Followers

10.10.11

PERKONGSIAN: Talian Hayat Buat Isteri

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pagi ni kakchik nak kongsikan 35 TIPS yang dipanggil TALIAN HAYAT BUAT ISTERI hasil nukilan Dr. Harlina Halizah Siraj, seorang tokoh motivasi. Semoga kita para isteri akan mendapat banyak manfaat darinya.


TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 1 - Ikhlaskan niatmu menjadi teman hidup pasanganmu. Ketetapan Allah memilih yang seorang ini buatmu, dari berjuta lelaki di dunia. Pasti ada hikmah yg tersirat dan tersurat. Ayuh, kita selongkar rahsia Allah itu dalam hidup seharian bersama, pasti di situ kau kan temui bahagia....

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 2 - Pertahankan ikatan pernikahan yang dibuat atas nama Allah yg Maha Agung. Hanya dgn nama-Nyalah, apa yang asalnya haram antara engkau & sidia, menjadi halal dan dibolehkan. Genggam erat ukhuwwah yg terjalin - penuh pasrah dan tawakkal.

TALIAN HAYAT UNTUK PARA ISTERI : Nota 3 - Pandu arah kehidupan bersama ini semata2 utk mencari redha Allah. Saling bantu membantu dalam usaha kebaikan dan takwa. Kumpulkan sebyk mungkin bekalan. Moga tika kita terpaksa berlutut di depan Allah sendiri-sendiri, amal bakti yg kita kutip bersama mampu meraih belas ihsan Allah buat kita sekeluarga.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 4 - Fahamilah erti sebenar taat kepada suami yang disarankan agama. Ketaatan itu bukannya menurut semua perintah suami tanpa usul periksa. Demi hubungan yg harmoni & sejahtera, elok benar kalau siisteri yang mengalah / `surrendered',di saat kita mampu menunjuk lagak menyombongkan diri terhadap suami. Merendah diri bukan minta dipijak-pijak! Sekadar menunjuk akhlaq terpuji, agar tenang hati suami. Rugikah kita para isteri kalau kita taat secara rela diri?

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 5 - Selitkan doa setiap masa, moga Allah SWT mencampakkan hidayah-Nya ke dalam hati suami kita. Moga lebih cinta dia kepada iman, takwa dan ihsan. Moga dia terus gigih mencontohi suami teragung, Muhammad SAW. Mudah-mudahan jua, bersama kita meniti kehidupan dalam redha dan kasih sayang Allah setiap masa dan ketika!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 6 - Hargailah setiap usaha, kasih sayang, saraan hidup dan pemberian suamimu, insan kerdil yg begitu gigih cuba melaksanakan amanah berat di bahunya. Hentikan cemuhan, kritikan, sindiran dan perli dlm setiap patah ayat yg ditujukan utknya. Gantikan dgn kata semangat dan keyakinan yg mampu mendorongnya menjadi suami yg lebih menyerlah, InsyaAllah.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 7 - Didiklah hati agar menyayangi wanita yang melahirkan suamimu, kenanglah jasanya mendidik anak lelakinya menjadi pasangan yang mengasihimu kini. Jangan sekali jadi musuh @ saingannya, sekalipun itu mungkin tanggapan ibu mertua terhadapmu. Yakinkan hatinya, bahawa engkau bukanlah perampas kasih anaknya. Engkau sebenarnya permata yang menyinari hidup suami dan juga penyeri hidupnya, jika dia sudi memberi peluang tersebut kepadamu!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 8 - Belajarlah untuk ikhlas dalam memberikan kasih sayang dan cinta utk suamimu. Seringkali ada sahaja niat dan sebab musabab lain semasa kita melafazkan ikrar kasih. Jika benar ikhlas, engkau takkan mudah kecewa jika sesekali seperti cintamu tidak berbalas, penat lelahmu tidak dihargai. Keikhlasanmu kan menjadi daya penarik yg kuat mengikat hati suamimu kepadamu!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 9 - Serlahkan bakat dan potensimu, gunakan kecerdasan dan keupayaanmu untuk memberi manfaat kepada orang lain. Prihatinlah kepada keperitan hidup masyarakat di luar sana, bantulah semampu boleh. Jadilah manusia yang banyak jasanya - pasti suami dan anak-anakmu bangga beristeri dan beribukan seorang yang istimewa seperti kamu!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 10 - Bijaklah mengurus masa, modal anugerah Allah kepada kita semua. Senaraikan keutamaanmu dan tumpukan usaha mendahulukan mana yang sepatutnya dibereskan dahulu. Dapatkan bantuan suami dan anak2 untuk menyelesaikan tugasan. Jangan bebankan dirimu cuba menjadi `wanita luarbiasa' - suamimu cuma inginkan seorang isteri solehah yg bijaksana!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 11 - Beranikan dirimu untuk mempercayai kejujuran suamimu dalam melayari bahtera ini bersama. Sesungguhnya, kepercayaanmu ibarat titisan air yg diperlukan oleh rimbun untuk kekal menghijau. Tanpanya, ia akan layu kekuningan. Namun, suamimu perlu jua diperingatkan - agar cermat menjaga kepercayaan itu ibarat kaca yg mudah retak & calar. Sekali tercalar, mungkin selamanya terluka...

