Notis: Sila baca dari bahagian bawah dulu.
II
Di Rumah Mak
Pagi-pagi lagi Mak kejutkan kami untuk solat Subuh. Walaupun dah kunci jam untuk bangun lebih awal biasa, kami terlajak sikit tapi masih awallah juga. Cik Abe takde masalah mandi awal-awal pagi sebab dia dah biasa macam tu tapi KakChik memang tak boleh nak mandi terus tambah-tambah air di kampung Mak tu memanglah sejuknya. Gosok gigi pun KakChik rasa ketar. Kalau mandi di rumah pun gigi KakChik boleh terketar-ketar, mandi di rumah Mak tu boleh jadi demam ketar agaknya... Tapi airnya memang segarlah sebab kawasan kampung tu kawasan lembah dekat bukit. Kalau buka pintu rumah, duduk di tangga memang nyaman dan segar. Lagipun udara kampung masih lagi agak bersih.
Lepas Cik Abe, Mak dan Ayah ke masjid, KakChik ingat nak baca Qur'an, tapi baru teringat yang Qur'an tertinggal di rumah. Sebab tak tau nak buat apa, KakChik ke dapur cek peti sejuk tengok apa-apa yang boleh dimasak untuk sarapan. Dah puas 'kerobek' peti sejuk, KakChik tengok nasi semalam masih ada separuh periuk. Hmm... buat nasi goreng jelah. Tengok jam baru pukul 6 lebih, tunggu kejap lagilah. Sambil kejutkan adik-adik ipar KakChik ke ruang tamu cek biskut raya kat meja tamu, nampak ketupat Mak masih ada beberapa biji dalam pinggan. Makanlah satu. Ketupat Mak memang sedap. Mak kata dia jual 100 biji RM35 saja. Bagi KakChik ketupat Mak tu murah sebab saiznya yang agak besar, sedap pulak.
KakChik buat nasi goreng kampung je sebab bukannya 'terer' sangat memasak ni. Almaklum bila masuk U baru belajar memasak. Tu pun belajar sendiri-sendiri sebab dari tingkatan 1 jarang duduk di rumah. KakChik ni budak asrama, kakak pun ramai. Giliran KakChik di rumah selalunya membasuh pinggan... Masa mula-mula kahwin dulu risau juga nak balik rumah Mak sebab takut termalu kat adik-adik ipar yang mungkin lebih pandai masak. Nasib baik diorang pun lebih kurang KakChik je. Cik Abe pun setakat ni kata masakan KakChik sedap... betul ke Bang?
Hari ni kami ziarah 4 buah rumah sedara. Rumah pertama kami duduk agak lama sebab seronok dok berbincang pasal pendidikan awal kanak-kanak. Lagipun sedara kami tu ada yang ambik kursus pra-sekolah di USM. KakChik ni kalau bercakap perkara yang KakChik suka memang tak sedar hari dah tinggi. Hehehe...
Lepas berziarah kami balik rumah Mak dan Cik Abe kaitkan buah rambutan untuk KakChik. Sebenarnya dari petang semalam KakChik terliur tengok rambutan Mak yang masak kat depan tangga tu.
Sekitar rumah Mak ni ada banyak pokok buah-buahan. Ada rambutan, duku, dokong dan salak. Buah salak Mak dah kutip sebab dah masak sangat. Dia buat jeruk buah salak. KakChik kalau dah jeruk tak suka... yang biasa tu KakChik suka. Mak ada suruh kami ambik buah tu bawa balik ke Pulau Melaka tapi... tak terambil pula. Takpelah.
Selepas solat Asar kami bertolak balik ke Pulau Melaka tapi kami nak singgah rumah kawan Cik Abe di Nilam Puri dan kawan KakChik di Telipot. Berziarah ke rumah kawan ni manalah boleh duduk sebentar. Bila dah jumpa topik yang sekepala, misalnya pasal bisnes blog tu, maka lamalah jadinya. Kami cuba juga nak sampai sebelum Isyak sebab malam nanti ada 'Family Gathering'. PERAKAN pun ada buat majlis hari raya di PUTIK.
Oh, terlupa. Ada satu benda menarik yang buat kali pertama KakChik jumpa, itupun di rumah kawan Cik Abe, Din. Nak tau? Ala... mungkin orang lain dah biasa, tapi inilah kali pertama KakChik dihidangkan dengan AIR SIRAP BIRU! Kreatif juga keluarga Din tu. Lain dari yang lain barulah ada keistimewaannya. Lepas rumah Din kami ke rumah Ni'mah & Dr. Rosli di Cbg. # Telipot. Dapat makan nasi tomato air tangan Doc dan rendang ayam resepi Ni'mah (ayamnya rapuh sangat). Ini pun kali pertama KakChik makan nasi tomato, boleh lah... nampak macam Cik Abe makan bertambah tu... Terima kasih Din & Kak juga Ni'mah & Dr. Rosli. Nanti rumah kami siap, kami jemput kenduri naik rumah.
OK, dah sampai rumah Ummi.
============================================
I
Kami Pulang
Assalamualaikum dan selamat berehat semua.
Sekarang ni jam KakChik dah pukul 11.20 malam. KakChik sebenarnya dah balik ke rumah selepas berhari raya di rumah Mak dan sedara-mara di Kg. Berangan, Selising. Memang seronok balik ke kampung ni... tambahan pulak kat kampung sebelah Cik Abe ni boleh dikatakan hampir sebahagian besar penduduknya adalah sanak-saudara Cik Abe. Boleh kata hampir setiap rumah yang kami ziarahi nama keluarga bermula dengan WAN. Dan di kampung tu penduduknya sangat padat dan mesra sekali. Jenuh KakChik nak mengingat semua nama makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang ramai dan panggilan pulak hampir-hampir serupa. Nama 'MAKCIK DAH' saja dan ada berapa orang. 'MAKCIK YAH' lagi ramai. Kadang-kadang KakChik pun keliru... tapi beruasaha juga berbual mesra dengan mereka untuk eratkan silaturrahim.
KakChik rasa bertuah bersuamikan orang Kg. Berangan ni sebab perkahwinan kami telah menghadiahkan KakChik sebuah keluarga yang sangat besar. Walaupun adik-beradik Cik Abe cuma 6 orang tapi waris-warah sebelah Ayah dan Mak memang ramai. Barangkali kerana tok-tok zaman dulu yang berkahwin sesama sanak-sedara sepupu, dua pupu, keluarga tiri, dan macam-macam lagi.
Kali ni kami pulang agak lewat dan bila kami sampai Abg Din (abang ipar sulung) dan keluarga sedang bersiap untuk balik ke Jerteh. Alhamdulillah, sempatlah juga jumpa Kak Ni dan beberapa orang anak sedara yang kecik-kecik. Mat Munir & Muiz tak datang dan kata Kak Ni mereka akan pandu motor sendiri datang beraya di rumah Mak atau Tok Wae mereka. Yah sekeluarga pun akan bertolak ke rumah mertuanya di Kg. Tebing Tinggi. Tempatnya taklah jauh, tapi Mak mesti akan rindukan cucunya Nuraini Shahirah yang baru berumur 2 bulan.
Bila kami sampai KakChik boleh lihat Mak sangat gembira. Mak sempat juga berleter sebab kami yang jarang balik ke kampung. Mak sebenarnya maklum keadaan KakChik yang bekerja dan belajar. Tapi sebenarnya kami memang patut lebih kerap pulang menziarahi Mak.
Entahlah... kami ni macam lebih sibuk dari menteri...hehehe jangan mare ya.
Walaupun sampai di kampung sudah lewat petang, kami sempat juga menziarahi rumah Tok Su Pakcik Soh yang kurang sihat. Cik Abe memang suka berkunjung ke rumah Tok Su sebab rumah tu memang amat mesra dan mudah bergaul - KakChik terasa kehadiran KakChik seolah-olah mereka sudah lama mengenali KakChik. Malamnya kami ke rumah Tok Su Hing untuk jamuan nasi beriyani tapi akhirnya Cik Abe makan nasi putih juga bersama-sama anak-menantu Tok Su Hing. Tok Su Hing ni antara orang penting semasa urusan pertunangan dan perkahwinan KakChik dengan Cik Abe di suatu masa dulu...
Hujan turun renyai-renyai, kami tidur lena di Kg. Berangan yang nyaman dan bersuhu dingin. rrrrrrr ketar nak mandi pagi.
Perkongsian : Hujan
8 years ago
No comments:
Post a Comment
Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.