Followers

12.4.11

Perkongsian: Saya Nak Pakai Purdah, Apa Pandangan Akak?

Assalamualaikum dan salam kasih-sayang kepada semua teman-teman maya. Alhamdulillah kerana masih lagi dapat bertemu kalian di hari ini. Pagi ini kakchik tidak sempat untuk menulis dan kebetulan pula seorang teman di FB telah menulis satu topik yang agak hangat diperkatakan iaitu mengenai hukum memakai purdah. Kakchik juga seperti beliau, sering menerima soalan-soalan dari para pembaca dan teman-teman mengenai hukum berpurdah ini. Oleh kerana kakchik puas hati dengan tulisan beliau, kakchik yakin untuk berkongsi dengan kalian di sini. Semoga tulisan ukhti Harlina al-Hamra' akan membuka simpulan persoalan yang selama ini timbul dari isu pemakaian purdah ini. Selamat membaca dan memahami.

Bismillahirrohmaanirrohiim.

Segala puji hanya bagi Allah, kita memuji-Nya, memohon pertolongan kepada-Nya dan memohon keampunan kepada-Nya. Kita juga memohon perlindungan Allah di atas segala kesilapan dan kesalahan diri kita. Mereka yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka tiada siapa pun yang dapat menyesatkannya daripada petunjuk tersebut. Dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak siapa pula yang dapat memberikannya petunjuk. Aku bersaksi bahawa tiada Ilah (tuhan) melainkan Allah dan tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan Rasul-Nya.

Seringkali ana mendapat soalan begini, sama ada seseorang menemui ana face to face atau menghantar SMS kepada ana.

SAYA NAK PAKAI PURDAH, APA PANDANGAN AKAK?

Ana suka mengingatkan ana dan sesiapa sahaja tentang beberapa perkara:

Selepas berbincang dengan Naqibah di sebuah institusi, alhamdulillah ana lebih mantap memahami hukum berpurdah setelah sama-sama mengkaji dengan Naqibah apakah sunat atau wajib yang sewajar-wajarnya menjadi pegangan kami? Oleh itu, kajian kami hendaklah berlandaskan pada kebenaran menurut al-Qur’an dan as-Sunnah.

Ana sebelum ini berpendapat wajib.

Begitu juga naqibah ana.

Oleh yang demikian, kami sama-sama menyatakan hasil kajian kami mengapa kami meyakini wajib berpurdah. Kami juga mengeluarkan hujah-hujah ulama’ yang mengatakan purdah ini sunat atau harus. Pelbagai hujah dikeluarkan daripada kitab Fiqh sampailah kepada buku-buku ringan tentang wanita dan auratnya. (Hujah yang tidak menghukum WAJIB purdah bagi wanita). Mengapa?

Ini adalah bagi memastikan kedua-dua kami bukan bertaqlid membuta tuli atau sekadar memahami pada surface sahaja. Alhamdulillah, kami boleh memahami kitab bahasa Arab dengan baik.

Ana tunjukkan hujah-hujah bahasa melayu yang telah ana simpan selama pengkajian ana. Naqibah juga menunjukkan hujah yang diyakininya. Ada tiga hujah yang kuat mengatakan seperti berikut: (Boleh rujuk pelbagai Kitab Fiqh): Hujah-hujah lain sengaja tidak disenaraikan di sini kerana tidak kuat untuk menyaingi hujah wajib.

AL-QUR’AN
Ana jelaskan bahawa Surah al-Ahzab (33:59) menunjukkan perkataan ‘jalabibhinna’ yang ditafsirkan ‘tudung’ bagi sesetengah ulama’ dan ‘purdah’ bagi sesetengah yang lain.

HADIS
Ana jelaskan bahawa ada tiga hujah yang kuat mengatakan seperti berikut: (Boleh rujuk pelbagai Kitab Fiqh):

1. Dalil yang paling banyak dibentang dalam mana-mana buku tentang AURAT WANITA ialah hadis riwayat Saidatina Aishah bahawa Nabi bersabda kepada Saidatina Asma’, “Wanita apabila sudah baligh seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali ini dan ini”(Rasulullah s.a.w menunjukkan muka dan tangan). Boleh rujuk teks lengkap dalam Riwayat Abu Daud.

2. Dalil yang mengatakan seorang wanita telah menemui Rasulullah s.a.w semasa ihram untuk bertanyakan soalan, kemudian Fudhail bin Abbas melihat wanita itu. Rasulullah memusingkan wajah Fudhail ke arah lain supaya tidak memandang wanita itu. Ini adalah kerana wanita itu tidak memakai purdah.(Pertikaiannya ialah Rasulullah tidak mengarahkan wanita itu berpurdah sebaliknya hanya memusingkan wajah Fudhail). Boleh rujuk teks lengkap dalam banyak kitab.

3. Dalil ketiga ialah selepas menunaikan Solat Hari Raya, Rasulullah berkhutbah, seorang wanita bangun dan bertanya soalan kepada Rasulullah, dalam hadis ini menyatakan bahawa wanita itu wajahnya kemerah-merahan. (pertikaiannya, Rasulullah tidak menyuruh wanita itu berpurdah, sebaliknya hanya menjawab soalan-soalannya). Boleh rujuk teks lengkap dalam bnyak kitab.

Oleh yang demikian, kami berbincang tentang penjelasan ulama’-ulama’ bagi setiap hujah:

Bagi Surah al-Ahzab (33:59) menunjukkan perkataan ‘jalabibhinna’ yang ditafsirkan ‘tudung’ bagi sesetengah ulama’ dan ‘purdah’ bagi sesetengah yang lain.

Setelah berbincang, kami berpegang pada pendapat sahabat yang hidup pada zaman Nabi s.a.w iaitu Ibn Abbas yang menjelaskan bahawa perkataan ‘jalabibhinna’ ini bermaksud seluruh tubuh wanita wajib ditutup kecuali mata. Ini adalah kerana pada pendapat kami beliau adalah ulama’ tafsir yang paling memahami apa yang dimaksudkan dalam ayat al-Qur’an yang mulia ini kerana beliau hidup di zaman Nabi s.a.w.

Oleh itu, sebarang hujah ulama’ lain yang menghukum ia sebagai tudung tidak dapat dijadikan hujah memandangkan banyak ulama’ lain mentafsirkan bahawa ia bermaksud purdah juga. Oleh kerana pendapat ulama-ulama adalah pelbagai, tafsiran yang paling rajih sekali ialah melalui mufassir yang hidup pada zaman Nabi s.a.w. Oleh yang demikian, tafsiran yang paling rajih adalah tafsir Ibnu Abbas. Wallahua’lam.

Manakala bagi hadis pula:

Dalil yang paling banyak dibentang dalam mana-mana buku tentang AURAT WANITA ialah hadis riwayat Saidatina Aishah bahawa Nabi bersabda kepada Saidatina Asma’, “Wanita apabila sudah baligh seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali ini dan ini". (Rasulullah s.a.w menunjukkan muka dan tangan).

Setelah berbincang, kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, oleh yang demikian kami rujuk kitab hadis Abu Daud dan mendapati bahawa Abu Daud mengatakan bahawa hadis ini mursal iaitu terputus sanadnnya, oleh yang demikian, tidak dapat dipastikan kesahihannya. Ini adalah kerana Khalid bin Duraik dikatakan tidak berjumpa dengan Saidatina Aishah r.ha. Oleh yang demikian, hadis ini tidak dapat menyangkal ayat al-Qur’an yang ditafsirkan oleh Ibnu Abbas dan tidak pula bertentangan dengannya. Ini adalah kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana Abu Daud sendiri yang meriwayatkannya dan tidak pasti kesahihannya.

Dalil yang mengatakan seorang wanita telah menemui Rasulullah s.a.w semasa ihram untuk bertanyakan soalan, kemudian Fudhail bin Abbas melihat wanita itu. Rasulullah memusingkan wajah Fudhail ke arah lain supaya tidak memandang wanita itu. Ini adalah kerana wanita itu tidak memakai purdah. (Pertikaiannya ialah Rasulullah tidak mengarahkan wanita itu berpurdah sebaliknya hanya memusingkan wajah Fudhail)

Kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini dipertikaikan oleh ulama’ yang menghukum tidak perlu menutup muka ialah kerana Rasulullah tidak memerintahkan wanita itu menutup muka sebaliknya hanya menolehkan wajah sahabatnya Fudhail. Manakala menurut ulama’ yang menghukum wajib menutup wajah mengatakan bahawa ini berlaku ketika ihram. Sebagaimana kewajipan memakai purdah adalah terkecuali ketika solat dan ihram, maka wanita ini tidak wajib berpurdah kerana sedang berihram. Sebab itu, Rasulullah hanya menolehkan muka sahabatnya dan tidak memerintahkan wanita itu menutup mukanya. Oleh yang demikian kedua-duanya mempunyai hujah yang seimbang. Wallahua’lam.

Dalil ketiga ialah selepas menunaikan Solat Hari Raya, Rasulullah berkhutbah, seorang wanita bangun dan bertanya soalan kepada Rasulullah, dalam hadis ini menyatakan bahawa wanita itu wajahnya kemerah-merahan. (pertikaiannya, Rasulullah tidak menyuruh wanita itu berpurdah, sebaliknya hanya menjawab soalannya)

Kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini menjadi hujah bagi yang mengatakan pemakaian purdah tidak wajib kerana wajah wanita yang berdiri itu kemerah-merahan, oleh yang demikian ia jelas terbukti wajahnya kelihatan. Namun pendapat ini dipertikaikan oleh ulama-ulama’ yang menghukum wajibnya purdah kerana hadis ini tidak tercatatkan bila, oleh itu terdapat kemungkinan ia berlaku pada solat hari raya antara tahun-tahun sebelum tahun kelima hijrah. Ini adalah kerana kewajipan menutup aurat diperintahkan pada tahun kelima hijrah sedangkan kewajipan solat hari raya pada tahun kedua atau ketiga hijrah. Selain itu, wanita ini juga berkemungkinan telah tua bangka kerana wanita yang telah menopause atau tiada berkeinginan berkahwin diizinkan menanggalkan purdahnya berdasarkan ayat al-Qur’an Surah an-Nur ayat ke-60. Oleh itu kedua-dua hujah adalah seimbang. Wallahua’lam.

Kesimpulannya, kami berpegang pada aurat wanita yang wajib ditutup adalah seluruh tubuh kecuali mata di hadapan lelaki ajnabi kecuali ketika solat dan ihram.

Oleh yang demikian tiada pertikaian mengenai menutup dahi atau tidak dan memakai sarung tangan atau tidak. Bagi yang berpegang pada sunat, perlulah berdasarkan dalil yang rajih yang telah dikaji begitu juga bagi yang berpegang pada wajib perlulah didasari kajian dan penelitian dalil yang adil dan bukan ikut-ikutan.

Bagi mereka yang berpegang pada wajib, namun tidak mendapat restu ibu bapa. Wajib berpurdah kerana kita bertanggungjawab pada Allah bukan pada manusia. Walaupun ibu kita menangis dan memulaukan kita. Kita wajib taat pada Allah. Tidak ada ketaatan pada ibu bapa di atas perkara-perkara maksiat. Adalah kemaksiatan bagi seorang ibu menyuruh anaknya menanggalkan purdah sedangkan anaknya berhukum pada wajib berdasarkan dalil yang paling rajih yang telah dikajinya. Oleh yang demikian seseorang itu tidak boleh dipaksa untuk meninggalkan mazhab pegangannya. Jika dia berpegang pada wajib memakai purdah, maka tiada sesiapa boleh menghalang atau mengatakan ia wahabi atau ekstremis (berlebih-lebihan). Ini adalah kerana setiap orang ada mazhabnya sendiri dalam Fiqh, dan oleh itu tidak boleh mengatakan orang salah atau menuduh sembarangan atau menuduh orang lain berlebihan hanya kerana ORANG LAIN YANG BERBEZA PANDANGAN sedangkan dia telah mengkaji tentang hukum tersebut. Maka, wajib atau sunat itu pendapatnya. Begitu juga apabila seseorang itu telah mengkaji bersungguh-sungguh tentang hukum purdah dan menghukum ia sebagai sunat, maka tiada sesiapa boleh memaksanya. Ini hanya dalam hal jika ia TELAH MENGKAJI DAN MENDALAMI ILMU MENGENAINYA.

Wallahua’lam bissowab.

14 comments:

  1. Alhamdulillah. Akak pun selama ni mencari dalil yang kata wajib ni, sebab kebanyakan yang akak jumpa akan stresskan "jumhur ulama kata tak wajib".

    Dan akak juga dok study tentang sampai mana kena tutup, dan nyata bahagian dahi juga termasuk. Jadi lebih eloklah pakai style arab yang tutup semua tu.

    Jazakallah, to kakchik & penulis. Mohon izin share kat blog.

    ReplyDelete
  2. wajib atau x, bukan bersandarkan pada pendapat kakak.. tp pendapat jumhur ulama' iaitu majoriti ulama'..

    sy rasa kakak x patut membuat hukum melalui penilaian sendri yg lemah.. melainkan kakak memberi sumber yg jelas dari mana2 fatwa..

    sumber2 yg kakak sediakan tidak ada pembuktian, hanya tulisan yg mengatakan rujuk kitab itu dan ini saja.. kakak x tunjukkan mana kitabnya.. sekurang2nya kakak upload gmbr kitab itu sbb kita xtau sahih atau tidak kitab tu.. skrg ni byk kitab palsu utk lariskan jualan..

    ReplyDelete
  3. Alhamdulilllah.... thanx kak chik... ini agak jelas untuk mereka yg selalu bertanya kepada ana juga :)... kadang2 dah tk larat nk jwb.. asal jawab jer org nak pertikai... syikin minta izin mau shared di belog nyer yer :)

    ReplyDelete
  4. kak haza, semoga perkongsian ini sama-sama menambah ilmu kita kak. silakan jika akak nak kongsi di blog.

    ReplyDelete
  5. Muhammad, kakchik berpegang pada pendapat jumhur ulama. Ini bukan artikel kakchik tapi perkongsian dari rakan di FB yang berpegang pada pegangan purdah itu wajib. Ini bukan penilaian kakchik sendiri tapi kakchik meraikan usaha penulis untuk mengkaji sendiri hukum memakai purdah ini. Muhammad baca habis atau tidak ni? Kakchik tidak berani menulis tentang hukum kerana kakchik bukan ahlinya tapi bila ada mana-mana penulis yang menulis berdasarkan kajian mereka dan kakchik suka cara penyampaiannya, kakchik kongsi. Bukan bermakna kakchik terima bulat-bulat. Terima kasih atas peringatan ya.

    ReplyDelete
  6. syikin, dari satu segi kita rasa lega sebab ada orang yg menulis dgn lebih baik dari kita yg kurang ilmu ni. nanti kakchik kongsikan lagi mana2 tulisan yang santai begini mengenai hukum purdah ni.

    ReplyDelete
  7. salam ziarah =)

    jzkk atas perkongsian

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum,kak chik..
    walaupun yg menulis artikel ini bukan ahli ulama,bagi ain tiada salahnya.
    Adalah lebih baik berbincang dan berkongsi ilmu daripada bergossip perkara yg blm tentu benar terjadi, malah bkemungkinan hanya fitnah semata-mata.
    Mana yg baik kita ambil, yg tidak kita buangkn jauh-jauh...

    ReplyDelete
  9. Selamat datang Srikandi Ummah. Afwan.

    ReplyDelete
  10. Wa'alaikummussalam Ain. Setuju dengan pandangan Ain. Sekurang-kurangnya penulis menulis berdasarkan perbincangan dan penelitian beliau dari bahan rujukan yang beliau cari (w/pun tidak disebutkan secara detail). Kita tumpang ilmu saja.

    ReplyDelete
  11. Nice sharing.. Thankz..

    http://nazira-mypersonallife.blogspot.com/

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs