Tuhan... hanya Engkau saja Yang Maha Tahu betapa hati aku dan seluruh ahli keluarga di saat ini teramat sedih di atas keuzuran yang terpaksa dihadapi oleh Ummi kesayangan kami. Hari ini sudah masuk hari ke-6 Ummi tidak dapat bergerak cergas seperti biasa. Yang boleh Ummi buat, berbaring, duduk, ke bilik air, solat, makan ala kadar dan mengadoi kesakitan. Hati kami anak-anak tak dapat nak aku gambarkan melihat Ummi sakit begitu.
Semuanya bermula malam Selasa lepas. Adik bongsu kami pulang dari KL dan memberikan 5 biji buah dinar (buah yang ada lorekan berupa tulisan Arab yang dibawa pulang dari Mekah) dan diberikan kepada setiap kami kakak-kakaknya termasuklah kepada Ummi dan Ayah. 5 biji buah dinar itu direndam ke dalam air untuk diminum sebagai ubat pembersih dalaman (mengikut kata Adik bongsu). Dia pandailah juga mengubat secara perubatan tradisional & bekam. Sedang dalam masa yang sama Ummi memang lemah badannya kerana serangan jantung dan darah tinggi sebelum ini. Tambahan pula sehari sebelum meminum air buah dinar tu Ummi ada mengurut belakang abang ipar yang lemah-lemah badan terkena buatan orang.
Lewat malam tu, Ummi tak dapat tidur dan badan Ummi menggeletar. Aku tak tahu hal ini sebab tinggal di rumah sendiri yang tak jauh dari rumah Ummi. Keesokan baru aku tahu bila Adik nak minta cuti kerja sebab nak jaga Ummi. Adik dan Ayahlah yang bersengkang mata mengurut Ummi. Nasib baik kakak aku (Kak Chik - panggilan kami untuknya) seorang doktor dan rumahnya pula hanya beberapa langkah dari rumah Ummi. Dia periksa Ummi dan diagnos simptom2 bimbang Ummi diserang sakit jantung lagi, alhamdulillah... bukan. Walaupun lega dan Ummi pada masa tu masih lagi boleh bercakap dan menceritakan apa yang dirasainya. Kata Ummi dia rasa macam kepala dan seluruh pinggangnya sakit seperti dimamah-mamah, lepas tu seluruh badan terasa kebas. Kesian Ummi... tentu tak tertanggung sakitnya.
Kak Chik kata mungkin angin dalam badan sebab Ummi tak makan nasi hari tu. Kak Chik bagi ubat buang angin kat Ummi, kami berharap Ummi dapat buang angin tapi hingga 3 hari tak juga berjaya. Puas kami bubuh minyak angin, urutkan perut Ummi, urutkan belakang Ummi, urutkan kepala Ummi, tapi semuanya tak menjadi. Sakit Ummi pun akan makin kuat bila hampir Maghrib dan awal pagi (pukul 3 - 5 pagi) menyebabkan Ummi tak dapat rehat atau tidur. Seluruh adik-beradik jauh dan dekat dah tahu dan mula bimbang. Abang Ee di Bangi nak balik tak dapat cuti, Abang Sir berada di German sebulan, Chenah di Kuala Krai balik juga petang Khamis tu dan La di Penang, hampir setiap hari telefon sebab nak balik tak dapat cuti juga. Tinggallah kami 5 beradik yang bergilir jaga Ummi. Tu pun Adik bongsu dah pun balik ke KL 2 hari lepas.
Masuk hari ke-4, Ummi mula meracau sekali-sekala terutama bila dia mula tidur. Katanya nampak 'benda' tu dok gigit kepala dia, nampak 'benda' tu dok mamah kaki dia dan semalam Ummi sebut nama 'benda' tu yang berupa seorang Pakcik di kampung kami yang juga ada pertalian darah dengan abang ipar yang Ummi urut sebelum ni. Adik bongsu telefon dari KL kata dia sedang tolong ubatkan dan katanya Ummi mungkin akan nampak 'benda'... 'Benda' tu ialah buatan orang yang cemburu kat abang ipar. Betul atu tidak, kami pun tidak pasti. Yang kami buat ialah solat sunat hajat agar Ummi dan abang ipar sihat semula.
Entahlah... kami dah mula rasa tak sedap hati. Dahlah setiap malam Ummi tak dapat tidur, kesakitan tu pula seperti bergerak dari satu tempat ke satu tempat di badan Ummi. Malam tadi aku sendiri yang tolong urutkan Ummi. Ayah, Kak Chik dan Adik bacakan Yaasin, aku bacakan Ayat Kursi, selawat dan syahadah kat Ummi, alhamdulillah Ummi sentiasa tak tinggal membacanya ketika dia sedar. Dalam pukul 12.30 Ummi dah mula tidur, sambil baca buku aku tengok-tengokkan Ummi. Bagi masa kat Ayah dan Adik tidur dulu. Chena yang dalam pantang dan keluarganya pun tidur kat rumah Ummi sejak hari ke-2 Ummi sakit. Tak sedar bila aku terlelap, jaga dalam 4 pagi sebab Ummi panggil kata tangan kanan dia kebas. Terus aku kejutkan Adik dan sama-sama kami urutkan tangan Ummi. Tiba-tiba tangan kiri pula menggeletar dan kejang, aku bisik dalam hati, 'jangan panik... ini Ummi yang sakit, anak mesti kena tolong... sayangkan Ummi yang dah banyak berkorban untuk kami 9 beradik'.
Alhamdulillah, kebas dan ketar dah hilang. Ummi kata nak air panas, dia dahaga. Adik ke dapur ambilkan air. Sedih kami lihat Ummi macam tu... Ya Allah... ujian apakah ini? Tolonglah buang penyakit itu dari Ummi kami. Kesianlah dia Ya Allah. Ummi lega lepas minum air tapi tak lama... Ayah Din dah mula membaca Qur'an di Masjid Pulau Melaka dan aku lihat Ummi tidur tapi nafas Ummi semacam tersekat-sekat dan seluruh badan Ummi dari pinggang ke bawah mula menggigil (kita yang memegang pun turut menggigil). Aku kejutkan Ayah, "Ayah, bangun Ayah! Ummi ketar lagi!". "Ummi! Ummi! Dengar tak Za panggil? Mi, mengucap Mi, ikut Za deh, Laa ilaahaillallah... Kami bertiga urut kaki, tangan dan belakang Ummi. Ummi sedar tapi kepala dia sakit sangat. Pada masa tu aku hanya tahu minta Allah legakan sakit Ummi dan kalau benar memang ada 'benda' yang khianat kat Ummi, aku minta Allah buang ia jauh-jauh.
Bunyi-bunyi pembesar suara dari masjid memberi isyarat yang azan Subuh akan berkumandang. Ayah minta diri untuk mandi dan ke masjid. Adik telefon Kak Chik minta naik ke rumah Ummi tapi Kak Chik juga sakit kepala dan janji nak naik lepas solat Subuh. Tinggal kami berdua, aku dan Adik. Ummi dah mula sedar dan kata sakitnya dah kurang dan dia nak sembahyang. Ummi kata aku pun elok pergi Solat Subuh dulu. Aku hairan, penyakit Ummi seolah-olah hilang apabila hari semakin siang dan Ummi boleh ke bilik air dan menunaikan solat. Aku bersyukur tapi dalam bimbang. Pagi tadi kami buat keputusan nak bawa Ummi berjumpa bomoh sebagai satu ikhtiar. Insya-Allah bomoh ini orang yang warak.
Tatkala aku menulis ni mungkin Ummi dah balik ke rumah. Aku cuba telefon tadi tapi tak ada siapa yang angkat. Kini aku panjatkan doa...
Dengan nama-Mu Ya Allah, Yang Rahman, Yang Rahim.
Ya Allah, mohon padaMu selamatkan ibuku.
Sembuhkanlah ibuku dari ujian ini.
Kasihanilah dia Ya Allah. Badannya sudah tua dan selalu uzur.
Kasihanilah dia yang sejak muda hanya tahu berbakti kepada suami dan anak-anak.
Lindungilah ibuku yang di waktu sihatnya sentiasa ke masjid dan ke majlis-majlis ilmu.
Selamatkanlah ibuku dari gangguan syaitan yang sentiasa mencari peluang.
Aku mohon Ya Allah, Engkau kasihan terhadap ibuku yang tidak pernah membalas dengki-dengki orang terhadapnya.
Aku mohon Ya Allah, Rahman dan RahimMu terhadap ibuku. Legakanlah dia dari kesakitan luar mahupun dalam.
Kasihanilah Ya Allah terhadap ibuku.
Kasihanilah ibuku yang hampir 46 tahun berbakti kepada aku dan adik-beradikku.
Kasihanilah ibuku yang telah mendidik aku dan dik-beradikku menjadi hamba-Mu yang berjaya dalam akademik dan insya-Allah mencintai dan beramal dengan ilmu akhirat.
Kasihanilah ibuku yang setia kepada Ayahku, suaminya.
Ya Allah, aku mohon Ya Allah, Kau lindungilah ibuku, ayahku, diriku, suamiku dan seluruh ahli keluargaku, sanak-saudaraku, guru-guruku dan saudara seIslamku dari gangguan syaitan yang direjam, mara bahaya dan petaka.
Perkenankanlah doa aku, hamba-Mu yang lemah ini.
Perkenankanlah Ya Allah.
Perkenankanlah.
Perkongsian : Hujan
8 years ago
Assalamualaikum,
ReplyDeleteBoleh saya tahu khasiat buah dinar ini dlm aspek kesihatan. Saya telah cuba google dan menjumpai blog ini.
Semoga Ummi saudara/i segera sembuh dan sihat selalu.
/.kiss
Wa'alaikum salam.
ReplyDeleteCik anon,
Pasal khasiat buah dinar tu mengikut adik saya boleh mengeluarkan penyakit dalaman terutama kalau ada gangguan jin. Mengikut pamplet yg disediakan, buah dinar ni berkhasiat sebagai penerang hati, penawar bisa binatang dan menghingdar gangguan makhluk halus.
Kalau nak tahu lebih lanjut cuba tel Ust. Mohd di 012-9457042
Alhamdulillah Ummi semakin sihat. Terima kasih.