dan Assalamualaikum untuk semua pembaca yang sudi berkunjung, semoga hari kita dipenuhi dengan amalan yang berfaedah kepada diri dan juga orang lain.
Sudah acapkali KakChik terfikir-fikir nak tulis sesuatu pasal hobi kesayangan KakChik tapi seacapkali itu jugalah KakChik jadi tak tahu nak tulis apa. Buntu saja... dan kadang-kala rasa malas pula nak ceritakan kat orang lain pasal tu.
Kira macam nilah, KakChik tulis saja apa yang terfikir di minda sekarang ni dan ikut saja rentak jari-jemari ni menaip.
Hari ni dah masuk hari ke-23 Ramadhan bermakna kita sekarang berada di 10 terakhir Ramadhan yang mana di waktu ini KakChik akan cuba berusaha lebih gigih untuk mengkhatamkan Qur'an. Oleh kerana baru habis ber"cuti" KakChik baru sempat menghabiskan hingga ke juz 17. Insya-Allah akan berusaha juga sambil-sambil meneliti terjemahan ayat-ayat al-Qur'an. Cemburu juga dengan rakan yang sudah pun menamatkan bacaan mereka dan boleh pula memulakan sekali lagi. Itulah kelebihan mereka...
Mengikut cerita Ust. Zainuddin Ismail (Mudir MML) dalam satu ceramah petang semalam, ada orang yang berusaha khatam Qur'an sebanyak usia mereka iaitu jika 64 tahun, 64 kali khatam dan ada juga yang telah khatam lebih 80 kali walaupun usianya 69 tahun. Kagumnya dengan mereka tu. KakChik teringin nak khatam Qur'an sebanyak 34 kali sama dengan umur KakChik tapi mampukah diri ini? Ada juga berangan-angan nak khatam dua bulan sekali di bulan-bulan biasa tapi setakat ini tak pernah berjaya. Betul kata Ustaz, tipulah kalau kata orang umum macam kita ni boleh khatam Qur'an dalam bulan-bulan lain macam dalam bulan Ramadhan. RUGI kalau tak cuba khatam dalam bulan penuh berkat ini. Bagi orang perempuan mungkin agak sukar kerana ada masanya mereka terpaksa ber"cuti" dari solat, puasa malah membaca al-Qur'an, tapi bagi orang lelaki KakChik rasa mereka lebih mampu melakukannya. Doa KakChik agar semua lelaki (terutama Cik Abe) dalam keluarga KakChik, semua lelaki kenalan KakChik akan berjaya khatam sekurang-kurangnya 2 kali dalam bulan ini. Semoga Allah permudahkan kita semua.
Satu perkara yang KakChik perasan, dalam bulan Ramadhan ni KakChik paling banyak membaca buku. Setakat ini KakChik sudah menghabiskan 4 buah buku iaitu:
1. Life Is An Open Secret 2. You've Got To Read This Book 3. Kenapa Bisnes Gulung Tikar dan 4. Kemanisan Beribadah
Sekarang ni sedang membaca beberapa buku termasuklah:
1. Nota Kepada Diri
2. Holly Would Dream
3. Ten Things I Hate About Me
4. Manikam Kalbu (yang ditangguhkan dulu sebab kena 'concentrate' betul-betul)
5. Kemuncup Dalam Perjuangan
Sudah lama KakChik tak mampu habiskan sebuah buku dalam masa sebulan. Kalau membuat rujukan tu biasalah guna banyak buku, tapi menghabiskan sebuah buku dari kulit depan hingga kulit belakang, memang sudah jarang dapat melakukannya. Tapi ajaib! Bulan ini saja sudah 4 buah dibaca... betul-betul Ramadhan yang penuh hikmah. Kat atas tu susunan buku fiksyen yang belum dibaca dan sedang dibaca. Mungkin kena tangguh pembacaannya lagipun buku tu semuanya sampingan saja untuk mantapkan bahasa Inggeris dan untuk kemudiannya disewakan.
KakChik sebenarnya baca macam-macam buku. Kadang-kadang kalau tengok buku di pameran 'New Arrival' di Popular KB, KakChik beli je walaupun belum tentu dapat terus dibaca. Tambah-tambah kalau ada diskaun 20% atau 25% untuk ahli. Di KB ni hanya itu saja kedai buku yang menjual buku-buku yang lain sikit dari SMO, Pustaka Sri Intan atau Kedai Buku Banggol (kedai buku berangkaian paling banyak di Kelantan). Lagipun KakChik pun suka baca buku berbahasa Inggeris yang tak banyak dijual di ketiga-tiga kedai tu. Biasanya di Popular KakChik banyak beli novel sebab nanti boleh ditambah koleksi buku sewa di MariBaca tu. Kalau buku motivasi, bisnes, pengurusan dan pendidikan, KakChik suka buku-buku PTS, haaaaa yang ni tak payah beli dengan kedai lain sebab MariBaca pun menjualnya. Lagipun MariBaca hanya menjual buku-buku terpilih saja....
KakChik amat bersyukur kerana dikurniakan Allah dengan pekerjaan di sebuah perpustakaan yang sudah semestinya dipenuhi pelbagai jenis buku. Ibarat syurga dunia bagi KakChik. Terlalu banyak buku yang KakChik berkenan untuk dibeli sebagai koleksi peribadi gara-gara membacanya di perpustakaan ini. Terima kasih kepada Dato' Pengarah yang sudi mengambil KakChik bekerja di sini sejak 2000 dulu. Mungkin sebab keserasian kami yang memang hantu buku... hehehe. Sekarang ni kerja KakChik mengemaskinikan data-data buku yang telah dikatalog secara manual ke dalam Sistem Maklumat Buku yang baru. Sambil tu KakChik perlu 'review' buku-buku terpilih untuk direkomen kepada pengunjung. Inilah yang KakChik suka... dapat membaca. Kemudian kena buat senarai buku-buku yang ingin dibeli untuk Perolehan terkini bulan depan, boleh layari internet ke kedai-kedai buku online untuk membuat pilihan... seronoknya.
Ya Allah, mohon Engkau permudahkan aku dalam menghayati hobiku ini.
Ya Allah, mohon Engkau permudahkan aku berkongsi keseronokan ini dengan orang lain.
Agar membaca terus menjadi kegemaranku dan juga kegemaran orang lain.
Ya Allah, mohon permudahkan aku dalam memanfaatkan ilmu pengetahuan yang aku perolehi dari gedung ilmuMu.
Ya Allah, mohon perkenankan doaku.
KakChik
Dar Nur al-Zahra'
Perkongsian : Hujan
8 years ago
No comments:
Post a Comment
Kakchik ucapkan terima kasih banyak sebab teman-teman sudi memberi komen. Insyaallah kakchik akan membalasnya secepat mungkin.