Followers

10.11.11

Saya ada niat mahu berpurdah.

BISMILLAH.

Petang ni sambil kakchik menunggu cik abe pulang dari kerja, kakchik mendapat satu ilham untuk menuliskan entri berkenaan tajuk di atas. Sebenarnya tajuk ni kakchik ambil dari beberapa email dan mesej fb yang dihantarkan oleh sama ada pembaca blog ini ataupun kenalan di fb. Bila mesej yang hampir sama selalu diterima kakchik rasa ada baiknya kakchik tulis satu entri khusus untuk menjawab mana-mana persoalan yang ditimbulkan oleh para pengirim email dan mesej.

Fenomena Baru

Akhir-akhir ini kakchik melihat satu fenomena baru yang begitu ketara pada pengamatan kakchik. Secara peribadi kakchik gembira dengan fenomena ini tapi dari satu sudut timbullah suara-suara negatif yang turut berpunca dari fenomena ini. Fenomena semakin ramainya wanita berpurdah. Alhamdulillah... syukur kerana makin ramailah muslimah yang turut melangkah setahap lagi dalam amalan sunat mereka dalam berpakaian secara Islam.

Bila makin ramai yang pakai purdah/niqab ni bagi kakchik itu antara tanda-tanda makin ramai orang yang mempunyai ilmu agama, lebih memahami hukum-hakam, lebih mahu mengamalkan cara hidup Islam, lebih mahu berpakaian secara Islam dan seumpamanya. Syiar Islam makin terserlah sekarang ni. Paling terasa ialah bila berada dalam fb. Dari hari ke hari makin ramai gadis/wanita berpurdah yang menghulurkan salam perkenalan tak kurang juga yang kakchik sendiri 'add' mereka atas sebab-sebab tertentu.

Hati rasa gembira, kuat dan jauh lebih yakin dengan niat sendiri bila makin ramai muslimah lain turut mengambil langkah yang sama. Hampir 16 tahun memakai purdah, awalnya sekejap on sekejap off, kini kakchik rasa kakchik sudah istiqomah sebaik-baiknya. Jika kakchik menjadi wanita lain yang berkawan dengan para niqabi atau sentiasa melihat muslimah berpurdah di merata tempat, dari sehari ke sehari pastinya kakchik akan turut rasa ingin menjadi seperti mereka.

Setuju ke dengan apa yang kakchik katakan tu?

Saya Ada Niat...

Sudah acapkali kakchik melihat dan membaca ayat di atas dengan sambungan "... mahu memakai purdah suatu hari nanti." Selepas ayat ini selalunya ada perkataan TAPI dan disebutkan beberapa alasan terutama berkaitan halangan keluarga, pandangan masyarakat, undang-undang kampus dan yang PALING BANYAK ialah soalan, "Adakah saya perlu mahir/banyak ilmu agama dulu baru saya boleh pakai purdah?". Itu lebih kurang summary yang dapat kakchik ambil dari isi kandungan email/mesej berkenaan.

Ok, sebelum kakchik tambah pasal hal ini, mari kita sama-sama baca ayat-ayat di bawah ni:

Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati yang mempunyai keinginan (yang sedar pada masa membacanya) atau yang menggunakan pendengarannya dengan keinginan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya. (37) - Qaf 
Umar al-Khattab pernah kata: “Hisablah (muhasabahlah) dirimu (saat ini) sebelum kamu dihisab (diperiksa/dihitung amal perbuatanmu pada hari kiamat), dan timbanglah dirimu (saat ini) sebelum (amal perbuatan) mu ditimbang (pada hari kiamat), kerana sesungguhnya akan mudah bagimu (menghadapi) hisab besok (hari kiamat) jika kamu (selalu) menghisab dirimu saat ini, dan hiasilah dirimu (dengan amal soleh) untuk menghadapi (hari) yang besar (ketika manusia) dihadapkan (kepada Allah Ta’ala) 
Abdullah bin Umar r.a. berkata: “Jika kamu berada di waktu petang maka janganlah tunggu datangnya waktu pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi maka janganlah tunggu datangnya waktu petang, serta gunakanlah masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, dan masa hidupmu sebelum kematian menjemputmu”

Ketiga-tiganya menyentuh tentang SIKAP SUKA BERTANGGUH. Jika kita ada niat untuk melakukan sesuatu kebaikan/kebajikan maka usahakanlah agar ia dapat dipercepatkan. Jangan tunggu ilmu penuh di dada baru kita nak buat. Jangan fikir apa pandangan orang lain, fikirkan pandangan Allah. Jika niat kita itu SEMATA-MATA hanya kerana ALLAH maka, janganlah ditangguh lagi. Bila sekali hati berkata, "Tunggulah dulu..." maka ada kemungkinan niat itu tak akan terlaksana lebih-lebih lagi bila ia suatu tindakan yang kita sudah tahu akan mengundang banyak persepsi negatif dari masyarakat setempat WALAUPUN diterima dalam Islam.

Fikirkan Dalam-Dalam

Kakchik amat gembira bila ada orang lain mahu memakai purdah. Syabas untuk kalian! Inilah perjuangan setahap lagi dalam hidup kalian. Nasihat kakchik bila timbul rasa kurang yakin dalam diri kalian, banyakkanlah solat taubat dan mohon petunjuk dari Allah melalui solat-solat hajat. Luahkanlah segala isi hati kalian di hadapan-Nya. Mohon Allah berkati dan redhai tindakan yang bakal diambil iaitu memakai purdah.

Sentiasalah mohon agar Allah tetapkan hati kalian agar mampu menghadapi apa juga ujian yang mungkin datang selepas kalian memakai purdah itu. Seingat kakchik, tiada satu amalan kebaikan yang kita buat yang tidak akan diuji oleh Allah. Bentuk ujian pula terlalu bervariasi tapi mungkin pengalaman orang lain boleh dijadikan panduan agar diri lebih bersedia untuk menghadapinya dengan SABAR dan TENANG.

Jika masih di bawah tanggungan ibu bapa, cubalah sedaya mungkin untuk mendapatkan restu mereka. Jika mereka menghalang, toleransilah dahulu semasa berada di rumah agar kalian tidak menimbulkan regangan di kalangan ahli keluarga terutama dengan mak ayah. Bersabar dalam masa yang sama tingkatkan akhlak dan layanlah mak ayah dengan layanan terbaik dan berdoalah agar hati mereka dilembutkan Allah. 

Bagi bersuami pula, jika suami yang mendorong itu satu bonus, jika suami tak kata apa, berbincang dan tanyalah pandangannya. Izin, restu dan sokongan suami amatlah penting dalam memastikan semangat kita untuk mengamalkan sunnah ini berterusan. Ada yang bertanya, "Kakchik pakai niqab ni, suami ke yang suruh?". Jawapannya, "Tidak... kakchik telah lama berniqab sebelum jodoh kami ditemukan." Alhamdulillah suami (cik abe) menyuruh tidak, menghalang pun tidak. Dia terima kakchik seadanya.

Pakailah Dengan Niat Mencari Redha-Nya


Kakchik tak mahu sentuh tentang pandangan-pandangan sinis tentang purdah kini menjadi satu 'fashion trend' di kalangan muslimah di negara kita. Isu itu sudah ramai yang menulis untuk mengingatkan kita agar tidak tersasar dari matlamat sebenar. Apa yang kakchik nak tekankan ialah, NIAT YANG PALING TULUS IKHLAS di DALAM HATI KALIAN itu. Hanya kalian dan Allah saja yang lebih tahu.

Jadi, tiada upaya kakchik untuk membuat sebarang 'judgement' terhadap pilihan kalian untuk memakai purdah. Kakchik pun kena selalu bertanya pada diri sendiri apakah kakchik jujur dalam pemakaian purdah ini? Soalan-soalan itu bagi kakchik umpama satu peringatan atau hisab agar kakchik tidak dilalaikan oleh dunia fesyen dan trend semasa. Maklum saja sekarang ni pengaruh fesyen dari Timur Tengah makin ketara. Mungkin orang akan kata kakchik juga terpengaruh kerana suka memakai abaya dan shayla.

Bagi kakchik insyaAllah pakaian kakchik dipilih kerana hitam itu salah satu dari warna kesukaan Nabi Muhammad SAW dan hitam juga dikatakan antara pakaian wanita muslimah di zaman baginda. Bukan tidak boleh memakai pakaian berwarna tapi warna hitam insyaAllah bila dipakai secara sederhana mengikut garis panduan berpakaian yang disyariatkan, akan dapat menjaga aurat dan maruah kita. Semuanya terletak pada niat. Ingat hadis nombor 1 dalam kitab Hadis 40 Imam Nawawi? Segala amal adalah bermula dengan niat...

Akhir sekali, doa kakchik untuk diri sendiri, para muslimah berpurdah dan semua yang di saat ini ada suara kecil dalam hatinya yang selalu berkata, "Aku ingin berpurdah kerana-Mu ya Allah." semoga niat dan tindakan kita akan sentiasa diberkati dan diredhai Allah SWT. Semoga amalan kita ini diterima oleh-Nya sebagai satu amalan kebajikan yang boleh dijadikan saksi penyelamat kita di akhirat kelak. Amin.


KakChik
Baiti Jannati
Kg. Pulau Melaka
10 Nov 2011

5 comments:

  1. tajuk best la kakchik. Ena pun dah lama pasang niat nak bepurdah.suami pun dah beri izin tapi kekuatan tu belum ada. Moga Allah permudahkan jalan untukku.

    ReplyDelete
  2. salam, tepat apa yang diperihalkan oleh kak chik tu...tapi saya agak tidak bersetuju bila orang kata berpurdah ini ikut ikutan atau fesyen..ya, memang ikut ikutan..tapi insyaallah, ikut ikutan yang baik dan positif..apa salahnya kan...purdah ialah satu langkah yang sangat besar dalam hidup, bila niat kita kerana Allah, kita akan terasa manisnya...wallahualam, semoga Allah SWT menetapkan hati kita semua..insyaallah

    ReplyDelete
  3. EnaMokhtar, terima kasih. Kakchik doakan Ena akan dapat juga buat perubahan itu. Apapun, fikirkan kerana Allah, insyaAllah segala keputusan akan lebih menenangkan.

    ReplyDelete
  4. Wkslm Zureen. Biarkan sajalah dengan pandangan itu Zureen. Atas dunia ni bila kita nak berubah kepada kebaikan orang akan mula cari keburukannya. Mungkin sikap sesetengah niqabi yang membuatkan mereka berpandangan begitu. Usah fikirkan mereka tapi teruskan beramal baik dan berakhlak mulia, insyaAllah penampilan kita akan menjadi daya tarikan kepada Islam. Kita sama-sama ya.

    ReplyDelete
  5. Saya Faezah dari Melaka. Saya akan dijabkabulkan pada bulan Mac tahun hadapan, InsyaAllah. Bakal suami yang merangkap tunang saya menyuruh saya berpurdah semasa diijabkabulkan. Apa pandangan kakchik. Salah ke saya jika saya tidak menurut katanya?

    ReplyDelete

Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs