Followers

30.9.07

Akhirnya Nofi Kembali ke Semarang

Hari Rabu lepas, Nofi telah bertolak ke JB bagi memulakan perjalanannya pulang ke Semarang, Indonesia. Nofi (Norvianti Karsono), 22 ialah pengasuh (bibik) anak-anak adikku Dr.Azila.

Seingat aku, Nofi datang ke rumah kami di Pulau Melaka, dua minggu selepas Aidil Fitri 2005, bermakna dia telah menjadi sebahagian ahli keluarga kami hampir dua tahun lamanya. Walaupun Nofi datang untuk bekerja, namun keluarga kami telah mengangkat Nofi sebagai keluarga kami. Tiada layanan berbeza (lazim antara majikan-pekerja) yang kami lakukan terhadap Nofi. Alhamdulillah layanan seluruh ahli keluarga, sama ada yang tinggal di rumah keluarga atau sudah ada rumah sendiri terhadap Nofi seperti adik-beradik (dalam batas-batas agama).

Umi ialah orang yang paling rapat dengan Nofi sebab sepanjang hari mereka berdualah orang yang sentiasa sibuk menguruskan rumah dan urusan dapur. Kalau awal datang dulu Nofi bercakap Bahasa Melayu (yang agak standard), kini Nofi bercakap dialek Kelantan pelat Indonesia. Bak gurauan kami sekeluarga, kalau Nofi kena tinggal di luar Kelantan lepas ni, tentu dia susah nak berkomunikasi sebab, loghat Kelantannya.

Jun 2007, La terpaksa berpindah ke Penang mengikut suaminya yang naik pangkat dan ditukar ke sana. Bermakna ketiga-tiga anak saudaraku (Ameerah, Amreena dan Emran) dan sudah tentu Nofi akan turut berpindah. Khabarnya kehidupan La sekeluarga di Penang agak baik walaupun katanya terlalu banyak masa dihabiskan di atas jalanraya kerana jalan di Penang sering 'jam'.

Tiba-tiba Allah ingin menguji kami sekeluarga, tanggal 26 Ogos, La kemalangan bersama Ameerah, Amreena dan Nofi. Ringkas ceritanya mereka dalam perjalanan ke pasar melalui jalan berbukit yang masih basah dan licin selepas hujan. Oleh kerana belum agak biasa dengan jalan berbukit, La telah terbabas ke dalam parit di bahu jalan. Akibatnya... kemalangan. Alhamdulillah La dan anak-anak hanya cedera ringan, tapi Nofi pula sebaliknya. Patah tulang selangka, retak tulang punggung dan cedera teruk di lutut kanan. Sungguh kami sekeluarga bersedih atas musibah ini terutama memikirkan Nofi yang berhajat untuk pulang ke seberang sebelum Aidil Fitri tahun ini.

Aku, Umi dan Adik ke Penang mengambil semuanya pulang ke kampung terutama Nofi, untuk dapatkan rawatan tulangnya. Oleh kerana Ayah telah banyak pengalaman terlibat dalam kemalangan dan patah tulang, sebaik sampai di kampung Nofi dibawa berjumpa Dr Daud (bomoh patah) di Kg. Buloh Poh. Berkat kesabaran, alhamdulillah tulang Nofi dapat diperbetul kedudukannya. Nofi boleh berehat (gambar atas) di rumah kami dan dilayan seperti ahli keluarga yang sakit yang lain. Dia dah sedih bimbang lambat sembuh dan tak dapat pulang ke kampungnya, tapi kuasa Allah Maha Hebat, dalam waktu yang singkat Nofi boleh bangun-duduk sendiri, berjalan, membengkokkan lututnya, mengangkat benda-benda ringan dan pernah juga menggoreng bihun untuk Ikhwan!

Akhirnya Allah makbulkan doa Nofi untuk pulang tahun ini. Yang sedih adalah kami. Bukan senang mendapat pengasuh yang baik, menjaga aurat, banyak sabarnya dengan kerenah anak-anak saudaraku yang ramai di rumah tu (5 di bawah 8 tahun termasuk anak-anak La), dan kami berenam (Mama, C'Nah, C'Na, Aku, La dan Adik). Kami ialah sebuah keluarga yang 'meriah'.

Malam Rabu lalu sukar sekali untuk kami berpisah dengannya. Aku sempat menghadiahkan sepasang baju mini kurung untuk raya, sebuah buku Mendekati Tuhan dan sebuah album gambar kenangan keluarga. aku lihat Nofi sudah berderaian air mata. Namun, Nofi permisi juga. Selamat jalan Nofi. Jika diizin Allah, kita akan jumpa lagi.

Rumah kami

No comments:

Post a Comment

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs