Bismillahir-Rahmanir-Rahim.
Hujan di Zahra' saat ini. |
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Salam mahabbah untuk teman-teman blogger dan juga para pengunjung yang singgah sebentar di sini. Alhamdulillah, syukur dengan nikmat Allah dapat lagi kita panjang umur hingga ke hari ini, hari terakhir 2012 Masehi. Dan di saat ini hujan lebat sedang mencurah-curah di luar sana. Terasa mahu saja kakchik mematikan suit penghawa dingin pejabat ini tapi nanti cepat pula bahang panas dirasai.
Elok kita baca doa semasa hujan dulu kan? "Bismillahir-Rahmanir-Rahim. Allahumma soyyiban nafi'an. Amin." Semoga Allah menurunkan hujan ini penuh dengan manfaat kepada kita semua. Semoga jika rezeki kita di langit Allah turunkan ianya bersama hujan ini. Jika rezeki kita jauh maka berkat waktu siang ini, berkat hujan yang menyegarkan ini, rezeki kita akan datang kepada kita dari segenap ruang.
Dari tingkap pejabat kakchik. |
Sepanjang 3 hari Allah hentikan hujan dan izinkan kita menikmati sinaran matahari yang panas dan banjir mula menyurut. Alhamdulillah. Syukur dengan nikmat panas. Nampaknya Allah masih mahu turunkan hujan yang berbaki di awan sana ke bumi Kelantan ini. Khabarnya Pahang dan Terengganu juga hujan hari ni. Rahmat Allah semuanya untuk kita walau ada yang diuji dengan banjir. Sabarlah. Banyak hikmah dari kesabaran dan ujian ini.
Hari ni selalunya malam nanti akan ada sambutan di ambang tahun baru di seluruh negara. Dulu-dulu sambutan yang dbuat penuh dengan maksiat tapi sejak Kelantan diperintah oleh sebuah Kerajaan yang mendaulatkan Islam, sambutan tahun baru telah berubah di Kelantan khususnya dan kelihatannya negeri-negeri lain juga mulai membuat perubahan ke arah yang lebih Islamik.
Zaman kanak-kanak dulu, tempat beginilah tempat 'mandi kerbau' hehe. |
Secara peribadi, kakchik tidak suka dengan acara-acara sambutan tahun baru masehi ni. Bagi kakchik Awal Muharram lagi bermakna kerana sebagai seorang Islam, merayakan hari-hari kebesaran Islam adalah lebih baik. Lagipun sambutannya banyak dipenuhi dengan aktiviti keagamaan yang menambahkan amal ibadah kita. Berlainan pula dengan sambutan tahun baru masehi. Anda sendiri pun dapat bayangkan bagaimana suasananya kan?
Kini, dengan kesedaran Islam di kalangan beberapa Kerajaan Negeri dan artis-artis pun semakin ramai yang berhijrah, sambutan tahun baru juga mendapat tempiasnya. Pengalaman kakchik terlibat dengan sambutan tahun baru 2009 untuk Negeri Kelantan dulu telah membuka minda ramai orang bahawa, kita boleh raikan sesetengah acara yang melibatkan rakyat dengan membuat pengisian yang Islamik.
Pokok segar ditimpa hujan. |
Misalnya, ada kuliah agama disampaikan oleh ulamak terkenal tanahair, ada persembahan pentomin mengenai perjuangan umat Islam Palestin, ada persembahan nasyid oleh kumpulan-kumpulan nasyid terkenal seperti Rabbani dan apabila detik 12 malam tiba, azan dilaungkan di dalam stadium dan selepas itu majlis bersurai selepas bacaan doa oleh Tuan Guru Menteri Besar.
Itulah kelainan pada sambutan tahun baru yang diadakan di negeri ini. Kakchik rasa selamat untuk turut sama terlibat menjayakannya. Apapun, tahun ini Kelantan tidak akan mengadakan sambutan tahun baru. Jangan terkejut ya. Bagi kakchik, ok je kalau tak buat pun. Lagi yang lebih diutamakan ialah usaha kita yang berterusan untuk memartabatkan Islam tak kira tahun lama atau tahun baru.
Dalam hujan lebat dan suhu bilik yang sejuk ini, kakchik ingin mengajak para pembaca blog Keluargaku Sayang ini untuk sama-sama meneruskan usaha untuk membina jatidiri sebagai seorang Islam yang baik agamanya, bagus akhlaknya dan murni budi pekerti. Hidup ini untuk meningkatkan kualiti diri dan memberi nilai kepada orang lain.
Salam sayang,
KakChik Niza
No comments:
Post a Comment
Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.