Followers

28.2.11

Perkongsian: Hukum-Hakam Fotografi Dalam Islam

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tadi kakchik ingat taknak kongsikan artikel ni di blog tapi bila difikirkan semula, terasa ada baiknya kakchik berbuat demikian. Mungkin ramai lagi tetamu blog yang tidak tahu, kurang tahu, tidak faham, kurang faham, atau langsung tidak tahu tentang hal hukum-hakam ni, tambah-tambah pasal fotografi. Bila kita Islam maka segala yang kita buat kenalah pastikan selari dengan hukum-hakam Islam. Mana boleh main taram je. Asal hati kita suka, salah di sisi agama pun kita nak buat juga. Mana boleh...

Sumber: Photobucket

Jadi, marilah ambil tahu pasal hukum-hakam fotografi dalam Islam. Artikel ini kakchik salin tanpa edit dari forum Digitalmukmin.com di facebook. Untuk makluman, Digitalmukmin.com tu ialah laman milik Ustaz Azhar Idrus. Kalau tak kenal Ustaz Azhar Idrus, cuba cari dalam Youtube, pasti jumpa.

Apa hukum kita mengambil gambar model2 yang mendedahkan aurat (model wanita terutamanya).

Jawapan : Haram samada model lelaki, wanita atau khunsa.

Lepas shoot kite sebarkan dengan upload dalam Facebook, or mane2 forum. Adakah kita turut mendapat dose dalam kes penyebaran gambar2 sebegini rupa?

Jawapan : Setiap yg haram dilihat maka haram pula diperlihatkan kpd org lain samada dimuatkan pd majalah, akhbar, internet dll. Selama mana gambar2 tersebut belum di delete, maka selama itulah potografer mendapat saham dosa.

So ape pendekatan kite sebagai rakan2 photografi dalam menanggani masalah sebegini rupa?

Jawapan : Kembali kpd Islam samada kita ni fotografer atau siapa saja dengan mendalami ilmu agama dan sebarkan kpd orang lain atas nama dakwah. Tunjukkan kpd orang lain bahawa gambar yg cantik tak semestinya model atau yg haram. Islam tidak menghalang fotografi cuma mengawalnya sahaja agar tidak melampaui garis panduan agama.

wallahua'lam

Senang nak faham kan? Bila dah faham, jom lah kita bertindak segera. Jangan bertangguh kerana lama-lama tak menjadi. Syaitan paling suka memujuk kita agar menangguhkan dari melakukan amalan kebaikan. Perasan tak bila kita rasa nak solat awal, ade je perkara yang kita rasa nak buat. Patut solat Isyak jam 8.30 malam jadi jam 12 malam. Buat dalam keadaan mengantuk, susah nak khusyuk.

Pasal fotografi ni, kakchik nak semak gambar-gambar dlm blog-blog kakchik. Rasa macam ada je gambar yang tak menutup aurat. Kena buang segera. Kasihan tuan punya badan dan para pembaca yang melihat. Jom bertindak!

Janganlah Kita Menghina Ulamak

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Kakchik doakan teman-teman semua dalam keadaan sihat sejahtera. Alhamdulillah hari ni kesihatan Ummi makin baik dan kakchik pun dapat kembali bekerja seperti biasa. Kakchik tahu Ummi belum sihat sepenuhnya tapi doa kakchik akan sentiasa dikirimkan agar Allah dapat menjaga Ummi di rumah. Ayah dan bibik ada untuk tolong tengok-tengokkan. Insyaallah takde apa-apa.

Semalam kakchik ada melihat sekeping gambar yang sungguh menyedihkan hati bila melihatnya. Gambar perarakan di tempat penamaan calon DUN Merlimau yang menunjukkan 2 poster besar yang dibawa oleh para penyokong. Apa yang menyedihkan ialah apa yang ditunjukkan di dalam poster-poster tersebut.

Sanggupnya mereka menghina seorang ulamak. Beliau bukan letak sendiri gelaran ulamak pada diri beliau tapi gelaran itu diberikan orang ramai yang memperakui ilmu dan ketokohan beliau. Istighfar kakchik melihat gambar itu. Siapakah anda untuk menghina beliau sebegitu rupa? Kalau tidak suka pun janganlah digambarkan sehina itu. Berdosa. Dosa yang hanya boleh diampunkan oleh beliau.

Atas dunia ni, ada pemimpin yang kita suka, ada juga yang kita tidak suka. Boleh jadi kita suka seseorang itu kerana kita yakin dan tahu ketokohannya dan keilmuannya. Pada kakchik ukuran seorang pemimpin yang hebat ialah dia boleh membawa Islam pada dirinya dan juga kepada masyarakat. Penampilannya, tutur katanya, perbuatannya, selari dengan kehendak Islam.

Ada orang menyokong seseorang pemimpin kerana kehebatannya berhujah dan imej hebat yang ditonjolkan walaupun beliau tidaklah mengutamakan agama dalam kehidupan dan tindakannya. Terserahlah pada minat masing-masing. Kita punya matlamat tersendiri bila menunjukkan sokongan. Matlamat kakchik, mahu ikut Islam dunia hingga akhirat jadi kakchik menyokong mana-mana pemimpin yang setiap hari lidahnya pasti menyebut Islam di tempat yang utama.

Mana tahu esok-esok di Mahsyar, kakchik boleh sama-sama menumpang tuah para alim-ulamak. Ilmu sendiri sangatlah sikit dan lemah, tentulah kakchik mahu menumpang ilmu mereka. Tiada guna hebat di dunia tapi ilmu akhirat diletakkan di tangga yang bawah. Kita tidak akan selamanya hidup, mati pasti datang dan kehidupan selepas mati ada hubung-kaitnya dengan apa yang kita buat di atas dunia ini. Termasuklah apa yang kita buat terhadap ulamak.

Kalau tak takut mati dan tak takut murka Allah, tulislah, hamburkanlah kata-kata keji, hina dan kesat yang anda suka. Buatlah. Jangan risau, mati esok, kalau tak sempat bertaubat dan meminta maaf dari ulamak tersebut, anda jawablah di depan Allah. Memanglah beliau juga manusia yang ada kelemahan macam kita tapi pernah fikir tak berapa banyak dan jauhnya ilmu beliau berbanding kita?

Tapi media arus perdana sama ada akhbar atau tv jarang yang sudi menunjukkan kebenaran. Banyak yang diputar-belit dan dipropagandakan. Hanya hati-hati yang celik dapat membaca betapa scheming nya media di negara kita dan prejudisnya terhadap para pemimpin yang mahu meletakkan Islam di tempat paling utama. Itulah cabaran untuk setiap gerakan Islam di dunia ini.

Janganlah menghina ulamak.

27.2.11

Jangan Lupa Bersarapan Untuk Elak Penyakit

Assalamualaikum dan salam ceria pagi Ahad.

Hari ni kakchik ambil cuti walaupun sudah siap memakai uniform, kakchik ambil cuti juga. Ummi kakchik masih tidak sihat. Tak sampai hati nak ke pejabat walaupun ada kerja yang belum siap. Alhamdulillah rakan-rakan sekerja boleh membantu. 

Kakchik ambil peluang untuk menulis sebentar sementara Ummi berehat selepas dia bersarapan sebentar tadi. Perut Ummi masih sakit, memulas-mulas dan semasa rumah agak sunyi ni biarlah dia tidur. Itupun Ummi bukannya mudah lelap apatah lagi bila ada orang sedang membaiki dinding rumah kami.

Sandwich Ringkas

Sarapan, janganlah kita ringan-ringan diri tidak mengambil sarapan. Walau sesibuk manapun kita, sarapan amat-amatlah penting untuk badan terutama otak kita. Kita pun tahu kan, otaklah yang mengawal  setiap fungsi dan pergerakan tubuh badan kita. Jika otak tidak mendapat cukup oksigen, maka kemungkinan besar fizikal kita akan mudah mendapat penyakit.

Wajibkan diri mengambil sarapan. Sedikit pun tidak mengapa asalkan ada makanan yang menjadi alas perut kita. Waktu yang sesuai untuk kita bersarapan pada kakchik ialah antara jam 7 pagi hinggalah jam 10 pagi. Paling elok ialah antara jam 7 hingga jam 8 kerana selepas itu kita biasanya sudah mula bekerja.

Kasihanlah pada diri kita yang memerlukan bekalan tenaga untuk meneruskan kehidupan. Jika kita tidak berusaha mengalas perut dengan makanan, macam-macam penyakit akan menyusul. Misalnya kembung perut, buluran kata orang Kelantan, sakit kepala (mana tak sakit kalau bekalan oksigen dalam darah kurang?), dan macam-macam lagi.

Jadi, untuk sentiasa ceria dan bertenaga, pastikan kita makan sarapan.

26.2.11

Ummi Tak Sihat, Mood Menulis Menurun

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Terima kasih banyak kepada teman-teman di facebook yang begitu ramai mengirimkan doa agar Ummi kakchik lekas sihat. Alhamdulillah Ummi dah balik ke rumah walaupun dia masih lagi tidak betul-betul sihat. Kakchik minta maaf kepada teman-teman blogger kerana langsung tidak update berita terkini yang menimpa Ummi kakchik. Tiada kesempatan dan mood untuk menulis menurun bila Ummi kesayangan sakit.

Hari Rabu lepas Ummi kakchik terkena keracunan makanan. Dari petang hingga ke malam hingga ke pagi Ummi dalam kesakitan. Kakchik dan adik-beradik yang ada sama-sama berjaga malam untuk menjaga Ummi. Oleh kerana kakchik tidak pandai ilmu perubatan maka kakchik hanya mampu melegakan Ummi dengan mengurut dan memicit-micit badannya sambil cuba menenangkan hati Ummi.

Oleh kerana sakitnya makin teruk, kami adik-beradik ambil keputusan membawa Ummi ke hospital agar diberikan rawatan yang sewajarnya. Kalau ikut hati memang awal-awal lagi nak bawa tapi Ummi memang tak mahu hinggalah jam 5 pagi baru dia setuju. Alhamdulillah. Syukur sangat. 

Sepanjang kakchik yang menemankan Ummi malam Khamis tu sebelum dia ke hospital, hati kakchik amat berharap agar Allah segera hilangkan sakit di dalam pert Ummi. Kalau boleh biar sakit tu pindah kepada kakchik. Sangat sayu mendengar Ummi mengerang kesakitan dan kakchik pula tak mampu nak mengurangkannya. Hanya dapat mengatakan, "Sabarlah Ummi. Sabarlah Ummi." 

Terasa amat sedih tapi kakchik tak berani nak menangis sebab tak mahu Ummi pula sedih. Kakchik gosok perut Ummi, picit-picit lengan dan betis Ummi, urut belakang Ummi dan pujuk air mata agar jangan jatuh. Macam-macam yang terlintas di minda dan semuanya amat memilukan. Ya Allah, berilah kembali kesihatan yang baik kepada Ummi.

Hari ni Ummi sudah ada di rumah cuma dia masih belum begitu sihat. Ummi kakchik memang ada penyakit iaitu lemah jantung dan darah tinggi. Bila keracunan makanan, badannya menjadi sangat-sangat lemah sedangkan sebelum itu sakit jantung dan darah tingginya agak stabil. Tapi Ummi, mana...lah dia suka duduk lama-lama dalam hospital tu walhal dia boleh rehat tanpa gangguan anak cucunya. Tak sampai sehari, Ummi balik.

Kakchik tahu walaupun di wajahnya nampak ceria tapi hakikatnya badan Ummi masih lagi tidak sihat. Pagi tadi dia muntah lagi dan katanya seleranya tiada. Kakchik ke pejabat dengan hati yang berat tapi bila mengingatkan adik-adik dan kakak ada di rumah dan mereka boleh menguruskan Ummi dengan lebih baik, kakchik pergi juga.

Moga-moga Allah tidak lagi menguji Ummi dengan penyakit yang berat. Kasihan sangat kakchik lihat tubuh tuanya menahan kesakitan. Memang sakit itu kifarat dosa tapi bukan semua orang mampu menanggungnya dengan sabar dan tenang. Orang yang melihat boleh empati tapi orang yang menanggung pastilah amat berat dugaannya. Kita hanya manusia yang lemah.

23.2.11

Mee Udang Punya Pasal

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

2 mangkuk Mee Udang Telur yang enak.

Mendung sungguh semalam dan hari ni. Ditakdirkan Allah kakchik pula agak tak sihat tapi masih boleh datang kerja. Kiranya takdelah berat sangat. Nak masuk facebook rasa takde mood sebab perut dan belakang yang rasa sakit-sakit sikit. Mungkin kesan makan nasi air special malam tadi dan lama duduk depan komputer. Tapi, tak perlu risaulah ya, ini hanya sementara saja.

Tengahari ni sesuai sangat kalau crita pasal menu makan. Betul tak? Maklumlah di waktu ini kita semua mungkin memerlukan suntikan tenaga untuk menyambung kerja-kerja di sebelah petang nanti. Rasanya kalau kakchik ceritakan pasal apa yang kakchik makan sehari dua lepas tak jadi masalah la kan? Kalau tiba-tiba terasa lapar atau kecur air liur tu kakchik nasihatkan segeralah cari makanan ya. Kakchik tak dapat nak tolong :D

So... Ahad lepas, kakchik dan rakan-rakan ke SMO di KB Mall untuk membeli buku baru untuk perpustakaan kami. Ikut perancangan awal, selesai membeli buku kami akan ke Berek 12 untuk mencuba Mee Udang di restoran yang baru dibuka iaitu Restoran Mee Udang Berek 12. Sudah banyak kali kakchik lalu di depan restoran tu dan setiap kali lalu mesti kakchik teringat kepada Mee Udang yang kakchik pernah makan semasa ke Kuala Sepetang dulu.

Ada kakchik cerita di sini: Mee Udang Kuala Sepetang

Sekali makan sampai hari ni masih teringat-ingat. Jadi kakchik sudah pasang niat awal-awal nak ajak kawan-kawan makan bersama di situ nanti. Kakchik tahu K.Mar dan Dila tentu suka kalau dapat keluar makan mencuba makanan baru di tempat baru. Selepas kakchik beritahu mereka pasal restoran tu, sebulat suara kami setuju nak singgah makan selepas kami selesai urusan membeli buku.

Medan Selera KB Mall yang masih lengang.

Kita merancang dan Allah juga merancang. Apa yang kami rancang tidak berlaku seperti yang diharapkan. Alhamdulillah... kami dapat juga makan Mee Udang yang sedap tapi bukan di Restoran Mee Udang Berek 12 tapi di Medan Selera KB Mall. Macamana boleh jadi macam tu? Haha, tau sajalah bila ke KB Mall, Pukul 11 - 12.30 pagi kami gunakan untuk membeli buku di SMO hinggakan hajat nak ke Popular tak kesampaian. Tak cukup bajet daaa...

Jika kami ke Berek 12 semata-mata untuk makan, mungkin kami akan memakan masa yang lebih lama dan akan menyusahkan 3 orang lagi rakan sekerja yang mahu berehat pada pukul 1 petang. Kami buat keputusan untuk makan saja di Medan Selera. Naik je ke atas tu kakchik tengok banyak sekali gerai makanan untuk dipilih. Dan tiba -tiba ternampak, 

K.Mar dan Dila menunggu pegerai untuk membuat pesanan.

Apa lagi, seperti orang mengantuk disorongkan bantallah macam ni. Kami bertiga setuju untuk memesan 3 mangkuk Mee Udang Telur untuk dicuba. Alhamdulillah, kami tidak silap. Harga RM4.50 semangkuk amat-amat berbaloi kerana kualiti dan kuantiti. Kalau tak percaya kalian kenalah ke sana untuk mencuba. Memanglah udangnya tidak sebesar udang yang di Kuala Sepetang tu, yang tu udang gred A, harga pun RM12 semangkuk tapi yang ini pun sudah cukup memuaskan hati kami.

Kakchik punya. Yummy!
Bila dah keluar makan bersama ni tak sah kalau tak pencuci mulut. Kakchik pesan Pengat Pisang dan K.Mar beli Bubur Jagung, kami kongsikan bertiga. Itupun sudah sangat-sangat mengenyangkan dan memuaskan w/pun orang lain terpaksa tolong kakchik menghabiskan bahagian kakchik hehe. Perut kecik, makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. Betul tak?

Pengat Pisang ada Pulut. Sedap. Pulutnya lembut dan kena dengan selera.
Bubur Jagung yang tak dapat kakchik cuba sebab sudah kenyang. Lain kali ya.

Mudah sebenarnya untuk makan jika membeli-belah di KB Mall ni sebab ada Medan Selera di tingkat atas dan ada juga restoran makanan segera di tingkat bawah. Makanan di Medan Selera agak bagus dan harganya pula berpatutan. Kiranya masih boleh menjimatkan bajet. Pilihan makanan pun banyak, tempat duduk pun banyak, luas, selesa dan ceria. Kalau bawa keluarga pun ok.

Tapi... ada satu yang tak seronok bila dapat makan Mee Udang ni. Huhu, sangat-sangat tak bagus. Bukan saja tak bagus, menyakitkan dan menggeramkan hati setiap kali bila nampak. Nak tau apa dia?

J E R A W A T !!!

22.2.11

Tahniah Bob Lokman!

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sejahtera.

Pertama sekali kakchik nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua teman-teman blogger dan pembaca yang singgah di sini mengucapkan selamat sempena ulang tahun perkahwinan kakchik dengan cik abe. Terima kasih banyak terutama bagi yang mendoakan kebaikan ke atas kami berdua. Semoga kalian juga mendapat banyak pahala kebaikan di atas segala niat baik kalian.

Keduanya, kakchik sangat bersyukur dengan berita terkini mengenai Bob Lokman yang terkenal dengan lawaknya di dalam tv. Siapa sangka, hidayah Allah datang di dalam jiwa seorang lagi insan seni tanah air kita. Semoga penghijrahan Bob Lokman kepada jalan Islam mendapat doa kebaikan dari kita semua. Bila hati telah tekad mahu mencintai Allah dan jiwa memberontak mahu membina sebuah keluarga Islam yang sebaik-baiknya, maka angin keinsafan tidak akan ditangguh-tangguh lagi. Syukur dan tahniah untuk Bob Lokman!

Kakchik hari ni bukan lagi penonton setia tv kerana kehidupan harian kakchik jarang sekali memungkin untuk kakchik berlama-lama di hadapan kaca tv. Sesekali saja kakchik ada peluang itu dan itu pun hanya tonton sambil lalu saja. Sepanjang program Raja Lawak disiarkan di tv tidak pernah sekalipun kakchik menontonnya jadi kakchik tidak tahu siapa yang menjadi juri dan siapakah artis-artis yang menyertai, memenangi dan sebagainya. 

Bila tiba-tiba ada kawan yang tag video Raja Lawak mengenai penarikan diri Bob Lokman dari menjadi juri, hati terpanggil untuk melihat apa cerita di sebaliknya. Rasanya semua orang dah tengok video ini:



Tentu terkejut habis para penonton siaran langsung ni kan? Mungkin ada yang ingat Bob Lokman buat lawak je sebab itukan program Raja Lawak tapi hakikatnya dia memang serius. Tak sangka tapi kakchik bangga. Berani sungguh beliau mengambil kesempatan berbuat demikian di dalam rancangan yang disiarkan secara langsung untuk memberitahu keputusannya. Tambahan pula beliau sempat berdakwah,
"... takut banyak sangat ketawa kan cepat pulak pergi nanti kan...."

Satu peringatan yang sangat baik untuk kita semua. Hidup ni memang perlukan juga unsur-unsur lawak, lucu dan kelakar bagi menghiburkan hati kita tapi bila terlalu banyak, maka ia akan menyebabkan kita lalai dan leka. 

Kakchik amat yakin, ramai insan seni di negara kita berada dalam situasi yang sama seperti Bob Lokman sebelum berhijrah dan mereka ada kemahuan untuk berhijrah. Banyak faktor yang menyebabkan mereka cepat atau lambat berhijrah yang mungkin boleh kita buat andaian dan tak boleh buat andaian. Bagi yang bulat keyakinan dan berani, mereka melangkah seperti Bob Lokman. Bagi yang masih punya maslahah, mereka melangkah perlahan-lahan. Semoga makin ramai insan seni yang berubah ke arah kebaikan dan turut serta dalam menyebarkan kebenaran.

Pagi ni kami di Zahra' macam sebulat suara membaca blog Bob Lokman dan masing-masing bersyukur atas perubahan diri beliau. Marilah kita sama-sama mendoakan agar hajat beliau untuk mendidik anak-anak beliau dengan sebaik-baiknya menurut Islam akan tercapai. Bukan mudah, kita semua pun tahu tapi boleh diusahakan. 

Blog Bob Lokman : DEMI ALLAH

21.2.11

Macaron Manis Istimewa Untuk Ulang Tahun

Assalamualaikum warahatullah wabarakatuh dan salam sejahtera.

Apa khabar? Semoga semuanya dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dilindungi Allah SWT dari godaan nafsu dan Syaitan di mana saja berada. Alhamdulillah, hari ni kakchik sihat-sihat saja begitu juga dengan cik abe. Sekarang ni kakchik sedang bertugas di Kaunter Zahra' dan sementara pengunjung tidak ramai ni, kakchik mahu mengemaskini blog ini sebentar. 

Macaron. Sumber: Iris Lam

Pagi ni kakchik nak buat review khas untuk kawan baik kakchik yang kini telah bergelar usahawan MACARON. Kalian tahu tak apa itu macaron? Sejak dua menjak ni macaron telah menjadi satu ledakan trend baru dalam industri makanan pencuci mulut di negara kita. Sebelum ini orang hanya bercerita tentang macaron di dalam blog dan facebook, tapi beberapa minggu lepas, suratkhabar juga sudah mula menyediakan rencana khusus tentang macaron.

Nak tahu apa itu macaron, boleh baca apa yang cikmin tulis ni:

Apa itu Macaron?
Macaron ni sejenis kudapan manisan orang perancis yang diperbuat dari ground almond,caster sugar dan egg white. 2 keping shell diletakkan jem atau filling ditengahnya seperti sandwich.
Apa rasa Macaron ni?
Crispy kat luar chewy kat dalam tu..bila kita gigit rasa crispy lepas tu kat dalam rasa chewy dan melty gitu..kat tengah ada filling..ada macam variety filling…fuhhh sedap you!

Kalau nak baca rencana tu boleh klik di link The Star Online di bawah ni.
Macarons take the cake.

Beberapa bulan lepas kakchik membaca pasal macaron buat pertama kalinya di dalam blog kawan kakchik iaitu cikmin.com . Kalau tak silap kakchik, cikmin bercerita tentang betapa dia sangat mengidam nak makan macaron hingga sanggup membelinya dari Laduree, Perancis. Oleh kerana passionate sekali cikmin dengan macaron, dia ambil kelas belajar membuat macaron dan kini cikmin telah berjaya menjadi usahawan macaron. Tahniah cikmin!

Sticker rasmi CM Macarons

Sempena hari ulang tahun perkahwinan kakchik yang ke-9, kakchik telah memesan macaron daripada cikmin. Siapa yang tak terliur bila selalu sangat dok lihat gambar macaron yang comel berwarna-warni. Walaupun kakchik tak berapa suka makanan manis (sebab tu tak minat sangat kuih-muih Kelantan), kakchik nak cuba juga macaron tu dan dengan siapa lagi kakchik nak beli kalau bukan dengan cikmin kan?

Ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada hari Selasa tapi kerana kakchik lewat buat tempahan, Macaron sampai pada hari Khamis secara by-hand melalui kurier Gdex. Alhamdulillah... gembira sangat hati ni sebab boleh makan macaron yang dibuat oleh cikmin dan berkongsi dengan cik abe makanan yang susah nak dapat ni.

Macaron banyak yang rosak mungkin kesan lambungan semasa kurier.

Melihat kepada ketelitian cikmin membungkus macaron kakchik ingatkan kandungan di dalam bungkusan tidak mengalami apa-apa masalah. Sayangnya pihak kurier yang sepatutnya memberikan lebih perhatian kepada penghantaran by-hand ini telah cuai dan banyak macaron yang telah rosak. Insyaallah cikmin sudah dimaklumkan dan mungkin dia akan ambil tindakan segera untuk penghantaran lain selepas ini.

Oleh kerana dah rosak, kakchik tanpa membuang masa telah memakan 2 biji macaron tanpa sempat menunggu cik abe balik dari kerja, hehe. Mmm... yummy! Sedap sangat rasanya. Rupa dah tak cantik tak mengapalah asalkan masih edible dan sedap dimakan.

Warna yang sangat cantik, menarik pandangan dan selera makan.
Kakchik bayangkan jika macaron ni tidak rosak tentu sangat cantik dipandang kerana bentuknya yang bulat, comel dan warnanya pula sangatlah terang berwarna-warni. Anak-anak saudara kakchik cukup suka bila kakchik hadiahkan sebiji seorang mencuba macaron ni. Kiranya mereka tak pandang pun dengan bentuk yang dah tak rata asalkan sedap dimakan haha.

Dari 5 jenis macaron yang cikmin hantar ni, kakchik paling suka yang warna coklat tu. Memang sedap sangat hinggakan kakchik cukup sayang nak makan semuanya. Sampai hari ni masih ada kakchik simpan dalam peti ais. Baru makan 2 biji hehe. Cik abe makan yang warna biru sebiji je. Dia memang sangat-sangat kurang makan makanan manis, jadi tak hairanlah kalau dia taknak tambah.

Kakchik paling suka yang coklat ni. Yummylicious!

Apa yang pasti, kakchik tak akan makan habis dengan cepat macaron ni. Sebiji sehari je. Kena jimat cermatlah sebab susah nak dapat, jauh datangnya dan berharga pulak tu. Kalau senang nak beli macam kuih akok tu lainlah kan. Jadi... kesimpulannya macaron yang cikmin buat ni rasanya sangat sedap. Cuma cikmin kena kemaskini cara penghantaran agar macaron tak jadi macam yang kakchik ni. Insyaallah kakchik yakin cikmin sudahpun mempunyai caranya untuk mengatasi masalah ni.

Rasanya sedikit masa lagi macaron juga akan mula menjadi tarikan para pengusaha makanan di sini. Mungkin sudah ada yang menjualnya di KB ni tapi kakchik je yang tidak tahu. Apa yang pasti, di sini belum begitu meluas pasaran macaron. Kakchik percaya bisnes cikmin ini boleh berkembang maju kerana macaron yang cikmin hasilkan ni sangat cantik dan sedap.

Kek cawan pun mungkin akan mendapat saingan yang hebat daripada macaron tak lama lagi. Setuju? Kalau promosi melalui media makin hebat percayalah, ia akan menjadi satu kenyataan. Untuk cikmin, semoga bisnes CM Macarons berkembang maju dan berkekalan. Tahniah! Kawan-kawan, cubalah makan macaron buatan cikmin, rasa sekali pasti nak lagi.

CM Macarons - fighting!

20.2.11

Ulang Tahun Perkahwinan Ke-9

Assalamualaikum dan selamat tengahari.



Happy Anniversary Yang! Happy 9th. Anniversary to us!

Itulah ucapan yang kami ucapkan pada 12 Rabiul Awwal yang lepas, hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke-9 yang sentiasa diingati kerana ianya sentiasa jatuh pada tarikh yang sama dengan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Hari tu kami semua bercuti. Seluruh negeri pun bercuti sempena kelahiran Rasulullah s.a.w. dan kami pula turut menikmati hari cuti anniversary kami. Tiada ke mana-mana pun. Sekadar berehat-rehat di rumah saja. Lagipun cik abe sibuk, banyak masa ditumpukan kepada kerjanya yang semakin banyak.

Ada juga berangan-angan nak keluar makan bersama-sama tapi akhirnya angan-angan tinggal angan-angan saja. Berada di rumah lebih selesa. Ulang tahun kali ni memang biasa sangat, tiada yang luar biasa. Bagi kakchik, menyambutnya tidaklah penting. Yang penting ialah ingatan di antara kami berdua.

Sempena cuti ulang tahun juga, kakchik mengambil cuti bekerja selama 2 hari. Saja mahu berehat di rumah, mengisi masa dengan berfikir dan merancang untuk masa depan rumahtangga, kerjaya dan bisnes. Sepanjang itu jugalah kakchik melupakan sebentar alam maya bernama internet ini.

Sembilan tahun hidup berdua terasa seperti baru semalam kami dinikahkan. Masih ada perkara yang kakchik kabur tentang cik abe dan mungkin juga dia pun begitu juga terhadap kakchik. Sembilan tahun yang penuh pengalaman dan pengajaran. Ada yang sangat terkesan di hati hinggakan bila teringat kadang bibir menguntumkan senyuman dan ada kalanya mata berair tanpa sedar.

Semoga Allah tetap tautkan hati-hati kami di atas nama-Nya dalam meneruskan kembara hidup ini sebagai suami isteri. Selagi diri disayangi dan dihargai, apa saja ujian yang datang akan kakchik berani lalui. Kerana, kakchik yakin Allah sentiasa ada bersama untuk melindungi, membimbing dan mendorong kakchik menjalankan amanah sebagai hambaNya di muka bumi ini.

Selamat ulang tahun perkahwinan untuk kita Yang!

Selamat bertemu kembali

Assalamualaikum dan salam ceria di pagi Ahad bersamaan 17 Rabiulawwal 1432H.

Selamat bersarapan dengan lepat pisang.

Apa khabar teman-teman semua? Lama sungguh kakchik tak bertemu kalian di ruangan blog ni, terasa amat rindu dan ada banyak sangat perkara yang kakchik mahu kongsikan dengan kalian. Begitu lama tak menulis dari hati bukan kerana kakchik mahu meninggalkan dunia penulisan blog tapi tanpa sebarang alasan yang kukuh kakchik dengan sendirinya 'bercuti' dari menulis. Maafkan kakchik jika kalian tertanya-tanya apa yang berlaku. Jangan bimbang, kakchik sihat-sihat saja.

Insyaallah bermula hari ni jika kakchik tidak tenggelam dalam kesibukan kerja pejabat, ada masa rehat nanti kakchik akan kongsikan sedikit demi sedikit apa yang berlaku sepanjang kakchik menghilangkan diri dari blogging. Kakchik tahu tidak semua orang berminat untuk membaca dan mengetahui apa yang berlaku tapi sebagai kenangan untuk diri sendiri, kakchik akan catatkan juga di ruangan yang ada ni.

Sekarang ni kakchik nak bersiap untuk ke pejabat dulu. Semalam kakchik bercuti tapi hari ni sudah perlu kembali bekerja seperti biasa. Cuti lama sangat dari bekerja pun tidak produktif buat diri kakchik. Jadi lebih baik kembali ke perpustakaan dan menjalankan tugas seperti biasa. Rindu dengan Zahra' dan segala isinya. Tentu banyak perkara menarik yang berlaku di sana sepanjang kakchik bercuti dari Maulidur Rasul hingga semalam. Tak sabar rasanya nak tahu.

Ok lah, sampai di sini dulu untuk kali ini. Insyaallah nanti kakchik sambung kembali cerita untuk kalian. Wassalam.

18.2.11

Perkongsian: Promosi Maksiat di Facebook & Blog

Assalamualaikum dan salam Jumaat untuk semua teman-teman yang dirindui. Hari ni kakchik masih belum bersedia untuk menulis seperti biasa tapi kakchik ingin kongsikan satu artikel tulisan Ust. Zaharuddin Abd. Rahman yang rasanya amat sesuai dijadikan tazkirah untuk kita semua. Jom kita baca, fahami, hayati dan ambil pengajaran.

Bismillah.
Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkanpelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solatmenjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pulaakan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpasinar.
Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?.
Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

FILEM, DRAMA DAN DOSA
Perlu kita semua fahami, manusia selain Rasulullah s.a.w tidak akan dapat lari dari dosa. Paling kurang dosa-dosa kecil. Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat  lelaki wanita di dalam siri drama, filem iklan, hatta berita. Dosa kecil juga boleh berlaku apabila kerananya sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan kerananya.
Telah dibincang panjang lebar oleh ulama Islam, TV dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.
Sudah menjadi norma hari ini, hampir semua keluarga mempunyai TV walau setinggi manapun tahap keilmuan agamanya. Jika tiada TV, internet juga turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat ditontoni melaluinya.
Di ketika saya bersetuju dan tertarik dengan seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam. Namun begitu, sebahagian pendakwah ini mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya ‘box office' karya Hollywood juga adalah karya hedonisme Barat dan Yahudi Zionis. Itu juga sepatutnya diboikot.
Namun, desakan nafsu dan Syaitan kerap mendorong sebahagian kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti karyawan Barat ini. Walau kita tahu ia bercampur baur adegan dosa (berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah amat pasti.

DOSA KECIL YANG MEMBESAR DAN BERGANDA
Benar, secara umumnya, ia mungkin masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh Nabi s.a.w boleh terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai amalan lain. Namun demikian, dosa kecil seperti itu boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan keseluruhannya.
Bilakah itu?
Ia adalah apabila tontonan kita itu dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita. Atau lebih teruk lagi dipamerkan di FACEBOOK sebagai  filem (movies) yang diminati, dramaTV disukai, buku didambai, muzik dikagumi dan sebagainya.
Bagi saya, tindakan mengisi ruang itu dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur baur pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.
Mungkin terkecuali jika kita menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti Kung Fu Panda, Toy Stories, Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic, Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Akademi al-Quran dan sebagainya.
Memaparkan minat kita rancangan TV atau Movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya seperti ‘Desparate Housewives', ‘Friends', ‘Pretty Women', ‘Notting Hill', ‘Kuch Kuch Hota Hai', ‘HEROES' dan jutaan lagi filem sepertinya.
Walaupun seseorang itu memang meminati dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa kecil. Tontontan itu tanda akibat kelemahan diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.
Memaklumkannya kepada orang lain akan minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain. Ia adalah sebuah promosi iklan secara percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat Bukan sekadar movies sahaja malah hal yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik danpublic figure atau artis (khususnya di facebook).
Saya bimbang, keghairahan berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan forum akan tanpa sedar mempergandakan dosa  seseorang.
Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingin dikongsi tersebut atau ditanda sebagai ‘like' itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK. Sebagaimana drama-drama bermesej islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat. Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan ditonjolkan dalam senarai drama diminati. Dengan niat agar orang lain turut mendapat pengajarannya.
Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar seperti :
  • ketika sedang minum arak,
  • hadiri parti penuh maksiat,
  • hadiri majlis dosa,
  • sedang berpelukan lelaki wanita
  • atau bersentuhan wanita dan lelaki yang bukan mahram (walaupun bagi seorang doktor kerana keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan) 
  • dan sebagainya,
Sekiranya semua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri. Nabi s.a.w memberi ingatan :-

كل أمتي معافى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح وقد ستره الله عليه، فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبح يكشف ستر الله عليه
Ertinya: Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahkan ini, melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata : "Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang (sebelum ini) menutup keaibannya. ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

SEMBUNYIKAN DAN TAUBAT
Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, atau melakukan maksiat secara f izikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit dengan Allah SWT. Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut menjelma. 
Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama, malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya'.
Justeru jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telah atau pernah dilakukan adalah SENYAP DAN SEMBUNYIKAN. Ia bukan hipokrit ! tetapi ia dituntut oleh Allah dan RasulNya dan usahakan bertaubat. Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelaku dosa hanyalah menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik. Rasulullah bersabda :

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْأَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْيُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.
Ertinya: "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azzawa Jalla." [Dikeluarkanoleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]
Pengecualiannya hanyalah apabila kes melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahui hukum dan kaedah pemulihan.
Allah itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita untuk bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan. Di dalam sebuah lagi hadis sohih disebutkan :-

أن النبيصلى الله عليه وسلم قال : يدني الله عبده المؤمن ، فيضع عليه كنفه ويستره ، فيقول: أتعرف ذنب كذا ؟ أتعرف ذنب كذا ؟ فيقول : نعم ، أي ربِّ ، حتى إذا قرره بذنوبه ، ورأىفي نفسه أنه قد هلك ، قال : سترتها عليك في الدنيا ، وأنا أغفرها لك اليوم 
Ertinya: Nabi bersabda: (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata: Adakah kamu tahu dosa kamu ini?Adakah kamu sedar dosa ini? Lalu jawab lelaki itu  Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata: Aku telah menutupinya di dunia dahulu (dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya ( Riwayat Al-Bukhari)
Jelas dari hadis di atas, dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebagainya sejak didunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah serta pengampunannya.

KESIMPULAN
Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah,Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauh manapun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.
Semaklah facebook anda, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.
Sekian

ZaharuddinAbd Rahman
16 Jun2010
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs