Followers

26.9.08

Sepagi di Pasar Kota Jembal

Salam pagi yang cerah dan indah untuk semua pengunjung.

KakChik sebenarnya baru balik dari pasar ni. Dengan tangan yang sembab dan bengkak ni KakChik terasa rajin pula nak menulis kat ruangan blog ni. Tangan jadi macam tu bukan sebab sakit ke apa, tapi sebab mengangkat raga sayur yang berat tadi.

Hari ni KakChik temankan Cik Abe membuka gerai (buat pertama kalinya) menjual biskut raya dan juga membawa Ummi membeli-belah barangan dapur. Oleh kerana Ummi kurang sihat, lututnya tak gagah sangat untuk berjalan maka KakChik jadi tukang bawa raga dan beg-beg plastik barangan yang dibeli, tu yang bengkak tangan tu... Tak apa, kejap lagi hilanglah.

Hari ini juga tercatat sejarah buat kami suami isteri. Ha.... inilah kali pertama kami merasai suasana berniaga di pasar pagi. Walaupun tadi belum ada satu pun biskut yang laku, kami optimis yang akan ada orang membelinya nanti. Buat masa ni Cik Abe suruh KakChik balik ke rumah dulu untuk siapkan baju Melayu dan kain pelikat untuk di pakai solat Jumaat nanti. Kesian Cik Abe, tinggal dia sorang di gerai tu. Dahlah hari semakin panas dan kami ni sebab takde pengalaman berniaga begitu, manalah ada payung ke apa. Yang ada cuma meja kecil saja. Semoga Allah permudahkan Cik Abe berjualan hari ni. Semoga Allah takdirkan ramai orang membeli biskut-biskut tu. KakChik bimbang Cik Abe sedih kalau jualan kurang nanti. "Good luck Yang... May Allah helps you today and forever."

Bila dah siap susunkan biskut-biskut kat atas meja, KakChik tinggalkan Cik Abe di gerai dan temankan Ummi membeli barang dapur pula. Mula-mula kami singgah membeli mentimun kampung (ala... terlupa nak ambik gambar pulak) dan tapai ubi. Makcik yang menjual tu sangat pemurah, mentimun yang segar dan besar dijual selonggok (dalam 4 @ 5 biji) RM1.00, bila Ummi beli 2 longgok, ditambah lagi beberapa biji. Ya Allah baik sungguh! Patutlah murah rezeki dia sebab pemurah dalam berniaga. Dah tu, tapai ubinya sebungkus sebesar plastik sekilo gula berharga RM1.00 juga. Banyak tapainya tak seperti tapai ubi yang kami beli minggu lepas di gerai lain. Itulah makcik-makcik Kelantan yang berjualan kecil-kecilan tapi pemurah sangat-sangat. Tinggallah dulu timun dan tapai kat gerai tu nanti kami ambil dalam perjalanan balik.

Kami berjalan lagi menuju tempat jualan daging lembu. Wah.... banyaknya daging hari ni. Kalau minggu lepas Pakcik daging tu hanya jual 2 batang kaki lembu (mesti penuh daging la...) minggu ni dah jadi 4. Barangkali sebab beberapa hari lagi kita akan beraya, hari ni orang akan pakat-pakat beli daging untuk buat macam-macam. Kami pun singgah juga sebab Ummi nak beli 2 kilo daging (RM16 sekilo) dan sedikit perut kitab (gambar kanan) untuk dibuat sup pencicah (kegemaran keluarga ni... rebus perut tu sampai masak, masukkan kuah sup, taburkan bawang goreng, daun sup, sambal jantan dan perah limau nipis, ummph sedap sungguh). Nasib kami baik kali ni, masih ada sedikit perut kitab. Kalau minggu lepas, masa yang sama semua dah habis. Minggu ni kami habis RM38 ringgit untuk daging dan perut kitab. Nampaknya malam nanti kami makan sedap... hari KakChik akan berbuka di rumah Ummi, yelah semalam sibuk berpindah tapi masih ada barang di rumah sewa tu. Barang yang besar-besar yang perlu diangkut dengan lori. Kotak-kotak buku dan pakaian juga barangan kecil kami bawa dengan Kenari je. Letih sungguh pindah rumah dalam bulan puasa ni. Sekali ingat sedapnya kalau dapat minum sirap lepas siap angkut barang semalam... isyh, isyh tak baik... puasa ni...

Jalan lagi dan kami singgah pula di Kedai Emas Azrain sebab Ummi nak mengambil gelang Adik dan rantai leher Amreena yang dibaiki. 2 minggu sebelum ni kami dah hantar ke situ. Kedai emas ni taklah besar dan suasana dalam kedai pun bukanlah cantik sangat tapi pelanggannya tak pernah putus. Ummi kata tuan kedai tu ada kedai lain di Kota Bharu. Kedai yang ini hanyalah dibuka pada hari Jumaat. Patutlah dekorasinya sempoi saja. KakChik ambil peluang melihat-lihat pelbagai aksesori wanita daripada emas yang menarik perhatian. Nasib baik KakChik ni jenis tak gemar barang kemas, kalau tak barangkali dah banyak yang KakChik beli. Barang kemas KakChik hanyalah pemberian Cik Abe sejak awal perkahwinan lagi iaitu seutas rantai tangan, sebentuk cincin, 2 pasang subang dan seutas rantai leher yang panjang (yang ni dah jual buat modal bisnes). Semuanya dipakai sejak 6 tahun berkahwin. Kalau Cik Abe nak belikan yang baru KakChik tak mahu, cukuplah kalau sekadar nak berhias.

Sementara menanti urusan Ummi dengan tuan kedai selesai KakChik ambil peluang mengambil beberapa keping gambar suasana di hadapan kedai emas tu. Masa tu lebih kurang pukul 9, orang pun dah semakin ramai dan cabang 3 Kota Jembal dh mula jem (bukan yang makan tu...). Dari dalam kedai emas KakChik boleh lihat macam-macam jenis orang berjualan dan barangan jualan mereka pun macam-macam. Seronok melihat-lihat gelagat masyarakat kita yang datang ke pasar. Ada makcik tua bongkok 3 membawa pelbagai barang belian di tangan kiri dan kanannya siap dengan seberkas daun ketupat palas. Sehari dua lagi orang dah mula buat ketupat palas ada yang ketupat lemak manis ada ketupat tawar. Tapi KakChik 'tok berehi... makanan berminyak atau yang manis-manis'. Walaupun kami orang Kelantan, keluarga KakChik jenis yang kurang manis.

Pagi-pagi pun dah ada orang menjual kuih. Kalau ikut undang-undang PBT untuk pasar Ramadhan, kuih-muih hanya boleh dijual selepas jam 3 petang. Tapi mungkin makcik penjual kuih di kampung ni tidak tahu dan berjualan juga. Setakat yang KakChik lihat ada beberapa orang kaum ibu yang membeli kuih untuk anak kecil yang mengikut mereka ke pasar. Harap-harap tak adalah orang yang tak puasa dan mengambil kesempatan membeli kuih-muih tu...

Selepas urusan di kedai emas selesai, kami ke tempat makcik sambal daging (serunding) pula. Mahal juga serunding sekarang ni. Satu kopi (lebih kurang saiz mug minuman biasa) harganya RM5 untuk daging elok. KakChik tak dengar berapa harganya untuk daging import sebab kereta lalu kat belakang kami, bising. Ummi suka makan serunding dengan nasi terutama bila selera kurang semasa bersahur. Serunding jadi penambah selera. KakChik makanlah juga tapi tak suka sangat kecuali diratah begitu saja.

Hmmm... kalau datang ke pasar ni boleh kurus banyak % puasa ni. Tengok depan orang jual buah, tengok kiri orang jual kuih, tengok kanan orang jual kain baju, tengok tepi orang jual macam-macam. Kalau tak rancang betul-betul banyak yang akan TERBELANJA nanti. Lepas beli serunding RM5 kami beli bula taugeh kontot (gemuk, pendek, segar... cute sangat tapi KakChik tak suka... tak tahan bau taugeh). Satu kopi RM1.00 saja. "Eh, ngapa adik penjual tu tak licinkan taugeh yang dalam bekas tu masa nak masukkan dalam plastik, tak jujur macam tu dik... sepatutnya kena licinkan sebab sukatannya satu kopi penuh. Bukan kami berkira pun tapi berniaga kenalah jujur seperti yang Nabi Muhammad s.a.w ajar."

Kami jalan lagi meredah orang yang semakin ramai. Adoi... lenguhnya tangan menjinjit raga yang berisi daging ni. Nanti nak isi barangan lain pula. Kami nak ke tempat orang jual barangan runcit pula. Rupanya makcik peniaga adalah kawan Ummi. Murah dengan senyuman dan ringan tangannya menimbang dan membungkus barang. Cuba nak ambil gambar elok dia sedang bertegur-sapa dengan Ummi tapi makcik ni bergerak tak henti-henti, semua gambar yang diambil, dia dalam keadaan memalingkan muka. Gambar ni pun kira jadilah.

Di sini kami membeli bawang besar sekilo, bawang merah sekilo, rempah ratus, telur dan klorox. Kalau kami jalan lagi kami akan sampai ke depan SMK Raja Sakti iaitu satu-satunya sekolah menengah di mukim ini. Malaslah nak jalan lagi. Ummi suruh pergi simpan dulu barang dalam kereta, dia nak pergi beli sayur sikit. Katanya dia boleh jalan pelan-pelan. Sayur dia larat lagi nak jinjit. KakChik pun jalanlah terhegeh-hegeh menjinjit raga yang berat di tangan kanan dan sepapan telur (betul ke panggilan dia ni?) di tangan kiri. Beginilah kerja surirumah kalau ke pasar. Patutlah ada ustaz yang sarankan suami yang keluar membeli barangan dapur sebab beratnya, ya Allah.

Sebab dah berat sangat kakChik singgah di gerai Cik Abe. "Yang, Yang tolong hantar ke kereta, biar Nor yang jaga gerai sekejap. Boleh lah Yang... lenguh!" Nasib baik Cik Abe kita baik, dia hantarkan barang-barang tu ke kereta dan tolong pusingkan kereta menghadap jalan keluar. Masa parking tadi KakChik parking ikut sempat je. Kejap aje Cik Abe datang dan lepas tu KakChik pergi cari Ummi dan ambil barang yang dibelinya. Nampaknya semuanya ringan-ringan saja. Penyapu sebatang, sayur seplastik, buah duku tahi ayam (maaf la, itu la namanya) sekilo, dan beberapa alatan dapur yang kecik-kecik. Ummi rehat sekejap di gerai kami sebelum kami balik ke rumah. Dalam berjalan ke kereta tu sempat lagi Ummi singgah beli beberapa sikat pisang kebatu (tak tahu nama suratnya) dan pisang berangan. Mesra dan baik sangat pakcik jual pisang. Pisang pun murah, RM1 untuk 7 biji. Kalau beli di Kota Bharu, hanya 5 biji pada harga yang sama. Sebab tulah Ummi beli banyak, lagipun Ayah suka makan pengat pisang atau sira pisang semasa berbuka. Ayah sorang je yang suka makanan manis tapi tu pun dia hanya suka makan untuk berbuka saja. Biasanya Ayah makan pengat campur dengan nasi atau pulut. Kalau takde pengat atau sira, Ayah takde selera.

Dah tu kami pun baliklah... tinggal Cik Abe sorang-sorang di gerai biskut. Tak tahu macamana rezeki kami hari ni? Moga-moga Cik Abe sabar kalau tak ada yang laku. Ini pengalaman pertama. Kalau ada orang beli, syukur alhamdulillah.

Pukul 11.15 Cik Abe telefon suruh pergi ambik dia. Sedih... takde yang laku. "Hari ni bukan rezeki kita Yang, sabarlah..." Kita cuba lagi lain kali. Pukul 12 kami tutup kedai dan KakChik sempat membeli 5 kilo beras untuk disedekahkan. Itulah hajat KakChik. Selamat tinggal Pasar Kota Jembal, walaupun tiada rezeki kami hari ni, insya-Allah kami akan datang berjualan lagi di masa depan. Tapak sudah ada... hanya tunggu kami sama ada rajin atau tidak menyahut cabaran sendiri. Wallahua'lam.

KakChik
Teratakku, Kg. Pulau Melaka
Untuk: keluargakusayang.blogspot.com

4 comments:

  1. Salam Kak Chik,
    Suko baco cito Kak Chik. Rindu kat psr tu tp Ha jrg2 dgt gi dr kecik2 dulu sapa lah lo ni sbb ayoh/che jah g. Bilo tgk mace2 meme teliur nok g tp bilo tgk oghe ghama2 tu segho pening jah..he..he..

    Napok besa2 jah sekut Kak Chik jua tu. Napoknyo ghayo thn dpn buleh tepoh dgn Kak Chik jah ;)

    ReplyDelete
  2. Wkslm Ha.
    KakChik ingak ghumoh Ha dekak, rajin lah gi psr tu...ruponya dok.

    Meme besar2 biskut tu. Insya-Allah thn depe kalu jjual lagi KakChik ghoyak awa2.

    ReplyDelete
  3. wa..suka tgk suasana yg k chik cite nih..... tok jembal tu kat ane eh k chik?

    ReplyDelete
  4. kin, kg. tok jembal tu asalnya kg. kedai lalat. tempatnya sebelah kg. pulau melaka iaitu kampung kakchik di kelantan ni.

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs