Assalamualaikum dan salam Ramadhan.
Pagi tadi KakChik dengan Cik Abe pergi bersahur di rumah Ummi. Kami bawa sebiji kek keladi (lebihan yang dijual Cik Abe di pasar Ramadhan Peladang). Semua yang makan, kata kek tu sedap... nampaknya hari ni bolehlah Cik Abe tambah bilangan kek yang dijual. Dia borong kek-kek tu dari sebuah kedai kek di Beris, Bachok. Baru sekejap Cik Abe bertolak ke Panji untuk buka gerai. KakChik doakan hari ni jualan Cik Abe bertambah baik. Dia sedang semangat tu...
Sahur pagi tadi kami makan nasi berlaukkan sup ayam, ikan percik, dan daging goreng kunyit. Pencuci mulut pula pengat ubi keledek, sira tapai, kek keladi dan cendol. Banyakkan. itulah kalau berbuka atau bersahur di rumah Ummi. Macam-macam yang Ummi sediakan. Walhal bukan semuanya habis. Kata Ummi, tak apa... sebab nanti berbuka boleh makan lagi. Itulah Ummi KakChik.
Semalam kami berdua diserang sakit perut sejak tengah hari. Tak taulah apa yang kami makan hingga kami berebut bilik air. KakChik cek dengan Ummi, Ayah dan Adik, makanan apa yang berbeza yang kami makan... semuanya sama je. Tapi kami aje yang diserang... hari ni pun masih ada lagi saki-bakinya. Nasib le... dah lah kat rumah ni masalah air belum selesai, kami pulak macam ni... harulah jugak.
OK, berbalik ke rumah Ummi, selepas Subuh tadi KakChik sempat menghabiskan 3 bab modul CDCA Information Technology & Application (esok pagi ada tutorial) sambil-sambil tunggu Cik Abe balik dari masjid. Nak masuk bab 4, mata dah mula layu... lampu ruang tamu rumah Ummi pula malap saja. Mata mana yang dapat bertahan. Syukur... berjaya juga habiskan 3 bab. Tutorial esok kira bersedialah juga.
Bila semua dah balik dari masjid, hari pun dah pukul 7 lebih. Orang yang kerja buat rumah KakChik pun dah datang. Kami ramai-ramai ke belakang rumah Ummi nak tengok rumah KakChik yang sedang dibina. Nampaknya mereka sedang bina pelantaian untuk tingkat atas. (Gambar kanan) Nampak tu Pak Muda kat atas tu... Ayah kat bawah sedang bagi arahan. Itu ruang dapur dan bilik air bawah.
Ayah dok tanya, kat mana KakChik nak dia bina tangga ke tingkat atas. Pelan asal kami nak bina dekat dengan ruang dapur, alih-alih rasa sempit pulak, akhirnya KakChik cadang buat aja sebelah 'sliding door' pintu utama. Almaklumlah buat rumah di tanah sekangkang kera je, kenalah 'berjimat-cermat'. Tu sebelah kiri tu gambar tapak tangga kamilah tu. Cik Abe tu olok-olok je pegang penyodok simen tu... Ayah jadi mandor sambil pak Muda (adik Ayah) tengok Cik Abe dok berlakon. Haa... kat situlah nanti akan dibina tangga. KakChik bercadang nak ambil gambar bakal ruang tamu kami tapi tak pandai nak ambil 'angle' yang baik. akhirnya gambar tak menjadi. Masih banyak bahan pembinaan yang tersusun menyebabkan susah sikit nak ambil gambar.
Ruang dapur, bilik air bawah, bilik tetamu dan ruang makan, semua dah bina kat bawah. Yang belum bina ialah ruang tamu. Dari kiraan kasar kakChik rumah kami tu ukurannya lebih kurang 20' x 60' je. Tu agakan Kakchik je... mungkin lebih kecik dari tu. Ruang tamu kami lebih kurang 20' x 20' - tempat sofa dan almari buku - yang juga ruang meraikan tetamu. Insya-Allah nanti nak terima ramai tetamu sebab rumah yang sering menerima tetamu berkat. (Betul ke?)
Tu semua gambar yang rakam pagi tadi menggunakan Nokia 6120C. Boleh tahanlah juga telefon ni. Palang-palang kayu dan kekotak simen masih belum ditanggalkan sebab simen yang dibuat semalam masih basah lagi. Mungkin esok akan ditanggalkan dan barulah boleh dimulakan untuk simen tiang-tiang dinding di bahagian atas. KakChik tulis aje apa yang Ayah cakap ni sebab KakChik pun tak tahu bagaimana proses yang sebenarnya. Semua serah kat Ayah. Ini bidang dia.
Agaknya tahun ni tak sempat siap rumah kami tu. Banyak lagi nak kena buat. Duit pun bukan banyak sangat. Lagipun Ummi yang banyak belanja untuk rumah tu. Sekarang ni tingkat bawah hampir siap, cuma ruang tamu yang belum dibina sebab ada beberapa bahagian dinding asal perlu dirobohkan. Lupa nak tulis, tempat kami bina rumah ni asalnya ruang berbumbung untuk menjemur kain. Sempitkan. Agaknya bila dah siap nanti rumah ni 'cute' sangat.
Rumah KakChik kalau tengok dari depan memang tak nampak sebab terlindung oleh rumah Ummi. Kat atas sekali ada gambar rumah keluarga kami yang ceria dengan bunga-bunga Ummi. Ummi ni suka menanam. Yang paling dia suka pokok bunga kertas. Cik Abe kata rumah Ummi ni macam Cameron Highland... dia cadang suruh Ummi buat kolam ikan pula. Tapi sekarang ni Ummi kurang sihat, nak membuang rumput-rampai di celah pokok bunga pun dia dah tak larat. Sejak Ummi sakit, selalunya Ayah atau Adik yang siramkan pokok-pokok tu.
Ummi pun ada menanam sayur-sayur kampung terutama yang nak digunakan sebagai rempah masakan. Yang paling banyak ialah pokok cili, keluarga kami memang sukakan sambal. Selalunya sambal ni dibuat mengikut kesesuaian lauk. Kata Ummi pokok cili dia subur tapi baru-baru ni diserang penyakit, buah yang dah besar tiba-tiba jadi buruk dan jatuh. Itu cili hijau tapi cili padi masih elok.
Pagi tadi tu sempatlah kami anak-beranak ambil angin di sekitar rumah sambil tengok-tengok pokok yang banyak dan pohon bunga kertas yang sedang berbunga mekar sekarang ni. Pernah ada orang datang nak membeli pohon bunga Ummi tu sebab dia ingatkan Ummi menjual bunga. Kelakarlah juga... mungkin dia nampak dari jalan raya bunga yang sedang mekar tu.
KakChik hairan sungguh! Bunga Labina yang warna ungu tu KakChik beli sepasang. Satu KakChik bagi kat Ummi dan satu bawa balik ke rumah sewa. Yang di rumah Ummi masih subur berbunga, sebaliknya yang kat rumah ni, makin layu dan tidak berbunga lagi. agaknya sebab tak ada kawan. Kat rumah ni, itulah bunga pertama. Nampaknya bunga tu KakChik kena bawa ke rumah Ummi juga biar dia berkawan dan berlawan dengan yang satu lagi. Harap-harap lepas ni dia berbunga macam dulu.
Ceria sangat kawasan rumah Ummi dengan pokok-pokok tu. Cik Abe pun sempat ber'posing' dengan bunga-bunga Ummi. Bukan main lagi dia. Seronok je... yelah rumah pun dah nak naik setingkat lagi. Asyik tersengih memanjang... Cik Abe kata nanti biar dialah jadi tukang kebun Ummi, tolong jaga pokok-pokok bunga Ummi. Betul ke Abang ni...?
Seronok pula jalan-jalan sambil duduk-duduk melihat bunga-bunga. Terasa segar jiwa dan badan. Tambahan bulan puasa ni KakChik langsung tak ke kelas senamrobik. Dapat sedut udara segar waktu pagi ni badan pun rasa cergas saja. Mandi saja belum... hehehe.
Dalam pukul 9 pagi kami balik ke rumah sewa ni, kononnya nak bersiap ke HUSM dan BIMB tapi rancangan dibatalkan sebab masing-masing sakit perut....
KakChik
Teratakku
Pulau Melaka
Untuk: keluargakusayang.blogspot.com
Nak tulis apa ye?
3 years ago
No comments:
Post a Comment
Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.