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 12 - Imbangilah antara kebergantunganmu kepada suami dgn keupayaanmu untuk berdiri di atas kaki sendiri. Pasrahmu yang total hanyalah kepada yg Maha Agung. Saling bergantung, perlu memerlukan adalah perencah kenikmatan hidup bersama. Jikalau masih sendiri-sendiri, apalah erti hidup sebumbung. Sementara dia masih ada di sisi, kita serahkan kemudi bahtera di tangan suami. Namun jika dia harus pergi, kita akan mampu memikul amanah yg ada, InsyaAllah!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 13 - Dapatkan maklumbalas sejujurnya dari suamimu mengenai akhlak dan tingkahlakumu. Biarkan dia berkata-kata tanpa sebarang gangguan, sekalipun hatimu melonjak-lonjak mahu bersuara membela diri. Mohonlah giliranmu pula memberikannya maklumbalasmu. Pilihlah perkataan terbaik dalam menyusun buah tuturmu. Istiqamah dalam muhasabah, kunci tautan dua hati yg ikhlas mencintai kerana Allah SWT.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 14 - Ubati segera hatimu yang terluka mendengar pengakuan suamimu : cintanya sudah beralih kepada wanita lain. Jgn pantas menyalahkan dirimu, apatah lagi mengalah dan berundur. Jgn pula biarkan cemburu merasuk diri, mengocak ketenangan & membakar amarahmu. Tenanglah dahulu, santuni emosimu yg terhiris pilu. Biarkan airmatamu mengalir buat seketika. Namun yakinlah, sesungguhnya engkau masih belum kehilangan segala-galanya.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 15 -Pilihlah tindakan yang bijak dalam menangani kemelut suamimu mahu atau sudah berkahwin lain. Berikannya peluang menjelaskan keadaan. Dapatkan segera bantuan org tengah yg adil & amanah. Berpandulah kepada akal, melebihi emosimu di saat ini. Jgn biarkan dirimu seratus peratus dipersalahkan,kelemahanmu dikatakan punca suami terpaksa mencari yang lain. Ingatlah, suamimu yang sepenuhnya bertanggungjawab atas pilihan dan tindakannya.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 16 - Hindarkan nada keras, kasar dan lantang apabila berbicara dengan suamimu. Banyakkan mendengar dari bersuara, kerana sesungguhnya Allah melengkapkan manusia dengan sepasang telinga dan hanya satu mulut sahaja. Janganlah ambil kesempatan dari sifat pendiam dan mengalah suamimu. Berikan rasa hormat dan penghargaan yang sebaik-baiknya. Percayalah, anak-anak sedang memerhatikan kemahiran berkomunikasi kalian berdua!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 17 - Serahkan anak-anakmu untuk dijaga sepenuhnya oleh ayah mereka (suamimu) sekali sekala. Yakinlah, mereka akan kelihatan gembira, selamat dan masih bernyawa bila engkau kembali. Hampir pasti, cara suamimu amat berbeza dengan gaya rutin kebiasaanmu. Apalah salahnya membiarkan suamimu mempraktikkan kemahiran kebapaannya. Sebaik manapun engkau sebagai ibu, takkan dapat menjadi seorang bapa terbaik untuk anak-anakmu.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 18 - Hentikan segala kritikan, komen, sungutan dan rungutan terhadap kelemahan dan kekurangan suamimu. Sifat bongkaklah yang menjerumuskan syaitan ke lembah kehinaan dan laknat Allah. Dengan sifat itu jualah syaitan akan merosakkan hubungan perkahwinanmu. Gunakan kaedah penuh hikmah dan merendah diri dalam menegur suamimu. Berikannya peluang dan masa untuk memperbetulkan kesilapan serta ketidakcekapannya selama ini.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 19 - Hiasi kediamanmu penuh kesederhanaan, sekalipun engkau mampu menyalutinya dengan kemewahan. Nyamankan hawa segenap ruangan rumahmu dengan alunan tadarus Al-Quran. Hangatkan kedinginan dengan kemesraan ziarah ukhuwwah tetamu yang datang. Hijaukan halaman dengan pepohon yang segar mengiringi zikirmu. Jadikan ketenangan tema utama yang dikongsi bersama dengan semua yang sudi bertandang.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 20 - Layanlah ahli keluarga suamimu sebagaimana engkau mahu dia melayani keluargamu. Janganlah tunjukkan kebencian dan rasa kurang senang semasa bersama ipar-duaimu. Hindarkan sebarang pertembungan yang memaksa suamimu memilih antara engkau dan keluarganya. Berikanlah hadiah, sambutlah kedatangan mereka ke rumahmu dengan ramah tamah dan senyuman keikhlasan - nescaya keberkatan rezeki melimpah ruah dalam kehidupan.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 21 - Janganlah sesekali putus asa dari rahmat & kasih sayang Allah. Jika suamimu kini bukanlah seorang soleh yg taat pada perintah Tuhannya - sungguh amat besar ujian Allah buatmu. Mohonlah satu dari dua kekuatan - agar kau kuat menghadapi cabaran ini & cukup kuat utk membebaskan diri jika itu pilihan yg terbaik ataupun suamimu diberi kekuatan oleh Allah utk bertaubat nasuha, berubah dan beristiqamah menjadi insan yg jauh lebih baik!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 22 - Lindungi dirimu dan anak-anakmu dari didera secara fizikal, emosional dan seksual oleh suamimu. Allah telah memerintahkan suamimu agar sentiasa berlaku maaruf (baik) terhadapmu. Sebesar manapun silapmu, suamimu tidak berhak menghinamu dengan kekerasan, kekasaran dan keganasan. Jgn malu memohon bantuan keluarga, rakan dan taulan. Sesungguhnya engkau berhak mendapatkan pembelaan dan perlindungan!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 23 - Semaikanlah kecintaan terhadap ilmu pengetahuan, sebaik-baik penyuluh kehidupan dan neraca pertimbangan. Kutiplah mutiara kebijaksanaan di mana jua engkau menemuinya. Jadilah manusia berilmu dan bermaklumat. Buatlah keputusan berasaskan ilmu, hadapi segala cabaran dengan senjata ilmu, pelihara hakmu melalui keteguhan ilmu dan pertahankan hujahmu dengan kubu ilmu.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 24 - Perbaiki mutu komunikasi antara engkau dan suami. Semoga tiada yg terselindung, hingga yang satu pihak lagi hanya bersangka-sangka dan berteka-teki. Sekiranya suamimu makin kasar tingkahnya, mungkin ada terselit kekecewaan di hatinya - hingga keganasan jadi pilihan. Jangan terus-menerus menjadi mangsa penderaan. Hentikan segala kemelut rumahtangga!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 25 - Jangan jemu berbakti kepada keluargamu. Semuanya InsyaAllah, dikira ibadah oleh Allah SWT. Memang kadangkala seperti tiada siapa yg peduli apatah lagi menghargai penat lelah dan payah jerihmu. Bukankah manusia sememangnya pelupa. Namun, kita punya Allah SWT yg tidak pernah terleka, terlalai atau tertidur dari memerhatikan kita!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 26 - Perbanyakkan sedekah kepada ahli keluargamu. Bagi isteri bekerjaya, peruntukkan sebahagian gajimu utk infaq dan perbelanjaan keluarga. Namun, izinkanlah suamimu menyara dirimu, semampunya. Jgn ambil alih tgjwbnya mencari rezeki yg halal buatmu dan keluarga. Mudah2an kehidupanmu sentiasa dalam kecukupan yg barakah....

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 27 - Luahkan keinginanmu untuk dihargai dan disayangi. Khusus bagi yg tidak bekerjaya di luar rumah, keperdulian suami dan anak2 buatmu adalah penyegar tubuh dan emosi yg kepenatan. Jangan terus menjeruk perasaan. Amat wajar untuk engkau nyatakan apa yg terbuku secara terus dan terang. Sesungguhnya, engkau memang berhak disayangi dan dihargai.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 28 - Pastikan solatmu kerap diimami oleh suamimu. Jgn lepaskan peluang utk mengaminkan setiap titipan doanya. Jika suamimu seorang yg tersangkut hatinya di masjid/surau - sesekali, mohonlah hakmu untuk dipimpin dalam solatmu. Namun jika suamimu seorg yg sengaja engkar dan berani meninggalkan solatnya - jgnlah jemu memperingatkan tugas utamanya sbg abdi Allah yg Maha Besar kekuasaan-Nya!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 29 - Jangan berdendam terhdp perbuatan silap suamimu yg silam. Cubalah memaafkan dan hilangkan amarah di dada. Engkau mungkin sukar utk melupakan, namun engkau ada pilihan sama ada mahu memaafkan atau sebaliknya. Jgn biarkan api membakar sekam, nanti yg tinggal hanyalah abu dan arang.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 30 - Carilah seorang sahabat setia yg boleh berkongsi kesedihanmu, namun cukup amanah utk menjaga segala keaibanmu. InsyaAllah, engkau tidak akan sukar mencari sahabat sebegitu, jika engkau sendiri sentiasa menjalankan tgjwb seorang sahabat sejati kpd org lain. Jgn cuba dipendam-pendam, disorok dan dijeruk perasaan yg luka....bimbang kelak tak tertanggung lagi.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 31 - Ingatlah bhw engkau umpama pakaian (libasa) bagi suamimu dan dia pula pakaian bagimu ( Al-Quran - AlBaqarah : 187). Bertindaklah yang molek agar suami boleh berbangga dengan setiap lakumu. Peringatkan jua suamimu agar dia memperelokkan setiap tingkahnya, kerana engkau jua ingin tumpang bangga dengannya.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 32 - Pertingkatkan komitmen keluargamu utk mempraktikkan cara hidup Islam yg syumul. Peliharalah solat, jgn sekali abaikan perintah Allah. Didik anak2mu utk mematuhi suruhan Allah. Moga2 keluargamu terbimbing menjadi keluarga sakinah.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI - Nota 33 - Ikhlaskan setiap detik yg telah, sedang dan akan dihabiskan bersama suamimu. Ganjaran segala pengorbanan & susah payahmu bukannya datang dari suamimu, melainkan hanyalah daripada Allah SWT semata-mata.

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI - Nota 34 - Sentiasalah saling nasihat-menasihati. Bagi sebahagian isteri, menasihati suami mungkin sesuatu tugas yg hampir mustahil. Namun, kita tidak boleh berhenti berusaha, berikhtiar dan mencuba. Mulakan dgn meminta nasihat dari suamimu terlebih dahulu. Timbang-tara segala nasihatnya. Perbaiki mana yg kurang, tampung mana yg bocor. InsyaAllah, tak lama lagi, suamimu akan meminta dinasihati pula, InsyaAllah!

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 35 - Peringatkanlah suamimu akan pesanan ayat ke6 Surah At-Tahrim - di mana dia diperintahkan Allah untuk memelihara dirinya dan dirimu serta anak2 dari azab api neraka! Besar sungguh tanggungjawab yg dipikulnya! Engkau dan anak2 tidak akan menanggung dosanya, namun kemungkaranmu dan anak2 akan ditanggungkan ke atas bahunya! Cukuplah pesanan itu menjadi peringatan!

5 comments:

  1. Assalamualaikum kakchik....mohon share blh?

    ReplyDelete
  2. salam kak chik
    rose mohon izin share di fizarose.syukran

    ReplyDelete
  3. Wa'alaikummussalam Toyyibah. Silakan dik.

    ReplyDelete
  4. terimo kasih ...


    no 18 tu , payoh sikit nok buat tu

    ReplyDelete
  5. wkslm rose. silakan.


    sama-sama kak pB. meme ayoh jugok tp insyaAllah buleh buat.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails