[ JANGE DENGA CRITO OGHE ]
Ayahku adalah antara anak murid almarhum Tok Guru yang jarang meninggalkan solat berjemaah di masjid atau kuliah-kuliah agamanya di merata tempat. Selalu juga Ayah balik dari masjid dan menceritakan apa yang berlaku di masjid dan sekitarnya termasuklah tentang almarhum Tok Guru. Sudah menjadi kebiasaan, selepas solat Subuh, almarhum akan berkuliah kepada jemaah yang hadir. Selepas itu ramai orang bertemu beliau untuk mentahnikkan anak ataupun mengangkat nikah. Ada juga yang datang untuk mengadu hal. Semuanya dilayan sebaik mungkin sebelum almarhum bertolak ke pejabatnya.
Satu hari ayah cerita, ada orang datang mengadu hal berkenaan si fulan bin si fulan. Cerita tersebut tiada asas dan bukti melainkan aduan kerana rasa tidak puas hati. Orang yang mengadu begitu beriya-iya mengharapkan Tok Guru segera mengambil tindakan namun Tok Guru hanya mengangguk dengan wajah yang kurang senang. Aku perhatikan ada satu sikap Tok Guru, beliau tidak suka mendengar orang bercerita tentang orang lain lebih-lebih lagi jika cerita itu tiada buktinya. Wajah beliau akan berubah seolah-olah beliau mahu segera menghentikan percakapan orang yang mengadu.
"Jange suko denga crito oghe!" Ayat ni dia ada maksud di sebaliknya. Pesanan yang mungkin disebutkan ketika bersama dengan orang kampung yang dekat dengan almarhum. Kita ni jangan suka dengar orang mengumpat atau memfitnah dan jangan mudah percaya. Kena ada usul periksa yang jelas sebelum kita nak sebarkan. Kalau terdengar, ambil masa untuk meneliti, cari bukti yang sepatutnya untuk bertindak selepasnya.
Aku cuba beramal begitu. Di hari ini terlalu banyak berlaku fitnah dan memang mudah disebarkan. Setiap kali ada isu yang agak meragukan, aku meluangkan sedikit masa untuk mencari bahan buktinya dan adakalanya jika ada dalam pengetahuanku fakta-fakta tertentu, aku usahakan memberitahu orang lain agar diperbetulkan. "Jangan dengar cerita orang (dan sebar tanpa usul periksa)."
#AkuDanTokGuru
Nak tulis apa ye?
3 years ago
No comments:
Post a Comment
Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.