BISMILLAH.
Dengan Nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan Salam atas Rasulullah SAW: amma ba’d;
HUKUM MINUM DAN JUAL ARAK
Sesungguhnya keharaman arak, telah dinyatakan oleh Allah dengan firman-Nya;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ
Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)” (surah Al-Maidah : 90-91)
Sesungguhnya Allah melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak, iaitu berdasarkan kepada Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas;
أن النبي صلى الله عليه وسلم أتاه جبريل فقال: يا محمد إن الله لعن الخمر وعاصرها ومعتصرها، وحاملها والمحمولة إليه وشاربها وبائعها، ومبتاعها وساقيها
Maksudnya;
“Sesungguhnya Nabi SAW didatangi oleh Jibril lalu berkata : Wahai Muhammad, Sesungguhnya Allah melaknat arak dan pemerahnya, Orang yang meminta memerahnya, pembawanya, yang dibawa kepadanya, peminumnya, penjualnya, pembelinya dan penuangnya” (hadis riwayat At-Tarmizi, Abu Daud dan Hakim. Telah mensahehkannya oleh Syaikh Albani didalam “saheh Jamik Saghir (2/907))
Dari firman Allah dan Hadis yang tersebut, jelas kepada kita bahawa arak adalah sesuatu yang diharamkan oleh Allah.
BEKERJA DI PASARAYA /KEDAI YANG ADA MENJUAL ARAK
Fuqaha’ telah menetapkan kaedah umum, iaitu ;
أن للوسائل أحكام المقاصد
Maksudnya;
“Sesungguhnya, bagi (hukum) Wasilah (perantara) seperti hukum maqasid (tujuan)”
Maka dengan demikian, setiap perkara yang membawa kepada haram, maka ianya dikira sebagai haram dalam apa jua bentuk sekalipun, ini kerana, ianya dibawah ketegori ta’awun (Bantu membantu) dalam melakukan dosa.
Firman Allah ;
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya;
“Bantu membantulah kamu dalam melakukan kebajikan dan ketaqwaan, dan jangan kamu Bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan” (surah Maidah : 2)
Imam Al-Izz Bin Abdus Salam menyatakan didalam kitab Qawaid Al-Ahkam ;
للوسائل أحكام المقاصد فالوسيلة إلى أفضل المقاصد هي أفضل الوسائل والوسيلة إلى أرذل المقاصد هي أرذل الوسائل
Maksudnya;
“Bagi Wasail (perantara) adalah hukum maqasid. Wasilah kepada maqasid yang afdhal adalah seafdhal-afdhal Wasail. Dan Wasilah kepada seburuk-buruk Maqasid adalah seburuk-buruk Wasail” (lihat Qawaid Al-Ahkam (1/46)
Dari kaedah ini, difahami bahawa setiap perkara yang membawa kepada haram, maka perkara tersebut dikira sebagai haram juga.
Sekiranya bank yang mengamalkan system riba adalah sesuatu yang diharamkan, maka semua tindakan kearah memajukan bank tersebut dikira sebagai haram. Seperti orang yang bekerja sebagai akauntannya, scuritinya, juru kira-kiranya dan seterusnya.
Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW;
لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم آكل الربا ومؤكله وكاتبه وشاهديه وقال : هم سواء
رواه مسلم
Maksudnya;
“Melaknat oleh Rasulullah SAW akan pemakan riba, pewakilnya, penulisnya dan dua saksinya. Dan berkata: mereka (semuanya) adalah sama (dari segi dosa)” (hadis riwayat Muslim)
Begitujuga, hukum haram kepada orang yang menjual dan bersekongkol dalam memajukan arak.
Ini dikuatkan dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang saheh;
إن الله تعالى حرّم بيع الخمر والميتة والخنزير والأصنام
Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah ta’ala mengharamkan Jual Arak, bangkai, Khinzir dan Patung berhala” (hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berkata As-Syaikh Ibnu Quddamah Al-Muqaddasi dalam mensyarahkan perkataan Al-Khurqi;
وبيع العصير ممن يتخذه خمراً باطل
Maksudnya;
“menjual perahan (anggur atau apa pun) kepada orang yang mengambilnya (untuk dijadikan) arak, adalah batil”
Sebahagian Ulama Syafiiyyah berpendapat, menjual perahan (anggur) kepada orang yang hendak menjadikan arak adalah haram. Tetapi makruh sekiranya disangsikan untuk dijadikan arak.
Berkata As-Syaikh Ibnu Quddamah ;
“Begitulah hukum pada tiap-tiap perkara yang diqasadkan kepada yang haram, seperti menjual senjata kepada ahli harb (orang yang mesti diperangi) atau kepada qutta’ at-tariq (perompak tengah jalan), atau pada melakukan perkara fitnah, dan menjual akan alat muzik atau menyewakannya (untuk dijadikan alat melalaikan) atau menyewakan rumahnya untuk menjual arak padanya, atau menyewakan rumah untuk dijadikan gereja atau rumah api (untuk orang majusi) dan yang seumpama dengannya. Maka semua ini adalah haram dan aqadnya juga batal” (Al-Mughni : 4/207)
APA YANG HENDAK DIBUAT DENGAN HARTA HARAM?
Setiap harta yang terhasil dari pekerjaan haram, wajib di bersihkannya dengan di habiskan kepada bentuk kebajikan dan untuk kemaslahatan umum, seperti diberikan kepada fakir miskin, orang yang memerlukan, anak-anak yatim, muassasah kemasyarakatan atau seumpama dengannya.
Tidak harus kepada pemilik harta haram itu membelanjakan harta tersebut untuk dirinya, isterinya dan semua tanggungannya.
Harta haram tersebut tidak boleh dibuang dan dibazirkan, ini kerana perbuatan tersebut dilarang oleh Syarak.
Harta tersebut juga, mesti diambil dari pihak pemberi gaji, ini kerana, sekiranya tidak diambil, pihak ‘pemberi gaji’ akan menggunakan duit tersebut kepada menguatkan lagi usahanya kepada perkara yang haram.(lihat ulasan Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitab “Fatawa Maasarah” (1/606))
Maka dengan demikian, duit yang terhasil dari perkara haram, adalah haram bagi diri pekerja dan diri ‘pemberi gaji’. Oleh itu, wajib kepada pekerja mengambil duit tersebut dan diberikan kepada tempat-tempat kebajikan, seperti rumah anak yatim, fakir miskin dan sebagainya.
KESIMPULAN
Ingatlah sabda Rasulullah SAW dari hadis yang diriwayatkan oleh An-Nu’man bin Basyir RA;
الحلال بين والحرام بين وبينهما أمور مشتبهات فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه
Maksudnya;
“Halal itu jelas dan haram itu jelas. Dan diantara kedua-duanya adalah perkara yang kesamaran. Barangsiapa yang takut (menjauhi) perkara syubhat (kesamaran), maka sesungguhnya dia telah membersihkan bagi agamanya dan maruahnya” (muttafaqun Alaih)
Kepada sesiapa yang mempunyai kawan yang masih lagi bekerja di tempat-tempat yang bergelumang dengan perkara haram, wajib kepadanya menasihati kawan-kawannya itu agar mencari rezki dan bekerja di tempat yang lain.
Pesanlah kepada mereka dengan firman Allah;
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Maksudnya;
“Barangsiapa yang takutkan Allah, nescaya Allah jadikannya jalan keluar dan merezkikannya dari sudut yang tidak disangka-sangka. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka itu memadainya. Sesungguhnya Allah menyampaikan urusannya, sesungguhnya Allah menjadikan bagi setiap perkara dalam keadaan berkuasa” (surah At-Talaq : 2-3)
Begitujuga, firman Allah lagi
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْراً
Maksudnya;
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah jadikan kepadanya dari urusannya menjadi mudah” (surah At-Talaq : 4)
Wallahu A’lam
One_G
Laptopdarulfiqh
Ruj: IBNU MUSLIM
No comments:
Post a Comment
Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.