BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Malam ini suamiku seperti biasa, tak ada di rumah kerana malam ni dia mengajar agama di sebuah masjid di pinggir bandar KB. Terasa sunyi bersendirian di rumah apatah lagi malam ni aku rasa agak keletihan untuk membiarkan anak-anak saudaraku naik ke rumah. Kalau tidak tentu riuh-rendah dengan suara dan kerenah mereka.
Malam ini aku terfikir-fikir segala dosa yang telah kubuat sepanjang hari ni. Ya Allah... banyaknya... Adakah Engkau akan ampunkan? Ada dosa yang baru dibuat atau terbuat. Ada juga dosa yang berulang-ulang. Dosa kecil boleh menjadi besar kan? Astaghfirullahalaziim... Astaghfirullahalaziim... Astaghfirullahalaziim. Ampunkan daku Ya Allah.
Malam ini ... dalam keheningan malam, entah kenapa, beratnya diri ini untuk membuka Al-Qur'an. Kenapa malas sangat ni? Cepat! Lawan nafsu malas tu. Lawan dugaan syaitan tu. Astaghfirullahalaziim... jangan sampai kalah. Jangan sampai memalukan diri-sendiri di hadapan para Malaikat. Bukankah lebih senang untuk mengaji Al-Qur'an bila tiada sebarang gangguan?
Malam ini, kuterkenang segala dosa yang ada. Dosa dengan Allah... dosa dengan suami, dosa dengan ummi dan ayah, dosa dengan adik-beradik, dosa dengan ipar-duai, dosa dengan saudara-mara, dosa dengan sahabat-handai, dosa dengan kakitangan bawahan, dosa dengan para pekerja, dosa dengan pembekal, dosa dengan pelanggan, dosa dengan masyarakat umumnya.
Ya Allah.... banyaknya dosaku.
Ya Allah... adakah semua itu Kau ampunkan?
Ya Allah.... aku takut Kau ambil nyawaku tatkala dosaku bertimbun.
Malam ini, aku mahu mohon ampun sebanyak-banyaknya dari-Mu Ya Allah atas segala dosa-dosaku yang lalu, yang kulakukan sebelum-sebelum ini, mahupun yang kulakukan siang tadi, sebentar tadi, sejam tadi, sesaat tadi atau yang akan datang. Ampunkan aku Ya Tuhanku. Aku insan yang lemah, tapi kadang-kadang tidak sedar diri dan merasakan orang lain lebih lemah daripadaku. Hinanya aku ya Allah di hadapan-Mu.
Malam ini, aku mengingati kembali sama ada, ada kesalahan-kesalahanku dengan orang lain yang aku masih belum memohon ampun maaf dari mereka. Akan kumohon maaf dari suamiku berkali-kali kerana sejak kami hidup bersama, pastinya banyak dosaku ke atasnya. Kadang-kadang aku rasa aku saja yang betul padahal aku tidak betul pun. Moga-moga Kau permudahkan untukku memohon ampun maaf dari suamiku.
Malam ini, aku berazam untuk segera memohon maaf dari sesiapa sahaja yang aku lakukan kesilapan atau kesalahan terutama pada kedua ibu bapaku. Semoga sesiapa saja yang membaca coretan ini dan mengetahui yang diri ini masih 'berhutang' maaf, tolonglah maafkan diri ini (kakchik). Takutnya mengenangkan segala dosa dengan orang.... dosa yang orang tidak ampunkan, kesalahan yang orang tidak maafkan.
Mohon redhakan diri ini dari kalian semua. Mohon maafkan diri ini setulus hati kalian semua. Mohon ampunkan diri ini dari segala kesilapan. REDHA kalian amatlah diharapkan kerana redha Allah akan menyusuli.
Curahan hati
KakChik Niza
Baiti Jannati
9 Muharram 1432 H (5 Dis 2011)
Semoga kita senantiasa mendapat pengampunan dariNya. KakChik tiada buat salah & silap pun pada Nur.
ReplyDeleteAmin. Terima kasih banyak Nur. Alhamdulillah... ringan sedikit rasanya.
ReplyDelete