Followers

10.4.11

Sebuah Ucapan, Sebuah Kucupan dan Pelukan Kasih Sayang

Selamat Hari Lahir Sayang... kata suamiku pagi tadi. Ya Allah... di saat itu juga airmataku mula bergenang. Di saat aku menulis inipun airmataku masih bergenang dan terpaksa segera kusapu sebelum pelanggan melihatnya. Aku amat terharu bila suami tersayang mengingati tarikh lahirku dan di pagi hari menghadiahkan aku perasaan gembira. Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan aku seorang suami yang sepertinya. Aku yakin setiap isteri akan merasa gembira sepertiku juga bila mendapat ucapan dan layanan sebegitu dari suami masing-masing. Alhamdulillah.

Aku tidak mengharapkan sebarang hadiah berupa kebendaan darinya kerana benda tidak dapat mengikat hatiku. Talian perasaan itulah yang menjadikan aku kuat luar dan dalam. Orang kata sokongan moral. Aku dan suami tidaklah meraikan hari ulang tahun seperti orang lain. Jika ada kelapangan kami keluar saja makan-makan angin ke pantai, tidak semestinya pada hari lahir. Apa yang penting ialah ingatan dan kasih-sayang dalam melayari bahtera perkahwinan ini. Hari ini aku bahagia.

Wanita sepertiku yang terpaksa keluar bekerja demi membantu suamiku, hidup dalam kesibukan sepanjang hari. Waktu adalah begitu berharga dan setiap ruang masa yang lapang untuk bersama suami walau sekadar duduk-duduk menemankannya di meja kerja sangatlah aku pentingkan. Walau kami sama-sama mendiamkan diri, dia menumpukan perhatian pada kerjanya dan aku memandangnya dengan pandangan gembira dan syukur kerana suamiku ada di depan mata, sihat dan masih seorang hamba Allah yang taat. Alhamdulillah atas nikmatMu Ya Allah. Suamiku adalah satu nikmat yang dipinjamkan oleh Allah untukku sebagaimana aku ini pinjaman untuknya. Aku dan dia sama-sama milik Allah.

"Sanah helwah kakchik... selamat panjang umur murah rezeki." "Selamat hari lahir kakchik, semoga Allah memberkatimu dunia akhirat." Terima kasih banyak kepada semua teman-teman yang disayangi kerana Allah atas ucapan dan doa kalian untuk aku. Ucapan yang ikhlas dari lubuk hati kalian itu telah berjaya membuat aku terharu dan menitiskan airmata kesyukuran. Terharu kerana mempunyai ramainya kawan yang baik dan menangis kerana amat syukur Allah beri nikmat dalam bersahabat. Alhamdulillah.

Semoga hidup kalian semua sentiasa dirahmati dan diberkati Allah jua. Aku mendoakan agar hidupku dan hidupmu sama-sama sentiasa dipayungi kasih-sayang Allah dengan iman yang kental atas jalan Islam. Islam yang benar. Islam yang sejati. Islam yang membahagiakan. Islam yang menyelamatkan. Ya, setiap hari aku tidak lupa mendoakan kalian semua. Ukhuwwah fillah yang kita jalinkan selama ini adalah silaturrahim yang tidak mampu dibalas dengan harta benda rasanya. Terllau berharga dunia akhirat.

Ah... bahagia ini moga berpanjangan namun aku tahu, hidup ada pasang surutnya. Ada masa gembira ada masa sedih. Tapi aku juga sedar Allah sentiasa ada untukku dan untukmu. Terima kasih suamiku, kakakku dan teman-temanku.

8.4.11

Jomlah kita pakai baju longgar, Jomlah kita jaga aurat kita.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Jumaat dan salam mahabbah untuk teman-teman semua.

Apa khabar? Kakchik, alhamdulillah, sihat-sihat saja. Sekarang ni kakchik masih berada di gerai jualan di Mydin Mall, Kubang Kerian. Rasa pelik pula bila menaip update blog dari ruang legar pasaraya ni. Keliling-kelalang orang ramai datang untuk membeli-belah di sini. Tak sempat habis menaip tadi, ada pelanggan. Alhamdulillah... dia tak beli tapi janji nak datang lagi sebab malam ni tak bawa cukup belanja.

Kali ni kakchik nak bercerita pasal pakaian lagi. Tentu ada yang kata, "asyik-asyik cerita pasal pakaian, macamlah dia tu dah pakai elok benar." Kakchik tahu pakaian kakchik pun belum sempurna, masih ada cacat-celanya. Mungkin luarannya nampak elok tapi hati kakchik pula yang perlu berperang dengan mazmumah yang sering menggoda. Insyaallah peperangan di dalam jiwa inilah yang kakchik mahu atasi dengan iman dan hati yang tulus. Susah juga sebenarnya.

Sumber: Bertudung Tidak Semestinya Menutup Aurat
Baiklah, jika ada di antara kalian yang menjadi 'friends' kakchik di FB, tentu kalian ada membaca beberapa status kakchik berkenaan pakaian wanita yang berkunjung ke pasaraya ini. Allahu Akbar. Bagaimana kakchik nak berdakwah kepada mereka ya? Bila melihat ramainya wanita berumur belasan tahun hingga 50an memakai seluar ketat jenis 'skinny' dan 'leggings' kakchik jadi sedih. Terasa iman ini tercabar dan diri jadi sangat insaf. Makin hebat nampaknya cabaran dakwah Islam di negeri ini. Makin banyak usaha Kerajaan Negeri mengajak rakyat cintakan Islam makin hebat dugaan yang datang.

Kita kena terima hakikat yang wanita Islam kita amat mudah terpengaruh dengan fesyen yang memalukan ini. Bila sudah ramai yang berpakaian begitu maka yang ada rasa malu sikit-sikit akan hilang malunya. "Ala... semua orang pun pakai", kata mereka. "Apa nak malu? Mak I pun pakai ape...", kata pula yang lain. Astaghfirullahalaziim. Kalau beginilah fikiran mereka, memang susahlah kita nak ajak kepada kebenaran. 

Bertudung, berbaju t, berseluar ketat dan berkasut tinggi  adalah cabaran dakwah yang hebat. Perkara ini tidak mampu dilaksanakan berseorang tapi kakchik memerlukan sokongan ramai, tenaga yang ramai kerana amal jamai'e insyaallah hasilnya lebih baik. Bukan mudah nak mengajak mereka mengubah gaya berpakaian bila mereka merasakan mereka sudah menutup aurat. Bukan tak ada seruan ke arah perubahan tapi bergaya lagi penting.

Terasa ingin sekali mengatakan begini kepada mereka, "Takutlah api neraka Allah. Pakailah pakaian yang lebih baik, yang longgar, yang tidak nipis, yang tidak melekat di badan, yang labuh, yang tidak seksi, yang tidak merosakkan iman sesiapa yang memandang." "Jomlah kita pakai baju yang labuh. Jomlah kita pakai seluar yang longgar. Jomlah kita pakai tudung yang labuh dan longgar. Jomlah... Jomlah.." Kakchik sayangkan mereka. Mereka juga Islam seperti kakchik. 

Allahu'alam.

7.4.11

Perkongsian: Berdakwah Dengan Bijaksana, Kesannya Lebih

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Malam ini kakchik mahu kongsikan satu artikel yang disalin dari blog Prof. Dr. Sidek Baba sebagaimana pautan yang kakchik sertakan di akhir artikel ini. Kalau sudi jadilah follower blog Prof juga ya.

Empat strategi sebar Islam dalam masyarakat majmuk perlu berlandaskan keharmonian

Ceramah Umum juga satu kaedah dakwah.
PELBAGAI orientasi dakwah digerakkan hari ini dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penghayatan Islam. Ada memilih orientasi heararki (gerakan), siasi (politik), orientasi tabligh dan sufi bagi mencapai keberkesanan dalam kefahaman dan amal Islam.

Di samping jemaah sukarela, peranan lembaga kerajaan juga aktif menghidupkan suasana dakwah di samping menghasilkan institusi seperti bank, kewangan, takaful, institusi pengajian tinggi, menengah dan rendah.

Perkembangan ini menjadi lebih baik jika wujud penyelarasan pada setiap peringkat dan pihak bahawa skop dakwah tidak sekadar seruan dan ajakan secara lisan, sebaliknya dakwah juga pada lembaga serta institusi yang menyalurkan nilai serta etika Islam.

Namun, ada orientasi sukarela menyandarkan dakwah kepada jemaah atau gerakan di luar negara yang cabaran serta masalah tidak sama di negara kita. Malaysia adalah negara unik yang memerlukan kaedah sesuai dengan latar belakang sejarah, sosioekonomi dan pentadbirannya.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada persamaan antara Mesir dan Indo-Pakistan dengan Malaysia tetapi mengambil pendekatan ala Malaysia dalam dakwah perlu kerana orientasi masyarakat majmuk, kebebasan serta pengaruh Islam dalam sistem.

Pendekatan dakwah ala Malaysia mengambil kira peruntukan Islam dalam perlembagaan khususnya yang ada dalam bidang kuasa negeri di samping ruang untuk melaksanakan kegiatan dakwah secara bijaksana.

Sejarah perkembangan dakwah Islam sejak zaman Melaka hingga kini dan pendekatan dinamik yang perlu ada bagi badan dakwah melihat kepada potensi umat Melayu serta bukan Melayu atau bukan Islam.

Rasulullah SAW menganjurkan suatu dustur (kaedah) dakwah yang terbaik iaitu: "Serulah ke jalan Tuhanmu secara bijaksana dengan pekerti teladan yang baik, hujah terbaik dan meyakinkan". Dustur dakwah itu sesuai dalam realiti Malaysia.

Sebagai dai dan murabbi, di depannya ada potensi orang yang hendak didakwahkan pada segala peringkat dan latar belakang. Harus diteroka jalan bijaksana supaya risalah kebenaran dapat disampaikan di samping kehidupan rohaniah dijadikan pedoman.

Pertama, perlu ada sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi terhadap orang yang hendak di dakwah. Berdakwah dengan memberikan label dan sindiran boleh menyebabkan sasaran lari dan tidak tertarik dengan cara diambil.

Kita harus menginsafi tidak semua orang memiliki latar pendidikan dan binaan keluarga yang baik. Sesetengah yang ingin didakwah adalah orang yang cicir dalam keluarga, mengalami kelompangan hati serta kekeliruan minda. Orang seperti ini mudah terdedah kepada kemungkaran kerana tidak memiliki kesedaran rohaniah.

Kedua, apabila melihat kemungkaran atau perkara tidak baik dilakukan seseorang, perbuatan itu tidak kita sertai. Namun, jauh dalam lubuk hati kita terpancar rasa belas kasihan terhadap apa yang berlaku. Lalu datang gerak hati untuk mendekatinya dengan bijaksana.

Jika pendekatan itu dilakukan bagi mengajaknya kembali ke jalan yang benar, kemungkinan ia akan kembali kepada fitrah hidup semula. Jika kejayaan ini ada, bermakna ia tidak lagi terus melakukan kemungkaran, sebaliknya sudah bersama dengan kita hidup dalam makruf.

Ketiga, berdakwah perlu ada persiapan. Faham akan sasaran, tingkat pemikiran, rasa kesabaran dan kebijaksanaan seperti teladan diri yang baik dan tidak mudah berputus asa. Harus ada sikap setiap yang ingin didakwah ada potensi untuk berubah.

Keempat, kuasai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang khususnya ilmu Islam kerana cabaran yang menghadapi masyarakat kini tidak saja rohaniah sifatnya, malah perkembangan ilmu yang menjangkau ke daerah sains dan teknologi.

Ilmu ini harus diolah dengan bijaksana bermula dengan mengukuhkan akidah dan iman, ibadat dan syariah supaya terhasil akhlak yang baik.

Pendekatan dakwah Malaysia bukan sekadar menimbulkan keinsafan pentingnya akhlak mulia disuburkan tetapi dengan kekuatan ilmu dan ketrampilan, ia mungkin memberikan arah pemahaman yang betul mengenai seni dan budaya supaya kemajuan berlaku sentiasa dalam acuan yang makruf.

Pendakwah dan pendidik harus sentiasa memiliki sikap berlapang dada menerima kritik serta teguran. Jangan mengambil pendekatan radikal yang tidak serasi dengan resam budaya masyarakat dan boleh menyebabkan gerak kerja dakwah menjadi fitnah.

Al-Quran memberikan asas yang mantap mengenai jenis manusia yang ingin kita suburkan. Firman Allah bermaksud: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Surah al-Imran, ayat 110)

Ada tiga asas penting dalam ayat ini memberikan pedoman dakwah iaitu pertama, harus diwujudkan kebaikan dalam hidup ini ibarat pohon yang tumbuh dalam kehijauan daun dan kelebatan buah supaya manfaatnya dirasakan yang lain.

Makruf tidak hanya terpancar dalam pekerti diri yang memiliki teladan boleh dicontohi, tetapi mampu tegak dengan kekuatan ilmu yang dapat mengaturkan sistem. Memiliki ilmu muamalah didukung prinsip syariah bakal menjauhkan umat terbabit riba. Ia menuntut tekad politik dan keusahawanan yang tinggi supaya umat terus berada dalam keadaan makruf.

Kedua, tentangan terhadap makruf dilakukan dengan menyuburkan perkara makruf sebanyak mungkin. Jika generasi muda kini ketagih dengan budaya popular Barat, tekad yang tinggi dan kreatif di kalangan ulama, ilmuwan, seniman dan karyawan Islam memberikan alternatif, kemungkinan kecenderungan terhadap kemungkaran dapat dikurangkan.

Bagaimana genre pantun, syair, nazam, qitah, gurindam dan seloka dengan bijaksana dan kreatif disuburkan dan menjadi minat generasi muda membawa mesej mengembalikan mereka ke arah yang lebih fitrah.

Ketiga, maksud beriman kepada Allah tidak hanya membina rasa percaya tetapi keyakinan dan kepercayaan yang didukung oleh ilmu. Tidak dinamakan seseorang itu beriman jika asas percaya yang menyebabkan niat dan perbuatannya menyimpang daripada yang diniatkan.

Syahadahnya lain tetapi pancaran syahadah tidak membayangkan ia percaya mengenai kewujudan dan keperkasaan Allah. Lebih-lebih lagi jika menganut Islam dengan sentimen atau emosi semata-mata.

Orang beriman bukan saja percaya tetapi asas kepercayaan kepada Allah mendorongnya untuk berfikir dan memerhati, mengkaji dan mengakui bahawa Maha Besar dan Perkasa Allah menjadikan alam ini dengan limpahan rahmat dan nikmat.

Dalam keadaan kini amat penting kefahaman pendakwah digilap dan kecerdasan strategi dilakukan supaya umat Islam sentiasa bertindak balas kepada keunggulan tamadun silam dan futuristik terhadap kemajuan serta perubahan yang berlangsung.

Ia bukan perjuangan mudah kerana kehebatan Islam tidak saja dilihat pada ajarannya, malah diukur daripada kecemerlangan diri dan gerak kerja penganutnya yang sentiasa mempamerkan teladan tinggi dan mampu menjadi sumber ikutan terhadap yang lain.

Inilah sebenar risalah nubuwwah supaya Islam mampu dicernakan sebagai agama mendukung maksud rahmat untuk sekalian alam.
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs