Followers

29.1.12

PSIKOLOGI RUMAHTANGGA: Berbual-buallah antara suami dan isteri.

BISMILLAH.

Hari ni kakchik nak kongsikan sedikit pandangan berdasarkan tajuk Fungsi Berbual-bual di dalam buku Mengendalikan Hubungan Suami & Isteri tulisan Dr. Nasoha Saabin yang diterbitkan oleh PTS Millenia. Untuk makluman semua, kakchik bukan pakar psikologi rumahtangga ya tapi kakchik suka membaca buku-buku dalam bidang ini kerana pada kakchik ianya satu ilmu yang penting untuk sesiapa sahaja yang bergelar suami atau isteri. Ilmu ini penting untuk keharmonian dan keselesaan hidup berumahtangga.

Baiklah, dalam bab Fungsi Berbual-bual, penulis memulakannya dengan perenggan berikut:
Suami patut memberi masa untuk berbual dengan isteri. Berbual dengan isteri, adalah amalan yang memupukkan perasaan kasih sayang. Kebanyakan isteri menghabiskan masa di rumah, menguruskan rumah tangga dan melayan serta mendidik anak-anak.

Kakchik sangat setuju dengan ayat pertama tu. Sebagai seorang isteri kakchik sangat suka bila suami kakchik bertanyakan khabar, bertanyakan kesihatan, bertanyakan tentang makan-minum, bertanya tentang kerja dan sebagainya. Bila suami bertanya dan memulakan perbualan, kakchik rasa diri kakchik amat diambil-berat oleh suami walaupun suami hanya tanya sepatah dua saja. Itu sudah cukup membahagiakan berbanding suami buka mulut hanya bila mahukan sesuatu dilakukan oleh kakchik. 

Kalau para isteri yang surirumah sepenuh masa pun mengharapkan suami mahu berbual dengan mereka, apatah lagi wanita bekerja. Penat di pejabat kadangkala boleh membuatkan jiwa kita turut menjadi penat. Bila pulang ke rumah, tiada pula tegur-sapa atau senyum mesra kerana masing-masing kepenatan. Lepas itu perlu menyediakan makan-minum, mengemas rumah dan sebagainya. Jika dalam keadaan itu suami hanya pentingkan diri sendiri seperti lepas salin baju, mandi, terus menghadap tv, suratkhabar atau internet dalam masa yang sama meminta itu dan ini, isteri mungkin merasa makin penat jiwanya.

Apa salahnya sambil membelek suratkhabar mulut itu diringankan untuk berbual dengan isteri? Berbuallah tentang anak-anak, berbuallah tentang apa-apa saja tak kira remeh atau tidak, yang penting ialah berbual-bual. Mungkin suami merasakan isteri ini mulutnya macam 'mulut murai' sebab suka sangat bercakap. Pada pengalaman kakchik, kakchik akan banyak bercakap apabila ada orang yang sudi bercakap dengan kakchik. Kalau tidak, secara automatik kakchik juga akan mendiamkan diri. Rumah jadi sunyi sepi... seronokkah begitu?

Isteri yang bekerja dalam masa yang sama menguruskan rumah, suami dan anak-anak, perasaannya mudah tersinggung kerana tekanan yang banyak dipikul. Untuk melegakan tekanan itu isteri mahukan perhatian, mahu berbual-bual dengan suami untuk meluahkan perasaannya. Kakchik tidak tahu kalian bagaimana tapi kakchik sendiri sangat suka kalau suami kakchik tanya tentang apa-apa saja yang berkaitan dengan kakchik. Tanya bagaimana kerja hari ni, teruk atau tidak? Bagaimana bisnes bulan ni, makin maju hendaknya? Ke mana kita nak pergi kalau kita dapat cuti sama-sama? Dan sebagainya.

Sumber: ISLAM, World's Greatest Religion

Kalau suami tak tanya langsung kemudian asyik buat kerja dia sahaja pastu nak itu nak ini, hati isteri akan  mudah tersinggung tapi malu nak beritahu suami takut dicop, tak taat kepada suami. Maka isteri akan simpan dalam hati, makin lama makin banyak, makin lama makan sensitif, muka makin lama makin masam, makin kelat, makin tawar tutur katanya dan mulalah terasa seperti rumah itu bukan lagi 'rumahku syurgaku'. Berbuallah dengan isteri anda duhai para suami. Berbuallah tentang perkara yang menggembirakan isteri anda. Adakah anda tahu perkara apa yang menggembirakan isteri anda?

Kakchik tahu di luar sana ramai sekali suami yang bagus, yang suka berbual dengan isteri masing-masing. Suami yang suka mengambil berat, suami yang 'caring', suami yang pengasih, suami yang lemah-lembut bicara dan akhlaknya terhadap isteri. Alhamdulillah.. syukurlah jika suami kita termasuk dalam kategori ini. InsyaAllah sikap suami akan mempengaruhi sikap isteri juga terutama para isteri yang berkahwin demi mengharapkan suami membimbingnya mencari redha Allah dunia dan akhirat.

Dalam perenggan kelima penulis menyebut,
Kita menganggap tugas isteri hanyalah untuk berkhidmat kepada suami, menyediakan makanan dan memuaskan nafsu lelaki. Menganggap isteri seperti ini, menurunkan kedudukan isteri anda kepada orang suruhan. Isteri adalah teman, rakan dan pembantu kepada suami. Isteri adalah teman dalam perjuangan menegakkan agama. Teman dalam menguruskan keperluan keluarga dan mudah-mudahan teman di syurga.

Kakchik rasa tulisan Dr. Nasoha di dalam perenggan di atas cukup mudah untuk difahami tanpa perlu kakchik huraikan lagi.

Ada kenalan mengadu kepada kakchik, suaminya bila balik ke rumah hanya tahu mengarah itu ini, semuanya nak cepat tapi mashaAllah berat tulang sungguh. Apa yang isteri buat ada saja yang tak betul. Yang betul dalam rumahtangga itulah hanyalah dia seorang. Cuba kalian fikirkan, bahagiakah rumahtangga begini? Isteri selalu saja makan hati tapi memendam perasaan, takut nak luahkan kepada suami kerana bila diluahkan suami laju je naik angin dan mengherdik isteri. Merajuklah si isteri memanjang... tapi masih juga melakukan amanahnya sebagai isteri, takut Allah murka bila dikata melawan suami.

Kakchik kasihan kepada kenalan ini. Bukan baru kahwin tapi sudah lebih dari 5 tahun hidup bersama. Dia mengadu meminta pertolongan dan pandangan kakchik kerana dia mahu membaiki hubungannya dengan suami. Dia mencari jalan agar suaminya berubah menjadi suami yang mencontohi Nabi Muhammad SAW yang tahu menghargai isteri. Kakchik hanya punya ilmu yang sedikit, pengalaman juga sedikit, jadi kakchik hanya mampu nasihatkan agar dia lakukan beberapa perkara sepertimana yang disebutkan dalam buku Mengendalikan Hubungan Suami & Isteri ini.

Moga-moga rumahtangga kenalan tadi, rumahtangga kita semua sentiasa dirahmati Allah dengan penuh kasih-sayang dan diberkati-Nya dengan hubungan suami-isteri yang membahagiakan. Masalah dan konflik memang akan berlaku tapi suami dan isterilah yang perlu bijak mengatasinya agar hubungan kembali pulih dan semakin erat. Sebagai ketua keluarga, peranan suami adalah lebih besar namun tidak bermakna suami perlu menggunakan kuasa veto. Bukankah perkahwinan ini selain mahu mencari keseronokan hidup di dunia, kita juga mahu menegakkan agama demi hidup di akhirat? Maka, dengarlah bicara isteri anda dengan berbual dengannya.

KakChik
Dar Nur al-Zahra'
5 Rabiul Awwal 1433H
29 Jan 2012

9 comments:

  1. Assalamualaikum,
    Perkongsian yang menarik. Boleh sambung baca artikel yang berkaitan dari sudut pandangan seorang suami pula di sini :http://saifulislam.com/?p=4891

    ReplyDelete
  2. Bismillah
    assalamualaikum kakchik ^^ suka baca enrty ni... bagi saya yang masih lagi baru dlam alam rumah tangga ni, amatla perlu mende2 ni # syukran kakchik, peluk erat2#

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum kak chik..

    lady harap kakchik dalam keadaan sihat sejahtera sokmo.. ameeennn..

    dah lama x jenguk kak chik..

    komunikasi itu penting kan kakchik? tpi kalau salah cara boleh menjadi punca berperang..

    ade psgn suami isteri tu stp kali ckp mcm nak berperang jerk.. tp kalau ckp ngn kwn2 baik2 jerk..

    ReplyDelete
  4. salam kak chik

    menangis teresak-esak baru-baru ni dek communication breaks down. ternyata, wanita punyai jiwa yang lembut namun amat kuat, alhamdulillah dalam memenangi hati sang suami yang kadangkala semacam keras seperti batu, ada kelembutan dianugerahkanNya dalam memahami erti SABAR!

    rose: akan terus belajar dan belajar.

    ReplyDelete
  5. Wa'alaikummussalam Ida @ cikgu zuraydah. Terima kasih. Sudah membacanya. Apa yang SI sebutkan mungkin penekanannya kpd para isteri yang banyak mulut. Kakchik pula menulis dari perspektif kakchik yang berbeza.

    ReplyDelete
  6. Wa'alaikummussalam Nor. Alhamdulillah... kakchik pun sambil-sambil membaca tu timbul idea nak menulis. Semoga perkongsian ni sama-sama membantu kita membahagiakan pasangan dan rumahtangga kita :)

    ReplyDelete
  7. Wa'alaikummussalam Lady.
    Alhamdulillah kakchik sihat-sihat saja. Tak jenguk tu sebab Lady banyak kerja lah tu.. takpe, kakchik faham. Memang ilmu komunikasi rumahtangga ni sangat penting Lady. Kita kan mahu ikut Nabi Muhammad SAW, baginda punya ilmu komunikasi rumahtangga yang sangat bagus, sebab itulah untuk jadikan r/tangga kita mawaddah wa rahmah, kita kena ikut baginda. Yang mudah nak 'berperang' tu sebab tak ikut sunnah la tu hehehe.

    ReplyDelete
  8. Wkslm Rose.
    Kakchik pun ada juga pengalaman macam Rose tu tapi sentiasa cari ilmu dan kaedah yang lebih efektif agar masalah komunikasi dgn suami tak berlarutan. Orang lelaki egonya lebih besar Rose, sebab itu agaknya mereka susah sikit mahu dengar pandangan isteri. Kita memang kena selalu sabar.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum, kak chik..
    Sy Aidy..buku y kak chik ckp n dh xder la kt pasaran.. nk bli ng kak chik bolh? Photostat ker...^^

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails