Followers

23.4.11

Cerita Tudung Labuh dan Niqab

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Macam dah lama benar tidak menulis seperti biasa. Malam tadi pun hanya kongsikan salinan berita akhbar tentang poco-poco tanpa sebarang ulasan. Sebelum tu cerita tentang anak-anak saudara yang sedang sakit dan sebelum-sebelum tu pulak hanya kongsikan artikel orang lain. Kalau teman-teman perasan, begitulah kakchik di waktu kesibukan dan bila mana mood menulis grafnya menurun.

Tapi malam ni semangat nak menulis dari hati ni datang kembali. Mungkin kerana kakchik mula merasakan kelesuan di blog sendiri. Mana aci biarkan para pengunjung hanya membaca entri lama kan? Bukannya tak ada apa-apa yang menarik berlaku pada diri kakchik tapi masa nak menulis tu yang terhad. Sama macam menulis diari juga. Ada hari rajin, ada hari malas hehe. 

Baiklah, tajuk malam ni sudah nyata lagi bersuluh di atas tu. Harap-harap apa yang kakchik akan tulis secara spontan ni semuanya berkait-rapat dengan tajuk perkara. Tau-tau sajalah, bila spontan ni kadang-kadang termelencong pulak dari tajuk. Bukannya kakchik buat draf ke apa sebelum menulis ni, mula dengan BISMILLAH, beri salam, terus je tulis apa yang terlintas di hati. Ada bahayanya menulis macam ni, ada orang yang tak puas hati dan silap faham. Tapi, apa kakchik nak kisah kan? Ini gaya kakchik menulis, bukan artikel formal pun, cuma coretan tak formal je.

Tudung Labuh

Alhamdulillah, tahun ni ialah tahun ke-24 kakchik memakai tudung labuh. Mashaallah, dah grad universiti dah kalau nak kira umur 24 ni. Sepatutnya kakchik sudah cukup matang dalam hal bertudung labuh ni. Dulu-dulu istilah 'tudung labuh' ni bagi kakchik ialah tudung bulat yang dijahit daripada kain Palace atau kain Koshibo. Ada satu jenis kain lagi yang kakchik gunakan untuk jahit tudung labuh ni tapi kakchik dah lupa apa namanya. Masa kakchik di U dulu ramai pelajar U suka beli kain tu di Petaling St. Rupa tudung labuh tu macam yang dalam gambar kat bawah ni.

Kenangan ke PBAKL 2007

Fesyen tudung bulat ni kakchik pakai sampai ke hari ni cuma sekarang ni koleksi tudung bulat kakchik sudah tidak banyak selepas 7 helai terkena air karat dan tidak berjaya dihilangkan. Mana ada masa nak jahit tudung baru. Masa tu kakchik mula pakai tudung empatsegi bidang 60" yang kakchik pakai gaya tersendiri agar dapat dijadikan niqab sekali. Kakchik pernah satu masa sangat tidak suka kepada kawan-kawan yang menukar gaya bertudung dari tudung bulat kepada tudung empatsegi ni. Bukan apa, tidak suka tu sebabnya tudung ini tidak dipakai semaksima mungkin iaitu lipatannya menjadikan ianya kecil. Dalam kamus kakchik, ianya masih tudung labuh bila keluasan penutupannya masih lagi seluas tudung bulat.

Semasa menyertai Pesta Buku Kelantan 2009.

Sejak kakchik pakai abaya, kakchik lebih banyak memakai shayla yang biasanya datang sepasang dengan abaya. Jika saiz shayla itu kecil, kakchik akan lapiskan dengan shayla kosong yang lebih besar atau kakchik pakai pashmina. Insyaallah ianya masih menjadi tudung labuh bila dipakai bergantung juga kepada cara ianya dibelit di kepala. Kelabuhan dan keluasan tudung ini menutupi kepala dan aurat kakchik di bahagian atas amat kakchik pentingkan kerana bagi kakchik, labuh di depan saja tak aci, kiri dan kanan bahu juga mestilah labuh barulah dikira seagai tudung labuh mengikut kamus pemahaman kakchik.

Mencuba kaftan di Nordin Batik beberapa tahun lalu.

Pakai tudung labuh ni banyak sangat manfaatnya. Antara yang paling bagus ialah nak solat tidak memerlukan kakchik membawa telekung sembahyang jika ke mana-mana. Kakchik hanya perlu pastikan pakaian kakchik bersih dan kakchik solat saja dengan memakai pakaian tersebut, tudung sudah labuh, kakchik bawa sarung tangan dan stokin 'spare'. Segalanya menjadi mudah. Selain itu, tudung labuh lebih menjaga aurat, jika ditiup angin pun jaranglah terbuka aurat w/pun tudung melekat di dada. Yang tidak disengajakan akibat ditiup angin ni, kita dimaafkan.

Tudung labuh juga menjadikan kakchik lebih menjaga akhlak. Insyaallah perasaan malu hadir bila nak buat perkara-perkara yang tak sepatutnya seperti ketawa mengilai depan orang ramai, bercakap kuat-kuat untuk menarik perhatian, bak kata, segan bila nak buat benda yang tidak sopan. Ia juga menjadi perisai kakchik daripada masalah ketika bermuamalah dengan lelaki asing. Rasa macam hati ini sangat dijaga dan perasaan malu sangat tebal jika terpaksa berurusan seorang dengan seorang dengan lelaki asing/ajnabi. Malahan, tudung labuh ini buat kakchik rasa kakchik lebih ingat kepada Allah SWT. Alhamdulillah.

Niqab/Purdah

Dari tahun dua pengajian di kampus hingga ke hari ini, alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana memberikan kakchik kekuatan untuk terus istiqomah memakai niqab. Kali pertama memakainya secara tetap di tahun 1995 walau di dalam kampus masih on-and-off, kakchik amat bersyukur kerana Allah beri keyakinan untuk hadapi apa saja dengan tidak membuka niqab ini. Satu masa dulu bila melihat kawan-kawan baik yang asalnya berniqab membuka niqab selepas grad, kakchik mohon sangat-sangat pada Allah agar tetapkan hati kakchik untuk istiqomah. 

Dugaan datang silih berganti, sama juga dengan orang lain yang hidup untuk memperjuangkan agama ini dalam masa yang sama mahu menegakkan sunnah Ummahatul Mukminin ini. Prejudis ada di mana-mana tapi sokongan dan dorongan juga ada di mana-mana. Yang penting kita mempunyai sokongan moral yang kuat dari orang sekeliling terutama keluarga dan rakan rapat. Biasanya sokongan keluarga bukan mudah nak dapat tapi dengan keyakinan yang ditunjukkan, akhirnya keluarga terima kakchik seadanya begini. Mereka mungkin tahu, kakchik lain dari yang lain. :)

Bertudung labuh dipadankan pula dengan baju longgar seperti jubah atau abaya, sudah lengkap pada pandangan kakchik. Sudah tentulah sarung kaki juga penting kerana kaki juga aurat. Setengah orang percaya tangan juga perlu ditutup tapi kakchik masih lagi lemah iman bahagian ini. Pada kakchik, selagi lengan baju kakchik terkancing tetap di pergelangan tangan, maka kakchik sudah cukup menutup aurat. Hanya dalam keadaan tertentu saja kakchik akan memakai sarung tangan. Jika lengan abaya kakchik luas, kakchik baju kurung atau t-shirt lengan panjang yang ada kaff di hujungnya agar bila tangan diangkat tidaklah nampak lengan kakchik. Insyaallah selamat

Ada orang bagi alasan kata pakai tudung labuh, pakai jubah ni 'serebeh' atau nampak selekeh. Tidak sesuai untuk kerja pejabat, nampak tak sofistikated, kekampungan dan macam-macam lagi. Tapi, kakchik yakin kakchik telah mengubah persepsi itu pada diri kakchik. Tudung labuh dan purdah ini menambah keyakinan diri untuk tampil lebih kemas, rapi malah lebih elegan dalam bekerja, berniaga atau bersosial. Inikan pakaian Islam, pakaian sunnah pulak tu, pastilah kakchik rasa amat bangga memakainya, bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi untuk ketaatan sebagai hamba Allah SWT. Bangga kerana kakchik seorang Muslimah. Bangga kerana kakchik beragama Islam, agama yang memberi ganjaran kepada umatnya yang mengikut suruhan Allah.

Tudung labuh dan niqab ini adalah pakaian untuk menutup aurat, tutup aurat itu satu kewajipan yang dituntut, maka seharusnya kakchik kena yakin dalam mengamalkannya. Dan kakchik bahagia bila dapat melaksanakannya dengan penuh istiqomah. Semoga hati kakchik juga sentiasa ikhlas dalam amalan ini. Bukan mudah nak melawan mazmumah seperti riak terutama bila dipuji orang. Istighfar jugalah yang sebaik-baiknya. Bahagia dan seronok dalam pakaian ini. Tenang dan damai hidup ini bila mengamalkan sunnah ini. Semoga Allah tetapkan iman kakchik.

16 comments:

  1. suka tgok abaya kakchik.. lawa2... kalau kami ada peluang p sana.. t boleh tgok2 ek..

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, KakChik.

    Memang benar kak, perasaan tenang itu dapat ain rasakan setelah berniqab.
    Namun hingga kini ain belum ada kekuatan untuk menerangkan hal yang sebenar kepada kedua-dua ibu bapa ain.
    Ain berharap akan adanya kekuatan untuk berhadapan dengan mereka nanti, insyaAllah.

    ReplyDelete
  3. kak chik xpi ke PBAKL kt PWTC?? kot2 buka booth ker..

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah setuju dgn pandangan kakchik tu.

    ReplyDelete
  5. ukhti syikin, terima kasih. Nanti kalau berhajat nak pakai abaya, bolehlah beli dengan kakchik ya.

    ReplyDelete
  6. Wa'alaikummussalam Ain. Alhamdulillah. Untuk maklumkan pada keluarga tu, kakchik doakan satu hari nanti Ain dan suami dapat sampaikan kepada mereka dengan penuh berhikmah. Insyaallah Ain mampu hadapi apa jua reaksi mereka selepas itu dengan tenang dan tabah.

    ReplyDelete
  7. أِبنو سلنجوري : tahun ni tak pi, ada kerja kat sini yang tak memungkinkan kakchik ambik cuti. kat PBAKL tak mampu nak buka booth. kat PBK aje mampu :)

    ReplyDelete
  8. assalamualaikum

    kak chik ape khabar???

    suka2 "post" kak chik kali ini..

    alhamdulillah saya rasa "seronok"
    setuju ngan pndgn yg kak chik kemukakn ttg tajuk kali ini.

    ReplyDelete
  9. salam kak chik..apa khabar..semuga kak chik sehat walafiat.

    ReplyDelete
  10. Wa'alaikummussalam Noor Azlen. Alhamdulillah kakchik baik-baik saja. Terima kasih. Semoga ada manfaatnya.

    ReplyDelete
  11. Wkslm kak ina. Kakchik baik2 saja kak. Alhamdulillah. Lama akak tak singgah ya.

    ReplyDelete
  12. Assalammualaikum, chik dan rakan2,

    Minggu lepas akak pegi ke kompleks PKNS di shah alam. Kalau di shah alam ni, kat situlah pusat pakaian muslimin muslimah, nak cari jubah, tudung, kufi, pakaian haji/ihram semua ada.

    Tapi akak sangat frust sebab susah nak cari tudung labuh yang dah siap. Serius, segenap corok kompleks tu akak jelajah, tak jumpa jenis tudung labuh yang akak suka pakai sekarang ni, iaitu yang evergreen macam budak sekolah punya, tak de fesyen-fesyen :-D. Yang banyak ialah tudung labuh dengan awning. Akak kurang minat yang berawning sebab tak boleh pakai dengan flip niqab.

    Jadi sudahnya, kenalah jahit sendiri atau upah orang jahitkan kalau nak pakai tudung labuh baru. Kain bidang 60 yang sesuai buat tudung pun bukan senang nak cari kalau di kedai dekat2 rumah akak.

    Anyway, akak pun suka pakai tudung labuh atas sebab yang sama macam chik tu.

    Lagi satu, bagi ibu2 yang ada anak2 dara meningkat remaja, bila ibunya patuh berpakaian menutup aurat dengan sempurna, insyaAllah mudah sikit nak bimbing anak2 dari segi etika berpakaian. Mudah sikit je, hehe, sebab pengaruh persekitaran memang hebat.

    ReplyDelete
  13. Wa'alaikummussalam kak haza.

    Astaghfirullah... kalau dinilai dr pengalaman akak tu, chik rasa wanita Islam di negara kita ni suka ambil mudah saja. Sebab itu tudung2 labuh yg mcm kita suka pakai tu sudah sukar diperolehi. Insyaallah di KB ni masih ada banyak tapi itupun makin kurang permintaannya. Pasaran tudung segera berawning lagi meluas kini.

    Chik dari dulu jahit sendiri je sebab yang siap dijual selalunya amat labuh di bahagian belakang sedangkan chik selesa jika labuh depan blkg sama mcm dlm gambar atas. Lagipun yg siap dijual takde niqab.

    Maybe Chik nak pasarkan tudung labuhlah pulak lepas ni melalui Abaya Elegan. Mudahkan para muslimah mendapatkannya.

    Betul kata akak pasal nak didik anak2 dara tu. Harap2 ibu2 itu tidak membiarkan anak2 pakai ikut dan saja.

    ReplyDelete
  14. assalamualaikum akak...
    mlm td baru berdiskusi mengenai hal bertudung labuh dengan suami. Walaupun skrg bertudung labuh, tp bg suami sya, tak memenuhi keinginan dia untuk melihat saya memakai tudung bulat seperti gambar akak di atas. KIni rasa bersalah juga,,, Tp akak doakan satu hari nanti saya berjaya pakai mcm pakaian diatas ni...

    ReplyDelete
  15. assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh...ana suka membaca blog kak chik..alhamdullilah...tahun nie ana ada keyakinan untuk memakai tdung labuh..apabila ana melihat abg ustaz atau kakak ustazah diluar sana..ana merasakan diri ana hina..huhu..ana masih bersekolah dan skrang sdah tingkatan 5...kak chik boleh x memberikan ana kata2 semangat..huuh..ana hanya sekolah biasa bukan sekolah pondok atau tahfiz...ana mula2 ingin mengetahui lebih dalam tentang islam ana merasakan tiada sapa yg mampu membimbing..hinggalah suatu hari ana terjmpa blog kakchik...kakchik ana ingin sangt pergi ke Mesir..tapi ana takut tidak dpt kesana...sebab ana selalu mendapat fitnah org lain..mengatakan ana berlagak alim..org skrang pakai tudung fesyen dia pakai tudung labuh...ana redha...ana ingt kata ustaz ana..pedulikan apa yg mereka katakan..huuh..harap kakchik boleh tolong ana..ana ingin sangt berpurdah tapi

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs