Followers

14.9.08

Indahnya Ramadhan Kali Ini

Salam pagi Ramadhan untuk semua pembaca budiman.

Sejak beberapa hari tak menulis sebarang entri di dalam blog ni, terasa minda sarat dengan pelbagai perkara yang ingin dikongsi dengan alam siber ini. Walaupun mungkin yang menatapnya hanya diri sendiri.

Sehingga ke hari yang ke-14 Ramadhan 1429 Hijrah ini, KChik masih dapat merasai kebahagiaan dan keindahannya. Walaupun pernah diuji Allah SWT dengan kehilangan harta benda namun hikmah di sebaliknya cukup memberi kesan yang mendamaikan jiwa.

Ramadhan kali ini, KChik cukup bersyukur kerana dapat melaksanakannya bersama-sama Cik Abe tersayang dengan penuh sederhana. Berbeza dari tahun-tahun lepas, kali ini kami cuba sebaik mungkin untuk meningkatkan prestasi puasa dengan menjaga sebaiknya ibadah ini. Bertadarus di setiap ruang waktu lapang yang ada, berbuka dengan tamar, segelas teh dan semangkuk kuih, bersahur dengan nasi berlauk yang ringkas dan tamar pembekal tenaga, berniaga sambil berdakwah menggalakkan orang ramai menyintai ilmu dan seronok membeli dan membaca buku. Dan alangkah bahagianya apabila di malam hari dapat berterawikh secara jemaah berimamkan suami...(buat pertama kali di Ramadhan ini KChik berpeluang mengikut Cik Abe ke masjid yang diimamkannya walaupun tidak setiap malam), berterawikh 20 rakaat disertai witir 3 rakaat.

Indahnya Ramadhan ini kerana persefahaman di antara hati-hati kami menjadikan ruang rumah kami yang kecil terasa luas dan cerah ceria. Melangkah kaki ke dalamnya disambut senyuman ahli keluarga yang semacam tidak sabar menanti kepulangan KChik dari kerja. Kalau dulu sering kali terasa letih dan malas untuk memasak setiap hari, kali ini hati sentiasa bersedia untuk memasak sendiri juadah untuk suami. "Terima kasih Bang, kerana setiap kali menjamah hidangan, Abang kata sedap." KChik ni kalau Cik Abe kata sedap, makan pun bertambah, hati gembira biarlah badan letih dan penat, akan hilang segalanya...isteri mana yang tak mahu dihargai suami?

Indahnya Ramadhan ini, hubungan dengan keluarga juga semakin erat dan mesra. Sesekali beramai-ramai berbuka atau bersahur di rumah Ummi. Kata Ummi, bila ramai berbuka atau bersahur bersama, seleranya baik sangat. Kalau tidak, berbukalah Ummi bersama Ayah dan Adik saja... Yelah, di rumah yang besar, penghuninya cuma 3 orang, tentulah terasa sunyi dan sayu. Ummi asyik meminta KChik dan suami kembali tinggal bersama di rumahnya. Mmmm... kesian juga kat Ummi. Sejak rumah dinaiki pencuri, Ummi susah nak ke masjid melainkan ada orang lain di rumah. Mungkin kami berdua akan pindah sementara menunggu rumah kami siap. Lagipun kami menyewa tidak jauh...Sabar Mi, insya-Allah Ummi boleh berterawikh di masjid nanti.

Ramadhan kali ini juga KChik melihat banyak perubahan positif pada diri Cik Abe. Lebih memahami keadaan isterinya yang bekerja, pulang kerja singgah di MariBaca, pulang dari MariBaca singgah menjenguk Ummi-Ayah barulah pulang ke rumah menguruskannya. Cik Abe tahu KChik akan ada kelas di hari Jumaat kerana semester September sudah bermula. Jadi Cik Abe akan bagi ruang untuk KChik belajar dengan syarat tidak boleh melebihi pukul 12 malam. Dia jadi lebih rajin membantu urusan rumah tangga, menolong menjemur dan mengangkat kain di ampaian, membantu mengangkat beg laptop setiap kali KChik sampai di rumah (Cik Abe kerjanya dari rumah), mengurut belakang KChik yang kadang-kadang penat mengangkat buku sama ada di Zahra' atau di MariBaca atau kerana hampir separuh hari menggunakan laptop. Dia juga semakin konsisten dalam menyelesaikan kerja-kerjanya mungkin setelah mula membaca buku-buku pembangunan diri. Cik Abe juga semakin ramah dengan ahli keluarga dan jiran-jiran. KChik cukup gembira melihat perubahan positif ini.

Kelihatan Cik Abe juga semakin banyak senyum dan ketawa bila berbual bersama KChik atau orang lain. Moga-moga suami KChik menjadi seorang suami yang menuruti jejak langkah para solihin.

Ramadhan masih berbaki 16 hari lagi. KChik berdoa agar dapat memenuhinya dengan segala amalan baik yang terbaik mampu KChik lakukan. Mengurangkan berborak kosong, membanyakkan sedekah, meningkatkan bacaan al-Quran, menjaga mata, telingan dan lidah, mengawal nafsu berbelanja dan pembaziran, meningkatkan kejujuran dan keikhlasan dalam bermuamalat dan sebagainya.

Bak kata lagu Raihan dan Man Bai... "ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna..."

KChik
Dar Nur al-Zahra'
Untuk: keluargakusayang.blogspot.com

10.9.08

Kami Redha...

Salam Ramadhan untuk semua. Hari ini 'mood' kchik kurang baik sikit. Hati terasa sedih, selera pun kurang dan seluruh keluarga masih lagi terkejut.

Ustaz kata, sepuluh awal Ramadhan, Allah menurunkan RahmatNya, dan mungkin itulah yang dirasakan oleh orang yang telah mencuri di rumah kami. Biarkanlah dia (mereka) merasai "rahmat" yang sementara itu, tapi kami berdoa agar Allah beri peluang mereka yang mencuri malam semalam tu, mencuri buat kali yang terakhir.

Kami berdoa moga-moga Allah membalasnya dengan balasan yang setimpal. Jika dia (mereka) insaf dan taubat, itulah yang paling baik. Kalau tidak insaf juga, kchik harap Allah laknat mereka setimpal perbuatan mereka. Kchik pasti kami bukanlah orang yang pertama dirompak.

Dia (mereka) sanggup mencuri ketika orang ramai sedang sibuk mengerjakan terawikh di masjid. Kami sekeluarga juga meninggalkan rumah yang kosong untuk ke masjid tapi sudah tersurat, malam semalam ada pencuri yang akan naik ke rumah. Semua wang jualan sehari, duit sewa kedai, gaji Adik untuk buka akaun maybank, duit untuk bayar telefon & streamyx, kad-kad prepaid, semuanya disapu bersih oleh pencuri.

Alhamdulillah Ummi dan Adik pulang agak awal kerana tidak mahu menunggu untuk sembahyang mayat (ada orang kampung meninggal malam tu) dan sempat menghalang si pencuri dari menambahkan jumlah curiannya. Dia (mereka) cuma sempat masuk bilik Adik dan Chena dan tak sempat memecahkan pintu bilik Ummi. Agaknya dia lari keluar melalui tingkap tepi apabila mendengar bunyi suara Ummi dan Adik di luar rumah. Kami tak sempat menangkap pencuri tu.

Yang pastinya, yang paling banyak kehilangan ialah kchik. Hmmm.. sudah tersurat, kchik menyerahkan duit sewa untuk Adik bayarkan kepada tuan kedai. Kchik juga menyerahkan kad-kad prepaid untuk Adik jual di kedai esoknya. KChik juga baru terlupa nak mengambil duit jualan harian dari Adik. Sebak, tak dapat tidur, tak ada selera... tapi kchik insafi diri. Mungkin ini caranya Allah membalas dosa-dosa kchik yang kchik abaikan.

Selepas semalaman terasa terawang-awangan, Subuh, kchik rafakkan doa, mohon Allah tenangkan hati dan terima dengan redha ketentuan ini. Wang, harta boleh dicari, insya-Allah selagi usia berbaki. Kalau di tangan kita pun lambat-laun akan habis juga. Alhamdulillah, kchik berjaya kembali ceria...

8.9.08

Krisis Air di Rumah Kami

Assalamualaikum semua netters dan bloggers.

Catatan kali ini sekadar nak melepaskan sedikit tekanan yang diakibatkan oleh masalah yang tersebut di atas.

Hari ini nak mandi pagi tadi terpaksa menunggu agak lama sebab aliran air yang keluar dari paip di bilik mandi tersangatlah kecil Lebih halus dari jari kelingking KChik. Nak menanak nasi, terpaksa ambil air dari bilik mandi untuk basuh beras sebab pili di singki dah takde air. Nak basuh kain, tak jadi bila ingat pasal air. Kena jimat sikit untuk kegunaan yang wajib-wajib dulu. Nasib baik nak ambil wuduk masih lagi boleh.

Sampai bila agaknya tangki air tu akan dibaiki?

Sebenarnya ujian berkaitan air ni telah bermula sejak minggu lepas lagi. Mula-mula tekanan air jadi perlahan menyebabkan KChik tak boleh menggunakan 3 paip dalam rumah serentak. Kalau singki di dapur dibuka, air dalam bilik mandi dan tandas akan mengecil ban begitulah sebaliknya. Cik Abe dah cek meter air kat depan rumah, air masuk elok je mengalir terus ke tangki. Dia pergi cek tangki, air banyak lagi, hmmm pelik juga. Bil air pun bayar tiap-tiap bulan. Apalah yang tak kena?

Sehari ke sehari air makin tak ada. Terpaksa menadah air dalam semua bekas air yang ada. Macam kita tengok dalam suratkhabar gambar orang di tempat kemarau. Sebenarnya kat kampung ni orang lain takde masalah air pun. Maknanya hanya kami je yang bermasalah. Cik Abe dah carikan orang untuk memeriksa dan membaiki mana yang patut tapi bila dia datang, cek punya cek, dia kata dia tak boleh baiki sebab tak cukup alat. Alamak! Macamana ni? Dugaan sungguh di bulan Ramadhan ni. Takdelah mengeluh ke ape, cuma barulah kami dapat rasai perasaan orang-orang yang keputusan air. Orang di Afrika mahupun di Malaysia ni yang tak dapat bekalan air. Tentu mereka kesusahan.

Nak masak susah, nak membasuh susah, nak mandi susah (ada yang tak mandi pergi keje, mandi kat ofis), nak buang air pun susah sedangkan kita akan terseksa kalau tak buang air dan kalau terbuang air macamana nak cuci dan kita perlu suci dari najis untuk menunaikan ibadah wajib! Astaghfirullah... moga-moga ujian ini tidak menjadikan KChik dan Cik Abe orang-orang yang kurang sabar pula. Banyak alternatif lain, rumah kakak dekat saja, rumah Ummi pun dekat juga. Tapi alangkah baiknya kalau masalah tangki kami tu dapat diselesaikan dengan segera.

Moga-moga Cik Abe dapat cari tukang yang cukup alat hari ni. Kesian dia, lewat dia mandi untuk solat Subuh tadi. "Sabar Bang, ujian ini hanya sementara..."
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs