BISMILLAH.
Dalam linangan air mata kakchik memandu kereta untuk pulang ke rumah. Perasaan sedih menyelubungi apabila terpaksa meninggalkan cik abe sendirian di bilik hospital. Kakchik perlu balik kerana ada urusan rumahtangga yang harus diselesaikan. Tambahn pula cik abe mahu kakchik bawakan baju melayunya untuk dipakai ke solat jumaat nanti.
Suami kakchik dimasukkan ke wad petang semalam. Tekanan darah tinggi dan demam yang bermula sejak petang rabu lagi. Sebenarnya cik abe ada beritahu kakchik pada khamis minggu lepas yang dia tidak sihat. Diam-diam di pagi Khamis tu dia ke klinik sendirian dan pulang dalam keadaan letih, pucat dan dibekalkan beberapa paket ubat.
Katanya, tekanan darahnya agak tinggi dan doktor bagi MC sehari. Hampir sepanjang hari dia tidur saja. Alhamdulillah ubat-ubatan semuanya dia makan dengan baik w/pun suami kakchik ni agak sukar nak makan ubat. Dia jarang sakit dan kalau sakit pun deman sikit-skit saja. Tapi kali ni, dengan bebanan kerja di pejabat dan t/jawab sebagai pemilik portal sukan yang menggunakan sebahagian besar waktu malamnya selain amanah mengajar agama di masjid, tekanan darahnya naik.
Hari jumaat tu kami ke Tok Aman Bali Beach Resort sebab cik abe kata dia dah ok. Alhamdulillah dengan bekalan ubat dan cuaca yang elok, dia sihat-sihat saja hinggalah ke hari selasa. Esoknya cik abe demam dan MC lagi. Suami kakchik ni berat mulut sikit nak beritahu isterinya yang dia tak sihat tapi melihatkan dia asyik berbungkus dalam selimut, kakchik tahu dia tak sihat. Hari khamis macam biasa kakchik hantar dia ke pejabat dan petang baru kakchik tahu yang dia kena masuk wad.
Kali pertama dalam sejarah perkahwinan kami. Kali pertama kakchik bermalam di hospital untuk menjaga suami. Ianya kenangan penting kerana kakchik dapat berbakti tapi kakchik maat berharap tempohnya tidak lama.
Berat sungguh kaki kakchik semasa nak meninggalkan bilik hospital tadi. Cik abe memang boleh bergerak ke sana-sini w/pun agak lemah tapi kakchik tahu sesiapa saja yang sedang sakit, amat mengharapkan ada orang menemani terutama orang yang paling dekat. Kalau kakchik sakit, dialah yang kakchik harapkan ada berdekatan tapi pastikan kakchik tak akan cakap, segan, takut dikata manja sangat.
Kakchik sangat bimbang sebenarnya dengan tahap kesihatan suami kakchik ni. Bebanan kerjanya di pejabat dan di rumah ni menyebabkan waktu rehatnya amat sedikit. Kerja pula banyak menghadap komputer/internet, malam dan siang. Tidurnya lambat, bangunnya pula awal. Sejak setahun ni memang begitulah rutinnya dan kakchik sudah acapkali juga suarakan kerisauan kakchik pasal kesihatannya.
Sakit itu satu ujian. Sakit itu penghapus dosa. Sakit itu cuti rehat yang Allah berikan. Sakit itu peluang untuk kita berfikir tentang Allah. Di waktu kita sakitlah kita lebih banyak mengingati Allah. Semasa sihat, banyak kali kita lupa akan Allah. Kalau beramal-ibadah pun kita tidak begitu tertib tapi di waktu sakitlah kita mahu melakukannya dengan tertib w/pun payah. Kenapa? Kerana kita tahu, hanya Allah yang Maha Menyembuhkan. Doktor dan ubat hanyalah alat saluran untuk menyembuhkan dan mungkin juga tidak. Hanya Allah Maha Menyembuhkan.
Sebentar lagi kakchik akan kembali ke hospital. Tak mahu lama sangat meninggalkan cik abe sendirian lagipun hari ni ujian x-ray akan dibuat. Kakchik nak selesaikan membasuh kain-baju dan mengemaskan sedikit keperluan untuk di bawa ke hospital. Malam ni mungkin sekali lagi tidur di sana. Tak mengapa tidur bertilamkan toto dan lantai yang sejuk asalkan kakchik boleh temankan suami kakchik di sana.
Hanya di atas dunia ini saja mampu menemankan, di sana nanti sudah tentu susah. Selagi hayat masih ada, selagi itu kakchik akan pastikan suami kakchik dapat hidup selesa beristerikan kakchik.
Rindu kerana Allah.