Followers

29.11.09

Hari Raya Serba Sederhana

Assalamualaikum dan Salam Aidiladha kepada semua teman-teman di mana saja berada. Apa khabar hari ni? Kakchik hari ni kurang selesa sikit, satu bahagian je yang kurang selesanya sebab bahagian itulah yang menyimpan dan mencernakan makanan. Hehe hari ni dia tak sihat mungkin sebab terlalu pelbagai makanan yang masuk sejak hari pertama raya. Kesian perut kakchik. Inilah masalah yang selalu dialami bila musim raya. Sabar ajelah.

Siapa yang berkorban tahun ni? Kakchik tak buat tahun ni sebab tak layak. InsyaAllah tahun depan akan mampu untuk melaksanakan ibadah korban ni. Tahun ni kakchik hanya tolong-tolong di dapur dan bahagi-bahagikan daging saja. Adik-beradik yang lain ada bahagian masing-masing, jadi banyaklah daging korban yang nak disedekahkan tapi susahnya sekarang ni, orang miskin semakin kurang sampai tercari-cari siapa lagi dalam kampung ni yang layak. Alhamdulillah bila berfikir ramai-ramai masalah dapat diselesaikan.

Oleh kerana lembu korban ayah yang usahakan dan dia juga yang sembelihkan, maka kami sekeluargalah yang akan menyediakan jamuan untuk tukang melapah dan membahagi daging. Tahun ni lembu agak besar dah ayah berjaya mengajak waris-warah yang agak ramai datang membantu. Meriah juga jamuan daging korban. Oh, lupa, kami sembelih korban pada hari raya kedua.

Inilah antara lauk-pauk yang dimasak:


Gulai buku besar (orang Kelantan panggil macam tu)

 
Singgang daging

 
Sup tulang

Ada lagi lauk yang lain tapi kakchik lupa nak ambil gambar sebab sibuk di dapur. Gembira tengok saudara-mara yang tolong melapah makan dengan gembira. Alhamdulillah. Raya kali ni semua adik-beradik yang perempuan berkumpul di rumah ni. Cuma abang-abang dan adik bongsu saja yang tak balik. Tapi macam tu pun rumah kami sudah riuh-rendah, hehe.

Kakchik belum sempat lagi nak ziarah blog kawan-kawan. Tentu macam-macam cerita sempena raya ni. Tak apa... kakchik akan jenguk satu-persatu sebab masa cuti kakchik agak panjang. 5 Dis baru masuk kerja semula. InsyaAllah kakchik akan cuba ziarah jadi sediakan makanan yang sedap-sedap ya.

26.11.09

SALAM AIDIL ADHA

Assalamualaikum semua. SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA!

Terlebih dahulu kakchik ingin MEMOHON MAAF dari teman-teman semua sebab beberapa hari ni jarang sekali kakchik menjenguk teman-teman. Beberapa urusan berkaitan dengan pembelajaran kakchik di OUM perlu diselesaikan begitu juga urusan dengan pihak tuan kedai untuk perpindahan kami di hujung bulan 12 nanti. Selain itu kakchik juga kematian bapa saudara, jadi kehidupan kakchik menjadi agak sibuk daripada biasa hinggakan blog pun hampir terbengkalai.

TERIMA kasih kepada teman-teman yang sentiasa sudi menjenguk kakchik dan rajin pula klik-klik pada nuffnang kakchik tu yang kadang ada kadang takde, hehe. Budi kalian amat-amatlah kakchik hargai. InsyaAllah kakchik akan membalas sebaik yang mungkin.

Malam pun dah meuju ke pukul 11, kakchik baru je selesai makan malam, membasuh pinggan mangkuk, melipat kain, mengemas dapur, mandi sebab berpeluh sakan dan baru nak solat Isyak. Teruk kan. Malam ni memang lewat sungguh kakchik solat Isyak tapi kakchik harapkan bersolat dalm keadaan badan yang masih wangi, segar dan nyaman ni, solat akan lebih khusyuk, insyaAllah. Kalau rasa kaki larat nak berdiri lagi mungkin kakchik gosok baju raya la pulak sebelum beradu.

LABBAIKALLAHUMMALABBAIK
LABBAIKALAA SYARI KALAKALABBAIK
INNALHAMDAH WANNI'MATA LAKAWALMULK
LAA SYARIKALAH

Malam ni kakchik ucapkannya di sini, suatu hari nanti kakchik pasti akan mengucapkannya di Padang Arafah.

Alhamdulillah cuaca cerah sejak semalam di Kelantan. InsyaAllah esok pun sama. Banjir pun dah surut.

SELAMAT HARI RAYA SEMUA! 

25.11.09

Ummi kehilangan seorang abang, kakchik hilang bapa saudara

Assalamualaikum dan salam petang kepada teman-teman dan pembaca budiman semua. Semoga kalian berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Dah makan ke belum? Orang kat rumah tu dah makan ke belum? Sibuk macamana pun jangan lupa makan ya.

Isteri arwah Pakteh, KakLah @ Makteh Lah (bertudung kuning) adalah seorang yang tabah dan cekal.

Petang semalam Ummi kehilangan seorang abang kandung dan kakchik kehilangan seorang bapa saudara. Kini Ummi hanya tinggal 3 beradik iaitu Ummi, Pakngah dan Paksu. Beberapa tahun sebelum ni kakak kesayangan Ummi iaitu Maknik telah kembali ke Rahmatullah (Al-Fatihah kepada Hjh. Nik Halimah bt. Hj. Nik Hassan) dan semalam Pakteh (Al-Fatihah kepada Allahyarham Nik Harun bin Hj. Nik Hassan) pula menyusul. Ummi tentunya sedih dengan kematian mereka tapi ahli keluarga arwah Pakteh tentunya lebih terasa sedih.

Semalam, dalam pukul 3 lebih sepupu kakchik telefon beritahu Pakteh dah tak ada. Masa tu kakchik sedang bersiap untuk ke BIMB bertemu tutor kakchik. Walaupun tidak terkejut (kerana sudah dijangkakan sebab arwah sudah lama menderita sakit) tapi hati menjadi teramat sayu. Kakchik segera teringat segala kekurangan kakchik dalam berperanan sebagai anak saudara arwah. Masa kakchik duduk di rumah sewa dulu kakchik berjiran dengan rumah arwah. Walaupun sekarang kakchik tinggal bersama Ummi, hakikatnya rumah kami masih dekat kerana di dalam kampung yang sama. Tapi ... entah berapa kali kakchik menziarahi arwah dan keluarganya. Ya Allah... maafkan kakchik. Semoga arwah pun maafkan kakchik. Kali terakhir ziarah arwah Pakteh ialah semasa Hari Raya Aidilfitri yang lepas. Lama kan?

Dalam perjalanan balik kakchik ambil kakak di HUSM dan terus ke rumah arwah. Masa tu dah hampir pukul 4 petang. Orang pun dah ramai memenuhi ruang tamu dan kakchik nampak Ummi dan kakak kakchik sorang lagi begitu juga Kak Lah/Makteh Lah (isteri arwah) yang kelihatan sangat tenang. Saudara-mara yang lain pun ramai, begitu juga dengan jiran tetangga. Dan di situ terbaring mayat arwah berselimutkan kain batik. Masa tu tiba-tiba saja rasa air mata mula sarat mahu gugur tapi kakchik bertahan sebab ramai mata memandang.

Sebaik bersalam dengan sebahagian saudara dan tetamu yang ada, kakchik duduk menghadap mayat untuk menghadiahkan Al-Fatihah serta berdoa untuk kesejahteraan ruh beliau. Masa tu kakchik tak hiraukan sangat orang sekeliling tapi berfikir baru pagi tadi semasa memandu ke pejabat kakchik terfikir-fikir sorang diri, bilakah masanya kakchik akan mati? Melihat mayat di hadapan, segala macam perasaan datang. Teringat kalaulah yang terbaring kaku itu diri kakchik, banyaknya dosa yang kakchik lakukan di atas dunia ini. Kakchik maafkan arwah atas segala salah-silap beliau sebelum ini terhadap kakchik (jika ada) dan kakchik mohon dari Allah agar benar, arwah telah maafkan kakchik sebelum ini terutama sepanjang kami tinggal berjiran.

Teringat pula kalau diri ini dipanggil pulang hari ini, ya Allah... banyaknya dosa yang kakchik akan bawa menghadap-Nya. Amanah dan tanggungjawab banyak yang belum kakchik laksanakan. Hutang-piutang masih banyak yang berbaki. Kemaafan dari orang-orang tertentu yang kakchik ada kesalahan dengan mereka juga masih ada yang belum kakchik mohon. Amal ibadat terlalu sedikit yang khusyuk dan ikhlas. Allahu Akbar!

Kalau Allah ambil nyawa kakchik hari ni, kakchik mungkin pulang kepada-Nya dalam keadaan yang sangat dhaif dan memalukan. Ya Allah... layakkah diri ini?

Kematian bapa saudara kakchik ini buat kakchik berfikir banyak. Terasa ingin saja kakchik langsaikan segala yang wajib dan kalau boleh nak buat yang sunat tapi masih juga kalah dengan nafsu dan bisikan syaitan. Lemahnya iman diri.

Mohon permisi dulu. Jika sudi, sedekahkanlah AL-FATIHAH untuk arwah Maknik (Hjh. Nik Halimah bt Hj. Nik Hassan) dan arwah Pakteh (Nik Harun bin Hj. Nik Hassan).

Wassalam.

Mesej kepada is@ikim.gov.my

POST INI AKAN DIBUANG SELEPAS MENDAPAT RESPONSE DARI  is@ikim.gov.my

Assalamualaikum para pencinta abaya.



Post hari ni khusus kakchik tujukan kepada is@ikim.gov.my .

Maafkan kakchik kerana terpaksa membalas email saudari melalui blog ini kerana sudah dua kali membalas email saudari di yahoo gagal begitu juga apabila menggunakan gmail.

Setiap balasan dipulangkan semula dengan mesej email dihalang oleh BARACUDA FIREWALL.

Jadi, ini adalah alternatifnya, harap dimaafkan ya.

Ok, berkenaan abaya Hannan, sekarang ni yang ada stok ialah saiz M sahaja.

Kakchik rasa dengan ukuran yang saudari berikan, saiz M memang sesuai.

Bagaimana? Kalau boleh reply saja di sini ya.

24.11.09

Akhirnya selesai juga

Alhamdulillah... leganya hati bila dua assignment akhirnya siap juga dengan beberapa kali edit. InsyaAllah hari ni kakchik sudah boleh menghantar kedua-duanya kepada tutor kakchik. Syukur sangat. Walaupun diri agak stres tapi dengan usaha menumpukan perhatian dan mengurangkan aktiviti blogging, kakchik dapat juga membuat assignment HDPS4503 Planning and Teaching Music dan HDPS4403 Entreprenuership in Early Childhood Education dengan sebaik-baiknya. Puas hati dah rasanya dengan hasil terakhir ni.

Selepas ni nak memberi tumpuan kepada peperiksaan akhir la pulak. Sebenarnya sekarang ni dah masuk minggu exam tapi kertas kakchik seminggu lepas raya. Kali ni banyak yang kakchik kena cari bahan sendiri sebab OUM tiada memberi modul untuk kedua-dua subjek tu. Nasib baik ada Study Guide, mudahlah kakchik nak rujuk buku dan mencari bahan di internet. Buku-buku rujukan untuk subjek HDPS4403 tak susah nak cari tapi yang muzik tu memang masalah sikit. Kata tutor Study Guide untuk subjek muzik tu tak sesuai untuk kami pelajar diploma ni tapi sesuai untuk pelajar degree. Hanya beberapa bab saja yang boleh diguna. Hmmm... mana nak cari buku ya?

Sekarang ni musim haji tapi entah kenapa sikit sangat rasanya ruh musim haji yang kakchik rasakan. Sedih juga sebab macam takde apa-apa pun sedangkan beberapa hari saja lagi kita akan menyambut Hari Raya Haji dan sekarang ni, pada waktu kakchik sedang menulis ni, berjuta-juta orang sedang melakukan ibadah haji di Mekah. Beberapa orang kawan dan kenalan pun ada yang mengerjakan haji kali ni. Bertuahnya mereka kerana diizinkan Allah menjadi tetamu-Nya. Tak apa, kakchik pun akan dapat menunaikan juga rukun Islam yang kelima tu. InsyaAllah.

Dalam pada tu, kakchik ingin maklumkan urusan jual-beli di MariBaca dan juga Abaya Elegan di internet akan bercuti buat sementara waktu bermula esok, Rabu 25 Nov hingga 2 Dis 2009 untuk meraikan Hari Raya Haji. Hehe... tuan kedai pun nak rehat juga kan. Jadi kepada sesiapa yang dah membuat tempahan tapi belum membuat bayaran penuh, bolehlah menyelesaikannya hari ni agar kakchik boleh hantarkan esok. InsyaAllah hari Khamis barang akan sampai. Kalau tak, alamat kena tunggu lepas rayalah ya.

Sampai sini dulu. Kakchik doakan teman-teman semua sentiasa dilindungi Allah SWT terutama dalam cuaca hujan yang tak menentu ni. Semoga kita semua sihat dan selamat dari bahaya di mana saja kita berada.

Wassalam.

23.11.09

Jatuh Hati

Assalamualaikum semua.

Dalam dok sibuk dengan assignment ni sempat lagi kakchik merayau mencuci mata. Ye lah bila dah letih menaip, kenalah berehat sekejap kan. Rehat kakchik di watu tengahari ni bukannya boleh tidur-tidur ayam sebentar tapi dengan menjelajah blog-blog niaga.

Bila dah menjelajah merata tempat ni mestilah ada yang hati terpaut, huhu. Misalnya seperti beg ini:

Condition: New
Size: 13" x 10" x 6.5"
Signature jacquard Fabric Leather trim
Push lock closure on front
Double handles, drops 9"
Gold Tone hardware
Separate middle zipper compartment
Interior: Fully fabric lining
1 inner back zip pocket
2 inner slip pockets
Price: RM730.00
ADUH!!! Harganya... memang jamu mata sajalah... lagipun kakchik insyaAllah tak akan beli handbag kalau harganya melebihi RM300. Takut mahal beg daripada duit di dalamnya. Tapi... memang terjatuh hatilah kat beg itu.

Kalau diikutkan nafsu memanglah ada duit nak beli tapi Islam dah didik kita jangan mengikut nafsu sebab banyak akibat buruknya nanti. Jadi lebih baiklah kakchik ikut kata hati bahawa, banyak lagi bag yang cantik dan berkualiti boleh dibeli pada harga yang lebih murah. Lagipun fungsinya tetap sama dan insyaAllah terhindarlah sifat riya' kan.

Cukuplah sekadar menjamu mata dan berangan-angan di siang hari hehe. Bag tangan yang sedia ada pun dah melebihi dari keperluan, jadi pakailah dulu sehingga rosak barulah fikir untuk membeli yang baru.

22.11.09

Diorang demam...

Assalamualaikum dan salam pagi ceria semua.



Kakchik cuma nak tulis pendek saja sebab sekarang ni sedang siapkan assignment. Hari ni terpaksa ambil cuti tambah-tambah ada anak saudara yang demam. Tak sampai hati pula nak biarkan Ummi keseorangan menguruskan rumah hari ni.



Sambil-sambil tengokkan Kakak yang deman, dapatlah kakchik siapkan assignment. Selalunya beginilah kalau kita bekerja dan belajar. Kalau nak siapkan assignment kakchik perlu bercuti untuk memberi tumpuan. Kalau tidak memang tak dapat disiapkan dengan baik.


Banyak urusan mencari bahan yang melambatkan kakchik dalam nak siapkan assignment tu sebab internet yang sentiasa terganggu.


Apapun hari ni kakchik di rumah, membantu mana yang patut.

21.11.09

Banyak kerja la... tapi makan jangan lupa

Assalamualaikum dan salam hujung minggu kepada semua teman-teman semoga kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT dalam kehidupan kita terutama dari kegoncangan iman dari landasan Islam yang kita anuti. Kakchik doakan teman-teman semua sentiasa gembira menjalani kehidupan masing-masing di samping tidak lupa untuk sama-sama saling ingat-mengingati dalam melaksanakan amal makruf nahi mungkar.

Hari ni macam biasa bagi kakchik ialah hari bekerja. Walaupun cuaca kurang baik sejak beberapa hari lalu tapi kerja tetap kerja. Selagi tiada halangan untuk datang, kenalah kakchik datang memenuhi amanah yang diberikan. Lagipun mana boleh suka-suka hati tak mahu datang kan. Kalau ikut hati tu memanglah kakchik lebih suka duduk di rumah dalam keadaan suram, mendung macam ni, hehe teringatlah pulak kat buku-buku dan katil yang enak. Bersandar di kepala katil sambil baca buku dan badan berselimut... huhu seronoknya.

Ala kullihal, semua tu hanya angan-angan. Sekarang ni waktu untuk selesaikan beberapa kerja rutin untuk tahun hadapan. Mana tahu kalau banjir, apa-apa pun boleh terjadi. Lebih baiklah kakchik buat persiapan. Lagipun minggu ni juga kakchik kena hantar assignment. Banyak sungguh kerja sampai assignment pun tak sempat nak siapkan. InsyaAllah mesti siap dalam sehari dua ni, nak hantar sebelum raya.



Oh, hari ni kami sarapan dengan Laksa Johor. Kakak yang buat, kakchik tukang makan je. Kakchik letak gambar ni tapi bukan kakchik punya ya, hanya copy dari sini. Tak sempatlah nak ambil gambar tadi, memang kalut sikit sebelum ke pejabat. Tapi begitulah lebih kurang rupa Laksa Johor yang kakchik makan pagi tadi. Siap bawa bekal ke pejabat ni untuk makan tengahari, hehe.

Sebeleum kakchik undur diri, kakchik nak kongsi terjemahan ayat Qur'an yang kakchik buka secara rawak pagi ni. Surah An-Nahl ayat 35.
Dan berkatalah orang-orang kafir musyrik: "Kalaulah Allah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah selain daripadaNya sesuatupun, - (tidak) kami dan tidak juga datuk nenek kami; - dan tentulah kami tidak mengharamkan sesuatu pun dengan ketiadaan perintahNya." Demikianlah juga yang telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada mereka. (Apa yang mereka katakan itu adalah salah semata-mata) kerana bukankah Rasul-rasul semuanya tidak bertanggungjawab selain daripada menyampaikan (kehendak dan hukum Allah) dengan cara yang jelas nyata?
Sekadar renungan bersama.
Kakchik suka buka Qur'an secara rawak dan baca terjemahan di halaman yang terbuka. Nak huraian lanjut kenalah kita rajinkan diri mencarinya.
Wassalam.

19.11.09

Lawak orang nak kahwin

Assalamualaikum semua. Di pagi Khamis yang mendung ni tapi nampak macam makin nak cerah tu... kakchik nak kongsikan satu lawak yang diterima melalui email. Sekadar nak hilangkan rasa sedih atas apa yang berlaku kepada dua kenalan kakchik.

Kejap lagi nak keluar atas beberapa urusan jadi kakchik hidangkan lawak ini untuk sama-sama dibaca dan diambil iktibar.
Kepade mereke2 yg nk menghantar dan menerime hantaran..pk2n
“Sayang, tengok nih. Cantiknya AlQuran nih. Warna keemasan. Sesuai untuk kita buat hantaran” pekik Jamilah kepada Nabil..

“Sini pun cantik juga. Warna unggu keemasan. Mana satu kita nak beli nih” balas Nabil.


Mereka sedang asyik mencari bahan-bahan untuk dibuat hantaran. Tinggal satu lagi yang masih dicari-cari iaitu AlQuran yang bakal dijadikan hantaran.

“Tapi, yang ni lagi best, ada terjemahan arab” keluh Jamilah.

“Ala, awak bukan reti pun bahasa arab” jawab Nabil. Tergelak Jamilah. Berbahagia rasanya dapat calon suami seperti Nabil. Prihatin.

“Apa yang saudara cari tu. Nampak seronok saya lihat” tegur pakcik berbaju putih. Jaluran baju ke bawah menampakkan lagi seri wajah seorang pakcik dalam lingkungan 40-an.

“Oh, kami cari AlQuran. Nak buat hantaran.. Maklumlah, nak bina masjid” sengih Nabil. Jamilah ikut senyum tidak jauh dari situ..


“Oh. Bagus lah. Adik selalu baca waktu bila?” pakcik menyoal sambil tersenyum.

“Aa.. aa.. lama dah saya tak baca, pakcik“ teragak-agak Nabil menjawab. Jamilah sudah di sebelah rak yang lain.

“Kalau gitu, tak perlu lah beli AlQuran kalau sekadar hantaran. Kesian ALQuran. Itu bukan kitab hiasan, dik” tegur pakcik berhemah.


“Alah, pakcik nih. Kacau daun pulak urusan orang muda. Kami beli ni nak baca la” tiba-tiba Jamilah muncul dengan selamba jawapannya.

“Oh, baguslah. Kalau gitu beli lah tafsir ArRahman. Ada tafsiran lagi” cadang pakcik. Mukanya nampak seperti orang-orang ahli masjid.

“Ala, besar lah pakcik. Kami nak pilih nih. Kiut lagi” senyum Jamilah mengangkat bungkusan AlQuran warna unggu keemasan. Saiznya kecil.


“Jangan lupa baca ya” pakcik dengan selamba sambil meninggalkan pasangan tersebut.

“Sibuk je la pakcik tu” Jamilah mengomel.


Nabil kelihatan serba salah. Mungkin ‘terpukul’ dengan kata-kata seorang pakcik yang muncul secara tiba-tiba.

Hari yang dinantikan sudah tiba. Mereka sudah bersolek. Hari nan indah. Terlalu indah buat pasangan teruna dan dara yang bakal disatukan. Nabil dan Jamilah tidak sabar-sabar menantikan ucapan indah tersebut. Pak imam baru sahaja sampai.

“Assalamualaikum semua” ucapan salam Pak Imam bergema.

Nabil bagai hidup semula. Dirinya terkejut. Jantung bagai gugur serta merta. Mungkin tidak percaya apa yang dipandangnya dihadapan. Ahli-ahli keluarga berebut-rebut bersalaman dengan Pak Imam. Mukanya berseri-seri. Janggutnya putih. Jubah putih. Rambutnya ada yang berwarna putih.

“Inikah pengantin hari ini?” tegur selamba Ustaz Saad.

“Pak.. Ustaz.. kabar baik, pak... usta.. ustazz..” jawab Nabil mengigil. Jamilah juga terkebil-kebil melihat kelibat orang yang dikenali di kedai buku 2 bulan lalu.


“Oh, sebelum tu, saya suka mendengar bacaan adik Nabil. Mudah-mudahan kita dapat mengambil manfaat dari bacaan pengantin” cadang Ustaz Saad. Kelihatan orang ramai mengiyakan. Maklumlah, ustaz Saad merupakan antara orang dikenali oleh ahli-ahli sebagai penceramah tetap setiap hari Khamis selepas maghrib.

Nabil menelan air liur. Baginya inilah saat paling menyeramkan bagi dirinya. Peluh membasahi baju melayu satin berwarna putih.

“Ss.. su.. surah apa ustaz?” Nabil cuba mengagahkan diri. Jamilah masih melihat dari tepi tirai. Memegang kepalanya. Seperti mengagak benda yang sebaliknya berlaku.

“Oh, ayat yang mudah ja. Baca 3 ayat Surah ArRa’d” kata ustaz Saad sambil menunjukkan baris giginya yang putih hasil bersugi setiap solat mengikut sunnah nabi.


Surah Ar Ra'd

“Apa benda nih” detik hati Nabil.

“Bismillahirrahmaani rrahim.. ALL..MAA.. RIII...!!” berlagu Nabil.


Kelihatan gemuruh satu rumah pengantin perempuan. Ada yang keluar dari rumah menahan gelak. Ada yang mengeluarkan air mata menahan kelucuan. Ada yang menggeleng-geleng kepala. Ibu bapa Jamilah merah padam wajahnya. Jamilah entah ke mana, mungkin berpura-pura ke tandas.

“Baru ustaz tahu ada kalimah almari di dalam ALQuran. Adik Nabil, cara bacanya seperti begini: A’uzubillahiminnassya itaanirra jim.. Bismillahirrahmanir rahim.. ALIF.. LAMM... MIMMM... RAA..” kedengar suara gemersik Ustaz Sa’ad. Orang ramai kelihatan ingin mendengar lebih banyak lagi alunan irama ALQurannya..

Nabil berasa seperti kilat menyambar kepalanya.

“Nabil, kamu jangan merendah-rendahkan kitab petunjuk iaitu AlQuran. Ianya hendaklah dibaca bukan sekadar dijadikan hantaran. Malah lebih malang perlakuan seperti ini seolah-olah menghina ALQuran. Beli ALQuran kemudian menaruh di tempat-tempat tinggi seolah-olah ianya sudah cukup bagi seorang muslim” tazkirah sudah bermula. Orang ramai memang senang cara penyampaian ustaz Sa’ad.

“Tinggi mana pun kamu belajar, tiada gunanya kitab yang tidak berubah ini tidak mampu kamu baca. Kitab ini pasti begini rupanya, ayatnya tetap sama, kedudukannya tidak sama. Malah, ketahuilah Allah akan menjaganya sehingga hari kiamat. Nabil, kalau kamu tahu orang-orang yang mengaku kitab AlQuran sebagai kitab petunjuk kemudian diabaikan dia pasti dilaknat oleh AlQuran itu sendiri. Tetapi beruntungnya orang-orangnya memanfaatkan AlQuran setiap hari, membacanya, menghafalnya, mengamalkan menjadikan hati terlalu tenang walapun dia bukannya seorang yang tinggi pelajarannya, kaya hidupnya dan sebagainya..” penutup Ustaz Sa’ad sudah dikagumi orang terutama yang mengikuti ceramahnya.

Hari semakin cepat berlalu.

Nabil sudah melalui hari-hari yang indah. Kitab AlQuran yang menjadi hantaran pertunangan sudah menjadi diari kehidupannya yang aktif setiap hari.

Pit.. Pit! Jangan lupa datang rumah ustaz malam nih. Kita belajar sama-sama. Jangan lupa bawa isteri sekali ya Nabil. SMS dari ustaz Sa’ad tiba. Jamilah senyum di sisi suaminya, Nabil.

read dis...

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) said: 'When a man dies and his relatives are busy in funeral, there stands an extremely handsome man by his head. When the dead body is shrouded, that man gets in between the shroud and the chest of the deceased.
Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda : 'Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya,  berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.

Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata, Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga.'

Thereafter he turns to his dead companion and says, 'I am the Qur'an, which you used to read, sometimes in a loud voice and sometimes in a low voice. Do not worry. After the interrogation of Munkar and Naker, you will have no grief.'
Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata, 'Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.'

When the interrogation is over, the handsome man arranges for him from Al-Mala'ul A'laa (the angels in Heaven) silk bedding filled with musk.
Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) said: 'On the Day of Judgement, before Allah, no other Intercessor will have a greater status than the Qur'an, neither a Prophet nor an angel.'
Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda :'Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Quran, mahupun dari nabi atau malaikat.'

May Allah bestow this favour on all of us.

Kakchik salin terus dari email dgn sedikit editting. Sambil-sambil ketawa tu fahan-fahamlah maksudnya.

18.11.09

Terkejut dengan keputusan mereka

Assalamualaikum dan salam pagi semua.

Dalam suasana yang sejuk dan hujan lebat tak berhenti-henti dari malam semalam, kakchik dikejutkan dengan dua berita sedih. Hati terasa amat sayu dan terkilan dengan apa yang berlaku. Siapa yang tidak sedih apabila mengetahui orang yang dikenali malah DIKENALI ramai di kalangan Muslimah seluruh dunia kerana video-video mereka tentang Islam dan cara-cara memakai hijab dan niqab, TELAH MENINGGALKAN ISLAM. Berita ini sangat baru.

Di negara kita ni masalah murtad sangat-sangat sensitif dan dipandang berat sehingga boleh mencetuskan permusuhan antara agama. Dua orang kenalan kakchik itu pula, seorang bertudung biasa dan seorang lagi berpurdah, mengambil keputusan untuk keluar dari Islam selepas beberapa tahun mereka menganutnya. Ya, mereka asalnya bukanlah beragama Islam tapi kata mereka, mereka JATUH HATI pada agama ini. Malah mereka juga begitu berusaha mendalami ilmu-ilmu dalam Islam berdasarkan video-video mereka dan juga penulisan di blog dan facebook masing-masing.

Keputusan mereka SUNGGUH TIBA-TIBA.

Kakchik terasa sedih atas keputusan mereka dan rasa macam ditipu oleh mereka tapi siapalah kakchik untuk mengkritik mereka. Kakchik pun tidak tahu bagaimanakan cabaran yang mereka sedang lalui di negara mereka sehinggakan mereka mengambil keputusan drastik itu. Khabarnya kenalan yang di Australia itu pernah menerima ancaman bunuh dan sukar mendapat tempat di universiti kerana Islam dan hijabnya. Manakala kenalan yang di Amerika itu pula merasakan diri beliau tidak diterima oleh masyarakat/komuniti Islam di tempat beliau. Beliau dikritik teruk kerana mempunyai tatoo (sudah ada sebelum dia masuk Islam sebelum ni), memasukkan muzik sebagai latar videonya dan macam-macam lagi.


 Semasa masih Islam.

Bila terfikirkan betapa susah payahnya mereka untuk mendapat Islam dan mengekalkannya namun akhirnya kecundang, kakchik teringatkan diri kita dan masyarakat kita yang majoritinya lahir dalam Islam tapi tidak betul-betul menghargai Islam. Kakchik malu pada diri kerana peranan kakchik memperkenalkan Islam kepada orang lain sangat sedikit. Kakchik sedih sebab kakchik tak banyak memainkan peranan untuk mengembangkan agama ini sedangkan Allah menjadikan kita di atas dunia ini adalah sebagai khalifah-Nya iaitu sebagai hamba yang mengajak kepada-Nya, hidup dengan cara yang Dia redha iaitu Islam.


 Selepas

Terasa bagai kehilangan dua orang kawan tapi apa kan daya, mereka yang memilih jalan itu. Semoga Allah beri kembali hidayah kepada mereka dan janganlah Allah tarik hidayah dari diri kita.

NOTA: Oleh kerana ramai yang dah tahu dan mereka berdua juga telah membuat video mengenai kenapa mereka berubah, kakchik edit post ini dengan memasukkan video terkini mereka.

17.11.09

Mencuba hidangan di Chicken Rice Shop

Assalamualaikum dan salam petang kepada semua teman-teman dan pengunjung Keluargaku Sayang. Semoga kalian semua sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera di mana saja berada. Kepada Cikmin, kakchik doakan semoga selamat melahirkan CKJunior.

Tadi kakchik bersama K.Mar dan Dila pergi ke Popular Bookstore untuk membeli buku untuk Zahra'. Maklumlah agak lama juga kami tidak menambah koleksi buku terbaru di rak buku kami. Dalam masa hampir satu jam kami menghabiskan hampir RM500 untuk bajet buku kali ni. Seperti biasa, dalam bajet tu termasuklah belanja untuk makan tengahari kami, sponsor dari Zahra'.

Asalnya kami rancang nak ke Restoran RasaMas tapi bila ternampak The Chicken Rice Shop kosong je... kami pun masuklah. Lagipun senang sikit kakchik nak buka-buka untuk makan nanti. Lagipun kami belum pernah lagi makan bersama kat situ.


Inilah logonya, si ayam jantan ni. Kacak juga ayam ni hehe... maklumlah perut dah lapar.
 
Sambil menunggu makanan yang dipesan sampai, kami lepak dulu sambil posing-posing, hehe tapi letak 2 keping ni ajelah gambar kami.
 
Cuba tengok, masa ni jam 12 tgh, memang kosong! Agaknya kamilah pelanggan pertama hari ni. Cantik dan ceria dekorasi dalaman restoran ni.
 
Kakchik berkenanlah dengan bekas sudu-garfu bentuk ayam tu. Ingat nak minta bawa balik seekor tapi segan nak cakap, hehe.
 
Untuk makan kat TCRS tu kami order TWIN SETS tapi tambah satu nasi dan tukar 2 Pepsi dengan Milo ais dan teh limau. Gelasnya memang besar, kakchik minum separuh milo dan 1/3 teh limau. Selebihnya K.Mar dan Dila yang minum.
 
Hiasan siling dalam restoran, ceria. Daya penarik untuk kanak-kanak.
 
Dan inilah lauk-pauk yang kami ambil untuk Twin Sets tu. Nama dah lupa dah.
 
Selepas kami serbu, inilah yang berbaki. Kami semua setuju nak bagi kat TCRS ni 5 BINTANG untuk makanan dan 4 BINTANG untuk servis. Alhamdulillah... terasa tak larat nak bawa badan balik ke pejabat sebab kekenyangan.
 
Syukur... inilah rezeki kami hari ni. Kakchik pun gembira kalau selalu dapat makan sponsor macam ni. Walaupun kakchik tak makan dua dari hidangan tu iaitu Pak Choi dan Park Tee tapi kakchik gembira sebab kami bertiga dapat makan bersama.


Kalian pula makan apa hari ni?

16.11.09

Syyyy...

Assalamualaikum dan salam malam kepada semua teman-teman tersayang.

Apa khabar hari ni?

Semoga semuanya dalam keadaan gembira, sihat dan dilimpahi rahmat kasih sayang Allah SWT.
Hari ni adalah hari yang sangat sibuk buat kakchik. Dari pagi sampai ke sekarang ni kakchik begitu banyak urusan berkaitan urusan jual-beli abaya. Tak sangka begitu hangat sambutan yang diberikan. Dan paling ramai yang membeli dan menempah adalah di kalangan teman-teman dan pengunjung setia Keluargaku Sayang dan KakChik's Wardrobe. Kakchik ucapkan terim kasih banyak-banyak atas kepercayaan kalian.

Eh, maaf Yang! Terbising pulak dengan bunyi keyboard ni.
Syyyy... cik abe tengah sakit kepala. Tadi dah bagi dia telan ubat dan suruh rehat. Agaknya badan cik abe terlalu letih dalam seminggu dua ni.Banyak berita dan video yang nak diedit. Kadang-kadang tu hanya beberapa jam saja dia tidur.


Kesian kakchik tengok suami kakchik tu tapi apalah sangat yang mampu kakchik tolong melainkan memudahkan dia nak rehat. Picit-picit sikit-sikit bolehlah tapi entah boleh membantu entahkan tidak. Inilah bahana kalau terlalu lama menghadap komputer.

Sehari dua ni kakchik mungkin jarang-jarang singgah di blog kawan-kawan sebab mengejar masa untuk siapkan assignment dan juga menguruskan bisnes. Maafkan kakchik ya kalau jarang nampak. InsyaAllah kakchik cuba mencari masa untuk menjenguk blog2 yang punya update terkini.


Kakchik permisi dulu ya. Nak kemaskan bilik yang dah macam butik abaya ni.

15.11.09

Letih sungguh..

Assalamualaikum dan salam petang semua.

Hai letih sungguh hari ni.


Apa taknya sejak petang semalam asyik dok bertungkus-lumus mengkatalogkan abaya-abaya yang baru sampai tu. Begitulah cabarannya bila menguruskan bisnes seorang diri. Syukur ada suami yang bagi galakan, kalau tak memang kena kuat semangat betul.

Nak update blog pun mengambil masa. Dari pagi tadi puas dok cari idea apa nak tulis, alih-alih cerita hal ni juga. Walau apa pun kakchik kena sudahkan juga mengambil gambar-gambar untuk setiap helai abaya yang sampai tu. Dah banyak yang diambil tapi ada juga yang kurang memuaskan jadi kena ambil sekali lagi. Nak betul-betul bagi pelanggan tengok keadaan sebenar setiap helai abaya tu.


Patung pun dah beli untuk jadi model, hehe. Boleh tahan juga harga patung plastik tu. RM260, tawar punya tawar diorang bagi kurang RM10 je. Katanya yang plastik ni lagi tahan lama daripada yang fiber. Ada banyak juga kelebihannya. Bolehlah... sebagai aset perniagaan.

Kakchik nak sambung ambil gambar ni, malam ni nak uploadkan ke dalam Abaya Souq dan facebook. Dah ramai dok bertanya tu. Jadi kita jumpa lagi di lain masa.

Wassalam.

14.11.09

Buat bisnes kenalah bersungguh

 
Assalamualaikum dan salam petang semua.

Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat dan bahagia selalu. Syukur ke hadrat Allah Ta'ala sebab hari ni cuaca sangat baik sekali. Banyak aktiviti yang berjaya kakchik lakukan. Hari ni kakchik ambil cuti sebab ada kelas ganti untuk Entrepreneurship in Child Care Education.

Selepas kelas kakchik ke rumah Kak An untuk ambil business card yang baru siap. Alhamdulillah... boleh tahan cantiknya. Satu pink dan satu lagi biru.

Lepas ni senang la sikit nak promo Abaya Elegan dan juga MariBaca.

Kakchik tak sempat nak tulis banyak-banyak cerita sebab masih sibuk membuat tagging untuk abaya-abaya yang baru sampai. Tengahari tadi shipment kedua dari Dubai dah sampai. Banyak la abaya yang cantik-cantik. Nanti jangan lupa singgan di Abaya Elegan untuk lihat ya.

13.11.09

Udara atau Ilmu?

Bismillah.

Seorang lelaki muda pergi menemui seorang ahli hikmah.
"Tuan, ajarkan saya ilmu hikmah", pintanya.
"Kau benar-benar inginkannya?" tanya ahli hikmah.
"Ya, tuan."
"Kamu sedia diuji?"
"Sedia", jawabnya tanpa ragu.
"Baiklah, bawa setempayan air ke hadapanku", pinta ahli hikmah.
Setempayan air segera dihadapkan di hadapan ahli hikmah oleh lelaki muda itu.
"Mari ke sini. Jengukkan kepalamu ke muka tempayan ini."
Lelaki muda itu pun merapatkan kepalanya ke mulut tempayan.
Tiba-tiba hali hikmah itu menekan dan menenggelamkan kepala lelaki itu ke dalam air. Dia meronta-ronta kelemasan. Apabila nampak tidak berdaya, barulah kepalanya dilepaskan. Sebaik menghirup udara, ahli hikmah terus bertanya, "Apa yang kamu inginkan?"
"Saya inginkan ilmu."
Mendengar jawapan itu sekali lagi kepala lelaki itu dibenamkan ke dalam air. Sekali lagi lelaki muda itu kelemasan. Kali ini lebih teruk dari sebelumnya. Setelah hampir lemas, baru dilepaskan lantas soalan yang sama juga diajukan.
"Apa yang kamu inginkan?"
"Saya inginkan ilmu!" jawab lelaki muda itu. Kali ini dengan keadaan lebih tidak berdaya.
Mendengar jawapan yang sama, ahli hikmah itu membenamkan sekali lagi kepala lelaki itu ke dalam tempayan. Kali ini lebih lama. Lelaki itu meronta-ronta. Kali ini jauh lebih hebat dan dahsyat dirasakannya. Setelah hampir nyawa-nyawa ikan, barulah kepalanya dilepaskan.
"Apa yang kamu inginkan?"
"Udara, udara, udara!" katanya hampir kehilangan suara.
"Sekarang, kamu telah bersedia untuk belajar hikmah daripadaku. Jika kamu inginkan hikmah seperti kamu inginkan udara, barulah kamu layak mendapatnya!"

PENGAJARAN
Keghairahan yang tinggi terhadap ilmu akan menjadikan seseorang itu ghairah untuk belajar. Imam al-Syafi'e pernah menyifatkan dirinya dengan ilmu umpama ibu ayan yang kehilangan anaknya. Begitu cinta dan tinggi sekali keinginannya untuk mendapatkan ilmu.

Disalin semula dari AnggukGeleng, SOLUSI isu #12.

Donat, Giant dan Jemput Malas



Assalamualaikum dan salam Jumaat semua.

Kawan-kawan di Kelantan, Terengganu dan Kedah sedang bercuti hujung minggu hari ni, masak apa untuk sarapan hari ni? Pgi-pagi ni kita cerita hal makanan la kejap, hehe. Kawan-kawan yang di selain negeri yang kakchik sebut tu setengah tu tentu dah masuk ofis, ada yang sedang sarapan dan ada juga yang masih bergulung dalam selimut kan. Hmmm... pagi-pagi yang sejuk dan mendung macam hari ni memang sesuai kalau sarapan dengan donat gebu dan teh/kopi panas, aww sedapnya.

Hari ni kakchik tak masak sebab petang semalam ke Giant dan beli banyak donat. Adik kata donat Giant adalah yang paling sedap setakat ni. Dia punya pasallah kakchik ke Giant tu. Lepas tu merayap ke Parkson, alahai... buat kecur nafsu je tengok beg dengan kasut. Bahaya sungguh bagi peminat bag dan kasut macam kakchik ni.



Tapi, syukur alhamdulillah sebab kakchik pergi dengan izin cik abe dengan syarat kakchik tak membeli barang-barang tu semua. Cukup untuk temankan adik ke sana mencari barang-barang dia. Jadi petang semalam memang kakchik tak habis duit banyak. Yang kakchik belikan hanya barang yang Ummi pesan - bawang, kicap, gula, dan roti. Yang kakchik sendiri hanyalah donat, 12 biji semuanya. Kiranya jimatlah kan sebab itu belanja pun RM5.98 je.



Sebelum ke KB Ummi ada masakkan jemput-jemput malas untuk minum petang pekerja-pekerja binaan tu. Banyak juga yang Ummi buat, kami semua pun dapat makan sama. Alhamdulillah... untung tinggal bersama mak ayah tapi selalu kakchik serba-salah sebab makan-minum kita setiap hari dia yang sediakan. Kalau kakchik yang masak pun selalunya kakchik masak masakan yang Ummi tak biasa buat macam roti, pizza, puding dan beberapa lauk yang kakchik tiru resepi kawan-kawan.

Hari ni ada majlis penyampaian hadiah di PASTI Pulau Melaka dan lepas Subuh tadi Ummi bawa balik sebekas nasi dagang dari sana. Adik-adik dan anak-anak sedara semua dah kenyang makan nasi tu. Kakchik tak kisah sebab kakchik pun tak makan nasi dagang. Cik Abe pun dah sarapan dengan roti dan secawan kopi radix, alhamdulillah... semua orang dah dapat bekalan tenaga untuk kecergasan badan hari ni.

Kawan-kawan dah sarapan ke?

12.11.09

Sekarang dah pandai merajuk



Memang Amni dah pandai merajuk sekarang ni. Kalau kakchik kata, "tak boleh... nanti Amni jatuh...", "kita main lain kali ya, chikja nak buat keje dulu." atau "Amni tengok dengan chikni ya..." inilah hasilnya. Terus rebah ke lantai dan menangis sekuat-kuatnya.

Tapi Amni senang dipujuk... kalau kata, "ok lah...", dia pun terus diam, bangkit dan boleh senyum lagi. Tengoklah si kecik yang cerdik ni.

yang dia nak... telefon untuk dengar muzik.


yang paling dia suka dapat tekan-tekan keyboard laptop kakchik.

Jangan tak tahu, satu kekunci SHIFT dah tercabut gara-gara Amni tarik beberapa bulan yang lalu, masa tu dia pun masih jatuh-bangun bila berjalan. Sekarang ni dah steady dan sangat suka memanjat.


macam pro je... panjat kerusi dan kadang naik atas meja
memang kena sentiasa dipantau

Kalau hari kakchik tak kerja, inilah yang melambatkan kakchik update blog, si comel Amni yang tak nak berenggang.

11.11.09

Pada sesiapa yang berkenan


Kakchik nak jual abaya zakiyyah yang sehelai ni.
Kalau ada peminat abaya yang lalu-lalang kat dalam Keluargaku Sayang ni berminat nak pakai abaya saiz L ni, bolehlah order dengan kakchik ya. Boleh pakai buat raya, hehe. Untuk makluman, abaya ni harganya RM200 termasuk kos penghantaran (Semenanjung sahaja). Kainnya crepe yang agak tebal dari crepe biasa, kalau dipakai, cantik je dia jatuh ke bawah. Ramai yang nak pula berbadan kecil, kena order saiz XS dan S tapi untuk mereka terpaksa tunggu lepas raya baru dapat. Jadi yang ini hanya ada sehelai. Memang cantik sangat-sangat. KakChik pun sebelum tengok dengan mata sendiri ingat tak cantik tapi bila dah tengok ni, kakchik pun order juga untuk diri sendiri hehe.
Kalau berkenan nak beli tu cepat-cepat bagitau kakchik ya. Kita berurusan cepat-cepat. Boleh pos cepat-cepat. Boleh pakai cepat juga :D


Tiada sebarang hiasan di bahagian bawah.

Teringinnya nak pergi


Assalamualaikum dan salam pagi ceria semua!
Semoga hari ni cuaca yang berubah-ubah ni tidak mengurangkan semangat kita untuk menikmati pekerjaan kita masing-masing tak kira di rumah, di pejabat atau di tempat belajar. Janji kita mulakan segalanya dengan niat yang baik dan Basmallah, insyaAllah amal yang baik akan menjadi satu ibadah, untung kan.

Sekarang ni musim orang menunaikan haji, dalam hati ni Tuhan saja yang tahu betapa cemburunya melihat teman-teman yang telah pergi dan bakal pergi menunaikan rukun Islam yang kelima tu. Takpe... kakchik dah tanam azam sebelum umur 40 tahun kakchik mesti berusaha mengumpul duit untuk menyahut seruan haji bersama cik abe. Sekarang ni ialah masa untuk membuat persediaan mental dan fizikal di samping menjelaskan segala hutang piutang yang ada. Semoga Allah panggil kami naik haji secepat mungkin.

Itu cerita cita-cita nak naik haji. Gambar kat atas tu pula ialah cerita kakchik menanam impian untuk ke UAE tahun depan. Bukan saja-saja nak pergi tapi pergi dengan matlamat, pergi untuk bisnes, pergi untuk menambah ilmu dan pengalaman, pergi untuk mencari kekuatan dan keyakinan. Semuanya berkait rapat dengan pakaian, semuanya adalah untuk matlamat kewujudan Abaya Elegan.

 
Tempat duduk FREE ke Abu Dhabi masih kosong.

Nampaknya kakchik kena booking awal ni, nak perginya antara bulan Mei dan Okt tahun depan. Semoga Allah izinkan demi masa depan perjuangan dakwah kakchik dan bisnes pakaian muslimah. Medan ini iaitu medan pakaian dan fesyen amat dekat di hati wanita, yang kakchik mahu ialah biarlah ia menghala kepada mencari redha Ilahi.

Aja, Aja, Fighting!

10.11.09

Lunch at Kemaman Kopitiam


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Semoga semua berada di bawah limpahan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Hari ni Kota Bharu dilimpahi hujan sekali lagi tapi di saat kakchik menaip ayat-ayat ni Matahari sudah pun kembali menyinari dengan cerah sekali. Alhamdulillah. Untuk makluman teman-teman kawasan kakchik tinggal tak banjir dan mungkin jauh dari masalah tersebut. Namun rakan-rakan di Tumpat, Rantau Panjang dan beberapa tempat di Kota Bharu kurang bernasib baik. Mereka terpaksa menerima takdir dan berpindah sementara kerana banjir. Dari maklumat yang kakchik terima, banjir sudah semakin surut dan kebanyakan mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing. Semoga hujan yang turun selepas ini tidak lagi membawa banjir kerana ramai juga hilang harta benda dan ada juga yang kehilangan nyawa.

 
 Kak Ma dan Dila keliru nak pilih yang mana satu, hehe.

Baiklah ke lain pula ceritanya. Yang sebenarnya kakchik nak kongsi pengalaman pertama makan tengahari di Kemaman Kopitiam KB. Rakan sekerja kakchik tu, Kak Ma dah beberapa lama berhajat nak makan bersama di Restoran Hayaki tapi pengaruh kakchik telah mengubah haluan kami maka sampailah kami ke Kemaman Kopitiam, hehe. Walaupun kakchik dah dengar cerita dan lihat gambar dari pengalaman seorang rakan FB yang selalu ke situ, kakchik nak juga cuba menunya biar pun mahal sikit.

 
Keropok lekor dan air yang kami order - nescaffe ais, jus epal dan ceylon the o ais. Keropok lekornya memang sedap macam beli di Losong je.

Dalam pukul 12 kami dah minta excuse untuk keluar sebab mahu balik sebelum pukul 1 petang untuk bagi peluang CikMat pula balik lunch kat rumah dia. Hari ni tak sangka ramai pula pengunjung di waktu pagi kat Zahra' ni. Pelajar-pelajar kolej yang ramai datang, ni mesti nak siapkan tugasan diorang. Pelajar sekolah yang dah habis exam pun ada ramai juga yang datang. Baguslah kalau macam tu kan, daripada diorang lepak, buang masa di tempat yang tak berfaedah, baiklah diorang datang ke sini.



Mee Rebus Kopitiam - order Dila dan Kak Ma. Yummy!



Hainan Chicken Chop - MashaAllah besar sungguh hidangan ni. Kakchik punya hehe.


Hari ni kakchik makan besar! Sebab dah agak bosan makan nasi, tekak ni terasa nak makan Western Food pulak. Kakchik tengok ada dua jenis je WF kat situ, Fish  n Chip dan Chicken Chop. Kakchik nak mudah je, order CC je lah. Bila pelayan bawa hidangan, kami tergelak besar. Hahahahaa.... takleh lupa betapa ENORMOUSnya CC kakchik. Memang tak habis la kakchik makan sorang-sorang, kenalah Dila dan Kak Ma tolong makan sama. Kalau tak percaya, kenalah pergi cuba sendiri. Pinggan hidangan tu sama besar dengan pinggan yang kakchik guna buat hidang sate untuk tetamu masa raya!

 
Hujan tengah lebat.

Bila kami dah nak habis makan tu hujan pulak turun lebat sangat. Ingatkan lambatlah kami boleh balik ke Zahra' tapi syukur hujan semakin renyai-renyai. Hehe kami lambat juga, harap maafkan 10 minit ya. Sebagi buah tangan kepada staf lain yang tak keluar ke mana-mana, kami belikan sekotak Kopi 3 in 1 Kemaman Kopitiam. Mesti sedap sebab semua air yang kami minum kat situ memang kaw sangat.

Nampaknya bajet makan tengahari hari ni dah menggunakan keseluruhan peruntukan untuk makan untuk sehari. Besarlah juga kosnya makan di Kemaman Kopitiam ni. Sekali-sekala boleh lah... nak selalu-selalu alamat pokailah cik kak ni.

 
 Dila dan Kak Ma dah mula makan dulu, huhu, kakchik kena tunggu... CC lambat siap.

9.11.09

Menu kat pejabat hari ni.


Sarapan dan makan tengahari untuk hari ni. Nasi kerabu Chabang 4 Cherang. Buat masa ni kakchik rasa nasi kerabu gerai yang paling kakchik suka. Tapi no 1 tetap nasi kerabu yang Ummi buat.



Kuih ketayap dan batang buruk yang kakchik belikan untuk staf minum pagi. Kakchik dah makan sebiji batang buruk tu. Nasib baik tak manis sangat inti kelapanya.



Ini pula kuih-muih yang Dila belikan untuk staf minum pagi dan petang. Mini burger Malaysia tu kakchik yang beli bersekali dengan kuih ketayap tadi.

Alhamdulillah untuk rezeki perut hari ni.
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs