah tapi bila masuk Matrikulasi 2 di Minden, kakchik hanya memakai jubah hinggalah tamat pengajian dan bekerja. Ada masa-masa tertentu saja kakchik memakai pakaian bercorak, selebihnya jubah polos warna-warna pastel. Pada masa itu kakchik benar-benar yakin itulah pakaian terbaik yang telah melindungi diri dan maruah kakchik selama ini. Bukan itu saja, dengan berpakaian begitu, kakchik masih mampu melangkah jauh dalam kerjaya dan bisnes. Alhamdulillah.

Untuk makluman semua, sepanjang tempoh itu kakchik cukup tidak suka dengan pakaian berwarna hitam sebab itu kalian tak akan jumpa baju atau jubah hitam di dalam almari kakchik. Tudung hitam mula ada bila kakchik masuk ke tahun-tahun terakhir pengajian di universiti. Itu pun jarang-jarang dipakai. Tapi, kakchik sangat suka melihat orang lain berjubah hitam, bertudung hitam dan berpurdah. Terasa seperti satu perasaan aman dan tenang melihat mereka.

Kisah Abaya Bermula

Satu hari kakchik telah ke Kompleks Kota Sri Mutiara untuk membaiki jam tangan (kalau tak silap) dan kakchik naik ke tingkat 3. Semasa berjalan melintasi sebuah butik pakaian wanita yang seksi-seksi mata kakchik terpandang ke satu rak di bahagian dalam butik. Ada banyak jubah hitam bergantungan di rak tersebut dan di situ tertulis 'SALE 30%'. Entah bagaimana kaki kakchik ditarik masuk ke dalam butik itu yang setahu kakchik menjual pakaian dari Indonesia pada harga yang mahal. 

Inilah abaya kakchik yang pertama.

Hari itu, kakchik pulang dengan sehelai abaya hitam dari Indonesia yang sangat cantik. Sulaman manik di sekitar dada dan hujung lengan sangatlah kemas dan cantik. Kakchik tidak kisah orang tidak nampak hiasan di dada tu sebab yang penting tuan punya badan sangat puashati memakainya. Sejarah telah tercipta di dalam tahun 2007 (tarikh sebenar kakchik lupa). Kakak kakchik telah sudi membantu memendekkan sedikit abaya itu dan dengan perasaan berkobar-kobar, kakchik telah memakainya ke pejabat. MashaAllah... lain sungguh perasaannya.

Alhamdulillah suami tak pernah halang, tak pernah suruh dan dia terima seadanya apa juga penampilan kakchik asalkan sentiasa menutup aurat dengan baik. Bila dah ada sehelai hati dah mula tak senang duduk bila nak ke mana-mana. Terasa seperti tak lengkap jika memakai jubah biasa untuk keluar. Jadi abaya hitam yang sehelai itu agak lasak jugalah kakchik pakai tapi ia masih dalam keadaan baik hingga ke hari ini kerana kainnya, jahitannya sangat berkualiti dan sesuai untuk kakchik yang banyak bergerak. Cinta telah terpatri, abaya hitam pasti dicari lagi.

Tukar Koleksi Pakaian

Penggunaan internet semakin pesat dan orang semakin ramai membuat bisnes secara dalam talian. Kakchik yakin, jika dicari pasti akan ada maklumat tentang bisnes yang menjual abaya. Kebetulan pula salah seorang sahabat baik kakchik memang memakai abaya hitam sepenuh masa dan minat yang sama itu telah menjadikan kami lebih akrab. Kakchik gunakan internet untuk mencari abaya. MashaAllah banyaknya gambar-gambar muslimah berabaya di dalam internet tapi tidak banyak pengusaha tempatan yang menjualnya. Kakchik malas nak ke bandar mencarinya kerana tidak sukakan kesesakan. Tahu-tahulah Bandar Kota Bharu tu.

Makin banyak yang hitam berbanding warna lain.

Alhamdulillah, Allah temukan kakchik dengan sebuah blog yang menjual abaya dubai. Bila dibelek-belek, ciri-ciri abayanya menepati kehendak kakchik iaitu 'simple elegant' tapi masalah sikit bila tengok harganya. Mana ada yang kurang dari RM150 tapi kakchik akan diberi diskaun tertentu mengikut bilangan abaya yang kakchik beli. Makin banyak makin besar diskaunnya. Belian pertama kakchik buat untuk diri sendiri dan sahabat baik kakchik. Walaupun tidak pasti peniaga itu jujur atau tidak, tapi kami tawakkal kepada Allah dan akhirnya 5 helai abaya telah selamat kami terima. 2 kakchik punya selebihnya sahabat punya.

Terlalu puashati memakainya. Hitam memanaskan kata orang tapi kakchik merasakan sebaliknya. Hati terasa amat dekat dengan Allah, lebih yakin dalam kerja-kerja Islam, lebih kerap kakchik menulis (cuba tengok arkib, masuk 2008 bilangan entri sangat banyak kan?), lebih berkeyakinan untuk berada di mana-mana saja dan lebih banyak memikirkan tentang dosa pahala. Alhamdulillah. Tidak sangka, hanya sehelai pakaian yang hitam boleh menjadikan banyak perubahan pada jati diri kakchik.

Bisnes Abaya Bermula

Tabiat manusia, bila sukakan sesuatu mulut ini pasti akan sentiasa mahu kongsikan kesukaan kita dengan orang lain lebih-lebih lagi bila makin ramai yang bertanya. "Cantik jubah Chik. Beli di mana?" tanya seorang kawan. "Suka tengok Chik pakai macam ni. Bila agaknya akak pun boleh pakai begini?" kata seorang kenalan semasa bertemu di satu majlis. Memang ramai yang memuji tapi kakchik anggap itu sebagai ujian dan kembalikan pujian kepada yang berhak iaitu Allah SWT. Ini mungkin satu peuang.

Mencuba nasib berniaga di ekspo sempena Karnival Cheng Ho 2010.

Dari banyak komen, persoalan, pujian dan ada juga cemuhan, Allah telah ilhamkan satu idea kepada kakchik iaitu memulakan bisnes abaya secara online. Pada kakchik apa salahnya kakchik mempromosikan satu pakaian muslimah yang mengikut sunnah para isteri Nabi saw dan sahabiah silam, warnanya pula disebut sebagai salah satu warna kegemaran Rasulullah dan pastinya ia menepati syariat dalam berpakaian secara Islam. Akhirnya bisnes abaya kakchik bermula pada akhir tahun 2009 dengan bantuan modal dari sahabat baik kakchik (beliau jadi pelabur) dan sokongan moral yang kuat dari Allah SWT.

Di situlah kakchik membina ukhuwwah yang lebih rapat dengan pembekal kakchik. Bermula dengan satu pembekal, kini kakchik mempunyai 5 pembekal tetap dari Dubai, Doha dan Jeddah. Bagi kakchik kejujuran di dalam ukhuwwah itu amat penting walaupun demi satu bisnes. Bukan apa... inikan bisnes pakaian muslimah? Sudah pasti kakchik tidak mahu menjadikan bisnes ini bermatlamatkan keuntungan semata-mata apatah lagi kakchik menggunakan modal yang besar dengan untung yang minimal. Yang penting, para muslimah mempunyai pilihan pakaian yang mungkin menepati syariat Islam dalam berpakaian, ianya pula boleh menggalakkan muslimah menjadi insan yang lebih mencintai agamanya.

Impian Membuka Butik Abaya

Sekarang ini kakchik masih menyimpan impian untuk memiliki butik abaya sendiri. Maksud kakchik butik dalam bentuk fizikal yang boleh dikunjungi oleh pelanggan atau sesiapa saja yang meminati abaya. Hanya mahu fokus kepada abaya hitam dan segala kelengkapan berpakaian yang kakchik dan sahabat suka saja. Iaitu kami akan cuba sentiasa istiqomah dengan motto kami iaitu 'Kami Hanya Menjual Apa Yang Kami Suka Pakai' dan pastinya yang kami suka pakai itu mestilah memenuhi kehendak syariat. Kalian pun tahu kan, kakchik ni memakai purdah jadi pastinya butik kakchik juga menjual purdah. Selainnya ada serba sedikit aksesori yang sesuai untuk dikenakan bersama pakaian untuk mengemaskan penampilan.

Gambar sekadar hiasan.

Syarikat sudah pun didaftarkan dalam bulan Mei lepas dan kini operasi bisnes abaya kakchik yang kalian kenali sebagai Abaya Elegan Lovers bernaung di bawah syarikat bernama BUTIK ABAYA HANIZA. Alhamdulillah. Semoga impian yang sedang diusahakan akan menjadi kenyataan juga satu hari nanti. Pada waktu itu mungkin kakchik perlukan korbankan kerjaya kakchik di perpustakaan wakaf tu dan beri tumpuan sepenuhnya kepada bisnes abaya ini. Harapannya tidak lain ialah untuk mencari redha Allah dalam mengajak muslimah menjaga aurat mereka. Mereka kemas dan cantik serta lengkap menutup aurat, hati kakchik gembira.

Buat masa ini, kalian bolehlah membeli-belah abaya, purdah dan tudung bidang besar melalui blog bisnes kakchik iaitu ABAYA ELEGAN LOVERS. Sekarang ini sudah ada stok baru dengan diskaun pembelian 10% untuk pelanggan berulang dan 5% untuk pelanggan baru. InsyaAllah harga berpatutan dan kualiti abaya adalah terjamin. Kakchik akan cuba pastikan khidmat pelanggan yang kakchik berikan kepada setiap pelanggan atau sesiapa saja yang bertanya adalah pada tahap paling maksima. Tapi kenalah maafkan kakchik jika ada sikit sebanyak kelemahan, maklum saja, kakchik juga makhluk Allah yang lemah.

Tabarruj atau Tidak

Kata Ni'mat Sidqi di dalam bukunya bertajuk TABARRUJ (Bersolek), "Tabarruj ialah mendedahkan kecantikan rupa paras sama ada kecantikan itu di bahagian muka atau di anggota-anggota badan. Al-Bukhari Rahmatullah'Alaihi ada berkata: "Tabarruj iaitu seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya." Untuk menjaga masyarakat dari bahaya pendedahan aurat dan di samping menjaga kehormatan wanita dari sebarang pencerobohan, maka dengan yang demikian, Allah melarang setiap wanita yang telah berakal lagi baligh dari bertabarruj (berhias-hias)." 


"Pengertian perhiasan bukanlah tertentu pada alat-alat solek atau fesyen-fesyen pakaian sahaja, malahan perhiasan yang paling istimewa adalah terletak pada tubuh badan seseorang wanita itu. Sekiranya kecantikan rupa paras seperti ini didedahkan kepada orang lelaki maka perbuatan demikian juga dinamakan TABARRUJ."

Pada pandangan kakchik, memakai abaya insyaAllah boleh mengelakkan kita dari bertabarruj dengan beberapa syarat. Ini kesimpulan yang kakchik buat selepas membaca buku Ni'mat Sidqi yang disebut di atas. Kesimpulan kakchik:

1. Warna abaya yang hitam sudah biasa dilihat oleh orang ramai, tidak menjolok mata maka tidak tabarruj.

2. Pemilihan corak dan hiasan pada abaya. Kita pun tahu, warna hitam bila digabungkan dengan sedikit warna lain ia menjadi berseri jadi pilihlah corak hiasan yang ringkas dan tidak terlalu menarik perhatian. Misalnya sekadar hiasan di hujung lengan, hujung selendang dan mungkin sedikit di kaki abaya.

3. Hiasan pula elakkan dari yang terlalu berkilauan hinggakan kelihatan seperti artis. Cukuplah sedikit-sedikit untuk mencantikkan pakaian kita dan memberi semangat dalam melaksanakan apa jua amanah.

4. Memakainya dengan bersederhana, tidak meninggi diri. Walau harga abaya itu RM100, RM200 atau RM300, buatlah biasa-biasa saja bila memakainya. Usahlah meninggi diri bila kita memakai pakaian yang mampu dibeli oleh kita. Semuanya hanya pinjaman saja.

5. Jangan tambah aksesori berlebihan bila pakai abaya. Sehelai abaya yang dipasangkan dengan selendang yang sepadan, sudah cukup untuk menutup aurat kita. Aksesori lain yang wajib ialah sarung kaki dan anak tudung. Jangan tambah hiasan pelik-pelik pada tudung hinggakan diri menjadi tertonjol.

6. Kakchik menjual sambil menceritakan cara pemakaian yang lebih baik. Misalnya tudung mestilah labuh melepasi paras dada walau apa cara sekalipun kita memakainya. Kakchik sendiri menjadi model bergerak untuk cara pemakaiannya. Jika mahu ditiru, silakan saja. Semoga Allah meredhai kita.

Sebagai peniaga ni kakchik cuba untuk berhati-hati dalam memilih abaya yang mahu dipromo atau dijual kepada pelanggan. Kakchik takut, niat asal menjadi sia-sia bila abaya yang dijual disalahguna oleh pelanggan atau kakchik telah menyebabkan pelanggan bertabarruj. Harap-harap tidak berlaku. Misalnya abaya dibeli kerana mahu bergaya mengikut trend semasa. Sekarang kan ramai orang suka pakai abaya maka wujudlah abaya-abaya yang nipis berbayang, ketat, dipotong mengikut bentuk badan, sarat dengan hiasan berkilau-kilauan dan sebagainya. Kakchik tidak suka memakainya apatah lagi mahu menjualnya kepada orang lain.

Mungkin akan ada yang kata, kalau macam tu susahlah nak maju. Hanya orang macam kakchik sajalah yang minat nak beli abaya kakchik. Lambatlah bisnes nak untung. Tak mengapa... rezeki itu dari Allah. Kakchik berusaha mahu menjadikan bisnes ini satu medan dakwah di kalangan muslimah. Moga-moga dalam ramai-ramai pelanggan yang membeli tu ada ramai yang jujur ikhlas orangnya, warak dan alim agama pula dan mereka sudi mendoakan yang baik-baik buat kakchik dan muslimah yang lain. Segalanya untuk Islam.

Penutup

Jika kakchik tersasar dari matlamat asal perniagaan ini, kalian jangan segan silu menasihatkan kakchik ya. Jangan biarkan kakchik menjual pakaian muslimah tapi menyebabkan pemakainya berdosa lantas kakchik juga berdosa. Doakanlah agar kakchik dapat menjual abaya yang berkualiti dari segi penghasilannya setanding dengan kualiti ruh di sebalik pemakaiannya. Semoga kakchik yang menjual dan kalian yang membeli sama-sama mendapat redha Allah di atas niat kita menjaga aurat dengan sebaik mungkin.

Allahua'lam.

PS: Salah silap kakchik dalam tulisan ini mohon teman-teman yang lebih alim dalam hal ini menegur kakchik. Emailkan saja kepada hanniaziz@yahoo.com Shukran.


14 comments:

  1. Assalamualaikum,
    Selamat hari raya aidilfitri.

    Sama2lah kita doakan hasrat murni kak chik menjadi nyata...insyaAllah.

    ReplyDelete
  2. sha pon dah makin berminat kak chik...adalah pakai masa jamuan hari raya hari tuh. itu sebenarnya hadiah dr aunty sha. tp kenalah di potong bahagian bawah...maklumlah...kita ini rendang. kadang2 sedih juga ada yg nak dibeli tp ada sulam dekat kaki:)

    ReplyDelete
  3. Saya doakan semoga tercapai impian kakchik

    ReplyDelete
  4. Assalamua'laikum kakchik...

    Bestnya baca pengalaman kakchik.
    ^__^

    ReplyDelete
  5. Wa'alaikummussalam anyss.
    Selamat hari raya kembali dan terima kasih banyak kerana mendoakan yang baik-baik untuk hajat kakchik. Barakallahulaki.

    ReplyDelete
  6. sha, hadiah dari makcik, sha yang dapat manfaat kan? kalau nak beli abaya satu hari nanti, beli dengan kakchik la... mungkin dpt pilih yang tak payah alter labuhnya :) just kidding!

    ReplyDelete
  7. Terima kasih banyak Wan Anie. Moga Allah perkenankan.

    ReplyDelete
  8. k.cik....bie doakan k.cik maju jaya dlm business abaya ini dan dpt membantu muslimah mencari pakaian yg menutup aurat.

    ReplyDelete
  9. Wa'alaikummussalam Latifah. Terima kasih. Kakchik kongsikan sebagai pencetus semangat kepada sesiapa yang ingin berniaga perkara yang sama.

    ReplyDelete
  10. Shukran kathira Bie. Sokongan dari rakan-rakan amatlah kakchik hargai.

    ReplyDelete
  11. Assalamu'alaikum Chik,

    Tersenyum-senyum K Nur baca entry Chik ni.. bukan apa.. hampir sama dengan pengalaman K Nur sendiri..hehe... Terasa begitu dekat dengan Chik.. alhamdulillah.

    Asalnya K Nur pun tak suka hitam.. tapi sejak dapat hadiah abaya dari mertua... dah bertambah suka sedikit. Kali kedua dapat dari kakak ipar... suka bertambah banyak .. tahun ini, beli sendiri abaya kat Melbourne ni... selepas beli, dapat lagi sehelai abaya dari mertua yang buat umrah sebelum Ramadan. Insya Allah, jika baik, nak juga kongsi pengalaman di dalam blog. Semoga Allah merahmati kita semua.

    ReplyDelete
  12. baru beli sepasang abaya masa gi Kl last week...kebetulan jumpa yang berkenan..

    mmg selesa sgt kak chik, nak2 potongan dia longgar..sejuk je kain dia tak panas pun...insya allah akan tmbh koleksi.;lagipun masih boleh dipakai lepas bersalin nanti :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam kakChik,

      Saya sudah lama cari niqab labuh mcm ni(yg dipakai Pn.Imah abaya elegan lovers)...still available ker? Klu ada saya berminat nk order. Jazakillah.

      Delete
  13. Salam kakChik,

    Saya sudah lama cari niqab labuh mcm ni (yg dipakai Pn.Imah -abaya elegan lovers) ...still available ker? Klu ada saya berminat nk order. Jazakillah.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs