BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Alhamdulillah di hari Ahad ni kakchik masih lagi ada di sini, masih mampu bangkit dari tidur pagi tadi, masih lagi berupaya menyiapkan makan-pakai suami sebelum kami sama-sama ke pejabat, masih mampu sampai ke tempat kerja dan melaksanakan amanah orang dan kini mampu menaip ayat-ayat yang sedang kakchik luahkan ini. Alhamdulillah.... berbanyak-banyak Alhamdulillah atas nikmat nyawa yang Allah pinjamkan ini.
Oleh kerana besarnya nikmat yang Allah berikan ini maka sebaik mungkin kakchik sebagai hamba-Nya, makhluk ciptaan-Nya, kakchik kenalah berusaha sedaya-upaya untuk melakukan apa juga perkara yang Allah suka. Jika di pejabat kakchik boleh melakukan amanah kerja dengan sebaik-baiknya agar urusan dengan manusia lain akan lancar maka lebih-lebih lagilah kakchik perlu lakukan amanah Allah kerana hujung hidup kakchik nanti Dialah yang wajib kakchik hadapi dan bertanggungjawab atas segala tingkah-laku kakchik semasa hidup ini.
Maka, kakchik akan cuba menahan sabar dengan sikap kurang ajar sesetangah orang yang tidak tahu adab dan tiada adab dalam berurusan dengan kakchik. Ini bukanlah bermakna kakchik ni tahu dan buat semua adab-adab yang Islam ajar tapi insyaAllah kakchik cuba untuk sentiasa beradab dalam berurusan dengan orang lain. Menjaga bahasa dan tutur-kata, menghormati yang lebih tua dan mengasihi yang lebih muda, itulah antara ilmu adab yang telah sekian lama dipahat masuk ke dalam diri kakchik. Jadi, bila ada orang yang kurang adab dengan kakchik, kakchik bersabar dulu, senyum dan respon dengan nada yang paling 'cool' yang mampu kakchik lakukan.
Kakchik tahu, itulah ujian dari Allah melalui orang lain suku-sakat yang tidak kakchik kenali siapa dia.
Bercerita pasal adab ni, sebenarnya hati kakchik telah terguris sebentar tadi. Kakchik ada menerima satu panggilan telefon yang tersalah nombor. Dari suara di hujung talian kakchik mengagak orangnya seorang wanita yang sedikit berusia daripada kakchik. Tapi sedihnya tanpa salam, tanpa memperkenalkan diri, terus dengan kasarnya bertanyakan tentang seseorang yang kakchik tak kenali. Kakchik bagi salam dan perkenalkan diri kemudian kakchik cakaplah, "maaf, saya tak kenal siapa H ni. Akak nak telefon ke mana?" dalam nada paling sopan.
Takde minta maaf ke apa, terus dia kata, "Habis tu, tu... kat mana tu?"
Kakchik bagitau dia yang kakchik dari Pulau Melaka dan tentu dia telah tersalah nombor. Kalau kakchik di tempat pemanggil, bila dah tahu kita tersalah nombor, dengan cepat kakchik akan minta maaf sebab telah menganggu orang apatah pula dengan cara tanpa mukaddimah semasa awal perbualan tu. Tapi, pemanggil itu, jangankan nak minta maaf, hmm.... tak mengapalah. Moga-moga belum terlambat untuk kakak tu menambah ilmu tentang adab berbicara selepas ini. Kalau dia seoorang ibu, entah bagaimana agaknya cara dia berkomunikasi dengan anak-anak semasa mendidik mereka.
Moga-moga dia tidak menggunakan intonasi dan pendekatan yang sama. Kesihan anak-anak.
Selepas perbualan tamat, kakchik terfikir-fikir, mungkinkan di hari ini, orang kita sedang mengalami KRISIS ADAB dan SOPAN-SANTUN? Bukan sekali-dua kakchik mengalami dan melihat perkara sebegini berlaku di persekitaran kakchik. Adakah mereka tidak tahu betapa Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa beradab-dopan? Nabi Muhammad SAW ialah seorang insan yang patut dijadikan contoh teladan dalam hal adab-sopan ni. Ingat tak kisah seorang wanita yahudi yang meludah kepada Rasulullah SAW setiap kali melintasi rumahnya?
Sekali imbas, wanita itu sungguh tidak beradab manakala Rasulullah SAW pula sangat sopan dan sabar dalam menangani kerenah wanita itu. Kalaulah kita di tempat Rasulullah, agaknya ... kalian dapat bayangkan sendirilah ya. Anyway, kita perlu teruskan usaha dakwah kita agar masyarakat Islam terutamanya orang Melayu Islam agar sentiasa memelihara adab sopan dalam kehidupan. Sebagai orang Islam, sepatutnya kitalah mendahului orang lain dalam urusan menjaga akhlak ini.
Rasanya cukuplah dulu celoteh kakchik pagi ni. Semoga kita sama-sama beringat untuk menjaga adab-sopan kita dalam urusan hidup sehari-hari. Allahua'lam.
KakChik Niza
Perpustakaan Dar Nur al-Zahra'
11 Disember 2011
Memang sedih sangat bila ada orang bertindak sedemikian. Sabar ye Kakcik.
ReplyDeleteMakcik tu bermadu kot. Nak serang madu tersilap nombor pula, he he...
ReplyDelete