BISMILLAH.
Malam ni kakchik sebenarnya tak tahu nak tulis apa kat sini. Terasa seperti kepala ni makin susah nak dapat idea untuk menulis sejak dua menjak ni. Apapun alhamdulillah Allah bagi ilham untuk menulis tentang harta dunia yang dipinjam sebentar kepada kakchik dan kini ia bukan lagi milik kakchik.
Ya, kita semua pun tahu.... hidup kita di atas dunia ini hanyalah pinjaman. Nyawa kita ni hakmilik Allah yang boleh diambil balik bila-bila masa saja. Dalam keadaan sedar begitu, kita tetap diamanahkan oleh Allah agar berusaha untuk hidup dengan sebaik-baiknya di atas dunia ini sebagai hamba-Nya yang taat setia agar hidup kita di akhirat nanti berpaksi bahagia.
Sebut tentang hidup ni pastinya melibatkan pelbagai benda seperti keperluan dan kehendak. Kedua-duanya menjadi resepi kehidupan kita setiap hari. Antara resepi penting bagi seorang manusia yang hidupnya sentiasa memerlukan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat, keperluan yang wajib ada ialah sebuah kenderaan. Bagi kakchik, ianya sebuah kereta.
Sejak pandai menyimpan duit sendiri sedari mula bekerja, kereta kakchik berubah saiznya mengikut keperluan semasa yang berkait rapat dengan tahap kemampuan ekonomi kakchik. Kalau dulu kakchik membeli Kancil kerana ketika itu masih bujang dan kereta pun banyak dimanfaatkan oleh kakchik seorang untuk ke sana ke mari atas urusan kerja, jemaah dan peribadi.
Kenari berusia 6 tahun. |
Sejak memulakan bisnes buku kanak-kanak dan selalu membuka gerai di sana-sini, Kancil dirasakan tidak lagi berpadanan dengan bebanan yang perlu dibawanya. Alhamdulillah pula kemampuan ekonomi turut meningkat maka kakchik menaik-taraf sedikit kenderaan dari Kancil kepada Kenari. Ramai yang kata, Kenari tu hodoh, bentuk berkotak dan macam-macam lagilah tapi bagi kakchik, membelinya ialah pelaburan berkaitan perniagaan.
Kenari itu ruang simpanannya lebih luas kerana tiadanya penghadang di bahagian belakang. Kakchik pula hanya menggunakannya berdua dengan cik abe. Jadi apabila kami mahu bergerai di mana-mana, banyaklah peralatan yang boleh diisikan di dalamnya. Bisnes pula mula berkembang, dari kedai buku, kini kakchik ada bisnes abaya. Selalunya kakchik akan membuka gerai untuk mempromosi kedua-dua bisnes ini tapi sekarang ini lebih banyak gerai promosi abaya berbanding buku. Mungkin kerana kakchik sudah tiada pembantu untuk mengangkat kotak-kotak buku yang berat.
Sejak menyertai kelas-kelas Dr Azizan Osman, bisnes abaya kakchik makin maju. Alhamdulillah. Mungkin ilmu yang diterima dan dipraktikkan dengan sebaik-baiknya itu telah membantu menjadikan bisnes abaya kakchik makin dikenali ramai. Syukur ke hadrat Allah SWT. Rezeki makin bertambah, permintaan makin tinggi dan hidup juga huru-hara dibuatnya. Tak menang tangan lagi untuk menguruskan bisnes ini sendirian. Dan apabila bergerai di mana-mana ruang simpanan kereta juga semakin sempit dirasakan.
Selamat berpisah... |
Maka, mulai hari ini, berakhirlah perkongsian hidup kami dengan kereta Kenari yang telah banyak berjasa itu. Teringat di saat mula-mula membeli kereta dulu, niat yang utama ialah kakchik mahu kereta itu boleh menjadi saksi di 'sana' nanti bahawa kakchik telah memanfaatkannya dengan sebaik mungkin ia dengan segala kerja di jalan Allah. Niat itu tidak pernah kakchik lupa sampai ke hari ini. Kereta itu mengikut tuannya ke merata-rata tempat, insyaAllah tempat yang baik-baik saja. Ia juga telah memuatkan ramai orang, memberi kegembiraan kepada ahli keluarga terutama anak-anak saudara yang ramai tu.
Petang tadi kami berpisah dengan rasminya. Terasa sedih namun gembira juga. Sedih kerana esok, kakchik tiada kereta untuk pergi kerja, terpaksa meminjam kereta ayah buat sementara. Sedih juga kerana tidak sempat membasuh terlebih dahulu Kenari kakchik itu sebelum berpisah kerana ketidaksempatan. Tapi... kakchik gembira, alhamdulillah... kakchik gembira kerana ia akan ada pengganti. Tak sabar rasanya menanti harinya. Semoga pengganti Kenari ini akan menambah nilai kepada hidup kakchik dan juga hidup orang lain.
InsyaAllah.
KakChik Niza
Baiti Jannati
sedih kan kalau berpisah dengan kereta kesayangan kita...saya sampai sekarang pun masih teringat kereta waja saya..namun sblm diserahkan, saya sempat berbakti padanya buat kali terakhir, basuh, polish dan vacum...namun sedikit terkilan kerana saya tak ada diwaktu saat penyerahan kunci tu... tp alhamdulilah, kereta saya dijual pada seorang pak aji dr kelantan...dia menjemput kami ke kelantan kalau ada masa...hehehe...tp sedih tetap dirasai sampai sekarang walaupun sudah ada pengganti yang lebih besar dan mewah
ReplyDelete